Tetamu Kehormat...

September 23, 2010

Cadangan Nurul Izzah Untuk Sekat Azmin Ali?


Cadangan Nurul Izzah
Untuk Sekat Azmin Ali?


Sebenarnya cadangan Nurul Izzah di bawah ini agak baik - tetapi tidaklah terlalu matang. Saya syorkan kepada Nurul Izzah agar semua calon Islam yang ingin bertanding merebut jawatan-jawatan utama parti hendaklah terlebih dahulu menjunjung al-Quran dan bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya mereka benar-benar tidak terlibat dengan politik wang atau membeli undi. Kalau sekadar menandatangi deklarasi kempen adil dan bebas, rasanya semua orang boleh lakukan, ia tidak mempunyai apa-apa impak dan hukuman.

Jika benar Nurul Izzah menginginkan ketelusan dalam pertandingan PKR November ini, maka eloklah dicadangkan agar calon-calon Islam yang bertanding, khususnya Azmin Ali bersumpah dengan nama Allah agar mana-mana calon yang "main kotor" akan segera dihukum Allah. Secara peribadi, saya melihat cadangan Nurul Izzah ini lebih ditujukan kepada Azmin Ali - yang kelihatan bersungguh-sungguh menggunakan apa-apa juga cara bagi memastikan beliau menang sebagai Timbalan Presiden PKR. Jika benar andaian ini, maka jelaslah sudah wujud perpecahan dalam PKR melalui Team Nurul Izzah dengan Team Azmin Ali. Adalah mustahil cadangan seperti ini terkeluar daripada mulut Nurul Izzah, sekiranya semua calon yang ingin bertanding November ini bersih-sebersihnya, melainkan Nurul Izzah sendiri sudah mengetahui akan wujudnya budaya politik wang dan politik suku-sakat dalam PKR yang semakin busuk-membusukkan. Baca laporan Free Malaysia Today di bawah :

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, yang menyatakan hasratnya untuk bertanding Naib Presiden PKR, menyarankan supaya semua calon menandatangani secara terbuka "deklarasi kempen adil dan bebas" minggu depan.

"Langkah ini bagi menyuburkan amalan sistem demokrasi di negara ini dan pada pemilihan pemimpin hujung tahun ini," kata beliau pada sidang media di pejabat khidmatnya di sini hari ini. Ketika ditanya mengenai persaingannya dengan calon yang lain, beliau berkata, saya percaya kepada pemilihan ahli dan akan memberitahu mereka mengenai visi saya terhadap parti dan supaya mereka akhirnya bersetuju dengan dasar parti.

Nurul Izzah berkata, walaupun beliau dikenali sebagai anak Datuk Seri Anwar Ibrahim namun ia tidak memberi kelebihan bagi mencapai kemenangan. "Kadangkala berada dalam keluarga reformasi menjadi halangan kepada ahli untuk mengundi," jelas beliau yang juga Timbalan Ketua PKR Wilayah Persekutuan. Tegas beliau, "saya anak Datuk Seri Anwar dan saya anak perempuan yang menyaksikan 12 tahun perjuangan reformasi. Dengan semangat reformasi saya tidak akan toleh ke belakang lagi.

"Walaupun wujud legasi dalam parti namun saya bertanding atas nama peribadi saya sendiri. Ahli-ahli hendaklah mengundi berdasarkan kesetiaan terhadap parti dan bukannya personaliti. Daripada 15 calon yang layak bertanding, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan N Gobalakrishnan (Padang Serai) mengesahkan untuk bertanding bagi merebut empat kerusi naib presiden. Manakala tiga kerusi yang lain diisi secara selektif seperti termaktub dalam perlembagaan parti.