Tetamu Kehormat...

November 29, 2009

NiK Aziz Yang Satu Lagi

Nik Aziz Yang Satu Lagi


PERKEMBANGAN politik Pas terutama di Kelantan makin panas sehingga menyebabkan cengkaman politik Menteri Besar, Nik Aziz Nik Mat goyah. Kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantu beliau, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir. Mohd. Ariff Fahmi Abdul Rahman atas tuduhan rasuah, membawa episod baru apabila beliau diarahkan melepaskan jawatan. Dalam sebuah laman blog, Mohd. Ariff Fahmi dan isterinya yang juga anak Nik Aziz, dikecam teruk. Belum pun reda isu tersebut dan isu penajaan haji kepada Nik Aziz oleh sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai kontrak di Kelantan, tercetus pula pergeseran antara Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Husam Musa dan anak kepada Nik Aziz, Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Husam dalam satu laporan media menyatakan beliau ‘diserang’ menerusi kritikan anak Nik Aziz. ‘‘Jika dijawab (serangan itu) nampak pula macam saya bergaduh dengan keluarga Tok Guru. Jadi saya bersabar,” katanya. Beberapa hari sebelum kenyataan itu, berdasarkan sumber dalaman Pas Kelantan, Husam dilaporkan mahu melepaskan jawatan tetapi beliau menafikan laporan tersebut.

Nik Abduh pula menyuarakan simpati terhadap bapanya yang menjadi mangsa permainan politik yang sengaja dirancang, yang sesetengah pemerhati mengaitkannya dengan proksi pemimpin tertentu.

Menurut Nik Abduh, berita peletakan jawatan seorang pemimpin Pas yang dianggap kesayangan bapanya telah kedengaran lebih awal. Walaupun tidak menyebut nama, ia jelas merujuk kepada Husam. Apa maknanya? Yang pasti, pergeseran itu menambah kekusutan Nik Aziz terutama sejak isu cadangannya memanggil muktamar agung luar biasa bagi membersihkan parti itu daripada beberapa kerat pemimpin pro Presiden Pas, Hadi Awang ditolak. Ia digantikan dengan seminar yang akhirnya mengundang kritikan balas perwakilan.

Siapakah yang Nik Aziz mahu memihak sama ada Husam, yang merupakan ayam tambatan politiknya atau anak beliau sendiri yang juga mempunyai karisma? Pendirian kedua-duanya berhubung sama ada wajarkah Nik Aziz berundur atau terus kekal, juga berbeza. Husam mencadangkan agar Nik Aziz mempertahankan kerusi DUN dan turut bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri. Nik Abduh pula lantang mengingatkan agar tiada mana-mana pihak cuba menghalang bapanya daripada berundur suatu hari nanti.

Awang nampak ada kebijaksanaan dan keberanian Nik Abduh dalam komen dan tindak-tanduknya. Sebelum ini, beliau pernah membuat pendedahan bahawa bapanya telah menerima salah nasihat dan mendapat gambaran tidak betul daripada golongan tertentu, yang dikaitkan oleh pemerhati dengan puak Erdogan.

Awang melihat Nik Abduh bintang baru yang boleh menjadi sandaran Pas. Beliau tidak hipokrit. Lebih penting, beliau tidak terikat dengan pengaruh luar, yang imej itu tebal kepada Husam.


Ulasan Saya : Mengapa sejak akhir-akhir ini, PAS seolah-olah telah ditimpa bala? satu demi satu masalah dalaman parti semakin terdedah dan terlondeh - sekali gus memperlihat sebahagian daripada akhlak buruk dan keji dalam kalangan ulama-ulama PAS. Namun demikian, saya ada jawapannya - mengapa PAS semakin menuju ke arah kehancurannya. Segala-galanya bermula apabila Nik Aziz Nik Mat menolak perintah Allah yang jelas melalui ayat ke-10 dalam surah al-Hujrat yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." Bukankah ayat ini tidak perlu lagi ditakwil berkenaan kewajipan umat Islam bersatu dan melupakan sengketa? Bukankah ahli PAS dan UMNO itu adalah beragama Islam? Jadi mengapa mesti Nik Aziz menolak cadangan Kerajaan Perpaduan yang pernah diilhamkan oleh Hj Hadi pada satu ketika dahulu? Bukankah Hj Hadi hanya menurut perintah Allah sepertimana kehendak-Nya dalam ayat di atas itu? Mengapa Nik Aziz marah-marah tatkala UMNO dan PAS semakin menemui titik temunya untuk bersatu dan membentuk sefahaman? Bukankah ahli UMNO juga adalah orang beriman? seperti mana orang PAS juga? Bukankah kiblat bagi ahli PAS dan UMNO juga sama? Jadi mengapa Nik Aziz terlalu membenci ahli-ahli UMNO secara melampaui batasan?


Nah sekarang perhatikan apakah bala yang telah menimpa parti tersebut? Bermula dengan kritikan hebat Nik Aziz terhadap Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa - dengan mendakwa beliau merupakan boneka UMNO dan perlu disingkirkan. Sebelum itu - kita juga disaljikan dengan kritikan pedas anak Nik Aziz, iaitu Nik Abduh terhadap orang yang dikatakan rapat dengan Nik Aziz (Husam Musa) dan cuba mencalar nama baik bapanya itu. Husam Musa diserang bertalu-talu tanpa belas kasihan di dalam blog Nik Abduh. Tak cukup dengan itu - PAS sekali dikejutkan dengan cadangan Nik Aziz untuk mengadakan EGM bagi menyingkirkan pemimpin-pemimpin PAS yang dikatakan sangat menyokong idea Kerajaan Perpaduan - nama-nama yang patut disingkirkan menurut Nik Aziz termasuklah Dr Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa.


PAS bergelora sekali lagi apabila Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasarudin Hassan at-Tantawi mengaku terdapat pengaruh luar yang cuba merosakkan PAS. Semua itu masih belum menyedarkan PAS - sehinggalah isu menantu Nik Aziz yang diangkat menjadi CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan menjadi fitnah kepada Nik Aziz dan keluarganya. Tidak cukup dengan itu - Nik Aziz dilanda badai bencana lagi apabila isu berkenaan tajaan yang Nik Aziz peroleh bagi menunaikan haji ke Mekah dari pihak tertentu - dikatakan mempunyai unsur rasuah, malah SPRM bertekad akan menyiasat kes tersebut, sekali pun Nik Aziz telah menolak untuk menunaikan haji pada tahun ini. Lagi pun - dalam soal ini, saya berpandangan rasanya tidak perlulah menaja Nik Aziz untuk menunaikan haji sekali lagi - bukankah Nik Aziz sudah pun menunaikan haji wajibnya sebelum ini? Bukankah elok jika tajaan itu diberikan kepada fakir miskin atau orang-orang tua yang tidak cukup duit untuk menunaikan haji mereka?


Dugaan terus melanda PAS akibat daripada sifat sesetengah ulama PAS yang tidak mengikut ajaran Islam yang menekankan soal persaudaraan dan kesatuan ummah - kali ini Nik Aziz mendakwa bahawa terdapat konspirasi untuk menjatuhkan beliau dari kerusi MB Kelantan - malah menurut beliau lagi, usaha ini sudah lama berjalan. Nik Aziz turut mendakwa individu yang ingin menjatuhkan beliau itu bernama Kolonel Mat - dan jika hal ini adalah benar mengapa baru sekarang Nik Aziz dedahkan setelah pelbagai kes menyelubungi beliau dan pentadbirannya? Apakah ini satu cara untuk mengkambingkan hitamkan orang tertentu dan menutup kelemahan diri sendiri? Isu ini tidak selesai di sini sahaja - sekali lagi Allah uji kesabaran Nik Aziz - namun ternyata Nik Aziz lebih selesa meletakkan dirinya sebagai seorang suci dengan mendoakan pula kehancuran terhadap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkenaan isu royalti minyak untuk Kelantan.


Soalnya, apakah Nik Aziz tidak tahu bahawa kita diwajibkan taat kepada pemerintah sekali pun mereka zalim? Sabda nabi bermaksud, "Akan ada sesudahku para imam atau kepala negara (pemerintah) yang tidak mengikut petunjukku dan tidak menjalani sunnahku. Dan akan bangun pada mereka laki-laki yang hati mereka adalah hati syaitan dalam tubuh manusia. Kata Huzaifah : Aku bertanya, Bagaimana saya hendak lakukan jika saya menemuinya ya Rasulullah? Rasulullah bersabda, hendaklah engkau mendengar dan taat walaupun ia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Dengar dan taatlah" (Riwayat Muslim).


