Tetamu Kehormat...

May 30, 2009

Nasruddin Hassan At-Tantawi 2009 : Khutbah Dalam Tidur



Nasruddin Hassan At-Tantawi 2009
Khutbah Dalam Tidur


KUALA LUMPUR 29 Mei - Dewan Pemuda Pas berikrar untuk mempertahankan institusi kepimpinan ulama kerana ia merupakan satu gagasan yang telah menjadi sumber kekuatan kepada parti itu selama ini. Ketuanya yang baru, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, Pemuda juga mahu kepimpinan ulama diperkasakan lagi sejajar dengan kedudukan Pas dalam politik arus perdana yang kini disifatkan semakin kukuh. Justeru kata beliau, pihaknya akan memastikan hanya individu atau satu kumpulan kolektif yang memenuhi tiga kriteria kepimpinan ulama iaitu beriman, bertaqwa dan berilmu sahaja diberi mandat menerajui Pas. '


'Pemuda amat mengambil berat tentang perkara ini kerana ia melibatkan dasar yang ditetapkan dalam Islam. Islam telah menetapkan untuk menjadi pemimpin mereka perlu di kalangan orang yang beriman, bertaqwa dan berilmu. ''Ini soal asas dalam pemerintahan Islam. Mengenai latar belakang pendidikan, itu soal lain kerana bagi Pemuda, tiga kriteria perlu dipenuhi terlebih dahulu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Nasrudin sebelum ini telah diumumkan sebagai pemimpin tertinggi dalam Dewan Pemuda Pas selepas beliau berjaya memenangi jawatan itu tanpa bertanding. Pengumumannya telah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali pada satu sidang akhbar 26 Mei lalu. Sementara itu Nasrudin berkata, beliau telah menggariskan tiga perkara untuk memantapkan lagi Pemuda terutama dalam memastikan keberkesanannya sebagai barisan hadapan parti.


Pertama beliau berkata, menjadikan Islam sebagai teras perjuangan. ''Saya tidak akan berkompromi dalam perkara ini kerana Pas terbina atas nama Islam dan Islam merupakan teras perjuangan kami. Islam juga membentuk kepimpinan ulama dalam parti. "Kami tidak akan menerima sesuatu yang selain daripada Islam,'' katanya. Kedua, beliau dan rakan-rakan akan membuat gerakan pengukuhan dalaman parti dengan bermatlamatkan tiga objektif utama iaitu akidah, gerakan berasaskan kepada wadah perjuangan Islam tulen serta keperibadian anggota yang soleh. "Ketiga, ialah mengemas kini jalinan hubungan dengan pihak luar parti supaya perjuangan Pas serta dakwah parti kami berjalan dengan baik,'' katanya.


Ulasan Saya : Jika benar iltizam yang dikatakan oleh Nasrudin itu maka saya minta agar beliau menerima cadangan saya ini :


1. Pastikan PAS menjadi badan dakwah yang kukuh, seperti mana al-Arqam pada suatu ketika dahulu. Adakan KPI untuk Pemuda PAS, yakni salah satu KPI mereka adalah membawa dakwah Islam di pedalaman Sabah dan Sarawak, Islamkan sebanyak mungkin orang-orang asli di sana. Buatkan juga sasaran berkenaan berapa ramai ahli-ahli PAS yang akan berhenti menghisap rokok pada setiap tahun atau pada setiap bulan atas kesedaran bahawa merokok adalah jelas hukumnya iaitu haram. Sasarkan juga berapa ramai ahli DAP yang akan masuk Islam pada setiap tahun, serta pastikan program dakwah kepada ahli-ahli DAP tentang Islam sentiasa berjalan sepanjang masa, dan bukan semata-mata bekerjasama dengan DAP dalam soal kepentingan politik sahaja. Islamkan juga mereka, jika benar PAS mahu menegakkan Islam.


2. Nasrudin juga harus berani menegur dan bercakap benar kepada para penceramah PAS bahawa membuka aib pemimpin UMNO dalam ceramah-ceramah politik mereka adalah dosa besar, dan tidak boleh dihalalkan sama sekali. Jika pemimpin PAS mahu menasihat pemimpin yang zalim ada kaedah dan caranya, dan bukan cara yang diamalkan oleh Mat Sabu dan Mahfuz Omar selama ini.


3. Beriman, Bertaqwa dan Berilmu - ini syarat yang ditetapkan oleh Nasrudin, ia sangat jelas dan merupakan syarat generasi salaf-as soleh, namun demikian siapakah yang akan memantau pemilihan Ketua Pemuda PAS Cawangan dan Kawasan? Nasrudin perlu tahu bahawa PAS di peringkat cawangan dan kawasan tidak terjaga dan terbela. Masih ramai yang menjadi ahli PAS dan memegang jawatan tertentu di peringkat cawangan dan kawasan masih meninggalkan solat serta isteri dan anak-anak mereka tidak menutup aurat. Mereka menyokong dan menjadi ahli PAS bukan atas dasar kesedaran Islam sebaliknya kerana membenci UMNO. PAS jangan lihat di peringkat pusat atau nasional sahaja, sekali-sekali turun padang, jangan syok sendiri kononnya mereka sudah sempurna. Berapa kali pemimpin PAS pusat turun ke Kuala Kangsar? Dan melihat para penyokong dan ahli-ahlinya di sana? Saya nasihatkan jika benar Nasrudin ikhlas, pastikan pemilihan Ketua PAS Cawangan dan Ketua Pemuda PAS Cawangan juga harus mengikut syarat beliau iaitu "Beriman, Bertaqwa dan Berilmu", barulah PAS akan benar-benar akan kukuh. Pada hari ini, PAS kelihatan kuat adalah kerana faktor kebencian orang terhadap UMNO, dan bukan kerana faktor dakwah atau kesedaran Islam yang dijalankan oleh PAS selama ini. PAS Harus sedar akan faktor itu semua.


4. PAS harus menghentikan permusuhannya dengan UMNO, seteruk-teruk UMNO, DAP jauh lebih teruk. Kena ingat ini semua. Jangan terlalu sibuk dengan politik dan kuasa, sebaliknya tanggungjawab untuk menyatukan umat Islam diketepikan. Semua sifat buruk sangka PAS kepada UMNO harus segera dikikis dan dihentikan. Utamakan Islam terlebih dahulu daripada kepentingan politik dan kuasa.


5. Rakyat mahu PAS menjadi badan dakwah yang lebih kemas dan mempraktikkan segala sunnah nabi dalam bentuk tindakan dan amalan. Para pemimpin PAS harus menunjukkan teladan yang baik. Perbuatan mencaci-maki pemimpin kerajaan harus diganti dengan mendoakan kepimpinan negara menjadi lebih baik. Jika ahli-ahli DAP boleh kita doakan agar hati mereka tertarik dengan Islam, apatah lagi dengan hati para pemimpin UMNO, ia lebih afdal dan mulia. Pemuda PAS juga harus bergerak seperti mana gerakan al-Arqam dahulu, berdakwah di shopping kompleks, di kaki-kaki lima bersama anak-anak muda, dampingi mat rempit sama ada di disko atau di kelab-kelab malam, berdakwah kepada para remaja di tempat-tempat maksiat dan sebagainya. Kita tidak mahu pemimpin PAS hanya pandai berceramah di masjid-masjid sahaja, tetapi apabila diminta berdakwah di pedalaman Sabah dan Sarawak atau di lorong Haji Taib, mereka beri pelbagai alasan. Kemudian, apabila jenayah dan maksiat meningkat semua salah kerajaan dan salah UMNO, tiada sedikit pun salah ahli-ahli PAS. PAS tidak sedar bahawa banyak juga maksiat dan jenayah dilakukan oleh ahli -ahli PAS dan penyokong mereka. Jika PAS mahu Islam, maka Islamkan PAS itu secara keseluruhannya. Baru betul. Jangan lihat sebelah mata sahaja.


6. Apabila Nasarudin berkata bahawa syarat untuk memilih kepimpinan PAS adalah berasaskan kepada syarat "Beriman, Bertaqwa dan Berilmu" saya mahu tambah sikit, ia tidak cukup bagi PAS jika itu syaratnya sahaja. Tambahan saya adalah, "Beriman, Bertaqwa, Berilmu dan Beramal". Maksudnya, tak cukup seseorang pemimpin PAS itu hanya beriman, bertaqwa dan berilmu semata-mata, sebaliknya ia mesti beramal dengan seluruh ajaran Islam. Tiada guna jadi pemimpin PAS jika masih beramal dengan sikap jahiliah seperti mengumpat pemimpin UMNO, menghina pemimpin UMNO, mencaci dan membuka aib pemimpin UMNO, merendah-rendahkan maruah pemimpim UMNO dan ulama-ulama UMNO. Ini semua bukan ajaran Islam. Sebab itu untuk menjadi pemimpin PAS tak cukup dengan beriman, bertaqwa dan berilmu sahaja. Itu syarat asas dan sesuai untuk UMNO, tetapi bagi parti seperti PAS ia harus ditambah dengan perkataan "beramal". Sebab PAS mendakwa bahawa mereka menjunjung sepenuhnya al-Quran dan as-Sunnah. Maka, semestinya para pemimpin PAS mempraktikkan segala suruhan al-Quran dan Sunnah nabinya. Dengan hal tersebut, barulah PAS boleh dipanggil parti Islam.


