Tetamu Kehormat...

December 29, 2009

Memperkasakan Perkasa


MEMPERKASAKAN PERKASA


KUALA LUMPUR 28 Dis. – Sudah menjadi lumrah dunia, setiap sesuatu yang mula menarik perhatian umum akan dicemburui, lebih teruk lagi apabila terdapat pelbagai usaha untuk menghancurkannya.

Sedari atau tidak, Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan keistimewaan kaum pribumi negara ini mula terkena tempias jahat itu. Pendedahan itu dibuat oleh Veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid dalam entri bertajuk Yahudi kuasai dunia melalui NGO, satu formula untuk survival bangsa dalam blognya, sanusijunid.blogspot.com.

Menurut beliau dalam entri itu, maklumat yang amat mengejutkan itu diterima daripada seorang ketua UMNO cawangan, sebuah Bahagian UMNO di Perak semasa tiba untuk merasmikan penubuhan Perkasa cawangan Perak pada 19 Disember lalu.

“Sebaik turun daripada kereta, seseorang telah mendekati saya dan membisikkan bahawa beliau ialah seorang Ketua UMNO Cawangan yang telah menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) dari Ketua UMNO Bahagiannya supaya dia tidak hadir dalam majlis PERKASA pada hari itu.

“Katanya semua Ketua UMNO Cawangan dalam bahagian yang berkenaan telah menerima SMS yang sama.

“Selepas itu ada lagi ahli UMNO memaklumkan kepada saya bahawa ada pihak yang menyatakan bahawa Perkasa ditubuhkan untuk memecah belahkan masyarakat,” katanya.

Tambah Sanusi, jika benarlah seperti apa yang didakwa itu, beliau amat kecewa dan kasihan dengan sikap orang-orang UMNO berbanding Perkasa sendiri yang hanya merupakan sebuah NGO sahaja.

“Sebagai seorang yang keanggotaan UMNOnya nombor 007 saya tidak mungkin mengkhianati UMNO untuk menyokong penubuhan Perkasa jika sekiranya Perkasa adalah sebuah pertubuhan yang saya fikirkan akan memecah belahkan UMNO, masyarakat atau bangsa.

“NGO boleh membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) asalkan pimpinannya mempunyai sikap yang betul yang diikuti oleh amalan yang menarik pengundi dan rakyat. Menghalang ahli-ahli UMNO daripada menghadiri perjumpaan Perkasa bukanlah tindakan yang menguntungkan,” katanya.


Ulasan Saya : Saya melihat perjuangan PERKASA sama sekali tidak jauh bezanya dengan perjuangan UMNO. Lantaran itu tidak perlu rasanya gerakan NGO tersebut disabotaj atau disekat. Banyak maklumat yang berguna dan penting untuk diketahui oleh orang Melayu dalam menuntut hak mereka di bumi tercinta ini. Yang penting sekarang ialah PERKASA mesti diperkasakan.Wallahualam.

December 24, 2009

Mahathir Tetap Berjasa Selama 22 Tahun


Mahathir Tetap Berjasa
Selama 22 Tahun


Oleh Shamsul Amri Baharuddin


Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah diberi pelbagai nama jolokan dan gelaran, positif dan negatif, oleh pelbagai kelompok manusia, kawan dan lawan, di dalam dan luar Malaysia.

Kepada kawan di Malaysia beliau pernah dipanggil `Bapak Perindustrian', `Perwira Melayu', `Bapak IT' dan puluhan lagi gelaran. Kepada kawan di luar Malaysia beliau pernah dikenal sebagai `The Voice of the South, The Master Strategist', `Hero of the Underdog' dan paling terakhir sebagai Ibnu Khaldun abad ke-21.

Kepada lawan di Malaysia beliau pernah dicemoh sebagai `Penjahanam Bangsa', `Penjual Harta Negara', `Pembela Korporat Korap' dan pelbagai lagi gelaran yang tak enak bunyinya. Di luar Malaysia, media Barat pernah menggelarnya `The Dictator', `Anti-Semitic', `Authoritarian and Corrupt' dan bermacam lagi nama yang keji bunyinya.

Yang menariknya, gelaran-gelaran ini amat terpolarisasi sifatnya, sama ada terlalu memuji-memuja atau sangat negatif dan seolah-olah mengeji. Tidak ada gelaran yang `jalan tengah' dalam mana ciri-ciri positif dan negatif tersimpul satu. Maka demikian keadaannya sungguh menarik kepada ramai pemerhati mengenai Dr. Mahathir.

Dapat disimpulkan bahawa Dr. Mahathir, biar apa pun gelaran yang diberikan oleh sesiapa saja, adalah seorang tokoh yang mendapat perhatian umum dan cukup luas audiennya, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Di kalangan anggota ASEAN beliau dianggap sebagai seorang pemimpin yang full-of-substance, atau kental lagi berisi.

Dalam UMNO ada yang menganggapnya sebagai seorang magician, yang punyai banyak muslihat dan mantera. Ada juga yang melihatnya macam seorang guru besar yang garang dan kuat disiplin serta suka merotan. Tak kurang juga bilangan orang BN dan UMNO yang melihatnya sebagai seorang intelektual, yang dilatih dalam bidang kedoktoran perubatan, tetapi menguasai ilmu dan infomasi yang mendalam tentang pelbagai bidang lain.

Kalau kita teliti setiap komen, pemerhatian dan gelaran yang telah diberikan terhadap Dr. Mahathir kita akan dapati beliau mempunyai kesemua ciri tersebut. Seperti cerita kanak-kanak tentang 12 orang buta dengan seekor gajah, tidak ada seorang pun yang memberikan komentar terhadap Dr. Mahathir telah mengalami semua aspek kesan daripada kepimpinannya. Lain orang, lain pengalamannya dalam berinteraksi dengan Dr. Mahathir. Maka lainlah persepsi dan pandangan mengenai beliau.

Apabila kita gaur-campur kesemua pandangan ini, maka Dr. Mahathir bukan hanya seorang `gajah', malah jauh lebih besar dari itu. Sebenarnya beliau adalah suatu fenomena. Biar sebanyak manapun pandangan yang telah diluahkan oleh pelbagai orang dan yang telah dirakamkan dalam bentuk tulisan, jauh lebih besar lagi bilangan manusia di seluruh dunia yang mempunyai pandangan masing-masing mengenai Dr. Mahathir tetapi tidak meluahkannya secara terbuka. Mungkin mereka tidak ada kesempatan berbuat demikian atau tidak punyai saluran untuk menyuarakannya.

Yang menyokong atau membangkang mungkin mengatakan bahawa bangunan Petronas Twin Tower sebagai `Twin Tower Mahathir', perlumbaan kereta Formula 1 di Sepang sebagai `F1 Mahathir', jambatan Pulau Pinang sebagai `Jambatan Mahathir', lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur, atau KLIA, sebagai `KLIA Mahathir', lebuh raya Utara-Selatan sebagai `Lebuh Raya Mahathir', yang pastinya, dari sudut linguistiks, perkataan atau nama Mahathir sudah menjadi suatu idiom yang telah diterimapakai dan digunakan dalam wacana rasmi dan perbualan seharian di Malaysia.

Apabila sesuatu hal atau seseorang mempunyai pengaruh dan kesan yang bagitu luas dan mendalam dalam sesebuah masyarakat, lokal dan global, seperti kini yang dialami oleh Dr. Mahathir, maka, dari sudut sosiologikal, ia mengangkat sesuatu hal atau tokoh berkenaan ke taraf suatu fenomena. Maka tidaklah keterlaluan untuk mengungkapkan Dr. Mahathir sebagai suatu fenomena. Inilah pertama kali seorang pemimpin Malaysia boleh dikategorikan sedemikian.

Yang paling penting ialah tempoh jangka waktu yang panjang beliau menerajui Malaysia. Beliau bermula, awalnya, sebagai seorang Menteri Kabinet, pada 1974, dan akhirnya menjadi Perdana Menteri, pada 1981 dan bersara pada 2003. Ertinya, beliau telah menjadi Menteri Kabinet kira-kira 30 tahun dalam tempoh 46 tahun Malaysia merdeka.

Yang paling signifikan ialah fakta bahawa hampir 22 tahun, dalam tempoh 30 tahun beliau menjadi Menteri Kabinet itu atau dalam tempoh 46 tahun Malaysia merdeka, beliau telah menjawat jawatan Perdana Menteri. Oleh kerana jawatan-jawatan kabinet yang telah beliau sandang itu, seperti Menteri Pelajaran dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Antarabangsa, adalah jawatan-jawatan yang sangat tinggi profilnya di pandangan masyarakat tempatan dan dunia, maka beliau senantiasa berada dalam pemerhatian umum, setidak-tidaknya dalam radar sosial setiap rakyat Malaysia.

Dalam bidang kajian demografi, tempoh 30 tahun itu dihitung sebagai satu generasi. Maka Dr. Mahathir telah memerintah selama satu generasi. Oleh yang demikian, segala dasar dan pelaksanaan dasar yang digubalnya mengesankan setidak-tidaknya tiga generasi, iaitu, generasi beliau (yang berumur 50-an semasa beliau mula-mula menjadi Menteri Kabinet), generasi yang lahir lepas kemerdekaan 1957, dan generasi yang lahir selepas beliau menjadi Menteri Kabinet.

Ini bermakna kesan pelaksanaan semua dasar yang diperkenal oleh Dr. Mahathir telah mengesankan tiga generasi rakyat Malaysia. Tidak pernah seorang Perdana Menteri Malaysia sebelum beliau memerintah lebih dari satu generasi.

Faktor jangka waktu ini sangat signifikan dalam meletakkan beliau sebagai seorang pemimpin yang mencapai taraf fenomena. Kerana beliau punyai waktu yang relatifnya sangat panjang untuk memperkenalkan sesuatu dasar, melaksanakannya, merobahnya bila perlu dan memperkenal sesuatu yang baru. Dalam kata lain, kita telah didedahkan kepada pemerintahan gaya Mahathir cukup panjang.

Dalam tempoh berkenaan beliau telah mampu atau terpaksa menangani pelbagai isu domestik yang mencabar. Dalam tempoh berkenaan juga beliau mempunyai waktu dan ruang untuk menerobos ke arena politik antarabangsa dan melibatkan diri dengan aktif.

Dalam konteks Malaysia, beliau telah melakukan satu anjakan paradigma penting dalam bidang ekonomi yang mengesankan kehidupan setiap rakyat Malaysia. Beliau telah merobah wajah ekonomi Malaysia daripada bergantung kepada komoditi utama, seperti bijih, getah dan kelapa sawit, kepada yang berorientasikan pengeluaran industri untuk eksport. Dalam bidang pengeluaran industri ini pula Malaysia tidak hanya menumpukan kepada pengeluaran dan eksport barangan yang menggunakan teknologi rendah dan sederhana (seperti industri membuat pakaian, bahan elektronik dan lain-lain) tetapi juga yang menggunakan teknologi tinggi (seperti industri automobil, ICT dan aeroangkasa).

