Tetamu Kehormat...

September 2, 2010

Menyedarkan Umat Islam

Menyedarkan Umat Islam
Oleh Muhammad Azli

(Rencana ini telah disiarkan di dalam majalah al-Islam, Oktober 2005)


1. Pada suatu ketika dahulu, sebelum mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersara. Rakyat Malaysia pernah dikejutkan dengan beberapa siri sikap media massa Barat yang begitu berani bersikap kurang ajar terhadap kepimpinan negara andaikata segala kemahuan mereka tidak kita penuhi.

2. Hal ini terbukti benar apabila salah satu media terkenal Barat - Business Weeks sanggup mengugut Tun Mahathir untuk memburuk-burukkan Malaysia dan kepimpinannya, jika mantan perdana menteri itu enggan diwawancara oleh pihak majalah tersebut. Keberanian dan kebiadaban mereka memaksa dan mengugut Tun Mahathir, menjelaskan bertapa media Barat sangat bersikap prejudis dan suka merendah-rendahkan para pemimpin dunia Islam.

3. Apatah lagi ketika ini dunia Islam dilihat berada dalam keadaan yang sangat lemah dan saling berpecah-belah dalam kalangan mereka sendiri. Ditambah lagi dengan pelbagai bentuk penjajahan Barat ke atas umat Islam, baik melalui ekonomi mahu pun sosial – menyebabkan dunia Islam terus dipandang hina oleh Barat. Pendeka kata, umat Islam pada saat ini sudah kehilangan maruah mereka sendiri. Mereka tidak hanya diperlecehkan oleh musuh-musuhnya, malah lebih daripada itu, umat Islam telah digelar dengan pelbagai gelaran seperti pengganas, ekstremis dan fundamentalis.

4. Sejarah kegemilangan umat Islam dahulu, kini hanya menjadi nota-nota kuliah universiti – untuk dibaca dan lulus periksa dan bukan untuk difahami atau ditauladani. Hakikatnya, umat Islam tetap akan tewas apabila berhadapan dengan realiti dunia Barat. Mengapa semua ini terjadi? Dan di mana silapnya? Apakah kata-kata John William Draper, seorang ahli sejarah terkenal Inggeris tidak mampu untuk kita realisasikan kembali?, “Hampir 800 tahun di bawah pemerintah umat Islam. Islam Sepanyol menjadi suatu tauladan kepada Eropah – sebagai suatu Negara yang bertamadun tinggi dan berilmu. Kemajuan dalam bidang seni, sastera dan sains di Sepanyol tidak ada bandingannya di seluruh Eropah. Penuntut-penuntut datang dari negeri Perancis, German, England untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang hanya ada di bandar-bandar orang Islam Sepanyol. Matematik,illmu falak, kaji hayat, sejarah, falsafah dan hukum-hukum hanya dikuasai di Sepanyol sahaja.”

5. Ahli-ahli sejarah Barat yang jujur, sentiasa menunjukkan kekaguman mereka terhadap pencapaian umat Islam dahulu, khususnya ketika Eropah masih berada dalam zaman kegelapannya. Sudah terlalu banyak teori yang menjelaskan punca mengapa umat Islam menjadi begitu mundur dan lemah pada waktu kini. Ada yang berpendapat bahawa umat Islam lemah dalam penguasaan ilmu pengetahuan, ada pula yang menyatakan umat Islam gagal kerana sering berpecah-belah dan ada juga yang berpandangan umat Islam mundur adalah disebabkan kegagalan dalam menumpaskan perancangan strategi kaum kafir yang sangat licik ke atas mereka. Walauapapun alasan dan hipotesisnya – umat Islam menjadi lemah dan mundur bukanlah disebabkan kelemahan diri mereka semata-mata.

6. Sebaliknya, sepertimana kata-kata Saidina Ali, “Kebatilan yang disusun secara baik, mampu merosakkan kebenaran yang tidak tersusun.” Hal ini membuktikan bahawa pada hari ini, umat Islam telah dikuasai musuh-musuhnya dari segenap aspek kehidupan adalah hasil daripada keberkesanan dan kebijaksanaan mereka dalam mengatur dan merancang perlbagai agenda bagi memporak-perandakan kesatuan dan fikrah umat Islam itu sendiri. Musuh-musuh Islam sentiasa sedar – di medan pertempuran dan peperangan, terbukti mereka gagal mengatasi semangat jihad yang telah ditunjukkan oleh para pejuang Islam.

