Tetamu Kehormat...

June 30, 2009

Menjawab Tohmahan Kononnya UMNO Parti Nasionalisme Yang Haram Di Sisi Islam


MENJAWAB TOHMAHAN
KONONNYA UMNO PARTI NASIONALISME
YANG HARAM DI SISI ISLAM


Tahun ini merupakan tahun ke-52 tanah air kita mencapai kemerdekaan. Semua lapisan rakyat, tidak kira agama dan bangsa, telah menikmati kemakmuran dan keamanan, hasil daripada usaha dan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu. Tidak ternilai segala jasa dan pengorbanan mereka itu. Dan bersyukur merupakan sebahagian daripada tanda kenangan kita terhadap perjuangan mereka itu.


Kemerdekaan sama sekali tidak dapat dipisahkan daripada konsep nasionalisme. Iaitu semangat cinta akan tanah air dan bangsa sendiri. Namun demikian, terdapat segelintir umat Islam di negara ini, yang menyalah tafsirkan konsep nasionalisme sehingga ada yang sanggup mendakwa bahawa konsep tersebut merupakan konsep yang bercanggah dengan ajaran Islam. Dakwaan golongan ini adalah mudah, iaitu nasionalisme adalah sama ertinya dengan assabiyah. Mereka berhujah berdasarkan sabda Rasulullah, “bukan daripada golongan kami orang yang menyeru kepada assabiyah, dan bukan daripada kami orang yang berperang atas dasar assabiyah dan bukan daripada kami orang yang mati atas dasar assabiyah.” (Riwayat Abu Daud).


Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan perkataan assabiyah itu? Apakah assabiyah semakna dengan konsep nasionalisme itu sendiri? Soalan-soalan sebegini harus segera dijawab agar tidak lagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Nasionalisme berasal daripada perkataan Latin natio yang mendukung erti “kelahiran”. Pada zaman ini, nasionalisme sudah diterima sebagai istilah bagi suatu keyakinan politik. Malah daripada kalimah natio itu juga terbentuknya istilah-istilah lain seperti nation (bangsa), nationality (perasaan kebangsaan), nationalization (menjadikan sesuatu harta kekayaan sebagai hak milik negara) dan nation-state (negara bangsa).


Tokoh-tokoh sejarah barat seperti Hans Kohn mentakrifkan nasionalisme dengan agak sempit iaitu, “satu keadaan fikiran yang menyerap ke dalam jiwa segenap masyarakat dan mereka mengiktiraf negara bangsa sebagai bentuk organisasi politik yang unggul, dan bangsa sebagai punca bagi segala kehidupan budaya yang membina dan mengguna kebajikan ekonomi. Oleh itu kesetiaan ulung manusia adalah tertumpu kepada bangsanya, kerana kehidupannya sendiri adalah dipercayai berdasarkan kepada dan dimungkinkan oleh kebajikan bangsanya.”


Ini merupakan takrif golongan yang tidak beriman kepada Allah. Golongan seperti ini menjadikan perjuangan atas nama bangsa sebagai perjuangan untuk mencapai segala-galanya. Sedangkan Islam, konsep nasionalisme diletakkan pada kedudukannya yang sesuai dan wajar, serta tidak terkeluar daripada garis syariat itu sendiri. Oleh kerana itu, Islam sama sekali tidak menolak semua ciri yang terdapat dalam konsep nasionalisme tersebut. Menurut Islam , mana-mana ciri nasionalisme yang sesuai dengan roh dan syariat Islam, maka ia harus diterima, manakala ciri yang terpesong daripada ajaran Islam, maka ia harus segera ditolak. Ada benarnya juga apa yang telah di dakwa oleh bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Muhammad Abdul Rauf, “konsep Barat yang sempit mengenai nasionalisme tidak ada tempat di dalam negara Islam.”


Di Malaysia, terjadinya salah faham terhadap konsep nasionalisme dalam kalangan masyarakat adalah disebabkan oleh kesilapan mereka sendiri, yang memahami nasionalisme di Malaysia sepertimana nasionalisme yang difahami dan ditakrifkan oleh orang-orang barat seperti di atas. Sedangkan nasionalisme yang dibentuk di Malaysia sejak dahulu lagi adalah berasaskan kepada nasionalisme yang dilihat dari perspektif Islam itu sendiri. Kejahilan kita dalam hal ini, hanya mengundang prasangka buruk kepada kerajaan dan sesama Islam.


Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa Dr. Burhanuddin al-Hilmy pernah berkata dalam kongres Parti Islam Se-Malaya dalam tahun 1964, “Biarlah saya mengambil peluang mengingatkan lagi kepada bangsa-bangsa di dunia ini bahawa Melayu itu adalah nama satu bangsa yang mempunyai kebudayaan dan tanah airnya sendiri. Menghapuskan nama rupa bangsa Melayu adalah satu pengkhianatan politik kepada bangsa Melayu.”


Oleh kerana itu, di Malaysia nasionalisme diertikan dan difahami oleh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dahulu merujuk kepada konsep cintakan tanah air dan bangsa sendiri, di samping perasaan benci kepada sebarang bentuk penjajahan kuasa luar, seperti mana takrif yang terdapat di dalam Kamus Dewan. Mencintai tanah air dan bangsa sendiri merupakan perkara yang sama sekali tidak bercanggah dengan roh Islam itu sendiri.


Golongan yang cuba mengelirukan masyarakat dengan mentakrif bahawa assabiyah adalah sama dengan semangat nasionalisme, merupakan golongan yang cuba merosakkan fikiran masyarakat yang kurang berpengetahuan. Hal ini kerana, Rasulullah telah bersabda ketika seorang sahabat bertanya “Ya Rasulullah, adakah terbilang daripada assabiyah seseorang itu yang kasih akan kaumnya?'' baginda menjawab “Tidak! Tetapi, terbilang daripada assabiyah menolong kaumnya melakukan kezaliman (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah). Perkara ini diperkuatkan dengan satu lagi sabda Rasulullah apabila baginda ditanya oleh Wailah bin Asqah “Ya Rasulullah, Apakah yang dikatakan assabiyah itu?'' Jawab baginda “Bahawa engkau menolong kaummu dalam kezaliman.” (Riwayat Abu Daud).


Cukup jelas sabda-sabda Rasulullah tersebut. Assabiyah adalah merujuk kepada “menolong kaum sendiri dalam melakukan kezaliman”, seperti mana yang firman Allah “hendaklah kamu tolong-menolong dalam mengerjakan pekerjaan yang baik dan janganlah bantu membantu dalam mengerjakan dosa.” (Al-Maidah:2) Malah, assabiyah ini lebih menghampiri makna ta`assub atau fanatik. Hal ini adalah kerana, kebiasaannya orang-orang yang ta`ssub sahaja yang gemar mengikuti kumpulan, kaum atau bangsanya secara membuta-tuli, walaupun sudah jelas kesalahan atau dosa yang mereka lakukan. Hal ini adalah sama dengan PAS, jika para penceramah PAS berceramah dengan mencaci-maki pemimpin dan membuat prasangka buruk kepada pemimpin negara, ia harus ditegur dan bukan disokong.


Dan ini sudah pasti berbeza dengan takrif nasionalisme yang menjurus kepada makna “rasa cinta serta kasih kepada bangsa dan tanah air sendiri” serta menolak sebarang bentuk penjajahan kuasa luar. Ini adalah kerana, Rasulullah sendiri mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada bangsa dan tanah airnya sendiri. Kerana itulah, setelah beberapa tahun Rasulullah dan para pengikutnya berhijrah ke Madinah, mereka mula merasa rindu kepada tempat kelahiran mereka sendiri iaitu Mekah. Rasa rindu mereka bertambah-tambah sehinggalah hajat mereka ditunaikan oleh Allah.


Justeru itu, nasionalisme di Malaysia merupakan nasionalisme yang berada pada garis yang benar dan secocok dengan roh Islam itu sendiri. Seperti mana yang pernah dikatakan oleh Dr Muhammad Abdul Rauf, “walau bagaimanapun, nasionalisme sebagai sentimen yang semula jadi, cinta dan kesetiaan kepada tanah air sendiri adalah konsisten (secocok) dengan semangat Islam dan menggerakkan semangat untuk menghalang penjajah kuasa luar dengan apa cara sekalipun adalah selaras dengan konsep izzah (kehormatan diri sendiri) yang ditujukan Allah dengan firmannya “al-izzah adalah untuk Allah dan pesuruh-Nya dan yang beriman kepada Allah, tetapi orang munafik itu tiada mengetahui.” (al-Munafiqun: 8).


Ibnu Khaldun di dalam kitabnya Muqaddimah memetik sebuah hadis yang bermaksud “Allah tidak mengutus seseorang nabi melainkan dengan kekuatan kaumnya sendiri.” Dalam membincangkan hadis ini, Ibn Khaldun berpendapat bahawa kekuatan kaum adalah penting bagi setiap perjuangan, termasuk gerakan dakwah agama. Menurutnya, jika nabi pun memerlukan kekuatan kaumnya terlebih dahulu dalam menyampaikan risalah Allah, maka sudah tentu, kita sebagai insan biasa amat memerlukannya lagi.


Nabi Muhammad juga pada permulaan dakwahnya dibantu oleh kekuatan keturunan dan salasilah keluarganya yang berasal daripada bani Hasyim. Selain itu, baginda turut dibantu oleh isterinya, Siti Khadijah yang tidak hanya disegani kerana kekuatan perniagaannya, tetapi kerana keturunannya yang dimuliakan oleh penduduk Mekah.


Maka, sekali lagi Nabi Muhammad dibantu oleh “kekuatan kaum” dalam saat baginda menyampaikan risalah Allah SWT Jadi kaum atau bangsa yang kuat amat diperlukan sebagai medium menyampaikan risalah Allah di muka bumi ini. Kekuatan kaum atau bangsa ini tidak mungkin diperoleh tanpa rasa kasih sayang yang ditanam di dalam diri kita sendiri.