Sabda nabi lagi, "Para imam yang jahat ialah yang kamu benci mereka dan mereka benci kepada kamu. Kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu. Rasulullah ditanya, Ya Rasulullah, bolehkah kami melawan mereka dengan pedang? Baginda menjawab, Tidak! selama mereka mendirikan solat. Dan apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak sukai daripada pemerintah kamu, maka hendaklah kamu bencikan amalannya dan jangan kamu menarik tangan kamu dari ketaatan" (Riwayat Muslim) dan, "Satu ketika nabi ditanya, Ya Rasulullah, jika kami mempunyai pemerintah-pemerintah yang mengerjakan selain ketaatan kepada Allah, bagaimana? Rasulullah bersabda, Mereka memikul apa-apa yang dibebankan ke atas mereka dan kewajiban kamu adalah apa-apa yang dibebankan ke atas kamu" (Riwayat Bukhari).


Sebenarnya apa-apa yang sedang berlaku ke atas PAS dan Nik Aziz adalah disebabkan oleh tangan-tangan mereka sendiri - dan bukan orang lain. Apabila Allah menyuruh orang beriman agar bersatu-padu, kita degil dan bongkak, kita tunjuk ego dan sombong kepada Allah. Inilah akibatnya. Apabila UMNO mahu bermuzakarah dengan PAS - mereka tolak dengan pelbagai alasan - sebaliknya dengan musuh Islam seperti DAP- PAS begitu rapat serta menunjukkan kasih sayang, apakah maknya semua ini? Apakah PAS lupa ayat di bawah ini? "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara. Kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat. Wahai, orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum mengolok-ngolokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka yang diolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka yang mengolok-ngolokkannya.(al-Hujurat ; 10).


Sebelum ini saya sudah meramalkan bahawa selagi PAS menjadikan DAP sebagai kawan rapat dan pembantu mereka untuk menegakkan Islam di Malaysia - maka selagi itulah PAS akan menemui kegagalan. Dan saya melihat apa-apa yang sedang berlaku kepada Nik Aziz dan PAS pada hari ini merupakan bibit awal kejatuhan parti tersebut yang terang-terang melaungkan Islam, tetapi tidak beramal dengan seluruh perintah yang terkandung di dalam al-Quran. Allah sudah mengingatkan kita semua melalui firman-Nya di dalam surah al-Maidah ayat 55-56 yang bermaksud, "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan sesiapa yang menjadikan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang."


Jadi jelaslah selagi PAS menolak ajakan UMNO untuk membentuk kesatuan dan perdamaian - maka selagi itulah PAS akan gagal mengejar cita-citanya. Dan PAS akan tetap gagal sampai bila-bila selagi mereka meninggalkan orang-orang beriman (UMNO) dalam urusan pentadbiran dan politik. Hal ini sudah dijelaskan oleh Allah di dalam ayat di atas tersebut. Sesungguhnya DAP sama sekali tidak akan berjaya membantu PAS bagi merealisasikan cita-cita Islam parti tersebut. Fikir-fikirkan. Wallahualam.

November 25, 2009

Mukhriz Calon DUN Kota Siputeh?


Mukhriz Calon DUN Kota Siputeh?


Walau apa-apa pun alasan yang bakal kita dengar di dalam keputusan mahkamah kelak - hakikatnya satu lagi Pilihan Raya Kecil akan tetap juga diadakan di Kota Siputeh. SPRM menggunakan alasan implikasi kewangan bagi mengharapkan ihsan mahkamah agar Pilihan Raya Kecil di DUN tersebut tidak perlu diadakan. Dengan bajet Rm200 ribu bagi tujuan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil - alasan ini - sekurang-kurangnya membuktikan bahawa duit rakyat jangan dibazirkan kepada sesuatu yang boleh diselesaikan secara hikmah. Namun demikian, andaikata jika DUN Kota Siputeh bukan milik UMNO - apakah SPRM akan mempertahankannya juga? Saya fikir - untuk lebih jujur, Pilihan Raya Kecil DUN Kota Siputeh harus diadakan secepat mungkin, sebelum ia memberi implikasi yang negatif terhadap undang-undang dan perlembagaan negara. Malah, jika Pilihan Raya Kecil tidak diadakan - saya khuatir rakyat akan menuduh kononnya SPRM adalah kuda tunggangan UMNO/BN - hal ini harus segera dielakkan. Saya yakin dan percaya, jika diadakan Pilihan Raya Kecil di DUN tersebut, InsyaAllah UMNO akan menang - bukan sahaja menang selesa, malah mungkin akan menang dengan majoriti yang lebih baik. Namun demikian, yang ingin saya perkatakan di sini hanya satu - berkenaan desas-desus yang mendakwa bahawa kemungkinan besar Ahli Parlimen Jerlun - Datuk Mukhriz Mahathir disebut-sebut sebagai calon yang paling layak untuk memberi kemenangan besar kepada BN/UMNO di kawasan tersebut. Pada hemat saya, saya sangat bersetuju jika Datuk Mukhriz dicalonkan sebagai ADUN kawasan Kota Siputeh hal ini berdasarkan kepada beberapa faktor :

1. Datuk Mukhriz Mahathir dianggap ikon generasi muda dan pengikut-pengikut Tun Dr Mahathir.

2. Peribadinya bersih dan tidak ada skandal politik wang atau pun wanita

3. Kredibiliti Datuk Mukhriz juga disegani oleh parti pembangkang

4. DUN Kota Siputeh terletak di bawah Parlimen Jerlun dan tiada masalah jika Datuk Mukhriz dicalonkan di kawasan tersebut.

5. Pembangkang tiada isu yang boleh dimainkan bagi menjatuhkan karisma dan kredibiliti Datuk Mukhriz.

6. Jika benar Datuk Mukhriz dicalonkan di kawasan tersebut hal ini bermakna harapan untuk BN merampas kembali negeri Kedah semakin cerah - berikutan tafsiran masyarakat yang percaya bahawa mungkin dalam PRU ke-13 kelak jika BN/UMNO berjaya merampas negeri Kedah, Datuk Mukhriz akan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah - hal ini sudah tentu membimbangkan parti pembangkang. Wallahualam.

November 23, 2009

Selamat Jalan Husam!


Nik Aziz Nik Mat 2009
Selamat Jalan Husam!


ALOR SETAR 22 Nov. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membincangkan hasrat Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa yang dikatakan mahu melepaskan kesemua jawatannya di dalam parti dan kerajaan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kunjungannya ke Kelantan Khamis ini. Menurut Abdul Hadi, setakat ini, beliau masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut dan hanya membaca menerusi laporan media.

"Saya tidak tahu menahu, cuma mengetahui mengenainya daripada laporan media dan saya kena tunggu maklumat sebenarnya," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melihat sesi perbahasan sebelah pagi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini. Mingguan Malaysia hari ini melaporkan keputusan Husam Musa yang disifatkan sebagai satu lagi episod menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu. Namun hasrat itu tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang sebaliknya memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga Exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Tindakan Husam untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.


Ulasan Saya : Jika pergolakan di dalam MCA menjadi semakin kronik - saya kira ia sama juga halnya dengan PAS. Soal peletakan jawatan Husam Musa sudah lama kedengaran, bermula awal minggu lalu. Namun demikian ia masih menjadi tanda tanya. Menurut beberapa sumber, peletakan semua jawatan oleh Husam adalah bertitik tolak daripada hilangnya kepercayaan Nik Aziz terhadap beliau. Mungkin juga ramai yang tidak percaya bahawa ramai pemerhati politik yang mengandaikan Husam seolah-olah telah menikam Nik Aziz dari belakang. Pendedahan demi pendedahan berhubung kepincangan dalam pentadbiran kerajaan Kelantan, dikatakan bertitik tolak daripada pendedahan Husam kepada pihak tertentu - sejauh mana kebenaran tersebut hanya Allah sahaja yang tahu. Namun begitu - saya tidak fikir Husam sanggup menganiaya Nik Aziz kecuali jika jelas Nik Aziz telah melakukan kesalahan yang besar dan merugikan parti. Seperti kita semua - Nik Aziz juga manusia biasa. Hampir 20 tahun mentadbir Kelantan, akhirnya sedikit sebanyak Nik Aziz tetap juga akan melakukan kesalahan. Sama ada kesalahan besar atau pun kecil - Nik Aziz tetap diperhatikan. Jika dahulu Nik Aziz menentang kronisme, mungkin kali ini penyakit tersebut terkena kepada Nik Aziz. Walau bagaimana pun, saya percaya ada sesuatu yang disimpan kemas oleh Husam Musa berkenaan Nik Aziz. Seperti pemimpin parti yang lain juga - Nik Aziz hakikatnya sudah menemui jalan untuk pulang dan harus berhenti daripada arus politik negara. Tetapi, PAS tidak bisa mengorbankan Nik Aziz demi seorang manusia bernama Husam Musa. Selamat tinggal Husam! Wallahualam.