Limpahan ekonomi daripada anjakan paradigma ekonomi ini telah dirasakan oleh rakyat Malaysia dengan meningkat berlipat gandanya pendapatan per kapita daripada sekitar AS$800 ke AS$3,000 dalam tempoh dua dasawarsa. Loncatan pendapatan per kapita inilah yang dijadikan bahan bualan dan pujian, malah menimbulkan semacam rasa ajaib, di kalangan pimpinan negara-negara Dunia Ketiga, OIC, dan juga pimpinan negara maju G7 serta badan-badan dunia seperti Bank Dunia dan IMF.

Kejayaan ekonomi ini pastinya telah melibatkan pembentukan rangkaian hubungan bilateral dan multilateral dalam bidang ekonomi dengan pelbagai negara di dunia dan juga dengan gergasi-gergasi syarikat multinasional global. Berlandaskan hubungan ini dan juga kejayaan yang dicapai telah memungkinkan beliau menerobos ke arena politik antarabangsa.

Beliau telah memprofil Malaysia, di pentas politik global, sebagai sebuah middle-range power, justeru melipat gandakan kegiatan Malaysia dalam ASEAN, APEC, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Mesyuarat ASEAN-Eropah (ASEM) dan akhir-akhir ini OIC. Melalui platform wacana Selatan-Selatan dan Dialog Antarabangsa Langkawi beliau bukan sahaja meletakkan Malaysia sebagai sebuah kuasa politik bahkan juga sebagai satu model pembangunan ekonomi yang boleh dijadikan ikutan.

Banyak lagi kegiatan yang boleh disenaraikan yang telah dilaksanakan oleh Dr. Mahathir dalam tempoh 30 tahun sebagai Menteri Kabinet termasuk 22 tahun sebagai Perdana Menteri, yang mengesankan manusia dalam dan luar Malaysia. Tidak semuanya berjaya. Adunan kejayaan dan kegagalan beliau itu telah memperkukuhkan lagi klise bahawa manusia itu tidak sempurna.

Kejayaan beliau dalam ketidaksempurnaan itulah yang telah menjadi buah mulut sedunia dan akan terus menjadi buah mulut. Inilah yang sebenarnya telah mengangkat Mahathir ke taraf suatu fenomena.

- Prof Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin adalah Pengarah Institut Kajian Oksidental (Ikon).

Blog Pro-Kerajaan Diserang!


Blog Pro-Kerajaan Diserang!


Usaha untuk memadamkan kebenaran semakin giat dijalankan oleh para hacker (penggodam) untuk menutup kelemahan parti pembangkang atau pemimpin agung mereka, Anwar Ibrahim. Setelah salah seorang blogger Pembela Negara, saudara Kumbang melalui blognya analisisringan.blogspot.com digodam dua hari yang lepas, para hacker ini bersembunyi dibalik nama blog tersebut untuk melancarkan serangan bertali-arus terhadap blog-blog yang pro kerajaan lewat petang semalam dan sehari sebelumnya. Blog saya juga tidak ketinggalan daripada diserang sebanyak dua kali melalui domain blog milik Kumbang tersebut. Serangan terpaksa dipatahkan seberapa segera, agar domain atau tapak blog tersebut tidak digunakan lagi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi melancarkan serangan yang penuh dengan kejelekan dan tidak bermaruah ini daripada terus-menerus memporak-perandakan persahabatan serta hubungan ukhwah sesama blog pro-kerajaan. Modus operandinya adalah sangat mudah - iaitu memilih salah satu domain/tapak blog milik pro-kerajaan untuk menyerang blog kawan-kawan mereka sendiri, agar masing-masing saling tuduh-menuduh dan bergaduh. Dikenalpasti hampir dua ratus serangan godaman dilakukan melalui blog analisis ringan - hal ini sangat membimbangkan. Saya yakin dan percaya ini merupakan satu perancangan yang terperinci bagi menutup mulut para bloggers yang jelas menyokong kerajaan. Nasihat saya hanya satu - mengapa kita harus menggunakan cara kotor dan jijik ini, jika kita yakin berada di pihak yang benar? Mengapa ada sesetengah blogger yang masih tidak matang pemikirannya dengan merosakkan blog orang lain? Bukankah lebih baik berhujah dan berdialog dengan cara intelektual daripada menggodam blog dan mengharu-birukan domain milik orang lain? Kerja jahat semacam ini hanya dilakukan oleh golongan yang berada dalam keadaan terdesak. Tetapi percayalah, kebenaran tidak akan mungkin mampu disembunyikan dan blog-blog yang jujur akan tetap wujud sampai bila-bila. Wallahualam.

December 23, 2009

Menjawab Buku Fitnah Terhadap Mahathir


Menjawab
Buku Fitnah Terhadap Mahathir



Apabila buku bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times diterbitkan baru-baru ini, maka - riuh-rendahlah semua orang - khususnya parti pembangkang kononnya mahu mengheret Tun Mahathir ke muka pengadilan. Malah, tuduhan kononnya Tun Mahathir bertanggungjawab atas "kehangusan" RM100 billion wang negara kerana membina pelbagai projek mega selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia, menjadi agak janggal kerana tidak pula dikaitkan secara adil dengan pencapaian unggul beliau selama 22 tahun yang terbukti berjaya menarik pelaburan dan keuntungan kepada negara sebanyak hampir RM300 billion. Bahkan, di sisi lain pula - jika kita merupakan manusia yang ada "otak" pelaburan Tun Mahathir - jika sekali pun benar bahawa beliau telah membelanjakan RM100 billion untuk membina projek mega selama beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia - maka pulangannya pula adalah sebanyak RM300 billion kepada negara selama 22 tahun beliau memerintah - bukankah itu, untung namanya? Inilah agaknya apa yang dikatakan oleh orang tua-tua, bodoh sombong tidak boleh diajar.


Saya bukan mahu membela Tun Mahathir membuta-tuli - tetapi, sebagai manusia yang ada hati dan fikiran - kita harus menilai Tun Mahathir secara objektif - dan bukan melalui perkiraan matematik. Cubalah fikirkan RM100 billion yang dibelanjakan oleh Tun Mahathir sepanjang 22 tahun pemerintahnya bukanlah dilulusakan oleh beliau seorang semata-mata, sebaliknya ia melibatkan ramai pihak - termasuk pemimpin agung pembangkang yang bernama Anwar Ibrahim. Perbelanjaan sebanyak RM 100 billion itu telah diluluskan secara kolektif oleh jemaah menteri dan bukan Tun Mahathir seorang. Apakah semua masalah yang sedang melanda negara pada hari ini hendak diletakkan di atas bahu Tun Mahathir semata-mata? Kejahilan yang semacam mana lagi hendak kita ikut? Selama 22 tahun Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia beliau telah melabur sebanyak RM100 billion - manakala pulangannya pula adalah sebanyak hampir RM300 billion kepada negara - bagi tempoh yang sama - malah, kerana "RM 100 billion" itu jugalah ekonomi Malaysia menjadi begitu makmur sehingga menyebabkan beribu-ribu pekerja dari Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, Thailand, Myammar dan Kemboja mencari rezeki di negara ini. Bahkan, kerana "RM 100 billion" itu jugalah anak-anak tempatan mendapat pekerjaan dan pendapatan yang baik semasa pemerintahannya. Dan kerana "RM 100 billion" itu jugalah negara tercinta kita ini terkenal di seluruh dunia dan menjadi contoh kepada negara Islam lain. Tetapi, malangnya, kita terus diperbodohkan-bodohkan dengan angka dan matematik - sehingga kebaikan ditukar menjadi perjudian dan pelacuran. Apakah kita masih tidak mahu sedar-sedar bahawa dengan "RM 100 billion" itu jugalah ekonomi Malaysia meningkat dari negatif 1 peratus pada tahun 1980-an menuju ke angka 7 dan 8 peratus setahun selepas itu. Apakah kita masih terus mahu diperbodohkankan, sedangkan kita sendiri menyedari bahawa dengan "RM 100" billion itulah anak-anak kita mudah masuk ke universiti walaupun keputusan SPM dan STPM mereka kurang memuaskan? Lantaran begitu banyak penubuhan universiti yang diluluskan oleh Tun Mahathir pada zamannya - dan kini hampir setiap negeri di Malaysia mempunyai universitinya sendiri. Apakah kita ingin nafikan bahawa dengan "RM 100" billion itulah kerajaan membangunkan negara dan memperoleh cukai untuk membayar gaji kita dan anak-anak kita? Nah! sekarang ini - kita lebih mempercayai si tukang fitnah bernama Barry Wain yang menulis buku tersebut - lalu kita pun bersorak, "Horey..Horey..Horey..Mahathir Kena Tembak" - maka kitalah sebenarnya Si Kitul yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih. Wallahualam.

Satu Tindakan Bijak


Satu Tindakan Bijak


KOTA BHARU 22 Dis. – Sehari selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah agar tidak tinggal bersama isteri keduanya, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Dr. Rosli Allani Abd. Kader meletakkan semua jawatan dalam parti itu berkuat kuasa serta- merta. Keputusan itu diambil beliau selepas kes perkahwinannya dengan Ilyani Mohd. Noor, 30, mendapat liputan meluas media hari ini. Menurut Dr. Rosli Allani, 35, surat peletakan jawatannya akan dihantar kepada Dewan Pemuda Pas Kelantan (DPPNK) dalam masa terdekat.

Beliau turut memohon maaf kepada pucuk pimpinan dan ahli-ahli Pas jika masalah peribadinya telah mencalar imej atau mendatangkan masalah kepada parti. Dalam pada itu, beliau turut mengakui menjadi mangsa sindiket perkahwinan diuruskan oleh seorang bekas imam muda yang memberikan sijil dan kad perkahwinan tidak didaftarkan.

Menurutnya, walaupun yakin berada di pihak yang benar, peletakan jawatannya itu adalah untuk menjaga nama baik, integriti dan persepsi masyarakat terhadap Pas.

“Saya meletakkan kesemua jawatan dalam Pas berkuat kuasa serta-merta. Saya juga telah meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri sebagai pegawai khas kepada ahli Exco pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Begitu pun saya masih kekal dan setia sebagai ahli Pas. Saya serahkan masa depan politik saya sepenuhnya kepada pertimbangan pucuk pimpinan dan ahli-ahli Pas untuk menentukannya,’’ katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini bagi menjelaskan isu perkahwinan keduanya selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu semalam memerintahkan dia dan isteri keduanya tinggal berasingan, sehingga keputusan dibuat. Ia berikutan permohonan bapa mertuanya, Mohd. Noor Che Man, 58, seorang ahli perniagaan untuk membatalkan perkahwinan pasangan tersebut kerana percaya perkahwinan yang berlangsung di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor pada 26 Disember 2008, tidak sah. Dr. Rosli Allani berkata, perkahwinan dengan isteri keduanya itu dilakukan dengan hati yang suci setelah menyedari wujudnya perasaan kasih antara mereka berdua.

