Skip to main content

Apabila Khairy Bersuara Lagi...


Apabila Khairy Bersuara Lagi


Ibrahim 'gedebe politik' - Khairy

REMBAU 27 Jun - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini menarik balik perkataan 'jaguh kampung' yang diberi kepada Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, namun menggantikannya dengan 'gedebe politik' (samseng politik).

Beliau bagaimanapun bertegas tidak akan menarik balik kenyataannya terhadap Ibrahim yang disifatkannya sebagai penghalang konsep 1Malaysia.

Jelasnya, gelaran terhadap Ibrahim itu memang tepat berdasarkan tindak-tanduk Ahli Parlimen Pasir Mas itu selama ini, justeru beliau tidak akan meminta maaf ataupun menarik balik kenyataan yang dilemparkan terhadap Ibrahim sejak beberapa hari lalu. Khairy berkata, Ibrahim sebenarnya adalah ahli politik yang tidak laku dan apa saja yang dibuat oleh beliau sebenarnya adalah untuk dirinya sendiri.

"Saya menyesal panggil dia sebagai 'jaguh kampung' sebab apabila saya teliti betul-betul dia sebenarnya tidak layak dipanggil jaguh kampung sebab gelaran itu terlalu mulia baginya, tetapi hanya layak dipanggil 'gedebe politik' murahan.

"Dia perlu ingat bahawa kalau tidak kerana undi Pas dan UMNO, dia tidak akan menang sebagai calon Parlimen Bebas. Kalau kita lihat dia bertanding dulu di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir pada 2005, dia hilang deposit.

"Jadi macam mana dia kata perjuangannya adalah relevan, sedangkan dia tewas di kampungnya sendiri?" katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Serentak Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas dekat sini hari ini. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Rembau yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Ibrahim yang menyifatkan Khairy sebagai penyibuk berikutan tindakan Ketua Pemuda UMNO itu mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Khairy kemudiannya mempertahankan Ka Siong dan menggelarkan Ibrahim sebagai penghalang kepada konsep 1Malaysia yang diamalkan kerajaan dan 'jaguh kampung' ekoran isu itu. Dalam kenyataan balasnya semalam, Ibrahim secara sinis mencadangkan agar Khairy dilantik sebagai wakil tetap negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertaraf menteri kerana beliau sahaja yang memahami konsep globalisasi.

Tegas Khairy, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dalam memperjuangkan hak orang Melayu, tetapi ia tidak perlu dilakukan dalam kaedah yang agresif. Jelasnya, sekiranya UMNO tidak menjauhi gerak-geri dan rentak Ibrahim, ia akan mendatangkan implikasi buruk terhadap Barisan Nasional (BN).

"Kita kena pastikan bahawa sokongan terhadap BN datangnya dari semua pihak iaitu Melayu yang progresif serta Cina dan India.

"Ingin saya tegaskan yang kita tidak mahu terikut-ikut dengan cara Ibrahim yang boleh melukakan hati ramai pihak, bukan hanya orang Melayu tetapi kaum-kaum lain," katanya. Sementara itu, di Kuala Lumpur, Khairy ketika dihubungi berkata, beliau tiada masalah dengan perjuangan Perkasa, tetapi sebagai pemimpin sebuah organisasi sebegitu, Ibrahim perlu mengubah pendekatan dalam menangani sebarang isu. Jelasnya, sebagai seorang pemimpin muda, beliau berasa tercabar dengan 'serangan' terhadap dirinya dan pasti akan 'membalasnya' semula.


Ulasan saya

1. Saya menasihat saudara Khairy agar berhenti daripada terus menunjukkan permusuhannya dengan PERKASA. Beliau tidak akan menang - bahkan imejnya semakin buruk pada kaca mata masyarakat.


2. Yang penting Khairy harus menunjukkan kepada masyarakat "mana kaedah" yang dikatakan sangat betul dan bijaksana itu - andaikata cara atau kaedah perjuangan PERKASA dalam memperjuangan hak-hak keistimewaan orang Melayu selama ini, sudah dikira sebagai ketinggalan zaman. Tunjukkanlah kepada kita semua. Kami ingin tahu! Mana caranya yang sangat bijaksana itu?


3. Jika Khairy berpandangan bahawa cara "Agresif Ibrahim Ali" merupakan cara lama dan tidak lagi relevan dalam memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu, maka hasilnya ialah kelembikkan Pemuda UMNO sekarang! Yang jelas kelihatan lemah, lesu dan tiada taring. Jika kita mempunyai cara yang bijaksana bagi mengambalikan keyakinan rakyat pelbagai kaum terhadap Barisan Nasional - maka lakukan! Jangan tuduh orang lain sebagai batu penghalang kepada konsep 1Malaysia.


