Tetamu Kehormat...

August 9, 2010

Menjawab Kenyataan Hadi Awang


Menjawab
Kenyataan Hadi Awang



KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyedari bahawa parti itu tidak boleh memerintah Malaysia dengan undi hanya daripada satu kaum, sebaliknya perlu mengambil kira sokongan masyarakat majmuk. Malah Hadi memuji sikap terbuka DAP dan jelas yang ditunjukkan selepas pilihan raya umum 2008 dan ketika memeterai Dasar Bersama Pakatan Rakyat hujung tahun lalu. Oleh itu Hadi berkata, kedudukan masyarakat majmuk dalam negara ini perlu diberi perhatian serius dan Islam ada penyelesaiannya sendiri.

“Malah PAS mengambil pendekatan tahaluf siasi iaitu dengan PAS mengambil titik persamaan yang halal dikatakan halal dan yang haram tetap ditegaskan haram. Ini PAS tidak berganjak.

“Dalam perkara ini, Umno tidak mempeduli soal halal dan haram, dalam kerjasama dia dalam BN.

“Umno tidak ada batasan sebab dia tidak ada fiqah politik dalam muamalah dia dengan orang bukan Islam,” kata beliau dalam temu bual bersama Harakah, yang disiarkan dalam edisi terbaru. Sambil berkata PAS menunjukkan sikap yang ikhlas, Hadi menambah, “kita tegas dengan orang bukan Islam, hasil daripada ini kita dapat lihat impak yang lebih baik setelah memerintah Kelantan sejak 1990 dan Terengganu pada 1999.”

Hadi mengetuai PAS sejak 2002 berkata, partinya telah berjaya melakukan anjakan paradigma dalam masyarakat bukan Islam di Malaysia.

“Berduyun-duyun orang datang untuk menjadi ahli PAS.

“Perubahan sudah berlaku dan kefahaman fiqah politik sekali gus berlaku menunjukkan kemajuan dalam PAS,” kata Ahli Parlimen Marang dan bekas menteri besar Terengganu ini. Hadi menjelaskan, melalui fiqah politik inilah, PAS mengambil pendekatan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS iaitu menerima keahlian orang bukan Islam bersama dengan parti itu.

“Yang kedua mengadakan persefahaman dengan parti lain tanpa kita memaksa mereka meninggalkan ideologi mereka, dan mereka tidak boleh meminta untuk bertolak ansur dengan ideologi kita (PAS). Kita ada sikap kita sendiri,” katanya. PAS menjalin kerjasama dengan DAP dan PKR pada pilihan raya umum 2008, sekali gus mencatatkan kemenangan bersejarah menguasai lima negeri dan memenangi 82 kerusi Parlimen. Prestasi itu membawa kepada pembentukan Pakatan Rakyat pada April 2008. Menjawab soalan dakwaan Umno bahawa PAS menjadi boneka DAP, Hadi memuji sikap terbuka DAP dalam menjalin kerjasama dengan pihaknya menerusi Pakatan Rakyat.

Hadi merujuk sikap tolak ansur DAP bagi membolehkan PAS merajui kerajaan negeri Kelantan, Kedah dan Perak selepas pilihan raya umum ke-12, dan resolusi menerima Islam sebagai agama rasmi pada konvensyen sulung Pakatan Rakyat Disember lalu.

“DAP ikut serta dalam konvensyen ini. Saya rasa ini satu sikap yang sangat terbuka dan jelas.

“Malah terbukti lagi semasa pilihan raya (kecil) Bukit Gantang... PAS menang.

“Kita tunjukkan bukti pilihan raya di Sibu pula selepas itu,” katanya. Hadi menambah, sekiranya Umno-BN menuduh PAS diperalat oleh DAP, maknanya parti Islam itu bekerja untuk DAP di Sibu.

“Saya juga boleh katakan Umno-BN juga diperalat oleh parti komponen mereka.

“Siapa yang bertanding di Sibu? Bukan Umno yang bertanding? Bukan PBB yang bertanding? Adakah Umno-BN diperalatkan,” katanya. Oleh itu jelas beliau, ini bukan masalah alat dan diperalat tetapi PAS mesti menunjukkan kesetiaan dalam bekerjasama.


Ulasan Saya

1. Sehingga hari ini saya masih keliru dan ragu - apakah sebenarnya objektif PAS bergabung dengan DAP? Tiada satu pun jawapan yang konkrit berhubung hal ini. Hadi mendakwa sejak PAS menjalinkan kerjasama dengan DAP, parti tersebut telah melakukan anjakan paradigma dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Malaysia. Saya tidak tahu anjakan paradigma dari segi apa?


2. Hadi Awang turut menjelaskan, sejak hubungan PAS dengan DAP terjalin, berduyun-duyun orang menyertai PAS. Soalnya, kita bukan nak lihat orang bukan Islam menyertai PAS atau menyokong PAS, yang kita mahu, orang bukan Islam, khususnya ahli DAP mengucap syahadah dan beriman kepada Allah - jika hal ini tidak mampu dilakukan oleh PAS, bermakna PAS gagal menjalankan kerja-kerja dakwah kepada DAP, di samping gagal menunjukkan betapa Islam itu sememangnya indah untuk dihayati! Tiada maknanya jika PAS memiliki beratus-ratus ulama seperti Nik Aziz, tetapi, masih gagal mengIslamkan hatta seorang ahli DAP! Kita akui hidayah berada di tangan Allah - namun demikian, itu bukanlah alasan untuk tidak meletakkan sasaran bagi mengIslamkan sebanyak mungkin ahli-ahli DAP.