“Saya dan isteri telah banyak kali cuba mendapatkan persetujuan bapa mertua, namun berdepan dengan kegagalan sekalipun isteri pertama saya telah memberi persetujuan untuk berpoligami.

‘‘Disebabkan halangan bapa mertua, saya menggunakan wali hakim, ini pun setelah saya diberi jaminan oleh rakan yang pernah memegang jawatan imam muda sebuah masjid negeri bahawa perkahwinan yang diuruskan tidak menyalahi undang-undang,” ujarnya.

Dr. Rosli Allani bagaimanapun menafikan peletakan jawatan itu disebabkan wujudnya tekanan ekoran kenyataannya agar Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Abdul Ariffahmi Abd. Rahman melepaskan segera jawatannya demi kepentingan parti. Ditanya sama ada Abdul Ariffahmi patut mengikut langkahnya dengan meletakkan segera jawatan demi kepentingan parti, beliau enggan mengulas.


Ulasan Saya : Saya fikir ini adalah langkah bijak Dr Rosli - meletakkan jawatan dan menjauhkan diri daripada fitnah politik. Tak salah jika kita ingin berkahwin dua atau tiga. Tetapi - kita harus ingat tidak semua perkara peribadi boleh dipolitikan. Dalam soal ini - saya fikir kita harus ada etika serta tahu membezakan antara politik dan peribadi. Jika peribadi seseorang ahli politik itu kotor seperti perasuah, penzina, perogol, peliwat, pencuri atau sebagainya maka wajiblah kita menolak ahli politik tersebut, sebaliknya jika seseorang ahli politik itu berkahwin dua, atau tiga atau empat sekali pun, dan mengikut lunas-lunas yang diizinkan oleh syarak - maka janganlah dipolitikan. Dalam isu Dr Rosli ini, masalahnya bukanlah beliau berkahwin dua - sebaliknya cara perkahwinan keduanya yang sangat meragukan - maka eloklah beliau meletakkan semua jawatannya dalam politik. Hal ini juga merupakan pengajaran kepada PAS agar memastikan setiap ahlinya benar-benar ditarbiyyah dan dididik dengan kefahaman agama yang secukupnya, sebelum mereka terjun ke medan politik Islam. Wallahualam.

December 15, 2009

Bagi Anwar - Kerajaan Semua Tidak Betul


Bagi Anwar Ibrahim
Kerajaan Semua Tidak Betul


KUALA LUMPUR, Dis 15: Bajet 2010, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini hanya diluluskan dengan majoriti tiga undi sahaja iaitu 66 menyokong dan 63 menentang dalam pengundian lewat malam tadi. Ia berlaku apabila bajet 2010 itu dibuat bacaan untuk kali ketiga dan diluluskan lewat malam tadi. Ia menjadi ujian besar kepada kredibeliti Najib kerana ini adalah bajet pertama yang beliau bentangkan.

Peristiwa ini juga adalah yang pertama kali berlaku apabila satu bajet diluluskan dengan perbezaan undi yang sangat tipis. Jika ditolak, ia membawa implikasi besar terhadap kerajaan pimpinan Umno itu. Semasa undian dibuat peringkat Jawatankuasa untuk Kementerian Dalam Negeri, iaitu kementerian yang terakhir yang dibahaskan, ia hanya diluluskan dengan majoriti satu undi sahaja.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan beberapa menteri kebinet bergegas ke Parlimen malam tadi bagi mengundi untuk bajet keseluruhan. Najib bergegas ke Parlimen selepas berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-90 Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di sini malam tadi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga bergegas ke Parlimen dari lokasi majlis tersebut. Kini, BN mempunyai 137 wakil di Dewan Rakyat manakala PR 82 manakala tiga yang lain adalah Bebas.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usulnya mencadangkan agar bajet itu dikaji balik kerana ia sudah tidak realistik lagi setelah pendapatan Petronas merudum sebanyak RM58 bilion iaitu 37.5 peratus berbanding tahun lalu. Sedangkan, katanya, bajet 2010 terlalu bergantung kepada pendapatan Petronas iaitu sebanyak 40 peratus. Oleh itu bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri itu perlu ditarik balik kerana ia sudah tidak relevan lagi.

Usul itu bagaimanapun ditolak oleh Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi. Bagi Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, perbahasan bajet tersebut sebagai suatu perbahasan yang tidak sempurna serta gagal menggamit keyakinan para Ahli Parlimen yang hadir.

"Perbahasan itu selesai dengan suasana ketidaktentuan dan ketidakyakinan," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Jelasnya, 66 sokongan berpihak pada kerajaan dan 63 sokongan berpihak pada pembangkang tersebut bukanlah perkara pokok untuk menilai 'Bajet Sulung Najib'.

"Pokoknya, ia bukan persoalan undi itu terbelah (dengan) 63 (menyokong pembangkang) lawan 66 (menyokong kerajaan) walaupun ianya nampak agak sengit," katanya.

"Ianya terlalu bergantung pada mereka yang hadir dan tidak ke parlimen, kalau (Ahli Parlimen) pembangkang yang lebih banyak sertai Parlimen, tentunya sokongan berpihak pada pembangkang."

Sebaliknya, beliau yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPPP) mengajak semua pihak melihat inti kelemahan dalam 'Bajet Sulong Najib' itu. Katanya, kelemahan yang dimaksudkan pada perbentangan Najib yang juga Menteri Kewangan adalah soal pengurangan RM58 bilion wang Petronas yang sepatutnya diterima dalam suku akhir tahun ini.

"Yang lebih penting, lihat pada kelemahan Bajet (seperti) kerajaan kehilangan RM58 bilion hasil Petronas...menggambarkan Najib lemah untuk menjadi Menteri Kewangan," ujarnya.
Tambahnya lagi, kerajaan dan rakyat sepatutnya mengambil perhatian dengan Usul Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Bajet 2010 dinilai semula. Beliau turut berpandangan bahawa 'Bajet Sulung Najib' akan menemukan kegagalan disebabkan kelemahan kerajaan dalam menghitung pendapatan dan perbelanjaan yang sewajarnya.

"Bajet adalah soal pendapatan dan perbelanjaan...tentunya bajet (yang) defesit akan terus melebar kerana jangkaan awal (Bajet 2010) pun sudah memperlihatkan tidak tepat," katanya.


Ulasan Saya : Satu soalan saya yang ingin saya tanyakan kepada pembangkang : Mengapa tiada kritikan pembangkang terhadap Bajet Negeri Kelantan yang jelas saban tahun defisit? Mengapa Anwar tidak menggunakan segala keajaibannya untuk menyelamatkan ekonomi Kelantan? Pembangkang hanya pandai mencari kelemahan kerajaan dan sekarang cuba cari kebaikan kerajaan pula? Tak kan tak ada kot? Kesimpulannya - pembangkang di Malaysia bukanlah bertujuan untuk membantu pihak kerajaan dalam mengurusakan negara, sebalik lebih inginkan kuasa yang ada dalam genggaman BN - itu sahaja. Oleh sebab itu, maka saya cadangkan agar pihak kerajaan segera mengambil tindakkan kepada mana-mana parti pembangkang yang jelas merosakkan keharmonian negara. Wallahualam.

PAS adakan Kempen "UMNO Pengkhianat Rakyat"


PAS Adakan Kempen
"UMNO Pengkhianat Rakyat"



KUALA LUMPUR, 14 Dis: PAS akan melancarkan kempen 'Umno Pengkhianat Rakyat' pada 9 Januari 2010 bagi membongkar segala pembohongan dan juga kezaliman yang telah dibuat oleh Umno hingga ke hari ini kepada rakyat khususnya bagi orang-orang Melayu dan umat Islam. Ketua Penerangannya, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu jentera penerangan disemua peringkat telahpun diminta bersedia untuk mengerakkan kempen tersebut hingga ke peringkat akar umbi, khususnya dikubu-kubu kuat Umno bagi memastikan rakyat dapat melihat wajah sebenar Umno.

"PAS akan mengunakan segala fasiliti media dan saluran maklumat yang pelbagai bagi memperjelaskan fakta-fakta kezaliman yang selama ini disembunyikan oleh Umno.

"Umno yang selama ini selalu melaung-laungkan slogan Hidup Melayu kini tersepit kerana semakin ramai orang-orang Melayu hilang kepercayaan kepada Umno selepas beberapa siri kezaliman yang mereka lakukan.

"Kaum Cina, India dan lain-lain bangsa juga semakin menjauhi Umno yang kini menjadi diktaktor dalam BN dan menjadi pemimpin defacto kepada parti-parti bermasalah seperti Gerakan, PPP, MIC dan MCA," katanya.

Sehubungan itu semua Ketua Penerangan PAS negeri diminta supaya berkerja keras untuk memastikan Umno dapat ditumbangkan dikubu-kubu kuat mereka pada Pilihanraya ke-13 nanti. Lajnah Penerangan PAS Pusat juga jelasnya sudah menyiapkan buku kecil yang menjelaskan umno khianat kepada Islam dan Melayu di negara ini.


Ulasan Saya :Jika PAS mampu melancarkan kempen jijiknya ini - maka UMNO juga perlu segera melancarkan kempen yang seumpamanya itu : Justeru ini saya menyeru agar semua blogger UMNO segera melakukan kempen bagi menghancurkan parti pembangkang di Malaysia - jelas pembangkang di Malaysia bukannya bertujuan untuk mencari kebenaran, sebaliknya hanya mahu menjatuhkan kerajaan semata-mata. Antara kempen yang saya cadangkan adalah seperti berikut : 1. "Kempen Benci DAP", "Kempen PAS Khianat Islam". "Kempen Tolak Parti Pembangkang" dan "Kempen Pulaukan DAP". Wallahualam

December 14, 2009

PAS Haramkan Perkataan "Salam 1Malaysia"?


Mengapa PAS
Mahu Haramkan Perkataan
"Salam 1Malaysia"?


KOTA BHARU, 14 Dis (Harakahdaily): Selepas Islam Hadhari tenggelam bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi, kini rakyat digalakkan melakukan perbuatan bidaah (tidak menjadi amalan Nabi Muhammad saw) apabila dipaksa melafazkan ucapan 'Salam 1Malaysia’. Ulama menjelaskan ucapan seperti itu merupakan satu perbuatan bidaah dan tidak ada dalam Islam.