Oleh itu, dapat kita perhatikan bahawa, nasionalisme yang mempunyai kaitan dengan semangat kasih sayang dalam mempertahankan bangsa dan negara, harus berpandukan kaca mata al-Quran dan As-Sunah. Menolak seratus peratus konsep nasionalisme, merupakan sesuatu yang cukup malang dan berbahaya. Namun demikian, membiarkan konsep nasionalisme tanpa bimbingan al-Quran dan As-Sunah juga bakal mendatangkan keburukan. Mempertahankan Islam dan memperjuangkannya adalah perkara yang utama, namun mencintai tanah air dan bangsa sendiri juga merupakan perkara yang harus di sisi Islam. Oleh sebab itu, tanggungjawab setiap individu adalah memperkemaskan diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan, agar sesuatu penilaian kita itu berasaskan kepada ilmu dan bukannya nafsu.

June 29, 2009

Saya Sanggup Berdebat Dengan Nik Aziz



SAYA SANGGUP BERDEBAT
DENGAN NIK AZIZ!


ALOR SETAR 28 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu melayan pelawaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berdebat secara terbuka kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, debat terbuka antara kedua-dua pemimpin parti politik terbesar Melayu itu jika diadakan hanya membazir masa dan akan menjadi satu bentuk hiburan semata-mata. Malah, katanya, Malaysia mempunyai acuannya tersendiri dan tidak perlu mengikut amalan sesetengah negara luar yang mengadakan debat secara terbuka antara pemimpin parti politik dalam mempertahankan pendapat masing-masing. "Hanya buang masa. Jadi satu hiburanlah, kita bukan lantik pemimpin untuk berhibur," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Kedah di Bangunan Tunku di sini hari ini.


Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Presiden Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Beliau ditanya cabaran Nik Abdul Aziz yang mengajak Perdana Menteri berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kelantan itu kerana didakwa memfitnah UMNO dalam ceramah di Manek Urai baru-baru ini.


Dalam pada itu, ditanya mengenai amalan rasuah dalam UMNO, Mahathir berkata, parti itu akan mengalami kesukaran pada pilihan raya umum akan datang jika masih meletakkan calon yang mempunyai imej rasuah. Beliau yang kecewa dengan keadaan rasuah dalam UMNO bagaimanapun berkata, pada masa ini terdapat usaha-usaha positif di kawasan tertentu untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap parti. Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, UMNO tidak boleh mengharapkan semata-mata kepada ahlinya untuk memenangi sesuatu pilihan raya, sebaliknya perlu meraih sokongan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Katanya, angka yang menunjukkan ahli UMNO pada masa ini iaitu kira-kira 3.5 juta bukan ukuran menjamin kemenangan jika parti itu gagal meraih sokongan padu daripada rakyat. Justeru, jelasnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu membersihkan imejnya dan sentiasa mendekati rakyat supaya mendapat sokongan mereka yang berpuas hati dengan prestasi dan imej parti.


Ulasan Saya :


1. Saya setuju diadakan debat dengan Nik Aziz, tetapi bukan Dato' Seri Najib yang berdebat dengan beliau. Mesti orang lain. Dan secara peribadi, saya sendiri sanggup berdebat dengan Nik Aziz dan seluruh Jawatankuasa PAS Pusat (walaupun saya tiada jawatan tinggi dalam UMNO). Dan saya yakin, kebenaran akan tetap muncul walau dengan sesiapa pun kita berdebat dan berhujah, selagi kita mengikut Al-Quran dan As-Sunnah. DS Najib adalah PM, maka tidak sesuai beliau melayan ajakkan nakal Nik Aziz itu. Jika Nik Aziz ikhlas untuk mencari kebenaran, saya sendiri sanggup berdebat. Bukan dengan Nik Aziz sahaja, malah jika Hj Hadi mahu terlibat sama pun, saya sanggup. Pada saya, UMNO berada di pihak yang benar, bukan berasaskan kepada nafsu tetapi ilmu.


2. Seperti yang saya katakan di atas, saya setuju berdebat dengan Nik Aziz serta seluruh AJK PAS Pusat secara serentak dan terbuka (Jika tiada pemimpin-pemimpin UMNO yang sanggup berdebat), namun demikian, kita harus menetapkan syaratnya terlebih dahulu. Jika PAS tewas dalam perdebat tersebut, maka parti PAS harus dibubarkan dengan serta merta dan ahli-ahli PAS harus segera menyertai UMNO. Hal ini adalah kerana PAS sendiri yang menjemput UMNO untuk berdebat dan berhujah.


3. Nik Aziz boleh panggil seluruh Jawatankuasa PAS Pusat untuk turut bersama menyertai perdebatan, UMNO juga boleh membariskan para pendebat mereka yang terbaik (jika kita mahu). UMNO tidak perlu takut dengan Nik Aziz atau Anwar Ibrahim. Kebenaran berada di pihak UMNO. Sudah jelas nabi mewajibkan seluruh rakyat taat kepada pemerintah, walaupun mereka zalim, selagi pemerintah tersebut tidak melarang daripada mengerjakan solat, mengeluarkan zakat dan melakukan kebaikan. Sebaliknya terbukti PAS bersekongkol dengan perusuh dan pencetus huru- hara kepada negara, adalah wajib bagi kerajaan melaksanakan Hudud kepada PAS (dalam bab Bughah atau pemberontakkan).


4. Tajuk yang saya cadangkan adalah seperti berikut : 1. Siapa yang Tidak Ikut al-Quran? UMNO atau PAS? 2. Benarkan UMNO Lebih Zalim daripada Komunis dan Ayah Pin? 3. Benarkan PAS Mengikut Dasar al-Quran? 4. Kerajaan Perpaduan : Siapa Tolak Ayat Allah? 5. Hudud : Siapa Benar? PAS atau UMNO? dan Apa-apa sahaja tajuk yang PAS fikirkan bahawa mereka boleh menang dalam perdebatan nanti. Kita bersedia dengan apa-apa sahaja tajuknya. Biar PAS tentukan.

June 26, 2009

Harussani VS Nik Aziz : Tetamu Dari Sungai Derhaka


HARUSSANI vs NIK AZIZ
Tetamu Dari Sungai Derhaka


Harakah Online pada pagi ini cuba menyelewengkan fakta dan memburuk-burukkan Tuan Guru Tan Sri Harussani, melalui lidah Tuan Guru mereka, Nik Aziz. Menurut laporan Harakah Online, Tuan Guru Harussani dianggap tidak tahu atau terdedah dengan sejarah politik Islam di Malaysia, sehingga menganggap bahawa PAS adalah punca kepada perpecahan umat Melayu di Malaysia. Malah, Nik Aziz juga turut membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa bahawa PAS hanya mengikut Nabi Muhammad dan tidak mungkin boleh dituduh sebagai memecahbelahkan masyarakat.


Fakta yang betul : Kenyataan Mufti Perak dalam Utusan semalam sama sekali tidak membangkitkan langsung isu PAS adalah punca kepada perpecahan umat Melayu di Malaysia. Menurut Tuan Guru Harussani, adalah wajib bagi umat Islam bersatu padu khususnya di Malaysia (lihat laporan Utusan di bawah ini), dan kepada para pembaca sekalian, adakah tuan-tuan terjumpa ayat yang mendakwa bahawa Tuan Guru Harussani menuduh bahawa PAS adalah punca segala perpecahan di Malaysia? (walaupun hakikatnya adalah benar). Soalnya mengapa Harakah Online tidak mengikut ayat Quran yang melarang kita menjadi pengadu-domba? dan memusingkan fakta? Dan mengapa mesti memfitnah Tuan Guru Harussani, jika benar Harakah Online menjadi lidah rasmi perjuang Islam? Adakah ini sikap sebuah akhbar yang mendakwa bahawa mereka mendaulatkan Islam? Di samping itu, Nik Aziz pula, mengapa dengan mudah menolak hujah-hujah Tuan Guru Harussani berhubung isu kerajaan perpaduan? apakah Nik Aziz berasa bahawa beliau terlalu tinggi ilmu agamanya berbandingan dengan orang lain? Mengapa terlalu ego dan taasub kepada diri sendiri? Nik Aziz mahu ikut al-Quran atau pun nafsu sendiri? Jika Tuan Guru Harussani berhujah dengan al-Quran, terima la. Satu ketika dahulu, bukan main hebat PAS menyokong kenyataan Tuan Guru Harussani bahawa Konsert SureHeboh adalah haram dan Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah mubahalah, berkenaan isu liwat Saiful Bukhari, tetapi sekarang bukan main melalak peyokong-penyokong PAS membelasah Tuan Guru Harussani, kononnya beliau merupakan boneka UMNO dan lebih baik Tuan Guru Harussani menjadi ahli politik sahaja daripada menjadi mufti atau ulama. Sindrom yang berlaku sekarang adalah seperti berikut :

1. Islam hanyalah atas nama PAS, selain daripada PAS Islam mereka boleh dipertikaikan.

2. Sesiapa yang menyokong PAS, walaupun jelas bercanggah dengan kehendak atau ayat al-Quran, itu tidak mengapa, hal ini adalah kerana PAS mempunyai tafsiran mereka tersendiri.

3. Kata-kata Tuan Guru Mursyidul PAS selalunya tidak boleh dibantah, walaupun banyak kenyataan beliau bercanggah dengan ajaran Islam. Sehingga kini, sama sekali tidak kedengaran dalam kalangan ulama-ulama PAS yang sanggup menegur atau mengkritik Nik Aziz. Seolah-olah segala kenyataan Nik Aziz benar berlaka selama ini.

4. Islam yang betul, hanyalah Islam yang dibawa oleh PAS, Islam orang lain, semuanya salah. Jika mahu memperjuangkan Islam, kena masuk PAS dahulu barulah dikira sebagai pejuang Islam.

