Tetamu Kehormat...

August 19, 2010

DBP Dalam Bahaya! TS Muhyiddin Perlu Bertindak!


Bagaimana DBP Boleh Bertukar Menjadi
Dewan Buaya dan Puaka?


Sumber : Detikdaily

Oleh
Syeikh Ali Mutawarkir

Terasa pilu dan sebak membaca kisah Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah ini. Rupa-rupanya, masalah dalaman di organisasi tersebut masih bernanah dan membengkak. Walaupun Johan Jaaffar tidak disambung kontrak sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola, namun, DBP seolah-olah sedang menuju ke gaung kehancuran. Saya rasa, hal ini perlu disiasat dan TS Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran harus bertindak segera. Jika tidak. Bahasa Melayu dan Sastera Melayu akan pupus di tangan anak bangsanya sendiri. Wallahualam. Renung-renungkan coreta panjang seorang staff dalaman DBP ini...

1. Bermula 1 Ogos 2010, tarikh keramat bermulanya penglumatan Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila dilaksanakan Pengstrukturan Semula Struktur Organisasi (PSSO DBP 2010). Menurut sumber dalaman DBP, perwujudan PSSO tersebut tidak dibincang sama sekali dengan kaki tangan tingkatan tertinggi dan kanan DBP.

2. Pengubalan PSSO tersebut hanya dilakukan oleh segelintir manusia yang menjadi pak turut dan pak pacat Johan Jaaffar. Tujuan tersurat dan tersirat daripada perwujudan dan pelaksanaan PSSO tersebut kerana tersembunyi kepentingan peribadi dan niat jahat Johan Jaaffar dalam meneruskan agendanya di DBP.


KEPALA PENGKHIANAT

3. Maka jelaslah bahawa kepala pengkhianat yang menghancurlumatkan Jabatan Sastera DBP tersebut diketuai oleh Johan Jaaffar, Termuzi Abdul Aziz (TA), Ismail Alias (Timbalan Ketua Pengarah JPA merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP), Kamarul Zaman Saharuddin dan juak-juaknya.

4. Makhluk-makhluk perosak tersebut dengan sengaja memusnahkan Jabatan Sastera DBP bukan disebabkan Jabatan Sastera tidak perform, tetapi disebabkan dendam Johan Jaaffar dan rejimnya yang beranggapan orang-orang Jabatan Sasteralah yang menentang kejahatan dan kemungkarannya.

5. Justeru itu, tepatlah pernyataan banyak pihak yang menyatakan Johan Jaaffar anti sastera Melayu dan agama Islam. Johan Jaaffar lebih mengangunkan dan bercita-cita menobatkan sastera Inggeris melalui DBP, atas dasar itulah dia mengarahkan Ketua Pengarah (KP) DBP mewujudkan Bahagian Pelbagai Kaum, yang ternyata fungsi dan peranannya haru-biru.

6. Dengan pelaksanaan PSSO DBP 2010, cita-cita Johan Jaaffar untuk melihat kehancuran Jabatan Sastera dan pengecilan Bahagian Agama dan Tamadun Islam tercapai. Jika sewaktu mula-mula beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, dia telah mengarahkan supaya digugurkan atau tidak diterbitkan lagi majalah Dewan Agama dan kemudian Tunas Cipta.

7. Tetapi sayang sekali, kejahatan Johan Jaaffar tersebut hanya ditentang oleh pihak Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP dan beberapa individu tertentu sahaja, manakala yang staf DBP lainnya seperti burung Hereng yang menunggu untuk memakan bangkai.

BERAKHIRNYA PERADABAN

8. Dengan tertutupnya Jabatan Sastera DBP bererti akan berakhirnya episode peradaban Melayu dan kewibawaan DBP. Semenjak Jabatan Sastera DBP yang dulunya dikenali dengan Bahagian Karang Mengarang dan Bahagian Sastera ialah sebuah jabatan yang tertua di DBP.

9. Jabatan Sasteralah yang menampilkan imej DBP dipersada serantau dan antara bangsa melalui tokoh-tokoh sasterawan dan budayawan tanah air seperti SN (Dr.) Usman Awang (Tongkat Warran), SN. (Dr.) Kamaruddin Mohamad (Keris Mas), (Dr.) Baharuddin Zainal (Baha Zain), Dr. Anwar Ridwan, Datuk Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Dr. Safian Hussein, A.M. Thani, Penyair Suhaimi Hj. Muhammad, Novelis A. Ghani Abdullah, Dramatis Zakaria Ariffin, Penyelidik Syed Jaaffar Hussein, Penterjemah dan Penyair Shamsuddin Jaaffar dan berpuluh nama lainnya.