Malah, kata mereka ucapan itu seperti mempersendakan Islam yang menganjur umatnya melafaz ucapan 'assalamu alaikum warahmatullahi wabarakaatuh'. Sehubungan itu, ia perlu dikaji semula dan pandangan dari para ulama yang adil perlu diambil untuk menilainya. Bekas Yang Dipertua Abim Kelantan, Mohamad Mustafa berkata, ucapan Salam 1Malaysia adalah salam nasionalisme yang berpangkal kepada tuntutan agama.

"Rasulullah saw tidak pernah mengajar 'Salam 1Madinah ketika baginda mula-mula menegakkan kerajaan Islam selepas diusirkan kafir Quraisy dari Mekah.

“Sekiranya mahu melaksanakan Islam dan bukan menjadi penghancur kepada amalan Islam berilah salam yang sempurna. Ini sesuatu yang cukup memalukan umat Islam di negara ini," katanya. Ucapan Salam 1Malaysia kini seperti menjadi peraturan yang diwajibkan pembaca berita di media elektronik di negara ini. Ucapan itu dilafazkan ketika awal dan akhir membaca berita.

Bagaimanapun ramai ulama yang mencari makan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menegur perbuatan tersebut biar pun ia jelas bercanggah dengan Islam. Begitu juga Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria membisu. Beliau sebelum ini dilihat lebih cepat mengkriitik dan mempersendakan pemimpin PAS.

Mohamad yang juga Adun Demit turut meluahkan rasa curiga terhadap slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kerana dalam ajaran Islam mestilah Allah swt didahulukan dalam segala hal. Katanya juga, tauhid amali tidak dilaksanakan kerajaan BN sejak menerajui negara ini pada 1957.

“Dari segi dasar pemerintahan negara, Islam tidak dimartabatkan sebab Allah swt tidak didahulukan, bahkan Islam kerana hak Allah swt tidak ditunaikan.

“Mereka telah mensyirikkan Allah SWT dengan menduakan sistem dalam melaksanakan undang-undang. Inilah yang dinamakan sebagai syirik nasional,” katanya di sini. Beliau juga berkata, konsep 1Malaysia yang dilaungkan perdana menteri sekarang sekadar mengajak rakyat bersatu di atas dasar seperti diamalkan di United State America. Sedangkan kata beliau penyatuan sebenar bagi umat Islam berdasarkan kepada tauhid.


Ulasan Saya : Tiada masalah pun kalau kita ucap "Salam 1Malaysia" - itu bukan bidaah namanya - bidaah terjadi apabila kita beriktikad bahawa 1Malaysia itu adalah sebahagian daripada syariat Islam - barulah jatuh bidaah atau terkeluar daripada Islam. Dalam konteks ini, apabila kita menyebut "Salam 1Malaysia" ia bukanlah salam yang mengikut Islam yang sebenarnya - ianya sekadar tanda hormat atau tanda sapaan sesama kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum.


Memandangkan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum eloklah slogan "Salam 1Malaysia" dijadikan alat untuk perpaduan dan boleh diucapkan di mana-mana majlis sekali pun. Ucapan salam yang sebenarnya adalah ucapan yang berbunyi "Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakaatuh" inilah ucapan salam dalam erti kata yang sebenar - selama ini perbuatan kita menghantar SMS atau e-mail dengan perkataan "salam" kepada kawan-kawan, pada hakikatnya tidaklah dikira sebagai salam pun. Kita tidak dapat pahala salam pun, andaikata dengan mengucap atau menulis perkataan "salam" ia tidak memadai sama-sekali. Malah, ia hanya sekadar menjadi ucapaan sapaan/hormat semata-mata.


Maka - "Salam 1Malaysia" merupakan ucapaan sapaan/hormat sahaja dan tidak lebih daripada itu. Ia bukan ucapan salam seperti mana yang kita fahami mengikut Islam. Tidak perlu rasanya hal ini dipolitikan oleh PAS dan semua orang tahu. Tidak perlu meminta mana-mana mufti untuk mengeluarkan fatwa berhubung isu tersebut - sama ada halal atau pun haram. Hal ini samalah juga halnya apabila terdapat rakan bukan Islam kita yang menyampaikan salam kepada kita melalui SMS dengan menulis atau mengucapkan "Salam sahabatku" - ia hanyalah sekadar ucapan sapaan sahaja. Justeru itu - harus kita ingat "Salam 1Malaysia" bukanlah salam seperti mana yang kita fahami dalam konteks Islam, oleh yang demikian janganlah kita terkeliru apabila terdapatnya perkataan "salam" di dalam sesuatu ucapan itu - maka ianya dikira sama dengan salam yang selalu kita ucapkan sesama kaum muslimin. Saya fikir, perkataan "Salam 1Malaysia" tidak mengelirukan sesiapa pun, sebaliknya yang mengelirukan umat Islam ialah perkataan PAS for All. Sepatutnya yang dicanangkan adalah perkataan Islam for All barulah tepat. Hal ini adalah kerana PAS for All hanya mengundang fitnah sahaja - masyarakat melihat bahawa maksud PAS for All hanya mernyeru agar orang bukan Islam menyertai "parti" PAS sahaja dan bukan untuk beriman dan masuk ke dalam Islam secara seluruhnya. Inilah bahananya.Wallahualam.

10 Sebab PAS dan DAP Benci Ketuanan Melayu


10 Sebab Mengapa
PAS dan DAP Benci Ketuanan Melayu


KUALA TERENGGANU 13 Dis. - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib hari ini menolak cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh agar kerajaan meminda Perlembagaan bagi membolehkan bahasa Inggeris dijadikan bahasa kedua rasmi negara. Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu berkata, segala yang termaktub dalam Perlembagaan negara termasuk berkaitan bahasa rasmi tidak perlu dipinda dan dipertikaikan lagi.

Katanya, Perlembagaan negara sudah jelas menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan martabat bahasa tersebut perlu dipelihara dan dikekalkan sebagai satu-satunya bahasa rasmi. Beliau memberitahu, adalah memadai bahasa Inggeris dijadikan bahasa perbualan harian yang dipertuturkan oleh individu tertentu malah ramai sedia maklum bahasa tersebut juga penting sebagai bahasa antarabangsa.

"Biarlah bahasa Inggeris dijadikan bahasa perbualan saja, tak perlulah jadi bahasa kedua rasmi di samping bahasa Melayu.

"Tak payah pinda Perlembagaan kalau hanya nak jadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.

"Martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara mesti dipelihara dan dikekalkan, tak perlu ada dua bahasa rasmi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau diminta mengulas saranan Karpal supaya kerajaan mempertimbangkan untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua.

Menurut Pengerusi DAP itu, langkah tersebut berikutan bahasa Inggeris tidak diberi tempat sewajarnya dalam prosiding mahkamah sehingga menyebabkan pelabur asing termasuk bertaraf multinasional memilih untuk ke timbang tara daripada membawa kes mereka ke mahkamah tempatan. Kelmarin, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) menyifatkan tindakan Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Jelutong sebagai tindakan melampau dan cadangan itu dikhuatiri boleh menyebabkan bahasa etnik lain dalam negara ini terpinggir.


Ulasan Saya : Sejak akhir-akhir ini DAP semakin berani mempertikaian hak dan perlembagaan negara yang berkaitan dengan umat Islam. Manakala - PAS seolah-olah tidak berupaya lagi menahan kehendak dan nafsu serakah DAP dalam menghapuskan hak dan keistimewaan Melayu sedikit demi sedikit. Terdapat 10 sebab mengapa DAP dan PAS takut terhadap konsep Ketuanan Melayu, sebab-sebabnya ialah :

1. DAP tahu jika mereka tidak suka dengan konsep Ketuanan Melayu, mereka boleh berambus dari Malaysia dan kembali ke China. Hiduplah di sana dengan kebebasan yang mereka idam-idamkan. Atau semua ahli DAP boleh berhijrah dan tukar kerakyatan menjadi warganegara Singapura. Di Singapura ahli-ahli DAP boleh hidup mengikut apa-apa yang mereka rasa betul dan adil.

2. PAS tidak suka kepada konsep Ketuanan Melayu - kerana mereka tahu bahawa konsep tersebut tidak bercanggah dengan Islam. Maksud sebenar Ketuanan Melayu adalah merujuk kepada konsep Hak Orang-orang Melayu di Malaysia dan bukan merampas hak orang lain. Dalam Islam mempertahankan hak adalah wajib hukumnya.

3. DAP bimbang jika ramai orang Melayu yang tahu hak-hak mereka di sisi undang-undang dan perlembagaan - maka perjuangan DAP tidak lagi relevan - malah mungkin beberapa siri tindakan mereka selama ini semakin jelas bercanggah dengan perlembagaan.

4. PAS tahu bahawa Ketuanan Melayu dan Islam merupakan kunci kekuatan UMNO - justeru itu, PAS lebih selesa menyerang konsep tersebut agar masyarakat menjadi keliru dan diperbodohkan.

5. DAP sengaja membesar-besar soal Ketuanan Melayu dan Hak Istimewa Melayu - agar menaikkan rasa benci rakyat kepada kerajaan. Sedangkan kerana adanya Ketuanan Melayulah bangsa Cina berjaya di Malaysia selama ini.

6. Menyerang konsep Ketuanan Melayu adalah cara terbaik parti pembangkang bagi mewujudkan rasa benci kepada kerajaan. Mereka tidak mahu rakyat tahu hakikat keharmonian yang dicapai selama ini adalah berasaskan kepada konsep tolak ansur dan kontrak sosial.

7. DAP adalah parti perkauman - untuk menutup identiti tersebut, maka adalah lebih baik menyerang UMNO terlebih dahulu dengan tuduhan-tuduhan bahawa UMNO adalah parti perkauman.

8. PAS bimbang dengan Ketuanan Melayu disebabkan sejarah PAS sebelum ini - yang membuktikan bahawa PAS juga memperjuangan hak orang Melayu dan Islam. Justeru itu, perjuangan PAS pada hakikatnya tiada beza dengan UMNO. Oleh sebab itu bagi mewujudkan perbezaan dengan UMNO, maka PAS menentang Ketuanan Melayu.

9. DAP sememangnya mahu menghapuskan segala identiti yang merujuk kepada Islam dan orang Melayu di Malaysia. DAP mahu menguasai politik Malaysia dengan cara yang paling jijik dan kotor - dan cara pertama adalah mengkritik secara terbuka tentang konsep Ketuanan Melayu.

10. DAP tahu - untuk mendapatkan sokongan daripada kaum bukan Cina - isu Ketuanan Melayu sangat memberi kredit yang besar kepada parti tersebut. Lantaran itu, DAP akan memainkan isu perkauman ini sehingga PRU yang akan datang bagi meraih sokongan.


Kesimpulannya : DAP harus diharamkan di negara ini - ideologinya sangat merbahaya untuk rakyat Malaysia.

