Tetamu Kehormat...

August 2, 2010

Azli Shukri's Sunday Views : Tengku Razaleigh Yang Mengecewakan


Azli Shukri's Sunday Views
Tengku Razaleigh yang Mengecewakan
(Ruangan ini khusus untuk saya menjawab
tohmahan pembangkang terhadap kerajaan setiap hari Ahad)


1. Pada pandangan peribadi saya, saya merasakan bahawa Tengku Razaleigh Hamzah sudah pun dikira sebagai seorang ahli parlimen bebas (baca di sini). Kritikan dan seruan beliau agar masyarakat bersama-sama dengannya untuk menentang Akta ISA dan OSA, sudah dianggap keterlaluan. Cukuplah rasanya beliau sanggup menjadi saksi berhubung isu royalti minyak Kelantan, dan kini sekali lagi beliau seolah-olah menikam kerajaan dari arah belakang.


2. ISA diperlukan sampai bila-bila, yang salah bukan ISA, yang salah adalah penyalahgunaannya sahaja. Saya sedih, kerana sebelum ini saya sangat menghormati beliau sebagai seorang pejuang yang berfikiran jauh - saya tidak tahu bagaimana mungkin beliau secara tiba-tiba menentang suatu akta yang jelas telah memberi keharmonian dan keamanan kepada negara serta rakyatnya lebih daripada 50 tahun.


3. ISA sememangnya dibentuk untuk menangani ancaman dan fahaman komunis - secara fizikalnya komunis sudah tiada lagi pada hari ini, tetapi itu bukanlah alasan untuk kita menghapus akta tersebut. Sama ada kita terlupa atau pun terlalai seketika, bahawa ideologi komunis masih hidup dan terus subur dari sehari ke sehari. Democratic Action Party (DAP) adalah nama lain untuk Parti Komunis Malaya (PKM) di Tanah Melayu tercinta ini - dengan kebiadapan mereka untuk menghapuskan Hak Keistimewaan orang Melayu, di samping begitu mudah menghina sultan Melayu dan mengabaikan sensitiviti umat Islam di negara ini, saya fikir ia sudah memadai untuk membuka mata Tengku Razaleigh bertapa perlunya akta seperti ISA itu.


4. Hujah beliau bahawa segala akta yang menyekat kebebasan rakyat seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1987, Akta ISA, Akta OSA, dan AUKU hanya mengundang iklim ketakutan kepada rakyat, boleh ditolak mentah-mentah. Tengku Razaleigh boleh menjawab soalan ini secara jujur - Masih adakah lagi pada hari ini warga negara Malaysia yang takut serta gerun untuk mengkritik dan menghentam kerajaan? Saya fikir sudah tidak wujud lagi generasi penakut seperti itu.


5. Dengan kemajuan teknologi yang kita kecapi pada hari ini, rakyat sudah menikmati segala bentuk kebebasan bersuara tidak mengira waktu, sama ada pagi, petang, siang dan malam! Melalui blog, FaceBook, Twitter dan bermacam lagi forum di alam siber - rakyat sudah mengecapi tahap sebenar kebebasan mutlak untuk bersuara, mengeluarkan pendapat, mengkritik, bahkan mencemuh, mengaibkan kerajaan, menghina ulama, menyindir nama Allah, mengutuk Sultan Perak, memperolok-olok lagu Negaraku, memfitnah kepimpinan negara, mempertikai hak orang Melayu, menghasut rakyat membenci kerajaan, merendah-rendahkan bahasa Melayu - malah sehingga ke satu peringkat - kebebasan alam siber yang sedang dinikmati oleh sekalian rakyat Malaysia melalui saluran-saluran maya tersebut lebih banyak mengandungi fitnahnya daripada kebenarannya!


6. Apakah Tengku Razaleigh masih tidak jelas dengan semua hal ini? Hampir setiap daripada kita sudah boleh mengeluarkan pandangan, kritikan dan cadangan masing-masing pada setiap minit, jam dan hari, tanpa ada sebarang sekatan dan ugutan. Izinkan saya bertanya - Dengan segala kebebasan tanpa batasan yang telah kerajaan sediakan melalui dunia internet, agak-agaknya sudah berapa ramai rakyat Malaysia yang telah ditahan di bawah Akta ISA, OSA, AUKU dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan? Dari seribu rakyat Malaysia yang menghina raja, menghina agama Islam, menghina lagu Negaraku, yang mempertikaikan hak orang Melayu dan yang menghina bahasa Melayu di blog-blog dan di portal pro-pembangkang, baru seorang sahaja yang dikejar oleh polis Malaysia sehingga ke London! Itu pun bersabit isu yang terbukti fitnah dan sengaja diada-adakan.



