Skip to main content

DUN Galas Kembali Ke Tangan UMNO!


DUN Galas
Kembali Ke Tangan UMNO!


Secara peribadi, saya menyambut baik pelantikan Tengku Razaliegh sebagai pengarah pilihan raya kecil UMNO/BN untuk DUN Galas yang bakal diadakan Oktober depan. Ia bukan sahaja tepat, malah tidak mustahil UMNO mampu merampas kerusi DUN Galas daripada PAS. Baca tulisan JEFRI ZACHARIAH di bawah :

Keputusan paling bijak. Ini rumusan yang boleh saya buat bila mendapat tahu yang anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya UMNO/BN untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas. Benar, Ku Li adalah ahli politik yang penuh warna. Ada hitam, ada putihnya sehinggakan adakalanya saya pun keliru sama ada Ku Li ini orang UMNO, SEPARUH UMNO atau BUKAN UMNO. Tetapi dalam apa keadaan sekalipun, ketokohan putera raja ini tak boleh disangkal sama sekali.

Sejarah pencapaian dan kejayaannya, sama panjang dengan sejarah penglibatannya dalam dunia politik tanah air. Dari segi usia, beliau berusia 12 tahun lebih muda berbanding Tun Dr. Mahathir Mohamad dan 10 tahun lebih tua berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun begitu, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dipanggil Ku Li adalah pemimpin UMNO yang lebih kanan berbanding Dr. Mahathir sewaktu di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Beliau terlebih dahulu dipilih sebagai naib Presiden UMNO. Saya difahamkan, sewaktu Tun Hussein Onn mengambil-alih teraju pimpinan parti dan negara setelah Tun Razak meninggal dunia secara mengejut di London pada 1976, beliau telah diminta oleh Tun Hussein Onn untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sebelum itu, Tun Hussein Onn telah bercadang melantik Tan Sri Ghazali Shafie (King Ghaz) sebagai timbalan beliau. Namun disebabkan Tan Sri Ghazali bukanlah salah seorang daripada Naib Presiden UMNO, maka 3 Naib Presiden telah meminta Tun Hussein Onn membatalkan niat itu dan meminta agar senioriti Naib-Naib Presiden UMNO dihormati.

Konsensus Tun Hussein dan 3 Naib Presiden itu kemudiannya sepakat agar Ghaffar Baba dipilih memandangkan kedudukannya sebagai Naib Presiden terkanan. Namun, pada waktu pagi sebelum pengumuman jawatan Timbalan Perdana Menteri dibuat, Ku Li sekali lagi dipanggil oleh Tun Hussein Onn.

Tun Hussein Onn mahu menukar keputusannya buat kali kedua. Ia suatu keputusan yang mengejutkan. Lebih mengejutkan apabila Tun Hussein Onn bercadang untuk mengumumkan Ku Li sebagai pengganti. Namun Ku Li dengan sifat rendah dirinya membantah cadangan itu. Beliau yang baru berusia 39 tahun mencadangkan agar pemimpin yang lebih berpengalaman dan dewasa daripadanya dipilih.

Oleh itu, beliau mencadangkan Dr. Mahathir. Pada masa itu, Dr. Mahathir masih lagi kawannya yang agak akrab. Maka, akhirnya Dr. Mahathir dipilih sebagai TPM manakala Ku Li telah dilantik sebagai Menteri Kewangan. Pada hujung pentadbiran Tun Hussein Onn, sekali lagi Ku Li dipanggil untuk suatu cadangan yang mengejutkan. Tun Hussein Onn bercadang untuk meletakkan jawatan atas alasan kesihatan dan mahu Ku Li Menggantikannya.

Sekali lagi Ku Li tidak bersetuju. Walaupun tiada peruntukkan dalam perlembagaan bahawa TPM secara outomatik menggantikan PM apabila berlaku kekosongan, namun dari sudut senioriti sebagai TPM, maka adalah wajar jika Tun Hussein Onn mempertimbangkan Dr. Mahathir sebagai penggantinya.

Tambahan pula, Ku Li merasakan bahawa masanya sebagai PM akan tiba jua memandangkan umurnya yang jauh lebih muda berbanding Dr. Mahathir. Disebabkan Ku Li bertegas untuk tidak menerima tawaran itu, maka akhirnya Tun Hussein Onn akur untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Dr. Mahathir. Itu dari segi politik. Dari segi ekonomi, tak boleh disangkal lagi yang beliaulah antara pengasas kepada PETRONAS.

Ku Li berjaya mengambil resipi PERTAMINA Indonesia hasil hubungan rapat dengan Presiden PERTAMINA,General Ibnu Sotowo yang jauh berusia daripada Ku Li. Ibnu Sotowo begitu kagum dengan kebijaksanaan Ku Li biarpun dengan usia sebegitu muda, tetapi memiliki cita-cita besar sedangkan Malaysia hanya sekadar memiliki 'setitik'hasil minyak berbanding Indonesia.

Hari ini jika dibandingkan dengan Indonesia PETRONAS cukup tersohor dalam pencairan minyak di lebih 50 negara. Ku Li juga merupakan orang Malaysia pertama menemui Perdana Menteri China iaitu Chow En Lai dan merupakan arkitek terhadap merintisnya Persahabatan Malaysia-China 1974 yang membawa kejatuhan Parti Komunis Malaya.