Ingatan Tuan Guru Harussani Kepada Umat Melayu


Ingatan Tuan Guru Harussani
Kepada Umat Melayu


IPOH 13 Dis. - Perpaduan di kalangan orang Melayu berada pada tahap membimbangkan dan mereka perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar jika mahu mengukuhkannya, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar). Menurut tokoh agama itu, Islam tidak mengajar umatnya berkelahi sesama sendiri hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik dan ideologi.

''Kita kena sedar betapa perlunya kita bersatu. Berbeza fahaman politik dan ideologi, tidak semestinya kita harus berkelahi sesama Islam.

''Orang Melayu kena kembali pada agama. Kita lemah kerana kita ingkar dengan perintah Allah SWT," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Menurut Harussani, perpecahan di kalangan orang Melayu menyebabkan pihak-pihak tertentu mudah mengambil kesempatan untuk terus melemahkan mereka.

Katanya, antara strategi yang dilakukan oleh pihak-pihak terbabit dalam usaha memecah-belahkan orang Melayu ialah memuji tindakan-tindakan yang hanya akan lebih melebarkan lagi jurang perpecahan tersebut. Tegas beliau, tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang mempersoalkan kedudukan raja- raja Melayu dan agama Islam yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan berlaku sekiranya orang Melayu bersatu.

''Manusia ini akan jadi melampau kerana mereka berasa mereka kuat. Orang Melayu mesti sedar keadaan ini.

''Jangan biarkan perpaduan kita lemah kerana terpengaruh dengan orang lain, terpengaruh dengan pujian-pujian yang ada muslihat lain," katanya. Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sikap orang Melayu yang terlalu berlembut menyebabkan pihak-pihak berkepentingan tersebut semakin berani.


Ulasan Saya : 1. Orang Melayu masih tidak mahu sedar diri lagi - khususnya PAS. 2. Kaum bukan Melayu semakin berani mengambil kesempatan terhadap kelemahan kita semua. 3. Orang Melayu mudah kena tipu dan digula-gulakan dengan janji kosong. 4. Anwar Ibrahim adalah punca segala-galanya - beliau penyebab kepada keadaan kucar-kacir di dalam negara. 5. Orang Melayu khususnya para pemimpin UMNO masih leka dan tidak mahu membuat perubahan. 6. Masalah sekarang adalah masalah orang Melayu dan bukan sekadar masalah orang Melayu di dalam PAS atau pun masalah orang Melayu di dalam UMNO. Wallahualam.

December 11, 2009

Barat Iktiraf Anwar Sebagai : 100 Pemikir Terbaik Dunia


Barat Iktiraf Anwar Sebagai
100 Pemikir Terbaik Dunia
Kita Terlopong dan Kena Tipu Lagi


KUALA LUMPUR, 11 Dis (Harakahdaily): Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disenaraikan sebagai '100 Pemikir Terbaik Dunia' iaitu menduduki tempat ke 32 bersama para pemikir dunia yang lain. Anwar disenarai oleh majalah 'Foreign Policy' yang berpusat di Washington dalam edisi Disembernya baru-baru ini. Turut tersenarai adalah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama (ke-2), Perdana Menteri Britain, Gordon Brown (ke-74) dan Hillary Rodham Clinton (ke-6).

Anwar adalah satu satu dari 10 pemikir yang beragama Islam yang disenaraikan oleh majalah itu. Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz disenaraikan dalam '50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia'. Menteri Besar Kelantan itu, disenarai di tempat ke 42 dalam senarai '500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009'.

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009. Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal.


Ulasan Saya :

1. Dalam hal-hal yang melibatkan pengiktirafan seperti ini saya sama sekali tidak pernah mahu percaya. Orang Barat memang suka buat seperti ini - tujuannya untuk menimbulkan sentimen atau menaikkan imej seseorang. Ianya tetap mempunyai tujuan politik tertentu. Malah - melalui cara ini juga kita boleh melihat bukti yang jelas siapakah individu-individu yang sebenarnya mendapat sokongan Barat.


2. Manakala kita pula - dengan mudah terus dipengaruhi dan dibuai mimpi kononnya pengiktirafan tersebut sangat hebat dan sukar untuk memperolehnya. Satu soalan sahaja yang ingin saya tanyakan - mengapa mesti angka ke 32 itu diletakkan nama Anwar Ibrahim? Bukankah ini merupakan kaedah bagi menunjukkan kehebatan dan keunggulan Anwar? angka itu sengaja dipilih bagi tujuan promosi dan menganggkat imej Anwar setinggi langit. Kononnya nama Anwar adalah sebaris dalam kumpulan senarai tokoh-tokoh teratas dan terpilih. Kemudian kita pun sama-sama bersorak "Wah Anwar hebat! Anwar hebat!". Sebenarnya kita kena tipu. Tetapi - bagi para penyokong PKR, makanan harian mereka sememangnya retorik Anwar Ibrahim dan permainan silat matanya. Tak makan pun tidak mengapa - janji dapat mendengar kelentong Anwar dari awal pagi sampai ke petang - itu sudah cukup. Hakikatnya - semua orang tahu, ini permainan Barat - ia telah dirancang bagi menaik atau menjatuhkan orang tertentu demi kepentingan Yahudi dan Amerika Syarikat. Selepas ini - kita jangan pula terkejut andaikata mereka mengeluarkan pula "100 Perasuah Terbaik Dunia" dan di dalam senarai tersebut akan diletakkan nama-nama pemimpin dunia yang tidak disegani oleh Barat dan Israel. Umpamanya mungkin nama Tun Mahathir. Jelaslah ini merupakan permainan Barat - tetapi kita bersorak dan terhibur, lalu kita nyanyikan lagu, "Anwar Ibrahim Penyelamat Dunia."


3. Saya percaya untuk meletakkan nama kita di dalam senarai tersebut tidaklah susah sangat - antara syaratnya ialah : 1. kita harus kutuk sesama kaum muslimin. 2. kita tentang dan jatuhkan kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat dengan cara berdemostrasi. 3. kita keluar sedikit wang poket sekitar 2-5 juta untuk diberikan kepada penganjur atau badan yang terbabit dalam pemilihan bagi meletakkan nama kita dalam senarai mereka. 4. kita berbaik-baik dengan pemimpin Yahudi dan AS. 5. kita ikut sahaja apa-apa sahaja arahan daripada Barat. InsyaAllah dapatlah nama kita disenaraikan di dalam senarai tersebut. Dan jangan terkejut - selepas ini Anwar Ibrahim akan diberikan hadian Nobel - kategori Keamanan.


4. Setelah membaca berita di atas - maka saya pun teringinlah untuk memberi sedikit pengiktirafan kepada Anwar dan kuncu-kuncunya. Walaupun saya ini bukanlah layak berbuat sedemikian. Dan saya senaraikan nama mereka sebagai, "100 Tokoh Pembawa Fitnah" namun demikian saya cuma menyenaraikan hanya 10 nama yang teratas sahaja (cukuplah tu). Dan nama-namanya adalah : 1. Anwar Ibrahim. 2. Karpal Singh. 3. Lim Kit Siang. 4. Nik Aziz Nik Mat. 5. Abdul Hadi Awang. 6. Lim Guang Eng. 7. Nga Kor Ming. 8. Badrul Amin. 9. Teresa Kok. 10. S. Sivakumar


5. Nampaknya - Anwar sudah ketandusan isu bagi meneruskan sisa-sisa perjuangan politiknya. Beliau terpaksa melakukan pelbagai cara bagi memastikan imej dan wataknya tidak tenggelam dalam lipatan sejarah. Anwar sedar, hayat politiknya hanya bergantung kepada sejauh mana beliau mampu membuat masyarakat benci dan marah kepada kepemimpinan UMNO dan BN - lantaran itu Anwar "wajib" membuat pelbagai program dan isu sehingga ke PRU yang akan datang bagi menjamin namanya terus disebut-sebut sebagai Perdana Menteri Malaysia yang akan datang.


6. Satu lagi yang pelik - bolehkah Anwar Ibrahim dianggap sebagai seorang pemikir? Jika benar beliau seorang pemikir hebat, mana gagasannya? mana idea hebatnya? mana buku tulisannya? Malah, blognya hanya berisi dengan aktiviti-aktiviti rutin kebanggannya sahaja. Jadi - Anwar bukan seorang pemikir. Sebaliknya seorang pemutar belit. Pelik..pelik.Wallahualam

Jangan Permainkan Islam


Jangan Permainkan Islam!

Oleh Noraini Abd Razak (Utusan Malaysia)


PERKARA 3 (1) Perlembagaan Persekutuan sangat jelas. Tidak ada makna tersembunyi. Juga tidak ada sebarang keraguan mengenai maksud yang ingin disampaikan. Sejak digubal, peruntukan tersebut tidak pernah dipinda. Kedudukannya sangat utama. Perihal yang memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan itu diletakkan di Bahagian 1 Perlembagaan.

Ia dibaca selepas Perkara 1 mengenai nama Malaysia dan negeri-negeri lain dan Perkara 2 yang menyentuh tentang kemasukan wilayah-wilayah baru dalam Persekutuan. Sementara Perkara 4 menyebut tentang undang-undang utama Persekutuan. Susun atur Perlembagaan sedemikian rupa cukup jelas untuk menunjukkan betapa penting dan tingginya kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Bagaimanapun menyedari kerencaman kaum yang menghuni negara ini, ada klausa sebelum frasa “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan” dinoktahkan. Frasa tersebut diletak sendi “tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di manamana bahagian Persekutuan”.

Biarpun telah melalui proses pindaan lebih 40 kali sejak digubal pada tahun 1956, Perkara 3 itu tidak pernah disentuh. Kedudukan serta keistimewaannya kekal. Semestinya kerana ia selaras dengan kedudukan penduduk majoriti di negara ini iaitu Melayu dan beragama Islam. Namun selepas 52 tahun merdeka, cubaan menjentik kedudukan Islam sebagai agama rasmi dimulakan.

Cubaan pertama secara terang-terangan itu semestinya kesinambungan daripada usaha mempertikaikan kedudukan istimewa bumiputera yang secara khususnya dipanggil ketuanan Melayu.

Perihal Islam dan Melayu termaktub dalam Perlembagaan. Maka usaha tanpa jemu itu sebenarnya tidak lain tidak bukan bertujuan memperlekehkan semangat Perlembagaan itu sendiri.

Gambaran itu sangat jelas. Apa tujuan Ahli Parlimen Taiping yang mewakili parti DAP itu membangkitkan isu tersebut jika bukan kerana “kesucian” Perlembagaan itu tidak mendapat tempat di hati beliau. Tidakkah terlintas di benaknya sebelum mengedarkan maklumat itu kepada media, bahawa isu tersebut sangat jelas kaitannya dengan Perlembagaan?

