Tetamu Kehormat...

March 31, 2009

Dari Kuala Kangsar Ke Bukit Gantang


Dari Kuala Kangsar ke Bukit Gantang



Saya terpanggil bagi menjawab beberapa tuduhan liar Datuk Seri Nizar di Kemunting semalam, dengan mendakwa bahawa rakyat di Bukit Gantang harus menolak BN beralaskan kepada beberapa alasan tersebut :

1. BN/UMNO mengamalkan politik perkauman.

2. BN/UMNO mengugut rakyat.


Kedua-dua hujah yang dikemukakan oleh Nizar semalam begitu jelas menggambarkan kegoncangan hati dan emosi beliau selama ini. Saya sangat berkeyakinan bahawa Nizar merupakan seorang yang baik - tetapi malang kerana terpengaruh dengan gaya politik PAS selama ini, akhirnya beliau menjadi kasar serta terikut-ikut dengan rentak dan gaya pemimpin PAS yang lain.



Benarkah UMNO mengamalkan politik perkauman? Jawapannya mudah UMNO hanyalah sebuah parti yang percaya bahawa asal Malaysia ini adalah hak orang Melayu, lantaran itu terkandung di dalamnya beberapa hak yang harus ada kepada penduduk asalnya. Dan UMNO hanya mempertahankan hak bangsanya sahaja. "Hak" bermaksud kepunyaan wajib yang mesti dipertahankan. Itu sahaja yang UMNO perjuangkan. UMNO berhak mendaulat dan mempertahankan Islam, UMNO berhak menjaga institusi raja-raja, UMNO berhak memelihara keistimewaan yang dimiliki oleh orang Melayu.



UMNO tidak ambil hak orang lain atau bangsa lain. Apabila kita mengambil tanah rizab orang Melayu, kita seharusnya menggantikannya semula tanah tersebut, kerana itu jelas merupakan hak orang Melayu, tetapi Datuk Seri Nizar tidak melakukannnya - dan kerana itulah sultan Perak murka. Jika kita mahu memberikan tanah rizab orang Melayu kepada Cina atau India sekali pun - kita harus menyediakan gantinya. UMNO hanya menuntut haknya sahaja. Orang Melayu tidak harus diperbodoh-bodohkan dengan dakwaan bahawa UMNO parti perkauman.



Apabila DAP terlibat sama dalam pentadbiran negeri Perak, bukankah mereka juga bersifat perkauman? dengan membantu kaum Cina dan menuntut hak mereka? dan apakah tatkala UMNO membantu orang Melayu maka itu baru dikatakan sebagai perkauman? Nizar terlalu mudah mempercayai kata-kata pemimpin partinya, dan akhirnya tidak dapat melihat kebenaran. Nizar seharusnya bercakap benar mengapa Sultan Perak begitu murka kepadanya. Apakah yang sudah beliau lakukan sehingga menyinggung hati sultan dan istana selama beliau mentadbir Perak. Semua ini berlaku sebelum kerajaan Perak jatuh ke tangan BN. Jangan kita tidak henti-henti mempromosikan bahawa BN zalim kerana merampas Perak secara tidak sah - sebaliknya kita lupa bahawa idea tersebut adalah datangnya daripada Anwar Ibrahim sendiri.



Sebelum kejatuhan Perak ke tangan BN - sudah banyak kali Nizar mengabaikan hak orang Melayu Perak - semua ini tidak disedari oleh orang Melayu sendiri, malah orang Melayu yang menyokong PAS pun hakikatnya tidak sedar bahawa hak mereka turut akan lenyap di bawah pentadbiran Nizar dan sekutu-kutunya, DAP. Kita tidak akan digelar perkauman semata-mata kerana mahu mempertahankan hak kita. Orang Melayu ada tanah miliknya, dan adalah salah jika tanah milik orang Melayu diberikan kepada orang lain, ini bukan soal perkauman, sebaliknya soal hak, tidak kira orang Cina, orang Melayu atau pun orang India. Soal hak tidak mengira kaum dan bangsa.



Nizar harus menjelaskan mengapa Sultan Perak murka kepada beliau berhubung soal tanah di Perak. Semua ini tidak diceritakan. Kita tidak menafikan hak bangsa lain, tetapi kita marah apabila hak kita diberikan kepada orang lain, semata-mata mahu menunjukkan kesamarataan hak dan keadilan. Keadilan hanya tercapai apabila kita mempertahankan hak bangsa kita dan bukannya memberikan hak tersebut kepada bangsa lain. Tiada keadilan walaupun sedikit jika kita memberikan hak bangsa Cina kepada bangsa Melayu dan tiada keadilan juga jika kita memberikan hak bangsa Melayu kepada bangsa Cina. Itu adalah jelas.