10. Kewujudan Jabatan Sastera DBP, sejajar dengan penubuhan DBP pada 22 Jun 1956 hasil daripada Kongres Persuratan Melayu Ke-111 pada September tahun 1954, di Bukit Timbalan, Johor Bharu. Ahli kongres sebulat suara mendesak kerajaan di bawah kepimpinan Tuaku Abdul Rahman al-Haj, supaya mewujudkan Balai Pustaka dan kemudian dikenali dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka, dengan tujuan untuk menjaga, membina dan menyebar luas persuratan Melayu.

11. Oleh sebab itu, Akta 930 DBP dengan jelas dan nyata meletakkan akan fungsi DBP iaitu menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa kebangsaan, menyusun program pembinaan dan pengembangan sastera, dan kegiatan penerbitan khususnya buku-buku dalam bahasa Melayu dan lain-lainnya.

12. Namun keindahan susunan struktur DBP sepanjang 54 tahun, yang susun letaknya kemas dan mantap iaitu Jabatan Bahasa dengan 7 Bahagian di bawahnya , Jabatan Sastera dengan 7 Bahagian di bawahnya dan Jabatan Penerbitan dengan beberapa bahagian di bawahnya, dimusnahkan oleh tangan jahil Johan Jaaffar, Termuzi Abd. Aziz, Kamarul Zaman Saharuddin dan juak-juaknya yang tamak kuasa, angkuh dan sombong.

TIADA RASIONAL

13. Dengan tidak ada sebab-musabab yang munasabah dan rasional, tanpa dibicangkan secara mendetail akan impaknya, tiba-tiba dilaksanakan PSSO DBP 2010 dengan diwujudkan 5 Jabatan yang terdiri daripada Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Jabatan Penerbitan dan Jabatan Khidmat Pengurusan.

14. Di bawah Jabatan Dasar dan Penyelidikan terdapat 4 Bahagian yang dicampuradukkan iaitu ada Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik dan di situ juga wujud Bahagian Dasar Penyelidikan Sastera, manakala di Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera ternyata sastera hanya wujud pada nama jabatannya sahaja dan tidak wujud sebagai fungsi.

15. Demikian juga pada Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera fungsi sastera tenggelam di dalam kepulan awam hitam, kewujudannya pada akhir nama jabatan itu sendiri sahaja. Alangkah bodoh dan keldainya perancang PSSO DBP 2010, dalam kemajuan negara memasuki alaf ke-22 menuju ke orbit negara maju, ekonomi tinggi (higecom) dan industri tinggi (higetech), tiba-tiba DBP baru mencari dan meraba dasar (?).

16. Sedarkah para si keldai dan si bagharal itu, Dasar Pendidikan Kebangsaan sudah diwujudkan semenjak tahun 1967 lagi, begitu juga dengan Dasar Bahasa Kebangsaan. Demikian juga Dasar Kebudayaan Kebangsaan sudah pun dijelmakan semenjak tahun 1971 lagi.

17. Adakah sesudah hampir 40 tahun pelbagai dasar kebangsaan diaplikasikan, baru kini iaitu 2010, DBP meraba-raba mencari dasarnya yang tidak lagi berdasar. Dasar penyelidikan sastera apakah yang hendak diterjemahkan oleh DBP? Adakah dasar sastera keldai tua nak mampus yang perlu diselidiki?

18. Kekeldaian Termuzi Abd. Aziz, Kamarul Zaman Saharuddin dan juak-juaknya yang ikut telunjuk dan buntut Johan Jaaffar, jelas dan nyata berniat jahat iaitu melumpuh dan memusnahkan aktiviti yang berkaitan dengan kesusasteraan serta mencaturkan posisi mereka dengan pangkat serta gelaran.

MENGEJAR JUSA

19. Alangkah ironisnya, demi merebut pangkat dan gelaran jusa serta mengetuai jabatan, masing-masing mereka itu berubah wajah menjadi anjing-anjing bodoh yang berebut beberapa ketul tulang dan sudah tentu mereka saling menggigit.

20. Ternyata pangkat dan gelaran jusa itu telah mengubah pemikiran KP, timbalan KP (?) dan juak-juaknya di DBP, sanggup bersekongkol dengan Johan Jaaffar menghancurlumatkan fungsi teras DBP iaitu Jabatan Sastera.