Dan isi kandungan Perlembagaan telah memuktamadkan kedudukan istimewa Islam itu sendiri sebagai agama rasmi yang semestinya mendapat pelbagai keistimewaan termasuk peruntukan besar bagi pembinaan masjid di seluruh negara.

Apa sebenarnya matlamat Nga Kor Ming? Mengeluarkan kenyataan provokasi seperti itu dalam keadaan perpaduan kaum di negara ini setipis kulit bawang terang-terangan menyemarakkan api kebencian di kalangan rakyat negara ini. Apatah lagi apabila kenyataan tersebut mengaitkan kaum-kaum lain sebagai pembayar cukai yang kononnya mesti mendapat hak sama rata dalam semua perkara termasuk bagi pembinaan rumah ibadat.

Tidakkah Kor Ming melihat rumah-rumah ibadat kaum-kaum lain yang berselerak di negara ini dengan kedudukannya amat strategik. Malaysia negara Islam yang dikunjungi penganut agama lain apabila tiba musim perayaan seperti Thaipusam. Ada penganut agama Hindu dari luar Malaysia datang ke Batu Caves bagi menyempurnakan ibadat mereka. Tokong-tokong pula terletak di tengah bandar. Apabila tiba acara keagamaan, pembakaran colok dibuat secara terbuka tanpa ada hadnya. Kebebasan itu bertepatan dengan kehendak Perlembagaan yang membenarkan agama-agama lain diamalkan di negara ini dengan syarat ia berjalan secara harmoni.

Justeru apabila Kor Ming menuduh penganut agama lain dianaktirikan oleh kerajaan kerana tidak mendapat peruntukan sebanyak yang disediakan untuk membina masjid, sudah tentu ada suasana tidak harmoni di situ.

Kor Ming terlupa bahawa mana-mana negara sekali pun telah menetapkan dalam Perlembagaan apa agama rasmi mereka. Penetapan itu akan disusuli dengan keistimewaan-keistimewaan yang dinikmati oleh rakyat yang menganut agama rasmi itu.

Contoh paling dekat adalah Thailand. Adakah umat Islam di negara jiran itu yang juga merupakan pembayar cukai mendapat peruntukan yang sama seperti penganut agama Buddha dalam hal pembinaan masjid? Atau pun umat Islam di situ terpaksa bermandikan keringat, menumpahkan darah untuk membina masjid untuk dijadikan tempat ibadat? Adakah umat Islam di negara itu mempunyai kebebasan sebagaimana kaum-kaum lain di negara ini menyempurnakan kehendak agama masing-masing tanpa ada batas dan sempadannya?

Tidakkah Kor Ming melihat bagaimana rakyat beragama Islam di negara jiran menjadi pelarian lantaran ‘begitu istimewanya’ dan ‘sama ratanya’ kedudukan mereka dengan rakyat yang agama rasminya termaktub dalam Perlembagaan?

Bagaimana pula dengan negara-negara lain yang tinggi amalan demokrasinya? Adakah umat Islam di situ mempunyai kebebasan tanpa rasa hormat seperti Kor Ming menuntut sesuatu yang bukan hak serta milik mereka?

Jadi apa sebenarnya kewajaran atau alasan paling munasabah untuk Kor Ming membangkitkan persoalan yang bertentangan semangat Perlembagaan itu? Sedangkan Perlembagaan sebenarnya tidak mengizinkan satu sen pun untuk agama-agama lain.

Namun atas semangat menghormati kaum-kaum lain, maka kerajaan tidak kedekut menyediakan peruntukan dan balasannya muncul orang seperti Kor Ming yang pasti cuba menyampaikan maksud tersirat di sebalik tersuratnya kenyataan beliau Selasa lalu.

Sangat jelas satu demi satu peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan dijadikan alat oleh pembangkang untuk menyemai benih kebencian di antara penduduk beragama Islam dengan penganut bukan Islam. Usaha yang dimulakan dengan menabur benih kebencian bersandarkan kepada ketuanan Melayu kini mula menampakkan cambahnya.

Usaha tersebut kini dibajai dan disirami dengan dakwaan bahawa penganut agama lain dianaktirikan – dakwaan yang sama sekali tidak sepatutnya timbul selepas termeterainya persetujuan semua kaum untuk dinaungi oleh pemerintah beragama Islam, 52 tahun lalu.

Lebih membimbangkan gagasan 1Malaysia yang begitu luhur matlamatnya cuba diselewengkan untuk menghalalkan tuntutan kesamarataan sehingga mengetepikan buku Perlembagaan yang kini semakin ‘lusuh dan luntur’ semangatnya di mata rakyat bukan Melayu dan bukan Islam. Usaha-usaha seperti yang diterajui Kor Ming tidak boleh dibiarkan sedemikian rupa. Kesannya amat parah.

Perlembagaan yang menjadi asas pembentukan negara bernama Malaysia mesti dipelihara supaya kelak ia tidak dijadikan ‘alasan’ perpecahan kaum dan keruntuhan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

December 10, 2009

Apa Yang Tidak Perkauman?


Apa Yang Tidak Perkauman?

Oleh Aznan Bakar (Utusan Malaysia)


SEORANG teman bertanya, apa yang tidak mempunyai unsur perkauman di negara ini? Katanya, segalanya berkisar sekitar kaum dan berbaur perkauman. Bermula daripada saat dilahirkan, sampai mati setiap individu di Malaysia sarat dengan jati diri berasaskan kaum.

Itu merupakan realiti yang tidak dapat disangkal. Sejak merdeka hingga sekarang, negara dibina dan dibangunkan bersama dengan unsur ini. Cuma Malaysia bernasib baik kerana kaum-kaumnya yang berbeza ini mempunyai semangat toleransi yang tinggi.

Mereka sanggup mengetepikan perbezaan kaum, agama dan budaya. Sebaliknya sedia untuk bekerjasama bagi memastikan negara berada di landasan yang betul untuk maju.

Ia diperkuatkan lagi dengan iltizam dan keazaman pemimpin untuk memastikan perbezaan itu tidak digunakan ke arah keburukan tetapi lebih kepada kebaikan hingga menjadi contoh kepada negara lain. Cuba fikir dan renung sejenak nilai yang terdapat pada setiap individu yang bernama Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan di negara ini.

Apabila dilahir, anak-anak dinamakan mengikut kaum masing-masing. Kaum menjadi identiti mereka bukan negara. Malaysia tidak seperti Thailand dan Indonesia di mana nama mencerminkan rakyatnya. Di Indonesia biar Jawa, Minang, Madura atau pendatang Cina dan India, nama mereka hampir sama.

Begitu juga di Thailand, rakyat keturunan Cina yang menguasai ekonomi negara itu namanya mencerminkan dia adalah warga Thailand. Tetapi di Malaysia perkara itu tidak berlaku. Daripada nama kita sudah tahu kaum seseorang itu. Dan daripada nama kita akan dibezakan mengikut kaum.

Apabila anak sudah besar dan mula memasuki alam prasekolah, ibu bapa akan memilih untuk menghantar anak mereka bagi mendapat pendidikan awal di pusat bimbingan yang berasaskan kaum.

Orang Melayu menghantar ke tadika Melayu atau Islam. Cina dan India pula ke tadika yang menggunakan bahasa ibunda mereka. Keputusan yang dibuat ini ada unsur perkauman. Mungkin tidak ada prasangka, tetapi pertimbangan perkauman tetap ada.

Begitu juga apabila tiba untuk masuk ke alam persekolahan yang sebenar. Masing-masing memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah berasaskan kaum masing-masing.

Sebab itu di Malaysia ada sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah mubaligh kristian. Atas dasar apa semua sekolah ini wujud kalau tidak atas dasar perkauman? Begitu juga dalam kehidupan seharian. Setiap kaum dibezakan dengan nilai dan identiti kaum masing-masing. Yang menariknya perbezaan itu tidak pernah digunakan untuk mencetuskan sengketa yang merugikan semua.

Cuma apabila ada pemimpin yang mula mengungkit isu-isu berhubung kaum lain, ia menimbulkan sedikit ketegangan. Di Malaysia semua pihak berjuang untuk mempertahankan hak dan kepentingan kaum masing-masing. Tetapi jangan sampai ke tahap menyinggung perasaan kaum lain. Apabila ada pemimpin yang menggunakan isu berkaitan kaum ini untuk kepentingan politik mereka maka sudah tentu perbezaan sedia ada akan menjadi besar dan ketara. Pemimpin politik yang menuduh lawannya bersikap perkauman dan mengungkit isu sensitif, sebenarnya dalam dirinya sendiri sarat dengan perkauman.

Mempersoalkan ketuanan Melayu misalnya merupakan satu sikap perkauman yang bertujuan menimbulkan kebencian. Soal ini mungkin tidak termaktub dalam Perlembagaan. Kerana yang ada ialah hak istimewa orang Melayu. Tetapi setiap rakyat tanpa mengira kaum sejak merdeka dulu faham, ia bukan bermaksud Melayu menjadi tuan kepada kaum lain dan kaum lain menjadi hamba kepada Melayu.

Ia telah diperjelaskan berkali-kali, namun tetap ada pihak yang mempertikaikan, kenapa? Kalau kaum lain menjadi hamba kepada Melayu, kenapa majoriti golongan profesional di negara ini seperti doktor, peguam, jurutera dan arkitek terdiri daripada bukan Melayu?

Kenapa ahli perniagaan yang kaya raya dapat memiliki satelit dan membina bangunan pencakar langit bukan orang Melayu? Sebab itu apabila ada pemimpin menuduh lawan mereka mengamalkan perkauman, hingga membangkitkan hal-hal sensitif, sebenarnya merekalah yang bersikap demikian. Ia ibarat periuk mengatakan kuali hitam.

Memang dalam politik negara ini ia tidak terlepas daripada elemen perkauman. Setiap kaum berkumpul membentuk parti politik yang mewakili kaum mereka dan kemudian bergabung membentuk parti yang lebih besar dan menubuhkan kerajaan.

Kewujudan parti-parti lain yang didakwa mewakili semua kaum juga sebenarnya sarat dengan agenda perkauman. DAP misalnya, walaupun ia mendakwa mewakili semua kaum, tetapi sebenarnya ia lebih banyak memperjuangkan hal yang berkaitan dengan kaum Cina.

Sebab itu sepanjang penubuhannya parti itu pemimpin tertingginya mesti dari kalangan kaum Cina. Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menjadi peneraju pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan?

Walaupun ia dilihat mempunyai kombinasi daripada pelbagai kaum namun ia masih bergerak atas platform perkauman. Pemimpin yang berasal dari kaum tertentu lebih cenderung memperjuangkan nasib kaum mereka sahaja. Perkara itu boleh dilihat kepada insiden-insiden yang berlaku di Parlimen. Apabila ia membabitkan kepentingan kaum tertentu ia akan dibawa dan diseret hingga ke Parlimen.