7. Buktinya, Perang Salib yang berlarutan selama hampir dua kurun (192 tahun) itu telah memperlihatkan kekuatan sebenar umat Islam di medan perang yang berpaksikan kepada semangat jihad demi mempertahankan agama mereka. Begitu jugalah yang sedang berlaku di bumi Palestin, Iraq dan Afghanistan pada saat ini. Musuh-musuh Islam sangat memahami, untuk memusnahkan agama yang suci ini, tidak ada cara lain – melainkan dengan strategi yang dilaksanakan secara licik dan halus, seperti seeokor semut yang bergerak dalam kegelapan malam.

8. Justeru itu, tidak menghairankan apabila bekas Perdana Menteri Inggeris, Gladstone pernah mengangkat al-Quran di dalam sidang parlimen Britain sambil berkata, “Selama kitab ini masih berada di dalam tangan umat Islam, selagi itulah kita tidak akan dapat menikmati keamanan di negeri itu.” Oleh sebab musuh-musuh Islam memahani bahawa mereka sama sekali tidak akan Berjaya menghadapi umat Islam di medan pertempuran – maka sesuatu harus dilakukan agar umat Islam dijauhkan daripada al-Quran dan as-Sunah, sekali gus melemahkan semangat jihad mereka. Hanya dengan cara ini sahaja umat Islam akan mampu ditewaskan, sama ada di medan perang mahu pun tidak.

9. Apabila umat Islam sudah muka mencintai dunia dan takut untuk berjihad – maka janganlah sekali-kali kita bermimpin untuk menguasai dunia dan melihat Islam kembali gemilang. Strategi ini sudah lama dirancang oleh musuh-musuh Islam dan ianya makin jelas apabila salah seorang paderi terkenal dunia bernama Willem Gaford, menyatakan secara terang-terangan dengan berkata, “Apabila al-Quran dan Kota Mekah dapat dikuburkan dari negeri Arab, pada masa itu kami dapat melihat orang Arab melangkah menuju peradaban Barat dan menjauhkan diri mereka daripada Muhammad dan Kitabnya.” Jelas, strategi musuh-musuh Islam tersebut sudah mencapai objektifnya pada saat ini.

10. Mereka telah Berjaya menjauhkan umat Islam daripada al-Quran dan Sunah nabinya. Malah, tidak mungkin kita berupaya membayangkan keadaan generasi umat Islam untuk 20 tahun yang akan datang. Kita tewas pada kali ini kerana strategi licik musuh-musuh Islam dan bukan semata-mata kerana kelemahan kita sendiri. Oleh sebab itu, umat Islam di setiap peringkat perlu melakukan anjakan strategi demi menghadapi segerombolan musuh-musuhnya yang datang dari setiap arah. Sudah tiba masanya, kita bertindak dan mengatur strategi.

11. Dalam hal ini, kita semua percaya dan yakin bahawa cara bagi menewaskan musuh-musuh Islam adalah dengan mengembalikan semula umat Islam kepada petunjuk al-Quran dan as-Sunah. Pada pandangan penulis, terdapat dua strategi yang mampu mengembalikan kefahaman umat Islam terhadap agamanya, sekali gus membangkitkan semula semangat jihad dan keyakinan bahawa umat Islam mampu membina tamadunnya yang cemerlang sekali lagi. Strategi pertama adalah bertitik tolak daripada peranan para penerbit buku-buku agama.

12. Ketika ini, kitab-kitab rujukan utama pengajian Islam yang ditulis oleh tokoh-tokoh Islam terdahulu diterbitkan dalam bentuk yang sangat eksklusif sifatnya – sehingga menimbulkan beban kepada pembaca untuk membeli. Dengan kulit buku yang tebal dan jenis kertas percetakannya yang berkualiti tinggi – menjadikan kitab-kitab muktabar karangan ulama silam terlalu mahal harganya di pasaran, sekali gus mengurangkan kuasa membeli dalam kalangan rakyat jelata yang mencintai agamanya. Hal ini sangat berbeza dengan penerbitan buku yang ditulis oleh para pemikir Barat.

13. Buku-buku terbitan mereka tidak hanya bersaiz kecil dan mudah dibawa ke mana-mana, malah harganya juga sangat murah kerana menggunakan kertas yang berkualiti rendah dan tidak berkulit tebal. Hal ini tidak hanya memudahkan buku-buku karangan mereka laris di pasaran, bahkan ilmu yang terkandung di dalamnya turut tersebar dengan lebih cepat dan pantas ke tengah-tengah masyarakat. Namun demikian, hal ini tidak dicontohi dalam kalangan penerbit buku agama. Para penerbit buku agama seolah-olah lebih selesa dengan menerbitkan buku agama yang rendah dari segi mutu tulisan dan huraiannya, malah para penulisnya juga tidak terkenal - agar harganya menjadi lebih murah.