7. Sudah lebih 10 tahun individu ini bebas berkata-kata dan menikmati kebebasan bersuara melalui gerak kerja menghasut, menghina, dan memfitnah kerajaan serta mengharu-birukan negara, baru sekarang Raja Petra sedar apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara? Segala kebebasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia dan para pendokong parti pembangkang ketika ini, adalah kebebasan yang mereka idam-idamkan sejak sekian lama! Dan akta-akta yang didakwa kononnya menyekat kebebasan mereka untuk bersuara adalah dakwan palsu yang tersesat jauh daripada kebenaran.


8. Sebagai orang lama dalam politik, Tengku Razaliegh harus menilai semula pandangannya berhubung isu kebebasan bersuara dan akta-akta yang kononnya menyekat kebebasan tersebut. Biarlah seribu akta seperti ISA diluluskan - tetapi, seandainya ia tidak dipraktis dan dilaksanakan bersunguh-sungguh - rakyat tidak perlu takut atau gusar, kerana ia umpama kata-kata tanpa amal. Sebuah negara termaju sekali pun pasti akan memiliki akta seperti ISA dan OSA - Amerika Syarikat adalah buktinya. Apakah kita mengira di AS kita akan mengecapi kebebasan bersuara tanpa batasan seperti mana yang kita inginkan? Cubalah kita menulis sebuah artikel berkenaan "Jihad, Islam, Israel dan Palestin" di media-media terkenal AS, apakah tulisan kita tersebut akan disiarkan? Awas, jika kita menulis isu tersebut di blog atau di FaceBook, mungkin tidak sampai 24 jam FBI sudah berada di muka pintu bilik dengan wajah yang penuh prejudis. Di Eropah - kebebasan bersuara tiada untuk penganut Islam - ia adalah slogan retorik untuk sebuah negara demokrasi.


9. Saya selalu mengingatkan pembaca saya bahawa ISA tidak berdosa! Yang berdosa adalah sesiapa yang menyalahgunakannya. Bahkan Saidina Umar juga, turut melaksanakan kaedah ISA dalam usaha membendung fitnah pada zamannya, izinkan saya perturunkan riwayat tersebut -


10. kisah Saidina Umar yang telah dicatat di dalam kitab Asbabul Wurud karya Ibn Hamzah al-Husaini, dijadikan panduan awal bagi meneroka jalan pencegahan yang terbaik demi membanteras aktiviti fitnah, mengadu-domba dan hasutan daripada terus berleluasa. Telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Yang paling kutakuti menimpa kepada umatku ialah munafik yang pandai bercakap." (Hadis shahih riwayat Ahmad dan at-Thabrani). Terdapat dua riwayat yang berkait rapat dengan hadis ini. Kedua-dua riwayat tersebut boleh dijadikan panduan untuk mencegah pelbagai aktiviti yang mengamcam ketenteraman awam dan negara.


11. Riwayat pertama menceritakan bahawa penghulu bagi penduduk Bashrah bernama al-Ahnaf begitu terkenal sebagai seorang yang pandai dan fasih bercakap telah mengadap khalifah Umar. Kemudian Umar telah menahannya (tanpa perbicaraan seperti ISA) selama setahun untuk diuji siang dan malam. Tetapi ternyata tidak ada sebarang tanda kemunafikan pada diri al-Ahnaf.


12. Setelah setahun, Umar memanggilnya lalu berkata, "Hai Ahnaf tahukah mengapa engkau kutahan?'' "Tidak,'' jawab al-Ahnaf. Umar meneruskan kata-katanya, "Sebab engkau kutahan kerana Rasulullah pernah bersabda, "Yang paling aku takuti terjadi atas umatku, adanya orang munafik yang pandai bercakap.'' Dan aku takut engkau termasuk dalam kalangan mereka. Namun alhamdulillah ya Ahnaf, engkau tidak demikian.''


13. Manakala al-Munawi meriwayatkan kisah yang sama, namun mempunyai sedikit perbezaan. Menurut riwayat al-Munawi, al-Ahnaf mengadap Umar. Kemudian dia berkhutbah. Cara bercakapnya amat mengagumkan. Dan Umar menahannya selama satu tahun. Kemudian setelah habis masa tahanan, Umar berkata, "Aku takut anda seorang munafik yang pandai bercakap, sebab Rasulullah pernah memperingatkan kami. Sekarang aku harap, jadilah anda seorang mukmin sejati dan kembalilah ke negerimu.''


14. Dalam mengulas riwayat ini, Ibn Hamzah al-Husaini berkata, "orang munafik adalah yang hatinya tidak beriman. Biasanya orang tersebut pandai bercakap. Ia sering memberi fatwa kepada orang lain dengan fatwa yang batil, menyesatkan namun disadur dan disalut demikian rupa sehingga menimbulkan kesan seolah-olah dia orang yang baik.''