5. Kebanyakan penyokong PAS percaya bahawa Islam itu adalah dengan mengikut tafsiran PAS, dan tafsiran orang lain, semuanya hampir salah. Jika sesuatu tafsiran itu (al-Quran/Hadis) menyokong pegangan PAS, maka itu betul, tetapi jika tafsiran tersebut seolah-olah merugikan PAS, maka tafsiran tersebut adalah mungkar dan tertolak sama sekali, walaupun ayat al-Quran sudah terang maksudnya.


Kesimpulan saya : Umat Islam di Malaysia berada dalam keadaan bahaya, jika fahaman ini berterus pada masa akan datang. Sesuatu harus dilakukan dengan segera.


PUTRAJAYA 24 Jun – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam demi menegakkan ideologi politik mereka. Sambil menyuarakan rasa kecewa dengan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan Pas-UMNO, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu berkata, parti yang mendakwa Islam ini bertindak tidak seperti mana DAP yang tidak bergaduh sesama parti Cina lain malah sanggup pula bersatu demi kejayaan kaum sendiri. ‘‘Saya sebenarnya amat berharap benda ini (kerajaan perpaduan) jadi (kenyataan) sebab saya sendiri memperjuangkan supaya masyarakat Melayu dan Islam ini bersatu. ‘‘Tapi saya kecewa. Mereka ini taksub kepada parti sehingga menganggap sesama mereka (dalam parti sendiri dan parti-parti Melayu lain) bukan bersaudara. Politik itu politiklah tapi persaudaraan Islam itu mestilah dijaga, maka haramlah memutuskan tali persaudaraan Islam itu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.


June 25, 2009

Tuan Guru Harussani Kecewa


Tuan Guru Harussani Kecewa


PUTRAJAYA 24 Jun – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam demi menegakkan ideologi politik mereka. Sambil menyuarakan rasa kecewa dengan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan Pas-UMNO, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu berkata, parti yang mendakwa Islam ini bertindak tidak seperti mana DAP yang tidak bergaduh sesama parti Cina lain malah sanggup pula bersatu demi kejayaan kaum sendiri. ‘‘Saya sebenarnya amat berharap benda ini (kerajaan perpaduan) jadi (kenyataan) sebab saya sendiri memperjuangkan supaya masyarakat Melayu dan Islam ini bersatu. ‘‘Tapi saya kecewa. Mereka ini taksub kepada parti sehingga menganggap sesama mereka (dalam parti sendiri dan parti-parti Melayu lain) bukan bersaudara. Politik itu politiklah tapi persaudaraan Islam itu mestilah dijaga, maka haramlah memutuskan tali persaudaraan Islam itu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.


Ulasan Saya : Kekecewaan Tuan Guru Tan Sri Harussani sebenarnya dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam. Saya sebenarnya kecewa dengan PAS yang selama ini mendakwa bahawa apa-apa juga masalah haruslah kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Namun demikian, dalam soal perpaduan, nampaknya PAS lebih selesa mengikut nafsu dan berprasangka buruk terhadap UMNO. Kekecewaan Harussani turut dikongsi bersama oleh bekas mufti Perlis, iaitu Dr Asri, yang turut kecewa dengan PAS kerana tidak mahu kembali kepada Al-Quran dan hadis nabi yang menyeru kepada perpaduan dan kesatuan. Kita sering memarahi bangsa Arab kononnya degil kerana tidak mahu bersatu-padu dan dengan sebab itu mudah bagi Israel dan AS menindas umat Islam, tetapi kita juga lupa, hal yang sama telah kita lakukan di Malaysia. Kita tidak mengambil pelajaran dan pengajaran, bahawa perpecahan dan permusuhan hanya akan menguntungkan bangsa lain. Jika kita menggunakan metod dan manhaj Salaf as-Soleh, parti PAS harus diharamkan sahaja oleh kerajaan, jelas mereka tidak mentaati pemerintah yang menyuruh agar umat Islam bersatu padu. Malah, lebih tegas lagi, Hj Hadi, Nik Aziz dan Anwar Ibrahim boleh ditahan dan ditangkap kerana jelas menunjukkan ketidaktaatan kepada pemerintah dalam hal-hal yang melihatkan perpaduan umat Islam di Malaysia. Saya akan bincangkan soal ini secara terperinci bagaimana manhaj salaf as-soleh berhadapan dengan pemerintah. InsyaAllah.

June 23, 2009

8 July : The Last Stage


8 JULY
THE LAST STAGE


KUALA LUMPUR 22 Jun - Kes liwat yang dihadapi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini mulai 1 Julai ditangguhkan sehingga 8 Julai ini. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan penangguhan bagi membolehkan beliau mendengar dua permohonan Ketua Pembangkang itu terlebih dahulu sebelum perbicaraan kes tersebut bermula. Menurutnya, pada 1 Julai ini beliau akan mendengar permohonan untuk mendapatkan dokumen berkaitan kes itu setelah Sulaiman Abdullah yang mengetuai barisan peguam mewakili Anwar memohon penangguhan bagi membolehkan pihaknya memfailkan jawapan kepada afidavit balasan pihak pendakwaan. Permohonan tersebut sepatutnya didengar oleh hakim tersebut pada hari ini. Hakim Mohamad Zabidin juga menetapkan 8 Julai ini bagi mendengar permohonan Anwar untuk membatalkan tuduhan liwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang dijadualkan didengar pada Jumaat ini. ''Perbicaraan kes utama yang ditetapkan pada 1 Julai pula ditangguhkan kepada 8 Julai ini,'' kata hakim tersebut. - Utusan


Manakala Blog Saiful Bukhari Melaporkan Sebegini :


8 Julai Hari Penentuan. Mahkamah menetapkan 1 Julai untuk mendengar permohonan Anwar supaya dibekalkan dengan dokumen dan barangan berkaitan kes. Mahkamah juga akan mendengar pada 8 Julai ini permohonan untuk membatalkan pertuduhan(Gugur pertuduhan) yang dihadapinya. Pada 8 Julai ini, sekiranya Mahkamah menerima permohonannya, maka pertuduhan akan digugurkan bermakna kes gugur(tiada perbicaraan). Jika sebaliknya, maka saya akan dipanggil untuk beri keterangan serta merta(perbicaraan diteruskan). Mahkamah Tinggi, Jalan Duta. Pada jam lebih kurang 9.00 pagi ini (22 Jun), Hakim akan mendengar permohonan pihak peguam bela tertuduh bagi mendapatkan segala bukti-bukti dari pihak pendakwaraya. Ironinya, segala bukti-bukti dan tuntutan-tuntutan mereka telahpun diserahkan dan dipenuhi namun mereka masih lagi mahu membuat tuntutan seperti menuntut BUKTI ASAL diserahkan. Tujuan mereka hanya satu, mereka ingin menunjukkan kononnya Mahkamah tidak berlaku adil jika tuntutan mereka tidak dipenuhi walhal ia sebaliknya. Menurut mereka, jika segala tuntutan mereka tidak dipenuhi, mereka mahu Mahkamah MENGUGURKAN KES sebelum ia dibicarakan. Inilah ''keadilan'' bagi mereka. [Ulasan sebelum ini] Tidak terkata, jika ditakdirkan kes ini digugurkan di Mahkamah Dunia, tidak mengapa, saya redha.. Kerana kelak semasa di Masyar (Mahkamah Allah) pasti akan dibicarakan juga.. Sebagai hamba Allah yang kerdil, saya hanya mampu berusaha, berdoa dan berserah sepenuhnya kepada Allah s.w.t sahaja, kerana Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.


Ulasan Saya :

Apakah terdapat konspirasi peringkat tertinggi, khususnya dalam badan kehakiman negara bagi memastikan Anwar Ibrahim terlepas daripada sebarang hukuman dan jenayah liwat? Saya mencadangkan kepada pihak kerajaan agar segera melakukan transformasi dalam badan kehakiman negara yang sejak belakangan ini seolah-oloh telah dikuasai oleh sindrom untuk "Memenangkan apa-apa sahaja kes yang melibatkan Anwar Ibrahim atau pun parti pembangkang bagi menunjukkan keadilan dan ketelusan kepada rakyat" Benarkan ini yang sedang berlaku? Jika benar, sesuatu harus dihentikan dengan segera.

June 22, 2009

PAS + DAP + PKR : Perjanjian Mungkar


PERJANJIAN MUNGKAR!


Kenyataan Akhbar Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat

(Dipetik dari blog Anwar Ibrahim)

22 Jun 2009- Pendirian Pakatan Rakyat Berkenaan Isu Kerajaan Perpaduan

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini Isnin 22 Jun dan mengambil keputusan berikut:

1. Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang.

2. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO / Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat.

3. Pada masa yang sama Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan Barisan Nasional bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan semula integriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, skandal RM 12.5 bilion projek PKFZ, salahguna kuasa kepimpinan polis sementara kes jenayah semakin meningkat, membanteras rasuah dan menjana urustadbir yang baik, menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil, membubarkan DUN Perak serta menjalankan pilihanraya dengan segera bagi menyelesaikan krisis rampasan kuasa negeri Perak.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang


Ulasan Saya :


1. Jelas kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Anwar Ibrahim melalui blognya pada hari ini bermotif dan berniat tertentu. Anwar sangat takut dan bimbang jika kerajaan perpaduan menjadi realiti dan titik temu antara PAS dengan UMNO. Jelaslah Anwar masih berdendam dengan UMNO dan tidak mahu melihat orang Islam bersatu.


2. Jika benarlah Hj Hadi turut bersetuju dalam soal ini, maka saya isytiharkan bahawa Hj Hadi lebih takutkan manusia yang bernama Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Karpal Singh daripada takutkan Allah SWT yang jelas menyuruh umat Islam bersatu padu dan berdamai. Perjanjian yang mereka lakukan di atas merupakan perjanjian mungkar serta terpesong jauh daripada akhlak dan roh Islam. Hj Hadi seharusnya berasa dosa kepada Allah, kerana seolah-olah PAS meletakkan kepentingan politik dan kuasa lebih tinggi daripada kesatuan dan perpaduan orang-orang mukmin di Malaysia.