14. Sebaliknya, karya-karya agung ulama silam diterbitkan dengan sangat eksklusif sehingga hargannya mencecah ratusan bahkan terdapat juga yang mencecah ribuan ringgit – semua ini hanya menjarakkan lagi masyarakat Islam daripada agamanya sahaja. Cubalah kita fikirkan sebentar – untuk memiliki kitab-kitab tafsir karya ulama terkenal zaman silam, seperti Ibn Kasir atau at - Tabari – harganya teramat mahal dan amat sukar untuk dimiliki oleh orang awam. Sesuatu harus dilakukan dalam soal ini demi memastikan karya-karya unggul ulama terdahulu berupaya ditelaah dengan mudah oleh masyarakat Islam.

15. Lantaran itu, sudah tiba masanya kitab-kitab muktabar karya ilmuan Islam terdahulu dijual dengan harga yang murah agar mudah diperoleh oleh orang ramai. Hal ini boleh dilaksanakan dengan cara menjimatkan kos penerbitannya melalui penggunaan jenis kertas yang bermutu rendah untuk cetakan kulit dan isi buku. Strategi ini sangat penting bagi memastikan umat Islam mudah untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan Islam yang benar-benar muktabar dengan harga yang murah, di samping menggalakkan mereka untuk membeli.

16. Masyarakat harus didedahkan dengan sumber-sumber utama pengkajian ilmu Islam, sekali gus menjadi penapis dan penyaring kepada mana-mana ilmu Barat yang tidak secocok dengan Islam. Selain itu, cara ini juga secara tidak langsung melatih masyarakat Islam daripada sifat suka bertaklid. Strategi kedua pula adalah berasaskan kepada peranan para da’i (pendakwah). Para da’i atau pendakwah tidak hanya berperanan sebagai penceramah atau guru agama semata-mata, sebaliknya mereka juga turut menjadi seorang penyampai dan pendidik yang jujur kepada masyarakat dengan menyatakan bagaimana cara untuk mendapatkan sumber bagi bahan-bahan kuliyyah atau ceramah mereka itu – umpamanya apakah nama kitab yang digunakan dalam pembelajaran tersebut, apakah kitab tersebut sudah ada terjemahannya, jika ada, di manakah kedai yang menjualnya atau bagaimana untuk memperolehnya.

17. Maklumat-maklumat seperti ini seharusnya menjadi syarat wajib bagi para pendakwah, agar masyarakat awam mampu untuk merujuk terus kepada sumber asal pengajiannya. Hal ini secara tidak sedar menjinakkan masyarakat agar mentalaah sendiri kitab-kitab muktabar tulisan para Imam Mujtahid yang berwibawa. Masyarakat Islam harus dielakkan daripada sindrom “takut membaca kitab-kitab kuning, kononnya hanya ulama sahaja yang berupaya memahaminya.” Pandangan sempit ini harus dibuang jauh daripada pemikiran umat Islam, khususnya di Malaysia.

18. Sebaliknya, para pendakwah harus melatih dan menggalakkan orang ramai agar berusaha mencari sumber-sumber ilmu Islam yang utama, dan bukannya menakutkan mereka dengan dakwaan kononnya hanya mereka sahaja yang mampu memahami kitab-kitab muktabar tersebut. Pada hari sudah terdapat begitu banyak kitab-kitab muktabar yang ditulis oleh ulama silam boleh didapati dalam bahasa Melayu, contohnya Kitab Arba’in (Hadis 40) dan Kitab al-Adzkar (Zikir dan Doa) karya Imam Nawawi, Kitab ar-Risalah dan al-Umm (Usul Fiqh dan Fiqh) karya Imam Syafie, Kitab Musnad Imam Ahmad (Himpunan Hadis) karya Imam Ahmad bin Hanbal, Kitab Bidayatul Mujtahid (Fiqh) karya Ibn Rushd, Kitab Fathul Baari (Penjelasan Hadis al-Bukhari) dan Kitab Bulughul Maram (Hadis Hukum) karya Ibn Hajar, Kitab Tafsir Ibn Kasir (Tafsir al-Quran), Kitab Sirah Nabawi Ibn Hisyam (Sejarah), Kitab Muqadimah Ibn Khaldun (Sains Politik Islam), Kitab Kutub Siitah ( 6 Kitab Hadis Terkenal – Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tarmizi, Nasaie, dan Ibn Majah) dan beribu-ribu kitab muktabar lain yang sudah banyak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dalam pelbagai bidang serta lapangan ilmu dan mudah diperoleh di Pustaka Indonesia.