Semasa Ku Li memimpin Bank Bumiputera, beliau telah menjemput Wong Am Pui dan Dato Khoo Kay Peng melatih kakitangan Melayu sehingga pukul 10.00 malam agar mahir dalam pengurusan bank. Pada waktu itu adalah sukar untuk mencari anak melayu yang tahu selok-belok menguruskan sebuah bank, pastinya ia memerlukan masa.

Ternyata hari ini anak Melayu bukan sahaja mampu menguruskan bank malah sudah mampu memiliki bank seperti TanSri Azman Hashim, Tan Sri Rashid Hussin dan lain-lain. Beliau juga menjadi Menteri Kewangan paling lama iaitu dari tahun 5 Mac 1976- Julai 1984 dan setiap tahun membentangkan belanjawan negara di Parlimen melalui siaran secara langsung oleh RTM.

Ketika itu, perkembangan ekonomi negara berkembang 6-8 peratus setahun. Tapak bangunan PWTC asalnya adalah milik Ku Li, tetapi demi untuk melihat bangunan UMNO tersegam indah dan gagah ditengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur, Ku Li sanggup serahkan pada UMNO.

Nah, atas segala jasa dan pencapaian ini, saya tak nampak kenapa Ku Li patut diketepikan dalam perjuangan untuk meneruskan survival UMNO di Kelantan, tanah tempat tumpah darahnya. Nyata keputusan yang diambil UMNO semalam memang tepat dan kena pada masanya. Hanya Ku Li yang boleh mengajar Pas cara berpolitik dan berjuang dengan betul. Hanya Ku Li yang boleh mengajar Pas bahawa berpolitik secara menghentam dan memfitnah tidak akan membawa Galas kemana-mana!

Comments

Anonymous said…
Tahniah TPM dan Umno kerana melantik KU LI, satu tindakan yg bijak setelah sekian lama saya melihat Umno Kelantan dalam kepincangan barulah nampak sinarnya.
Anonymous said…
Isu tuntutan wang royalti petroleum (sudah saman)akan bergema semula dengan lagi nyaring. Kelantan 95% melayu dan banyak potensi, apasal duk bagi dalih hujah undang-undang yg manusia sendiri buat, bukannya hukum Maha Pencipta.

DR NO
AMIR RAOF said…
pelik kenapa pemimpin yang cerdik seperti ku li tidak diangkat sebagai pemimpin. Kalau boleh biarlah dia meng dan buktikan kemampuannya
Anonymous said…
killing many birds with just one stone......smart decision PM/TPM

Pilihan Pembaca

Penulis dua dari kanan bersama dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Pada 10 September yang lalu, Sidang Editor Bahagian Majalah berkesempatan berbuka puasa bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Sime Darby Convention Center. Terima kasih atas Jemputan tersebut. Jazakumullahu Khairan Kasiran. * Dari kiri Ros, Suria Janib (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), A. Zaidel (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), Datuk Seri Khaled Nordin, Muhammad Azli Shukri (Editor Dewan Ekonomi) , dan Armin Azhari (Editor Pelita Bahasa ).
Nasihat Pemimpin Patuhi Etika Islam Oleh Muhammad Azli Shukri (Artikel saya ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 18/09/2003) Dalam Islam, pemimpin atau pemerintah yang telah dilantik haruslah diikuti perintahnya, selagi perintah tersebut tidak bercanggah dengan suruhan wahyu dan perintah Rasul, seperti mana firman Allah di dalam surah an-Nisa ayat 59, "Wahai orang-orang yang beriman! patuhilah olehmu perintah Allah dan patuhilah olehmu perintah Rasul dan ulil amri di antara kamu." Oleh kerana para pemimpin atau pemerintah merupakan manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat, maka mereka juga wajib diberi nasihat oleh rakyat yang sedang di pimpinnya, bersesuaian dengan roh Islam itu sendiri yang berteraskan kepada amar makruf nahi mungkar, sebagaimana firman Allah, "Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.'' (
MONOLOG AZLI SHUKRI Bab 10 : Muhammad Azli Shukri Lagi! Saya agak sukar untuk menulis Monolog ke-10 saya pada kali ini. Saya merasakan inilah monolog yang sangat susah untuk saya meluahkannya. Saya tidak tahu, bagaimanakah harus saya sampaikan monolog saya pada kali ini? Apakah saya harus menulis atas prinsip saya sebagai seorang wartawan? Atau sebagai seorang ahli politik? Atau sebagai seorang penulis bebas? Atau sebagai seorang editor? Semua ini menyukarkan saya untuk menulis monolog saya yang terakhir pada bulan ini. Saya merasakan bahawa saya harus berterus terang dengan jujur dan amanah, tanpa rasa takut dan kesal, kerana kebenaran dan jihad harus ditegakkan dengan segala kekuatan yang ada. Yang pasti, kebenaran tidak boleh disembunyikan lagi. Dan Sesungguh, untuk menjadikan kejahatan bermaharajalela, cukuplah sekadar kebenaran mendiamkan diri! Saya tidak berupaya membiarkan itu semua berlaku. Dan untuk kali ini saya harus bercakap benar dengan nada yang berterus terang. A