3. Saya memohon kepada pihak kerajaan, agar Anwar Ibrahim yang jelas merupakan punca kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat di Malaysia segera diheret ke muka pengadilan, kerana sudah jelas bahawa beliau sama sekali tidak mahu negara ini terus aman dan sentosa, sebaliknya beliau masih mahu memainkan isu perkauman, agar rakyat saling membenci antara satu sama lain. Anwar harus menanggung segala dosa ini.

Alhamdulillah...Allah dah Buka Hati Nik Aziz


ALHAMDULILLAH...
ALLAH DAH BUKA HATI NIK AZIZ


KOTA BHARU 21 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyatakan persetujuan mengenai cadangan penubuhan kerajaan perpaduan, tetapi ia perlu dibincang serta diputuskan melalui saluran parti dan juga pakatan pembangkang. Beliau yang sebelum ini dengan keras menyanggah cadangan tersebut dalam nada lebih lembut tetapi tegas hari ini berkata, perkara yang diputuskan dalam muktamar di Ipoh tahun lalu itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Katanya, sebarang kata putus mengenai cadangan yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dibincangkan secara bersama dengan turut melibatkan pakatan pembangkang bagi mengelak kekacauan dalam hubungan antara mereka. ''Jadi, bila ada pihak dalam Pas (timbulkan cadangan), pakatan rakyat pun nak jaga, dengan UMNO pun nak jaga, itu sudah kacau. Jadi saya nasihat jangan buat begitu.. kalau nak juga, kita mesti buat mesyuarat. Kena ikut saluran, tak boleh kita nak ketepi keputusan mesyuarat dengan 'pandai-pandai', kita tak boleh... dan tambah lagi kenapa tidak ada orang Pas jumpa dengan UMNO pujuk dia supaya tukar dasar kebangsaan jadi dasar Islam.


''Kita dalam pakatan ini telah berjaya meredakan Islamofobia. Kalau nak buat, bawa dalam Pas Pusat, di peringkat negeri-negeri dan kemudian bawa dalam pakatan. Ini tidak, pakatan pun marah kepada kita. Dia buat kenyataan bahawa Pas mesti jawab kepada DAP," tegas beliau.


Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian kepada pemberita sebelum mengadakan perbincangan empat mata dengan ketua pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediaman rasminya di JKR 10 di sini hari ini. Mengulas mengenai tentangan kerasnya selama ini berkenaan cadangan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan UMNO, Nik Aziz berkata, itu bukan bermaksud beliau berdegil tetapi lebih kepada beristiqamah atau menegakkan sesuatu yang benar. "Ada pihak yang mengatakan saya berdegil tak mahu bincang mengenai kerajaan perpaduan. Saya nak jawab bukan berdegil, tetapi beristiqamah.


"Degil ini bermaksud kita mempertahankan barang salah mati-matian, itu kita panggil degil. Tahu benda salah, pertahan juga, tetapi bila kita pertahankan barang betul itu namanya istiqamah, istiqamah ini dipuji dalam al-Quran," jelas beliau. Sementara itu, diminta mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar beliau melupakan sengketa lama dan membuka lembaran baru dalam hubungan dua parti Melayu itu beliau menjawab:


"Suruh lupa? Senang je lupa? Adakah makna saya boleh lupa? Ingat, ini barang automatik. Kalau lupa, takdelah sejarah" ujarnya. Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau sanggup bermaaf-maafan dengan UMNO dan memperbaiki semula hubungan, Nik Aziz menggesa supaya UMNO terlebih dahulu meminta maaf. "Biar dia mengaku dulu salah. Kalau orang yang salah dengan saya, saya boleh maafkan, tetapi mengaku dulu. Saya minta maaf dan saya mengaku salah, takpa. Mana UMNO mengaku salah," tambahnya.


Ulasan Saya : Alhamdulillah jika benar Nik Aziz mula berlembut berhubung isu kerajaan perpaduan, saya fikir ini merupakan satu permulaan yang positif. Saya juga tertarik dengan kata-kata Nik Aziz berbunyi pujuk UMNO tukar dasar kebangsaan kepada Islam. Saya setuju dalam hal ini, namun demikian kita harus faham selama ini pun UMNO tidak pernah menolak Islam. Dasar kebangsaan tidak salah jika ia selari dengan kehendak dan tuntutan Islam itu sendiri. Walaubagaimana pun saya berpandangan sebegini :


1. UMNO dan PAS kedua-duanya harus kembali kepada al-Quran dan As-Sunnah serta manhaj salaf as-Soleh dalam mentadbir negara, InsyaAllah Malaysia akan diberkati oleh Allah. 2. Hak orang Melayu mesti dipertahankan, kerana Islam tidak menghalang seseorang mempertahankan haknya. 3. PAS dan UMNO harus bersatu padu membanteras segala maksiat tidak mengira siapa yang melakukannya, kita harus bersama-sama membanterasnya secara konsisten dan berterusan. 4. UMNO harus bertegas dalam soal politik wang dan rasuah. Mana-mana yang terlibat dengan politik wang harus segera diambil tindakkan serta nafikannya untuk bertanding dalam apa-apa perebutan kuasa atau jawatan penting parti. 5. Ahli-ahli PAS harus ikhlas dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai pendakwah atau dai' bagi mengajak umat Melayu yang sedang hanyut dalam dosa dan noda kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.6. UMNO dan PAS tidak perlu takut atau bimbang dalam melaksanakan perintah dan larangan Allah. Kita harus laksanakan segala yang dituntut oleh Islam bersesuian dengan kemampuan kita.

June 20, 2009

DAP 2009 : Replika Anak Syaitan


DAP 2009
Replika Anak Syaitan


KUALA KRAI 19 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap lembaran baru hubungan UMNO dan Pas dapat dimulakan segera demi kepentingan umat Islam dan keharmonian negara. Katanya, perbincangan awal berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduan membuka tirai ke arah persefahaman bagi merapatkan hubungan dan menjalin kerjasama walaupun hasilnya belum dapat dijangkakan. Beliau menegaskan, soal pengalaman lalu yang mencetuskan persengketaan, menimbulkan dendam dan keraguan sebilangan pemimpin Pas perlu dilupakan ketika keadaan perpecahan umat Islam kini membimbangkan. “Bagi saya itu tidak sepatutnya menjadi halangan. Sebagai umat Islam, kita digalakkan bermaaf-maafan. Itu zaman lampau, kini dalam kepimpinan baru dan situasi baru.


“Sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula kita manusia. Bagi saya ia bukan suatu halangan. Kita boleh menggerakkan permulaan baru yang akan memberi lebih banyak faedah kepada umat Islam dan bukannya untuk diri kita,” jelasnya. Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Dengan Warga Pendidik di Sekolah Kebangsaan Sungai Sok, Manek Urai dekat sini hari ini. Pada majlis itu, beliau menyampaikan waran peruntukan Belanjawan 2009 sebanyak RM1.5 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri Manek Urai.


Muhyiddin berkata, cetusan ke arah pembentukan kerajaan perpaduan atau usaha menjalin kerjasama oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat oleh UMNO sebagai selaras dengan tuntutan Islam dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Sehubungan itu, katanya, UMNO tidak menolak perpaduan dan menyifatkan ia suatu permulaan yang baik, malah sedia berbincang dengan Pas biarpun parti itu mengenakan pelbagai syarat.


Ulasan Saya : Jika keikhlasan UMNO masih menjadi tanda tanya kepada PAS berhubung isu kerajaan perpaduan, maka saya syorkan beberapa perkara kepada PAS untuk memastikan sama ada UMNO benar-benar jujur atau sebaliknya dalam isu ini. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :


1. Kembali kepada perintah Allah di dalam surah Al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud :

"Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”

Kita mahu seluruh ahli PAS kembali menghayati ayat ini, termasuk Nik Aziz (itu pun jika benar kita mahu mengikut Al-Quran).

2. Seluruh ahli PAS termasuk Nik Aziz, Ahmad Awang, Harun Din digesa melakukan solat Istikharah bagi mencari jawapan berkenaan persoalan kerajaan perpaduan, sama ada ia baik di sisi Allah atau sebaliknya. Malah, jika mereka sebelum ini sering melakukan solat hajat berkenaan isu Anwar Ibrahim, mengapa pula isu kerajaan perpaduan ini tidak boleh dilakukan solat Istikharah bagi mencari jawapan secara terus daripada Allah SWT? Mohon seluruh ahli PAS melakukan solat Istikharah serta diimankan sendiri oleh Nik Aziz.


3. PAS diminta bertanyakan fatwa kepada Syeikh Yusuf al-Qordhawi sama ada baik atau pun tidak berkenaan umat Islam bersatu padu dalam konteks Malaysia, apakah baik atau pun tidak di sisi Islam jika UMNO dan PAS bersatu padu demi Islam dan umat Melayu. Cuba bawa Yusuf al-Qordhawi ke Malaysia dan minta fatwanya dalam isu ini. Kita tengok, sama ada PAS masih mahu mendengar fatwa Nik Aziz dan Karpal Singh atau pun mahu mengikut fatwa daripada Yusuf Qordhawi (itu pun jika kita ikhlas kerana Allah).

June 19, 2009

PAS, Kerajaan Perpaduan Dan Dunia Yang Satu Lagi


PAS, Kerajaan Perpaduan dan
Dunia yang Satu Lagi


PUTRAJAYA 17 Jun – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini memberi amaran perpecahan orang Melayu ketika ini terlampau teruk sehingga golongan majoriti itu kelihatan terlalu lemah. Membiarkan orang Melayu sendiri mentafsirkan apa yang dimaksudkannya daripada pengamatan suasana hari ini, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu percaya hanya kerajaan perpaduan antara UMNO-Pas sahaja boleh mengembalikan semula kewibawaan orang Melayu di Malaysia.‘‘Saya sebenarnya tidak mahu mengulas isu-isu politik tetapi dalam soal cadangan kerajaan perpaduan UMNO-Pas ini, saya setuju sangat jika ia dapat dijayakan.‘‘Ia bukan sahaja boleh menyatukan orang Melayu malah lebih dari itu mempertahankan agama Islam yang suci ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.