21. Dengan melumatkan Jabatan Sastera DBP, maka dengan sendirinya seluruh bahagian di Jabatan Sastera ikut dimusnahkan. Bahagian Sastera Moden, Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Bahagian Sastera Kebangsaan, Bahagian Sastera Bandingan dan Bahagian Sastera Tradisional, dengan sekelip mata lenyap.

22. Kelenyapan Jabatan Sastera DBP bererti lenyaplah salah satu fungsi teras DBP dan sekali gus persuratan Melayu. Jika sekian lama, DBP menjadi pusat perbincangan pemikiran kosmologi Melayu dan keintelektualan Melayu melalui Jabatan Sasteranya, kini semua itu akan tercatat dalam sejarah.

23. Tidak akan ada lagi riuh-rendah perdebatan keintelektualan yang berkaitan dengan pemikiran Melayu selepas PSSO 2010 dilaksanakan sepenuhnya, kerana nafas kehidupan di DBP akan ditentukan oleh pihak pentadbir dan pengurusan DBP yang dipenuhi para keldai buta akan fungsi dan peranan perwujudan DBP, untuk apa?

24. Jika suatu waktu dahulu, DBP memiliki kuasa autonomi iaitu dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu, meletakkan DBP sebagai satu-satunya institusi kerajaan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, yang memiliki kuasa mutlak dalam menentukan hala tuju bahasa dan kesusasteraan Melayu selaras dengan kehendak kerajaan dalam pembinaan negara bangsa.

BAHASA BAKU JADI BUDU

25. DBP juga mempunyai kuasa penentu penggunaan bahasa Melayu di papan-papan iklan dan lain-lainnya, kini siapa perduli dengan bahasa DBP? Bahasa baku DBP dah jadi budu. Tatabahasa Dewan dah jadi belacan. Kamus Dewan dirujuk untuk melihat makna cencalut. Tokoh bahasa di DBP (jika ada) dah berubah wajah menjadi cencurut dan pak turut.

26. Dalam bidang kesusasteraan Melayu, DBP dahulunya menggiatkan penyelidikan sastera tradisional dan moden, juga penerbitan karya sastera yang bermutu dan bersesuaian menggiatkan teks sastera diperingkat persekolahan, kini hanya menjadi kenang-kenangan. Jabatan Sastera DBPlah yang pernah menggerakkan kewujudan Komsas (komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu) dan berperanan membangun kefahaman murid-murid serta guru-guru mengenai teks sastera Komsas.

27. Dalam bidang penerbitan, hampir semua bidang penerbitan dalam bahasa Melayu seperti buku teks sekolah, bahasa, sastera, umum, pengajian tinggi, agama, ensiklopedia, kamus dan lain-lainnya diterbitkan oleh DBP.

28. Sumbangan besar DBP dalam pembangunan ilmu anak bangsa Malaysia, diakui oleh semua orang. Demikian juga dalam pengisian minda yang berkaitan dengan penghayatan diri, pembentukan jati diri, kerohaniah dan lain-lainnya melalui teks agama dan genre kesusasteraan Melayu, DBP sangat besar jasanya.

29. Jasa besar DBP tersebut akan menjadi kenang-kenangan dan tercatat sebagai sejarah kegemilangan masa lampau, apabila kepimpinan DBP sendiri yang akhirnya meruntuhkan kewibawaan DBP tersebut.

30. Keruntuhan Jabatan Sastera DBP seperti juga kewibawaan DBP secara menyeluruh mula memasuki era keruntuhannya, apabila Johan Jaaffar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP pada tahun 2005 oleh Menteri Pelajaran Malaysia waktu itu. Dikuti pula dengan pelantikan Ketua Pengarah DBP seorang mantan pensyarah ekonomi yang buta fungsi dan peranan DBP.

DBP TERUMBANG-AMBING

31. Semenjak itu, DBP menjadi terumbang-ambing, kini bertambah parah dan kacau-bilau, apabila seorang tua pencen dilantik (bukan oleh Perdana Menteri Malaysia atau Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Pengarah JPA) oleh Timbalan Ketua Setiusaha Kementerian Pelajaran Malaysia menjadi KP DBP. Manakala perjalanan pentadbiran DBP ditentukan oleh Johan Jaaffar, mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP melalui juak-juaknya.