November 16, 2009

Mari Kita Menilai Nik Aziz


Mari Kita Menilai Nik Aziz


KOTA BHARU 15 Nov. – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman didesak meletak jawatan ekoran penajaan bagi menunaikan ibadat haji. Ketua Pemuda UMNO negeri, Anuar Safian menegaskan, kedua-dua mereka wajar berundur berikutan salah laku serius Nik Abdul Aziz menerusi pengakuan terbuka bahawa ada pihak menaja beliau dan keluarga untuk ke tanah suci Mekah.

Beliau turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan segera terhadap dakwaan tersebut demi kepentingan rakyat kerana terdapat asas kukuh berhubung salah laku.

“Kenapa Nik Abdul Aziz boleh membenarkan dirinya dan keluarga ditaja untuk menunaikan haji dengan kos begitu tinggi?

“Disebabkan itu, kita mendesak beliau dan menantunya meletakkan jawatan kerana dakwaan salah laku itu sangat serius dan memalukan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum kepada wakil SPRM negeri di sini hari ini.

Penyerahan memorandum tersebut berikutan laporan media berhubung penajaan haji yang diterima oleh Nik Abdul Aziz dan keluarganya serta penyelewengan yang berlaku dalam PMBK. Rabu lalu media melaporkan pengakuan Nik Abdul Aziz bahawa beliau ditaja oleh pihak tertentu untuk menunaikan haji dengan kos RM65,000 seorang dan mendapat layanan bertaraf VVIP. Difahamkan rombongan tersebut dijangka disertai 10 individu termasuk isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak; anaknya, Nik Amalina dan menantunya, Abdul Ariffahmi.

Menurut blog http://ruangbicarafaisal.blogspot.com, syarikat yang bertanggungjawab menaja Menteri Besar Kelantan dan keluarganya adalah Abroad Technology Sdn. Bhd. yang berpejabat di sini.

Syarikat itu mendapat hak eksklusif untuk memasang papan tanda di seluruh negeri itu.

Ekoran kenyataan terbuka itu, SPRM dilaporkan telah membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut. Dalam hal ini, Anuar percaya jumlah keseluruhan kos tajaan haji yang melibatkan Nik Abdul Aziz bersama ahli keluarga adalah beratus-ratus ribu ringgit. Beliau berkata, perkara tersebut turut didedahkan dalam sebuah blog http://pemudapadangrengas.blogspot. com dan telah menjadi pengetahuan umum.

“Nik Abdul Aziz juga telah membuat pengakuan berhubung tajaan untuk menunaikan haji daripada beberapa individu sebelum ini sepanjang menjadi Menteri Besar,’’ ujarnya.

Bagi beliau, banyak aspek perlu dilihat secara mendalam termasuk kredibiliti Abdul Ariffahmi yang dilantik sebagai CEO dalam masa yang amat singkat. Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, menantu Nik Abdul Aziz itu dikatakan mula bertugas di Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

“Beliau kemudian dipinjamkan di PMBK bagi menjaga Projek Bandar Baru Tunjong yang diambil alih daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU),’’ katanya. Menurut beliau, selepas itu Abdul Ariffahmi dilantik sebagai Ketua Bahagian Hartanah PMBK sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi awal tahun lalu dan pelantikannya turut dipertikaikan.

“Bagaimanapun secara tiba-tiba dia dilantik menjadi CEO. Kita mahu tahu secara jelas, atas sebab apa dia dilantik ke jawatan yang besar ini dalam usia yang sangat muda. Adakah rekod yang dimilikinya amat baik?” soal Anuar.


Ulasan Saya : Saya tidak mahu komen lebih, tetapi saya mohon agar para pembaca sekalian menilailah sendiri. Wallahualam.

November 13, 2009

Isu Bai'ah : Datuk Mustafa Ali Tetap Tidak Mengaku


DATUK MUSTAFA ALI
TETAP TIDAK MENGAKU


Bukankah sudah saya jelaskan dalam posting saya sebelum ini, bahawa akhirnya jawapan berkenaan isu bai'ah talak tiga ini sudah ada skrip jawapannya? PAS tetap tidak akan mengaku, walaupun sudah jelas buktinya melalui rakaman video dalam YouTube. Di dalam Harakahdaily, lidah rasmi parti tersebut sudah awal-awal meletakkan tajuk utamanya yang berbunyi, "Tiada Lafaz Talak Tiga dalam Bai'ah PAS" Tulisan saudara Dzulfikar Mashoor. Lihatlah laporan beliau di bawah ini.


KUALA LUMPUR, 13 Nov: PAS hari ini mendedahkan bai'ah (janji setia) dengan lafaz menceraikan isteri dengan talak tiga adalah bukan lafaz rasmi dari parti itu. Penafian itu dibuat Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali setelah beliau sendiri menyiasat dakwaan tersebut sebagaimana diarah Presiden Pas Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, kesemua negeri menggunakan lafaz bai'ah rasmi tersebut kecuali sedikit berbeza bagi wakil rakyat mereka di Selangor.

"Presiden kata benda ini (bai'ah talak tiga) tidak berlaku dan dia minta saya siasat semua negeri."

"Semua negeri mengikut rasmi, ikut pusat kecuali Selangor, ada kelainan sedikit." jelasnya.

Dalam sidang media di pejabat Agung PAS pagi tadi, beliau turut mendedahkan beberapa skrip baia'ah rasmi PAS yang diguna Abdul Hadi, beliau sendiri dan Mohammad Sabu.

Kesemuanya adalah sama dan tiada langsung berkait 'cerai talak tiga' kecuali yang ada hanya lafaz laknat jika mengkhianati parti.

"WaLlahi wa biLlahi wa taLlahi. Bahawa saya, Hj. Mustafa bin Ali yang diamanahkan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk bertanding dalam pilihanraya umu kali ke-12 dalam kawasan DUN N17 Alor Limbat bersumpah dengan nama Allah sama ada saya menang atau kalah di dalam pilihanraya ini, saya tidak akan mengkhianati parti dan perjuangan parti ini,iaitu Islam.

"Jika saya mengkhianati parti dan perjuangan ini (iaitu Islam), maka saya akan dilaknat oleh Allah, para Malaikat dan para pelaknat, " lafaz baiahnya dibaca di hadapan wartawan.

Jelasnya, bai'ah yang dilakukan PAS sekadar mekanisme biasa bagi mengikat wakil rakyat parti demi memastikan para mereka tidak mengkhianati amanah parti.

"Oleh kerana PAS memperjuangkan Islam, maka menggunakan bai'ah...sama seperti BN sendiri, wakil rakyat yang menang diminta tandatangan satu surat tanpa tarikh yang ditujukan kepada Speaker (Dun dan Parlimen) memaklumkan bahawa dia meletak jawatan. Jadi, Surat itu digunakan bila wakil rakyat lompat parti."

Tambahnya lagi, bai'ah PAS Selangor beberbeza dengan negeri-negeri lain mungkin disebabkan bimbang para wakil rakyatnya dibeli BN kelak.

"Ada kebimbangan akan ada wakil rakyat lompat parti sebab yang beli biasa parti pemerintah (Umno dan BN)." Beliau juga menjelaskan bahawa beberapa pemimpin PAS yang menggunakan media untuk mengulas isu 'bai'ah talak tiga', telah pun diberi nasihat agar tidak mengeruhkan keadaan lagi. Beliau juga menasihatkan pihak media agar tidak memanjangkan isu tersebut, setelah mendengar penjelasannya hari ini.

Kesimpulan saya adalah mudah : PAS tidak boleh dipercayai lagi. Malah, PAS hanya percaya bahawa parti mereka sahaja yang betul dan benar. Parti lain semua tidak betul. PAS tidak pernah buat dosa, apa-apa sahaja yang buruk tentang PAS, semuanya tidak benar. Inilah PAS.

November 12, 2009

Bai'ah Ceraikan Isteri : PAS Sudah Ada Skrip Jawapan


BAI'AH CERAIKAN ISTERI
PAS SUDAH ADA SKRIP JAWAPAN




KUALA LUMPUR, 12 Nov: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali akan mendedahkan hasil siasatannya berhubung dakwaan wujud bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga dalam PAS esok. Pendedahan itu akan dibuat pada satu sidang media yang akan diadakan di bangunan PAS, Jalan Raja Laut jam 11.00 pagi.

Beliau sebelum ini telah diarah oleh Presiden Parti, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk menyiasat dakwaan terbaru itu setelah beberapa media perdana dan laman blog membangkitkan perkara tersebut.