Ulasan Saya :

1. Hampir semua pemimpim tertinggi UMNO mahu perbincangan kerajaan perpaduan dipercepatkan. Maka, PAS mahu menunggu siapa lagi? Yang baik harus disegerakan.

2. PAS mahu mendengar cakap Karpal Singh dan Anwar Ibrahim atau mahu mendengar serta mentaati Presiden sendiri?

3. Jika ulama seperti Tuan Guru Harussani pun menginginkan agar PAS dan UMNO bersatu,( demi Islam dan kekuatan Melayu) maka cakap siapa lagi yang hendak kita dengar? Karpal Singh? Siapa Karpal Singh jika hendak dibandingkan dengan Tuan Guru Harussani?

4. Siapa sebenarnya yang menguasai PAS sekarang ini? Karpal Singh atau Anwar Ibrahim? Apa hak mereka untuk menghalang PAS daripada mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO?

5. PAS - WAJIB tinggalkan DAP dan Anwar Ibrahim, jelas dua golongan ini sangat menentang perintah Allah yang menyuruh orang-orang mukmin agar bersatu padu, sebaliknya golongan ini suka melihat jika orang Islam saling berpecah-belah. Masihkah kita buta melihat semua ini?. Wallahualam.

June 18, 2009

Tertanggalnya Topeng Munafik : Menjawab Persoalan Kerajaan Perpaduan


TERTANGGALNYA TOPENG MUNAFIK
Menjawab Persoalan Kerajaan Perpaduan


Di bawah ini dialog antara Nik Aziz dengan wartawan Bernama :

Wartawan : Komen Tok Guru kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang yakin dengan keikhlasan Pas berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dan reaksi balas Timbalan Presiden Pas hari ini?


Pertama sekali saya nak ulangi kenyataan saya dulu bahawa isu perpaduan ini bukan datang daripada Pas tetapi lontaran (idea) daripada peribadi tertentu. Bukan daripada Pas. Kalau Perdana Menteri kata ianya dari Pas, itu tak betul. Itu lontaran peribadi dan tidak masuk dalam kertas agenda mesyuarat parti dan juga kertas agenda mesyuarat pakatan (pembangkang). Sebab itu pakatan tidak tahu. Maka bagaimana hendak sebut Pas setuju... tidak boleh."


Wartawan : Kalau setakat hendak berunding untuk kerjasama sahaja dan bukan untuk kerajaan perpaduan bagaimana pendapat Tok Guru?


Bawa benda ini dalam mesyuarat parti dan yang kedua kepada pakatan. Kalau Pas setuju dan pakatan setuju, lain masalahnya. Pas tidak bincang, pakatan pun tidak bincang. Mana boleh kita hendak bercakap benda ini sebab itu saya kata ini kerja boneka UMNO. Saya ulangi lagi ini kerja boneka UMNO. Kalau benar Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa hendak setuju, lebih baik masuk UMNO, terang. Saya sebut lebih baik masuk UMNO, letak jawatan di Bachok dan bertanding (semula). Apa yang duduk buat sampah ini, menyusahkan orang. Dia tidak tahu bagaimana susahnya saya ada yang telefon, datang jumpa sendiri menangis-nangis dan sebak dari dalam dan luar Kelantan. Malah ada setengah yang datang jumpa saya sebak tidak boleh kata apa, tidak boleh cerita.


Apa cerita ini, dia masuk UMNO senanglah daripada duduk bertenggek dalam Pas. Tidak ada moral orang panggil, tidak boleh macam ini. Kalau semua setuju, pakatan setuju, Pas setuju. Semua jadi anggota kerajaan, DAP jadi menteri, Pas jadi menteri, Keadilan jadi menteri, baru benar-benar perpaduan. Ini bukan perpaduan tetapi perpecahan. UMNO sekarang berpesta. Pesta bahawa Pas sudah masuk perangkap. Pas sama Pas kalut, Pas dengan pakatan bergaduh. Pas sudah bercelaru, Pas dengan pakatan pun bercelaru. UMNO sudah berjaya pecah belahkan orang Pas tetapi Alhamdulillah dapat dibendung dengan kenyataan saya baru-baru ini. Tidak boleh terima orang ini, boneka UMNO.


Wartawan : Tok Guru akan terus beri nasihat kepada orang Pas yang menyokong kerajaan perpaduan?


Hendak nasihat apa lagi orang ini, boneka UMNO.


Wartawan : Nasihat kepada ahli Pas yang memahami isu perpaduan ini?


Saya ucapkan terima kasih sebab semua orang sudah faham selepas saya buat kenyataan dulu. Cukuplah setakat ini."


Ulasan Saya : Saya akan jawab satu persatu kenyataan Nik Aziz tersebut secara jujur dan terang. Dalam dialog beliau dengan wartawan tersebut, Nik Aziz mendakwa bahawa idea kerajaan perpaduan bukanlah datangnya daripada PAS, sebaliknya daripada individu. Ini jelas merupakan kenyataan orang politik yang tidak ikhlas, hal ini adalah kerana idea kerajaan perpaduan sangat jelas disebut oleh Presiden Parti iaitu Tuan Guru Haji Hadi dalam ucapan penggulungan beliau di Muktamar PAS baru-baru ini. Maka, apabila sesuatu perkara itu diucapkan oleh seorang Presiden Parti, maka ia membawa mesej parti dan bukan atas nama individu. Hal ini adalah sama tatkala PAS menghentam UMNO. Apa-apa sahaja yang disuarakan oleh Presiden UMNO ketika zaman Tun Mahathir dahulu semuanya dianggap suara parti oleh PAS, walaupun banyak kenyataan Tun Mahathir bersifat peribadi, seperti soal janggut nabi dan menafsirkan semula al-Quran. Tetapi, PAS pukul sama rata, menurut PAS apa-apa sahaja yang diperkatakan oleh Tun Mahathir adalah merupakan suara parti UMNO, padahalnya tidak semestinya begitu.


Sekarang, apabila terkena batang hidung, Nik Aziz boleh dakwa ia hanya suara individu. Kalau individu tersebut hanya ahli PAS biasa, itu lain, tetapi individu tersebut merupakan presiden dan timbalan presiden parti PAS. Jadi, itu bukan lagi menjadi suara individu, sebaliknya suara parti. Perlu juga difahami bahawa Najib tidak mendakwa bahawa PAS sudah bersetuju, sebaliknya beliu percaya bahawa PAS ikhlas dalam isu kerajaan perpaduan.


Tuduhan bahawa Nasaruddin merupakan boneka UMNO adalah satu fitnah. Nik Aziz harus tahu hukum memfitnah. Keikhlasan Nasaruddin tidak harus dipertikaikan oleh Nik Aziz, dalam PAS, bukan Nik Aziz seorang sahaja yang tahu hukum-hakam, sebaliknya ramai lagi yang pandai. Haji Hadi dan Nasaruddin mengemukan idea kerajaan perpaduan adalah bersumberkan kepada kehendak al-Quran dan Sunnah Nabi yang menuntut umat Islam bersatu padu. Ini adalah kehendak Allah dan suruhan agama, tidak perlu hal ini dibawa ke dalam mesyuarat pakatan pembangkang. Jawapan kepada persoalan ini ada di dalam al-Quran, dan Nik Aziz hanya perlu jujur dan terima sahaja kebenaran ini, dan bukan berdola-dalik mahu berbincang dengan parti pembangkang yang lain.


Apabila umat Islam bertelagah, kita harus kembali kepada al-Quran dan Sunnah, bukankah ini prinsip yang PAS pegang selama ini? Dan bukankah ini juga suruhan Allah. Selama ini, pernahkah DAP dan PKR mengajak PAS berbincang berkenaan masalah dalaman politik mereka? Tiada. Dan mengapa baru sekarang Nik Aziz terlalu sibuk mahu menjadi jujur dengan PKR dan DAP berhubung soal ini? Masalah rumah tangga PAS, biarkanlah PAS sendiri selesaikan. Mengapa mesti libatkan DAP dan PKR dalam soal ini?


Membelasah Nasaruddin dengan cara menyakiti hatinya dan menyuruh beliau agar meletakkan jawatan dan masuk sahaja ke dalam UMNO, merupakan perbuatan orang yang tidak faham apakah takrif akhlak Islam itu yang sebenarnya. Nasaruddin tidak bersalah dalam soal ini, mengapa Nik Aziz tidak selidik terlebih dahulu kenyataan Nasaruddin dan bertanya terlebih dahulu kepada beliau berkenaan soal kerajaan perpaduan. Dan yang lebih pelik, mengapa mesti Nik Aziz sanggup membelasanya di media massa dengan kenyataan yang boleh menjatuhkan maruah dan air muka Nasaruddin di kaca mata ahli-ahli PAS sendiri? Apakah ini cara dan sikap seorang ulama yang diagung-agungkan sebagai ulama sufi? Malah, timbul pula persoalan lain iaitu, bukankah lebih mudah bagi Nik Aziz membelasah sahaja Tuan Guru Hj Hadi yang jelas merupakan pencetus utama idea kerajaan perpaduan sebelum ini? Bahkan Tuan Guru Hj Hadi turut menegaskan idea tersebut dalam ucapan penggulungannya di Muktamar PAS baru-baru ini.


Soalnya, apakah Nik Aziz takut untuk berhadapan dengan Tuan Guru Hj Hadi? dan lebih selesa membelasah Nasaruddin yang tidak tahu apa-apa itu? Atau mungkinkah juga Nik Aziz berkias dalam soal ini? yakni pada hakikatnya kemarahan beliau itu ditujukan khusus kepada Tuan Guru Hj Hadi, tetapi yang menjadi mangsa ialah Nasaruddin seperti mana kata perpatah, pukul anak sindir menantu.