32. Penglumatan Jabatan Sastera dan keharubiruan DBP kini, bermula apabila orang pencen yang melangkaui batas usia senja, tidak memahami budaya kerja DBP sebagai institusi bahasa, sastera dan penerbitan berbahasa Melayu menjadi KP DBP yang baru.

33. Virus kereputan DBP menuju kehancuran semakin tampak, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia sehingga kini tidak melantik Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang baru menganti Johan Jaaffar dan sekali gus menamatkan perkhidmatan KP DBP yang sudah menjangkau usia 66 tahun (jika melangkaui usia 65 tahun sepatutnya mendapat kelulusan kabinet).

34. Keruntuhan DBP yang bermula pada era pertembungan dua orang gergasi DBP sepanjang tahun 2005 hingga Mei tahun 2008, dengan ideologi kapitalisme danpramatisme yang berbeza, menyebabkan bahtera DBP menjadi teroleng-oleng di tengah lautan ilmu dengan pelbagai cabaran perubahan yang melanda sistem pendidikan negara, politik dan aneka ragam tantangan lainnya berterusan hingga kini. DBP sebagai institusi Melayu hilang hala tuju dan objektif perjuangannya apabila kepimpinan DBP tidak lagi memfokuskan DBP kepada pembangunan dan pengisian bahasa, persuratan dan penerbitan berbahasa Melayu. Yang dilaksanakan oleh DBP sepanjang tahun hanyalah sorak-sorai serta kerja-kerja rutin bagi mengisi laporan prestasi kerja tahunan kaki tangannya sahaja.

35. Sesudah Mei 2008 sehingga kini, DBP benar-benar berada di puncak zaman kegelapan. Pelbagai keharubiruan berlaku di DBP seperti surat ugutan kepada ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP (KPP DBP) supaya berhenti menjadi ahli diedarkan oleh pihak pentadbiran DBP, pemberhentian potongan yuran keahlian ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP, kaki tangan DBP yang menyokong Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP dinafikan kenaikan pangkat, malah ada yang diturunkan pangkat, pembatalan mesyuarat Majlis Bersama Jabatan, perwujudan Kesatuan Pekerja Dalaman (mewujudkan dua kesatuan pekerja dalam DBP) dan aneka kekelamkabutan berlaku di DBP. Semua perkara ini berlaku, apabila di DBP muncul individu manusia yang menobatkan dirinya sebagai ‘penentu’ yang boleh dianggap setaraf dengan Fir’aun kecil.

DEWAN BUAYA DAN PUAKA?

36. Menyedari dengan apa yang berlaku di DBP kini, wajarlah jika Hisamuddin Rais dalam blognya mengubah nama Dewan Bahasa dan Pustaka kepada Dewan Buaya dan Puaka, sudah tentu ada kebenarannya, kerana yang menguasai kerusi penting DBP sekarang bukan orang-orang yang berilmu dan berfikir, tetapi puaka-puaka, pengampu, pengangguk, pembodek dan juak-juak sealiran fikiran dengan Johan Jaaffar, mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, KP dan timbalan KP DBP (?) tersebut.

37. Maka tidak hairanlah, jika DBP sudah jadi bubur lambuk dan caca-marba. DBP sudahlah tidak penting di kaca mata kerajaan dan masyarakat Malaysia, DBP malah tidak bergigi (seperti kata Prof. Di Raja Ungku Aziz, DBP tidak lagi bergigi, lihat Mingguan Malaysia 23 Nov. 2008) kerana segala keputusan apa sahaja mengenai DBP ditentukan oleh mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang gila kuasa walaupun sudah tak ada kuasa.

38. Untungnya Media Prima, apabila Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak, Perdana Menteri Malaysia menamatkan serta merta kuasa eksekutif Johan Jaaffar di Media Prima, kalau tidak jahanamlah seperti DBP.

39. Dengan situasi DBP yang redup, muram dan kegelapan, menurut kata Prof. Di Raja Ungku Aziz, DBP boleh kembali menang dan berwibawa asalkan DBP dikembalikan ke fungsi asal penubuhannya. DBP diserahkan kembali kuasanya kepada orang-orang yang pakar dalam bidang utama DBP iaitu bahasa dan sastera.

40. Untuk mengembalikan kewibawaan DBP, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia wajib melantik pakar-pakar bahasa, sastera dan penerbitan sebagai Ahli Lembaga Pengelola DBP, bukan orang-orang politik yang sama sekali tidak memahami hala tuju perjuangan dan pengisian DBP.