3. Saya pelik dan hairan, mengapa agenda mengIslamkan ahli-ahli DAP tidak termasuk dalam menu perjuangan Islam PAS. Hal ini sangat berbeza dengan Allahyarham Ashaari Muhammad bekas ketua al-Arqam yang sangat menumpukan perhatian kepada mengIslamkan masyarakat kafir di Malaysia. Bahkan - inilah juga agenda perjuangan para nabi dan rasul yang telah diutuskan oleh Allah ke muka bumi. Kita bukan menginginkan undi orang kafir semata-mata, tetapi lebih jauh daripada itu, kita mahu mereka masuk Islam! Jika PAS tidak mampu melakukan hal ini - maknanya tiadalah perbezaanya antara PAS dengan UMNO. Kita bukan nak lihat orang kafir berduyun-duyun masuk PAS, yang kita nak lihat mereka berduyun-duyun masuk Islam! Itu yang penting. Dan kita bukan mahukan slogan PAS for All, sebaliknya kita inginkan Islam for All.


4. Hadi memuji sikap terbuka DAP dalam kerjasamanya dengan PAS - persoalannya "terbuka"kah DAP dengan dasar dan prinsip Islam yang terkandung di dalam al-Quran? Terbukakah DAP dengan pembentukan negara Islam? Terbukakah DAP dengan hukum Hudud? Jika DAP menentang semua itu - apakah maknanya "keterbukaan" DAP yang telah dipuji oleh Hadi Awang itu?


5. Percayalah tuan-tuan, perjuangan PAS telah tersasar jauh daripada kebenaran - PAS semakin jauh daripada akhlak Islam, dan semakin jauh daripada agenda perjuangan Islam yang sebenar. PAS tinggalkan gerakan dakwah - sebaliknya lebih banyak mengejar kuasa. Rupa-rupanya agenda untuk mengIslamkan seramai mungkin orang-orang kafir di Malaysia, tiada di dalam kamus perjuangan PAS selama ini. Maka - berduyun-duyunlah orang kafir menyokong PAS, tetapi bukan berduyun-duyun masuk Islam. Rugilah kita - kerana demokrasi menjadikan kita buta dan hilang hakikat perjuangan yang sebenar.


6. Kenyataan Hadi Awang yang menyatakan, “Malah PAS mengambil pendekatan tahaluf siasi iaitu dengan PAS mengambil titik persamaan yang halal dikatakan halal dan yang haram tetap ditegaskan haram. Ini PAS tidak berganjak. Dalam perkara ini, Umno tidak mempeduli soal halal dan haram, dalam kerjasama dia dalam BN." Saya sangat-sangat kecewa dengan kenyataan tersebut. Bila pula kerajaan BN/UMNO menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal? Tidak pernah pemimpin BN/UMNO menghalalkan rasuah, zina, penyalahgunaan kuasa, arak, dan judi. Semuanya jelas haram di sisi Islam. Kita bersepakat dalam hal ini, sebagaimana PAS bersepakat dengan DAP dalam isu arak. Jika benar PAS dan DAP bersepakat dalam isu arak, sudah lama kedai arak tidak wujud di bumi Selangor, selepas Pakatan Rakyat mengambil-alih kerajaan Selangor.


7. Sekarang bertanyalah kepada diri tuan-tuan sekalian, mengapa kita mengundi PAS di Kelantan, Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang? Jawapannya mudah, kita nak PAS hapuskan arak - jika tidak, maka PAS sama sahaja dengan UMNO!, kita nak PAS hapuskan judi - jika tidak PAS sama sahaja dengan UMNO, kita nak PAS hapuskan kes penzinaan yang semakin meningkat di Kelantan - jika tidak PAS sama sahaja dengan UMNO. Jangan berdalih dengan masa! Sudah 20 tahun PAS perintah Kelantan, sepatutnya jika diukur dengan "kepetahan" Nik Aziz bercakap tentang Islam - sepatutnya, kes zina dan gejala sosial di Kelantan sudah mencapai tahap zero. Malangnya, PAS lebih selesa berceramah di masjid-masjid daripada turun berdakwah di Shopping Complex mendekati generasi muda dengan ilmu dan senyuman - seperti mana dakwah yang dilakukan oleh Hassan al-Banna dan Ashaari Muhammad. Maka, sebab itulah sehingga sekarang, masalah sosial tetap meningkat di Kelantan - walaupun nama negeri tersebut digambarkan sebagai serambi Mekah. Kita sebagai rakyat, kena berfikir dan bukan menyokong membabi-buta. Wallahualam.

2 comments:

amyvirago said...

SAYA SETUJU BENAR DGN PENDAPAT SAUDARA

Muhammad Azli Shukri said...

sama-sama amyvirago