Tetamu Kehormat...

June 22, 2010

Daripada Azli kepada Asri : Menjawab Isu Dr Asri Sertai UMNO


Daripada Azli Kepada Asri
Menjawab Isu Dr Asri Sertai UMNO



Menjelang mesyuarat majlis tertinggi UMNO Jumaat ini - setiap ahli politik yang cintakan kebenaran pasti ternanti-nanti benarkah Dr Asri, mantan Mufti Perlis akan mengisytiharkan dirinya menyertai UMNO bersama dengan 100 lagi para penyokong gerakan salafnya. Hati nurani saya tetap berpendapat bahawa Dr Asri, InsyaAllah lambat-laut akan tetap menyertai UMNO - dengan hujah untuk mengubah UMNO menjadi lebih baik di samping menjadi "orang tengah" bagi meleraikan segala kekusutan politik antara PAS dengan UMNO yang sudah berabad lamanya. Misi rumit ini hanya akan tercapai andaikata Dr Asri menyertai UMNO bersama-sama gerombolan ulama Salaf yang cintakan kebenaran dan perpaduan umat Islam di bumi bertuah ini. Untuk sekian kalinya, saya mengulangi dan merayu kepada Dr Asri dan seluruh ulama Salaf di Malaysia agar segeralah menyertai UMNO, dan bersama-sama kita mengubah UMNO menjadi lebih baik, di samping kita satukan umat Islam di Malaysia yang sudah sekian lama berpecah-belah atas nama demokrasi dan politik.


Percayalah, segala anugerah Allah kepada saudara (Dr Asri) merupakan satu amanah yang sangat berat untuk dilaksanakan. Dan sekarang Allah telah membuka pintu hati saudara untuk bergiat cergas dalam politik nasional - maka pilihlah parti yang memerintah. Jika saudara menyakini manhaj salaf as-soleh, maka manhaj kita mewajibkan kita agar menasihat pemerintah melalui jalan sembunyi-sembunyi dan bukan caci-maki. Jika saudara mempercayai pemerintah yang ada pada hari ini, merupakan pemerintah yang zalim, maka bersaksilah sesungguhnya Rasulullah telah bersabda. "Bantulah orang yang zalim dan dizalimi, maka sahabat bertanya, kalau membantu orang yang dizalimi, itu kami tahu. Tetapi, bagaimana membantu orang yang zalim wahai Rasulullah? Baginda bersabda, nasihatilah dia." Wahai, saudaraku Dr Asri, andaikata nasihatmu selama ini tidak didengari oleh UMNO, maka sertailah UMNO agar mereka mudah menerima nasihat daripadamu. Allah telah mengurniakan kepada saudara, kepetahan berkata-kata dan ilmu yang tinggi bagi menegakkan kebenaran, maka laksanakannya secara jujur dan amanah.


Jika saudara telah diminta untuk menyertai UMNO oleh pemerintah atau sultan, maka taatlah perintah tersebut. Sertailah UMNO dengan niat yang ikhlas - agar UMNO menjadi lebih baik daripada sebelum ini. UMNO ketandusan ulama yang berani dan berkaliber - justeru itu, Allah telah membuka hati saudara untuk membetulkan UMNO - maka bantulah, jangan diikut bisikan syaitan. Metod salaf sangat memusuhi perpecahan dan sangat membenci sikap mencaci dan mencerca pemerintah Islam. Lantaran fikir-fikirkanlah. Jika UMNO itu zalim, maka bantulah ia, nasihatlah ia dengan cara beradab. Semakin ramai golongan yang baik menyertai UMNO, maka semakin baiklah parti UMNO, makin ramai ulama ikhlas menyertai UMNO, maka semakin mudahlah Islam masuk dan membersihkan apa-apa yang tidak baik di dalam UMNO.


Percayalah, peranan saudara tidak akan berkesan apa-apa seandainya saudara berada di luar UMNO. Kritikan saudara, nasihat saudara - akan hilang dibawa angin. Namun demikian, hal ini akan berbeza (InsyaAllah) jika saudara bersama UMNO dan mengubahnya mengikut kemampuan saudara. Tidak semua ahli UMNO itu mengamalkan rasuah, berpoya-poya dengan perempuan, tidak mengerjakan solat, berzina, dan minum arak - sebaliknya masih ramai lagi ahli UMNO yang baik dan berakhlak - namun ia masih tidak mencukupi untuk mengubah UMNO. Justeru itu, orang seperti saudaralah yang diharapkan agar menyertai UMNO - mendidik, menasihat dan menegur perilaku ahli-ahlinya agar menjadi manusia yang lebih baik. Tetapi, seandainya saudara menjauhkan diri, maka saudara bukanlah seorang pejuang Islam yang tulen, yang sanggup berada di tengah-tengah masyarakat yang sudah rosak akhlaknya, demi menyelamatkan mereka daripada api neraka.