41. Andaikata Ahli Lembaga Pengelola dan KP DBP tidak diganti dengan pakar fungsi utama DBP, fungsi dan peranan DBP akan sama seperti Majlis Daerah, Pejabat Kebajikan Masyarakat, Pusat Punggutan Zakat, Yayasan Dakwah Islam (YADIM) dan lain-lainnya.

42. Begitu juga dengan KP DBP, wajib dilantik orang yang pakar dalam bidang persuratan Melayu selain mentadbir, bukan burung perantau yang hanya hinggap untuk beberapa ketika, sesudah kenyang, berterbangan pula ke destinasi lainnya.

43. Sejarah kegemilangan DBP sebagai institusi kerajaan dan ilmu, semasa DBP diterajui oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad sebagai KP dan Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Datuk Abdul Rahim Bakar.

44. Kedua-dua tokoh tersebut benar-benar melaksanakan fungsi dan peranan DBP dalam pembangunan negara bangsa. Kedua-dua tokoh tersebut bukan makluk beretorik, tetapi pelaksana amanah rakyat. Manakala Datuk Aziz Deraman berjaya melebarkan sayap DBP, bahasa dan persuratan Melayu ke hampir 250 pusat pengajian tinggi dunia dan membuka tiga cabang DBP di peringkat wilayah.

45. Sedangkan Termos kitar semula yang kini menjadi KP DBP, hanyalah alat kepada Johan Jaaffar. Johan Jaaffar suruh tutup Jabatan Sastera dan Bahagian Agama, dia tutup. Johan Jaaffar suruh buka Bahagian Pelbagai kaum (kini Bahagian Bahasa pelbagai kaum), dia buka. Itulah, sibuta tua renta.

BAGAI STADIUM MERDEKA

46. Dengan keadaan DBP kini, nasib malang DBP tidak ubah seperti stadium merdeka, hendak ditutup sayang, hendak digunakan tidak nampak manfaatnya. Dengan kata lain, kewujudan DBP sebagai institusi kerajaan dan ilmu tidak ubah seperti gajah putih, sebab DBP tidak memiliki asset yang besar dalam pembangunan modal insan atau pembangunan negara bangsa.

47. Dalam bidang keilmuan berbahasa Melayu, DBP tidak lagi dijadikan pusat rujukan kerana penerbitan buku-buku di DBP jauh ketinggalan kebelakang dibandingkan dengan penerbitan PTS, IPTA dan penerbitan lain-lainnya. Demikian juga buku-buku terjemahan, DBP tidak ada peranan langsung kerana semuanya sudah diambilalih oleh Institut Terjemahan Negara (ITNM).

48. Dalam penerbitan genre kreatif-imajinatif, DBP juga jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan penerbitan Utusan Melayu Publication, Alaf 21, PTS dan lain-lainnya. Permasalahan yang berlaku di DBP kini, kerana DBP bukan lagi dikuasai oleh para ilmuwan, tetapi poli-tikus atau tepatnya tikus. Kepimpinan yang ada di DBP kini semuanya ‘menikus’, takut hilang jawatan sebagai Ketua Bahagia dan tidak bermimpi dinaikkan pangkat.

49. Disebabkan kepimpinan yang ada hanyalah kepimpinan ‘menikus’, maka bermaharajalelalah Johan Jaaffar bersama para juaknya iaitu Termuzi Abd. Aziz, Kamarul Zaman Shaharuddin, Azman Tahir, Abdul Ghafar Abdullah, Fadilah Ali dan lain-lainnya, membuat apa sahaja yang mereka suka tehadap DBP. Hanya yang menjadi kebanggaan DBP kini ialah sombong bodoh KP DBP dan juak-juaknya yang mengharubirukan dan meghura-harakan DBP.

50. Merekalah yang memecahbelahkan tali siraturrahim antara kaki tangan DBP. Merekalah yang memporakperandakan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) antara Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP dengan pihak Pengurusan DBP. Merekalah yang merombak dan memusnahkan Jabatan Sastera dan Bahagian Agama dan Tamaddun Islam DBP. Merekalah yang mengkianati dan menghancurkan struktur kongkrit DBP. Sayang sekali, kejahatan dan kemungkaran Johan Jaaffar, KP BP dan juak-juaknya, mendapat sokongan padu Ismail Alias Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPA.

