Tetamu Kehormat...

August 23, 2010

Mengapa Kita Menentang PAS?

Menjawab Permasalahan
Ketua Pemuda PAS



1. Saya sebenarnya ingin sahaja menjawab tulisan Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin at-Tantawi (di sini). Tetapi, saya rasa ia membuag masa sahaja. Cuma, saya ingin jelaskan sedikit sahaja. Salah satu sebab mengapa DAP kurang ajar terhadap Islam dan hukum hakamnya adalah berpunca daripada sikap PAS sendiri yang telah lama meninggalkan kerja-kerja dakwah. Inilah puncanya mengapa UMNO terpaksa menentang PAS.


2. Izinkan saya menjelaskan mengapa UMNO terpaksa menentang PAS. Kita menentang PAS bukan namanya PAS, kita juga menetang PAS bukan kerana niat murninya untuk menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia tercinta ini – tetapi kita menentang PAS kerana PAS tidak mengikut perjuangan yang mereka laung-laungkan selama ini. PAS mendakwa mereka berjuang bersandarkan al-Quran dan al-Hadis, tetapi mereka tidak mengikut sepenuhnya al-Quran dan al-Hadis. Inilah yang kita tentang. Jangan sesekali menggunakan nama Islam untuk parti, sekiranya kita tidak yakin dan upaya memastikan setiap daripada ahli parti kita mengikut al-Quran dan as-Sunnah.


3. Jangan kita melaung-laungkan kenyataan “Kita junjung al-Quran dan kita ikut as-Sunnah” tetapi pada masa yang sama, amalan ahli-ahli parti kita terlalu jauh daripada mengikut kehendak al-Quran dan as-Sunnah. Jangan sesekali kita mendakwa, kita ialah pejuang Islam, tetapi kehidupan harian kita dan ahli parti, masih mengamalan tatacara hidup jahiliah – mengumpat, mencerca, mengaib, menghina dan mengutuk saudara seIslam merupakan perbuatan jahiliah. Sebab inilah kita terpaksa menentang PAS. PAS meninggalkan urusan dakwah dan mendidik masyarakat – hatta ahli-ahli parti mereka sendiri masih belum mampu dididik dengan baik.


4. Hal ini sangat jauh berbeza dengan perjuangan Nabi Muhammad, selama 13 tahun di Mekkah, para pengikut baginda dididik terlebih dahulu dengan aqidah yang benar dan akhlak yang luhur, dan apabila perintah berhijrah ke Madinah serta seruan jihad diwajibkan ke atas mereka, maka para sahabat dan pengikut Rasulullah terjun ke lapangan jihad bersama-sama dengan akhlak yang luhur - sama ada berjihad di medan perang mahu pun berjihad di medan politik.


5. Inilah yang membezakan antara perjuangan PAS dengan perjuangan Islam. Sedangkan, para perjuang dan penyokong PAS terjun ke medan jihad tanpa terlebih dahulu membersihkan kekotoran jiwa dan hati mereka. Maka tidak hairanlah umpat keji dan caci maki sudah menjadi rutin ucapan dan tulisan mereka dalam beramar ma’ruh dan nahi mungkar. Walaupun mereka tahu, umpat keji, caci maki, berburuk sangka adalah perbuatan haram, namun begitu hati dan jiwa mereka sama sekali tidak merasai besarnya dosa perbuatan tersebut, lantaran mereka tidak pernah didik terlebih dahulu di Madrasah PAS dengan akhlak Islam yang sebenar, sebelum diizinkan terjun ke medan jihad.


6. PAS bukanlah sebuah madrasah akhlak yang boleh mendidik masyarakat agar menghayati Islam dengan lebih syumul, kerana terbukti ahli dan para penyokong PAS sendiri masih jauh daripada akhlak Islam yang sejati. Malah, perjuangan PAS sendiri tersasar jauh daripada perjuangan Ikhwanul Muslimin yang selama ini menjadi penanda aras dan gerakan idola parti tersebut. Hassan al-Banna sama sekali tidak menjadikan Ikhwanul Muslimin sebagai parti politik semata-mata, bahkan beliau memastikan Ikhwanul Muslimin sebagai sebuah madrasah yang mendidik ahli-ahlinya agar beradab, berakhlak dan berbudi pekerti mulia, selaras dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Lantaran itu, kita sering mendengar istilah “usrah” yang diamalkan dalam gerakan Ikhwanul Muslimin – sebagai satu agenda penting memantapkan akhlak dan sahsiah ahli-ahlinya, tetapi bagaimana pula dengan PAS?


7. Suka saya katakan, contoh terbaik dalam hal ini ialah al-Arqam. Walaupun ajaran mereka telah disepakati sebagai menyimpang daripada aqidah ahlu sunnah wal jamaah, namun demikian, usaha Ashaari Muhammad menjadikan al-Arqam sebagai madrasah al-akhlak patut dipuji dan diteladani. Sehingga detik-detik terakhir Ashaari ditangkap, tidak pernah kedengaran para pengikutnya mengamuk, memberontak atau pun berdemonstrasi di jalan-jalan raya bagi menjatuhkan kerajaan Islam UMNO atau mempertahankan Syeikhul Arqam mereka sehingga ke titisan darah terakhir.


8. Malah, lebih jauh daripada itu, madrasah al-Arqam berjaya mendidik ahli-ahlinya menghindari budaya megumpat, mencerca dan mengkafir para pemimpin kerajaan yang tidak sehaluan dengan mereka. Al-Arqam juga membangunkan ekonomi mereka sendiri, perniagaan sendiri dan pendidikan sendiri. Ahli-ahli al-Arqam tidak merokok, sanggup berdakwah ke pedalaman Sabah dan Sarawak, sanggup turun ke tempat-tempat maksiat untuk mendidik masyarakat (seperti Hassan al-Banna), malah dengan bilangan ustaz dalam al-Arqam yang boleh dihitung dengan jari, Ashaari Muhammad berjaya mengIslamkan berpuluh-puluh orang kafir di dalam mahu pun di luar negara, hanya kerana mereka tertarik dengan akhlak ahli-ahli al-Arqam.


9. Dari segi ini, saya yakin Ashaari lebih berjaya daripada sebahagian besar ulama-ulama PAS. Sepanjang pengharaman al-Arqam, ahli-ahlinya bersabar, berdoa dan tidak memberontak. Mereka diarah agar taat dan patuh dengan arahan kerajaan, kerana Ashaari tahu, memberontak dan berdemonstrasi hanya akan mengundang bencana dan musibah yang lebih besar.


10. Inilah akhlak Islam yang sebenar, yang menuruti tatacara Rasulullah. Selama 13 tahun para sahabat Rasulullah diseksa, dikhianati, disisih, diperangi, dibunuh dan dipulau, baginda tidak pernah menyeru agar mengangkat senjata dan menentang penduduk kafir Quraish – hal ini bukanlah semata-mata kerana penganut Islam terlalu lemah dan berjumlah sedikit di kota Mekkah, bahkan sekiranya Allah berkehendak, mudah sahaja Islam mengalahkan puak musyrikin di kota tersebut. Tetapi falsafah di sebalik peristiwa itu adalah jauh lebih besar daripada apa-apa yang tertera di dalam buku-buku sejarah.


11. Selama 13 tahun, para sahabat dan pengikut baginda Rasulullah diajar dan dididik dengan akhlak kesabaran, agar mereka menghayati bertapa luasnya wilayah kesabaran itu, sekiranya mereka benar-benar mahu mencari keredhaan Allah. Tidak cukup dengan itu, madrasah Mekkah benar-benar mengasuh para sahabat Rasulullah menjadi insan yang mulia – tatkala Islam sudah mencapai kekuatan yang utuh, dan mereka kembali semua ke kota Mekkah – Di sana, Rasulullah dan para sahabatnya, sekali lagi menunjukkan akhlak Islam yang sebenar dengan bersikap lembut dan memaafkan para penduduk Mekkah yang selama ini menzalimi dan menganiayai mereka. Tetapi malang, marhalah perjuangan dan akhlak para pengikut Rasulullah ini tidak ditiru dan diteladani oleh PAS – bahkan kita lebih selesa memberontak, berdemonstrasi dan mencaci pemimpin Islam, semata-mata kerana harga minyak naik 5 sen dan seorang warga negara Malaysia dijatuhkan hukuman penjara kerana didapati bersalah melakukan seks luar tabii.