Bersambung...

March 29, 2009

Mahathir Belum Mati


Do You Still Remember Me?


Pada hari ini, semua suratkhabar perdana menyiarkan gambar Tun Mahathir berdiri bersama-bersama dengan saf kepimpinan baru UMNO yang dilantik oleh para perwakilan, dan seluruh rakyat khususnya orang-orang Melayu dengan secara tiba-tiba "dikembalikan" semangat mereka untuk bersungguh-sungguh memenangai ketiga-tiga pilihan raya kecil yakni di Bukit Gantang, Batang Ai dan Bukit Selambau. Ribuan penyokong UMNO dan BN mengiringi calon BN di Bukit Gantang, iaitu Ismail Safian ke pusat penamaan calon - rasanya belum pernah semangat sebegini rupa yang ditonjolkan oleh para penyokong UMNO dalam mana-mana pilihan raya kecil - malah tidak syak lagi , BN mampu merampas kembali kerusi parlimen tersebut.



Jelaslah, kehadiran Tun Mahathir di Persidangan UMNO semalam , dan janjinya untuk kembali kepada UMNO, sekurang-kurangnya telah menyunting semangat baru dalam kalangan ahli UMNO, untuk melihat parti tersebut kembali pulih dan bertenaga semula, malah untuk seketika "segala dosa" Khairy dilupakan demi memastikan calon BN menang pada kali ini. Namun demikian, ingin saya tekankan, bahawa sesungguhnya BN melalui laluan yang sukar untuk menang , sekiranya pengundi Cina dan India tidak diberi perhatian serius akan peranan mereka. Sekarang, sekali pun "pengundi atas pagar" mungkin majoritinya mengundi BN pada kali ini (kerana teruja dengan "mood" di Persidangan UMNO baru-baru ini, dan ditambah lagi dengan fakta bahawa Datuk Seri Nizar bukanlah orang tempatan), sebaliknya jika para pengundi Cina dan India di Bukit Gantang masih tidak yakin kepada UMNO dan BN - saya fikir BN mungkin kecundang.



Kembalinya "Semangat Mahathir" merupakan satu anjakan paradigma dan menghancurkan dogma lama milik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mendakwa bahawa "Mahathir Tidak Mungkin Membantu UMNO untuk Kuat Kembali " - sebaliknya batang tubuh Mahathir yang menjelma tatkala Tan Sri Muhyiddin berucap semalam, menampakkan bahawa Mahathir masih berupaya mempengaruhi keadaan dan menentukan kemenangan BN di Bukit Gantang.



Mahathir sudah kembali dan memberikan aspirasi, sekarang tiba giliran kita pula menggalas tanggungjawab bagi memujuk dan meyakinkan pengundi Cina dan India - agar kembali memberi sokongan kepada BN. Tetapi, soalnya bagaimana? Saya berpandangan bahawa UMNO tidak seharusnya memainkan isu penderhakaan - ia pasti memakan diri sendiri, isu tersebut tidak mampu menarik minat kaum Cina dan India untuk memangkah BN kembali, tetapi ia berbeza dengan orang Melayu yang mampu dipengaruhi dengan isu tersebut. Pada pandangan kaum Cina dan India isu "rampasan kuasa" yang sedang berlaku di Perak, sebenarnya masih belum diputuskan oleh Mahkamah, sama ada ia sah di sisi undang-undang atau sebaliknya, lantaran itu, mereka hanya akan yakin kepada BN apabila Mahkamah membuat keputusannya kelak.



UMNO juga tidak boleh memainkan isu Anwar Ibrahim - kerana ia hanya mengundang kebencian dan menampakkan bahawa UMNO kekuranga isu serta masih bermain dengan isu basi dan modal lama. Jadi, jika semua isu tidak boleh dimainkan oleh UMNO, apakah yang harus kita lakukan? Jawapan saya sangat mudah - UMNO akan menang sekiranya kita berkempen dengan cara berikut :


1. Jangan memburuk-burukan parti pembangkang secara berlebih-lebihan.


2. Tumpu isu dan kempen dengan menyatakan bahawa UMNO, sesungguhnya sudah bersih dan ke arah pembaharuan.


3. Khairy jangan turun berkempen.


4. Banyak menyatakan transformasi ekonomi yang ingin kerajaan lakukan.


5. Apakah masalah Cina dan India yang perlu ditangani segera.


6. Jangan umumkan apa-apa projek atau janji "buat itu dan buat ini", rakyat tidak berapa suka.


7. Bawa seramai boleh ahli -ahli Pemuda UMNO untuk bersolat secara berjemaah di masjid-masjid sekitar kawasan Parlimen Bukit Gantang dan selepas itu sama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan Masjid tersebut. Ambil pendekatan psikologi dan bukan caci maki.