Perkara itu didakwa timbul selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan beberpa blogger. Kemudiannya mendapat liputan meluas sehingga PAS diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan tersebut.

Selain Abdul Hadi, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz serta Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub turut menafikan dakwaan tersebut. Ianya kerana Majlis Syura Ulama tidak pernah mengeluarkan sebarang dasar yang menghendaki pemimpin-pemimpin parti itu melafazkan bai'ah sedemikian. Mereka juga berpendapat, isu ini hanya sengaja dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu memecahbelahkan PAS.


Ulasan Saya : Saya sudah dapat menduga jawapan yang bakal diberikan oleh Datuk Mustafar Ali berkenaan isu bai'ah ceraikan isteri yang didakwa berlaku di dalam parti PAS esok. Jawapannya adalah mudah iaitu, "tiada kes bai'ah yang melibatkan wakil rakyat PAS." Pendek kata, PAS tetap akan mendakwa kononnya isu tersebut merupakan permainan 'nakal' UMNO dan BN bagi mencemar naik baik PAS di mata rakyat. Dengan kata lain, PAS sebenarnya tidak pernah buat salah, walaupun sedikit. Selain itu, Nik Aziz juga akan bersikap lepas tangan dengan mendakwa, Syura Ulama PAS tidak pernah mengizinkan bai'ah ceraikan isteri terjadi di dalam parti tersebut. Sebaliknya, individu-individu tertentu sahaja yang rela mengadakan bai'ah demi perjuangan politik PAS tanpa pengetahuan Syura Ulama. Kesimpulannya, PAS tetap tidak akan mengaku wujudnya pemahaman sesat dalam parti tersebut - sehingga sanggup mengutamakan parti melebih daripada agama itu sendiri. Akhir kata, esok, Datuk Mustafar akan membuat kesimpulan yang sudah pun disediakan skripnya yang berbunyi seperti berikut :


1. "Kita sudah buat siasatan, dan terbukti tidak berlaku sama sekali bai'ah di dalam PAS, ini semua fitnah yang datangnya daripada UMNO/BN".

2. "Majlis Syura Ulama tidak pernah memberi arahan agar wakil rakyat-wakil rakyat PAS mengadakan bai'ah, ini semua fitnah terhadap PAS."

3. "Kami tidak menemui bukti tentang wujudnya bai'ah di dalam PAS."

4. "Bai'ah di dalam PAS adalah satu pembohongan dan sengaja direka-reka oleh UMNO dan BN"

5. "Masyarakat salah faham istilah bai'ah dengan maksud taat setia kepada perjuangan parti. Yang berlaku hanyalah kepada pasangan suami isteri yang kedua-duanya reda dengan bai'ah, ia bukan arahan pimpinan tertinggi PAS, ia hanyalah suka rela."


Inilah serba sedikit yang saya rasa akan dikatakan oleh Datuk Mustafar Ali dalam sidang medianya esok. PAS tidak pernah mengaku buat silap dan bersalah - mereka fikir, hanya mereka sahaja yang Allah suka. Begitulah buruknya fahaman Islam yang dipraktikan di dalam PAS. Wallahualam.

November 11, 2009

Dr. Asri Akan Sertai UMNO, InsyaAllah!


Dr. Asri Akan Sertai UMNO,
InsyaAllah!



Saya secara peribadi menyambut baik niat Dr Asri untuk menyertai politik, andaikata hak beliau untuk bersuara dan berceramah disekat oleh pihak tertentu. Sebelum ini, Dr Asri membayangkan bahawa beliau berkemungkinan akan menyertai parti politik tertentu sebagai jalan terakhir untuk beliau terus berdakwah. Persoalan yang timbul sekarang ialah, mana satu parti politik yang sangat dekat di hati Dr Asri? PAS kah?, UMNO kah? atau PKR? Harus juga diingati bahawa terdapat juga mantan mufti Pulau Pinang yang menyertai politik tetapi tidak menyertai PAS, sebaliknya menyertai PKR.


Namun demikian, pada hemat saya, jika Dr Asri benar-benar mahu ke medan politik sepenuh masa - saya sangat menggalakkannya. Malah, parti politik yang sesuai untuk beliau ialah UMNO, dan bukannya PAS! Sepanjang pengetahuan saya - kebiasaan bagi golongan salaf (seperti saya juga) lebih berminat dan lebih cenderung bersama golongan pemerintah. Golongan salaf-as-soleh berpegang teguh kepada hadis shahih yang mewajibkan agar rakyat taat kepada pemerintah, selagi pemerintah tersebut mengerjakan solat dan tidak menghalang rakyat jelatanya untuk membuat ibadah. Terdapat beberapa kebaikan jika Dr Asri menyertai UMNO antaranya :


1. Memudahkan golongan salaf di Malaysia menyedarkan masyarakat Islam di negara ini berkenaan metod atau uslub/manhaj salaf-as-soleh dalam melaksanakan syariat Islam dalam kehidupan seharian.

2. Menghidupkan budaya keagamaan dan penghayatan Islam yang kukuh di dalam UMNO , di samping pada masa yang sama, menjadi penegur kepada tindak-tanduk ahli-ahli UMNO yang melangkaui batasan agama.

3. Menegakkan kalimah tauhid secara bijaksana - iaitu dengan membantu dan menegur pihak kerajaan secara berhikmah dan bukan secara maki-hamun yang sering diamalkan oleh segelintir pemimpin-pemimpin PAS.

4. Menjadikan UMNO lebih Islamik dalam memperjuangankan agama, bangsa dan negara secara menyeluruh dan tidak hanya menumpukan perhatian terhadap satu aspek perjuangan semata-mata.

5. Membentuk generasi muda UMNO yang dekat dengan agamanya, di samping mewujudkan golongan muda UMNO yang menjauhi maksiat serta mencintai akhirat.

6. Akhir kata, semoga Allah membukakan hati Dr. Asri agar menyertai UMNO. Amin!

November 10, 2009

Transformasi Budaya II


Transformasi Budaya II


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggelar ahli yang gagal mematuhi disiplin dan ideologi parti itu sebagai 'pengacau' di dalam PKR. Sambil memberi amaran kepada individu terlibat Anwar berkata, mereka harus berundur daripada parti sebelum disingkirkan.

"Saya dengan tegas memberi amaran kepada seluruh anasir-anasir 'pengacau' dalam parti yang gagal patuh kepada disiplin dan ideologi parti, mereka harus undur sebelum disingkirkan," katanya di dalam blognya www.anwaribrahim.com. PKR baru-baru ini berhadapan dengan krisis dalaman yang menyaksikan dua pemimpinnya di Sabah iaitu Datuk Dr. Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai Naib Presiden, sementara Christina Liew pula meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Seorang wakil rakyatnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah pula bertindak keluar parti itu dan menjadi ADUN bebas.

Ketiga-tiganya memberi alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti itu yang diterajui '3A' iaitu Anwar; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; dan Naib Presidennya, Azmin Ali.


Ulasan Saya : Hayat Anwar Ibrahim dalam politik nasional semakin malap. Dengan pelbagai krisis yang sedang melanda parti tersebut, ditambahkan lagi dengan masalah dalaman PAS - menjadikan parti pembangkang semakin hilang arah tuju dan perjuangan. Punca berlakunya semua ini adalah natijah daripada para pemimpin pakatan rakyat yang sebenarnya tidak ikhlas berjuang untuk rakyat, sebaliknya mereka lebih menumpukan perhatian untuk menumbangkan BN dan UMNO. Inilah kesilapan pembangkang. Seharusnya, Pakatan Rakyat menumpukan perhatian kepada usaha-usaha yang boleh membangunkan negara dan bukan mencari keburukan BN semata-mata. Kita harus sedar, jika perkataan seperti Kronisme, Nepotisme, Rasuah, Ketelusan, Zalim dan sebagainya diulang-ulang ratusan kali, akhirnya rakyat akan bertambah muak dan meluat kepada Anwar. Sudah berbuih-buih mulut Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncunya menuduh kononnya kerajaan BN dan UMNO begitu zalim, tetapi Anwar Ibrahim masih hidup dan bebas bergerak. Jika benar BN dan UMNO begitu zalim, bukankah lebih baik Anwar itu ditembak sahaja? Hakikatnya, Anwar perlu menerima kenyataan ini, iaitu:


1. Pengaruhnya semakin berkurangan sejak beliau membohongi rakyat berkenaan PR akan mengambil alih kuasa kerajaan pusat pada 16 September 2008.


2. Rakyat semakin celik berkenaan niat sebenar Anwar Ibrahim adalah untuk menjadi PM semata-mata dan bukan untuk membela rakyat. Sifat retorik Anwar sudah disedari oleh ramai pihak.


