Tetamu Kehormat...

September 22, 2010

Demi Kebaikan PKR : Zaid Ibrahim Mesti Dimenangkan!


Zaid Ibrahim
Untuk Timbalan Presiden


1. Blog ini telah membuat ketetapan untuk memberi sokongan moral kepada Zaid Ibrahim dalam usaha menewaskan Azmin Ali, sekali gus mengembalikan kuasa Presiden Parti - Wan Azizah. Pada hemat saya antara dua perkara yang sudah pun dikira kotor - maka wajib kita memilih yang kurang kotornya - antara Azmin Ali dengan Zaid Ibrahim - Zaid lebih kelihatan jujur dan ikhlas serta tidak bersikap hipokrit dan talam dua muka.

2. PKR memerlukan pemimpin yang berterus-terang dan bukan boneka. PKR juga memerlukan pemimpin yang berprinsip dan bukan sebagai kuda tunggangan. Justeru itu - saya melihat Zaid tetap pilihan terbaik untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden PKR dan bukan Azmin. Oleh itu, saya menyeru kepada semua perwakilan dan ahli PKR, jika inginkan seorang yang agak bersih sedikit daripada Azmin, maka pilihlah Zaid - beliau yang terbaik untuk PKR buat masa ini. Walauapa pun caranya, Zaid Ibrahim mesti dimenangkan - kita tiada pilihan lain. Cuba baca laporan Malaysia Instinc di bawah :

3. Sebelum ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sentiasa menampakkan parti itu yang paling sempurna walaupun pelbagai pihak tertanya-tanya beberapa perkara yang dianggap agak janggal dalam perjalanan parti itu. Ramai bertanya apa pandangan pemimpin dan ahli PKR, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi ketua umum lebih berkuasa daripada Presiden yang disandang oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

4. Orang bertanya apakah perasaan Wan Azizah apabila Anwar dilihat menguasai segala pengurusan parti, sedangkan Wan Azizah hanya muncul sekali-sekala sahaja? Orang juga bertanya. betulkah hubungan antara Wan Azizah dan Azmin Ali tidak ada masalah? Benarkah mereka mampu berganding bahu dalam satu pasukan, istilah mudah Wan Azizah menjadi Presiden dan Azmin Ali menjadi Timbalan Presiden?

5. Masyarakat juga bertanya, benarkah Anwar yang dilihat begitu menyayangi dan mengutamakan Azmin dalam segala hal akan bersikap berkecuali dalam pemilihan parti itu yang akan berlangsung November nanti? Bagaimana pula sokongan Anwar kepada Datuk Zaid Ibrahim yang sebelum ini dianggap bagaikan wira apabila dipilih bertanding mewakili PKR di Parlimen Hulu Selangor dan kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan?

6. Kini, semua persoalan itu sudah terjawab. Mesyuarat peringkat cabang (bahagian) yang sudah berlangsung sejak beberapa minggu lalu telah mendedahkan wajah sebenar dalam PKR. Kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin parti itu termasuklah pendedahan bagaimana pemilihan di peringkat cabang sudah membuktikan bahawa PKR hakikatnya adalah sebuah parti yang dilumuri dengan seribu satu masalah dan seribu satu helah politik yang lebih buruk daripada apa yang dijangkakan.

7. Semua itu terdedah selepas berlakunya pemilihan kerusi Timbalan Presiden apabila Azmin yang dikatakan menjadi harapan utama Anwar tidak diberikan laluan mudah oleh musuh-musuh politiknya di dalam PKR. Paling ketara beliau kini berhadapan dengan saingan sengit daripada Zaid yang dikatakan mendapat sokongan Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah. Kedua-dua mereka dikatakan tidak menyenangi Azmin.

8. Walaupun Nurul Izzah dikatakan cuba menyembunyikan sokongan tersebut, namun beberapa kenyataannya dikatakan menjurus ke arah menolak Azmin menjadi timbalan kepada ibunya. Keadaan itu sudah menjawab persoalan mengenai situasi sebenar hubungan antara Wan Azizah, Nurul Izzah dan Azmin yang sememangnya digambarkan oleh pelbagai pihak 'senyum di depan, bermasam muka di belakang.' Walaupun cabang Permatang Pauh yang diketuai oleh Wan Azizah mencalonkan Azmin sebagai Timbalan Presiden tetapi semua pemimpin dan ahli PKR di cabang itu memahami siapa lebih berkuasa di situ, yang pastinya pemimpin berkenaan bukan Wan Azizah!

9. Selain itu, pemilihan kali ini juga menurut satu sumber parti itu dijadikan medan oleh sesetengah pemimpin dan ahli parti untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada Anwar bahawa beliau selama-lamanya tidak boleh menjadikan Wan Azizah sebagai boneka dalam pengurusan PKR. Mereka tidak mahu, Anwar yang digambarkan oleh Zaid sebagai ahli biasa tetapi mempunyai kuasa mengatasi Wan Azizah sebagai Presiden. Sebab itulah, Zaid berazam untuk menghapuskan 'sketsa' ini.