8. Pemimpin UMNO perlu menjadi Imam dan membaca doa, agar penduduk kampung faham bahawa UMNO benar-benar mahu berubah ke arah yang lebih baik, dan tidak hanya berubah dari aspek kepimpinan sahaja, sebaliknya melibatkan perubahan dari aspek kerohanian juga.


9. Manakala, untuk memancing undi kaum Cina dan India - mereka agak lebih tertarik kepada isu kesakmaan hak dan kemajuan ekonomi, beri tumpuan dalam hal ini. Apakah hak-hak India yang boleh diberi secara terus dan menyenangkan hati mereka, manakala bagi kaum Cina pula, para pemimpin UMNO harus segera membentangkan plan dan rancangan bagi memantapkan ekonomi Malaysia untuk jangka masa panjang.



10. Semua pemimpin UMNO yang berkempen di Bukit Gantang - harus berbicara dengan menggunakan "Bahasa Orang Bukit Gantang" bukannya "Bahasa Orang Kuala Lumpur" - mereka tidak mahu melihat pemimpin UMNO turun dengan lagak dan sombong - sebaliknya mereka mahu pemimpin UMNO hampir dan boleh memberi keyakinan kepada mereka, sebagaimana Anwar menaburkan janji-janjinya untuk memberi kebebasan dan hak kesamarataan.


Sesungguhnya, undi Melayu InsyaAllah separuh lebih mampu kita peroleh di Bukit Gantang - lantaran Mahathir sudah kembali, sebaliknya UMNO harus mendapatkan kembali undi daripada kaum Cina dan India. Anwar Ibrahim menang adalah kerana beliau menumpukan perhatian untuk menyenangkan hati kedua-dua kaum tersebut. Dan sekarang kita perlu mengenalpasti pendekatan yang lebih bijak - bersesuaian dengan transformasi yang ingin kita lakukan di dalam UMNO kelak. Sesungguhnya Tun Mahathir masih hidup dan akan mengembalikan kekuatan UMNO yang semakin menampakkan perubahan. Wallahualam.

March 27, 2009

Daripada Rakyat Kepada Rakyat : Ke mana Mukhriz Selepas Ini?


Daripada Rakyat Kepada Rakyat


Kita harus bersyukur - sesungguhnya "Kem Kebenaran" sudah menang. Setidak-tidaknya gandingan Datuk Seri Najib bersama Tan Sri Muhyiddin sangat sesuai dan mampu meneruskan perjuangan UMNO. Setakat ini, nampaknya kumpulan bersih telah berjaya mewarnai dan menerajui kepimpinan tertinggi UMNO - walaupun saya agak kecewa sedikit dengan kekalahan Datuk Seri Rais Yatim dan Datuk Mukhriz Mahathir. Namun demikian, suara lantang masih wujud di dalam UMNO.



Datuk Seri Shahrizat dalam ucapannya setelah bergelar Ketua Wanita UMNO, turut mengucapkan terima kasih beberapa kali kepada Tun Mahathir - kerana banyak menyokongnya dalam dunia politik. Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Najib juga dikatakan sangat rapat dengan Tun Mahathir - ini menandakan, InsyaAllah mungkin banyak idea dan pandangan Tun Mahathir akan didengari selepas ini. Saya ucapkan tahniah juga kepada Datuk Seri Hishamuddin, Datuk Syafie Apdal dan Datuk Seri Zahid Hamidi kerana berjaya seperti mana yang telah diramalkan ramai pihak - jelaslah bahawa perwakilan dalam Wanita UMNO dan perwakilan dalam Mesyuarat Agung - jauh lebih bijak daripada sebahagian perwakilan dalam Pemuda UMNO. Setakat ini, pertandingan yang kelihatan tidak bersih hanyalah berlaku di dalam Pemuda UMNO. Semoga kebenaran akan tertegak juga akhirnya.