Menyindir Nasaruddin sebagai individu yang membuat sampah sarap dalam PAS merupakan kenyataan yang sangat kasar dan biadab, apatah lagi Nasaruddin baru sahaja memenangi jawatan timbalan presiden PAS. Nik Aziz nampaknya tidak faham metod berdakwah. Sebelum ini pun sikap kasar Nik Aziz sudah semakin disedari oleh ramai pihak, khususnya dalam PAS. Nik Aziz pernah membelasah Persuruhjaya PAS Terengganu dengan kata-kata yang kasar pada suatu ketika dahulu, dan menulisnya di dalam HarakahOnline, namun demikian artikel tersebut ditarik balik dan dipadamkan oleh moderator web tersebut. Semua ini menunjukkan sikap dan mentaliti Nik Aziz yang sentiasa beranggapan bahawa beliau berada di pihak yang betul dan orang lain semuanya salah.


Dakwaan Nik Aziz bahawa ramai ahli PAS yang datang berjumpa dengan beliau, berhubung isu ini dan ada juga yang menangis , malah tidak kurang juga yang tidak boleh berkata apa-apa, menggambarkan kepada kita bahawa seolah-olah "Bekerjasama dengan UMNO" merupakan dosa yang paling besar dalam Islam. Mereka yang bertemu dengan Nik Aziz dan menangis kerana sedih jika benar PAS ingin mengadakan muzakarah dengan UMNO berhubung isu kerajaan perpaduan - merupakan ahli-ahli PAS yang tidak faham kehendak Islam itu sendiri.


Mereka boleh menangis kerana kononnya PAS melakukan dosa besar jika bekerjasama dengan UMNO, tetapi mereka tidak rasa berdosa apabila bermesra-mesra dengan DAP dan Karpal Singh. Mereka menangis kerana kononnya PAS telah diperangkap oleh boneka UMNO, tetapi mereka sedikit pun tidak menangis apabila Karpal Singh berkata, "Langkah Mayat saya dulu jika PAS ingin menubuhkan negara Islam dan melaksanakan Hudud". Bertemu dengan Nik Aziz sambil menangis kerana isu kerajaan perpaduan - merupakan tangisan yang sia-sia. Sepatutnya mereka yang bertemu dengan Nik Aziz tersebut sama-sama berdoa agar umat Islam kembali bersatu dan mendoakan agar UMNO berubah dan mentaat perintah Allah, bukankah itu lebih baik dan mulia?


Kenyataan Nik Aziz, kononnya PAS telah masuk ke dalam perangkap UMNO, merupakan prasangka buruk dan jijik yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sampai bilakah Nik Aziz mahu mengajak ahli-ahli PAS agar terus-menerus bersangka buruk dengan UMNO? Mengapa dengan DAP mereka boleh bersikap lemah-lembut dan berkasih sayang? Malah, saya sangat kecewa dengan kenyataan Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Perak, berkenaan wawancaranya di dalam majalah Milenia Muslim keluaran Mei 2008, menurut beliau, kenyataan Karpal Singh yang menolak negara Islam dan hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS selama ini - merupakan kenyataan individu dan bukan atas nama parti DAP itu sendiri.


Lantaran itu, menurut beliau lagi ia tidak boleh dianggap bahawa DAP telah menolak negara Islam dan hukum Hudud. Lihat, beginilah mudahnya Ahmad Awang berprasangka baik dengan DAP, tetapi dengan UMNO mereka caci dan maki, malah sanggup berprasangka jahat, kononnya UMNO itu jauh lebih zalim daripada DAP dan komunis. Ini semua adalah kata-kata orang tidak faham agamanya sendiri. Pada hemat saya, isu kerajaan perpaduan tidak perlu melibatkan parti pembangkang yang lain. Ini merupakan hal-ehwal rumah tangga orang-orang mukmin, kita kembali sahaja kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Sesungguhnya, PAS sudah terlalu lama dipergunakan oleh DAP dan Anwar Ibrahim. Kita harus menghentikan semuanya ini dengan segera. Wallahualam.

June 17, 2009

Jalan Semakin Lurus


JALAN SEMAKIN LURUS


KUALA LUMPUR 17 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berbincang dengan semua parti dalam pakatan pembangkang sebelum memutuskan sebarang kerjasama mengenai isu kerajaan perpaduan. Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustapha Ali berkata, perbincangan antara Pas dan UMNO tidak akan berlaku selagi Najib belum membuat pertemuan dengan pemimpin parti pembangkang yang lain. “Najib perlu berjumpa dengan pemimpin DAP dan PKR. Konsep kerajaan perpaduan ini masih dibincangkan dan perlu mendapat persetujuan bersama. “Ini isu besar. Ada isu yang boleh diputuskan satu parti saja namun isu ini memerlukan persetujuan semua,” katanya pada sidang akhbar berhubung idea kerajaan perpaduan di sini hari ini. - Utusan


Ulasan Saya :


1. Saya ingin bertanya kepada Datuk Mustapha Ali, nak ikut cakap Anwar dan Karpal Singh atau nak ikut ayat Al-Quran? apabila berlaku perselisihan faham antara umat Islam, kembali kepada kitabullah dan hadis shahih dan bukan kembali kepada DAP atau Anwar Ibrahim.


2. PAS jika mahu terus kuat dan kukuh, tinggalkan sahaja Anwar dan Karpal Singh! berdiri di atas kaki sendiri. Semua ahli PAS tahu siapa Anwar Ibrahim. Mustapha Ali harus ikhlas dalam soal ini.


3. Nasihat saya, PAS dan UMNO kembali kepada kehendak al-Quran, InsyaAllah semua masalah akan selesai. Selagi kita menuruti hawa nafsu untuk berkuasa, maka selagi itulah kita akan terus disesatkan oleh syaitan.

Di Sini Jalan Mula Lurus


DI SINI JALAN MULA LURUS


KUALA LUMPUR 16 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak yakin terhadap keikhlasan Pas berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini. Justeru, Perdana Menteri tetap dengan pendiriannya untuk mengamalkan sikap terbuka dan pada masa sama, bersedia mendengar serta mempertimbangkan apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh Pas. Beliau berkata, pihaknya tidak pernah menolak segala bentuk kerjasama yang akhirnya boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan negara. ‘‘Saya pernah menyatakan sebelum ini yang kita bersikap terbuka berhubung cadangan tersebut dan kita juga bersedia untuk mendengar dan menimbang cadangan yang dikemukakan oleh Pas mengenainya (kerajaan perpaduan),’’ katanya yang juga Presiden UMNO.


Ulasan Saya : Saya mendoakan agar PAS dapat melihat keikhlasan Perdana Menteri, dan kembali kepada kehendak al-Quran dan As-Sunnah. Jika benar PAS mahu kembali kepada kitab suci al-Quran, maka sambutlah sikap terbuka Datuk Seri Najib ini dengan ikhlas. Sudah jelas Allah mewajibkan umat Islam bersatu padu dan bersaudara. Perpecahan umat Islam di Malaysia hanya menguntungkan musuh-musuh Allah. Dan PAS harus segera keluar daripada Pakatan Rakyat dan meninggalkan Anwar Ibrahim, itu sahaja jalan penyelesaiannya. Wallahualam.

June 16, 2009

Buih-Buih Masa Hadapan : Menjawab Persoalan Benarkah UMNO Akan Pupus?


BUIH-BUIH MASA HADAPAN (NEW)
Menjawab Persoalan Benarkah UMNO akan Pupus?

Oleh Muhammad Azli Shukri


Setelah jurnal Foreign Affairs menerbitkan rencana “Pertembungan Tamadun” tulisan tokoh sains politik masyhur dunia, Samuel P.Huntington pada musim panas 1993, rencana tersebut telah menimbulkan keresahan dan kegelisahan terhadap masyarakat dunia. The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order buku kontroversi Huntington adalah lahir daripada respons mereka terhadap rencana beliau yang tersiar di dalam jurnal tersebut.



Huntington berpendapat, pola politik global selepas tamat perang dingin akan lebih berpaksi pada jati diri dan disusun kembali mengikut garis budaya, tamadun dan keetnikan sesuatu kaum. Masing-masing kaum ingin mengekalkan jati diri budaya dan jati diri tamadun mereka sendiri. Dan sebuah tamadun sejagat yang digembar-gemburkan oleh Barat sama sekali tidak akan berlaku. Tamadun utama dunia seperti China, India dan Islam semakin mengukuhkan jati diri dan budaya mereka. Tiada kompromi dalam soal ini. Ramalan Huntington dalam beberapa tahun belakangan ini semakin menjadi kepastian.



Kebangkitan Iran telah menghantar mesej penting kepada Barat – mereka adalah penyambung keunggulan Tamadun Islam. Manakala penonjolan China dan India dalam ekonomi dan ketenteraan mengesahkan hakikat bahawa mereka ingin kembali menjadi tamadun yang dihormati tanpa mengikut telunjuk Barat lagi.


Hepotisis Huntington dalam soal ini adalah jelas. Segala bentuk ideologi yang cuba membentuk sebuah Tamadun Sejagat semakin runtuh dan tidak diterima. Pada lewat tahun 1980-an rejim Komunis tumbang dan Tembok Berlin sudah runtuh. Tatkala Barat sedang rancak menyebarkan bendera liberalisme dan demokrasi di seluruh dunia. Suara-suara tentangan semakin jelas kedengaran di setiap pelosok dunia, bahawa mereka tidak mahu lagi melihat susuk tubuh pemimpin kacukan ala- Hitler, Lenin mahupun Stalin bagi menerajui dunia moden. Pada ketika ini, cita rasa setiap bangsa dan kaum adalah ingin bangkit untuk mengikut kepercayaan dan jati diri mereka sendiri, tanpa dipengaruhi oleh bangsa atau kaum lain.