19. Menyentuh soal membaca dan mentelaah kitab-kitab muktabar karya ulama-ulama silam ini, Prof. Dr Yusuf al-Qardhawi telah mengulas di dalam kitabnya al-Fatawa Bayna al-Indibat al-Tasayyub, dengan menyatakan, “ Salah satu penyakit yang ada pada masa kini ialah, tidak banyak orang yang membaca kitab-kitab yang bermanfaat dan tidak sabar membaca kitab-kitab yang asli dan muktamad….seperti itu juga dalam bidang ilmu pengetahuan agama, yang mereka kehendaki hanyalah membaca beberapa risalah atau buku-buku kecil sahaja. Tetapi, mereka tidak lagi sabar membaca kitab-kitab besar seperti Tafsir Ibn Kasir, Sahih Imam Bukhari serta syarahannya atau kitab-kitab besar seumpamanya, pada zaman yang serba cepat dan maju ini.”

20. Dengan mentelaah kitab-kitab besar karya ulamar muktabar silam ini, masyarakat Islam akan lebih matang dan tidak akan saling tuduh-menuduh dan bersikap fanatik kepada mana-mana golongan sahaja, sebaliknya pelbagai perbezaan pendapat dan pandangan ulama-ulama dahulu akan menjadikan umat semakin maju dan berfikiran terbuka. Malah, cara ini juga secara tidak langsung melatih masyarakat Islam agar dapat menangkis dan menapis mana-mana ideologi Barat yang tidak sejajar dan secocok dengan syariat Islam.

21. Strategi yang ketiga pula adalah peranan pemimpim-pemimpin Islam. Para pemimpin Islam yang mengetuai gerakan Islam, parti politik, kumpulan-kumpulan dakwah, NGO dan sebagainya, harus segera bertindak sebagai pihak yang menganjurkan kepada persaudaraan Islam dan menggalakkan umat Islam ke arah perpaduan dan kesatuan ummah, di samping bersama-sama menghindari perselisihan, permusuhan dan saling bersikap prejudis sesam mereka. Pemimpin - pemimpin Islam harus segera menyedarkan rakyat akan kepentingan merapatkan persaudaraan dan ukhwah sesame mereka demi menghadapi musuh Islam yang satu. Umat Islam sudah terlalu lama berpecah-belah.

22. Kepentingan politik dan kefahaman Islam yang sempit harus ditolak ketepi demi memberi laluan kepada objektif mewujudakan masyarakat Islam yang bersatu-padu, bantu-membantu dan saling bekerjasama antara satu sama lain. Inilah sebahagian kecil daripada strategi yang mesti segera kita laksanakan dalam dunia penerbitan buku-buku Islam, andaikata kita mahu melihat Islam kembali kuat dan dihormati.

3 comments:

Anonymous said...

POSTING YG TERBAIK PERNAH CEK BACA...PENUH DENGAN FAKTA YG LENGKAP DAN MENYELURUH.BUKAN HANYA BERSANDARKAN PENDAPAT SEMATA..SATU TULISAN YG MANTAP...TERUSKAN....! TAHNIAH.!

P/S ; BEST BILA TIADA UNSUR POLITIK

KAPT (B) KADIR BIN DATO' ZAKARIA
231NMW
UNI OF CHULALONGKORN

Anonymous said...

Seruan ini patut dituju untuk dihayati oleh mereka yang diberi amanah melalui mandat di tangan. Liabiliti (hisab) lebih dipikul oleh mereka. Great power comes with more responsibility. Kata-kata seorang pemimpin besar ibarat satu perintah dan mempunyai impak lagi besar kerana terus disebar melalui media perdana. Kita menunggu perkataan 'halal''haram' 'syurga' 'neraka''iman & taqwa' menjadi basahan di bibir pemimpin utama. "berbuat baik lah sesama manusia tidak kira bangsa dan agama, nescaya dibalaskan syurga yang amat indah" tapi yang sering diucap ialah " melayu mesti bersatu untuk kemakmuran dan kesejahteraan negara" Boleh, tapi tiada pure motivation.

DR NO

Muhammad Azli Shukri said...

terima kasih kaptan dan Dr No