Saya juga difahamkan, mungkin Datuk Mukhriz Mahathir akan dilantik sebagai Ahli Jemaah Menteri, saya tidak tahu kementerian mana yang bakal diterajuinya - itu pun jika khabar angin ini betul dan tepat. Saya menyambut baik cadangan tersebut, hal ini adalah kerana Datuk Mukhriz pernah berjanji, andaikata beliau memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, beliau sama sekali tidak akan menerima apa-apa jawatan kabinet, kerana mahu memberi tumpuan untuk menarik minat golongan muda kepada UMNO dan memulihkan Pemuda UMNO. Ini satu pengorbanan yang besar. Sememangnya benar agak sukar untuk bekerja jika kita terlalu banyak memegang jawatan yang besar sama ada dalam parti mahupun dalam kerajaan. Ketika UMNO masih lemah, eloklah rasanya setiap pemimpin UMNO menumpukan perhatian kepada jawatan masing-masing, jangan terlalu banyak memegang jawatan sehingga parti terabai.



Berbalik kepada persoalan jika benar Datuk Mukhriz akan dilantik sebagai menteri, saya melihat ia sangat relevan dan sesuai bagi memenuhi aspirasi Datuk Seri Najib yang mahukan barisan kepimpinan yang bersih dan amanah. Rakyat juga mahu melihat barisan kabinet yang bakal dilantik oleh Datuk Seri Najib nanti merupakan muka-muka baharu dan terbukti mampu bekerja dengan baik, di samping pemimpin yang bersih dan diterima baik oleh rakyat. Saya merasakan ciri-ciri tersebut ada pada Datuk Mukhriz. Selain beliau bebas daripada gejala politik wang, beliau juga seorang pengurus dan seorang ahli politik yang disenangi oleh semua orang.



Malah, pelantikan beliau sebagai menteri juga bakal meredakan kemarahan para penyokong dan rakyat jelata yang sekarang ini terasa seperti ditipu oleh sebahagian daripada perwakilan yang jelas tidak amanah baru-baru ini. Jika dahulu, Datuk Mukhriz akan menolak jawatan menteri sekiranya beliau memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO, maka saya rasa kali ini, beliau tidak punya alasan untuk menolak andaikata Datuk Seri Najib mahu melantik beliau sebagai salah seorang daripada ahli kabinetnya.



Saya juga secara peribadi beranggapan, Datuk Seri Najib akan melantik Datuk Mukhriz sebagai menteri lantaran mahu meyakinkan rakyat bahawa beliau benar-benar inginkan ahli kabinet yang bersih dan kelihatan bersih, di samping pelantikan Datuk Mukhriz sebagai menteri kelak, sekurang-kurangnya menguatkan imej BN dan membalas jasa Tun Mahathir yang selama ini begitu kuat menyokong Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Selain daripada itu, pelantikan Datuk Mukhriz juga dikatakan berkait rapat dengan hasrat akar umbi dan rakyat jelata - yang mahu melihat kelibat anak Tun Mahathir itu di persada perdana, sekali gus berupaya menarik minat generasi muda kepada UMNO dan meredakan rasa kecewa dalam kalangan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi, serta secara tidak langsung mengelakkan perpecahan dan undi protes daripada mereka kelak. Saya merasakan Datuk Mukhriz tidak akan menolak jika ia benar-benar berlaku. Terimalah jika dilantik sebagai menteri demi mengukuhkan kembali kepercayaan rakyat dan akar umbi kepada UMNO dan kerajaan.



Manakala, bagi Khairy pula - semua ahli pemuda akur dengan kehendak "perwakilan" yang tidak amanah tersebut, dan sudah semestinya beliau harus bekerja keras untuk membuktikan bahawa beliau berupaya memimpin pemuda, maka adalah molek jika beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada Pergerakan Pemuda dan tidak perlu dibebankan dengan tugas sebagai ahli kabinet - adalah lebih baik Khairy membersihkan dirinya dan membetulkan saf kepimpinan pemuda yang sedang "sedikit" bergoncang akibat kemenangan beliau yang "tidak dijangka" itu. Kita bimbang jika beliau dilantik sebagai menteri maka rakyat sekali lagi akan menolak UMNO dan menuduh bahawa UMNO masih mengambil individu yang tidak bersih sebagai menterinya.



Saya yakin khairy turut bersetuju dengan cadangan tersebut, yang mana beliau memberi sepenuh perhatian bagi mengukuhkan Pemuda UMNO yang telah berpecah belah ini, manakala Datuk Mukhriz pula memberi sepenuh perhatian sebagai seorang menteri penuh. Saya rasa inilah yang rakyat dan akar umbi UMNO mahukan, satu kita memenuhi kehendak "perwakilan" yang satu lagi kita memenuhi kehendak rakyat dan akar umbi. Semoga mesej rakyat dan suara akar umbi ini akan didengari oleh Datuk Seri Najib dengan hati terbuka dan ikhlas. Wallahualam.