KEJAHATAN MELAMPAU

51. Maka wajarlah jika segala kejahatan yang dilaksanakan di DBP tidak ada yang berani menegurnya kecuali kepimpinan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP yang sah. Kejahatan melampau rejim Johan Jaaffar tersebut dan juak-juaknya yang diketuan oleh KP DBP lupa akan kuasa Allah swt. yang dalam firmannya bermaksud : kamu (manusia) boleh membuat perancangan apapun, tetapi perancangan Allah swt. kamu tidak mengetahui. Disebabkan ketidakinsafannya itu, tidak hairanlah jika KP dan para juaknya di DBP berbuat ikut suka mereka di DBP. Sesungguhnya mereka lupa,. esok masih ada dan perubahan pasti berlaku.

52. Tindakan menutup Jabatan Sastera dan penghancuran peranan sastera Melayu di DBP sudah dan sedang berlaku kini iaitu Bahagian Sastera Moden, Bahagian Sastera Tradisional, Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Bahagian Sastera Bandingan, dan Bahagian Sastera Kebangsaan dihancurlumatkan.

53. Seperti juga penghancurlumatkan penyokong-penyokong perjuangan Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP. Semua yang terlibat dan menyokong perjuang Kesatuan Pekerja-Pekerja DBP, tidak akan bermimpi untuk dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi meskipun lulus PTK dengan cemerlang.

54. Manakala yang menyokong Johan Jaaffar, KP dan juak-juaknya di DBP, walaupun tidak lulus PTK (syarat mutlak kenaikan gaji dan pangkat seperti dinyatakan oleh Ketua Pengarah JPA) tetap dinaikkan pangkat seweng-wenangnya.

55. Di samping itu, KP DBP dengan sewenang-wenangnya melantik individu tertentu ke jawatan lebih tinggi tanpa melalui proses temuduga dan prosedur yang wajar. Dan yang dilantik itu didapati ada yang tidak lulus PTK.

56. Sikap KP DBP yang sinonim dengan sikap Fir’aun Kecil, sudah tentu dia merasa dirinya maha berkuasa, maka dengan terang-terangan dia melanggar segala peratuan yang tersurat dalam Akta 930 DBP (Pindaan dan Perluasan 1995). Contohnya, dia melantik Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Koperat DBP dari jawatan S 41 ke jawatan S 44 kerana dia suka.

57. Kalau demikian situasinya, DBP wajar ditukar menjadi syarikat sendirian berhad sahaja, sebab semua peraturan dalam Akta DBP 930 tidak lagi diguna pakai. Itulah manusia yang dikuasai oleh nafsu serakahnya, dia lupa akan tanggung jawabnya kepada institusi yang diamanahkan kepadanya dan lupa akan kuasa Alllah swt. Jadi, ternyata punca segala keharubiruan di DBP disebabkan nafsu serakah KP dan timbalan KP DBP berserta juak-juaknya yang dimonitor oleh Johan Jaaffar.

ALAHAI MUHYIDDIN?

58. Dalam kehitaman DBP kini, tentu sekali kita dapat berkata “Alahai Tan Sri Muhyiddin Yassin, lihatlah rumah mewah DBP sudah bocor di sana sini, kemungkaran di DBP sedang berleluasa dan slogan Pembantu Tadbir Rendah (PAR) DBP pada Hari Kualiti DBP : Individu Bernafsu, Institusi Lesu, sudah bukan rahsia lagi, jelas dan nyata.

59. Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berpeluk tubuh dan lupa akan tanggung jawab hakikinya yang kononnya menjaga ‘ketuanan Melayu’(?) baik sebagai pemimpin parti orang Melayu, juga sebagai Menteri Pelajaran Malaysia.

60. Jika beliau insaf bahawa salah satu benteng terakhir orang Melayu ialah DBP, maka wajib menyegerakan menyelamat kehancuran DBP. Andaikata Tran Sri Muhyiddin Yassin, beranggapan DBP sudah tidak lagi berfungsi dan berperanan apa-apa untuk orang Melayu dan bangsa Melayu pindahkan sahaja DBP ke bawah jagaan Datuk Sri Dr. Rais Yatim, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

61. Muhyiddin Yassin harus sedar, dengan mengabaikan DBP bererti dia juga mengabaikan hak istimewa orang Melayu iaitu bahasa, persuratan dan ketuanan Melayu seperti termaktub dalam Artikel 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.