Mengapa Ahli Parlimen DAP, Nga Kor Ming mempersoalkan hal pembinaan masjid jika ia tidak mempunyai unsur perkauman? Tidakkah beliau sedar bahawa struktur rumah ibadat yang terbesar di Pulau Pinang atau mungkin juga di Malaysia bukannya masjid?

Begitu juga di kawasan Gombak, rumah ibadat yang terbesar ialah kuil Hindu di Batu Cave, bukannya masjid. Tetapi ia tidak pernah dibangkit dan diungkit oleh orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini.

Kenapa apabila yang berkaitan dengan masjid dibangkitkan sebegitu rupa di Parlimen? Untuk tujuan apa? Realiti bahawa negara kita terdiri daripada masyarakat berbilang kaum perlu diterima. Maknanya elemen perkauman pasti ada. Cuma ia perlu diuruskan secara bijak oleh para pemimpin dari semua peringkat tanpa mengira parti. Jangan menggunakan unsur-unsur perkauman ini untuk kepentingan politik sempit semata-mata. Akibatnya cukup buruk.

Jika selama 50 tahun ini kita boleh bertolak ansur dengan perbezaan yang ada. Boleh tinggal, hidup dan mengecapi kemakmuran bersama, maka ia sepatutnya dikekalkan sampai bila-bila.

December 9, 2009

Tahniah KJ : Selangkah Ke Putrajaya!


Tahniah Tuan Haji Khairy Jamaluddin
Selangkah Ke Putrajaya


Mengikut beberapa sumber, kementerian yang paling serasi dan sesuai untuk Khairy Jamaluddin adalah Kementerian Pengajian Tinggi. Saya tidak tahu, sama ada Khairy benar-benar berminat dengan kementerian tersebut atau pun tidak. Jika khabar angin yang semakin kencang bertiup dari Putrajaya itu akan benar-benar berlaku (malah dikatakan sudah pasti akan berlaku. Wallahualam) Maka, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin sedikit masa lagi akan dinobatkan sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang baharu. Namun demikian, pertanyaan yang sedang mengusik benak saya ialah berhubung dengan siapa antara dua Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang ada sekarang harus dikorbankan demi memberi lalu kepada Khairy? Apakah YB Datuk Ir. Hj Idris Haron selaku Timbalan Menteri I sudi menyerahkan kerusinya demi Khairy? Atau mungkinkah juga YB Datuk Saifuddin Abdullah yang dikira baru sahaja mengisi jawatan Timbalan Menteri II Pengajian Tinggi akan dipindahkan ke Kementerian Pelancongan, bagi memberi lalu kepada Khairy.



Kita sedia maklum, dengan jawatan sebesar Ketua Pemuda UMNO - maka pelaburan untuk mendapatkannya juga adalah besar. Maka, seseorang Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang menang dalam permilihan Mesyuarat Agong UMNO, tetapi tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan, baik sebagai Timbalan Menteri mahu pun sebagai Menteri penuh- maka dana kewangannya akan semakin mengecut dari sehari ke sehari, kecuali bagi mereka yang tidak mengamalkan rasuah atau politik wang. Walau apa-apa pun pandangan orang ramai - sekurang-kurangnya Khairy dan para penyokong tegarnya sudah boleh tidur malam dengan lena dan nyenyak - tiada gusar dan gelisah yang penting jawatan Timbalan Menteri sudah berada dalam genggaman.



Walau pun saya sedih dengan berita ini - dan ramai lagi para blogger yang kecewa dengan hal ini (jika benar) tetapi, kami ini orang bawahan dan rakyat biasa, yang sama sekali tidak akan didengari kata-katanya. Saya bimbang dengan kata-kata Tun Mahathir beberapa hari yang lalu - bahawa UMNO semakin busuk jika masih tidak mahu melakukan perubahan besar-besaran. Saya percaya dan yakin - jika Khairy berjaya menjadi Timbalan Menteri, maka ramai bloggers penyokong UMNO akan berpaling tadah - saya bimbang andaikata itu akan berlaku - malah tidak mustahil undi untuk UMNO juga akan merosot sedikit demi sedikit. Dalam keadaan sekarang - untuk berlagu kecewa pun sudah tiada maknanya. Jika itu kehendak PM, sebagai ahli UMNO saya akan terima - walaupun tanpa keikhlasan. Cuma saya mohon agar DS Najib fikir-fikiranlah semula - jika hal tersebut adalah benar, saya percaya ramai ahli UMNO yang akan memikirkan semula - parti manakah yang akan mereka undi dalam PRU yang akan datang, yang pasti mereka tidak akan mengundi UMNO lagi. Walaupun saya sangat kecewa dengan hal ini - namun begitu, sebagai orang Islam Ketentuan daripada Allah harus kita terima jua. Kita harus terima apa-apa juga keputusan yang bakal DS Najib umumkan nanti. Saya ucapkan Tahniah kepada Tuan Haji Khairy Jamaluddin! dan Tahniah kepada para penyokong KJ! Akhirnya Tuhan perkenan juga doa tuan-tuan semua! Soalnya sekarang ini ialah, ke mana UMNO selepas ini? Wallahualam.

Akhirnya Khairy Jadi Menteri...


Akhirnya Khairy Jadi Menteri...


Semalam saya dihubungi oleh "orang penting" dari putrajaya - sama ada berita ini benar-benar betul atau shahih hanya Tuhan sahaja yang tahu. Menurut sumber tersebut Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Kahiry Jamaluddin akan dilantik sebagai Timbalan Menteri di sebuah kementerian. Hal ini adalah disebabkan desakan daripada beberapa pihak - khususnya salah seorang daripada menteri kanan. Saya tidak mahu komen banyak. Biarlah rakyat yang menilainya. Lagi pun dasar DS Najib sekarang adalah mendahului kehendak rakyat. Jika rakyat mahukan KJ sebagai Timbalan Menteri, apa yang boleh DS Najib lakukan lagi? Bukankah hal yang sama berlaku ke atas TS Isa Samad? Sekarang rakyat sudah boleh terima sesiapa sahaja sebagai pemimpin. Perasuah, Peliwat, Penzina, semuanya boleh diterima. Walau berbuih mulut kita menegur - jika rakyat mahukan sebegitu - kita terima aje la. Kesimpulannya hanya satu : Mungkin Khairy terpaksa dilantik menjadi Timbalan Menteri bagi tujuan mendapatkan sokongan daripada kumpulan beliau. Atau mungkin juga DS Najib berfikiran bahawa untuk menyatukan UMNO semula, Khairy terpaksa dilantik sebagai Timbalan Menteri. Dalam politik - apa-apa pun boleh terjadi. Namun demikian, saya tetap berpendirian, bahawa buat masa sekarang Khairy tidak sesuai dilantik apa-apa jawatan - paling sesuai adalah selepas PRU ke 13 nanti, itu pun jika beliau berjaya menyatukan Pemuda UMNO. Nak kecewa pun tiada gunanya lagi. Jika DS Najib mahukan Khairy - apa kita boleh buat? Wallahualam. Mohon komen daripada sahabat blogger sekalian.

December 8, 2009

Anwar Pelik Pelabur Tidak Masuk Ke Malaysia?


Anwar Pelik
Pelabur Tidak Masuk Ke Malaysia?



KUALA LUMPUR, 8 Dis: Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) mempersoal kegagalan kerajaan dalam menarik minat pelabur antarabangsa untuk melabur di negara ini. Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam meletakkan Bursa Malaysia sejajar dengan pasaran antarabangsa sebagai sebuah destinasi penjanaan dana yang kondusif. Namun beliau hairan mengapa usaha itu masih gagal menarik golongan pelabur luar.

"Saya terima baik langkah-langkah yang diambil kerajaan tapi masalahnya mengapa dengan kecekapan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti itu, kita masih gagal menarik minat peabur antarabangsa untuk jadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelaburan," katanya sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.

Anwar turut mendakwa kegagalan itu sebenarnya ada kaitan dengan krisis keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya percaya ini ada kaitan dengan krisis keyakinan mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri, datuk Najib yang seri dinafikan," katanya.

Beliau meminta kerajaan menjelaskan sejauhmana kebenaran langkah yang diambil kerajaan ini dapat menarik pelabur asing memandangkan data pelaburan menyatakan bahawa Bursa Malaysia berada di kedudukan tercorot brbanding Jakarta dan Singapura.

"Saya minta penjelasan daripada kementerian, apakah langkah yang diambil sekarang ini dapat menarik pelaburan sebab data pelaburan menyatakan sebaliknya,"soalnya. Sebelum itu, datuk Nur Jazlan Mohamed (BN Pulai) meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menggalakkan syarikat antarabangsa untuk menyenaraikan saham mereka dalam Bursa Malaysia. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung (BN-Alor Setar) dalam jawapannya memberitahu Bursa Malayssai dan SC mengambil enam inisiatif dalam menarik pelabur antarabangsa antaranya menganjurkan taklimat kembara dan penyebaran risalah ke China, Vietnam dan India bagi menarik penyenaraian asing.


Jawapan Saya : Saya agak terkejut dengan kenyataan Anwar Ibrahim di atas. Bagaimana mungkin beliau tidak tahu apakah sebab utama pelabur tidak mahu melabur ke Malaysia. Punca utamanya adalah mudah - iaitu disebabkan oleh Anwar Ibrahim sendiri yang selama ini sering memburuk-burukkan nama negara di peringkat antarabangsa. Pelbagai tohmahan dan kutukan yang beliau lemparkan ke atas pentadbiran dan kepimpinan negara. Seolah-olah hampir sudah tiada apa-apa yang baiknya pada kerajaan yang ada sekarang ini. Segala-galanya busuk dan jijik. Anwar harus sedar, sikap beliau yang suka membuka aib kerajaan di mata dunia dengan tuduhan-tuduhan yang buruk dan keji, merupakan punca utama para pelabur kurang berminat dengan Malaysia. Sepatutnya Anwar membantu kerajaan dan bukan memburuk-burukan kerajaan di luar negara. Menuduh kononnya kerajaan Malaysia adalah zalim, kerajaan menindas hak rakyat, kerajaan begitu korup dan pelbagai lagi kata-kata jijik yang dilemparkan oleh Anwar selama ini - sesungguhnya mempunyai motif politik yang tertentu - yakni mahu melihat ekonomi negara berada dalam keadaan yang tidak stabil dan tatkala itu Anwar akan mengambil peluang untuk membuktikan kepada rakyat kononnya kepimpinan negara begitu lemah. Saya fikir, semua orang tahu akan hal ini. Tetapi sejauh mana kesedaran kita untuk menolak Anwar adalah bergantung kepada setinggi mana rasa sayang kita kepada negara. Sudah tiba masanya Anwar Ibrahim - si tukang fitnah - dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya mengkucar-kacirkan negara. Wallahualam.