* Kepada semua blogger diminta memberikan cadangan, apakah layak atau tidak Datuk Mukhriz Mahathir dilantik sebagai menteri. Dan kementerian apakah yang sesuai untuknya? mungkin pandangan daripada bloggers akan diambil perhatian oleh kepimpinan negara kelak.

March 26, 2009

Tan Sri Muhd Muhammad Taib mendahului kiraan undi?



Khabarnya Tan Sri Muhd Muhammad Taib mendahului undian - sama ada benar atau pun tidak, hanya Allah sahaja yang mengetahui. Kita berdoa agar Tan Sri Muhyiddin menang. Inilah tinggal harapan terakhir. Wallahualam.

Di Sini Jalan Mula Bengkok


Di Sini Jalan Mula Bengkok


Saya terpanggil untuk sekian kalinya bagi memberi pandangan terakhir berkenaan kemenangan Khairy Jamaluddin, sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia - saya tegaskan tidak timbul soal untuk tidak menerima keputusan tersebut, kita harus akur akan kehendak "perwakilan". Hakikatnya itu semua telah tertulis sebagai takdir. Ini semua orang tahu. Tidak perlu dipertikaikan. Namun demikian, sesuatu yang berlaku pasti ada sebab musababnya - itu adalah sunnahtullah. Kemenangan Khairy merupakan simbol kepada beberapa perkara yang akan saya senaranaikan di bawah ini. (Senarai ini adalah hasil daripada SMS serta komen yang penulis terima sejak tengah malam semalam sehingga pagi ini)


1. Akan muncul api fitnah yang dahsyat kepada UMNO secara berterusan, dan tidak mungkin mampu dipadam lagi.


2. Akan berlaku perpecahan dengan apa yang saya istilahkan sebagai natijah daripada tidak yakin terhadap sistem pemilihan UMNO.


3. Menjadikan masyarakat semakin membenci dan menuduh bahawa lebih baik tidak diadakan konsep pencalonan daripada bahagian masing-masing, sebaliknya jawatan di dalam UMNO harus terus dibuka tender sahaja.


4. Hilang kepercayaan terhadap UMNO dalam kalangan ahli-ahlinya sendiri.


5. Jelaslah bahawa kuasa dan nasihat daripada Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi dipedulikan oleh perwakilan.


6. Tidak mustahil Tan Sri Muhyiddin akan tewas sebagai Timbalan Presiden UMNO


7. Anwar Ibrahim kembali kuat dan berkuasa dan apakah akan ada kompromi serta "hubungan mesra" antara Pemuda UMNO dengan Anwar kelak?.


8. Akan wujud undi protes dalam kalangan ahli UMNO sendiri apabila berhadapan dengan pilihan raya kecil atau PRU kelak.


9. Wujud desakan yang kuat agar cara pemilihan harus diubah dan tidak lagi menyerahkan kepada perwakilan yang jelas tidak amanah.



10. Kemenangan KJ adalah bukti bahawa ekonomi Malaysia masih belum pulih dan "ekonomi" para perwakilan sendiri semakin terjejas, banyak projek tidak bergerak dan para perwakilan memerlukan seorang pemimpin yang tidak hanya mampu menabur wang, tetapi juga projek.


11. Kemenangan KJ sama sekali tidak menaikkan imej diri beliau - sebaliknya semakin membawa ke arah kebingungan orang ramai dan kebencian rakyat.


11 Perkara di atas adalah hasil daripada respon orang ramai terhadap kemenangan Khairy semalam. Harap Maklum.

March 25, 2009

Terima Kasih Para Perwakilan


Terima Kasih Para Perwakilan



Akhirnya, kebenaran sudah mati - dan kehancuran UMNO berada di hadapan kita semua. Tahniah Khairy, dan Tahniah semua perwakilan. Semoga kesilapan ini akan menyedarkan kita semua. Sesungguhnya memang benar - kita masih belum mahu insaf dan bertaubat, kita masih mahu berkiblatkan wang dan kepentingan diri. Selamat maju jaya kepada Pemuda UMNO Malaysia. Akhirnya, kita dapat jua seorang Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang sudah pun didapati bersalah terlibat dalam politik wang. Apa-apa pun sebagai ahli Pemuda saya akur dengan keputusan tersebut, namun demikian saya tetap berasa malu mendapat seorang Ketua Pemuda yang jelas terlibat dengan politik wang, setelah Lembaga Disiplin UMNO membuktikannya sebelum ini.