4. Jika Khairy ingin menjaga hati semua pihak, segera letak jawatan. Sikap inilah yang telah menghancurkan kepimpinan Pak Lah! Semua hati orang hendak dijaganya, hati Singapura hendak dijaga, hati Brunei hendak dijaga, hati orang Cina hendak dijaga, hati orang India hendak dijaga, hati Amerika Syarikat hendak dijaga...abis semuanya hendak dijaga! Sedar-sedar tanah air sendiri, kita gadaikan demi menjaga hati semua orang! Berikan apa-apa sahaja yang kita ada kepada orang lain, janji kita menjaga hati mereka - berikan Blok M dan Blok L kepada Brunei - janji kita jaga hati Brunei, berikan tanah Johor kepada Singapura - janji Singapura senang hati, berikan semuanya kepada bangsa lain, biar orang Melayu merempat - janji bangsa lain senang hati dan kita jaga hati mereka baik-baik! Begitu yang Khairy mahukan? Inikah gaya politik yang Khairy inginkan? Dan inikah yang dikatakan politik bijaksana dan politik gaya Khairy Jamaluddin?


5. Saya benar-benar sedih, sedih sunguh-sungguh melihat Pemuda UMNO pada hari ini. Bukan sahaja takut untuk bersuara bagi menyatakan hak kita sebagai penduduk asal di negara ini. Bahkan, kita sama-sama pula menyokong orang lain mempertikaikan hak yang kita sendiri milik. Malang sungguh nasib Pemuda UMNO - sudah jatuh ditimpa tangga. Kami faham, Khairy tidak mempunyai apa-apa masalah untuk hidup senang-lenang bagi tempoh 20 tahun yang akan datang, tetapi cubalah fikirkan nasib orang Melayu di kampung-kampung, mereka tidak mempunyai pendapat setinggi seorang ahli Parlimen Rembau, merangkap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, mereka juga tidak akan merasa nikmatnya menjadi menantu kepada seorang Perdana Menteri bahkan, mereka juga sama sekali tidak akan merasa bertapa leganya hati memperoleh "gaji pencen" sebagai seorang ahli parlimen.


6. Cukuplah Khairy, PERKASA bukan musuh Pemuda UMNO! Musuh kita yang sebenarnya ialah keegoaan dan keangkuhan diri kita sendiri. Jika dengan bangsa lain saudara boleh berbaik-baik, maka mengapa tidak dengan PERKASA? Wallahualam.


*Gambar menunjukkan salah satu "kebijaksanaan politik Khairy" yang gagal...maka apakah kita masih yakin dengan tuduhan kononnya perjuangan PERKASA sudah ketinggalan zaman?

Comments

hilbert said…
Slm 1Malaysia sdra Azli,

Bagus sangat pandangan saudara berhubung dengan pertelingkahan yang dimulakan oleh YB Khairy ini.

YB Khairy benar2 budak mentah rupanya, tapi kalau diukur dari segi usia dia dengan usia PM DS Najib masa mula YAB Perdana Menteri jadi wakil rakyat dulu maka sudah tentulah YB Khairy ini lebih matang dalam sebarang tindakannya namun sebaliknya.

YB Khairy tidak sepatutnya masuk campur dalam pertelagahan pendapat antara YB Datuk Ibrahim Ali dengan YB Datuk Dr Wee Ka Siong sekiranya beliau tidak tahu apa punca masalah sebenarnya, ni tak dia pulak yang berlebih-lebihan mendepani isu ini.
azlishukri said…
saya sependapat dengan tuan hilbert...
Anonymous said…
KJ kata, Melayu yg menyokong beliau adalah Melayu yg progresif iaitu Melayu yg telah dan mudah lupa terhadap apa yg beliau lakukan sewaktu bapak mertuanya berkuasa.
Melayu jenis ni tak ramai pun sebab tu dia nak jaga hati Cina dan India sangat2.
Tak usahlah kita ribut2 pasal KJ ni kerana beliau sememangnya sudah tidak relevan kpd perjuangan Melayu.
Riwayat politik KJ sudah pun hampir dipenghujungnya.
syamsul said…
kalo betol riwayat dah penghujungnya, syukur alhamdulillah..

dikhuatiri, kuncu2 akan sentiasa menyelamatkan kitol tak berguna ini.

semakin rancak kitol menentang ibrahim ali. ibrahim ali bkn sprt anwar, berjuang utk dptkan jawatan PM, tapi.. berjuang demi bangsa Melayu!

undurlah kitol kj!
Anonymous said…
Salam saudara,
Perbalahan diantara KJ dam Ibrahim Ali sebenarnya adalah satu perkara yg remeh kerana peerbezaan pendapat adalah satu cara utk mematangkan diri dlm politik. Pendidikan yg tinggi tidak semestinya satu advantage didlm politik ttp bagaimana kita berpolitik. Usahlah kita berbalah siapa yg betul atau tidak kerana masing2 ada pendapat tersendiri.