3. Pendekatan politik mencari buruk kerajaan sudah berakhir dan berlalu. Pada hari ini, rakyat mahukan keamanan dan keselesaan. Jika parti-parti politik boleh duduk semeja memikirkan masalah rakyat, maka mengapa hal itu tidak dilakukan.


4. Pemikiran politik generasi muda sudah semakin berubah, yakni berubah daripada mengikut emosi kepada lebih memikirkan masa depan anak-anak. Generasi muda seakan-akan sudah hilang kepercayaan kepada semua pemimpin politik - menurut satu tinjauan, golongan muda semakin ramai yang berpendirian atas pagar - mereka lebih suka tunggu dan lihat. Idealisme sesebuah parti politik tidak lagi menjadi daya tarikan kepada mereka - yang penting sekarang sejauh mana pemimpin-pemimpin politik boleh mendampingi golongan tersebut. Soal akhlak seseorang pemimpin sudah ditolak ketepi. Sebagai contoh, sekali pun seseorang pemimpin itu sudah dikenali sebagai perasuah atau suka main perempuan - hal tersebut tidak akan menjejaskan sokongan golongan muda terhadapnya, selagi beliau memahami dan mempunyai hubungan yang rapat dengan golongan muda.


5. Oleh yang demikian, keputusan PRU ke-13 akan ditentukan oleh dua faktor penting - iaitu, sejauh mana dasar kerajaan akan bersifat mesra "generasi muda", umpamanya masalah pinjaman PTPTN dan isu pembayaran balik pinjaman tersebut yang masih menjadi duri dalam daging generasi muda. Faktor kedua pula ialah, sejauh mana pemimpin politik memandang serius penglibatan generasi muda di dalam sesebuah organisasi politik dan sejauh mana, sesebuah parti politik boleh memahami aspirasi diri mereka.

November 9, 2009

PAS dan Nik Aziz 2012 : 2 Kilometer Dari Bencana!


PAS dan NIK AZIZ 2012
Dua Kilometer Dari Bencana!



Salam dan selamat sejahtera kepada semua, kiranya saya masih belum terlewat untuk memberi sedikit pandangan berhubung Seminar Pemerkasaan PAS yang berlangsung tempoh hari serta isu pendedahan yang dilakukan oleh Profesor Madya Dr Hassan Hasbullah berkenaan terhakisnya pengaruh PAS dalam kalangan generasi muda. Pada hemat saya - kenyataan yang mendakwa bahawa generasi muda menolak UMNO dalam PRU yang lepas adalah bertitik tolak daripada kebencian dan kemarahan mereka terhadap kepimpinan UMNO yang selama ini mengamalkan kronisme dan rasuah - tetapi, harus diingat sokongan yang berasaskan kepada rasa benci dan marah tidak akan bertahan lama - sifat orang marah ini, sampai masanya ia akan reda juga. PAS akan tetap gagal selagi menjadikan rasa benci dan marah sebagai garis panduan untuk mendapatkan sokongan berterusan daripada rakyat. PAS perlu mewujudkan rasa kesedaran - hanya melalui kesedaran sahaja - sokongan akan berkekalan. Izinkan saya bercakap secara jujur dan berterus-terang.



Punca utama pengaruh PAS menjadi lemah dan tidak lagi mendapat kepercayaan daripada generasi muda adalah mudah, iaitu PAS mengamalkan sikap cakap tidak serupa bikin. Apabila PAS melaungkan, slogan, "Kami memperjuangkan Islam dan menjunjung al-Quran" - maka sudah tentulah setiap tingkah-laku parti tersebut mestilah berlandaskan kepada al-Quran dan As-Sunnah - tetapi malang, sejak hubungan PAS begitu akrab dengan DAP dan Anwar Ibrahim - dasar perjuangan parti tersebut sudah mula berubah dan goyah. Niat PAS sudah mula berubah daripada bercita-cita mahu melaksanakan tuntutan Islam sepenuhnya, kepada niat untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya dan menghancurkan UMNO semata-mata.



Niat PAS dalam politik perdana pada hari ini jika diamati sudah semakin berubah - PAS lebih menumpukan perhatian ke arah menguatkan parti di samping memberi penekanan yang serius terhadap cara untuk menarik sokongan bukan Islam kepada parti tersebut. Sebaliknya PAS harus memberi perhatian yang besar terhadap usaha untuk menguatkan Islam, dan bukannya parti, hal ini termasuklah melalui usaha menyatupadukan umat Islam di Malaysia . Namun demikian, nampaknya PAS lebih selesa dengan slogan PAS for All berbandingan dengan slogan Islam for All. Pemimpin-pemimpin PAS lebih selesa berceramah untuk tujuan politik dan bukan untuk berdakwah. Apabila kita menggunakan nama Islam - maka tanggungjawabnya adalah berat. Setiap huruf dan ayat yang terdapat di dalam al-Quran perlu dilaksanakan oleh PAS yang selama ini secara terang-terang mendakwa bahawa tujuan parti itu ditubuhkan adalah untuk menegakkan Islam. Tetapi, apakah Islam boleh ditegakkan dengan sokongan daripada parti seperti DAP yang jelas menolak Islam? Apakah PAS berasa hanya dengan mengambil musuh Allah dan meninggalkan saudara seIslam, maka Islam boleh menjadi lebih kuat?



Beberapa bulan yang lalu, saya meramalkan bahawa PAS akan tewas teruk dalam PRU yang akan datang - selagi mereka menolak perintah Allah dalam surah Al-Maidah ayat 55-56 yang bermaksud, "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan sesiapa yang menjadikan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang." Perhatikan maksud ayat di atas dengan mata hati. Apakah ahli-ahli DAP mendirikan solat dan menunaikan zakat? Jika tidak, bagaimanakah PAS boleh mengambil mereka sebagai penolong untuk menegakkan hukum Allah?



Manakala dalam surah Ali Imran ayat 28 pula Allah berfirman yang bermaksud :"Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang kafir menjadi pemimpin (pelindung) dengan meninggalkan orang mukmin. Barangsiapa berbuat sedemikian, nescaya lepaslah ia daripada pertolongan Allah, kecuali kerana muslihat yakni memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap dirinya (siksa-Nya), dan hanya kepada Allah kamu dikembalikan." Soalnya sekarang, mengapa PAS mengambil DAP sebagai penolong/pemimpin serta meninggalkan orang-orang UMNO yang jelas beriman kepada Allah? Bukankah sudah jelas kekafiran DAP dan prinsip mereka terhadap Islam? Dan mengapa PAS masih mahu lagi bersama dengan DAP?



Dan di dalam surah Al-Mumtahanah, ayat 1, Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jangalah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi wali (pembantu), kamu hubungkan kepada mereka kasih sayang, padahal mereka telah kafir (menyangkal) kebenaran yang datang kepadamu." Bukankah PAS tahu bahawa DAP begitu anti dengan hukum hudud dan negara Islam? Jadi mengapa Nik Aziz tetap berdegil untuk meneruskan kerjasama dengan DAP? Malah yang lebih pelik, mengapa PAS masih tetap mahu menjadikan DAP sebagai wali (pembantu) bagi menghancurkan saudara seagama (UMNO) semata-mata mahukan kuasa? Bukankah Nik Aziz tahu bahawa DAP telah menyangkal kebenaran yang terkandungan di dalam al-Quran dengan menolak hukum Hudud dan negara Islam? Jadi apakah alasannya lagi untuk PAS meneruskan hubungan kasih-sayangnya dengan DAP?



Dalam hal ini adalah jelas, selagi umat Islam menjadikan musuh Allah (kaum kafir) sebagai penolong untuk menegakkan kalimah tauhid, maka selagi itulah umat Islam akan gagal dan kecewa. Sehingga kini, tiada satu pun negara Islam yang berjaya menegakkan daulah Islamiyyah selagi mereka bersengkongkol dengan musuh Allah. Hal yang sama juga tidak terlepas daripada PAS, selagi PAS mengabaikan peringatan Allah ini dan masih berdegil mahu mengikut kata-kata Nik Aziz, maka PAS harus bersiap sedia menggali lubang kuburnya.



Hakikatnya, PAS sudah dapat menghidu bencana yang akan menimpa parti tersebut - semua ini terjadi adalah kerana sikap pemimpin-pemimpin PAS sendiri yang hanya pandai melaungkan, kata-kata, "Kami ikut Quran, kami ikut Sunnah," tetapi apabila tiba masa untuk mempraktikkan seruan al-Quran, semua laungan itu hilang entah ke mana. PAS, pada pengamatan saya - benar-benar berada dijurang kehancuran dan bencana, selagi mereka menolak perintah Allah di atas. Dan sesungguhnya, bencana itu terlalu hampir dengan PAS. Saya khuatir, untuk PRU ke-13 yang akan diadakan pada tahun 2012 nanti, PAS mungkin tidak lagi relevan. Wallahualam.