Malu melihat cara dan gaya para penyokong Khairy yang seolah-olah begitu bongkak dan bangga dengan kemenangan yang penuh diselubungi dengan rasa curiga dan sangsi. Semoga kebenaran akan terselah jua akhirnya. Wallahualam.

Kiraan Undi : Khairy Mendahului?


Khairy Mendahului?


Khabarnya Khairy Jamaluddin mendahului persaingan dari segi pengundian di PWTC, sama ada benar atau tidak, hanya Allah sahaja yang tahu, namun demikian pengiraan undi masih berjalan. Apa-apa pun, kita tetap berdoa agar Allah selamatkan UMNO. Dijangkakan keputusan akan diketahui pada jam 9 malam ini. Jika benar Khairy menang, nampaknya kita tidak mengambil pengajaran daripada apa-apa yang telah berlaku kepada UMNO selama ini. Wallahualam.

Di Sini Tiada Jalan Bengkok


DI SINI TIADA JALAN BENGKOK


Apabila Datuk Seri Najib menyatakan bahawa, Pemuda UMNO harus "Berani Berubah" dan menyebut nama mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad - begitu kuat tepukan yang diberikan oleh perwakilan semalam. Ternyata terdapat mesej tersirat yang harus segera difahami oleh para perwakilan. Saya yakin bahawa Datuk Seri Najib inginkan Mukhriz memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Tan Sri Muhyiddin sebagai timbalannya.


Untuk sekian kalinya - pada pandangan saya, inilah satu-satunya ucapan Datuk Seri Najib yang paling baik dan memahami aspirasi kehendak akar umbi dan masyarakat - beliau tidak hanya mahu barisan kepimpinan yang bersih dan mampu bekerja semata-mata, bahkan mahu membuka lebih ruang kepada seluruh ahli UMNO agar terlibat sama dalam menentukan pucuk pimpinan pada masa akan datang. Inilah yang kita mahu. Saya percaya, jika beliau ikhlas dan bersungguh-sungguh - UMNO akan kuat semula dan pada masa yang sama jangan lupa "tarik" kembali Tun Mahathir ke dalam UMNO.



Ucapan yang penuh dengan semangat dan idea pembaharuan yang disampaikan oleh Datuk Seri Najib semalam - setidak-tidaknya memberi harapan baru kepada ahli UMNO dan orang Melayu yang sayangkan UMNO - sememangnya mereka mengharapkan Datuk Seri Najib berupaya melaksanakan janji-janjinya itu, setelah beliau diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia kelak. Yang dinantikan oleh ahli-ahli UMNO sekarang hanyalah pelaksanaan dan menunaikan janji yang telah dinyatakan dalam ucapan beliau semalam. Bermula pada hari ini, para perwakilan harus jelas menerima mesej yang telah disampaikan oleh Datuk Seri Najib tersebut, moga-moga mereka mengundi dengan tepat dan ikhlas. Saya yakin mereka yang memenangi jawatan adalah seperti berikut (InsyaAllah) :


1. Tan Sri Muhyiddin : Timbalan Presiden kelebihan undi sekitar puluhan sahaja

2. Datuk Seri Hishamuddin : Naib Presiden I kelebihan undi sekitar seratus atau dua ratus undi.
Datuk Seri Dr Zahid Hamidi : Naib Presiden II kelebihan undi sekitar seratus undi lebih.
Datuk Syafie Apdal : Naib Presiden III kelebihan undi sekitar puluhan undi sehingga seratus. (Walaupun saya sebenarnya mengharapkan Datuk Seri Rais Yatim menjadi salah seorang Naib Presiden)

3. Tan Sri Rafidah Aziz : Ketua Wanita kelebihan undi seratus lebih atau mungkin tidak sampai. (Walaupun saya sebenarnya mengharapkan Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai Ketua Wanita)

4. Datuk Mukhriz Mahathir : Ketua Pemuda kelebihan undi sekitar puluhan sahaja.

5. Datuk Reezal Merican : Naib Ketua Pemuda kelebihan undi sekitar lima puluh hingga lapan puluh.


Apa-apa pun ini hanyalah sekadar coretan ramalan peribadi semata-mata, hanya Allah juga yang mengetahuinya.Wallahualam. Selamat mengundi dan bersidang.