62. Sebab DBP ialah satu-satunya institusi yang menentukan masa depan, kesinambungan dan kepentingan Melayu iaitu bahasa, sastera dan penerbitan berbahasa Melayu. Selain itu, bahasa dan persuratan Melayu ialah penentu hidup dan matinya bangsa Melayu.

63. Dengan terkuburnya bahasa dan persuratan Melayu, maka akan ikut terkubur ialah bangsa Melayu. Atau klisenya, bahasa dan persuratan Melayu ialah jiwa bangsa Melayu dan kebudayaan Melayu.

PERLU PENGERUSI, KP BARU

64. Oleh yang demikian, sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia yang barangkali bertanggungjawab(?), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak harus tertipu dengan laporan, retorik dan padangan Johan Jaaffar dan KP DBP yang menuju kenyanyukan.

65. Yang nyata, DBP memerlukan seorang Pengerus Lembaga Pengelolah dan KP yang baru, yang memiliki ilmu, memahami budaya kerja DBP, berilmu dalam bidang teras DBP dan mentadbir DBP secara telus dan bukan pengkhianat seperti Johan Jaaffar dan Termuzi Abd. Aziz.

66. Tetapi, hari ini ternyata Tan Sri Mahyuddin Yassin juga sedang hanyut dan mungkin akan karam dalam kapal besar UMNO tidak beberapa lama lagi (barangkali Jun 2011), sehingga segala tanggung jawab sebagai Menteri pelajaran Malaysia diabaikannya. Dengan kelemahan dan kepasifan Tan Sri Mahyuddin Yassin tersebut, menyebabkan KP dan timbalan KP DBP dan para juaknya, telah mengharu-birukan DBP sesuka hati mereka.

67. Jika Tan Sri Mahyuddin Yassin tidak sanggup mempertahankan jiwa bangsa Melayu, sewajarnya beliau mengundurkan diri sebagai Menteri Pelajaran Malaysia demi tanggung jawab moral seperti Timbalan Perdana Menteri Thailand, Menteri perhubungan Jepun, Menteri Sukan Korea Selatan dan pemimpin yang bertanggung jawab lainnya, bukan berperangai seperti beruk mak yeh atau beruk-beruk lainnya, apabila bertambah kuat angin yang bertiup bertambah kuat dia memegang dahan pokok tersebut demi mengekalkan kuasa dan berkuasa, walaupun tidak mampu berbuat apa-apa atau sekadar bercakap kosong.

68. Tan Sri Mahyuddin Yassin harus ingat, jika takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Jika takut bertanggung jawab dengan segala isu dan fenomena yang berlaku dilingkaran Kementerian Pelajaran Malaysia termasuk DBP, sepatutnya dia meletakkan jawatannya, bukan sibut bercakap tak serupa bikin.

69. Jika Tan Sri Mahyuddin Yassin benar-benar hendak mempertahankan ketuanan Melayu dan hak Melayu, sudah tentu dia akan mengambil berat tentang pengisian jawatan KP DBP yang baru, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan beberapa isu yang kacau-bilau di DBP, sebab DBP merupakan benteng terakhir hak istimewa dan ketuanan Melayu serta badan pelaksana bahasa dan persuratan Melayu.

TIDAK LAYAK

70. Andaikata dia gagal menyelesaikan isu yang berlaku di DBP, Tan Sri Mahyuddin Yassin tidak layak menjadi Menteri Pelajaran Malaysia kerana ketokohannya seperti ayam daging. Natijahnya, jelas dan nyata bahawa Tan Sri Mahyuddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia kini sedang menghancurkan institusi Melayu yang sepatutnya menjadi benteng terakhir bangsa Melayu.

71. Dengan mengekal barang bekas yang lapuk ke DBP dan tidak memiliki ilmu tentang fungsi teras DBP, membuktikan bahawa beliau lebih teruk daripada Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia yang dahulu.

72. Dengan kekelamkabutan DBP kini dan penutupan Jabatan Sastera secara rasminya oleh Termuzi Abd. Azizi dan para juak Johan Jaaffar, maka penulis menghimbau kepada para penulis, persatuan penulis, gabungan penulis, sasterawan dan budayawan sewajarnya membaikot, menulis artikel, memoradun dan apa sahaja supaya DBP kembali ke fungsi asalnya iaitu mengekalkan Jabatan Sastera berdiri sendiri.