November 6, 2009

Shahidan Kasim 2009 : Apabila Malam Terlelap


Shahidan Kasim 2009
Apabila Malam Terlelap


KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan hanya satu jawatan mufti diwujudkan di negara ini bagi mengelakkan pertikaian dan perselisihan pendapat sesama mereka. Katanya, pada masa ini setiap negeri mempunyai mufti dan perbezaan pandangan di kalangan mufti-mufti akan menimbulkan keresahan rakyat kerana isu agama adalah sensitif.

"Perkara ini perlu dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan pada mesyuarat akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini selepas membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) berhubung kenyataan Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Zamihan Mat Zain AlGhari mengenai bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Zamihan baru-baru ini mendedahkan, berdasarkan pemeriksaannya, bidang pengkhususan Dr Mohd Asri melibatkan Bahasa Arab dan Sastera dan pendedahan itu disifatkan Shahidan sesuatu perkara yang mengaibkan.

Shahidan juga berharap peraturan baru diwujudkan berhubung pelantikan mufti termasuk memastikan mereka mempunyai pendidikan bertaraf doktor falsafah (PhD) dan hafal al Quran selain mahir dalam hal ehwal syariah.

Sementara itu, Shahidan berkata laporan kepada JAIPs dibuat bagi membersihkan nama baik kerajaan negeri Perlis yang telah melantik Dr Mohd Asri sebagai Mufti Perlis sebelum ini.

Pengarah JAIPs Malek Hussin yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) berkata laporan Shahidan itu akan dikaji dan dipanjangkan ke peringkat MAIPs termasuk menyembah maklum kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs.

Turut mengiringi Shahidan membuat laporan itu ialah bekas Pengarah JAIPs, Md Sadik Ismail.

Semalam, Shahidan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang membuat laporan di Balai Polis Kangar berhubung kenyataan Zamihan selain memorandum oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang diPertuan Agong berhubung isu Dr Mohd Asri. BERNAMA


Ulasan Saya : Sudah lama saya memikiran apa yang telah dikatakan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim di atas. Sememangnya sudah sampai masanya semua mufti yang bakal dilantik pada masa akan datang haruslah dalam kalangan tahfiz al-Quran dan penghafal hadis. Malah, satu ketika dahulu, saya pernah mencadangkan agar silibus pengajian Islam di Malaysia mestilah dirombak dengan memberi penekanan ke atas melahirkan graduan pengajian Islam yang hafal al-Quran dan hadis setelah mereka menamatkan pengajian di universiti.


Yang berlaku pada hari ini semakin membimbangkan - tahap penguasaan bahasa Arab dalam kalangan graduan pengajian Islam kita di Malaysia masih boleh dipertikaikan, malah sijil bahasa Arab negara kita juga baru-baru ini ditolak oleh Universiti al-Azhar, gara-gara kelemahan pelajar kita dalam menguasai bahasa Arab dengan baik ketika menyambung pelajaran di universiti tersebut. Semua ini memerlukan satu transformasi dalam sistem pengajian Islam dan syariah di universiti-universiti tempatan. Sesuatu harus dilakukan oleh pihak kerajaan.


Mahu atau tidak mahu, pelajar-pelajar Melayu harus dilatih untuk menghafal al-Quran sejak di bangku sekolah lagi dan apabila mereka tamat belajar di tingkatan lima, sekurang-kurangnya separuh al-Quran sudah dihafal di luar kepala. Hal ini tidak mustahil untuk dilakukan - kerajaan boleh memulakan program ini di sekolah-sekolah agama terlebih dahulu. Yang menjadi masalah pada hari ini ialah - hafazan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah hanya diambil berdasarkan ayat-ayat terpilih sahaja dan bukan satu program yang menyeluruh untuk menghafal seluruh isi al-Quran di sepanjang sessi persekolahan mereka selama 11 tahun itu (6 tahun sekolah rendah dan 5 tahun sekolah menengah).


Hal yang sama juga berlaku di peringkat pengajian Islam di universiti-universiti tempatan. Yang kita lahirkan pada hari ini hanyalah ustaz-ustaz muda yang menghafal beberapa surah al-Quran sahaja dan bukannya menghayati seluruh kandungan dan isi al-Quran secara holistik melalui hafalan dan penghayatan. Suka saya nyatakan bahawa, seharusnya syarat untuk seseorang menyambung pelajaran dalam jurusan agama di peringkat sarjana muda atau sarjana mestilah bertitik tolak daripada sejauh mana kemampuannya menghafal al-Quran dan bukan hanya melihat gred bahasa arab yang diperolehnya di peringkat SPM atau STPM. Dan lebih malang, di Malaysia, jurusan hafaz al-Quran hanya berada di sekolah-sekolah pondok atau di mahaad-mahaad tahfiz swasta sahaja, sebaliknya tiada pula usaha menyeluruh ke arah menaiktarafkan bidang tahfiz al-Quran sehingga ke universiti. Kita tidak mahu hanya ada Diploma Tahfiz al-Quran semata-mata, sebaliknya semua pelajar yang mengambil jurusan agama di peringkat sarjana muda wajib hafal al-Quran.


Saya mengambil contoh Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya - sudah tiba masanya akademi tersebut meletakkan syarat yang ketat sebelum graduannya lulus membawa balik segulung ijazah sarjana muda pengajian Islam. Tiada masalah jika diwajibkan bagi penganugerahan segulung ijazah usuluddin atau syariah seseorang graduan itu mestilah menghafal sekurang-kurangnya 15 juzuk al-Quran, manakala graduan yang mengambil jurusan ilmu wahyu seperti di UIA - diwajibkan bagi mereka menghafal seluruh al-Quran terlebih dahulu sebelum dianugerahkan ijazah dalam jurusan tersebut. Adalah pelik jika seseorang mengambil jurusan ilmu hadis, tetapi hanya menghafal 10-20 buah hadis sahaja, manakala seseorang yang mengambil jurusan ilmu wahyu di UIA hanya menghafal 5-10 surah-surah penting sahaja - jadi bagaimana mungkin kita berupaya melahirkan generasi al-Quran?


Hakikatnya yang kita lahirkan pada hari ini ialah graduan agama yang hanya berminat untuk menjadi ahli politik, mengajar sebagai seorang guru atau menjadi pakar motivasi. Realitinya, kita tidak melahirkan generasi ulul albab - yang membongkar isi al-Quran dan menemui ilmu-ilmu baharu melalui kefahaman dan penghayatan al-Quran, seperti mana yang dilakukan oleh generasi terdahulu. Perhatikan, tokoh-tokoh besar Islam yang lampau menghasilkan karya-karya yang unggul dan agung serta dihormati oleh dunia barat adalah bertitik tolak daripada penghayatan mereka terhadap al-Quran. Perlu juga diingatkan bahawa - semua tokoh unggul Islam yang lampau seperti Ibn Sinar, Al-Ghazali, As-Syafii, Ibn Kaldun, Ibn Isyhak, Ibn Taimiyyah, Ar-Razi dan banyak lagi telah menghafal al-Quran seawal usia 10 tahun! Dan sesungguhnya, al-Quran hanya boleh benar-benar dihayati dan difahami melalui dua kaedah penting ini, iaitu melalui penguasaan bahasa Arab dan penghafalan (kerana penghafalan memerlukan pengulangan, dan pengulangan pula memerlukan pemahaman). Wallahualam.

November 5, 2009

Konvensyen Blogger PAS 2009 : Jelapang Padi Yang Kosong


Konvensyen Blogger PAS 2009
Jelapang Padi Yang Kosong


KUALA LUMPUR, 5 Nov: Lajnah Penerangan PAS Pusat (LPPP) mengambil inisiatif mengadakan Konvensyen blogger PAS, ekoran beberapa polimik besar parti itu yang dilihat berpunca dari media baru itu. Konvensyen yang masih belum diputuskan tarikh dan tempatnya itu akan mengumpulkan semua blogger PAS di peringkat pimpinan pusat, negeri, kawasan dan ahli di cawangan. Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad ketika dihubungi berkata, konvensyen itu antara lain bertujuan menjadikan blogger PAS sebagai kumpulan yang memperbetul persepsi masyarakat terhadap PAS.