UMNO memerlukan seramai mungkin ulama seperti saudara. Ulama yang bersama UMNO pada saat ini masih belum mencukupi dan memberi impak yang besar terhadap akhlak dan dasar perjuangan UMNO. Seruan saya kepada saudara, sertailah UMNO, dan bantulah UMNO bagi menegakkan syiar Islam di negara ini. Janganlah hendaknya, saudara menjadi musuh kepada pemerintah Islam selagi mereka masih bersolat, berzakat dan tidak menghalang umat Islam beramal dengan ajaran Islam secara aman dan damai di negara ini. Nasihat pendek saya ini, tidak layak untuk saya sampaikan kepada saudara. Ilmu saudara dengan saya bezanya antara bumi dengan langit - namun demikian, atas dasar keihklasan dan persahabatan, saya memohon agar saudara menyertai UMNO bersama-sama dengan pendukung gerakan Salaf yang cintakan kebenaran dan keadilan. Mungkin tulisan saya ini akan dibenci oleh sesetengah pihak, namun itu bukan alasan untuk saya berhenti berjuang agar UMNO menjadi lebih baik. InsyaAllah. Wallahualam. Jazakumullah hukhairan kasiran wa syukran jazilan.

11 comments:

j3bat said...

Saya setuju.UMNO Perlukan penasihat yg tak takut jubahnya terpercik darah.

tamingsari said...

Umno menerima ulamak yang mempertahankan kalimah Allah dan tidak memfitnah atau memusuhi orang islam lain.

Umno memerlukan peranan ulamak bagi meneruskan perjuangan agama didalam parti dalam erti kata sebenar.

Anonymous said...

"Tidak semua ahli UMNO itu mengamalkan rasuah, berpoya-poya dengan perempuan, tidak mengerjakan solat, berzina, dan minum arak - sebaliknya masih ramai lagi ahli UMNO yang baik dan berakhlak - namun ia masih tidak mencukupi untuk mengubah UMNO"
Alahai Azli pengangkuan yg amat baik,aku malu andainya tulisan begini "masih ramai lagi ahli PAS yg tidak minum arak,kaki perempuan,berzina..." Memang sebahagian dari ahli UMNO bermacam-macam kaki... Dah berapa ramai ulama yg dah masuk UMNO Nakhaie,Hamid Osman,Abdullah Zain,Mashitah,Hurussani, Jamil Khir semua jadi terompah kayu kepada UMNO yg macam-macam kaki tu.Saya tak kata, Azli yg kata sebahagian ahli UMNO adalah kaki judi,kaki arak,kaki perempuan, berzina. Oleh itu beliau mengalu alukan Asri untuk turut dalam senarai terompah kayu UMNO.Syabas Azli

Anonymous said...

Alhamdulillah syukur. harap ramai lagi yg masuk UMNO. Sedikit dapat membantu memperkasakan UMNO dan memperbetulkan kesilapan para pemimpin yang telah dilakukan mereka khususnya perkara2 yang berkaitan hukum hakam agama

Anonymous said...

untuk menyatukan melayu,umno disarankan ubah dasar kepada islam.

Anonymous said...

Tahniah Dr Asri,

Perkara pertama yg tuan perlu tahu bahwa adanya dikalangan org umno sendiri yg tak senang tuan masuk kerna tuan telah di cap sebagai pembawa wahabbi.
Tetapi saya rasa, sebagai seorang cerdik pandai islam, tuan tidak akan berasa goyah diatas pertuduhan tersebut.
Tuan perlu lebih banyak mengadakan ceramah terbuka secara ilmiah bagi menceritakan pandangan dan fahaman tuan agar terungkai segala pertuduhan.
Saya mohon kehadrat ilahi dgn segala kebesaran yg dimilikiNya, tuan akan dirahmati dan diberi petunjuk bagi mengembalikan ukhwah yg terputus antara islam pas & umno demi ikatan islam sejagat.
InsyaAllah...

amri said...

Tahniah UMNO kerana akan berjaya membius seorang lagi ulamak yang lantang dan berani.

KADRAN said...

Sdr Azli, Jangan lemah dengan cabaran. Perkara yg baik memang tidak berapa disukai. Sekurang2nya sdr tidak hipokrit membuat pengakuan tentang UMNO. Lebih baik daripada mengatakan ahli2 parti aku bersih tapi menyimpan karat yg tersembunyi. Teruskan usaha anda membawa masuk Dr Asri ke dalam UMNO. Sekurang2nya ulamak2 yg berada dalam UMNO dan yg menyokong UMNO telah menjadikan pemimpin kita lebih berhemah, tidak caci maki.

loi said...

agaknya Nakhaie,Hamid Osman,Abdullah Zain,Mashitah,Hurussani, Jamil Khir skrg ni dah tak lagi solat dan mungkin telah menjadi peminum arak setelah masuk dalam umno? insaflah, Islam perlu bersatu.Sedangkan dgn puak syiah pun kita masih mengerjakan haji bersama inikan pula Umno.

Muhammad Azli Shukri said...

terima kasih atas komen tuan2 semua

shamshul anuar said...

Saudara Loi,

Kenapa saudara berkata begitu? Pernahkah saudara nampak mereka( yang ahli dalam islam) buat maksiat setelah masuk UMNO.

UMNO dan juga PAS memang perlukan ramai ulama. Kalau Dr asri masuk UMNO, itu hak dia. Janganlah kita hina dan berburuk sangka.

Dan pada PAS yang saya nampak seperti jual ugama seperti zaman Pope dulukala, insaflah tiada sesiapa boleh "claim" yang islam hak eksklusif mereka/

Ini bukan zaman padri zaman Pertengahan yang guna ugama untuk menguasai manusia.