March 24, 2009

Ini Pandangan Saya



INI HANYALAH PANDANGAN SAYA


Setelah berdoa dan membuat penyelidikan, maka di sini saya perturunkan hasil "Ijtihad Politik" saya berkenaan pemimpin UMNO, (menurut pandangan) yang layak untuk dipilih oleh para perwakilan UMNO kelak. Menurut pengetahuan yang saya miliki (jika salah tolong betulkan), ini adalah senarai pemimpin UMNO yang terbaik dan bersih sehingga saat ini. Masalah peribadi mereka yang lain, saya tidak tahu. Saya serahkannya kepada Allah, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui yang mana benar-benar bersih dan yang mana pula yang kotor. Wallahualam. Kita hanya berupaya menilai dan mencari yang benar-benar hampir ke arah pemimpin yang bersih. Tetapi, hakikatnya hanya Allah sahaja yang mengetahui. Semoga Allah selamatkan UMNO dan pemimpinnya daripada fitnah dan malapetaka. Amin.


Presiden UMNO merangkap
Perdana Menteri Malaysia ke-6


Datuk Seri Najib Razak


Timbalan Presiden UMNO
merangkap Timbalan Perdana Menteri


Tan Sri Muhyiddin Yassin


Naib Presiden UMNO I

Datuk Seri Hishammuddin Hussein


Naib Presiden UMNO II

Datuk Seri Rais Yatim


Naib Presiden UMNO III

Datuk Seri Syed Hamid Albar/ Datuk Khaled Nordin /Datuk Zahid Hamidi (mana-mana satu pun pada pandangan saya layak dan ada kualiti)


Ketua Pemuda UMNO

Datuk Mukhriz Mahathir


Ketua Wanita UMNO

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil

March 22, 2009

Mesej dari Tempat Tinggi



MESEJ DARI TEMPAT TINGGI


Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak berkata agar, para perwakilan mestilah memilih pemimpin yang mencerminkan apa yang baik di sisi rakyat, saya sudah dapat mengagak apakah mesej yang tersirat yang ingin disampaikan oleh beliau.



Najib agak tertekan jika para perwakilan tidak memahami apakah yang sebenarnya dikehendaki oleh masyarakat luar, khususnya orang Melayu di luar UMNO. Jika para perwakilan faham akan kehendak dan "mood" sebenar masyarakat di luar sana, Najib yakin beliau akan lebih mudah menangani hujah dan tohmahan parti pembangkang kelak. Sekurang-kurangnya, UMNO tidak lagi dituduh sebagai parti yang masih mahu memilih pemimpin yang "mempunyai rekod yang bermasalah" sebagai menerajui parti tersebut.



Najib sebenarnya mahu para perwakilan faham - untuk sekurang-kurangnya kali ini, berilah kepercayaan, dengan memilih pemimpin yang mempunyai rekod bersih di kaca mata rakyat. Dengan kata lain, pilihlah Muhyiddin, Mukhriz, Hishamuddin, Rais Yatim, Zaid Hamidi dan Shahrizat. Jika semua nama tersebut mendapat tempat dalam barisan kepimpinan UMNO kelak, najib percaya dan yakin bahawa pemimpin pembangkang agak sukar untuk menyerang "masalah peribadi" mereka, sekali gus menjadikan UMNO lebih berupaya dan berkeyakinan menghadapi pembangkang dalam PRU Ke-13 nanti. Najib nampak ikhlas mahu membersihkan UMNO, malah beliau juga sangat jelas mahu para perwakilan memilih nama-nama tersebut. Walaupun mereka mungkin tidak mendapat sokongan yang agak kuat daripada para perwakilan - tetapi, fikirkan tentang orang Melayu di luar UMNO yang menginginkan golongan yang bersih memimpin parti tersebut, mereka sayangkan UMNO, tetapi membenci beberapa imej pemimpinnya, maka dengarlah suara mereka yang berada di luar UMNO itu. Jika tidak, kita boleh sama-sama mengucapkan sayonara kepada UMNO dan membacakan talqin untuknya.



Jadi, saya fikirkan di sini bahawa, apa-apa yang sedang berlaku sekarang adalah pertembungan antara "Yang Bersih dengan Yang Tidak Bersih" bagi memastikan UMNO terus relevan pada masa akan datang. Saya juga mencadangkan agar para perwakilan melakukan solat Istikharah dalam memilih pemimpin yang terbaik, mintalah petunjuk daripada Allah, agar UMNO selamat daripada para pemimpin yang korup, sekali gus membolehkan UMNO menjadi lebih kuat dan bertenaga. Wallahualam.

March 20, 2009

"Semalam, Saya Menerima SMS daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin."