Akhirnya, kenyataan Huntington diterjemahkan melalui PRU ke-12 setahun yang lalu. Malah, ia merupakan medan bagi setiap kaum meluahkan rasa hati mereka. PRU ke-12 bukanlah kisah tentang harga minyak yang naik 30 sen, atau kisah kebangkitan Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah mengalahkan tokoh wanita UMNO di Lembah Pantai. Tetapi PRU ke-12 adalah kisah tentang kesedaran setiap kaum bagi mempertahankan bangsa dan kaum mereka. Dengan kata lain, keputusan PRU ke-12 adalah manifestasi tentang rasa setiap kaum terhadap masa hadapan mereka. Bukan lagi ideologi politik yang diutamakan. Orang Melayu terasa kehilangan identiti pada saat tuntutan mereka untuk melihat pengajaran Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Melayu telah diketepikan. Soal bahasa, merupakan perkara penting bagi orang Melayu.



Dan yang lebih mendukacitakan, masalah sosial yang menular dalam kalangan muda-mudi Melayu tidak dibanteras secara menyeluruh oleh kerajaan yang selama ini mencanagkan pendekatan Islam Hadhari menambahkan lagi kekecewaan mereka. Akhirnya orang Melayu menggunakan peti undi untuk meluahkan rasa. Pada masa yang sama, orang Cina yang terkenal dengan budaya perniagaan, semakin tertekan sejak akhir-akhir ini, tatkala perniagaan mereka bertambah merosot dan mendakwa ekonomi negara tidak ditadbir dengan baik. Lantaran itu, mereka beralih sokongan kepada DAP. Kaum India bangkit menyokong pembangkang, khususnya PKR bukan kerana isu Hindraf . Sebaliknya, perasaan yang menyelubungi mereka selama ini – adalah bertitik tolak daripada rasa tersisih, tidak diberi perhatian dan tiada pembelaan, malah kaum India merasakan bahawa rintihan mereka selama ini telah dipandang sepi oleh kerajaan.



Saya dilahirkan 10 tahun selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. Generasi yang seusia dengan saya pada hari ini, sesungguhnya sama sekali tidak memahami secara menyeluruh mengapa peristiwa itu terjadi. Walaupun kami membaca buku sejarah yang sama. Tetapi kami tidak berada dalam sejarah itu sendiri. Kami sering mengandaikan, Malaysia yang kini dilihat berjaya adalah natijah daripada dasar bebas dan kesamarataan. Namun demikian, itu merupakan pandangan yang salah. Generasi muda yang berjaya pada ketika ini harus memahami, kejayaan mereka itu adalah hasil daripada perjuangan orang Melayu yang ingin melihat bangsanya mampu bersaingan dengan kaum lain secara adil di pentas yang sama rata. Dan bukan dicuram atau di lembah gunung yang penuh jalan berliku.



Malangnya, generasi inilah yang sedang bersorak di luar sana mahukan perubahan dan menjatuhkan sistem yang selama ini memayungi mereka, kononnya untuk membentuk sebuah kerajaan Malaysia yang lebih adil dan saksama. Adil hanya akan terjadi apabila pentas persaingan itu benar-benar sudah seimbang dan meletakkan sesuatu di tempat yang sesuai. Seorang ayah yang mempunyai anak lelaki berusia 10 tahun, 13 tahun dan 15 tahun sama sekali tidak akan menunjukkan keadilannya dengan membeli baju yang bersaiz S untuk ketiga-tiga orang anaknya itu. Keadilan tidak akan tercapai dengan cara membeli baju yang bersaiz sama, sebaliknya si ayah hanya berupaya memberikan keadilan dengan membeli saiz baju yang sesuai dengan peringkat umur anak-anaknya. Maka itulah yang dikatakan keadilan, yakni meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Generasi saya yang rata-ratanya mempunyai anak berusia sekitar tiga hingga lima tahun, sesungguhnya tidak pernah terfikir apakah jenis “payung” yang masih ada untuk anak-anak mereka bersaing dalam tempoh 10 atau 20 tahun yang akan datang. Darah muda sering menjadikan “emosi” sebagai kompas yang menunjuk arah. Jarang kami menggunakan ilmu, sejarah dan nasihat orang tua untuk mengandaikan masa hadapan. Mengikut hati lebih mudah daripada mengikut fikiran yang waras.



Kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU ke-12 dan di beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini, seharusnya menjadi pengajaran kepada generasi muda, agar tidak memperjudikan nasib anak-anak mereka yang baru berusia beberapa tahun itu. Kerapuhan pakatan pembangkang dalam mentadbir beberapa buah negeri sudah mula dilihat apabila mereka menunjukkan ideologi yang berlainan dalam pentadbiran negeri masing-masing. DAP di Pulau Pinang sudah mula mengetepikan “kontrak sosial” yang sudah disepakati sekian lama oleh semua kaum di Malaysia melalui kenyataannya bahawa tiada lagi amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang selepas ini. PAS di Perak dan PKR di Selangor disyaki akan lebih banyak terpengaruh dengan ideologi DAP yang menuntut pelbagai kesamarataan di pentas yang masih tidak rata untuk orang Melayu. Apakah generasi Melayu di Pulau Pinang, Perak dan Selangor sudah bersedia dengan realiti baru ini?


Dan sesungguhnya, orang Melayu, khususnya generasi muda sudah ditipu dengan slogan pembangkang yang menuntut kesamarataan dan persamaan hak – hakikatnya Melayu, Cina, India di Malaysia mempunyai saiz baju yang berbeza. Hampir 60% penghuni di negara ini terdiri daripada bangsa Melayu, bangsa Cina pula hampir 40% dan India pula hampir mencecah 30% - jadi adalah jelas bahawa umur bagi setiap kaum di Malaysia adalah berbeza, maka sudah tentulah saiz bajunya harus juga berbeza. Memberi perhatian yang lebih dan serius kepada orang-orang Melayu merupakan satu bentuk keadilan, manakala memberi kesamarataan kepada semua kaum adalah umpama memberi saiz baju yang sama untuk anak-anak kita yang berumur 10 tahun, 13 tahun dan 15 tahun – dan sesungguh, hal tersebut hanya menuju ke arah ketidakadilan dan ketidakseimbangan sosiopolitik, malah hanya mengundang rasa tidak puas hati, dan tidak mustahil tragedi 13 Mei akan kembali semula dalam lipat sejarah negara.



Hakikatnya, generasi muda sudah tersalah langkah dalam melihat pola politik Malaysia yang sudah kukuh dibina dan tersimpul kemas dengan strategi terbaik dalam pentadbiran sesebuah masyarakat yang majmuk sifatnya. Politik dunia selepas perang dingin sudah berubah corak, seperti mana dakwaan Huntington di atas tadi, yakni daripada perjuangan mempertahankan sesebuah ideologi kepada perjuangan mempertahankan nilai dan jati diri sesuatu bangsa.



Landasan politik Malaysia sudah berada di garis yang lurus selama 50 tahun dengan menjadikan pluralisme sebagai nadi mewujudkan kestabilan dalam politik, ekonomi dan sosial. Dengan konsep ini, setiap kaum yang terlibat mengekalkan budaya dan jati diri masing-masing, di samping sama-sama membina perpaduan. Setiap kaum mempunyai partinya sendiri yang menjaga dan mempertahankan nilai, budaya dan kepentingan mereka. Ini merupakan sesuatu yang lumrah.



Apabila Tun Abdul Razak memperkenalkan DEB, beliau sudah menghidu bahawa pola politik Malaysia akan berubah pada masa hadapan, berasaskan kepada perjuangan jati diri dan semangat perkauman, dan tidak lagi berteraskan kepada masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum atau ideologi perpaduan. Hal ini terjadi pada saat semua kaum khususnya golongan muda elit dan para peniaga merasa selesa terhadap tahap ekonomi yang hampir boleh dikatakan sama rata (pada pandangan mata kasar) antara setiap kaum (walaupun hakikatnya tidak). Lantaran itu, mereka mula beralih memperjuangkan nilai budaya dan jati diri mereka pula dalam pilihan raya yang lalu. Dalam PRU ke-12 ramai yang gagal menyelami hakikat tersebut.



DAP berjaya menarik sokongan orang Cina bukanlah kerana tawarannya untuk menurunkan harga minyak, tetapi mesej di sebalik kempen mereka yang menawarkan sebuah kebebasan untuk menjadi diri mereka sendiri, tanpa mempedulikan ideologi kesepakatan yang menjadi teras perpaduan kaum di Malaysia. Dengan kata lain, mereka mahu menjadi bangsa Cina yang unggul seperti mana yang tercatat dalam sejarah bangsa itu. Di sisi lain pula, PAS menarik sokongan orang Melayu Islam atas tawaran yang hampir sama, membangunkan semula sejarah dan tamadun agung Islam melalui saluran di peti undi. Manakala PKR, menawarkan sebuah negara Utopia yang berbilang kaum sifatnya tetapi bergabung dengan harapan mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang mempunyai ciri tersendiri mengikut tafsiran mereka.



Semua mesej parti pembangkang ini tanpa disedari telah sampai kepada masyarakat. Dan akhirnya, PRU ke-12 membuktikan perjuangan parti politik yang berasaskan ideologi perpaduan semakin di persimpangan. Sebaliknya, rakyat telah memilih perjuangan yang bersandarkan perkauman dan jati diri bangsa masing-masing. Tanpa menafikan, faktor keselesaan telah menyebabkan sebilangan rakyat negara ini mudah alpa dan lupa terhadap nilai perpaduan dan kontrak sosial yang sekian lama terbina. Mereka berfikir seolah-olah semua kaum di negara ini sudah mencapai kemakmuran ekonomi yang seimbang setelah kita mencapai kemerdekaan 50 tahun dahulu. Benarkah begitu? Jika benar, sudah pasti kita tidak lagi tercari-cari jawapan mengapa DEB telah gagal!