15. Teknik Umar menahan al-Ahnaf selama setahun tanpa perbicaraan itu, merupakan strategi pencegahan daripada hasil ijtihad beliau dalam usaha menangani permasalahan orang munafik yang pandai bercakap serta mampu menimbulkan huru-hara dalam kalangan masyarakat. Jelas, kaedah Umar itu diterima dalam Islam sebagai satu kaedah pencegahan. Bahkan, al-Ahnaf tidak pula bangkit menentang dan memaki-hamun Umar, semata-mata Umar telah menahannya selama setahun tanpa terlebih dahulu mengetahui apakah "salah dan silap" nya sehingga beliau ditahan oleh Umar. Walaupun Umar mengizinkan kebebasan bersuara pada zamannya, tetapi kebebasan bersuara itu bukanlah untuk orang munafik dan bersikap talam dua muka - sebaliknya kebebasan bersuara itu adalah untuk golongan yang takutkan Allah dan mencintai Rasul-Nya! Hal ini sangat berbeza di Malaysia - orang munafik dan talam dua muka jauh lebih ramai daripada golongan yang jujur dan ikhlas berjuang kerana Allah, lantaran itulah ISA sangat-sangat diperlukan, seperti mana yang diamalkan oleh Umar pada zaman pemerintahannya!


16. Secara peribadi, penulis beranggapan bahawa metode Umar dalam mengawal orang ramai daripada sesuka hati menyampaikan dakwah agama tanpa berlandaskan ilmu yang mantap, perlu dicontohi. Apatah lagi bagi mereka yang fasih bercakap dan menggunakan ayat-ayat al-Quran.


17. Jelas, tindakan Umar menahan al-Ahnaf selama setahun itu, merupakan langkah beliau demi mencegah tumbuhnya orang-orang munafik yang pandai bercakap di tengah-tengah masyarakat. Hal ini harus dicontohi di negara kita untuk membendung para pendakwah yang menjadikan nama pendakwahan sebagai cara menghalalkan ucapan mereka yang penuh dengan unsur hasutan, fitnah, buruk sangka dan kata-kata nista. Semoga sabda-sabda Rasulullah S.A.W.di bawah ini mengembalikan diri kita untuk bermuhasabah semula. Sabda Rasulullah bermaksud:


"Cukuplah seseorang itu dikatakan pendusta, kalau apa sahaja yang didengarnya, kemudian disampaikan kepada orang lain." (Riwayat Abu Daud).

"Celakalah orang yang berbohong dalam berkata-kata sekadar untuk ditertawakan orang. Celakalah ia, celakalah ia." (Riwayat Bukhari).


"Aku adalah pemimpin rumah di sekeliling syurga bagi mereka yang meninggalkan perdebatan, sekalipun ia benar. Dan aku pun seorang pemimpin rumah di tengah-tengah syurga bagi mereka yang meninggalkan kata-kata bohong, sekalipun hanya bergurau." (Riwayat Abu Daud).

3 comments:

Anonymous said...

Bagi aku ISA adalah undang-undang kawalan PELAMPAU seperti
1. Pelampau Agama
2. Pelampau Masyarakat
3. Pelampau Pendidikan
4. Pelampau Perlakuan

dan segala macam PELAMPAU.

Selagi setiap rakyat bertindak tanpa melampau selagi itulah mereka tidak perlu takut.

Sekiranya hak asasi manusia lebih atas maka tidak perlulah kita adakan Lampu Isyarat.

Hak Asasi Manusia akan terbatas apabila ianya bertembung dengan hak seorang atau sekelompok manusia lain.

Seperti kata AST, bukan Undang-undang itu yang menjadi pertikaian tetapi perlaksanaannya yang perlu dipertaruhkan.

Semoga kerajaan tidak tunduk terhadap desakan penghapusan ISA.

aku yang bingai
Layakkah Mahasiswa Mengundi di Tendang Terajang

Anonymous said...

Salam Azli-Allah memberikan bermacam-macam penyakit kapada makluknya.lihat peristewa Lubuk Yu,sampai sekarang tidak ada kepastian.bagitu juga terhadap manusia yang kurang bertakwa akan merasa diri kecewa,maka timbulah buruk sangka yang tidak-tidak,tambahan pula bila usia bertambah.pandang balik berapa banyak pegawai yang telah pencen yang dibela oleh kerajaan, malangnya mereka ini mengigit tangan yang menyuap makanan itu.inilah pertunjuk bagi orang yang kecewa dalam hidupnya.

Anonymous said...

azli shukri yang mengecewakan
betul lah apa yang YBM TRH katakan itu
lihatlah apa yang terjadi sekarang
sungguh mengecewakan