Mengapa Mesti Zaid Saman Kadir Jasin?


Mengapa Mesti
Zaid Saman Kadir Jasin?


KUALA LUMPUR 7 Dis. - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim telah mengemukakan saman terhadap Ketua Pengarang Berita Publishing, Datuk A.Kadir Jasin kerana menyiarkan artikel bertajuk Zaid, The Hurricane Hattie Of PR. Artikel itu disiarkan dalam blog Kadir http://kadirjasin.blogspot.com pada 21 Oktober lalu. Menurut Kadir dalam blognya hari ini, Zaid yang juga seorang blogger mengemukakan saman itu di hadapan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria pada 2 Disember lalu.

"Saman itu diserahkan kepada saya oleh peguamnya, Rueben Mathiavaranam daripada firma guaman Rueben Williams Advocates & Solicitors hari ini," katanya dalam blog beliau hari ini. Zaid yang merupakan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri kini merupakan salah seorang pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kadir berkata, dalam samannya, Zaid menuntut beberapa perkara seperti ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta injunksi.

"Saya telah pun meminta peguam saya bertindak ke atas saman itu dan untuk makluman para pembaca dan pembahas, Zaid telah menjawab tulisan saya itu dalam blognya pada hari yang sama iaitu 21 Oktober dengan tajuk Kalau Hati Dah Busuk...

"Selain menganggap saya sebagai seorang yang berhati busuk dan penulis upahan, dia juga membuat beberapa tuduhan dan andaian mengenai saya dalam blognya itu," katanya.

Namun begitu Kadir berkata, tidak sedikit pun terlintas di fikiran beliau untuk menghalang atau menyekat kebebasan Zaid apatah lagi mengambil tindakan undang-undang.


Ulasan Saya : Saya rasa sedih juga dengan apa-apa yang berlaku ini. Pertama, sebagai seorang ahli politik, Datuk Zaid Ibrahim harus faham, adalah lumrah dalam dunia politik kritik-mengkritik antara satu sama lain. Semalam saya sudah pun membaca tulisan Datuk A. Kadir Jasin di atas - dan pada pandangan peribadi saya, kritikan tersebut adalah normal. Malah, saya juga telah membaca jawapan Zaid di blognya. Saya berpandangan, dalam negara yang demokrasi sifatnya - kritik mengkritik adalah adat, tuduh-menuduh adalah lumrah. Adalah lebih baik kita berdialog dan berhujah mencari kebenaran. Pada hari ini - saman-menyaman sudah ketinggalan zaman, malah sudah ada satu kefahaman bahawa saman bukan lagi untuk mencari kebenaran sebaliknya mahu menutup kelemahan. Pada hari ini, orang yang bersalah juga sudah bijak memanipulasi saman-menyaman - agar mereka kelihatan di pihak yang benar. Dalam dunia yang penuh dengan bijak pandai ini - bukankah lebih baik menjadikan hujah dan dialog sebagai cara menegakkan kebenaran? Wallahualam.

December 7, 2009

Menjawab Kononnya Nyawa UMNO adalah Wang


Menjawab Kononnya
Nyawa UMNO adalah Wang


MARANG, 6 Dis (harakahdaily): Kekuatan Umno hanya bergantung kepada kebendaan dan wang ringgit untuk meraih sokongan rakyat, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. Katanya, pemimpin Umno menjadi susah hati sekiranya parti itu tidak mempunyai sumber kewangan.

“(Pemimpin) Umno, nyawa mereka hanya wang. Kalau tidak ada wang, mereka susah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Musim Tengkujuh di Kampung Gong Merawang, dekat sini, petang semalam. Ini, katanya berbeza dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS yang menjadikan agama yang suci itu sebagai 'nyawa' dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para penerima bantuan supaya tidak menjadikan kebendaan sebagai keutamaan dalam kehidupan sebaliknya berbangga dengan nikmat Islam dan iman.

“Nikmat yang paling besar kurniaan Allah kepada kita ialah nikmat Islam dan iman,” ujarnya.

Justeru, tambahnya walaupun sumbangan yang diterima pada majlis itu tidak seberapa tetapi para penerima hendaklah menyedari bahawa PAS sentiasa prihatin terhadap masyarakat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MTD Ru Rendang mewakili bapanya selaku Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan bantuan itu kepada penerima.

Sebanyak 101 keluarga menerima sumbangan pada majlis pertama kali anjuran PAS Cawangan Kampung Baru Ru Muda itu yang terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal dan mangsa banjir.

Menurut ketuanya, Haji Abdul Aziz Ngah, pihaknya sebelum ini sering mengadakan aktiviti kebajikan tahunan seperti penyampaian sumbangan hari raya, bantuan persekolahan dan mangsa yang ditimpa musibah.

Katanya, PAS cawangan menyedari masalah yang dihadapi oleh para penduduk yang terdiri daripada nelayan, penoreh getah dan bekerja sendiri yang tidak dapat melakukan aktiviti harian pada musim tengkujuh.

“Bagi meringankan bebanan hidup mereka, yang sudah tentu menyulitkan mereka mencari rezeki untuk menyara keluarga, maka kami berusaha memberikan sumbangan berupa barangan keperluan harian ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada para penyumbang yang sentiasa memberikan sokongan bagi menjayakan aktiviti kebajikan PAS cawangan kepada masyarakat setempat.


Ulasan Saya : Pas mendakwa bahawa UMNO bergantung harap kepada wang semata-mata, manakala PAS pula bergantung kepada Iman. Saya cuma mahu komen sedikit sahaja iaitu :

1. Mengapa kes Penyelewengan Tabung Memali tidak didedahkan kepada khlayak ramai? Bukankah itu juga soal duit dalam PAS?

2. Mana perginya Syarikat Kohilal? Sudah bengkrapkan syarikat tersebut? Dan siapa yang bertanggungjawab di atas kehancuranya? Bukankah itu juga melibatkan wang dan duit?

3. Betulkah PAS tidak gunakan duit dalam meneruskan hayat politiknya? Bukankah ada upah yang diberikan kepada petugas PAS yang memasang bendera parti tersebut pada setiap kali pilihan raya? Bukankah itu juga duit namanya?

4. Jangan ingat penyakit "gila kuasa dan wang ringgit" hanya terkena kepada UMNO semata-mata, PAS juga sudah mula kelihatan mengejar kebendaan dan pangkat. Sudah mula berlaku lobi-melobi dalam pemilihan muktamar PAS baru-baru ini.

5. Siapa kata PAS tidak guna duit untuk pancing undi? Banyak program rakyat yang mereka lakukan turut sama meniru cara UMNO, memberi sumbangan pakaian, sumbangan wang ringgit, sumbangan duit dan pelbagai lagi. Bukan itu duit juga namanya?

6. Jika benar PAS berjihad - mengapa perlu diadakan kutipan derma untuk tabung jihad setiap kali ceramah politik PAS diadakan? Dan mengapa mesti penceramah-penceramah PAS dibayar dengan wang ringgit setiap kali datang berceramah? Apakah rakyat tidak tahu bahawa terdapat sesetengah penceramah PAS yang kerja hariannya hanyalah mengambil pendapatan melalui ceramah politik sepenuh masa? Malah para penceramah PAS apabila tiba musim pilihan raya pendapatan mereka boleh mencecah beribu-ribu hasil daripada bayaran untuk berceramah. Bukankah itu wang ringgit namanya? Fikir-fikirkanlah.

Akhirnya Nik Aziz Berdoa Juga Untuk Kemusnahan Najib


Akhirnya
Nik Aziz Berdoa Juga
Untuk Kemusnahan Najib



GOMBAK, 6 Dis (Harakahdaily): Menteri Besarnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam melahirkan rasa yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa rakyat Kelantan yang dizalimi disebabkan kerajaan pusat enggan memberi wang royalti minyak pada kerajaan negeri.

"Kalau orang kafir (berdoa) pun, Allah janji akan makbulkan doanya kerana dizalimi, inikan pula orang Islam dan berjuang Islam di Kelantan," jelasnya dalam Himpunan Perpaduan Ummah 'PAS For All. Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan bahawa beliau tidak kecewa jika ada pihak tertentu mengkritik saranannya bahawa rakyat Kelantan akan berdoa agar Najib dibinasakan. Beliau juga melahirkan rasa tidak kisah dengan laporan negatif beberapa media massa, sebaliknya suka dengan beberapa kritikan tersebut.

"Hari-hari surat khabar (arus perdana) caci saya, saya sengeh (kerana) suka."

Baginya, berdoa sama ada memohon sesuatu hajat atau menolak sesuatu kezaliman merupakan sesuatu yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.

"Bila kita ikut Nabi, jadikan doa sebagai senjata mukmin, maka ada orang yang marah."

Dalam ceramah selama 20 minit di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar, Beliau turut melafazkan doa khusus kepada Najib.

"Ya Allah ya Tuhanku, tolong buka hati Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya Perdana Menteri Malaysia perbetulkan fikirannya (lalu) beri (royalti minyak) petrol (milik) Kelantan)," doa Nik Aziz

"Minta perbetulkan pandangan Najib kalau dia berniat baik (dan) kalau berniat jahat (maka) musnahkannya."

"Kalau kamu (Najib) jahat, takkan nak suruh saya doa ya Allah, kau tolonglah orang yang jahat."

Sebelum pada itu, Kelab Penyokong PAS berbangsa India, Bala Subramaniam berpendapat bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melahirkan rasa terkejut dengan saranan doa Nik Aziz agar Najib dibinasakan disebabkan kezaliman Perdana Menteri itu. Ujarnya lagi, sepatutnya Muhyiddin menasihatkan Najib agar segera bertaubat dari melakukan kezaliman. Nada yang sama turut ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

"Saya orang bukan Islam pun percaya bahawa Tuhan akan membantu rakyat yang dizalimi, kenapa Muhyiddin dan Najib tidak percaya doa Tok guru," ujarnya.

Ulasan Saya :

Kalau begitu Doa Nik Aziz, maka kami ahli-ahli UMNO juga akan berdoa, doanya seperti ini, "Ya Allah kami ahli-ahli UMNO sering dituduh sesat dan jahat oleh PAS dalam ceramah-ceramah politik mereka, maka Engkau berikanlah kesedaran kepada mereka agar mereka kembali kepanggal jalan serta menerima ajak UMNO untuk mewujudkan kerajaan Perpaduan antara PAS dengan UMNO. Kami juga sering dituduh sebagai menolak Agama-Mu, dan menzalimi rakyat Kelantan, maka Engkau tunjukkanlah kepada Nik Aziz, sesungguhnya kami sama sekali tidak menzalimi sesiapa pun. Ya Allah, Engkau berikanlah kesedaran kepada Nik Aziz dan pemimpim-pemimpin PAS yang lain. Amin"