MUAR 24 Okt. — Cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar Pas mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) untuk membersihkannya daripada kumpulan prokerajaan perpaduan menunjukkan bahawa parti itu sedang berhadapan dengan masalah kepimpinan yang serius, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Walaupun Muhyiddin mengakui cadangan Nik Aziz itu sebagai satu “masalah dalaman” Pas tetapi ia tetap menunjukkan pertembungan pendapat yang agak ketara di dalam parti pembangkang.
"Ia adalah serius (masalah kepimpinan dalam Pas). Pertembungan pendapat yang agak ketara di dalam Pas. Nik Aziz vs (Datuk Abdul) Hadi Awang vs (Datuk) Nasharuddin Mohd Isa vs Datuk Husam Musa,” katanya pada kepada pemberita hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan karnival Edufest@Pagoh di Dewan Jubli Intan, di sini.
Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas tulisan Menteri Besar Kelantan itu dalam blognya http://www.blogtokguru.com mencadangkan supaya EGM itu diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin Pas yang bermasalah. - Bernama
Ulasan Saya :
1. Terjadinya masalah dalaman PAS ini adalah disebabkan, PAS tidak mengamalkan Islam yang sejati. Dengan erti kata yang lain, dibibir PAS berkata kita ikut al-Quran dan Hadis, tetapi dalam bentuk perbuatan PAS tidak melaksanakan perintah Allah yang jelas melarang umatnya mengumpat, mencaci dan mencari kesalahan para pemimpimnya.
2. Apa yang berlaku dalam PAS kini bertitik tolak daripada niat parti itu yang tidak ikhlas. PAS berniat untuk menumbangkan BN/UMNO semata-mata dan bukannya untuk melaksanakan dakwah dan pemerintahan Islam yang sebenar.
3. Niat PAS yang ikhlas dahulu sudah hilang - sekarang PAS mahukan kuasa dan kedudukan, manakala kebenaran sudah diketepikan. Pada hemat saya, adalah salah jika PAS berkata bahawa Muktamar PASlah yang akan menentukan hala tuju parti tersebut - sepatutnya Nik Aziz harus berkata, al-Quran dan as-Sunnahlah yang menentukan hala tuju PAS.
4. Nik Aziz sebenarnya keliru - beliau mahu menegakkan Islam tetapi caranya salah. Islam tidak akan tertegak andai kata PAS terus bersengkongkol dengan musuh Islam iaitu DAP. Nik Aziz harus faham, dasar DAP bukanlah Islam, dasar PKR juga bukanlah Islam - maka hujah yang mana satukah Nik Aziz ambil bagi menghalalkan kerjasama haram tersebut bagi menegakkan hukum Allah?
5. Mengapa PAS berpecah-belah - jawapannya mudah, PAS tidak mentarbiyyah ahli-ahlinya seperti mana Rasulullah mendidik masyarakatnya. PAS lebih banyak berceramah politik dan membuka aib pemerintah, berbanding dengan mengasuh ahli-ahlinya agar taat serta mengerjakan suruhan Allah. banyak ahli-ahli PAS di kampung-kampung terbiar begitu sahaja. Tidak dididik dan tidak ditarbiyyahkan - malah ramai dalam kalangan mereka yang cetek pengetahuan agama dan hukum hakam - masih banyak yang menghisap rokok, menjadi mat rempit, tidak menutup aurat dan berakhlak rendah - tetapi mereka menyokong PAS. Kita harus faham mendampingi PAS tidak bermaksud mendekati Islam. PAS bukan Islam dan Islam bukannya PAS. PAS hanya mahu kemenangan politik dan bukan mahu mendidik masyarakat - lantaran itulah mereka bercakaran sesama sendiri.
6. Sudah tiba masanya Nik Aziz disingkirkan daripada kerusi Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan - jelas ketika ini Nik Aziz hanya mengundang fitnah dan liabiliti terhadap PAS. Maka, PAS harus segera mengadakan EGM untuk menyingkirkan Nik Aziz Nik Mat. Jika tidak, sejarah Manek Urai akan berulang kembali. Wallahualam.