Sebagai generasi muda yang mengharap agar pembangunan negara berterusan dan hak orang Melayu-Islam terus terpelihara, akhirnya harapan saya ini hampir berkecai, lantaran sikap generasi muda kini yang lebih banyak mengikut emosi. Jika benar mereka mahu membetulkan kerajaan, mengapa tidak sahaja menyertai parti pemerintah? Perjuangkan apa-apa yang dirasakan benar oleh golongan ini dari dalam parti dan bukannya bersekongkol dengan pembangkang yang lebih suka melihat negara ini menjadi lemah. Kita yakini, rusuhan kaum seperti tahun 1969 tidak akan berulang, kerana faktor kematangan dan setiap kaum mempunyai kepentingan yang banyak di bumi Malaysia tercinta ini. Namun demikian, itu bukanlah alasan yang konkrit bahawa tragedi malang tahun 1969 itu tidak kembali menghantui kita semua. Ia akan hadir dalam bentuk yang berlainan.



Hujah PAS, PKR dan DAP bahawa zaman perjuangan sesuatu kaum sudah berakhir, merupakan hujah orang yang terpesong jauh daripada realiti. Hakikatnya, Allah menjadikan pelbagai kaum dan bangsa adalah bertujuan untuk saling mengenali serta memahami antara satu sama lain dan bukan untuk melenyapkan identiti mereka menjadi satu. Perjuangan sesuatu bangsa adalah untuk mengekalkan identiti mereka, tetapi haruslah berteraskan kepada ajaran Islam. Oleh sebab itu, PKR akan hancur dan tidak akan kekal lama, kerana mereka memperjuangkan ideologi yang hanya berteraskan kepada emosi dan rasa hati – yakni kebenaran dan keadilan dari kaca mata mereka dan bukan daripada kaca mata Islam. Tetapi pelik, parti inilah yang sangat dipercayai oleh PAS.



Untuk 10 tahun akan datang, parti yang berteraskan kepada ideologi seperti keadilan, komunisme, liberalisme dan sebagainya akan hancur, kerana manusia menuju ke arah perjuangan mempertahankan jati diri tamadun asal mereka. Fahaman politik berideologi sudah tidak ada tempat lagi dalam mana-mana parti politik pada masa akan datang. PKR akan musnah kerana mereka merupakan parti yang tiada identiti tamadunnya sendiri. Lantaran itu, saya katakan bahawa PKR merupakan alat dan boneka kuasa asing dan diambil kesempatan oleh parti pembangkang lain di Malaysia, demi mencapai matlamat politik sempit mereka. PAS, walaupun mempunyai ciri perjuangan yang berteraskan Tamadun Islam, namun demikian sangat lemah dalam melihat waqi’ atau realiti politik Malaysia yang berasaskan perkauman, setelah British mempora- perandakan ekonomi Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu.


DAP tidak memperjuangkan agenda keadilan dan kebebasan demokrasi, sebaliknya mereka memperjuangkan agenda ketamadunan China – untuk menjadi diri mereka yang sebenar di bumi Malaysia. Semua topeng ini telah terbuka dalam PRU ke-12. Namun begitu, rata-rata orang Melayu telah ditipu atas slogan demokrasi dan keadilan. Dan yang paling malang ialah PAS, percaya akan semua retorik ini. Jika benar demokrasi dan keadilan yang dituntut, PAS seharusnya segan silu untuk mengkritik dan menegur para pemimpi pembangkang yang lain, termasuk Anwar Ibrahim, jika jelas mereka melakukan kesalahan atau melanggar lunas-lunas syariat Islam. Tetapi, hal tersebut tidak berlaku dalam PAS. Tatkala Karpal Singh menolak hokum Hudud dan pembentuk Negara Islam, pemimpin-pemimpin PAS hanya membisu seribu bahasa, demi menjaga hati si Karpal Singh. Dan kini, apabila Haji Hadi melontarkan gagasan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, maka kedengaranlah suara-suara sumbang yang memperlekehkan usaha tersebut, malah kepada sesiapa yang menyokong idea tersebut mereka akan segera dicop sebagai boneka UMNO, padahalnya Al-Quran dan As-Sunnah secara terang-terang mewajibkan umat Islam bersatu-padu dan mengelakkan sengketa. Jadi, apakah matlamat perjuangan PAS yang sebenarnya selama ini?



Bertitik tolak daripada hal ini, mana-mana andaian termasuk Tun Mahathir sendiri yang bimbang bahawa UMNO akan hancur dalam PRU ke-13, sesungguhnya, hal tersebut InsyaAllah tidak akan berlaku. Hal ini adalah kerana, dasar UMNO itu sudah berada di landasan yang betul, hakikatnya masalah hanyalah berpunca daripada kepimpinan yang lemah dan bukan masalah parti atau asas perjuangan. Ia merupakan masalah manusia. UMNO adalah parti yang setakat ini hampir lengkap perjuangannya iaitu agama, bangsa dan negara.



Saya bukanlah peminat Samuel P.Huntington, kerana beliau merupakan sebahagian daripada propaganda Yahudi Amerika untuk menakluki dunia, namun begitu, kajiannya tetap mempunyai nilai akademik yang kuat dan kukuh. Selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam, maka sesuatu ilmu itu tetap memberi manfaat kepada manusia. Saya percaya UMNO tetap akan wujud, Cuma ketika ini ia lemah, lantaran sesetengah pemimpinnya yang lebih mementingkan politik peribadi daripada sebuah perjuangan yang suci. PKR tidak akan bertahan lama, mereka hidup atas dasar ihsan Amerika Syarikat dan bukan atas perjuangan mendaulatkan suatu tamadun atau bangsa. Percayalah bahawa UMNO akan terus hidup dan sedang membina kekuatannya semula. Wallahualam.

June 15, 2009

Anwar Ibrahim dan Chin Peng



Anwar Ibrahim
Jauh Lebih Merbahaya daripada Chin Peng


KUALA LUMPUR 14 Jun – Tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah hukuman selayaknya terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan membenarkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibenarkan pulang ke negara ini. Pengerusi Badan Bertindak Halang Kemasukan Chin Peng (BBHKCP), Pegawai Waran 2 (B) Othman Ab. Majid menegaskan, provokasi Anwar itu jelas menghangatkan kembali isu tersebut yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara. Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan segera bertindak dan jangan membiarkan mana-mana individu yang sengaja cuba mengeruhkan keadaan dan meniup api persengketaan. “Kami bekas perajurit amat terkilan dan kecil hati, isu Chin Peng sebenarnya bukan isu politik tetapi malangnya ia dipolitikkan kerana semua sedia maklum bahawa PKM pertubuhan ganas, jadi kenapa perlu diperjuangkan. “Kemarahan kami yang pernah bertempur dengan komunis walaupun telah lama tetapi masih lagi panas dan membara, jadi apabila permintaan tidak masuk akal itu dibangkitkan semula ia seperti menyiram minyak di atas bara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Ulasan Saya : Saya harus berterus-terang sesungguhnya saya sangat bersetuju jika Anwar Ibrahim ditahan semula di bawah ISA. Hanya di situ tempat yang sesuai untuknya. Hal ini bukan bermakna saya membenci Anwar Ibrahim, tetapi Anwar Ibrahim yang saya kenal sepuluh tahun yang lalu sudah sangat berlainan pada hari ini. Beliau bukan sahaja tidak peduli halal atau haram dalam politik, malah sejak akhir-akhir ini sikap dan tindak-tanduknya semakin menampakkan bahawa beliau begitu ketagih dan terdesak untuk mengekalkan popularitinya, di samping seolah-olah berfikiran bahawa beliau terlalu perkasa dan boleh berbuat apa-apa sahaja di negara ini.


Saya tidak faham apakah rakyat masih boleh menerima segala cara kotor dan jijik Anwar Ibrahim dalam memastikan beliau terus mengejar kuasa untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia pada masa akan datang. Saya pernah terbaca satu kajian yang dijalankan baru-baru ini oleh sebuah laman web (saya tidak ingat siapa yang melakukan penyelidikan itu), kajian tersebut menunjukkan bahawa sejak Anwar Ibrahim menipu rakyat Malaysia berkenaan isu 16 September, pengaruh dan popularitinya dalam kalangan rakyat sudah mula terhakis sekitar 4% hingga 6%. Jika kajian ini benar dan telus, maka saya berfikiran bahawa Anwar Ibrahim mungkin sedikit berasa cemas, andaikata BN berupaya memulihkan kekuatannya kembali dalam tempoh 3 tahun terakhir sebelum PRU-13 berlangsung.


Jika dibuat andaian bahawa pengaruh Anwar akan merosot sekitar 4%-5% setahun, maka dalam tempoh 3 tahun, pengaruhnya akan hilang sekitar 15%. Jika ini mampu dilakukan, UMNO mungkin boleh menang di peti undi saluran 3, yakni saluran pengundi baharu atau pengundi muda (peti undi saluran satu dan dua - UMNO sukar untuk menang), dan jika tiada apa-apa peristiwa besar yang boleh memalukan atau menjejaskan prestasi UMNO dalam tempoh tiga tahun akan datang, maka saya syak BN masih boleh kekal memerintah dengan majoriti mudah seperti mana yang berlaku dalam PRU ke-12. Namun demikian, ini hanyalah andai main-main saya, mungkin banyak yang tersasar. Apa-apa pun, jika kerajaan perpaduan yang dicanang oleh Hj Hadi berupaya direalisasikan, maka saya optimis orang Islam di Malaysia akan lebih berjaya dan kuat.


Berbalik kepada isu Anwar Ibrahim, jalan yang terbaik untuk menutup mulut celupar beliau selama ini, hanyalah dengan cara mengembalikan Anwar Ibrahim ke tempat asalnya, iaitu di Kem Kemunting, beliau sebenarnya lebih selesa tinggal di sana, kem tersebut adalah rumahnya dan pada saya Anwar harus di-ISA-kan semula. Anwar jika dinilai secara jujur, pada hakikatnya hanyalah bertubuh dan berwajah Melayu, sebaliknya, hati, perasaan dan jiwanya tidak ubah seperti Machiavelli - yang menghalalkan segala cara bagi mendapatkan kuasa. Dan sesungguhnya, manusia seperti ini sangat merbahaya dan lebih merbahaya daripada Chin Peng itu sendiri. Kerajaan harus bertegas terhadap Anwar Ibrahim. Wallahualam.