"Kita mahu blogger kita (PAS) ini menjadi orang yang memperbetul persepsi dan tanggapan PAS dalam gerbang maya ini," katanya ketika dihubungi. Medium Konvensyen ini juga katanya dilihat mampu memberi peringatan kepada blogger dikalangan PAS agar mereka sedar dan tidak menjadi sebahagian dari penabur fitnah kepada parti itu. "Orang banyak fitnah PAS sekarang ni, jadi kita tidak mahu blogger kita ni pun tumpang sekaki merosakkan parti dengan persepsi salah ini," katanya lagi. Penganjur juga katanya berhasrat menjadikan blogger PAS ini sebagai kumpulan yang mampu berdepan kumpulan 'cyber troopers' Umno BN dalam usaha mematahkan hujah yang dilempar kumpulan itu. Menurut beliau lagi, konvensyen tersebut juga akan memberi pendedahan kepada para perwakilan yang hadir tentang etika kewartawanan dan kaedah penulisan yang betul. Beberapa tokoh dan panel yang mempunyai kredibeliti dalam bidang masing-masing akan dijemput membentangkan kertas kerja dan berkongsi pengalaman berkaitan. Namun ianya hanya terbuka kepada blogger yang mempunyai nombor keahlian PAS sahaja. Mereka diminta mendaftarkan diri dengan menghubungi Sekreteriat Penerangan PAS Pusat di talian 03-2692500 atau menghantar email ke penerangan.paspusat@yahoo.com


Ulasan Saya :PAS Semakin kehadapan dalam soal ini berbanding dengan UMNO. Sehingga kini, tidak kedengaran Ketua Penerangan UMNO Kebangsaan mahu menganjurkan Konvensyen Blogger UMNO seperti yang dilakukan oleh PAS. Saya melihat, salah-satu kelemahan jentera penerangan UMNO adalah kerana ketiadaan sifat proaktif dan terikut-ikut cara lama dalam membuat apa-apa keputusan. Saya akui, terdapat perjumpaan yang bersifat tertutup antara para blogger popular dengan tokoh-tokoh penting UMNO - namun demikian, cara tersebut hanya akan menyebabkan fitnah, di samping menyisihkan para blogger amatur yang pada hakikatnya begitu ramai menyokong UMNO.


Saya cadangkan, agar UMNO segera mengambil langkah yang drastik dengan mengadakan Konvensyen Blogger Penyokong UMNO pula, UMNO perlu menghimpunkan seramai yang boleh para blogger yang jelas menyokong dan membela pihak kerajaan serta UMNO dan bukan hanya memilih dua atau tiga orang blogger sahaja yang dijamu dengan makanan dan maklumat dalaman. Dalam hal ini, nampaknya, PAS sekali lagi berada di hadapan demi memastikan para pejuang sibernya terus-menerus dijaga dan disemai dengan baik. Sebaliknya, Pemuda UMNO Malaysia dan segelintir tokoh-tokoh politik UMNO hanya menjaga satu dua kerat blogger yang dianggap popular bagi menaikkan imej peribadi mereka semata-mata. Saya lihat, UMNO masih belum serius untuk menjadikan para blogger sebagai pejuang baris hadapan bagi menghadapi pejuang-pejuang maya PAS dan PKR dalam PRU yang akan datang. Walau apa-apa pun alasanya, dalam soal ini saya terpaksa memuji PAS kerana bijak melakukan Konvensyen Blogger Penyokong PAS yang pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia- dan UMNO harus segera bertindak dan mengambil pengajaran dalam menghadapi perkembangan ini - Malah, UMNO perlu membuang sikap elitnya dan hanya menjemput blogger-blogger terpilih sahaja ke Putrajaya untuk sessi perbincang- sebaliknya buatlah satu perjumpaan blogger yang lebih telus dan bersifat terbuka serta dijemput secara hebahan besar-besaran. Wallahualam.

November 4, 2009

Anwar, Haji Hadi dan Nik Aziz 2009 : Tiba-tiba Sejarah Membelok


Anwar, Haji Hadi dan Nik Aziz 2009
Tiba-tiba Sejarah Membelok


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya mempergunakan Pas demi mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Anwar merasakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong pembentukan kerajaan perpaduan Pas-UMNO, adalah penghalang besar kepada cita-citanya itu.''Saya setuju dengan pendapat bahawa idea kerajaan perpaduan Pas-UMNO bukan isu utama mengakibatkan kemelut dalam Pas.

''Sebaliknya ia peranan Anwar di belakang tabir Pas yang menjadi punca krisis ini. Ia alasan mengetepikan kewujudan Abdul Hadi yang dilihat mampu menenggelamkan kredibiliti Anwar untuk menjadi Perdana Menteri,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kolum sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melihat permasalahan dalam Pas bukan saja melibatkan golongan pro-UMNO tetapi juga anti-Anwar. Mohd. Puad berkata, pemimpin Pas prokerajaan perpaduan seperti Datuk Dr. Hassan Mohd. Ali yang dilabel pemimpin bermasalah oleh mursyidul am parti itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini, juga menjadi kerisauan kepada Anwar.

''Anwar memang resah dengan cara Hassan di Selangor yang susah berkompromi dengan banyak tindakan kerajaan negeri di bawah pimpinan PKR itu. Ia salah satu sebab Anwar melaga-lagakan Pas,'' katanya. Tambahnya, ramai ahli Pas belum sedar permainan Anwar kerana mereka masih mempercayai ikrar Pas untuk tetap bersama pakatan pembangkang. Kata Mohd. Puad, Anwar juga dilihat mahu mengalihkan perhatian daripada masalah dalaman PKR kepada masalah dalam Pas.

''Pemimpin PKR tidak henti-henti terlibat dengan masalah moral dan peribadi, jadi Anwar cuba mengalihkan perhatian rakyat mengenai ini dan menjadikan ia masalah Pas.

''Sepatutnya Pas sedar bahawa Anwar sedang resah jika dia tidak dapat menghapuskan Abdul Hadi, maka cita-citanya akan tertutup,'' katanya.


Ulasan Saya : Sudah lama saya mahu mengulas isu perbalahan Kerajaan Perpaduan ini. Saya ingin jelaskan secara jujur dan amanah, secara berterus-terang dan tanpa berselindung bahawa dalam soal Kerajaan Perpaduan - Haji Hadi dan golongan yang menyokong idea tersebut sama-sekali tidak boleh dipersalahkan. Mereka berada di pihak yang benar. Yang bermasalah dalam soal ini ialah Nik Aziz. Tiada kompromi dalam isu ini. Nik Aziz yang tidak mahu mengikut saranan al-Quran yang jelas menyuruh mana-mana umat Islam yang saling bergaduhan atau bersengketa - adalah wajib didamaikan. Semua orang tahu ahli PAS beragama Islam, begitu juga dengan ahli UMNO - tiada pertikaian dalam hal tersebut, jadi mengapa Nik Aziz harus menolak gagasan Kerajaan Perpaduan? Soal sama ada niat UMNO ikhlas atau pun sebaliknya - hanya Allah sahaja yang tahu.


Saya tetap menyokong pandangan awal Haji Hadi yang jelas secocok dengan kehendak al-Quran. Ada keikhlasan dalam diri Haji Hadi berkenaan isu Kerajaan Perpaduan. Haji Hadi tampak jelas cuba mengikut petunjuk al-Quran, tetapi malangnya Nik Aziz tetap berdegil dan memberikan pelbagai alasan yang karut dan tidak menepati kehendak al-Quran dan Sunnah Nabi. Namun demikian, kekecewaan harus juga diketengahkan terhadap sikap dan pendirian Haji Hadi - adalah jelas Haji Hadi sanggup mengabaikan perintah al-Quran yang jelas menyuruh umat Islam agar bersatu-padu, demi mengejar kepentingan politik PAS yang sempit, di samping mengikut arahan songsang Nik Aziz yang jelas bertentangan dengan perintah Allah. Apabila Allah dan Rasul-Nya menyuruh agar umat Islam bersatu dan taat kepada pemerintah - maka lakukanlah sahaja, jangan beri banyak alasan! Mengapa mesti merujuk kepada DAP dan PKR dalam soal ini.


Apakah Nik Aziz tidak tahu bahawa DAP dan PKR sama sekali tidak berjuang atas dasar Islam? Jadi mengapa PAS harus mengorbankan perjuangan sucinya semata-mata mahu mengejar habuan dunia yang sedikit ini? Apakah hanya mahukan kuasa, maka kita sanggup gadaikan segala-galanya? Termasuk prinsip perjuangan kita sendiri? Sebenarnya, polimik yang sedang melanda PAS adalah berpunca daripada kekeliruan dalam kalangan ahlinya terhadap dasar parti tersebut. Dalam ucapan dan ceramah politik, pemimpin-pemimpin PAS berapi-api mahukan Islam dan berjihad, sebaliknya dalam bentuk perbuatan pula - mereka lebih menunjukkan sikap mahu mengejar pangkat, kedudukan dan kuasa, manakala hukum-hakam ditolak ke tepi. Saya lebih suka jika PAS jangan terlibat dengan politik - tumpukan sepenuhnya terhadap kerja-kerja dakwah. Jika Nik Aziz menolak UMNO kerana dasarnya yang tidak bersifat Islamik - maka begitu jugalah dengan Anwar Ibrahim. Apakah Nik Aziz yakin Anwar Ibrahim mahukan hukum Hudud? Apakah Nik Aziz yakin Anwar Ibrahim mahukan negara Islam? Jawapannya mudah - nahi, nahi, nahi Anwar tidak mahu semua itu - jika Anwar mahukan semua itu - bukankah lebih baik beliau menyertai PAS sahaja?