73. Jika kita semua sanggup mengutuk kekejaman zionis Israel terhadap bangsa Palestin di Gaza, maka kita juga wajib mengutuk pengkhianatan penutupan Jabatan sastera DBP oleh Termuzi Abd. Aziz (selaku KP DBP kini) dan para rejim Johan Jaaffar, kerana penutupan tersebut dengan sendirinya memusnahkan nilai kosmologi, budaya dan kejatidirian Melayu.

7 comments:

Anonymous said...

Encik Azli,

Kesian nasib DBP. Cerita pasal DBP yang maha kelam-kabut ni dah lama sangat dah. Yang sedihnya, walaupun sudah terang lagi bersuluh, teguran dan rintihan mereka yang sayangkan Melayu dan Islam macam anjing menyalak bukit saja. Tak tau la apa nak jadi dengan orang Melayu hari ini. Perisian "Nak Kenal Melayu" (HB Melayu) yang diperkenalkan oleh Prof. Hashim Musa UPM keluar tepat pada masanya. Boleh buat ujian sama ada seseorang itu layak dipanggil Melayu ataupun tidak.

CUCU TOK WAN said...

setuju dengan Anon1:45..

Cerita tentang kebobrokan di dalam DBP sudah terlalu lama... antara yang paling menjahanamkan DBP ialah kewujudan syarikat 2 ringgit yang diberikan segala kemudahan, termasuklah mesin-mesin pencetak DBP dan gudang di Hulu Kelang, selain kemudahan lain di bangunan lama DBP, semata-mata untuk menghidupkan bekas Ketua Pengarahnya...

Muhammad Azli Shukri said...

cucu tok wan saya bersetuju...

airman_1 said...

salam,
panjang sangat tulisan ni , tapi aku rasa kalau cerita macam ni, nampaknya dbp dah tak relevan lagi, dah lah umno tak relevan lagi kerana mansuhkan deb, jadi apa yg tinggal lagi kpd orang melayu .tolong...tolong..tolong.

Muhammad Azli Shukri said...

aiman nie dah jadi sebuah hikayat...

Anonymous said...

Wahai Encik Azli Sang Pencerita,

Adakah anda salah seorang pekerja DBP? Adakah anda mengalami sendiri "situasi dalaman" yang berlaku di DBP? Atau hanya bergantung kepada cerita cerita yang disampaikan orang.

Saya sebagai pekerja DBP memang merasakan ada konflik di situ dari bahagian sastera dan pengurusan. Tetapi begitulah yang terjadi di setiap organisasi. Tentunya terdapat konflik di bahagian pengurusan dan juga operasi (di sini bahagian sastera) kerana kedua kedua bahagian ini mempunyai kepentingan sendiri..

Yang saya mahu cakap di sini.. Anda di dalam post entry anda kononnya "ingin memartabatkan bahasa melayu" , "memperjuangkan bahasa melayu" , cubalah anda baca balik tulisan anda itu. Sopan kah? pemilihan perkataan untuk mengekspressi penulisan anda di dalam blog anda ini , adakah tepat? bagi saya, anda ada lah sangat tidak sopan dan pemilihan kata ada macam "haram",

dan anda bukanlah salah seorang yang patut "mempertikaikan" kebolehan pihak pengurusan DBP.

Sila perbetulkan bahasa dan budaya tata tertib anda dulu ya.

Terima kasih.

Mohd Faizal said...

Assalamualaikum En. Azli.

Nama saya Mohd Faizal, pelajar Tingkatan 3 bersekolah di Air Tawar. Saya lihat En. Azli ni cakap tak serupa bikin. Beriya-iya cerita pasal DBP menghancurkan bahasa dan peradaban Melayu tapi En. Azli sendiri yang menghancurkan bahasa ibunda saya. Contohnya En. Azli dengan jelas telah menggunakan perkataan-perkataan Inggeris yang diMelayukan seperti : rasional, mendetail, impaknya, diaplikasikan, posisi, ironisnya, keintelektualan, autonomi, memfokuskan, beretorik, genre, imaginatif, prosedur, sinonim, dimonitor dll. Saya tak pasti mengapa En. Azli menggunakannya. Tapi jelasnya perbuatan En. Azli sendiri telah merosakkan bahasa kebangsaan. Oleh itu, eloklah kalau En. Azli cermin diri sebelum menegur pihak DBP. Akhir kata terima kasihlah kepada En. Azli kerana telah melongkangkan bahasa Melayu dan menjadi penyumbang kepada kemusnahan tamadun Melayu. Sekian.