7. PAS tidak seharusnya meletakkan syarat "beriman, bertaqwa dan berilmu" hanya kepada sesiapa yang mahu memimpin parti tersebut, ia tidak akan tercapai sekiranya ahli-ahli PAS sendiri masih banyak yang tidak bertaqwa dan berilmu. Seorang pemimpin yang beriman, bertaqwa dan berilmu akan hanya dipilih andaikata seluruh ahlinya mempunyai ciri-ciri beriman, bertaqwa dan berilmu juga. Oleh sebab itu, saya cadangkan kepada Pemuda PAS , agar mereka membawa usul kepada PAS Pusat berkenaan syarat baharu untuk menjadi ahli PAS, iaitu mana-mana individu yang ingin menjadi ahli PAS , maka ia harus diselidik terlebih dahulu agar mempunyai ciri-ciri beriman, bertaqwa dan berilmu - jika ada syarat ini, barulah seseorang itu diterima sebagai ahli PAS, jika tidak ada, maka ia tidak layak menjadi ahli PAS. Tidak cukup hanya membayar yuran seringgit semata-mata mahu menjadi ahli PAS. Sebaliknya, PAS memerlukan ahli yang berkualiti dan bukan kuantiti. Hal ini penting jika PAS mahu memilih pemimpin yang beriman, bertaqwa dan berilmu pada masa akan datang. Oleh sebab itu, pastikan terlebih dahulu ahli-ahli PAS yang biasa benar-benar mempunyai ciri beriman, bertaqwa dan berilmu, barulah kepimpinan ulama mampu direalisasikan.


8. Saya nak tambah syarat bagi mana-mana ahli PAS yang berminat untuk memimpin PAS, tak cukup dengan syarat beriman, bertaqwa dan berilmu. PAS perlu menambah syarat tersebut menjadi sebegini, "Beriman, Bertaqwa, Berilmu, Beramal dan Bijaksana". Mengapa saya tambah "Bijaksana",? kerana kebanyakan pemimpin PAS mudah dimomok dan ditipu oleh Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin DAP. Padahalnya, inilah musuh-musuh utama PAS pada awal tahun 80-an dan 90-an. Saya doakan untuk masa yang akan datang pilihlah pemimpin PAS yang bijaksana, bukan bertaqwa semata-mata. Saya akan kupas dalam posting yang akan datang bagaimanakah Islam memilih pemimpin. Wallahualam.

May 29, 2009

Teh Candu Dari UIA


TEH CANDU
DARI
UIA

PUTRAJAYA 28 Mei – Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi kini mula menunjukkan kesan positif dan diyakini mampu memulihkan ekonomi negara pada penghujung tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, perkembangan positif lain memperlihatkan kadar pengangguran yang kian berkurangan sebanyak empat peratus manakala kadar pinjaman bank meningkat 10 peratus. Serentak itu, beliau menegaskan, kerajaan akan terus memastikan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan Kedua serta perbelanjaan peruntukan bajet tahunan dapat memberi impak positif kepada ekonomi negara.

“Kesan positif ini turut disokong oleh harga komoditi, pasaran saham dan keyakinan pelabur yang semakin meningkat.

“Dengan perkembangan ini, diharapkan ekonomi negara beransur pulih pada penghujung tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.


Ulasan Saya : Saya rasa sudah tiba masanya seluruh rakyat Malaysia menghentikan perbalahan politik dan bersama-sama kita tumpukan perhatian kepada ekonomi negara. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab dalam menyumbang tenaga bagi membangunkan negara, khususnya dari aspek ekonomi. Saya cadangkan agar seluruh rakyat Malaysia menyahut lima seruan saya ini.

1. Semua parti politik diminta mencari titik persamaan dan bukan perbezaan dari aspek membangunkan negara.

2. Parti pembangkang khususnya PAS diminta menghentikan caci-maki kepada kepimpinan negara, sebaliknya taat kepada pemerintahan yang sedia ada. Ajak seluruh ahli-ahli PAS berdoa agar kepimpinan negara menjadi lebih baik dan bukan memaki-hamun mereka.

3. Seluruh ulama di Malaysia mesti mempromosikan konsep bersatu padu, dan seru seluruh umat Islam bersatu dan bukan berpecah belah. Berlainan ideologi politik adalah perkara biasa, tetapi bersatu padu adalah wajib.

4. Setiap parti pembangkang diminta mengemukakan model ekonomi yang holistik bagi membantu pihak kerajaan. Kita tidak mahu parti pembangkang hanya pandai mengkritik sahaja, tetapi apabila diminta membantu mereka mengelakkan diri.

5. Semua parti politik di Malaysia harus mengadakan "Musim Tidak Berpolitik" hal ini penting agar rakyat di negara ini tidak lagi disogokkan dengan hal-hal politik saban hari. Sudah tiba masanya, kita sibuk bekerja daripada berpolitik semata-mata. Wallahualam.


* Di sekitar Ampang teh seperti di atas disebut sebagai Teh Candu, tetapi di sekitar KL Sentral ia dipanggil Teh Dandut. Harap maklum.

May 27, 2009

PAS+PKR+DAP 2009 : Anak Panah Kejam


PAS+PKR+DAP 2009
ANAK PANAH KEJAM


Saya mungkin terlepas pandang selama ini, bahawa kes kejatuhan kerajaan pakatan rakyat di Perak sebenarnya sudah diberi signal oleh Allah dalam al-Quran. Sesungguhnya, Allah tidak sekali-sekali membantu dan menolong orang-orang mukmin yang menjadikan orang kafir sebagai pelindung kepada mereka dan pada masa yang sama meninggalkan orang mukmin yang lain. Hal ini telah Allah jelaskan dalam surah Ali Imran ayat 28, yang bermaksud :



"Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang kafir menjadi pemimpin (pelindung) dengan meninggalkan orang mukmin. Barangsiapa berbuat sedemikian, nescaya lepaslah ia daripada pertolongan Allah, kecuali kerana muslihat yakni memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap dirinya (siksa-Nya), dan hanya kepada Allah kamu dikembalikan."


Lantaran itu, kita mengambil contoh kes yang berlaku di negeri Perak. Tiga parti iaitu PKR, DAP dan PAS berjaya meraih 31 kerusi DUN, sekaligus berjaya menubuhkan kerajaan negeri. BN tumbang sebagai kerajaan lama dengan hanya memenangi 28 kerusi.


Ketika satu pihak beria-ria meraikan kejayaan tersebut, satu pihak lagi mula mencongak untung rugi nasib orang Melayu dan Islam di Perak. Betapa tidak, daripada 31 kerusi DUN yang dimenangi pakatan pembangkang, 23 kerusi daripadanya adalah dalam kalangan orang bukan Islam. Hanya 8 kerusi sahaja orang Islam. Manakala daripada 10 ahli Exconya, 7 adalah bukan Islam, cuma 3 sahaja orang Islam. Jadi, siapa sebenarnya yang menguasai pemerintahan di Perak? Orang Islam atau bukan Islam?


Mengapa 6 anggota DUN Islam dari parti PAS tidak mahu bersatu dengan 27 (28) anggota DUN Islam daripada parti BN, agar jumlahnya menjadi (27+6) = 33(34), sekaligus tertegaknya pemerintahan yang dikuasai sepenuhnya oleh orang Islam di Perak.

MENGAPA DIAMBIL YANG BUKAN ISLAM DAN TINGGALKAN YANG ISLAM? Lupakah kita dengan amaran Allah melalui firmannya di atas itu? "Janganlah Orang-orang mukmin mengambil orang kafir menjadi pemimpin (pelindung) dengan meninggalkan orang mukmin."


Oleh sebab itu, saya tidak hairan apabila pemerintah PAS tumbang di Perak, kerana Allah sudah berjanji tidak akan menolong golongan yang menyisihkan mukmin yang lain dan mengambil orang-orang kafir sebagai pembantu dan pelindungnya, sedangkan ADUN Islam dalam kalangan BN di Perak masih ramai dan boleh sama-sama menegakkan pemerintahan orang Islam di Perak, tetapi sebaliknya PAS lebih gemar mengambil pemimpin kafir daripada parti DAP sebagai pembantu dan pelindungnya berbandingan dengan orang Islam dalam kalangan ADUN BN. Malah, PAS tidak segan-silu menghubungkan kasih sayang dengan parti DAP. Islamkah cara ini? Moga Allah menyedarkan kita semua, sesungguhnya kerajaan PAS tumbang di Perak adalah akibat daripada perbuatan tangan mereka sendiri. Dan Allah tidak akan menolong mereka yang meninggalkan mukmin yang lain dan bersengkongkol dengan orang kafir yang jelas menentang Islam. Wallahualam.

May 26, 2009

Akhil 2009 : Hari Tanpa Esok


AKHIL 2009
Hari Tanpa Esok


KUALA LUMPUR 25 Mei - ''Februari lalu, dia pernah meminta kebenaran untuk mengahwini Waheeda. Saya reda dan membenarkannya. ''Bagaimanapun, selepas dia mendiamkan diri termasuk tidak pulang ke rumah dan menjawab telefon, saya sudah hilang sabar serta nekad untuk menuntut cerai.'' Itu tegas isteri kepada penyanyi dan pendakwah Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 33, berhubung kemelut rumah tangga mereka yang kini sedang hangat diperkatakan gara-gara Akhil didakwa mempunyai hubungan dengan penyanyi Waheeda atau Norwahidah Abdul Wahab, 31.

Menurut Maizawati, selepas lama memendam perasaan, dia hilang rasa sabar dengan apa yang melanda hidupnya ekoran gosip hubungan berkenaan termasuk apa yang telah Akhil lakukan terhadap dirinya. ''Saya pernah beberapa kali menghubunginya tetapi dia tidak menjawab telefon. Alasan yang diberikan adalah sibuk dengan kerja.

''Dia juga sudah lama tidak pulang ke rumah. Ketika saya memfailkan tuntutan meminta cerai awal bulan ini, dia ada meminta saya bersabar. ''Tetapi, saya tetap dengan keputusan untuk tidak lagi mahu bersamanya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Akhil, 40, dan Waheeda menjadi perhatian media sebelum ini lantaran gosip yang mempersoalkan mengenai status hubungan mereka berdua.

Menambahkan lagi kehangatan cerita, pelbagai pihak pernah mendakwa melihat kelibat mereka keluar menonton wayang bersama. Mengulas lanjut, Maizawati berkata, kes tuntutan perceraiannya akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan. ''Sudah saya katakan, ini adalah keputusan saya. Saya juga mahu dia terima apa yang saya buat ini. Ahli keluarga saya pun memberi sokongan,'' jelasnya. Ditanya mengenai penerimaan anak-anak terutama anak sulungnya yang berusia 16 tahun, Maizawati memberitahu bahawa kesemua enam anaknya hasil perkahwinan dengan Akhil sudah cukup matang dan memahami tindakannya itu.

''Anak sulung saya okey. Mereka sudah dilatih agar tidak ambil tahu sangat akan apa yang berlaku. ''Saya juga perlu mencari pekerjaan untuk menyara keluarga kerana sebelum ini saya tidak bekerja,'' katanya. Jelasnya, selepas daripada ini, dia amat berharap agar Akhil berbahagia bersama pilihan hatinya dan tidak mengabaikan anak-anak. Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk menghubungi Akhil dan Waheeda bagi mendapatkan jawapan berhubung hal berkenaan gagal selepas kedua-dua mereka enggan menjawab telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).


Ulasan Saya : Biarlah saya berterus-terang, bahawa saya sejak empat tahun dahulu lagi sebenarnya tidak berapa "suka" cara Akhil berceramah agama di surau-surau, malah seringkali apabila saya melihat kaset atau CD yang menampilkan Akhil berceramah agama dengan tajuk-tajuk yang berat lagi hebat, hati saya sering terfikir apakah beliau mampu mempraktikkan apa-apa yang telah beliau katakan dalam ceramah-ceramahnya itu. Saya sering bimbang, kerana sudah banyak ustaz seperti Akhil ini saya temui, tetapi akhirnya tumpas dengan cara begini. Jika syaitan merosakkan anak muda dengan melakukan maksiat dan zina, maka syaitan pula akan merosakkan "ustaz-ustaz" ini dengan cara menghancurkan rumah tangga mereka yang sedia ada. Saya tidak tahu mengapa hal tersebut selalu diuji ke atas mereka yang sering dilabelkan sebagai seorang ustaz atau ulama. Terdahulu, ramai juga anggota al-Arqam yang terkena ujian sebegini. Seharusnya para ustaz yang popular menunjukkan contoh dan teladan yang baik agar anak-anak muda berupaya mencontohi cara hidup mereka. Wallahualam.

Soalan saya hanya ada 5 sahaja :

1. Mengapa Akhil kembali ke dunia seni jika hatinya dan imannya tidak terdaya melawan fitnah dunia seni tersebut?

2. Akhil tahu bahawa dia seorang yang digelar sebagai ustaz dan berceramah agama seluruh Malaysia untuk mencari nafkah, apakah beliau tidak tahu bahawa berkawan rapat dengan Waheeda hanya mengundang fitnah kepada diri dan keluarganya?

3. Akhil tahu ilmu agama dan tahu kewajiban seorang suami kepada isterinya, maka mengapa tidak digunakan ilmu yang Allah berikan itu bagi menyelesaikan kemelut rumah tangganya?

4. Bukankah lebih baik Akhil meneruskan kehidupan zuhud dan mengajar di surau-surau daripada kembali ke dunia seni?

5. Jika sekali pun ingin menyampaikan lagu-lagu dakwah, bukankah lebih baik bekerjasama dengan artis-artis nasyid lelaki daripada artis perempuan?

Pada pandangan saya, kisah Akhil ini harus diambil iktibar, tidak semestinya apabila kita memilih suami yang berlatar belakangkan agama atau dalam golongan ustaz, maka kehidupan seorang isteri akan bahagia, ada masanya kita dapati mereka yang tidak mempunyai latar belakang agama, lebih memahami Islam daripada golongan ustaz atau pun penceramah agama. Wallahualam.

May 22, 2009

Pen Hijau Berdakwat Merah


PEN HIJAU
BERDAKWAT MERAH



Apabila saya menyatakan bahawa adalah berdosa dan haram hukumnya PAS berkasih sayang dengan DAP, maka terdapatlah sesetengah pihak yang merasakan bahawa saya mengada-adakan cerita dan hukum. Namun demikian, bagi mereka yang yang tahu hukum dan mendalami pengetahuan ilmu al-Quran, maka akan faham apakah yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Harussani dalam wawancaranya dengan majalah Milenia Muslim keluaran Mei 2008 baru-baru ini. Tuan Guru Harussani berkata bahawa, adalah berdosa dan haram hukumnya jika kita menunjuk-nunjukkan rasa kasih sayang kepada DAP, yang sebenarnya secara terang-terangan menolak Hukum Hudud dan pembinaan negara Islam yang dicadangkan oleh PAS sebelum ini. Hal ini sudah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Mumtahanah, ayat 1 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jangalah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi wali (pembantu), kamu hubungkan kepada mereka kasih sayang, padahal mereka telah kafir (menyangkal) kebenaran yang datang kepadamu."


PAS boleh bekerjasama dengan DAP seperti mana UMNO bekerjasama dengan MIC atau MCA. Tetapi PAS melampaui batasan dengan mengizinkan ayat-ayat al-Quran dipersenda dan dipergunakan oleh Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming bagi tujuan politik sempit mereka. Dengan bacaan tajwid yang salah dan sebutan yang lentang-pukang, PAS langsung tidak menghiraukan teguran Tuan Guru Harussani berkenaan isu tersebut. Malah, teguran terbuka Tuan Guru Harussani kepada Anwar Ibrahim berkenaan isu penggunaan kalimah Allah juga tidak diendahkan oleh PAS dan Anwar. Hal ini sangat berbeza, tatkala Anwar Ibrahim beria-ria menggunakan fatwa Tuan Guru Harussani bahawa beliau tidak harus melakukan sumpah mubahalah berkenaan tuduhan meliwat Saiful Bukhari yang telah menjadi polimik rakyat jelata sekian lama.


Lantaran itu, PAS dan Anwar hampir sama sahaja sikapnya. Mana-mana fatwa atau ijtihad yang menguntungkan politik mereka, maka ambillah, tetapi awas! mana-mana hukum atau fatwa yang tidak selari dengan nafsu politik PAS dan Anwar, maka kita tinggalkan jauh-jauh. Setakat ini, satu-satunya ulama yang tidak berpihak kepada mana-mana parti ialah Tuan Guru Harussani. Beliau diakui antara ulama yang tidak hanya mengkritik kerajaan dan Tun Mahathir (pada suatu ketika dahulu) sahaja, malah turut mengkritik Anwar dan PAS. Tetapi, PAS dan Anwar hanya akan mengambil mana-mana fatwa beliau yang menguntungkan parti tersebut, manakala mana-mana fatwa yang tidak menguntungkan politik mereka, fatwa tersebut akan dilemparkan sejauh mungkin.


Tuan Guru Harussani mengkritik bahawa PAS sekarang sudah berada di tahap berkasih sayang dengan DAP, bukan lagi sekadar bekerjasama semata-mata. Muslimat PAS berpelukan dengan Elizabeth Wong yang terang-terang tidak bermoral, malah menunjukkan pula rasa kasih sayang kononnya Elizabeth Wong dizalimi. Tuan Guru Haji Hadi juga pernah berpelukan dengan Lim Kit Siang - seolah-olah menggambarkan bahawa Islam begitu toleransi dengan orang bukan Islam, sehingga konsep kerjasama boleh bertukar kepada kasih sayang. Apabila DAP secara jelas menolak Hudud dan negara Islam, PAS tetap mahu bekerjasama dengan mereka, malah lebih mesra lagi. Perbuatan dan sikap PAS ini dikritik hebat oleh Tuan Guru Harussani, tetapi malang tidak ada seorang ulama PAS pun yang sanggup berjihad menyatakan kebenaran dengan menyokong Tuan Guru Harussani. Jadi, apakah kita masih boleh mempercayai PAS? atau PAS sebenarnya hampir sama sahaja dengan tabiat dan sikap DAP yang hipokrit itu?


Jika kita benar-benar ikhlas, kita akan bercakap secara jujur, baik UMNO atau pun PAS, jika mereka buat salah dan tidak mengikut al-Quran dan as-Sunnah, mereka harus ditegur dan dikritik. Tidak kira parti apa pun jua, barulah Islam akan kembali kuat. Soalnya, apakah ulama-ulama PAS sanggup berbuat sedemikian? Wallahualam.

May 21, 2009

Pas dan DAP 2009 : Pintu Masuk Masalah


PASDAP 2009
Pintu Masuk Masalah




Apabila melihat senario politik nasional ketika ini, saya agak sedih dengan sikap sesetengah individu yang terang-terang tidak bersyukur dengan apa-apa yang telah dikecapi oleh negara kita selama ini. Saya membidas sesetengah orang Melayu yang secara membuta-tuli menyokong DAP, malah apabila saya mengkritik DAP, saya dilabelkan sebagai orang yang cuba memainkan isu perkauman. Jika golongan ini hidup di Singapura, maka mereka akan tahu sama ada apa-apa yang saya katakan sebelum ini betul atau pun tidak. Oleh yang demikian, saya mencadangkan kepada orang Melayu, khususnya PAS agar segera menyahut cadangan saya ini :


1. Cuba orang-orang PAS yang menyokong DAP tinggal dan hidup di Singapura, dan lihat sama ada mereka akan tahu atau pun tidak makna sebenar "perkauman" yang diamalkan di negeri republik kecil itu. PAS juga disaran sebelum bersengkongkol dengan DAP, mereka harus bertanya bagaimanakah kehidupan komuniti orang Islam-Melayu di Singapura. Cuba belajar dan tanya di mana kedudukan mereka sekarang.


2. PAS jangan banyak cakap. Mulai hari ini, PAS harus letakkan KPI kepada parti mereka, yakni tiga tahun dari sekarang, seramai 10, 000 ahli DAP masuk Islam. Barulah PAS boleh mendabik dada bahawa mereka benar-benar "Membangun Bersama Islam". Kita tidak mahu melihat PAS hanya berupaya menghimpukan 10, 000 orang semata-mata untuk tujuan demostrasi sahaja, tetapi kali ini Islamkan ahli-ahli DAP pula. Buat macam Al-Arqam, berpuluh-puluh orang Cina masuk Islam di tangan Ashaari Muhammad. Malah, ada yang masuk Islam semata-mata tertarik dengan cara dakwah Ashari Muhammad. Inilah yang kita mahu. Bukan ceramah politik 24 jam. Sanggupkah PAS menerima cabaran ini? Tak sanggup?. Jika tidak sanggup berjihad untuk Islamkan ahli-ahli DAP, maka jangan terlalu sibuk merebutkan kuasa, takut-takut diperkudakan oleh orang lain.


3. PAS terlalu sayangkan DAP. Jika kita mengkritik DAP, maka PAS akan naik angin. Apa-apa yang DAP buat semuanya betul, sekali pun parti tersebut bersikap biadab dengan Sultan Perak dan menentang negara Islam. Apabila Tuan Guru Harussani, Mufti Perak meminta rakyat agar taat dengan Sultan, mereka labelkan Harussani sebagai anjing. Ada pemimpin PAS yang mahu menegur penyokong mereka berkenaan isu tersebut? Apabila Tuan Guru Harussani berkata bahawa orang Islam harus bersatu padu dan taat kepada pemerintah, tiada seorang pun ulama PAS membelanya. Semua senyap sepi. Sekali pun apa-apa yang dikatakan oleh Harussani itu betul, tetapi PAS tidak mahu menerimanya. Ikhlas ke PAS selama ini? Mahu menegakkan kebenaran atau pun hanya mahukan kuasa? Jika ulama seperti Tuan Guru Harussani boleh dilabelkan sebagai anjing, apatah lagi orang UMNO seperti saya ini. Jadi bagaimana PAS boleh dakwa bahawa mereka parti yang mengamalkan ajaran Islam? Jika hal seperti ini pun tidak boleh diatasi. Dan bagaimanakah parti seperti ini mahu mendaulatkan Islam, jika ada ahli partinya sendiri yang tidak beramal dengan akhlak Islam? Cuba-cubalah kita renungkan.


Lantaran itu saya cadangkan PAS harus menjadi Badan Dakwah dan menumpukan kepada kerja-kerja dakwah, bukan hanya berceramah dan mengejar kuasa. Selagi PAS terus berwajah seperti hari ini. PAS akan tewas buat selama-lamanya. Sekali pun mereka menang, mereka akan saling bercakaran dan tuduh-menuduh sesama mereka. Jika ulama boleh dilabelkan sebagai anjing, maka saya bimbang akhlak seperti ini akan merosakkan imej PAS sedikit demi sedikit. Akhirnya, PAS akan hancur bukan kerana politik wang, tetapi disebabkan akhlak kotor para penyokongnya yang tidak dididik oleh ulama-ulama PAS agar mereka berakhlak mulia seperti mana yang disarankan oleh nabi kita. Jika dengan DAP pun PAS sanggup berkasih sayang, maka tidak mustahil jika Yahudi mahu bekerjasama dengan PAS untuk menjatuhkan UMNO, PAS akan bersetuju, hal ini bersesuaian dengan kata-kata Nik Aziz dahulu, "Jika syaitan nak bekerjasama dengan PAS pun, kita terima." Jika UMNO dikatakan akan hancur kerana politik wang, maka PAS juga akan hancur dengan akhlak kotor para penyokongnya. Sebab apa saya kata akhlak kotor, kerana apabila Tuan Guru Harussani menasihati para penyokong PAS agar taat kepada raja, tiada seorang pemimpin PAS pun mahu membela, walaupun kata-kata Harussani itu benar mengikut al-Quran dan As-Sunnah. Jika PAS rosak kerana akhlak para penyokongnya, dan UMNO rosak kerana politik wang, maka apakah yang tinggal untuk bangsa Melayu-Islam di Malaysia ini?


Tuan Guru Harussani sudah menegur PAS agar jangan berkasih sayang dengan DAP. Mengikut pengamatan Harussani dalam Majalah Milenia Muslim Bulan Mei, PAS sekarang bukat setakat bekerjasama dengan DAP, malah menunjukkan kasih sayang dengan parti kafir tersebut. Menurut Harussani hal ini haram di sisi Islam. Tetapi, adakah ulama-ulama PAS yang sanggup menegur para pemimpinnya? Jadi di mana keikhlasan ustaz-ustaz mereka? Oleh sebab itu, PAS harus segera berubah jika mereka benar-benar ikhlas berjuang kerana Islam.

May 17, 2009

Sultan Azlan : Tanda Harga Tanggungjawab


Sultan Azlan
Tanda Harga Tanggungjawab



Nampaknya, hampir semua orang keliru dan dikelirukan berhubung dengan mengapa kerajaan dan Sultan Perak tidak mahu mengadakan pilihanraya semula di negeri tersebut. Banyak hujah dan penerangan di alam maya gagal disampaikan kepada rakyat berkenaan hal tersebut secara tepat dan jujur. Sebaliknya, banyak pihak yang terus termakan dengan omong kosong Anwar Ibrahim melalui slogan "Mahkamah Rakyat", "Kuasa Rakyat" dan sebagainya. Semua lapisan rakyat ditipu oleh Anwar Ibrahim. Malah, semua orang tidak tahu hakikat sebenar mengapa Sultan Perak tidak mahu menerima usul bagi membubarkan DUN Perak sebelum ini.


Mari kita sama-sama bertanya kepada diri kita terlebih dahulu, sebelum kita pergi lebih jauh dalam isu ini. Andaikan jika pilihanraya diadakan semula di negeri Perak, parti manakah yang akan menang? Saya fikir semua orang akan tahu jawapannya, baik orang UMNO mahupun orang PAS. Jawapannya mudah, yang menang nanti ialah - PAS, PKR dan DAP, malah, sudah semestinya ADUN DAP yang akan lebih banyak memenangi kawasan yang ditandingi, sekaligus bakal menguasai barisan ADUN Pakatan Rakyat. Akhirnya, Exco dan Kerajaan Perak akan tetap menjadi seperti asalnya - yakni dikuasai oleh kuasa manoriti, kerana semata-mata orang Melayu berpecah kepada dua pasukan. Dalam hal ini, yang untung hanyalah DAP. DAP mengambil kesempatan atas segala kepincangan yang sedang melanda orang-orang Melayu di Perak. Sultan tahu semua ini dan kita semua juga tahu akan hal tersebut dengan perkiraan yang sangat mudah.


Sultan Perak tidak suka kepada lagak dan cara DAP menunjukkan taringnya sepanjang mereka menguasai barisan Exco Negri Perak yang lalu. DAP bukan kuat sangat, tetapi pandai mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Sultan Perak memahami bahawa cara pemerintahan negeri Perak semasa berada di bawah Nizar - tidak menunjukkan keadilan. Bagaimana boleh adil jika penduduk Perak hampir 60 peratus terdiri daripada orang-orang Melayu, tetapi Exco Kerajaan Negerinya lebih banyak didominasi oleh Exco dari parti DAP, ia tidak melambangkan komposisi sebenar rakyat Perak. Hal ini sama sekali tidak menyenangkan hati baginda Sultan Perak dan rakyatnya sekali.



Hal ini bukan bermakna Sultan Perak membenci kaum Cina, sebaliknya Sultan mahukan keadilan berasaskan kepada hakikat sebenar komposisi kaum di negeri tersebut. Selagi PAS, PKR dan DAP tidak memahami aspirasi tersebut, maka mengadakan pilihanraya semula di Perak hanyalah sia-sia. Tidak akan ada penyelesaian muktamad. Sekalipun PR menang semula di Perak, tetapi jika Sultan Perak tidak perkenan untuk melantik MBnya dalam kalangan PR, maka konflik akan terus berlarutan sampai bila-bila. Dengan kata lain, Sultan Perak menginginkan Kerajaan baginda dikuasai oleh ADUN yang menunjukkan komposisi rakyat Perak yang sebenar, bersesuaian dengan penduduknya yang kebanyakan terdiri daripada kaum Melayu, malah ADUNnya juga lebih ramai dalam kalangan bangsa Melayu berbanding dengan ADUN bangsa lain. Sultan Perak, saya percaya tidak berkira sangat soal PAS atau UMNO yang menang, yang Sultan Perak pentingkan ialah Exco dan Kerajaan Perak haruslah majoritinya dikuasai oleh orang-orang Melayu, bersesuaian dengan komposisi kaum di negeri Perak, itu sahaja. Tidak kiralah dari PAS mahupun UMNO - yang penting ia bersesuaian dengan jumlah DUN yang dimenangi oleh wakil-wakil Melayu (jika ditambah DUN PAS dan UMNO - maka wakil Melayu lebih ramai menguasai DUN Perak berbanding dengan kaum lain).



Jadi, apabila diadakan semula pilihanraya di DUN Perak, akhirnya DAP juga yang akan menerajui pentadbiran dan menguasai keanggotaan Exco Kerajaan Negeri Perak seperti mana asalnya sebelum ini. Dan kita semua tahu bahawa Sultan Perak tidak suka dengan cara pentabdiran ala-DAP yang terang-terangan seperti mahu menguasai negeri tersebut. Sekali pun DUN Perak dibubarkan, dan keputusan rakyat akan diperolehi, maka apakah kita berfikir Sultan Perak akan berpuas hati?



Sebaliknya, saya beranggapan selepas PR menang semula di Perak, krisis berikutnya yang akan berlaku adalah antara kerajaan Perak dengan Sultannya pula - kerana kita semua yakin bahawa Sultan Perak tidak senang melihat tindak-tanduk DAP dalam menentukan banyak dasar pentadbiran di negeri baginda (pada ketika itu, saya sangat percaya Anwar pasti sekali lagi akan menunduh kononnya kerajaan BN mempengaruhi Sultan bagi membenci dan mencampuri urusan Kerajaan Perak yang baru mendapat mandat itu). Hakikatnya Sultan Perak tidak suka semua itu.


Jadi, PAS dan Nizar haruslah segera memahami hati nurani Sultan Perak. Sultan Perak pada hemat saya tidak berapa suka cara Exco-Exco DAP yang begitu banyak menentukan hala tuju negerinya. Sultan tidak pekenan semua itu. Tak akan hal sekecil ini pun PAS, PKR dan DAP masih nak meminta orang lain perjelaskan kepada mereka. Oleh sebab itu, selagi PAS dan Anwar berdegil dalam memahami isu ini dengan ikhlas, saya percaya krisis di Perak ini tidak akan selesai sampai bila-bila. Dan apakah ini yang Anwar Ibrahim mahukan selama ini, krisis, krisis dan krisis? Malah, lebih jauh daripada itu, apakah kita semua berfikir, bahawa andaikata PR menang dan menguasai Perak semula kelak, maka Sultan Perak akan redho dan merestuinya? dan adakah Sultan Perak akan berdiam diri melihat negerinya dikucar-kacirkan oleh parti pembangkang, khususnya DAP? Sudah! hentikan permainan politik bodoh Anwar Ibrahim ini. Jika benar PAS, PKR dan DAP mahu menyelesaikan kemelut politik di Perak dan menginginkan DUN Perak dibubarkan, maka sambut syarat saya ini :


1. Jika DUN Perak dibubarkan dan PR menang sekali lagi, pastikan Exco Kanan mesti milik orang Melayu dan jangan lantik Exco dalam kalangan ADUN DAP. Setuju?

2. DAP mesti berjanji kepada Sultan Perak bahawa mereka tidak akan meletakkan calon-calon Melayu sebagai wakil parti mereka di mana-mana kawasan sekali pun, agar DAP tidak menjadikan wakil tersebut sebagai boneka dan menjaga kepentingan sempit mereka.

3. DAP sama sekali tidak boleh meletakkan calon mereka yang bersifat ekstrim dan ultra kaum Cina, hal ini penting agar tindak-tanduknya nanti tidak menyinggung hati Sultan Perak.

4. PAS pula mesti menerima ADUN UMNO yang menang bagi mencukupi barisan Exconya jika ADUN mereka tidak mencukupi bagi menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri Perak.

5. Semua usul/cadangan yang melibatkan kepentingan orang-orang Melayu dan Islam harus dipersembahkan terlebih dahulu kepada Sultan Perak sebelum ia dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Jangan pandai-pandai kasi tanah hak milik sampai 999 tahun, itu kerja bodoh.

6. PAS dan UMNO wajib bersatu apabila Sultan Perak mahu mereka berbuat sedemikian. Tiada dolak-dalik dalam ketaatan kepada Sultan Perak yang juga merupakan Ketua Agama Negeri. Ia wajib bukan harus. Hal ini sangat jelas disyariatkan di dalam al-Quran, mana-mana ADUN PAS atau UMNO yang engkar dengan titah Sultan Perak agar bersatu, maka sumbat sahaja di dalam penjara. Jika di zaman Khalifah Abu Bakar dan Umar, mana-mana individu yang tidak taat kepada perintah ulul amri mereka ini boleh dihukum pancung sahaja. Mana-mana individu yang masih tetap engkar dengan Sultan Perak agar bersatu-padu walaupun sudah diperjelaskan oleh Mufti, tetapi masih berdegil, maka saya syorkan mereka ini dibuang negeri sahaja.

Inilah beberapa perkara yang sempat saya fikirkan berkenaan krisis di Perak. Dan jika benar PR ikhlas mahu menyelesaikannya , maka inilah tanda harga tanggungjawab yang mesti mereka bayar atas kerjasama yang telah mereka lakukan dengan DAP selama ini . Wallahualam.

May 16, 2009

Nizar 2009 : Ketidakpastian Dalam Prinsip


NIZAR 2009
Ketidakpastian Dalam Prinsip



MANADO, Sulawesi Utara 15 Mei - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak harus dipersalahkan berhubung krisis politik di Perak dan baginda juga bukan punca kemelut politik di negeri itu. Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Sultan Azlan memutuskan pelantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar setelah mengambil kira Barisan Nasional (BN) negeri itu memperoleh majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Keputusan itu, kata Perdana Menteri, dibuat selepas menilai surat perakuan majoriti anggota DUN yang menyatakan sokongan kepada BN. ''Mengikut sistem demokrasi di negara ini, rakyat memilih wakil rakyat dan sultan di negeri-negeri akan melantik calon yang mewakili parti yang mendapat majoriti dalam DUN untuk menjadi Menteri Besar,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang, di sini hari ini.


Najib mengulas kritikan-kritikan pembangkang yang menyalahkan Sultan Perak berikutan krisis politik di negeri itu serta menuduh baginda menjadi punca kepada kemelut politik di Perak yang kini sudah berlarutan lebih tiga bulan. Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak bahawa Sultan Azlan menggunakan prosedur yang sama melantik Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, selepas pakatan pembangkang memenangi majoriti kerusi pada pilihan raya umum 2008. ''Jadi jangan salahkan Tuanku. Baginda (Sultan Perak) menggunakan kaedah dan prinsip yang sama ketika melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru dan tindakan Tuanku (Sultan Perak) itu tidak boleh dianggap melanggar Perlembagaan,'' katanya.


Beliau berkata, ketika pakatan pembangkang menang majoriti kerusi DUN Perak selepas pilihan raya umum lalu, ia pun bukanlah gabungan parti yang berdaftar. Atas kedudukan itu, sekiranya Sultan Perak hendak melantik semula Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sebagai Menteri Besar, beliau boleh berbuat demikian kerana BN adalah parti tunggal berdaftar yang mendapat majoriti kerusi di DUN Perak pada masa itu. '' Tetapi atas semangat demokrasi berasaskan ketetapan yang dibuat oleh wakil rakyat daripada tiga parti pembangkang di negeri itu (Perak), Tuanku sebaliknya mendapatkan surat perakuan mereka dan melantik Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar," katanya.


Perdana Menteri juga menegaskan pelantikan Zambry melalui proses yang selaras dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak serta sistem demokrasi di negara ini. ''Yang menjadi masalah, dia (pembangkang) tidak terima dan menyusahkan proses ini berjalan, seperti yang mereka lakukan di DUN Perak sekarang. Siapa suruh gantung Menteri Besar dan Exco BN daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri Perak. ''Ini bertentangan dengan semangat demokrasi berparlimen," katanya. Perdana Menteri berkata, tindakan sedemikian juga boleh diumpamakan seperti BN yang mempunyai majoriti kerusi di Parlimen bertindak menggantung 20 anggota Parlimen pembangkang jika BN mahu. '' Masuk akal ke dalam sistem demokrasi, bila sesebuah parti mempunyai majoriti, Speaker boleh gantung enam anggota parti itu. Jika begitulah keadaannya, kita (BN) pun boleh gantung enam orang anggota mereka (pembangkang) di Parlimen," tambah beliau.


Ulasan Saya : Daripada kenyatan Datuk Seri Najib di atas, terbukti bahawa Sultan Perak sebenarnya tidak bersalah, malah sangat jelas bahawa jika baginda tidak mahu melantik Nizar, maka Tajol Rosli akan kekal sebagai Menteri Besar Perak. Tetapi, bagi memenuhi aspirasi demokrasi, maka Sultan Azlan mendengar nasihat Mufti Perak, agar dilantik Nizar dengan alasan beliau seorang yang berilmu pengetahuan dan mempunyai ilmu agama yang baik. Saya mempunyai beberapa cadangan bagaimana penyelesaian kes di Perak dapat diselesaikan tanpa pembubaran DUN antaranya :


1. PAS dan UMNO mesti bersatu - Demi Islam dan bangsa Melayu. Ikut sahaja persetujuan awal antara Tuan Guru Datuk Seri Harussani (wakil UMNO/BN), Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang pada asalnya bersetuju BN dan PAS membentuk kerajaan negeri Perak dengan ADUN PAS sebagai Menteri Besar Perak serta semua Exconya terdiri daripada kalangan ADUN PAS sahaja. Inilah janji BN dan UMNO - mengapa susah sangat untuk bersetuju? Dan mengapa PAS mesti bekerjasama dengan DAP juga. UMNO sudah sanggup menyerahkan segala-galanya untuk PAS memerintah Perak secara total, tetapi mengapa mesti mereka libatkan DAP juga? Kita harus takutkan Allah daripada DAP. Namun demikian, menurut Tuan Guru Datuk Seri Harussani, yang keras kepala dalam isu ini ialah Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Perak. Beliau bertegas menuduh UMNO lebih zalim daripada DAP, maka sebab itulah beliau tidak mahu bekerjasama dengan UMNO. Alasan tersebut sama sekali tidak dapat diterima oleh Tuan Guru Harussani - sedangkan tanpa Ahmad Awang sedar, beliau sebenarnya telah menentang keputusan Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi yang semakin lunak dengan cadangan dan usul daripada Tuan Guru Harussani, agar UMNO dan PAS bersatu di Perak. Akhirnya, kesatuan dan perdamaian yang hampir berlaku telah dirosakkan oleh Ahmad Awang sendiri. Saya tidak nampak, mengapa kita harus membenci untuk umat Islam bersatu dan berpadu. Cara penyelesaian krisis politik di Perak hanyalah melalui umat Islam (PAS dan UMNO) bersatu kembali.


2. Tiga ADUN yang berstatus bebas itu harus segera menyertai BN, sekaligus mengukuhkan pakatan BN itu sendiri. Hanya BN sahaja parti yang berdaftar atas nama satu parti. PKR, PAS dan DAP tidak berdaftar atas nama Pakatan Rakyat. Ia tidak sekukuh BN. Maka, saya syorkan ADUN yang bebas itu segera isytihar masuk BN.


3. Semua ADUN harus segera mengadap Sultan Perak - dengar dari mulut baginda sendiri, apakah yang sebenarnya terbuku di dalam hatinya selama ini. Semua harus taat dengan keputusan baginda kelak. Kita harus faham, bahawa wajib bagi mana-mana rakyat negeri Perak untuk taat kepada titah sultannya, selagi tidak bercanggah dengan syariat. Semua ADUN harus bersetuju dengan apa-apa keputusan Sultan Perak nanti. Jika Sultan mahu bubarkan DUN, kita sama-sama taat, dan jika baginda mahu Nizar berundur, maka Nizar juga harus taat. Lagi pun Nizar sudah kehilangan sokongan majoriti daripada ADUN - maka Nizar selayaknya akur dengan keputusan tersebut dan mendengar titah sultan agar beliau mengundur diri daripada terus menjadi MB Perak. Jika kita semua mengetahui akan konsep taat yang digariskan oleh Islam, isu di Perak tidak akan menjadi terlalu kompleks seperti yang berlaku ketika ini. Mohon jasa baik tok-tok guru dan ustaz-ustaz PAS menasihatkan Nizar, agar kembali ke panggal jalan dan seterusnya mengikuti manhaj as-salaf as-soleh dalam ketaatan kepada pemerintah dan sultan.Wallahualam.


Saya mengingatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian. Sesungguhnya kita mempunyai ilmu dalam soal kewajiban untuk taat kepada pemerintah/sultan. Maka, sama-sama kita amalkannya. Untuk Nizar, saya sekali lagi menasihati saudara, agar gunakan ilmu agama yang saudara miliki itu demi kepentingan agama dan bangsa, serta bukan untuk kepentingan DAP.

May 15, 2009

Azli Shukri Dalam Sejarah : Belajar Daripada Mereka Yang Berjaya, Siri 1


IMPIAN KENCANA


Oleh Muhammad Azli Shukri


(Rencana ini sudah tersiar di dalam Dewan Ekonomi, Januari 2008)



Lelaki ini kurang menyukai publisiti, tidak banyak bercakap dan lebih gemar berdiam diri. Anak ketiga kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Malaysia ini cukup mesra sewaktu menyambut kehadiran sidang editor Dewan Ekonomi di pejabatnya baru-baru ini. Kelewatan beliau hadir untuk temu janjinya dengan kami, telah disambut dengan ucapan mohon maaf dan rendah diri. Gaya percakapannya tidak tumpah seperti bapanya, sekali gus mengingatkan kami pada era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu menerajui Malaysia selama 22 tahun. Jelas sekali, karisma dan ketokohan bapanya turut diwarisi Datuk Mokhzani Mahathir 47 tahun, Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum Berhad (Kencana) yang kini dilihat oleh pemerhati ekonomi sebagai salah seorang tokoh korporat yang disegani di peringkat antarabangsa. Dewan Ekonomi keluaran Ogos 2007 tidak terkecuali meletakkan Datuk Mokhzani dalam senarai 50 Ahli Korporat Terbilang Malaysia.



Kerancakan industri petroleum dunia yang semakin berkembang ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia yang berterusan, telah membawa keuntungan yang cukup lumayan kepada syarikat yang berteraskan gas dan petroleum. Hal ini tidak terkecuali dinikmati Kencana Petroleum yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada akhir tahun 2006. Kencana Petroleum, yang ditubuhkan lebih daripada 25 tahun lalu telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam mengharungi industri petroleum domestik.



Kencana Petroleum merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan kejuruteraan dan fabrikasi industri minyak dan gas di peringkat tempatan dan antarabangsa, dengan memberi tumpuan khusus dalam perkhidmatan kejuruteraan peralatan pengeluaran fabrikasi, kejuruteraan modul fabrikasi, kejuruteraan sistem proses skid fabrikasi, kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan perkhidmatan pentauliahan (EPCC), perkhidmatan reka bentuk, perkhidmatan sokongan bekalan dan pengkhususan fabrikasi.



Melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kencana Petroleum ini, asas yang membangunkan syarikat tersebut ialah tahap kepakarannya yang lebih banyak menjurus ke arah penyelesaian permasalahan struktur kejuruteraan fabrikasi yang sangat kompleks dan rumit, dalam pada masa yang sama tidak berkompromi dengan aspek keselamatan dan kualiti yang telah ditetapkan. Kecemerlangan Kencana Petroleum menyediakan perkhidmatan terbaik dalam kejuruteraan dan fabrikasi petroleum telah menarik banyak syarikat asing untuk menjalinkan kerjasama yang berterus dengan mereka. Dengan kata lain, Kencana Petroleum menawarkan perkhidmatan yang diperlukan oleh industri petroleum semasa. Hal ini termasuklah kepakaran kejuruteraan binaan dalam industri petroleum, kepakaran dalam hal-hal yang melibatkan reka bentuk platform cari gali dan perkhidmatan logistik yang melibatkan tapak fabrikasi di darat dengan platform cari gali di lautan.



Pada Oktober tahun lalu, anak syarikat Kencana Petroleum, Kencana Petroleum Ventures Sdn. Bhd. telah meluaskan operasinya melalui perjanjian sefahaman dengan Mermaid Drilling (Singapura) Pte.Ltd bagi menubuhkan firma usaha sama, iaitu Mermaid Kencana Rig 1 Pte. Ltd dalam bidang penggerudian. Kencana Petroleum menguasai 60 peratus saham dalam syarikat usaha sama tersebut, sekali gus membuktikan pengiktirafan tidak langsung syarikat asing terhadap kemampuan sebenar Kencana Petroleum dalam industri petroleum.



Sebelum itu pada tahun 2006, Kencana Petroleum mengaut keuntungan selepas cukai sebanyak RM27 juta dan keuntungannya meningkat sekali ganda setahun kemudian dengan mencecah RM57.16 juta. Kejayaan yang memberangsangkan ini, sudah cukup meyakinkan para pemegang saham Kencana Petroleum terhadap prestasi dan kekukuhan kewangan syarikat tersebut untuk masa akan datang.



“Alhamdulillah, kita berjaya mengembangkan syarikat daripada status Sdn. Bhd. kepada Berhad dan disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada Disember tahun 2006. Nilai saham syarikat juga telah melonjak dari mula dibuka sekitar 41 sen menjadi 81 sen, dan kini mencecah RM2.40 sen seunit. Ini merupakan kejayaan yang cukup penting untuk kami.” Jelas Mokhzani seawal pertemuannya dengan Dewan Ekonomi. Mokhzani yang merupakan graduan dari Universiti Tulsa, Oklahoma di Jepun dalam jurusan Sains Kejuruteraan Petroleum turut merupakan seorang jurutera petroleum yang bertauliah. Beliau berkhidmat dengan Sarawak Shell Berhad dan bertugas di pelantar laut Miri dan Bintulu pada tahun 1987 hingga 1989 sebelum terlibat dalam industri kesihatan dan kejuruteraan petroleum di Kuala Lumpur melalui pelaburannya dalam Tongkah Holdings dan Pantai Holdings sekitar tahun 1990 hingga 2000 .



Mengalami naik turun dalam dunia korporat sebelum menyertai Kencana Petroleum pada tahun 2001. Kegagalan beliau untuk terus mengekalkan pegangan 12.6 peratus saham dalam Tongkah Holdings dan 32.9 peratus dalam Pantai Holdings sewaktu krisis kewangan pada tahun 1997 sama sekali tidak “melayapkannya” dalam arus dunia korporat tempatan. Dalam keadaan krisis kewangan yang semakin meruncing itu, Mokhzani membuat keputusan meletakkan jawatannya sebagai Penolong Bendahari Pemuda UMNO Malaysia dengan alasan untuk menumpukan perhatian terhadap pemulihan perniagaannya yang terjejas akibat krisis kewangan tersebut.



Nasib Mokhzani agak baik, apabila menemui Chong Hin Loon, pengasas Kencana Petroleum dan sekarang merupakan penasihat dan juga Timbalan Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum Berhad. Pada ketika itu, Chong Hin Loon sedang berusaha mencari rakan kongsi dalam kalangan bumiputera. Pertemuan dengan Mokhzani yang sememangnya arif dalam hal ehwal kejuruteraan petroleum benar-benar membawa tuah kepada Kencana Petroleum. Sejak Mokhzani menyertai Kencana Petroleum pada tahun 2001, syarikat tersebut semakin berkembang dan memenuhi aspirasi penubuhannya. Impian Kencana Petroleum untuk menjana keuntungan selepas cukai melebihi daripada RM70 juta bagi tahun kewangan berakhir Julai 2008 kelak dijangka akan tercapai. Hal ini menurut Mokhzani, mampu direalisasikan kerana beberapa projek yang sedang dijalankan bakal memberi pulangan yang besar sehingga tahun 2009, selain disokong oleh harga minyak yang terus meningkat.



Kencana Petroleum hanya menjana perolehan tahunan sekitar 10 peratus daripada Petronas kerana industri petroleum di negara ini sama sekali tidak dapat lari daripada Akta Petroleum 1974, yang mengikat semua perniagaan petroleum dan gas di negara ini dengan Petronas. Lantaran itu, untuk meningkatkan pendapatan syarikat, Kencana Petroleum meluaskan operasi perniagaannya ke luar negara termasuk di Sudan, India, New Zealand, Australia dan Thailand. Setakat ini, Kencana Petroleum sedang menambah baik loji pengeluarannya di Lumut agar dapat menampung operasi dan permintaan domestik, di samping mengekalkan daya saingnya di peringkat antarabangsa.



Dengan prestasi kewangan syarikat yang baik dan rekod perkhidmatan yang cemerlang, maka tidak menghairankan, jika keyakinan yang ditunjukkan oleh Mokhzani sewaktu sidang media setelah syarikat tersebut dianugerahkan kontrak bernilai RM240 juta bagi membina projek Pusat Petroleum Asia di Tanjung Bin, Johor pada tahun lalu, dilahirkan dengan nada yang penuh semangat, katanya “Dengan sasaran pertumbuhan pendapatan dan keuntungan sekitar dua angka pada tahun ini (2007) dan tahun hadapan (2008), kami yakin mampu melepasi paras RM1.4 bilion dalam masa beberapa tahun lagi, setelah mencatat tempahan semasa sebanyak RM1.2 bilion. Selepas melepasi paras kontrak tersebut, kami akan mula melabur dalam perniagaan lain di peringkat global, tetapi tetap berkaitan dengan industri minyak dan gas.”



Kekuatan Kencana Petroleum sebenarnya amat jelas melalui kebijaksanaan barisan pengarah yang mengemudi syarikat tersebut, melalui penawaran khidmat yang komprehensif dalam penyelesaian masalah antara integrasi kejuruteraan dengan kelengkapan fabrikasi secara menyeluruh yang melibatkan pentadbiran, projek pengurusan, logistik dan pelbagai aspek kualiti. Selain daripada itu, ketepatan masa dalam menyiapkan sesuatu projek yang diberikan, secara tidak langsung telah menambahkan lagi kepercayaan syarikat lain yang ingin bekerjasama dengan Kencana Petroleum. Hal inilah yang menjadi kelebihan dalam perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kencana Petroleum berbandingan dengan syarikat-syarikat petroleum swasta yang lain.



Bersesuaian dengan moto “Menjadi Peneraju dalam Penyediaan Perkhidmatan dan Penyelesaian Masalah dalam Industri Petroleum”, Kencana Petroleum semakin hampir membuktikan bahawa mereka sememangnya mampu untuk menjadi syarikat yang disegani dalam industri petroleum negara. Peningkatan pendapatan dan keuntungan Kencana Petroleum sejak tahun 2003 menjelaskan hakikat tersebut. Pendapatan Kencana Petroleum pada tahun 2003 mencecah RM74 juta, setahun kemudian meningkat menjadi RM181 juta. Manakala pada tahun 2005 peroleh pendapatan Kencana Petroleum mencecah hampir sekali ganda daripada tahun sebelumnya dengan perolehan RM271 juta, dan terus meningkat kepada RM437 juta pada tahun 2006 dan RM824 juta pada tahun 2007.



Selain pendapatan Kencana Petroleum yang meningkat saban tahun, tidak terkecuali keuntungan selepas cukainya juga turut meningkat. Pada tahun 2003, keuntungan selepas cukai Kencana Petroleum hanya sekitar RM6 juta. Namun demikian, jumlah tersebut meningkat melebihi sekali ganda pada tahun berikutnya dengan mencecah RM18 juta. Manakala pada tahun 2005, keuntungannya meningkat menjadi RM21 juta dan berterus sehingga tahun 2006 dengan mencatat RM27 juta dan RM57 juta pada tahun 2007. Jelas, keuntungan yang berterusan ini melambangkan impian Kencana Petroleum yang sangat besar untuk menjadi pemain utama dalam industri petroleum negara pada masa akan datang.



Gambar : Penulis Bersama Datuk Mokhzani Mahathir di Pejabatnya.

May 14, 2009

PAS 2009 : Kelesuan Pada Garis Masa


PAS 2009
Kelesuan Pada Garis Masa


Saya agak sedih sedikit dengan PAS, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan saya hilang hormat kepada parti yang selama ini melaungkan kepimpinan ulama dan Islam. Perkara tersebut ialah :


1. Sudah mula wujud politik wang dalam pemilihan kepimpinan PAS pada kali ini. Hal ini diakui oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mohamed Daud al-Iraqi. Memberi pelbagai hadiah seperti kain, baju dan lain-lain merupakan ciri politik wang. Sebuah parti Islam tidak seharusnya mempunyai ahli yang mengamalkan politik wang. Yang jelas, ini adalah kesalahan PAS sendiri, tidak perlu menyalahkan orang lain. PAS pada hakikatnya lebih banyak menumpukan kepada politik berbanding dengan urusan dakwah. PAS lupa bahawa tanggungjawab mereka yang sebenarnya adalah berdakwa dan bukan merebut kuasa semata-mata. Berceramah di surau-surau hanyalah sebahagian kecil daripada kerja-kerja dakwah, sebaliknya, mendidik ahli-ahli PAS agar mereka menjauhi maksiat dan dosa adalah perkara pokok. Ustaz-ustaz PAS lebih berseronok mengajar tafsir dan hadis di masjid-masjid, berbanding dengan berdakwah di pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengIslamkan masyarakat asli di sana. Ini bukan tangungjawab UMNO atau kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab PAS yang selama ini begitu kuat mendakwa bahawa UMNO tidak Islamik. Apabila PAS sudah dihinggapi dengan politik wang, jangan salah orang lain atau Anwar Ibrahim, tetapi salahkan diri sendiri, kerana tidak ikhlas dalam perjuangan.


2. Nik Aziz menolak konsep negara perpaduan dengan alasan sudah serik ditipu oleh BN/UMNO. Malah, Nik Aziz menambah, jika UMNO tukar dasar kepada Islam, barulah PAS boleh menerima UMNO kembali. Ini merupakan cakap orang yang tidak ikhlas. DAP dan PKR tidak ada dasar Islam pun, tetapi bagaimana PAS boleh percaya dan yakin kepada mereka? DAP menentang negara Islam dan PKR pula tiada pendirian yang jelas berhubung penubuhan negara Islam, jadi bagaimana PAS boleh bekerjasama dengan mereka? Sehingga sekarang tiada satu pun ahli atau ulama PAS berupaya menjawab persoalan ini. Mengapa dengan DAP mereka boleh tidur sebantal dan mengapa dengan UMNO pula tidak boleh? Nik Aziz turut berkata, jika UMNO mahu PAS bersama mereka, maka berikan kementerian yang penting kepada PAS, seperti Kementerian Kewangan dan Pelajaran. Soalnya, apakah jika PKR dan DAP memerintah negara ini, maka kementerian tersebut akan diberikan kepada PAS juga? atau akan berlaku lebih banyak konflik daripada penyelesaian? PAS mempunyai masalah dalam memahami apa itu "perjuangan Islam".



Ulama-ulama PAS percaya, Islam hanya akan kembali gemilang jika mereka memperoleh kuasa terlebih dahulu, khususnya di Malaysia. Itu salah, fahaman seperti ini terpesong jauh daripada kebenaran. PAS tidak perlu menjadi raja atau Perdana Menteri bagi membuktikan Islam itu syumul, sebaliknya PAS harus menjadi badan dakwah dan ahli-ahlinya harus menjadi model kepada masyarakat dari aspek akhlak dan kejayaan dalam bidang perniagaan. Seperti mana yang pernah dilakukan oleh Al-Arqam pada suatu ketika dahulu. Inilah yang PAS tiada. Yakni, roh dakwah dan akhlak. PAS tidak berupaya mendidik ahli-ahlinya yang hampir satu juta itu, agar menjauhi daripada perbuatan merokok, yang jelas haram di sisi Islam, dan jika soal itu pun PAS tidak berupaya untuk melakukannya, maka bagaimanakah PAS akan berjaya mendidik masyarakat Malaysia secara keseluruhannya? PAS sama sekali tidak akan berjaya menjadi sebuah pertubuhan yang bersifat tajdid seperti mana pertubuhan Ikhwan Muslimin, jika sampai sekarang ahli-ahlinya tidak dididik dengan memahami akhlak Islam yang sebenar dan hanya mengejar kuasa semata-mata. Nik Aziz dan ahli-ahli PAS harus sedar akan semua hal ini. Itu pun jika mereka ikhlas.



3. Jika Nik Aziz tidak suka konsep negara perpaduan, maka Nik Aziz harus dinasihatkan dan ditegur oleh ahli-ahlinya yang ikhlas. Kita hanya memerlukan ulama yang ikhlas berjuang untuk kesatuan dan perpaduan umat Islam. PAS harus faham, Islam hanya akan kuat apabila penganutnya ikhlas dan jujur memperjuangkan Islam. PAS seakan-akan sudah hilang matlamat perjuangannya. PAS kini semakin lesu dalam mempertahakan idealismenya. Mereka menjadi lesu lantaran sudah begitu lama tenggelam dalam sejarah kegemilangan Islam yang lampau. PAS sudah lupa, kuasa bukanlah segala-galanya. Kita tidak boleh lagi terus-menerus hidup dalam bayangan kejayaan Islam pada zaman dahulu, kita harus segera berubah dan memikirkan cara baru untuk Islam terus maju dan berjaya mengalahkan musuh-musuhnya.


4. Nik Aziz juga harus faham, bahawa cara beliau berfikir mungkin sudah jauh ketinggalan. Orang Islam di Malaysia pada ketika ini memerlukan kedamaian dan kesatuan. Islam semakin lemah kerana umat Islam sendiri bertelagah. Dengan orang kafir kita boleh percaya, tetapi dengan orang Islam sendiri kita caci dan maki mereka. Dan bagi penyokong PAS, mereka harus faham, Nik Aziz semakin tua dan bukan semakin muda. Kita harus mengizinkannya untuk bersara dan beri kepercayaan kepada orang muda pula. Mungkin golongan muda ada fikiran dan cara mereka sendiri bagi menangani polimik politik Malaysia yang semakin mencabar pada masa kini. Mungkin juga PAS harus memperkenalkan Mursyidul Amnya yang lebih muda dan memenuhi kehendak dan selera ulama-ulama muda. Wallahualam.