Apa yg penting kita harus mengkaji apa penyebabnya dan kelemahan kita semua.Ahli bawahan hanya dipanggil apabila ada mesyuarat cawangan utk mencukupkan korum. Itu belum lagi kita cerita pasal pemimpin bahagian, dicawangan pun tak boleh jaga. Macamana nak jaga rakyat.

Maaf haanya menyampaikan suara hati.
Anonymous said…
Nampaknya KJ ni semakin takabur dan ego , sikap dan perbuatan Kj hanyalah sia2 belaka , dia asyik komen orang tetapi dia sendiri gagal dalam melaksanakan apa yang berjaya dibuat Perkasa ,

tidak payah cakap banyak , KJ ni nak kena ajar , kasi out sama dia , tunggu pemilihan akan datang , tolak Kj , ganti dengan orang lain , bak kat orang tua2 daripada cempedak baiklah nangka , daripada rosak baiklah tiada ,

Kj sebenarnya merasakan PERKASA adalah sainganya untuk naik lebih atas , Kj semakin terdesak apabila aura PERKASA telah memadamkan bayang2 Kj , apabila merasa terancam maka dia menyerang individu yang menonjol dalam Perkasa , iaitu Ibrahim Ali ,
Kj tidak tahu apabila dia memusuhi Ibrahim Ali bermakna dia cari pasal dengan seluruh ahli PERKASA ,

pada KJ , perhitungan kita belum selesai , mari kita ramai2 tolak Kj masuk semak , dia tak bawa hasil apa2 pada bangsa melayu pun , berlagak je lebih ..
Anonymous said…
Sehingga kini kita tidak nampak suatu apa pun yang KJ dah buat untuk membantu pucuk pimpinan negara.

Pemuda makin layu. Tidak ada program yang dilaksanakan yang menjuruskan kepada menaikkan martabat UMNO. Yang digilainya ialah untuk mendapatkan jawatan dalam kabinet dengan menggunakan beberapa sumber tertentu untuk melobi DS Najib.

Tak usahlah jawatan yang dikejar. Berkhidmatlah dengan jujur dan ikhlas. Kalau rasa tak boleh, undur sahajalah.

Tidak ramai yang menangisi KJ sekiranya dia meletakkan jawatan. Yang gembira dan mengalu-ngalukan pasti ramai. Jadi ikutlah kehendak ramai.

AHZ.

Pilihan Pembaca

Penulis dua dari kanan bersama dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Pada 10 September yang lalu, Sidang Editor Bahagian Majalah berkesempatan berbuka puasa bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Sime Darby Convention Center. Terima kasih atas Jemputan tersebut. Jazakumullahu Khairan Kasiran. * Dari kiri Ros, Suria Janib (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), A. Zaidel (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), Datuk Seri Khaled Nordin, Muhammad Azli Shukri (Editor Dewan Ekonomi) , dan Armin Azhari (Editor Pelita Bahasa ).
Nasihat Pemimpin Patuhi Etika Islam Oleh Muhammad Azli Shukri (Artikel saya ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 18/09/2003) Dalam Islam, pemimpin atau pemerintah yang telah dilantik haruslah diikuti perintahnya, selagi perintah tersebut tidak bercanggah dengan suruhan wahyu dan perintah Rasul, seperti mana firman Allah di dalam surah an-Nisa ayat 59, "Wahai orang-orang yang beriman! patuhilah olehmu perintah Allah dan patuhilah olehmu perintah Rasul dan ulil amri di antara kamu." Oleh kerana para pemimpin atau pemerintah merupakan manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat, maka mereka juga wajib diberi nasihat oleh rakyat yang sedang di pimpinnya, bersesuaian dengan roh Islam itu sendiri yang berteraskan kepada amar makruf nahi mungkar, sebagaimana firman Allah, "Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.'' (
MONOLOG AZLI SHUKRI Bab 10 : Muhammad Azli Shukri Lagi! Saya agak sukar untuk menulis Monolog ke-10 saya pada kali ini. Saya merasakan inilah monolog yang sangat susah untuk saya meluahkannya. Saya tidak tahu, bagaimanakah harus saya sampaikan monolog saya pada kali ini? Apakah saya harus menulis atas prinsip saya sebagai seorang wartawan? Atau sebagai seorang ahli politik? Atau sebagai seorang penulis bebas? Atau sebagai seorang editor? Semua ini menyukarkan saya untuk menulis monolog saya yang terakhir pada bulan ini. Saya merasakan bahawa saya harus berterus terang dengan jujur dan amanah, tanpa rasa takut dan kesal, kerana kebenaran dan jihad harus ditegakkan dengan segala kekuatan yang ada. Yang pasti, kebenaran tidak boleh disembunyikan lagi. Dan Sesungguh, untuk menjadikan kejahatan bermaharajalela, cukuplah sekadar kebenaran mendiamkan diri! Saya tidak berupaya membiarkan itu semua berlaku. Dan untuk kali ini saya harus bercakap benar dengan nada yang berterus terang. A