12. Tidak cukup dengan itu, mereka bersekongkol pula dengan parti kafir yang jelas membenci Islam untuk menjatuhkan orang Islam sendiri, semata-mata kerana mereka baru sahaja dibebaskan daripada tahanan ISA selama 2 tahun. Nah! sungguh jauh kita daripada wilayah kesabaran yang dialami dan diamalkan oleh para sahabat Rasulullah di kota Mekkah. Di negara ini, harga barang baru naik 10 sen kita sudah mengamuk dan mengutuk kerajaan. Kemudian mereka anjur demonstrasi jalanan, apabila kerajaan halang, mereka tuduh kerajaan zalim dan kejam. Inilah budaya samseng ala-gengster yang kononnya berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.


13. PAS bukanlah sebuah madrasah yang mendidik masyarakat dan ahlinya untuk bersabar dan berkasih sayang seperti gerakan Ikhwanul Muslimin dan al-Arqam. PAS tidak mempunyai agenda, aturan, kaedah, mahu pun sistem terancang bagi tujuan mendidik, atau sekurang-kurangnya mendidik ahli parti mereka sendiri dalam memahami fiqh al-dakwah, fiqh al-jihad, fiqh al-akhlak, dan wilayah kesabaran dalam perjuangan. Hal ini sangat berbeza dengan gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin, pimpinan Hassan al-Banna mahupun seperti Jama’at Islami pimpinan Sayyid Abu al-A’la al-Mawdudi.


14. Sejauh ini, kita telah melihat, inilah jalan yang ditempuh hampir semua gerakan Islam di dunia bagi merealisasikan tajdid Islami dalam masyarakat, dengan kata lain sesebuah gerakan Islam atau parti politik Islam, sama sekali tidak dapat lari dan dipisahkan daripada agenda mendidik dan menunjukkan akhlak yang mulia – bahkan jika ditanya kepada ahli-ahli PAS sendiri, apakah mereka benar-benar faham dengan hukum Hudud dan negara Islam itu? Saya percaya dan menyakini ramai ahli PAS yang tidak upaya untuk menjawabnya. Maka, jelaslah, mereka tidak menjalani dan menempuhi jalan tarbiyyah serta asuhan yang jitu apabila selesai berdaftar sebagai ahli PAS. Lantaran itu, kita pasti akan bertanya apakah peranan dan agenda PAS dalam mendidik ahli-ahlinya bagi menghayati dan mengamalkan ajaran Islam? Hal ini dibangkitkan ekoran daripada budaya dan cara amalan sebahagian besar ahli dan penyokong PAS, tidak mencerminkan akhlak Islam yang sebenarnya.



15. Budaya buruk sangka, mencaci sesama saudara seIslam, membuka aib orang Islam lain dan menghina para ulama yang menyokong kerajaan, bukanlah budaya dan akhlak Islam. Justeru itu, Perjuangan PAS hanyalah kelihatan untuk meraih undi dan bukan untuk mentarbiyyah masyarakat agar terpesona serta tertarik dengan keindahan Islam. Dan sesungguhnya, keindahan Islam itu hanya akan tercapai melalui ketinggian akhlak dan kekuatan sabar. Ramai yang memeluk Islam pada zaman Rasulullah, adalah disebabkan tertarik dengan keindahan Islam yang terpancar melalui akhlak dan budi pekerti baginda.