Jadi adalah jelaslah Anwar Ibrahim tidak berkongsi perjuangan dengan PAS. Apakah di dalam dasar perjuangan PKR ada tertulis untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara? Bukankah Nik Aziz tahu hakikat perjuangan PKR dan Anwar Ibrahim sebenarnya tiada sengan semua itu? Jadi mengapa Nik Aziz tetap bertegas mahukan kerjasama dengan DAP dan PKR? Setelah penat mencari jawapan - akhirnya saya menuju ke arah satu kesimpulan yang penting, iaitu - matlamat perjuangan Nik Aziz bukan lagi mahukan Islam- sebaliknya mahukan kuasa, mahukan kemenangan dan mahu melihat UMNO hancur - itu sahaja tak lebih dan tak kurang. Matlamat untuk menegakkan negara dan hukum Islam sudah hilang dalam kamus perjuangan PAS - semua niat suci itu sudah tiada - yang ada hanyalah Anwar Ibrahim. Sebab itu saya percaya - PAS akan hancur jika terus begini dan tidak mahu kembali ke pangkal jalan - PAS akan dimakan dan dimamah sumpahnya sendiri. PAS melaungkan, "marilah kita ikut al-Quran dan ikut Hadis Nabi", tetapi apabila al-Quran dan Hadis nabi menyuruh umat Islam yang bersaudara agar kembali berdamai - maka muncullah Nik Aziz, orang pertama yang menolak saranan tersebut - Islamkah kita?


Pada hemat saya - PAS tidak perlu mengadakan EGM, atau konvensyen atau apa-apa perhimpunan bagi membincangakan persoalan "mahu membersihkan PAS daripada anasir UMNO yang menyokong Kerajaan Perpaduan" - apa yang perlu dilakukan oleh PAS hanya satu, iaitu ikut sahaja suruhan al-Quran dan As-Sunnah - bukankah PAS sendiri meletakkan dasar perlembagaan tertinggi parti tersebut ialah al-Quran dan As-Sunnah? Maka, perlu apa diadakan konvensyen atau EGM jika jawapannya sudah ada di dalam al-Quran? Ambil sahajalah. Isu Kerajaan Perpaduan sudah ada jawapannya di dalam al-Quran, sewaktu Haji Hadi mengusulkan cadangan Kerajaan Perpaduan, Haji Hadi sudah merujuk al-Quran melalui ayat ke-10 dalam surah al-Hujrat yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat."


Lantaran itu, pada pandangan saya dalam soal ini Haji Hadi berada di pihak yang benar, manakala Nik Aziz berada di pihak yang salah. Cuma, soalnya sekarang adalah sejauh mana ahli-ahli PAS mampu menerima perintah al-Quran dalam ayat tersebut. Pada saya - jika isu Kerajaan Perpaduan dikembalikan kepada Allah dan Rasul-Nya, semua masalah akan selesai dan terjawab. Tidak perlu kita adakan EGM atau Mesyuarat Tergempar atau apa-apa sahaja perjumpaan andaikata semua ahli PAS mahu merujuk ayat ke-10 dalam surat al-Hujrat itu. Saya sudah muak untuk bercakap soal ini. Penyelesaian sudah berada di depan mata - tetapi kita sengaja mahu mengikut hawa nafsu dan syaitan. Wallahualam.

November 3, 2009

Asri & Azli 2009 : Pedang Bermata Dua


ASRI & AZLI 2009
Pedang Bermata Dua



Maafkan saya kerana agak lama tidak mengemaskini blog ini - kesibukan tugas dan kerja-kerja amal menyebabkan saya terlepas untuk mengulas beberapa isu terkini yang sedang melanda negara tercinta kita. Namun demikian, setelah membaca beberapa posting di blog-blog tertentu berhubung isu penahanan mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin oleh JAIS dua hari yang lalu - menyebabkan saya terpanggil bagi membela kebenaran. Isunya sangat mudah! tidak terlalu sukar untuk mencari siapakah dalang yang melakukan kerja-kerja keji tersebut - memburukan nama Dr Asri sebagai golongan yang sesat akidahnya, semata-mata beliau berfahaman salaf-as soleh yang terang-terang bermazhab ahli sunnah wal jamaah. Strategi memburuk-burukan golongan salaf- as-soleh serta perbuatan kotor lagi hina (semoga Allah menyedarkan golongan tersebut) yang dilakukan terhadap Dr Asri dan golongan ini sudah berjalan begitu agresif sejak lima tahun belakangan ini - kepada mereka yang jahil dan buta mata hati dalam melihat kebenaran, segala hujah-hujah golongan yang menentang golongan salaf-as-soleh ini diterima bulat-bulat tanpa berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah.



Saya dengan rendah diri - tanpa ragu, harus dan wajib mempertahankan kebenaran yang sudah pasti! saya bukan mahu mempertahankan manusia yang bernama Dr Asri - sebaliknya yang kita pertahankan adalah kebenaran - tuduhan karut dan keji yang dilemparkan oleh golongan yang anti kepada metod salaf-as-soleh harus ditentang habis-habisan. Tiada apa-apa pun kesalahan dalam memahami Islam melalui uslub dan manhaj salaf-as-soleh - kecuali bagi mereka yang jahil dan iri hati. Islam hanya boleh difahami secara betul melalui pendekatan salaf as-soleh seperti mana yang dilakukan oleh Imam-imam muktabar dahulu (termasuklah Para Sahabat Nabi, Imam 4 Mazhab, Hambali,Malik,Syafie,Ahmad,Ibn Taimiyah, dan banyak lagi). Percubaan memburuk-burukan gerakan salaf as-soleh di Malaysia dipercayai didalangi oleh seorang Ustaz yang sangat membenci golongan ini. Tuduhan-tuduhan seperti kafir, sesat dan aqidah batil, acapkali didengari dalam kalangan ceramah-ceramah golongan yang anti golongan salaf-as-soleh. Mereka tidak hanya mengkafirkan Dr Asri, bahkan turut mencadangkan hukuman bunuh terhadap golongan ini - ucapan seorang pemimpin kanan PAS di dalam YouTube yang mendakwa, pada pandangan beliau Dr Asri layak dihukum pancung sahaja - yang peliknya, tiada pula kedengaran apakah pula hukuman bagi parti yang bersengkongkol dengan DAP yang terang-terang menolak Islam?



Saya ingin memberi peringatan yang jelas bahawa terdapat gerakan yang ingin menghancuran golongan salaf- as-soleh di Malaysia - dakwaan-dakwaan palsu yang dilemparkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia terhadap Dr Asri harus segera ditolak. Manakala masyarakat pula harus segera didedahkan dengan metod sebenar salaf-as-soleh yang selama ini sangat janggal dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Pada hemat saya, sudah tiba masanya, umat Islam di negara ini kembali memahami Islam melalui metod generasi salaf-as-soleh seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah. Kita harus faham salaf-as-soleh bukanlah satu mazhab baharu - sebaliknya merupakan metod dan kaedah untuk umat Islam memahami Islam sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW dan kemudian diwarisi pula oleh para sahabat, dan seterusnya diikuti oleh para imam muktabar yang terdapat dalam sejarah Islam. Maka, saya syorkan kepada sesiapa yang masih baharu mengenali salaf-as-soleh, eloklah mendalaminya terlebih dahulu- sebelum menjatuhkan apa-apa hukuman yang kita sendiri tidak ketahui.



InsyaAllah akan saya kupas persoalan salaf-as-soleh dalam posting-posting saya yang akan datang. Semoga Allah memelihara pejuang-pejuang yang mempertahankan Sunnah Rasulnya dan menghancurkan golongan yang sengaja mengada-adakan fitnah terhadap golongan dan pendukung salaf-as-soleh di negara ini. Kepada Dr. Asri, percayalah Allah bersama-sama dengan orang yang benar, seorang Asri jatuh, seribu Asri akan bangkit. Dan sesungguhnya, saya salah satu mata pedang yang akan membela golongan salaf-as-soleh ini.Amin.