Tetamu Kehormat...

August 19, 2010

Mengapa Datuk Nazir Razak Kritik DEB?


Murid Terakhir
Datuk Nazir Razak



1. Seandainya, benar bahawa Datuk Nazir Razak, CEO CIMB yang juga merupakan adik kepada Perdana Menteri Malaysia menyatakan kritikan pedasnya terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan kata-katanya yang berbunyi, "DEB seolah-olah dilihat dipernyataan-haramkan (Bastardisation)" - maka saya fikir, saya terpaksa meluahkan rasa kecewa. Saya pernah menemui beliau - berbincang dan mewawancara beliau berkenaan kejayaannya membawa CIMB ke mercu kejayaan. (Baca di sini) dan (di sini).


2. Saya fikir, secara ringkas - saya menyanjungi beliau atas kapasiti seorang usahawa Melayu yang berjaya atas usaha dan kesungguhan diri sendiri. Tetapi - jika benar kata-kata di atas itu terkeluar daripada mulut Nazir Razak - saya rasa ia sudah terlalu jauh daripada kebenaran. Izinkan saya yang serba daif ini membuat sedikit kesimpulan terhadap kritikan pedas daripada CEO CIMB tersebut. Walauapa pun alasan kita - hakikatnya DEB tidak boleh disalahkan, yang bersalah dan berdosa adalah manusia yang menyelewengkan dan menyalahgunakan dasar tersebut.


3. Saya setuju, sekiranya yang dimaksudkan oleh Nazir Razak di atas adalah merujuk kepada penyelewengan DEB sehingga ia melemahkan orang Melayu itu sendiri. Hujah ini ada rasionalnya - Melayu dimanjakan dengan psikologi "kamu akan diselamatkan sampai bila-bila dengan asalkan kamu orang Melayu". Tetapi - walaupun kita cuba mengkritik DEB - tidaklah sampai kita mesti mengeluarkan kata-kata "bastardisation" - ini mungkin dianggap melampau.


4. Saya selalu memberi contoh yang hampir sempurna berkenaan seorang hamba Allah yang bernama Syed Mokhtar al-Bukhari - salah seorang manusia yang disenaraikan dalam kalangan 10 orang terkaya di Malaysia - dan lebih kaya daripada Nazir Razak sendiri. Beliau - menurut pandangan saya adalah satu-satunya usahawan Melayu yang berjaya menggabungkan antara "kesungguhan dan kerajinan bekerja", "menikmati dasar perlindungan yang ada" dengan "kesyukuran kepada Allah dan kerajaan" - inilah satu-satunya usahawan Melayu yang tidak pernah mengkritik DEB, bahkan beliau seringkali memuji kebaikan DEB, sekali gus membuktikan, sekiranya DEB digunakan dengan sebaik-baiknya - orang Melayu mampu berjaya.


5. DEB bukanlah masalah - jauh sekali menyebabkan orang Melayu malas bekerja - Syed Mokhtar telah membuktikannya. Walaupun beliau menerima bantuan dan limpahan kebaikan DEB - hal ini sama sekali tidak membunuh kerajinan dan kesungguhannya untuk berjaya dan membantu usahawan Melayu yang lain pula. Dengan pegangan agama yang kuat, dengan kehidupan yang zuhud dan dengan kemurahan tangannya menderma dan bersedekah - menjadikan beliau tidak hanya kaya dan berharta - bahkan kekayaan jiwanya itu jauh lebih bernilai daripada wang ringgit yang beliau ada. Inilah produk DEB Melayu yang kita inginkan. Apakah DEB masih perlu di"bastardisation"kan? Saya fikir kita sudah terlalu jauh berburuk sangka dan menyalahkan DEB - dan pada masa yang sama, kita terlalu jauh untuk bersyukur serta berterima kasih. Fikir-fikirkan. Wallahualam.

No comments: