Tetamu Kehormat...

April 29, 2009

Di Sini Kejayaan Adalah Dosa


DI SINI
KEJAYAAN ADALAH DOSA



Maaf, entri saya pada kali ini adalah khusus untuk seseorang yang sangat saya kagum, baik dari segi mutu kerja, mahupun dari segi keutuhan prinsip hidup yang tidak boleh dijual beli.


Mendengar khabar bahawa Puan Lee Sai Fa (Selina Lee) isteri kepada Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin (Sasterawan berbangsa Cina terkenal tanah air) akan bersara secara pilihan pada esok hari - sangat menggoncang hati nurani saya. Mungkin orang diluar daripada Dewan Bahasa dan Pustaka tidak mengenali siapakah Puan Lee Sai Fa kepada DBP, mungkin masyarakat awam lebih mengenali suaminya berbanding beliau sendiri.


Beliau telah memilih untuk bersara awal, dan meninggalkan DBP yang dicintainya lebih awal daripada sepatutnya, - seluruh warga DBP yang ikhlas dan jujur akan tetap merasakan kehilangan seorang bangsa Cina yang begitu pakar dalam bahasa Melayu , di samping mengabdikan diri kepada perjuangan bahasa Melayu - malah beliau yang juga merupakan salah seorang Munshi Dewan yang berkaliber dan sukar dicari ganti. Namun demikian, seperti sikap manusia biasa - semasa batang tubuh kita masih wujud di DBP tiada sesiapa pun yang peduli dan bersyukur, sebaliknya apabila kita mahu bersara, barulah kehilangan dirasai.



Puan Lee, atau Kak Selina, merupakan nama yang besar di DBP - diambil masuk bekerja di DBP atas kehendak orang atasan, daripada seorang guru biasa sehingga menjadi Pegawai Perancang Bahasa dan akhirnya mengemudi Jurnal Bahasa dan Malay Literature. Selama tujuh tahun berkhidmat di DBP - pelbagai ragam manusia dilihat dan dirakamnya - sesuatu yang lumrah dalam kehidupan ini. Namun begitu, rasa kecewa lebih banyak dirasai daripada rasa bahagia, khususnya sejak beberapa tahun belakangan ini.


Puan Lee - seorang yang pendiam, tetapi bisa kata-katanya, seorang yang kuat berpegang kepada moraliti dan amanah. Tidak mudah sesiapa pun yang mempengaruhinya, atau meracuni fikirannya. Seorang yang bebas dalam memberi pandangan dan buah fikiran, maka mungkin kerana itu jugalah, beliau kurang disenangi oleh "orang tertentu" di bahagiannya. Saya juga tidak terlepas daripada kritikan bisanya sebelum ini, maka adalah jelas beliau bercakap dari suara hati dan naluri sendiri, serta bukan dipengaruhi. Inilah pejuang bahasa yang harus dipuji dan bukan untuk dijual-beli.


Memang susah untuk bercakap perkara yang benar, manusia lebih suka mendengar cerita bohong dan kisah hantu di dalam Mastika daripada menerima kritikan membina, untuk bangsa dan bahasa tercinta. Golongan yang bercakap daripada hati nuraninya sendiri dan cuba berlaku jujur, akan segera dituduh sebagai pemecah belah kesatuan dan melaga-lagakan orang tertentu, sebaliknya, golongan yang hipokrit dan menikam kawan dari arah belakang akan diangkat dan dipuja sebagai editor yang terbaik.


Manusia jarang bersyukur, begitulah di DBP - cubalah tanya kepada Puan Lee, mengapa beliau bertekad membuat pilihan untuk bersara lebih awal, tanyalah hati nuraninya, dan jangan tuduh dengan mendakwa bahawa beliau dihasut untuk berbuat sedemikian. Lihatlah dengan mata hati dan bukan dengan menipu diri sendiri.


Dan fikir-fikirkanlah mengapa begitu ramai yang memilih untuk bersara lebih awal, tanyakan juga kepada En Razak Abu Bakar, bila pula beliau mahu bersara? Dan cubalah tanya kepadanya mengapa beliau mahu bersara dengan lebih awal? Tidak gembirakah bekerja dengan DBP? Atau kita kecewa dengan orang tertentu? Berapa ramai lagi yang mahu keluar daripada Bahagian M, dan soalnya mengapa mereka mahu keluar? Apakah yang sebenarnya tidak memuaskan hati mereka selama ini? Adakah wujud golongan yang akan bercakap dengan jujur dan benar? seperti mana jujurnya mereka bercakap di kedai bucu atau di kafe tingkat 5 DBP dan Dawama? Atau , segala yang diluahkan itu - hilang dan lenyap di tengah jalan menuju ke Mirama? Cuba tanya dan bertanya dengan jujur. Hentikan hipokrit diri sendiri. Bercakap berterus-terang dan bukan hanya berani bertutur dan mengherdik hanya di dalam Restoren Kancil semata-mata. Tiada sesiapa yang akan mendengar, segala ketidakpuashatian itu akan hanya tenggelam timbul dalam enaknya sambal bilis dan gulai tempoyak di Restoren Kacil atau di Jaya Jusco Taman Maluri.



Terlalu banyak yang hipokrit, bimbang jika bercakap secara jujur, akan dimaki-hamun pula nanti, mereka yang dulunya begitu berani mengangkat sepanduk untuk menegakkan kebenaran sehingga wajah tertera di dalam Harakah, kini hanya pandai mengangguk dan mengiya sahaja. Keberanian sudah hilang lantaran termakan hasutan. Padahalnya, golongan inilah yang dulunya sebegitu kuat meluahkan pelbagai ketidakpuashatian mereka terhadap pentadbiran dan pengurusan di Bahagian M.



Sama-sama kita berfikir, apakah yang sebenarnya kita mahu dalam kehidupan ini, mencari kebendaan sehingga menutup kebenaran, atau pun mencari keampunan dan menghancurkan kebatilan? Masihkah kita ingat lagi berkenaan pesanan, nasihat dan luahan yang telah diucapkan oleh arwah Penolong Editor Dewan Sastera yang sangat kita kasihi, Puan Rohaya Mohd Yussof sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dahulu? Masih ingat atau kita sengaja melupakannya. Berderai air mata kita mengalir, kononnya kita sudah insaf dan bertaubat - tetapi akhirnya? kita lebih suka menjadi hipokrit daripada bercakap perkara yang sebenar. Segala nasihat dan peringatan Puan Rohaya, semuanya menjadi habuk dan debu yang kita tiupkan bersama dari tingkat 20. Kita tidak melaga-lagakan sesiapan pun, kita hanya bercakap dari hal yang sebenar, dari hal yang hari-hari kita ucapkan dan kita mahu perkara yang selama tidak kita sukai akan segera diubah. Berkata jujurlah demi kepentingan Bahagian dan Dewan Bahasa dan Pustaka tercinta. Tiada maknanya jika kita berdegang-degang dan mengutuk dari arah belakang, tetapi akhirnya kita tewas dalam medan perjuangan yang sebenar. Saya malas untuk bercakap panjang. Nanti kononnya dituduh melaga-lagakan orang. Padahalnya, mereka yang berkata sedemikanlah yang selama ini melakukan perbuatannya melaga-laga orang lain.



Kepada Puan Lee, saya ucapkan selamat bersara, nasib kita berbeza, puan bertuah kerana dibentang pilihan sama ada mahu meneruskan perkhidmatan, ataupun sebaliknya. Semoga, puan lebih dihargai diluar sana. Sudah tiba masanya, kita melakukan sesuatu kerja dengan ikhlas dan bukan kerana takut dimarahi bos sendiri. Renung-renungkan coretan saya kali ini. Dan bagi mereka yang masih memendam rasa, fikirkan apa-apa yang telah kita ucapkan selama ini, apakah rasa tidak puas hati tuan-tuan dan puan-puan sekalian sudah berbaloi diluahkan selama ini? atau kita terus memendam rasa sehingga ke akhir hayat, jadikan teladan dengan apa-apa yang telah berlaku ke atas Puan Lee Sai Fa dan arwah Puan Rohaya, jadilah manusia yang jujur dan bukan hipokrit. Wallahualam. Selamat Bersara, Selamat Menyambut Hari Pekerja dan Salam Sejahtera.


Gambar : Puan Lee Sai Fa semasa berwajah jelita.

April 27, 2009

Daripada Azli Kepada Azli!


Realiti Telah Menjadi Fantasi
Daripada Azli Kepada Azli



Saya sering diingatkan bahawa kita harus menjaga sesebuah persahabatan dengan baik, dan kita juga harus menghargai persahabatan yang sedia ada. Apabila kita mempunyai kawan yang ikhlas untuk bersahabat dengan kita, maka sambutlah keikhlasan tersebut dengan seadanya. Dalam dunia yang penuh dengan penipuan, sahabat yang baik dan jujur adalah umpama emas yang datang dengan tiba-tiba, dan apabila ia hilang - maka mencari gantinya adalah umpama mencari barang yang hilang dalam gelapnya malam. Entri saya kali ini adalah entri yang saya tulis daripada hati saya sendiri, ditulis dengan penuh kerendahan diri, ditulis dengan penuh rasa jujur, lantaran itu tajuk entri saya kali ini agak pelik dan memelikkan.



Dengan judul "Daripada Azli Kepada Azli" ia merupakan sebuah manifestasi hati saya yang sudah lama terpendam dan terpadam - tentang apa yang saya faham dan alami, berkenaan kawan dan sahabat. Ceritanya tetap sama dengan semua orang yang mengalaminya, tentang kawan baik yang menolak kita dari arah belakang, tentang sahabat rapat yang menikam kita dengan tombak dari segenap arah, baik dari sisi, tepi dan belakang. Entri ini - seperti judulnya, merupakan tulisan yang saya luahkan sendiri, ditulis, dibaca dan dilafazkan hanya untuk diri saya sendiri, dan bukan untuk sesiapa pun. Lantaran itu, entri kali ini sangat jauh bezanya dengan semua entri saya sebelum ini. Ada masanya, kita mahu bersendiri - untuk diri sendiri, untuk mengenang dan menghayati tentang apa-apa yang telah kita lakukan dan orang lain lakukan kepada diri kita selama ini. Setiap daripada kita, akan tetap memiliki kelemahan dan kekuatan. Namun demikian, hati tidak pernah menipu, tetapi kita sering ditipu oleh perasaan kita sendiri. Perasaan jujur dan ikhlas - seringkali dibalas dengan racun dan tuba.



Tidak ada kepedihan yang lebih pedih daripada sikap belot dan "membunuh" sahabat baik sendiri. Tangan kita berlumuran dengan darah teman baik sendiri - dicerca dan "dibelasah" semahu mungkin di tengah-tengah meja mesyuarat. Bak tikaman keris Hang Tuah menusuk masuk ke jantung Hang Jebat - gugur sebuah persahabatan dibeli kesetiaan yang membuta-tuli, akhirnya ranap kota Melaka bersama para menteri. Begitulah cerita mengajar kita, bahawa persahabatan bisa menjadi mitos atau kekal ke akhir hayat. Sejarah telah merakamkan, tentang dosa dan noda dalam persahabatan, tentang memilih antara sumpah setia dengan nikmat dunia yang sementara, tentang kejujuran dalam hubungan atau mengejar mahkota idaman. Persahabatan tetap akan bersilih ganti, antara menjadi teman sejati dengan menjadi musuh sehingga mati - segalanya bercantum dalam erti persahabatan, memilih jalan untuk dibenci, atau dipuji - atau memilih jalan mati. Saya tidak bisa terus-menerus beretorik dengan bahasa yang memualkan - namun begitu, seperti yang saya ingatkan diawal penulisan ini, entri saya pada kali ini hanyalah untuk saya melayan perasaan, untuk saya curahkan apa-apa yang tersimpan dalam kota minda - agar kita bisa berterus-terang dan berkata jujur bahawa - kadangkala persahabatan mudah sahaja bertukar dalam sekelip mata - menjadi musuh yang paling kita benci.



Tiada nilai wang ringgit yang mampu kita bayar untuk sebuah persahabatan yang ikhlas dan jujur. Tetapi, jika nilai persahabatan boleh dijual beli, maka itu bukanlah persahabatan dalam erti kata yang sebenar. Dalam dunia yang penuh dengan dugaan dan fitnah, "persahabatan" sudah semacam barang dagangan komoditi - apabila ada sesuatu kepentingan, maka "tali persahabatan" akan terjalin, sebaliknya, apabila sesuatu "persahabatan" itu seakan-akan mengancam "periuk" nasi seseorang, maka putuskan sahaja, itu lebih selamat untuk menjaga perut sendiri. Mungkin ramai yang kurang faham, terdapat perbezaan antara maksud "bersahabat", "berkawan" dengan "berkenalan". Semua perkataan ini - ada maknanya yang tersendiri.



Tatkala kita menerima seseorang itu sebagai sahabat baik kita, kita sentiasa menginginkan agar dia memperoleh kebaikan, dan pada masa yang sama kita juga berharap agar dia sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat. Kita mengambil berat keadaannya, selalu menasihatnya tentang agama, dosa dan pahala, malah tidak kurang kita turut membantunya dalam serba-serbi kehidupan peribadinya. Seorang sahabat yang baik, adalah sahabat yang mengenang jasa dan pengorbanan sahabatnya yang lain. Dalam susah dan senang - mereka tetap akan sentiasa saling menyokong, dalam suka dan duka mereka tetap saling berteguran, dan dalam kegelisahan, mereka saling membantu. Itulah persahabatan, dan bukannya menikam dan menunjukkan permusuhan dengan kita dari arah belakang.



Salah satu kelemahan saya - adalah tidak tahu membezakan antara sahabat, kawan dan kenalan. Apabila kita menyayangi seseorang sahabat - kita mengharapkan agar sahabat baik kita itu , memperoleh sesuatu yang baik daripada hubungan yang telah dijalinkan, khususnya dari segi agama dan moral. Malah, Kita juga akan sentiasa menasihati sahabat baik kita itu, berkenaan hal yang baik-baik, demi kepentingan dan menjaga persahabatan yang sedia terjalin. Sahabat yang baik sudah pasti akan menasihat sahabatnya berkenaan solat, berkenaan penjagaan aurat, berkenaan dosa dan noda, berkenaan kewajiban memakai tudung kepala, dan berkenaan berkelakuan yang mencerminkan seorang muslimah yang baik.



Namun demikian, sebahagian persahabatan di Bahagian M, sewaktu saya bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka - adalah persahabatan yang boleh "dijual-beli". Jika hari ini, seseorang itu bisa menjadi sahabat yang sangat baik untuk kita, tetapi dengan tiba-tiba tidak mustahil keesokan harinya dia sanggup berubah, dengan menikam dada kita, baik dari arah belakang mahu pun dari arah hadapan, tanpa kita menyangka sedikit jua pun. Saya tidak tahu bagaimana keadaan seperti ini ada di tempat lain, tetapi pengalaman bekerja yang agak banyak saya miliki, menunjukkan bahawa persahabatan bagi sesetengah individu merupakan satu bentuk "perdagangan" bagi mencapai sesuatu maksud yang tersirat, sama ada mahu mengejar jawatan, atau mengejar status sebagai pekerja tetap, atau apa-apa sahaja alasan bagi mencapai hasrat, cita-cita mahupun hajat peribadi.



Hal yang sama pernah terjadi kepada Tun Mahathir, selang beberapa hari beliau meletakkan jawatannya sebagai PM, beliau telah kehilangan begitu ramai sahabat dan kawan, yang selama ini rapat dengannya. Jelaslah bahawa sahabat-sahabat lama Tun Mahathir sewaktu bersama-sama beliau ketika berada dalam kerajan dahulu, dengan tiba-tiba menjadi gusar serta gelisah jika "persahabatan" yang mereka jalinkan selama ini dengan Tun Mahathir tiba-tiba dapat dihidu oleh orang-orang Pak Lah, maka tidak mustahil, jawatan dan pangkat yang sedang mereka sandang bakal lenyap dan hilang serta-merta. Inilah yang saya maksudkan dengan nilai persahabatan yang boleh dijual beli dan didagangkan sebagai komoditi. Sewaktu diperlukan, kita ucap salam persahabatan, dan apabila tidak diperlukan lagi, kita akan menerima ucap selamat jalan.



Maka, jelaslah bahawa nilai "persahabatan" pada akhir zaman ini - lebih bercorak materialistik dan keduniaan, ia sudah tidak dilihat lagi sebagai satu bentuk hubungan sosial yang utuh bagi menjamin kelangsungan hidup manusia yang memerlukan nilai moral dan kasih sayang. Pada hari ini, jika seorang sahabat kita dibenci oleh bos kita sendiri, maka marilah kita bersama-sama membencinya, agar bos dengan jelas mengetahui, bahawa kita begitu taat setia dengannya (walaupun kita sebenarnya berpura-pura). Menurut golongan ini, persetankanlah nilai persahabatan dan kejujuran dalam berkawan. Jika sesebuah persahabatan itu membawa keuntungan, maka teruskan bersahabat, sebaliknya jika sesebuah persahabatan itu merugikan diri kita dari segi kenaikan pangkat atau mendapat status pekerja tetap, maka tinggalkan segera sahabat baik kita itu keseorangan. Biar dia mati dan dibenci, persetankan kebenaran, biar sekali pun ia di pihak yang benar, tetapi "perut" kita jauh lebih penting daripada sebuah persahabatan dan kebenaran.



Biarkan apa-apa sahaja yang diperkatakan oleh orang lain kepada diri kita - seorang yang hipokrit, talam dua muka, pentingkan diri sendiri, menikam kawan baik dari arah belakang dan apa sahaja yang mereka kata- jangan lagi dipedulikan. Yang penting, aku mahu hidup! Inilah bentuk baru persahabatan - tiada lagi moraliti dan kasih sayang - yang muncul hanyalah kepentingan diri dan gaji akhir bulan. Namun, insan seperti ini telah lupa - hidup ini seperti roda, ia berputar dan berpusing-pusing dalam orbitnya. Jika tangan ini basah dengan darah sahabat baik kita sendiri - tidak mustahil nasib kita juga, akan diakhiri dengan cara yang sama. Jika pada hari ini, kita menikam sahabat baik kita sendiri, janganlah menyalah sesiapa andaikata hal yang sama berlaku ke atas diri kita kelak.



Kita tidak memerlukan cara kotor untuk menunjukkan taat setia kepada bos kita sendiri - menikam sahabat baik di hadapan ramai orang, di dalam mesyuarat umpamanya - hanya menimbulkan rasa benci dan amarah kepada orang lain, bukan itu caranya, kerna tersilap haribulan dan langkah, kita bisa sahaja ditikam oleh bos kita sendiri. Mungkin lebih kejam dan mungkin juga lebih zalim. Hidup sememangnya begini - yang menikam dan ditikam, silih berganti. Namun, kita ada akal yang Tuhan beri - fikir-fikirkan dan bukan membuat keputusan dengan akal yang cetek. Wallahualam.




Gambar : Tinggal kenangan, penulis bersama dengan wartawan terkenal Mastika pada suatu ketika dahulu, Aninah Janang - segala-galanya sudah menjadi mimpi, dan persahabatan bisa sahaja "dibunuh" untuk menjaga hati dan kepentingan diri sendiri. Semoga Allah menyedarkan kita semua. Amin.

April 25, 2009

Dunia Di Hujung Jongkang-Jongket


DUNIA
DI HUJUNG
JONGKANG-JONGKET




Ketua Penerangan UMNO yang baru dilantik, Saudara Ahmad Maslan berjanji akan mendekati generasi muda, agar mereka kembali menghayati dan menyokong kembali perjuangan UMNO. Saya bersetuju dengan kenyataan tersebut, malah cara untuk mengembalikan semula sokongan orang muda kepada parti UMNO, mestilah kena dengan caranya. Apakah UMNO benar-benar faham dan tahu bagaimana untuk mendekati generasi muda? Di bawah ini saya cadangkan beberapa kaedah bagaimana mahu mendekati generasi muda :


1. Pinjaman PTPTN yang harus dibayar balik, jangan dibebankan para pelajar dengan kos perkhidmatannya yang naik saban tahun, malah tukar semula cara pembayaran balik pinjaman tersebut kepada bayaran minima RM150 sebulan sehingga selesai.

2. Semua staf kontrak yang bekerja di sektor awam, rata-ratanya adalah generasi muda - maka segera tukarkan status mereka sebagai pekerja tetap.

3. Mudahkan mereka menyertai UMNO dengan memberi peluang dan ruang untuk generasi muda meluahkan rasa hati mereka melalui saluran parti dan kerajaan.

4. Mudahkan generasi muda yang ingin berniaga untuk mendapatkan pinjaman perniagaan, di samping mengurangkan birokrasi dan karenah prosedur kerajaan yang melambatkan sesuatu pinjaman.

5. Dalam sektor awam pula, mana-mana golongan muda yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, harus segera dinaikkan pangkat mereka, jangan hanya dalam golongan PTD dan guru semata-mata. Kaedah naik pangkat yang diamalkan selama ini dalam sektor awam sebenarnya telah banyak membunuh bakat dan kelebihan golongan muda. Golongan muda yang berbakat dalam sektor awam sering dianaktirikan - sehingga begitu banyak dalam kalangan mereka yang begitu kecewa dengan sikap dan gaya pengurusan bos mereka di pejabat, yang pada hakikatnya tidak tahu membuat kerja. Malah, golongan ini sebenarnya dinaikkan pangkat mereka adalah atas dasar senioriti, dan bukan atas dasar kredibiliti. Lebih mendukacitakan, segelintir golongan tersebut terlalu ego untuk mendengar pandangan daripada orang muda, kononnya berpegang kepada alasan bahawa mereka ini masih mentah dan tiada pengalaman yang mendalam. Sistem kenaikan pangkat dalam sektor awam juga perlu dikaji semula oleh kerajaan. Pastikan sistem pencen kakitangan awam dipendekkan daripada usia pesaraan 56 tahun kepada 50 tahun, kecuali kakitangan akademik, seperti profesor atau pensyarah kanan di universiti. Semua ini penting bagi mendapatkan tenaga muda untuk menerajui sesebuah jabatan kerajaan dengan lebih agresif dan dedikasi.


6. Sistem pencen dalam sektor swasta yang pernah diwar-warkan oleh pihak kerajaan sebelum ini, harus segera dilaksanakan. Sudah tiba masanya sistem tersebut dilaksankan di negara ini, bagi menjamin generasi muda yang bekerja di sektor swasta berasa lebih selamat dan aman.


Inilah serba sedikit cadangan yang sempat saya fikirkan dalam kesibukan tugas harian, semoga kita merperoleh manfaatnya. Wallahualam.

April 20, 2009

Roti Canai Banjir dari UIA


ROTI CANAI BANJIR
DARIUIA


Saya agak sibuk dalam minggu ini, namun demikian ada beberapa perkara menarik yang ingin saya katakan, dan ia sangat penting bagi melihat ke mana Malaysia selepas ini, hal ini terlintas dalam kota fikiran saya tatkala saya selesai minum pagi dan makan roti canai banjir di UIA pagi tadi. Antaranya :


1. Sultan Azlan mendakwa bahawa rakyat di negara ini lebih gemar berpolitik daripada memikirkan pembangunan negara - saya sangat bersetuju. Bagaimana penyelesaiaanya?

2. Tahap pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah dan membimbangkan. Apa yang harus dibuat?

3. Terdapat segelintir individu/golongan yang lebih mementingkan kuasa dan politik, sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja agar cita-citanya tercapai. Siapakah mereka?

4. Pemilihan pucuk pimpinan PAS pada bulan Jun ini. Siapa pilihan kita?

5. Jambatan Bengkok atau Lurus? Apakah komen Datuk Seri Najib?

6. Transformasi pendidikan - Apa kata rakyat?

7. PPSMI - Bagaimana penyudahnya?

8. Ekonomi Malaysia - Kita berada di garisan mana?

9. Wawasan 2020 - Masih boleh dicapai atau akan dipanjangkan tempohnya?

10. IKS - Bagaimana saiz pasaran produk kita?

11. Industri Halal - Apa perkembangannya?

12. Isu Proton - Sudah selesaikah?


Inilah serba sedikit yang sempat saya fikir sepintas lalu pada pagi tadi, dan sama-samalah kita mencari jawapan dan penyelesaiaannya. Wallahualam.

April 16, 2009

Monolog Azli Shukri : Bab 15 : Monolog Terakhir Azli


MONOLOG AZLI SHUKRI
Bab 15 : Monolog Terakhir Azli



Kurang 6 hari lagi, genaplah setahun saya menjadi bloggers amatur dalam alam maya. Penuh ranjau dan berliku untuk menjadi bloggers yang cuba sedaya upaya bercakap benar. Segala macam cemuhan, fitnah dan cacian saya terima, malah tidak kurang juga pujian dan sanjungan. Semua itu, merupakan asam garam kehidupan. Kita harus berhadapan dan bersabar dengan barisan kawan-kawan yang tidak setia dan jujur, dengan kawan-kawan yang menikam dan memburukkan kita dari arah belakang, dan dengan kawan-kawan yang mahu melihat kita tersungkur. Namun demikian, dalam hidup ini masih terdapat juga kawan-kawan yang benar-benar menghargai persahabatan.



Monolog ini adalah monolog terakhir saya, setelah selama setahun ia disiarkan di dalam blog ini. Ada yang menyokong dan ada yang tidak menyukainya. Tetapi, itu merupakan hak masing-masing. Saya masih percaya kepada kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Itu adalah hak asasi manusia.



Blog seharusnya menjadi tempat bagi percambahan pendapat dan pandangan, bukan tempat untuk bergaduh dan mencari musuh. Blog juga tempat mencari kebenaran dan memilih jodoh. Setahun telah berlalu sejak kerajaan BN tewas besar dalam PRU Ke-12, banyak yang dipelajari dan dihayati. Hakikatnya orang Melayu masih berada dalam mimpi dan fantasi. Dan agama yang kita cintai semakin rakus dinodai. Semua ini seharusnya membuka mata kita, sama ada mahu mencari perbezaan atau memilih titik pertemuan.



Menyalahkan kerajaan dan memburukkan pembangkang semata-mata - itu bukan jalan penyelesaian. Malaysia akan memasuki fasa politik penuh cabaran selepas ini, tiada lagi parti yang kuat dan kukuh, orang Islam akan banyak bergantung kepada bangsa lain untuk berjaya dan yang lebih penting, hak dan keistimewaan orang Melayu akan mula dipersoalkan oleh bangsanya sendiri.



Sepanjang saya menjadi bloggers - saya tidak hanya hilang pekerjaan lantaran sesetengah pihak yang membenci mendengar kebenaran, saya dituduh menyeleweng dan mengkritik bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin di dalam blog ini, maka tindakan harus segera diambil ke atas saya. Saya diminta untuk menutup blog ini , gara-gara saya mengkritik Pak Lah dan Khairy - orang seperti ini tidak faham antara mengkritik kerajaan, UMNO dan kepimpinan. Hari ini, dunia semakin berubah dan terbuka, mana-mana individu yang sukar untuk menerima kritikan, maka akan ketinggalan dalam meningkatkan kemampuan dan ketahanan diri mereka. Sekarang, terbukti bukan sahaja Tun Mahathir mempunyai blog, malah Datuk Seri Najib dan Tuan Guru Nik Aziz pun sudah mempunyai blog masing-masing. Inilah gambaran langit terbuka dan mengizinkan sesiapa mengeluarkan pandangan dan pendapat.



Sepanjang saya menjadi bloggers, tidak kurang tulisan-tulisan saya telah dijadikan rujukan serta perbincangan hangat diserata dunia, ada yang mencemuh dan ada juga yang menyokong. artikel saya bertajuk "Kebenaran Tanpa Penghujung" telah dilayari lebih daripada 2000 pengunjung dan tidak kurang daripada 300 laman web/blog menyiarkan artikel tersebut, sama ada sebagai paparan umum mahupun sebagai perbincangan dalam komuniti alam siber masing-masing. Manakala, siri Monolog Azli Shukri pula, merupakan antara artikel yang begitu banyak mendapat perhatian komuniti maya sejak ia dipaparkan di dalam blog ini. Mana-mana yang baik ambillah, dan mana-mana yang tidak baik maka tinggalkanlah.



Dan tidak kurang juga, artikel saya bertajuk "Hikayat Dewan Ekonomi" benar-benar menggemparkan ramai pihak, khususnya para pembaca majalah tersebut. Kisah benar yang menimpa saya itu, telah saya rakamkan untuk tatapan umum, bagi memastikan masyarakat dan rakan-rakan saya mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa-apa yang telah berlaku ke atas diri saya selama ini, khususnya ketika saya bekerja di DBP. Walaupun siri tersebut belum tamat, dan masih dalam penyambungan, tetapi permintaan terhadap kisah tersebut sangat menggalakkan. Saya terpaksa memberhentikan kisah tersebut untuk sementara waktu, kerana beberapa faktor, antaranya terdapat rakan-rakan saya yang telah ditekan di tempat kerja akibat penyiaran kisah tersebut, dan yang kedua, blog saya ingin memberi laluan khas kepada kempen Datuk Mukhriz bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO baru-baru ini.


Sepanjang setahun ini, banyak yang saya pelajari sebagai seorang blogger, jika kita bercakap benar sekalipun orang tetap tidak akan suka, apatah lagi jika kita berbohong. Maka, pengajaran yang penting harus kita ketahui ialah, "Jangan peduli siapa yang kata, yang penting kebenaran harus tetap ditegakkan." Salam Bloggers dan terima kasih kerana setia membaca blog saya ini, hanya Allah sahaja yang membalas jasa tuan-tuan yang sudi membacanya, moga kita memperoleh manfaat.



Seperti yang saya jelaskan, ini merupakan Monolog Azli Shukri siri terakhir setelah genap setahun siri ini berada di alam maya, namun demikian siri ini akan digantikan dengan posting yang lebih menarik dan berinformasi iaitu, Tafsir Al-Azli. Artikel tersebut bukanlah tentang tafsir al-Quran, sebaliknya lebih kepada bentuk tazkirah dan nasihat untuk umat Islam bersatu dan berpadu. Wallahualam. Akhir kalam, terima kasih atas segala sokongan rakan-rakan, baik yang saya kenali mahupun yang tidak saya kenali. Semoga Allah merahmati kita semua.


Gambar : Penulis bersama dengan Datuk Nazir Razak, CEO CIMB.

April 14, 2009

Dewan Masyarakat atau Masyarakat Dewan?


Dewan Masyarakat
atau Masyarakat Dewan?




Saya difahamkan bahawa Tan Sri Muhyiddin akan melawat ke Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari ini (walaupun mungkin tidak kesampaian). Sama ada TS Muhyiddin jadi membuat lawatan ataupun tidak, ia secara tidak langsung menjelaskan betapa beliau merupakan seorang yang benar-benar berjiwa rakyat dan tidak suka dibodek. Lawatan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa DBP begitu diambil perhatian serius oleh Timbalan Perdana Menteri itu, malah tidak terkejut rasanya jika tidak lama lagi DBP akan ditransformasikan menjadi lebih baik daripada dahulu.


DBP - nama yang sangat gah dan hakikatnya perlu banyak berubah. Pada pandangan peribadi saya, DBP bukan tidak hebat, sebaliknya terdapat segelintir "orang atasannya" yang lebih gemar menjadi pembodek dan main silat, sehingga nama baik DBP kotor dan dipandang tidak bermaya oleh masyarakat luar. Saya sebenarnya sangat kagum dengan Datuk Baha, salah seorang ahli Lembaga Pengelola DBP yang begitu tajam pena dan pandangannya, sanggup bersama-sama rakyat jelata turun padang bagi mempertahankan bahasa Melayu dalam isu PPSMI baru-baru ini. Tetapi, saya agak hairan jika salah seorang ahli Lembaga Pengelola sanggup dan berani mempertahankan bahasa ibundanya sendiri, ke mana perginya pula pengerusi Lembaga Pengelola DBP pada ketika itu? malah, apakah pendirian dan prinsip Datuk Johan Jaaffar dalam soal PPSMI ini? tidak pula kita ketahui.


DBP dibina atas nama perjuangan, malah ia muncul daripada api satu zaman, dan jika menurut Mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus, DBP merupakan satu jasad, tiga wajah (wajah perjuang, wajah kerajaan, wajah bahasa). DBP dikatakan semakin lesu dan tidak bermaya - bukan kerana tiada pelapis atau tokoh-tokoh yang hebat, sebaliknya, para pekerja yang baik, yang rajin bekerja, yang cemerlang telah dianaktirikan oleh mereka yang berkuasa - akhirnya DBP diterajui oleh mereka yang tiada roh bahasa dan hanya menggunakan DBP untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan.


Pelantikan TS Muhyiddin sebagai Menteri Pelajaran amat tepat pada masanya. Beliau akan mendapatkan gambaran sebenar terhadap kepincangan DBP yang selama ini menjadi buah mulut orang ramai. Pelbagai isu yang mewarnai DBP semenjak Datuk Johan Jaaffar menerajui Lembaga Pengelolanya masih belum padam sehingga ke saat ini. Pada pandangan saya, sudah tiba masanya Pengerusi Lembaga Pengelola dilantik dalam kalangan orang yang benar-benar mempunyai jiwa bahasa dan perjuangan - bukan lagi dilantik dalam kalangan orang yang suka membodek dan takut untuk mempertahankan bahasa dan sastera negara. Seharusnya, apa-apa yang terjadi ke atas nasib bahasa Melayu, adalah selayaknya Pengerusi Lembaga dan Ketua Pengarah DBP yang terlebih dahulu berada di barisan hadapan - bukan Sasterawan Negara semata-mata.


Saya difahamkan, bahawa sudah tiba masanya DBP ditransformasikan, dengan meletakkan orang yang benar-benar boleh bekerja dan tidak mudah dibodek dan diampu oleh sesiapa pun. Saya mencadangkan kepada TS Muhyiddin beberapa rombakan yang perlu dilakukan ke atas DBP, bagi meningkatkan semula citra dan nama DBP, antaranya :


1. Lembaga Pengelola DBP (termasuk pengerusi) - harus dipilih dalam kalangan mereka yang berani bersuara dan bercakap benar demi kepentingan bahasa Melayu, seperti Datuk Baha, dan Datuk Ishak (mantan ahli).


2. Memastikan ketua-ketua bahagian dan pengarah-pengarah jabatan di DBP dirombak dan digantikan dengan mereka yang terbukti mempunyai daya kepimpinan serta mementingkan perjuangan bahasa daripada sibuk membodek orang atasan. Mana-mana ketua bahagian yang sudah terlalu lama memegang bahagian masing-masing (5 tahun ke atas), haruslah segera ditukar. Jika diperhatikan, sejak belakangan ini, isu-isu yang dimainkan oleh majalah terbitan DBP begitu jauh ketinggalan daripada arus perdana, bahkan bentuk majalah, gaya penulisan dan isu yang dipilih tidak menggambarkan keintelektualan dan masih ditakuk yang lama, khususnya majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Saya pikir, pandangan orang luar harus diambil kira, jika mahu melihat majalah terbitan DBP seiring dan sejalan dengan majalah antarabangsa. Sesuatu harus dilakukan di bahagian tersebut. Dan hal ini harus dipandangan serius oleh TS Muhyiddin dan Ketua Pengarah DBP.


3. Kenalpasti bahagian dan jabatan yang menjadi nadi dan jantung DBP, ianya haruslah diterajui oleh individu yang benar-benar faham dan berkelayakkan, agar nama DBP meningkat naik semula. Antara jabatan yang perlu dirombak dan dikemaskini baik dari aspek struktur dan kepimpinannya, termasuklah di Jabatan Bahasa, Jabatan Sastera, Jabatan Pernerbit dan Bahagian Komunikasi Korporat.


4. Hidupkan semula aktiviti bahasa yang selama ini sudah semakin lesu, tidak kurang juga kembalikan penerbitan Jurnal Melayu Antarabangsa yang sebelum ini telah ditutup penerbitannya oleh DBP dengan alasan tidak membawa keuntungan. Kembalikan semula penerbitan Jurnal Bahasa kepada 4 keluaran setahun dan bukan lagi 2 keluaran setahun seperti yang berlaku pada hari ini. Kembalikan penerbitan Majalah Agama dan Falsafah yang diberhentikan dahulu. Tidak cukupkah apa-apa yang telah berlaku ke atas masa depan bahasa Melayu selama ini? Tangan siapakah yang menghancurakan bahasa kita sendiri? Tidak cukupkah sebelum ini Mastika telah hancur gara-gara mahu melihat jualannya mencanak naik dan mengejar keuntungan berlipat kali ganda? Mastika yang dahulunya gah sebagai majalah ilmiah dan mempunyai nilai intelek tinggi, kini hancur musnah hanya tinggal nama, manakala isinya pula dimuatkan dengan pelbagai cerita hantu, tahyul dan dongeng untuk kita paparkan kepada anak muda Melayu, siapakah yang melakukannya? Apakah individu yang menghancurkan Mastika, Junal Bahasa, Jurnal Melayu Antarabangsa dan pernah juga melenyapkan Tunas Cipta untuk tempoh setahun hendak kita lantik semula bagi menerajui Lembaga Pengelola DBP? Saya fikir TS Muhyiddin harus menilainya kembali.


5. DBP memerlukan kepimpinan dan bukan pengurusan. Oleh yang demikian, selayaknya orang yang benar-benar mempunyai daya kepimpinan dalam isu bahasa dan sasteralah yang seharusnya menerajui DBP - jika tidak, DBP akan tetap dimomok, malah tidak mustahil akan timbul satu hari nanti idea yang mengesyorkan agar DBP ditutup sahaja.


Saya benar-benar berharap, agar TS Muhyiddin tidak termakan hasutan, kononnya terdapat penentangan dalam kalangan pekerja DBP terhadap pengurusan DBP dan Lembaga, mereka hanyalah menuntut keadilan dan mahu melihat DBP ditadbir oleh manusia yang ikhlas berjuang untuk bahasa dan sastera Melayu. Sudah tiba masanya, DBP dirombak dan ditransformasikan secara besar-besaran. Wallahualam.


Kesimpulannya, isu berkenaan DBP haruslah ditangani dengan bijaksana, kita harus tahu menilai antara dua perkara ini, iaitu satu dipanggil Dewan Masyarakat (nama majalah) dan yang satu lagi dipanggil Masyarakat Dewan. Satu lagi dipanggil Dewan Budaya (nama majalah), dan yang satu lagi pula dipanggil Budaya Orang Dewan, satu dipanggil Dewan Bahasa, (nama majalah) dan yang satu lagi dipanggil Bahasa Orang Dewan. Semua ini ada maknanya yang tersendiri, semoga TS Muhyiddin akan memahaminya kelak. Saya ucapkan selamat Datang Ke Dewan Bahasa!

April 13, 2009

Matahari Di Tengah Malam


MATAHARI
DI TENGAH MALAM


MACHANG 13 April — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan hanya mereka yang layak sahaja menawarkan diri untuk bertanding jawatan dalam pemilihan pada Muktamar PAS yang dijadualkan Jun ini.

Nik Aziz ketika mengingatkan perkara itu berkata beliau tidak mahu anggota parti itu yang tidak mampu menjadi pemimpin yang baik, membuang masa menonjolkan diri menarik sokongan. “Kalau yang ada kemampuan, tak ada masalah untuk mereka tawar diri untuk bertanding. Kalau yang ada kemampuan menonjol tak apalah, (tapi) kalau yang tidak ada kemampuan tapi menonjolkan diri, tak payahlah undi dia,” katanya.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Rawatan Air Merbau Chondong, sempena sambutan Hari Air Sedunia 2009 peringkat negeri di sini, hari ini.

Katanya, PAS turut memberi kebebasan kepada anggota akar umbi untuk memilih barisan pimpinan yang mereka mahukan dan menolak mana-mana pemimpin yang dirasakan tidak lagi diperlukan parti itu. “Saya tak nak sebut apa-apa, nanti pengaruhi orang lain pula, biar saya senyap-senyap sudahlah. (Tetapi) kalau barang perlu diubah, ubahlah.

Terserah kepada (anggota parti) dari peringkat cawangan untuk mengundi siapa,” katanya. Muktamar PAS dijadual diadakan di Shah Alam, Selangor Jun ini. — Bernama


Ulasan saya : Saya tidak faham cara Nik Aziz memahami Islam, pertama bukankah sudah jelas hadis nabi yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad tidak akan memberi jawatan kepada sesiapa yang meminta sesuatu jawatan? Jadi apakah maksudnya Nik Aziz apabila beliau berkata, "kalau ada yang berkemampuan, tidak salah mereka menawarkan diri untuk bertanding." Orang yang berkemampuan tidak perlu tawar diri, masyarakat akan tahu siapa yang mampu dan siapa pula yang tidak mampu. Kalau kita dakwa ini adalah Parti Islam, maka ikutlah cara Islam, mana-mana pemimpin PAS yang menawar diri untuk bertanding, jangan dipilih, jelas mereka tidak mengikut sunnah, kerana jawatan bukanlah sesuatu yang boleh dipinta-pinta, ia amanah dan tanggungjawab.


Ketika zaman Rasulullah dahulu, masyarakat takut untuk memegang jawatan, malah ketika Abu Dzar meminta jawatan kepada Nabi, baginda menolaknya. Tetapi lain cerita dengan PAS, sudah ada kedengaran orang tertentu untuk menawar diri bertanding - kenapa? kerana merasakan bahawa ada harapan dicalonkan sebagai ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri. Nampaknya, kata-kata bahawa PAS mengikut al-Quran dan Sunnah boleh dipertikaikan. Tiada makna kita melaungkan ikut al-Quran dan Sunnah, tetapi sikap dan perbuatan kita tidak seiring dan sejalan dengan tatacara Rasulullah. Pada saya, mana-mana ahli PAS yang pandai-pandai cuba menawarkan diri bertanding dalam Muktamar mereka kelak, maka saya kira - itulah pemimpin PAS yang tidak mahu mendengar dan menerima nasihat Rasulullah, bahawa jawatan tidak boleh dipinta. Jika orang yang meminta jawatan ini masih dipilih, maka jelaslah bahawa PAS tidak mengikut sunnah secara keseluruhannya. Parti yang hanya melaungkan Islam, tetapi tidak mengamalkan ajarannya, maka itu bukanlah parti Islam yang sebenar.


Jika terkena batang hidung mereka, semuanya halal belaka, apabila terkena batang hidung orang lain, semua haram belaka, pendek kata UMNO/BN ini tiada apa yang baik lagi, semua kotor dan jijik belaka. Siapa PAS untuk menghukum semua itu? Apabila Mufti Perak menegur salah seorang ahli DAP yang "teramat bijak" membacakan ayat-ayat al-Quran sewaktu berkempen di Bukit Gantang baru-baru ini, Nik Aziz halalkan, sewaktu Anwar Ibrahim berkempen di tempat yang sama dengan membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama "Allah" dalam penerbitan mereka, Nik Aziz diam sahaja, sebaliknya yang lantang menegur dan bersuara hanyalah Datuk Seri Harussani. Apakah bezanya ilmu Nik Aziz dengan Mufti Perak itu? Sehingga ada yang tergamak mencerca Harussani di internet dengan panggilan "Babi". Penyokong siapa punya kerja ini? Sewaktu Harussani berkata bahawa Anwar tidak perlu bersumpah junjung al-Quran berkenaan isu Saiful Bukhari, beria-ria Anwar mempersetujuinya. Tetapi, apabila Harussani menegur Anwar berkenaan isu penggunaan nama Allah - beliau dan Nik Aziz diam seribu bahasa.


Pendek kata, Islam yang betul hanyalah Islam yang dibawa oleh PAS, orang lain semua salah. Parti seperti ini akan tumbang, tidak akan lama bertahan, kerana kebenaran menurut mereka hanyalah yang sama selera dengan nafsu mereka semata-mata. Jika kita mengeluarkan ayat al-Quran yang sama dengan apa yang mereka lafazkan, mereka akan tetap mendakwa bahawa ayat yang orang-orang UMNO bacakan itu salah dan tidak betul tafsirannya. Inilah yang ditanam berpuluh tahun oleh Ulama-Ulama PAS ke dalam minda dan jiwa ahli-ahlinya, sehingga hati mereka keras untuk menerima kebenaran. Yang penting bagi mereka kini, hanyalah kemenangan dalam pilihanraya, setiap hari kerjanya hanya mengutuk dan mencari keburukan kerajaan, itulah yang akan kita temui dalam blog para penyokong mereka, tiada yang baik bagi kerajaan, semuanya jahat, semuanya macam syaitan dan semuanya macam najis, sehingga ada yang sanggup mengutuk dan mengeji Datuk Harussani, Mufti Perak, gara-gara beliau marah kepada sesetengah rakyat Perak yang tidak taat kepada Sultan Perak setelah Kerajaan PR tumbang di sana. Semua ini adalah jelas menggambarkan bahawa terlalu bahaya andaikata Malaysia ini diserahkan kepada PAS dan sekutu-sekutunya.


Dalam hidup ini tiada yang sempurna, Jika PAS ada buat salah, kita wajib cakap perkara yang benar, mereka bukan maksum, dan jika BN/UMNO buat salah kita juga wajib menegur. Sebaliknya, jika sesiapa yang buat perkara betul kita harus menyokong, tidak kira PAS, UMNO, Khairy, Mahathir, Najib, Rosmah, Pak Lah, Nik Aziz, Hj Hadi atau sesiapa sahaja. Kesimpulannya, kita tidak boleh taasub. Yang salah tetap salah, dan yang betul tetap betul. Kita harus meningkatkan ilmu pengetahuan dan bukan hanya mendengar dan menerima membuta-tuli. Sehingga kini tidak diketemui Nik Aziz atau Hj Hadi menegur tingkah laku Anwar, seolah-olah apa-apa yang beliau lakukan selama ini semuanya betul. Sebaliknya, yang berani menegur tingkah laku Anwar yang salah hanyalah Karpl Singh. Assabiah itu maknanya nmenyokong kaum kamu dalam hal-hal yang zalim dan mungkar, tidak kira PAS, UMNO atau Anwar, semuanya sama di sisi Allah. Kebenaran tetap kebenaran ia tidak akan bercampur dengan kebatilan. Wallahualam.

April 12, 2009

Gurkha : Siapa Ketua Saya?


Saya Gurkha
yang Sebenar




Apabila Khairy Jamaluddin berkata bahawa beliau sanggup menjadi Gurkha kepada UMNO, saya merasakan bahawa ia tidak betul dan tidak sesuai diucapkan oleh seorang Ketua Pemuda UMNO yang baharu. Kita harus faham apakah maknanya Gurkha itu. Menjadi seorang askar upahan bernama Gurkha - bermakna kesetiaannya boleh dijual beli. Jika Khairy berkata bahawa beliau sanggup menjadi Gurkha, bermakna beliau merupakan Ketua Pemuda UMNO Gurkha, dan kami ini pula sebagai ahli pemuda UMNO hendak dipanggil apa pula? ahli pemuda UMNO Gurkha? Saya sedikit kecewa dengan hal tersebut, adalah lebih baik kita tidak menyatakan apa-apa pun, walaupun mungkin kita merasa agak kecewa lantaran tidak dilantik sebagai Menteri mahupun Timbalan Menteri. Isu ini akan menjadi bahan ketawa sahaja untuk pembangkang menyindir pemuda UMNO kelak.



Askar Gurkha merupakan askar upahan yang diambil oleh British untuk sama-sama menentang Komunis. Jika namanya pun sebagai askar upahan, apakah Khairy juga bermaksud bahawa beliau merupakan Ketua Pemuda UMNO upahan? - tidak tepat rasanya jika beliau cuba menunjukkan taat setia melalui perlambangan dirinya sebagai seorang Gurkha kepada UMNO. Kita akui askar Gurkha merupakan askar yang berani, walaupun bertubuh kecil, namun demikian, keberanian dan kesetiaan mereka adalah berasaskan kepada upah yang lumayan - pendek kata mereka mampu belot andaikata terdapat tawaran yang lebih lumayan untuk mereka melakukan pembelotan. Ku Li pada suatu ketika dahulu pernah menyatakan bahawa beliau merupakan Gurkha kepada UMNO - tetapi ia sangat berbeza, kerana pada waktu itu, Ku Li tidak mempunyai apa-apa jawatan di dalam UMNO setelah beliau membubarkan Semangat 46. Sebaliknya, Khairy memegang jawatan yang penting ketika beliau mengucapkan dirinya adalah umpama Gurkha kepada UMNO. Mungkin niat beliau baik, tetapi dalam keadaan sekarang eloklah beliau mengelakkan fitnah yang lebih besar ke atas dirinya. Wallahualam.



Semoga Khairy selepas ini akan lebih berhati-hati apabila menyuarakan sesuatu. Yang penting adalah nama baik Pemuda UMNO itu sendiri.

April 11, 2009

UMNO Dengan Dunia yang Satu Lagi



UMNO
DENGAN
DUNIA YANG SATU LAGI



Pada 9 April lalu, DS Najib mengingatkan bahawa UMNO harus mengubah cara politiknya, malah segera menukar metodologi politiknya ke arah yang lebih baik dan bersesuaian dengan peredaran zaman. Persoalannya, apakah metodologi/uslub yang bertepatan dengan zaman itu? agar ia benar-benar mengukuhkan kekuatan UMNO kembali. Saya melihat hal ini harus bermula daripada mengenalpasti masalah utama UMNO sekarang. Oleh yang demikian, saya bentang masalah utama UMNO yang harus diberi perhatian rapi :

1.
Ideologi Perlu Dirombak

2. Kaedah Politik Bodek Membodek

3.
Sistem Pemilihan dan Pengekalan Kuasa

4. UMNO/BN Perlu Berwajah Baharu

5. Pemimpin UMNO Perlu Menekankan Soal Agama



Saya akan huraikan secara ringkas satu demi satu persoalan di atas, serta kaedah terbaik bagi menyelamatkan UMNO daripada terus hancur dan musnah.


1. Oleh kerana PKR, PAS dan DAP sudah mendahului dari segi ideologi, yakni mempromosikan satu negara, satu kesamaan dan tiada parti perkauman, maka UMNO telah dilihat agak ketinggalan di belakang. UMNO seolah-olah tidak lagi relevan setelah PKR mempromosikan ideologi tersebut. Walaupun kita tahu, campuran tiga ideologi yang berbeza itu tidak akan kekal lama, dan sudah pasti sampai satu masa nanti PKR, PAS dan DAP akan saling tikam menikam antara satu sama lain. Namun demikian, kita tidak boleh menunggu sehingga mereka hancur dengan sendiri baru UMNO mahu bertindak, kita harus segera bertindak dengan mengetengahkan satu wahana ideologi UMNO yang baru dan menghampiri jiwa anak muda dan generasi baru. Jadi, apakah ideologi baru UMNO yang perlu wujud? Jawapannya mudah, UMNO perlu mengekalkan ideologi "Mempertahankan hak kaumnya yang telah termaktub di sisi undang-undang" di samping "Memberi hak yang telah dipersetujui kepada kaum-kaum lain". Selain itu, UMNO juga harus menguatkan ideologi Islamnya dengan menekankan fahaman, "Islam agama Agung dan Islam perlu diletakkan dikedudukan yang lebih tinggi daripada sesiapa pun" di samping, "Budaya kehidupan Islam serta akhlak Islam haruslah menjadi keutamaan parti, bagi mewujudkan sebuah negara yang aman dan damai."



2. Konsep politik bodek membodek harus dihapuskan dalam UMNO, yang perlu ditekan oleh para pemimpin UMNO adalah kebenaran. Jika kebenaran yang datang, maka terimalah seadanya, tidak kira daripada sesiapa pun. Ajar dan didik ahli-ahli UMNO buat kerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan dan wang ringgit. Kita memerlukan ahli UMNO yang ikhlas dan bukan semata-mata masuk UMNO harap imbuhan. Selama ini, masyarakat melihat UMNO sebagai lubok emas, dan sesiapa yang mempunyai "link" dengan orang atasan, maka kerja jadi lebih mudah. Semua ini harus dihapuskan, dengan mengenalpasti "orang-orang" yang tidak suka dikipas dan dibodek diangkat dan diletakkan di tempat yang sesuai sama di dalam UMNO, Kerajaan ataupun organisasi milik kerajaan.


3. Untuk menjadikan UMNO terus relevan, cara pemilihan UMNO harus berubah daripada di tangan perwakilan semata-mata kepada seluruh ahli UMNO akar umbi. Malah, diadakan juga tempoh bagi seseorang itu untuk memegang jawatan penting parti seperti Ketua Pemuda, Ketua Bahagian, Ketua Wanita dan lain-lain. Jangan terlalu lama seseorang itu memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian sehingga seolah-olah UMNO Bahagian tersebut telah menjadi milikinya. Rakyat benci dan menjauhi UMNO, gara-gara orang yang sama menjadi Ketua Bahagian dan wakil rakyat. Tetapkan tempoh berapa lama seseorang itu boleh menjadi Ketua UMNO Bahagian/ wakil rakyat. Begitu juga dengan jawatan-jawatan yang seangkatan dengannya. Jika ini mampu dilakukan, saya percaya ramai yang akan sokong UMNO dan kerajaan semula. Dan tak kurang juga para remaja akan kembali menyokong UMNO. Wallahualam.


4. Mahu ataupun tidak UMNO dan BN harus melakukan "perwajahan baru" ke atas bentuk logo dan slogan mereka. Rebranding akan melengkapkan Restructuring yang diinginkan oleh DS Najib. Dengan logo yang baru, warna yang baru bagi UMNO/BN, di samping ketiga-tiga sayap UMNO/BN turut juga mempunyai logo masing-masing, sedikit sebanyak, masyarakat dan warga muda akan tertarik mendampingi parti tersebut. Maknya, transformasi dalaman turut akan melibatkan transformasi luaran dan fizikal.


5. Kita lihat sekarang, Amy dan Siti Nurhaliza, walaupun mereka penyanyi dan sudah pasti selama ini mereka terlibat dengan dunia hiburan yang penuh dengan dosa dan noda, tetapi dalam diam-diam hati mereka inginkan kebaikan, malah tanpa ragu-ragu mereka menyatakan bahawa mereka amat mengagumi ketokohan dan keperibadian Nik Aziz. Hal ini menjelaskan, bahawa masyarakat sama ada baik atau pun tidak - mereka akan tetap tertarik kepada manusia yang mempunyai keperibadian yang baik. Jadi, pemimpin UMNO harus jadi begitu. Pemimpin UMNO tidak kira diperingkat mana sekalipun harus berupaya menjadi Imam, membaca doa, berkhutbah, zuhud, berceramah agama, dan menguasai pelbagai cabang ilmu agama. Dengan cara ini sahajalah PKR, PAS dan DAP akan tewas. Saya bercakap dengan ikhlas dan jujur, terpulanglah sama ada untuk menerima atau sebaliknya. Jika tuan-tuan yang membaca cadangan saya ini dengan jujur dan bukan dengan niat lain, saya yakin tuan-tuan akan memahami apa-apa yang saya maksudkan. Kepada Allah jua saya berdoa, agar UMNO terus relevan dan berubah menjadi lebih baik, malah kepada Allah jua, saya berdoa, agar Melayu bersatu dan meninggalkan perpecahan. Wallahualam.


PUTRAJAYA 9 April – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua peringkat pemimpin UMNO bahawa mereka mesti berani membuat perubahan dengan mengubah cara metodologi politik bagi memastikan parti itu terus relevan dan dikasihi rakyat.

Berucap pada majlis kesyukuran di Sri Satria malam ini, Presiden UMNO itu menegaskan, sekiranya ahli UMNO masih alpa dan tidak mengambil kira persekitaran baru sekarang, risikonya parti itu akan tewas di tangan lawannya sekali gus lenyap dan dilupakan begitu sahaja.

‘‘Semasa zaman muda saya, waktu itu letak songkok dan pokok pisang pun, kita pasti menang tapi keadaan sekarang berbeza. Kalau kita lihat pilihan raya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang, parti lawan menggunakan metodologi baru tapi UMNO dan BN masih guna yang lama.

‘‘Oleh itu salah satu penugasan yang perlu dilakukan adalah untuk kita tanya apakah yang patut kita lakukan agar metodologi kita bertepatan dengan zaman yang kita lalui sekarang. Saya anggap ini satu agenda penting bagi UMNO yang kita hasratkan akan dibincangkan metodologi ini dalam mesyuarat pertama Majlis Tertinggi UMNO nanti,” kata beliau.

April 9, 2009

Kabinet Najib : Masih Kenal Saya?


NOSTRADAMUS
SUDAH MATI!


Hampir semula ramalan dan tekaan daripada para pemerhati politik dan ahli-ahli politik telah gagal membaca betapa dalamnya hati nurani DS Najib bagi memilih senarai ahli kabinetnya sebentar tadi. Saya percaya, beberapa hari yang lalu, lobi melobi telah berlaku, malah tidak kurang juga ratusan SMS berlegar diruang udara, menceritakan siapa yang bakal dilantik ke kementerian tertentu. Namun demikian, saya percaya pasti ramai yang terkejut dengan barisan kabinet DS Najib pada kali ini, kerana sangat jelas bahawa DS Najib tidak terpengaruh dengan sesiapa pun ketika beliau membuat keputusan melantik ahli jemaah menterinya. Hal ini sangat jelas, tatkala semua ramalan awal dan ramalan di saat-saat akhir turut tersasar jauh daripada hakikatnya. DS Najib memang bijak, maka tidak hairanlah mengapa Tun Mahathir menginginkan beliau menjadi PM, dan terbuktilah juga mengapa Anwar Ibrahim selama ini begitu bimbang andaikata DS Najib menerajui negara. Sesungguhnya, banyak tindakan DS Najib sejak belakangan ini tidak dapat diramal dan tidak disangka-sangka. Itulah DS Najib, Perdana Menteri baru kita.



Malah, tanpa ragu saya katakan bahawa, semua ahli kabinet yang baru dilantik ini bukan sahaja bersih, malah kelihatan bersih dan menyejuk hati ramai pihak. Yang paling mengejutkan saya adalah pelantikan TS Muhyiddin Yassin sebagai pemegang kerusi panas Kementerian Pelajaran - yang sebelum ini menjadi buah mulut ramai pihak yang cuba melobi tokoh-tokoh tertentu. Tidak kurang juga kejutan, dengan pelantikan semula Datuk Dr Awak Adek sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz sebelum ini disebut-sebut akan menerajui Kementerian Belia dan Sukan. Manakala, Datuk Razali Ibrahim yang merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia turut mendapat tempat sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.



Hakikatnya - banyak ramalan yang tersasar, malah ada yang tidak terfikir oleh sesiapa pun, namun begitu, di sinilah letaknya kebijaksanaan DS Najib - dan sesungguhnya saya yakin perubahan dan tranformasi yang DS Najib janjikan sebelum ini, akan berlaku. Dan sebagai ahli UMNO dan rakyat Malaysia, saya menyeru agar sama-sama kita bulatkan hati dan rapatkan barisan semula serta berdiri teguh dibelakang DS Najib bagi membantu beliau meraih semula keyakinan rakyat.



Secara peribadi, saya amat yakin dengan Kabinet Baru DS Najib ini, malah ketiadaan kelibat Khairy Jamaluddin - secara tidak langsung membuktikan bahawa DS Najib benar-benar mahu melihat senarai ahli Kabinetnya dalam kalangan orang yang ikhlas mahu bekerja, di samping bersih daripada tanggapan negatif masyarakat. Kesimpulannya, semua ramalan ala-Nostradamus yang kita bina dan dengar sebelum ini jauh tersasar daripada realiti. Dan DS Najib mempunyai pertimbangannya yang tersendiri. Harapan kami, semoga UMNO dan BN kukuh kembali.



Kepada Khairy, saya yakin ini merupakan peluang yang diberikan oleh DS Najib, agar beliau membersihkan imejnya kembali, dan InsyaAllah apabila api fitnah telah reda, maka tidak mustahil Khairy akan diterima semula oleh masyarakat. Kepada semua yang dilantik, saya ucapkan tahniah dan selamat bekerja, manakala kepada TS Muhyiddin, saya sangat berbangga dan pinta saya hanya satu, agar beliau bertekad membersihkan Dewan Bahasa dan Pustaka daripada dibelengu dengan "unsur-unsur" kotor dan tangan-tangan yang tidak ikhlas untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Wallahualam.

April 7, 2009

Di Sini Tiada Kubur UMNO


DI SINI TIADA KUBUR
UMNO

Oleh Muhammad Azli Shukri



Maafkan saya jika saya terpaksa berkata daripada hati nurani saya sendiri, tiada lagi kata berlapik dan tiada lagi kata-kata manis untuk dihidangkan tatkala melihat kekalahan UMNO/BN di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau. Walaupun, saya sudah mendapat maklumat dua minggu lebih awal bahawa UMNO/BN akan tewas dan kecundang di dua buah kerusi tersebut, namun demikian saya cuba menyakinkan diri saya sendiri bahawa, harapan untuk menang masih ada di kedua-dua buah kerusi itu sebagai hadiah atas pelantikan DS Najib sebagai PM yang baru.


Analisis ringkas saya pada masa ini berkenaan kekalahan UMNO/BN di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau - menjelaskan bahawa aliran pengundi muda masih tetap memihak kepada pembangkang. Maka, di sini timbul persoalan apakah benar Khairy, selaku Ketua Pemuda UMNO yang baru telah gagal menarik minat pengundi muda untuk menyebelahi UMNO dalam pilihan raya kecil tersebut? Dan apakah faktor Tun Mahathir turut sama kecundang dalam usaha menarik minat pengundi atas pagar untuk mengundi BN pada kali ini? Malah, jauh daripada itu, apakah segala bantuan dan janji pembangunan yang ditaburkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO masih gagal menarik minat pengundi Cina untuk terus memihak kepada BN?



Adalah jelas bahawa pengundi Cina masih tetap menolak BN/UMNO dan mereka merasakan bahawa PAS masih boleh diperkudakan demi mencapai politik "tertentu" yang selama ini mereka idam-idamkan. Transformasi dan reformasi yang dijanjikan oleh DS Najib masih ditunggu dan dinantikan. Jika DS Najib benar-benar mampu melakukan banyak perubahan, dan tidak memilih pemimpin yang korup dalam barisan kabinetnya nanti, Insyaallah UMNO boleh kuat kembali. Tetapi, jika tidak, maka UMNO mungkin hanya tingga nama dan sejarah sahaja.



Di bawah ini saya senaraikan sebab-musabab mengapa UMNO tewas di kedua-dua kerusi parlimen tersebut, sama-samalah kita mengambil iktibar dan pengajaran. Wallahualam


1. Kempen menawarkan bantuan dan pembangunan hanya memakan diri sendiri. Terbukti segala bantuan wang ringgit dan pembangunan akan tetap diambil oleh rakyat, tetapi undi tidak mereka berikan kepada BN/UMNO.


2. Pengundi muda masih tetap mahu mengundi pembangkang, walaupun mereka tahu bahawa pembangkang bukanlah parti yang kuat dan kukuh. Hal ini berlaku adalah kerana UMNO kurang memahami jiwa dan hati nurani mereka.

3. UMNO tiada tokoh muda yang benar-benar utuh dan boleh dijadikan role model - Khairy hanyalah anak muda yang dibenci dan di "cop" sebagai pengamal politik wang oleh rakyat, malah imej tersebut makin tersemat dalam hati masyarakat setelah beliau memenangi Ketua Pemuda UMNO baru-baru ini. Jadi beliau tetap dijadikan sebagai liabiliti.


4. Isu penderhakaan Nizar akhirnya memakan diri sendiri, rakyat tidak gemar isu tersebut diulang berkali-kali, malah isu itu juga terbukti sebagai isu syok sendiri bagi BN/UMNO.


5. Nizar dilihat sebagai orang yang teraniaya dan dizalimi, manakala isu bahawa beliau bukan penduduk tempatan sama sekali tidak mempengaruhi pengundi di Bukit Gantang.



6. Kemenangan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO tetap membawa kesan secara langsung kepada persepsi rakyat, bahawa UMNO masih tidak serius mahu berubah. Dan apakah yang akan terjadi sekiranya Khairy dilantik oleh DS Najib sebagai sebagai salah seorang Timbalan Menteri di sesebuah kementerian pula? Apakah rakyat dan ahli UMNO akar umbi berupaya menerimananya?


7. Strategi politik kotor pembangkang memburuk-burukan peribadi calon BN sudah semakin mendapat tempat dalam kalangan pengundi, malah mereka dengan mudah pula mempercayainya.


8. Yang sedang berlaku kini adalah politik persepsi dan emosi - rakyat lebih gemar mendengar isu politik persepsi dan emosi yang dimainkan oleh pembangkang berbandingan dengan isu realiti dan janji manis yang dicanang oleh BN/UMNO.


9. Pengundi telah lebih awal membuat keputusan untuk memilih siapa yang mereka benar-benar suka dan yakin.


10. Pengundi tidak lagi memperdulikan apa-apa pun lagi, yang penting BN/UMNO mesti dikalahkan - tiada alasan.


11. Pendedahan ucapan Anwar Ibrahim pada tahun 1995 di Sabah, yang diulang berkali-kali di kaca televisyen, hakikatnya tidak berupaya membunuh imej peribadinya, malah rakyat semakin muak dengan cara kempen tersebut. Menurut mereka, BN/UMNO cuba meniru kempen ala-PAS yang pernah mereka lakukan kepada Tengku Razaliegh selepas beliau membubarkan S46 dan kembali menyertai UMNO.


12. Rakyat mempunyai persepsi yang sangat negatif kepada BN/UMNO walaupun BN/UMNO telah insaf atau mahu berubah. Menurut rakyat, BN/UMNO tidak akan berubah, malah masih tetap menerima pemimpin yang jelas terlibat dengan rasuah.




Bersambung...

April 6, 2009

Anwar 2009 : Bernafas Di Dalam Lumpur


ANWAR IBRAHIM 2009
Bernafas Di Dalam Lumpur



Saya sempat ke Bukit Gantang sebentar tadi, mendengar ucapan Tun Mahathir, di samping meninjau-ninjau markas UMNO/BN di sana. Dalam kesibukan tugas harian dan menghadiri mesyuarat di Pulau Pinang, saya masih ada masa untuk turun padang walau pun tidak lama. Melihat kepada begitu ramai yang hadir bagi mendengar ucapan mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir Mohamad, teringat saya seolah-olah beliau masih merupakan Perdana Menteri kita semua.


Bolehlah saya gambarkan bahawa, kekuatan UMNO dan PAS di Bukit Gantang agak sama-sama kuat, dan kedua-dua parti berada dalam keadaan 50-50. Yang menarik minat saya pada kali ini adalah cara ucapan Tun Mahathir menceritakan bagaimana kaum Cina dan India di Malaysia harus bersyukur dengan kehidupan dan menikmati pelbagai kemudahan di negara ini, berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Jika di negara lain, kita tidak akan dapat melihat kewujudan sekolah kebangsaan beraliran Cina atau India. Sebaliknya, di Malaysia sekolah-sekolah jenis kebangsaan ini telah dipertahankan, malah turut diberi layanan istimewa oleh kerajaan melalui pelbagai bantuan.


Namun demikian, Anwar Ibrahim memang gemar menaikkan rasa sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia - pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh beliau kepada BN/UMNO yang sebelum ini pernah beliau sertainya, merupakan gambaran yang jelas berkenaan kelakuan dan hakikat sebenar diri Anwar itu. Malah, janji demi janji yang ditaburkan oleh Anwar Ibrahim tidak pernah berupaya ditunaikan. Segelintir penyokong PR yang taasub masih terus menyokong dan mempercayai cerita dan janji Sang Rajuna Tapa ini.


Anwar merupakan pemimpin pembangkang yang ketika ini seolah-olah sedang bernafas di dalam lumpur - tatkala DS Najib diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia - beliau sudah berupaya menunjukkan keikhlasan dan kejujurannyang yang sebenar, dengan segera turun padang berjumpa rakyat bagi membuktikan bahawa kepimpinan yang bakal dilaksanakannya kelak adalah kepimpinan yang bersifat mesra rakyat. Apa-apa yang diperjuangkan oleh Anwar, turut sama diperjuangkan oleh DS Najib. Membanteras rasuah, menjamin ketelusan dalam pentadbiran, mengkaji semula akta ISA, dan berjanji untuk melakukan pelbagai transformasi (mungkin juga yang bersifat radikal) dalam pentadbiran kerajaan dan UMNO, sedikit sebanyak telah melenyapkan suara "keramat" Anwar yang acapkali melaung-laungkan slogan retorik tahap tinggi seperti "Keadilan untuk Semua", "ketelusan", "Reformasi", "Harapan Baru", "Nasionalisme Baru" dan banyak lagi motto Anwar yang sebenarnya penuh dengan tipu daya dan pembohongan.


Anwar, jika diamati dengan cermat, hakikatnya semakin terpinggir dan dipinggir dalam kalangan pemimpin parti pembangkang sendiri. Terdapat idea-idea mengarutnya yang kurang dipersetujui oleh DAP dan mungkin juga PAS. Satu tabiat Anwar yang mudah dikenalpasti adalah sifatnya yang suka menabur janji dan membuat pelbagai kejutan. Kononnya mahu membongkar itu dan ini - realitinya, rakyat yang menjadi mangsa atas segala penipuan dan pembohongannya. Tidak cukup dengan isu 16 September, kini Anwar mahu membuat kejutan "April Fool" pula, dengan dakwaan akan mendedahkan "sesuatu" yang sangat penting kepada rakyat setelah PR menang diketiga-tiga kawasan pilihan raya kecil kelak pada hujung bulan April ini.


Hakikatnya, Anwar tahu bahawa adalah sukar untuk PR menang di ketiga-tiga kawasan tersebut dalam keadaan rakyat semakin yakin dengan kepimpinan DS Najib dan meragui janji-janjinya selama ini. Jadi, mengapa mesti Anwar menunggu sehingga tamat pilihan raya kecil, jika beliau benar-benar mahu rakyat mengetahui "Rahsia Besar" tersebut? cakap sahajalah waktu sekarang - biar rakyat sama-sama menilainya, sama ada betul atau pun tidak? Jika ia benar maka beliau dan PR akan beroleh keuntungan, tetapi jika tidak wujud, maka sekali lagi rakyat telah ditipu.


Anwar telah menyebabkan rakyat menjadi semakin muak dan bosan dengan cara "Politik ala-Dedah Mendedah" ini, akhirnya rakyat tidak memeperoleh apa-apa keuntungan pun. Saya lihat Anwar semakin gelisah dan bimbang jika benar DS Najib akan membuat transformasi besar-besaran ke atas UMNO dan kerajaan, jika hal ini benar-benar berlaku, maka Anwar dan PKR sudah tidak relevan lagi, maka beliau boleh mengucapkan selamat tinggal kepada "Kerusi Perdana Menteri" yang diidam-idamkan selama ini.


Pada pandangan saya, kemenangan UMNO di Bukit Gantang - jika UMNO menang ia merupakan satu bonus, dan jika tewas itu tidak bermakna UMNO semakin lemah. Realitinya, rakyat masih menunggu dan melihat apakah reformasi dan transformasi yang dijanjikan oleh DS Najib akan dilaksanakan oleh beliau dengan sepenuhnya dalam masa terdekat ini. Oleh yang demikian, ujian yang sebenar bagi barisan kepimpinan UMNO dan DS Najib adalah dalam PRU Ke-13 kelak. Itulah medan terbaik sama ada Anwar masih terus relevan, ataupun sebaliknya. Wallahualam.

April 4, 2009

UMNO 2009 : Tolong Jangan Baca Entri Ini, Nanti Kena ISA?



FROM NEW HOPE
TO ONE HOPE


Oleh Muhammad Azli Shukri


Pagi ini Tun Mahathir telah menemui Perdana Menteri Malaysia yang baru iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi menyampaikan borang kemasukan semula sebagai ahli UMNO di Putrajaya. Serentak dengan itu, anak beliau Datuk Mokhzani Mahathir juga akan bertindak sama kembali kepada UMNO. Dan pada Isnin ini, Tun Mahathir dijangka turun berkempen di Dataran PPP, Batu 2 1/2 Simpang, Taiping untuk calon BN bagi kawasan Bukit Gantang.


Semalam, sewaktu menyampaikan ucapan penghargaan kerana dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 di kaca television, Datuk Seri Najib mengumumkan pembebasan seramai 13 orang tahanan ISA dan pada masa yang sama menarik semula sekatan penerbitan terhadap akhbar Harakah dan Suara Keadilan yang digantung permit penerbitannya selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta. Malah, Datuk Seri Najib juga berjanji akan mengkaji semula akta ISA yang digunapakai selama ini.


Saya secara peribadi melihat Datuk Seri Najib benar-benar ikhlas mahu mengubah Malaysia menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Beliau menggabungkan ciri-ciri ketegasan Tun Mahathir, disulami dengan kelembutan ayahnya Tun Razak dan dihiasi dengan toleransi gaya Tun Abdullah Ahmad Badawi - maka semua itu terungkap dalam satu slogan dipanggil "One Malaysia" - layari web/blog Perdana Menteri Malaysia yang baru ini di www.1malaysia.com.



Ingin saya menambah, bahawa sesungguhnya inilah yang amat ditakuti oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini. Beliau mengetahui bahawa DS Najib amat bijak berpolitik, beliau tidak sekadar bermain dengan slogan semata-mata, bahkah bijak bermain dengan retorika bahasa dan mampu pula mempraktikannya. Jelaslah bahawa DS Najib banyak belajar berpolitik daripada kepimpinan UMNO yang lalu. Dan sekarang Anwar menjadi semakin tidak relevan untuk Malaysia, dari slogan New Hope yang dicanang oleh Anwar, kini Malaysia kembali kepada One Hope yang dibawa oleh DS Najib.



Tiada maknanya Anwar menjadi harapan baru untuk Malaysia, andaikata beliau masih gagal mewujudkan satu harapan bersama dan kesejahteraan bersama sebagai warga Malaysia yang berbilang kaum dan budaya di Malaysia. Kini, DS Najib makin diterima oleh pelbagai kaum dan lapisan masyarakat, legasi Tun Abdul Razak yang penuh dengan kelembutan, kebijaksanaan, kini mengalir semula melalui sentuhan DS Najib. Dan sesungguhnya kematian untuk Anwar semakin jelas di depan mata, selamat tinggal Anwar, selamat berkubur PKR, dan selamat datang DS Najib. Kita tahu Anwar sangat kecewa apabila DS Najib mengangkat sumpah sebagai PM Malaysia yang ke-6, tetapi itu adalah takdir dan kita tidak akan berupaya mengubahnya. Iri hati, dendam dan dengki merupakan sifat mazmumah yang harus kita hindari, bersyukurlah dengan apa yang ada, marilah sama-sama kita bina satu harapan baru Malaysia di bawah DS Najib. InsyaAllah.


Saya juga suka memaparkan kepada DS Najib, agar sudi menilai cadangan-cadangan saya di bawah ini, demi memantapkan lagi perjuangan UMNO pada masa akan datang. Antara cadangan tersebut adalah seperti berikut :


1. Mansuhkan ISA, tetapi digantikan dengan penahanan individu dari kaca mata Islam dalam bab Bughah (pemberontakan dalam kaca mata Islam), Islam telah menggariskan bagaimana seseorang itu boleh ditahan tanpa bicara dalam klafikasi pemberontakan kepada agama dan negara. Hal ini ada dilaksanakan oleh Saidina Umar al-Khattab semasa pemerintahannya. (Sila baca tulisan saya berkenaan isu ini dalam blog ini bertajuk : ISA Pernah Wujud Zaman Umar? dalam label Rencana Pilihan).


2. Gubal Hukum Hudud untuk dibahaskan di Parlimen dan sama-sama kita laksanakan hukum tersebut di bumi Malaysia tercinta ini, agar kita semua sebagai warga Malaysia mendapat hidayah dan kasih sayang daripada Allah.


3. Wajibkan Datin Rosmah, isteri kepada DS Najib untuk memakai tudung, dan kemudian sama-sama kita berdakwah kepada puteri dan wanita UMNO untuk kita semua hamba Allah menutup aurat demi agama kita yang kita cintai.


4. Tekankan persoalan solat kepada semua ahli UMNO dan didik mereka dengan menghayati Islam dengan lebih sempurna, agar mereka memahami tentang dosa dan pahala, tentang haram dan halal. Semua ini akan menguatkan akidah ahli-ahli UMNO itu sendiri.


5. Keluarkan semula pemimpin UMNO yang korupsi dan jelas mempunyai rekod korupsi yang dibenci oleh rakyat dan ahli UMNO di peringkat akar umbi dari kepimpinan dan barisan kabinet DS Najib yang akan ditubuh kelak.


6. Semua kaum utama di Malaysia yakni Cina, India dan Melayu akan memperoleh hak asasi yang sama serta tiada beza sedikit pun jua. Namun demikian, kaum Melayu tetapi mempunyai keistimewaan mereka kerana itu telah termaktub di sisi perlembagaan.


7. DEB dihapuskan dan diganti dengan Agenda Ekonomi Nasional (AEN) yang lebih bersifat menyeluruh dan tidak mengira kaum dan agama.


8. AUKU dihapuskan terus dan bukan dipinda, dan digantikan dengan undang-undang yang lebih mesra dengan pihak universiti.


9. Libatkan semula tokoh-tokoh penting penyelamat negara seperti Tun Mahathir, Tun Daim dan Tengku Tan Sri Razaliegh dalam komuniti ekonomi negara.


10. Pastikan semula program UMNO sama ada besar atau kecil, mesti melibatkan agama (maknanya menekankan soal agama) dan tidak hanya untuk warga UMNO semata-mata, sebaliknya semua peringkat umur, kaum dan masyarakat akan turut terlibat.


11. Lebih banyak mendengar suara rakyat daripada suara perwakilan UMNO, atau ketua-ketua UMNO Bahagian, atau ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian dan seangkatan dengannya.


12. UMNO harus kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah serta rapatkan ukhwah dan banyak mendengar pandangan dan nasihat daripada para mufti, ulama dan ahli agama. Malah, UMNO harus bergerak tidak hanya sebagai badan politik atau NGO semata-mata, bahkan UMNO harus dilihat sebagai badan dakwah yang mengikut metodologi generasi salaf as-soleh dan mempunyai kumpulan dakwahnya yang tersendiri bagi memantapkan akidah dan mengurangkan gejala maksiat yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan generasi muda.



Inilah serba sedikit jika UMNO berhasrat mahu terus memimpin negara Malaysia tercinta ini. Walaupun mungkin saya dibenci dalam kalangan ahli UMNO sendiri apabila menyampaikan 12 perkara di atas ini, saya tidak akan peduli, saya mempunyai pendirian dan ikhlas mahu melihat UMNO berubah menajdi lebih baik. Dan jika UMNO bersungguh mahu berubah, maka inilah jalannya. Jika DS Najib mampu atau berupaya menilai cadangan-cadangan saya ini, saya yakin PAS dan PKR tidak akan lagi relevan di bumi Malaysia. Wallahualam. Mohon ampun dan maaf jika terkasar bahasa.

April 3, 2009

UMNO 2009 : INDEPENDENCE DAY


UMNO 2009
MAHATHIR THE REBORN


Hari ini saya isytiharkan sebagai Hari Kemerdekaan ke-2 kepada Malaysia, Datuk Seri Najib sudah sah bergelar Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. Dengan slogan "One Malaysia" Najib dijangka akan menjadi pilihan rakyat berbilang kaum di negara ini sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia yang akan disokong oleh setiap lapisan masyarakat, di samping disokong penuh oleh Tun Mahathir dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.



Anwar Ibrahim dikatakan semakin bimbang, kerana usaha untuk menyekat DS Najib menjadi Perdana Menteri telah menemui kegagalan, usaha jahat beliau untuk mempengaruhi YDP Agong bagi menggagalkan pelantikan DS Najib, tidak hanya mencemarkan nama baik Anwar sendiri, malah menjadikan rakyat Malaysia semakin benci melihat akan gelagat dan cara permainan politik rakus beliau selama ini. Manakala, kembalinya Tun Mahathir ke pangkuan UMNO tidak sekadar memulihkan semula kekuatan parti tersebut, bahkan secara tidak langsung menjadikan pasaran saham dan ekonomi negara kembali stabil, sekaligus menyakinkan rakyat dan para pelabur.



Hanya PAS dan PKR sahaja yang masih tidak mahu berusaha untuk menerima kenyataan bahawa DS Najib sudah pun menjadi Perdana Menteri Malaysia yang sah. DS Najib dijangka akan membentuk kabinetnya Rabu depan, dan nama Datuk Mukhriz Mahathir telah disebut-sebut sebagai calon untuk menerajui Kementerian Pelajaran Malaysia, manakala, Khairy Jamaluddin mungkin diminta berehat seketika sehingga namanya pulih daripada fitnah dan politik wang. Tidak akan ke mana gunung dikejar, kalau betul Khairy ditakdirkan menjadi Perdana Menteri Malaysia pada satu hari nanti, maka ia akan tetap berlaku. Tetapi untuk masa sekarang eloklah rapatkan dulu barisan Pemuda UMNO dan bersihkan imej yang sudah tercalar selama ini.



Akhir kata, Selamat Bersara Pak Lah, jasamu tidak akan kami lupa sebagai Bapa Kebebasan. Selamat Bertugas DS Najib, kami menunggu perubahan yang dijanjikan dan Selamat Kembali Tun Mahathir, bantuanmu sangat kami perlukan. Bersyukur kepada ALLAH dan semua warga bloggers, SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-2. Digarhayu Negaraku. Takbir!!

April 2, 2009

PAS 2009 : Tewas di Bukit Gantang?


PAS 2009 : Tewas di Bukit Gantang?


Saya terpaksa berterus terang bahawa sesungguhnya UMNO kini bersungguh-sungguh untuk berubah. Kepada penyokong pembangkang yang masih memainkan kata-kata nista dan kesat, kononnya UMNO sama sekali tidak akan berubah, merupakan satu pembohongan. Saya katakan, bahawa tidak semua ahli UMNO itu jahat dan makan rasuah, tidak semua ahli UMNO itu tidak solat dan main perempuan. Hakikatnya, ia sama seperti PAS, tidak semua ahli PAS baik dan alim, tidak semua juga ahli PAS yang bersih dan tidak makan duit rasuah. Ini semua adalah masalah individu. Kita tidak boleh menyalahkan mereka atas nama parti, lalu kita mendakwa "Oh semua ahli UMNO jahat dan makan duit rasuh, semua ahli UMNO zalim dan kejam" tuduhan-tuduhan seperti ini adalah dosa dan noda. Tiada manusia yang sempurnah dan boleh mendakwa bahawa mereka lebih baik daripada orang lain. PAS tidak sempurna, UMNO juga tidak sempurna. Ada juga ahli atau penyokong PAS yang jahat dan main perempuan, ada juga ahli atau penyokong PAS yang tidak sembahyang dan makan duit rasuah - itu adalah jelas dan ini merupakan sifat manusia yang tidak sempurna.



Rakyat memerhatikan kita semua, baik UMNO mahupun PAS - rakyat makin benci melihat gelagat ahli politik pada masa kini. Rakyat bukanlah suka sangat melihat gelagat Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang, tetapi rakyat seketika ini tiada pilihan. Semasa negara dipimpin oleh kepimpinan negara yang lemah, rakyat berpaling dengan menyokong pembangkang, tetapi sekarang UMNO benar-benar mahu berubah, berikan peluang dan ruang. Rakyat sudah bosan mendengar isu Attantuya yang tidak habis-habis dijaja oleh parti pembangkang, begitu juga rakyat sudah bosan mendengar kes liwat Anwar Ibrahim yang tidak pernah selesai sehingga ke hari ini. Rakyat mahu keamanan dan keyakinan. Rakyat sudah bosan dengan pembangkang yang hanya pandai bercakap dan berdemonstrasi, tetapi hasilnya tiada. Malah, sokongan kepada Anwar Ibrahim juga semakin luntur dan rakyat mula mengetahui siapakah Anwar yang sebenarnya. Janji menubuhkan kerajaan pada 16 September hanyalah omong kosong yang ditelan bulat-bulat oleh para penyokongnya. Tidak cukup dengan itu, PAS juga tidak pernah menegur DAP, apabila Karpal Singh begitu kurang ajar dengan Sultan Perak, malah turut melemparkan kata-kata kesat terhadap Anwar Ibrahim pada suatu ketika dahulu. Semua ini membosankan rakyat dan menimbulkan kekeliruan sahaja.



Lantaran itu, jika kita mendakwa bahawa Anwar terlalu bersih dan suci, maka mengapa sewaktu Anwar bersama UMNO kita mendakwa beliau begitu kotor dan terlibat dengan kegiatan tidak bermoral? Dan apakah setelah beliau menyertai pembangkang maka segala dosa-dosanya telah terampun dan beliau menjadi insan bersih dan suci kembali? Maka atas kapasiti apakah kita menghukum seseorang itu bersih atau kotor? apakah jika seorang ahli UMNO itu mengambil rasuah maka dia akan dikatakan sebagai perasuah, sebaliknya jika dia menyertai parti pembangkang, maka secara automatik "dosanya" itu bersih dan dan individu tersebut bolehlah dianggap sebagai sudah bertaubat. Saya bertambah hairan tatkala PKR melaungkan Ketuanan Rakyat, maka kedengaran pula PAS melaungkan Ketuanan Islam - apakah PAS tidak tahu bahawa di situ sudah menampakkan perbezaan yang sangat ketara dari aspek ideologinya?



Anwar sudah begitu banyak merosakkan perpaduan rakyat Malaysia - alasan perjuangan beliau yang mahu memimpin Malaysia dengan keadilan dan kesamarataan hanyalah pembohongan semata-mata. Tidak mungkin semua kaum mendapat keadilan yang sama rata, ianya bergantung kepada keadaan dan juga hukum-hukum tertentu. Tidak boleh semua orang mendapatkan hak yang sama, ia bergantung kepada keadaan dan realiti sesuatu perkara itu. Seorang yang kaya raya tidak akan dapat menerima zakat, seorang yang mempunyai anak yang ramai tidak mungkin sama bantuannya dengan mereka yang hanya mempunyai seorang anak. Orang Melayu yang lebih ramai di Malaysia, maka mestilah kaum ini dibantu lebih berbanding dengan kaum-kaum yang lain. Anwar mahu memperjuangkan apa? memperjuangkan kaum Cina dan India? apakah selama ini kerajaan menyisihkan kaum tersebut? apakah kaum Cina selama ini tidak pernah mendapat nikmat ketika berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional? apakah selama ini kaum India begitu terseksa di bawah kerajaan BN? segelintir manusia yang tidak pernah bersyukur ini sepatutnya dihantar kembali sahaja ke China dan India, biar mereka tahu kedudukan mereka di sana yang sebenarnya.



PAS juga parti yang tidak mahu bersyukur, seharusnya PAS menumpukan perhatian kepada kerja-kerja dakwah seperti yang dilakukan oleh Hassan Al-Banna, bukan mencaci maki kerajaan dan kepimpinannya. PAS sudah banyak terikut gaya Anwar Ibrahim - yakni matlamat menghalalkan cara. Kita, sebagai rakyat biasa mahu melihat PAS dengan pembangunan ekonominya, PAS dengan pembangunan dakwahnya dan PAS dengan cara hidup Islamnya. Tetapi, apa yang kita lihat pada hari ini hanya slogan Islam yang dilaung-laungkan tanpa praktikal dan amalan yang jitu. Keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda tidak boleh disalahkan kepada kerajaan semata-mata, PAS juga harus bertanggungjawab, jika PAS menjalankan kerja-kerja dakwah, krisis moral yang melanda remaja mungkin tidak akan menjadi seteruk ini. Tetapi PAS lebih banyak berpolitik daripada berdakwah.


Untuk menangani krisis keruntuhan moral remaja, tidak cukup dengan hanya PAS mengadakan ceramah di masjid-masjid sahaja, mereka perlu berkorban dan sanggup melakukan seperti mana yang pernah dilakukan oleh al-Arqam dahulu. Membina ekonomi mereka sendiri, berdakwah di pendalam Sabah dan Sarawak, membina kilang dan pusat rawatan mereka sendiri, membina perniagaan sehingga ke luar negara, membina sekolah dan prasarana sendiri, berdakwah di kaki-kaki lima, di pasar-pasar raya, malah membina hiburan alternatif seperti nasyid, berdakwah kepada penyanyi-penyanyi dan yang lebih penting lagi ahli-ahli al-Arqam di bawah kepimpinan Ustaz Muhammad Ashaari tidak seorang pun yang merokok. Inilah masyarakat yang kita mahu wujudkan dan seharusnya dilaksanakan oleh PAS selama ini dan bukannya mengumpat dan mengeji pemimpin negara serta mencari-cari kesalahan mereka. Itu adalah jelas tersasar daripada dakwah generasi salaf.



Malangnya, al-Arqam menyeleweng dari segi aqidah, jika tidak sudah lama PAS berkubur. Yang jelas PAS sudah lari dari landasan perjuangannya, jika mereka sibuk mencari keburukan UMNO dan menuduh bahawa UMNO sudah tergelincir daripada perjuangannya, maka hal yang sama juga berlaku kepada PAS. Sudah tiada roh Islam lagi di dalamnya, semua pemimpin PAS sibuk mengejar dunia dan kerusi Parlimen, manakala kerja-kerja dakwah ditinggalkan, dan kemudian menyalahlah UMNO ke atas segala kehancuran yang berlaku, pendek kata semua yang berlaku di Malaysia ini adalah salah UMNO, ekonomi merudum salah UMNO, masalah sosial salah UMNO, orang rasuah salah UMNO, orang main judi salah UMNO, orang berzina salah UMNO, orang mencuri salah UMNO, jadi di mana pula salah PAS? apakah yang PAS lakukan dalam membantu mengurangkan gejala tersebut? mengapa PAS tidak memberi perhatian kepada kerja-kerja dakwah? mengapa mesti begitu rakus mengejar kuasa dan pangkat? apakah Nabi dahulu mengutamakan kuasa dan pangkat? Nabi utamakan kerja dakwah dan baginda begitu zuhud kepada dunia, dan apabila kita zuhud kepada dunia, maka dunia akan datang serta tunduk kepada kita. PAS hakikatnya sudah lari daripada perjuangan asal mereka, malah sangat terpengaruh dengan rentak dan gaya Anwar Ibrahim yang menginginkan pangkat dan kuasa.



Maka, tanpa sedar syaitan telah memesongkan perjuangan PAS yang sebenar, daripada menumpukan perhatian kepada kerja-kerja dakwah, ke arah merebut kuasa dan kedudukan. PAS sudah terlalu sibuk mencari keburukan dan kehinaan UMNO sehingga lupa bahawa mereka sebenarnya memegang amanah Allah untuk berdakwah. Untuk berdakwah ada metodologi atau uslubnya dan bukan secara maki hamun dan mencaci kepimpinan negara. Memang UMNO juga ada keburukannya, malah tidak kurang pemimpin-pemimpin UMNO yang terlibat dengan rasuah dan masih dipilih oleh perwakilan - tetapi saya jelaskan bahawa "nawaitu" untuk berubah ke arah yang lebih baik sudah ada dalam sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO. Maka, berikan peluang bagi mereka membuktikannya. Malah, dalam UMNO juga sudah mula wujud kumpulan yang ikhlas mahu melihat UMNO kembali kepada perjuangan asal dan kembali kepada perjuangan Islam. Wallahulam.

April 1, 2009

UMNO Masih Belum Selamat?

UMNO MASIH BELUM SELAMAT?

Sumber menyatakan bahawa, UMNO masih belum selamat di Bukit Gantang, ada beberapa perkara harus segera diteliti dan difahami. Antara maklumat yang mungkin mampu membantu kemenangan UMNO di Bukit Gantang antara adalah :


1. Pembentukan Kabinet Baru oleh Datuk Seri Najib, rakyat mahu melihat kabinet yang bersih dan kelihatan bersih.

2. Kedudukan Datuk Mukhriz dan Tun Mahathir dalam UMNO.

3. Tindakan yang dikatakan akan diambil segera ke atas pemimpin-pemimpin UMNO yang melakukan rasuah dalam pemilihan baru-baru ini.

4. Isu "rampasan kuasa" yang dicanang oleh pembangkang, adakah sah atau sebaliknya, mahkamah masih lambat bertindak.

5. Majlis Tertinggi UMNO, siapa pilihan Datuk Seri Najib bagi mengisi kouta pilihan Presiden.

6. Pakej rangsangan ekonomi, rakyat menginginkan rasa selamat dan harmorni.



Ini merupakan sebahagin kecil maklumat yang penulis terima daripada beberapa sumber. Wallahualam.