Tetamu Kehormat...

October 14, 2010

Wee Choo Keong Dedah Kisah Akuan Bersumpah Rahimi Osman


Wee Choo Keong Dedah
Kisah Akuan Bersumpah Rahimi Osman

Walaupun ramai pihak yang tidak percaya andaian saya bahawa dua akuan bersumpah Rahimi Osman yang berada dalam simpanan Latheefa Koya telah hilang - tetapi saya yakin ia sebenarnya telah hilang. Jika akuan itu tidak hilang, saya pasti sudah lama para peguambela Anwar Ibrahim akan mendedahkan kedua-dua akuan bersumpah tersebut untuk dibaca oleh khalayak ramai. Namun demikian, hakikatnya dua akuan bersumpah tersebut telah hilang.

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) — Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong mendakwa wujudnya konspirasi oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara ini, menurut Wee, jelas terbukti apabila kandungan surat akuan bersumpah (SD) pertama yang ditandatangani bekas setiausaha sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman pada 29 Jun 2008, langsung tidak mengaitkan sesiapapun (Najib ataupun Rosmah) sebagai terlibat dalam laporan polis bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, berhubung kes liwat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, SD kedua yang ditandatangani Rahimi, kandungannya telah dipinda dan cuba mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes itu. "Saya telah diminta menjadi ”pesuruhjaya sumpah” pada SD pertama Muhamad Rahimi, dan saya boleh mengatakan 100 peratus dalam surat pertama yang dikatakan oleh pihak tertentu telah hilang, kandungannya tidak menuduh sesiapapun (Najib ataupun Rosmah) terlibat dalam laporan polis Saiful,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya mengenai SD kedua, Wee menafikan ia ditandatangani pada hari yang sama dengan SD pertama, sebaliknya beberapa hari kemudian, tanpa kehadiran beliau. Sehubungan itu, Wee yang juga seorang peguam menegaskan, beliau langsung tiada kaitan dengan SD kedua Rahimi sebagaimana yang didakwa oleh ketua penerangan parti PKR Latheefa Koya dan ketua Pemuda PKR Kedah Saiful Izham Ramli.

Bagaimanapun, ketika ditanya siapa yang merancang konspirasi itu, beliau enggan mengulas lanjut. Wee, yang juga bekas anggota majlis tertinggi PKR, tetapi keluar daripada parti itu Mei lepas kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinannya, berkata demikian sebagai respons kepada cubaan Latheefa dan Saiful Izham untuk mengaitkan beliau dengan skandal tersebut, dalam keterangan mereka di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman semalam. Baru-baru ini, Rahimi mendakwa beliau dipaksa menandatangani dua SD pada 2008 bagi mempertahankan Anwar daripada pertuduhan liwat serta mengaitkan Najib dan isterinya dalam kes itu.

3 comments:

amir07_johor said...

saya harap kebenaran akan terbongkar pada akhirnya..

pacat said...

yap Amir.. moga kebenaran muncul dan melenyapkan gejala tak sihat ini.. dah lama sangat masalah ini menghantui rakyat malaysia!!

paku kapai said...

Allah akan tunjukkan satu persatu kemunkaran olih puak puak yg jahat terhadap org yg tidak melakukan kesalahan allah akan tunjukan siapa yg benar dari itu kita lihat negara ini lebeh aman tanpa mereka yg membuat ona dalam negara.