16. Hal yang sama juga terjadi semasa Hassan al-Banna mengetuai Ikhwanul Muslimin dan Ashaari Muhammad memimpin al-Arqam. Tetapi, bagaimana pula dengan PAS? Agak malang, sekiranya sebuah parti Islam yang mendakwa disertai oleh ribuan ulama dan tok guru, tetapi masih gagal menarik minat orang bukan Islam untuk menganut Islam, serta mengucap kalimah syahadah. Sudah tentu ada yang tidak kena dengan parti Islam tersebut. Bahkan, di sisi lain pula, didapati parti Islam itu terpaksa menggugurkan perjuangan menegakkan hukum Hudud dan negara Islam, semata-mata mahu mendapatkan sokongan dan undi daripada kaum kafir. Maka yakinilah, pasti ada yang tidak kena dengan parti atau gerakan Islam seperti ini. Dan lebih malang lagi, sekiranya sebuah parti Islam yang dikatakan mempunyai Dewan Ulama di setiap negeri, tetapi masih belum mampu mendisiplin dan mendidik ahli partinya sendiri, hatta dalam hal yang paling kecil seperti memastikan ahli-ahlinya meninggalkan budaya mengumpat dan mengaibkan saudara seIslam – maka bersaksikanlah, mesti ada sesuatu yang tidak kena dengan perjuangan parti Islam tersebut.


17. Bahkan sebuah negeri yang sudah diperintah oleh parti Islam ini selama 20 tahun, tetapi statistik dan fakta menunjukkan maksiat dan keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi mudanya semakin membengkak setiap tahun, dan bukannya makin berkurangan – maka bersaksilah pasti ada perkara yang tempang dengan parti Islam itu. Cukuplah, selama 20 tahun, seorang ulama sufi mentadbir sebuah negeri di Pantai Timur, melalui slogan membangun bersama Islam, telah hilang entah ke mana bersama slogannya itu, yang tinggal dan terus membangunkan ialah gejala sosial dan maksiat dalam kalangan remajanya. Kes perceraian terus meningkat, pengidap AIDS semakin berleluasa, penghisap dadah bertambah-tambah, bilangan Mat Rempit semakin menjadi-jadi, seks bebas tidak terkira, - inilah yang dikatakan sebagai sebuah negeri Islam? Jelaslah, kaedah dan cara Nik Aziz mengamalkan politik Islam telah gagal.


18. Politik Islam bukan bermakna berceramah pagi dan petang, politik Islam bukan mengumpat dan tergesa-gesa menjatuhkan kerajaan BN/UMNO, politik Islam bukan menghalalkan apa-apa sahaja cara untuk menang,”janji” UMNO tumpas – itu bukan politik Islam namanya. Politik Islam didasarkan atas metod dakwah yang memerlukan wilayah kesabaran yang luas di dalam diri para pejuangnya. Apabila dikatakan politik Islam bermetod dakwah, maka kaedah berlemah-lembut, sabar, berkasih sayang, sangat-sangat dituntut! Dan bukannya umpat keji dan mencari aib pemimpin UMNO. Lantaran itu, sehingga sekarang, PAS masih gagal dalam politik Islamnya. Bahkan, gagal untuk memberi penjelasan yang konkrit bertapa indahnya hukum Hudud dan negara Islam kepada Karpal Singh dan Lim Kit Siang. Dan kegagalan ini adalah berpunca daripada sikap PAS sendiri yang meninggalkan kerja-kerja dakwah dan terlalu sibuk merebut kuasa dan menjatuhkan UMNO.

11 comments:

a ali /46sekupang said...

Alhamdulilah sdr.AZli atas pembentangan fata yang konkrit pada tajuk diatas,terlalu bernas.tetapi bolehkah ahli-ahli mereka memahami dan ingin memperbaiki tingkah laku mereka?.harapan saya supaya Allah melapangkan hati mereka kearah kebaikan.

Anonymous said...

penulisan yang bagus kerana disulami dengan fakta yang jelas. Tetapi, bila ahli-ahli Pas membaca Tajuk ini, pastinya mereka akan mengatakan segala yang buruk. kunci utamanya satu jer, siapa yg x sokong Pas akan ditentang.

Anonymous said...

PAS masih tidak BERJAYA dalam perjuangan mendokong syiar Islam, tapi PAS tetap BERUSAHA selama ini.
Tetapi PAS tidak pernah diberi mandat (kuasa & dana) yang besar seperti UMNO perolehi selama 50 tahun ini. Memang Kelantan tidak zero-maksiat, maklumlah amat sulit nak dapat status negeri utopia dalam dunia global tanpa sempadan hari ini. Lagipun, kat Kelantan 30-40% masih lagi penyokong UMNO. Depa pun ada anak-pinak.