10. Zaid mahu meletakkan kembali Wan Azizah sebagai Presiden yang sebenar dan mempunyai kuasa sepenuhnya mengawal parti. Jika Anwar berhasrat untuk melaksanakan tanggungjawab itu maka beliau perlu bertanding merebut jawatan tersebut. Berlandaskan alasan itulah, beberapa cabang yang bermesyuarat baru-baru ini seolah-olah 'ingkar' arahan Anwar supaya tidak mencalonkan beliau bertanding apa-apa jawatan, apabila mencalonkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk jawatan Presiden. Setakat ini, Anwar sudah layak merebut jawatan berkenaan menentang Wan Azizah.

11. Walaupun cabang-cabang yang membuat pencalonan itu tahu bahawa Anwar akan menarik diri atau tidak akan bertanding tetapi mereka ingin menyampaikan mesej yang jelas kepada Anwar bahawa jangan duduk di luar gelanggang tetapi begitu berkuasa mahu mencampuri urusan politik di dalam PKR sehingga Wan Azizah dilihat seperti boneka sahaja. Turut terdedah bagaimana buruknya politiking di dalam PKR apabila hampir sebahagian besar cabang yang bermesyuarat setakat ini dicemari dengan elemen-elemen yang membuktikan bahawa PKR tidaklah sebaik mana.

12. Pendedahan awal oleh Zaid yang menyatakan beliau diserang habis-habisan kerana hendak bertanding jawatan Timbalan Presiden diikuti pula pendedahan beberapa pemimpin lain sudah menunjukkan bahawa permainan politik dalam PKR adalah jauh lebih buruk berbanding parti-parti lain yang selama ini mereka cerca. Sebut sahaja apa juga istilah tangan ghaib atau kuasa ghaib, semua itu berlaku dalam pemilihan di peringkat cabang. Dakwaan ini bukannya dibuat oleh UMNO atau mana-mana parti komponen BN tetapi oleh pemimpin PKR sendiri.

13. Di Permatang Pauh, tersebar berita bagaimana 'tangan ghaib' membuat panggilan mengarahkan calon tertentu menarik diri bagi memberi laluan kepada calon impian Anwar mencapai kemenangan. Perkara ini dilaporkan di dalam media dan blog. Situasi yang sama juga berlaku di beberapa cabang lain. Anwar didakwa terlibat secara langsung dalam memastikan pemimpin-pemimpin pilihannya menang dan mahukan Azmin diberikan pencalonan bagi bertanding kerusi Timbalan Presiden. Maklumlah sebagai orang yang dilantik sebagai pengurus kempen, sudah tentu Anwar mahu Azmin menang.

14. Pendedahan paling menarik dilakukan oleh bekas Setiausaha Agung PKR, P.S Jenapala apabila beliau menyatakan bagaimana pencalonannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden yang dibuat oleh Batu Gajah dan Bruas di Perak telah diarah menarik balik pencalonan kerana beliau dikatakan bukan calon pilihan pihak tertentu.

15. Berikutan kepincangan demi kepincangan yang berlaku, Jenapala memberikan jaminan untuk mengadakan sidang media setiap minggu bagi mendedahkan penipuan yang dilakukan pihak tertentu yang mahu merebut jawatan tertinggi parti itu. Apa yang dramatiknya, beliau mencabar Anwar dan Azmin supaya mengesahkan atau menafikan secara terbuka penglibatan mereka dalam penipuan yang berlaku sepanjang pemilihan berlangsung.

16. Percayalah, cabaran Jenapala pasti tidak akan dijawab oleh kedua-dua pemimpin berkenaan, sebaliknya satu demi satu tohmahan mungkin akan dikeluarkan bagi memburuk-burukkan beliau. Nasib seumpama ini sudah dialami oleh beberapa wakil rakyat PKR yang membuat keputusan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

17. Mereka dikecam dan dituduh dengan pelbagai dakwaan termasuk dibayar sejumlah wang untuk meninggalkan PKR tetapi sampai sekarang parti berkenaan terutamanya Anwar belum mengemukakan bukti dakwaan tersebut. Apa pun demikianlah serba sedikit gambaran terhadap kekalutan yang berlaku dalam PKR sekarang semata-mata bagi merebut jawatan di dalam parti. Menurut beberapa pemimpin parti berkenaan, mereka percaya situasi akan bertambah buruk menjelang November nanti.

18. "Selepas ini, kita mungkin akan saksikan SMS dan surat layang pula. Saya juga percaya serangan peribadi ke atas calon-calon akan dipertingkatkan. Nak buat macam mana... inilah politik merebut kuasa,'' kata seorang pemimpin kanan PKR yang ternyata kecewa dengan apa yang berlaku.

2 comments:

berita lembah pantai said...

Pandai ko. Kasi up sikit zaid.

Kalau Zaid menang, ramai Melayu berpaling ke alternatif lain, mungkin ada yang mengundi balik UMNO jika lawan PKR.

Kalau Azmin menang pulak, banyak Cina India dan Melayu liberal yang kecewa.

Layan!

Ni baca beria tempat kami pulak, pasai kes gaduh berebut jawatan juga, kali ni cerita anak Nuar pulak.

Mungkinkah ini sebab Nurul Izzah nak mandikan Md Zaman di Lembah Pantai?

Muhammad Azli Shukri said...

bijak...