DR NO

Anonymous said...

Semakin saya mendalami ilmu tentang Islam, semakin yakin saya bahwa PAS bukan parti yang memperjuangkan Islam.Seperti yang saudara Azli telah katakan, akhlak ahli-ahli PAS tidak mempamirkan akhlak sebenar Islam. Maka, mana mungkin orang bukan Islam akan tertarik memeluk Islam bila orang Islam (yang betul memahami ajaran Islam) sendiri pun tidak ingin menyokong dan bersengkokol dengan mereka.

Anonymous said...

Saya menyokong tulisan saudara..
sememang Pas sebuah parti yg lemah dari segala sudut...sama da dunia atau akhirat..yg menyebabkan pas di pandang tinggi..adalah sifat pemimpin PAS..yg suka menabur fitnah dan riak..itulah punca umat Islam dimalaysia berpecah..Pas adalah parti yg lemah dalam PR..mereka hanya menggunakan agama sahaja..tapi pentakbiran/ekonomi mereka gagal..
jika mereka kuat di dunia dan akhirat..Pasti DAP akan tunduk pada mereka..

Muhammad Azli Shukri said...

terima kasih komen tuan2 semua..semoga Allah membuka hati kita kepada kebenaran...

shamshul anuar said...

Saudara Azli,

SAudara berkata perkara yang benar. Sudah pasti saudara akan di cop sebagai "pecacai UMNO" oleh orang PAS yang rata-ratanya diajar supaya taksub pada pemimpin PAS.

Saya nampak satu sikap buruk penceramah PAS ialah mereka suka mengumpat pemimpin UMNO.

Mereka bercakap paal Islam namun akhlak tidak pula mahu ikut Nabi Muhammad SAW.

Mereka kata berbaik dengan DAP dapat mempercepatkan penubuhan Negara islam. Yang sebaliknya berlaku. kEkuasaan politik orang islam terhakis bila PAS jadi kuli bastak DAP.

Anonymous said...

terima kasih atas nukilan saudara...bagi saya perbandingan pas dgn umno adalah seperti guni beras... guni beras umno lambang babi dan mmg ada babi di dalam...tetapi guni beras pas lambang beras tetapi ada babi didalam... kedua-duanya teruk tetapi mana lebih teruk....mana pula lebih jujur...jadi fikir-fikirkan....kerana sesuatu yang buruk dan jahat berlaku di dunia sekarang ini adalah bermula dengan cadangan yang sgt baik.lebih baik jadi durian berduri di luar tapi isinya lembut walaupun setengah org kata busuk..daripada jadi kedondong yang licin kulitnya...halus dan mulus tetapi biji yang berduri dan onar.

Kama At-Tarawis said...

Salam Sdr Azli
Pohon izin nak link your very well-written commentary on PAS ke blog saya. Terima kasih.

Anonymous said...

Patut dibaca oleh semua penyokong-penyokong PAS yang ingin mencari kebenaran didalam perjuangan berlandaskan Al-Quran dan Hadith yang sebenar.

Tahniah Saudara Azli Shukri. Saudara juga turut berjihad sebenarnya.

Zek mboo

Anonymous said...

PAS adalah gerakan Islam di atas platform SIASAH dalam konteks sistem pilihanraya. Yang bergerak di atas platform dakwah & khidmat sosial 100% seperti Perkim, YADIM,Tabligh,JIM,ABIM dan sebagainya, rasanya dah cukup synergy gerakan Islam secara menyeluruh. PAS memenuhi vacuum dlm sistem politik bagi mewujudkan check-n-balance serta menjadi pihak pendesak di dlm aspek amar maaruf nahi mungkar. PAS tidak perlu nenjadi penasihat kpd kerajaan kerana dah cukup panel penasihat agama buat PM & Kabinet.
PAS membawa risalah fitrah, dan jika PAS teguh dlm prinsipnya, mungkin fitrah bisa melunturkan golongan yang runtuh mind-setnya tentang Islam. Macam perjanjian zaman Rasulullah SAW dulu, zahir nampak merugikan Islam, tapi kesannya baik. Ingat, PAS gerakan siasah, bukan dakwah.

DR NO