HENTIKAN SEGALA FITNAH


Saya agak tertarik dengan kenyataan Datuk Seri Ali Rustam semalam, bahawa tidak timbul isu konspirasi untuk menjatuhkan beliau melalui Lembaga Disiplin. Kenyataan tersebut turut disambut oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib dengan menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO perlu menerima keputusan tersebut, serta memikirkan kepentingan UMNO melebihi daripada kepentingan individu.



Yang menarik perhatian saya adalah, terdapat satu mesej yang sangat jelas bahawa apa-apa yang sedang berlaku ketika ini merupakan pertembungan antara "pemimpin UMNO yang berimej bersih VS pemimpin UMNO yang berimej tidak bersih", malah terdapat usaha yang meminta mana-mana pemimpin UMNO yang mempunyai imej tidak baik dan bersih, disaran berehat dahulu daripada politik, serta pikirkan terlebih dahulu kepentingan parti dan kehendak akar umbi. Saya mengucapkan kesyukuran, tatkala Datuk Seri Ali Rustam, mengakui kesilapan beliau dan berharap agar para penyokongnya bertenang dan seterusnya mempunyai kebebasan bagi memilih calon yang dikira sesuai untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO kelak. Namun demikian, yang menjadi masalah di sini bukanlah Ali Rustam, sebaliknya penyokong Ali Rustam yang tidak berupaya menerima keputusan tersebut.



Hal ini adalah sangat jelas, kerana begitu ramai ketua-ketua UMNO Bahagian yang bergantung harap dengan projek dan tender dari negeri Melaka. Golongan inilah yang sebenarnya marah dan memberontak. Menurut mereka, "apa nak jadi ni, abislah masa depan dan tender aku kalau Ali tak bertanding, kalau Ali menang, dapatlah projek sedikit." Kenyataan seumpama ini adalah lumrah di dalam UMNO. Ini adalah sistem yang diterima pakai oleh UMNO sejak begitu lama. Susah untuk mengubahnya. Sistem "bergayut" kepada pemimpin atasan sudah sebati di dalam UMNO, bahkan dengan sistem ini jugalah digunapakai untuk meraih sokongan dan pencalonan. Sistem ini banyak merosakkan UMNO, kerana ramai yang tidak berupaya membezakan antara politik dengan perniagaan. Jika UMNO mahu bersih, sistem ini mesti dihapuskan, melalui pemilihan kepimpinan UMNO yang dibuka kepada seluruh ahli UMNO-maka perkara tersebut mampu diubah.



Inilah yang menjadi dilema dalam sebahagian besar perwakilan UMNO. Mahu memikirkan tentang "perut sendiri" atau mahu memikiran tentang agama, bangsa dan negara? Tetapi banyak yang memilih untuk menjaga "perut sendiri" - lantaran itu, para perwakilan akan memilih calon yang mampu memberi imbuhan dan membalas jasa mereka kembali jika mereka mengundi calon tertentu.



Saya sedih keadaan ini, kerana kita tidak memikirkan tentang dosa dan pahala. Mungkin Ali Rustam tiada masalah untuk menerima keputusan Lembaga Disiplin tersebut, tetapi bagaimana pula dengan para penyokongnya? Apakah para penyokongnya akan "membalas dendam" terhadap Lembaga Disiplin dengan mengundi Tan Sri Muhd Taib, agar memastikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tewas? Ia agak terlalu jauh untuk diramalkan, kerana macam-macam boleh berlaku di saat-saat akhir ini. Kita tidak tahu, mungkin dengan tiba-tiba Datuk Seri Najib memberi "signal" terakhir, yang menunjukkan bahawa beliau menginginkan Muhyiddin sebagai timbalannya - maka saya percaya para perwakilan yang menyokong Ali Rustam akan berpaling dan menyokong Muhyiddin kembali. Itu adalah sikap dan sifat sebahagian perwakilan. Hakikatnya, para perwakilan menunggu "tanda" yang akan diberikan oleh Najib.



Sebenarnya, selagi sistem pemilihan tidak dibuka kepada seluruh ahli UMNO yang berjumlah hampir 4 juta itu, maka UMNO akan menghadapi masalah yang sama pada setiap kali berlaku pemilihan dalaman. Saya sangat berharap, agar UMNO dan kepimpinannya yang akan datang menyerahkan kepada akar umbi untuk memilih pemimpin yang mereka suka dan yakini. Janganlah diterhadkan kepada perwakilan semata-mata untuk mengundi.



Saya sangat simpati terhadap Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Mukhriz yang dituduh kononnya terlibat dalam konspirasi mencemarkan nama Ali dan Khairy. Petang semalan saya sempat menghantar SMS kepada kedua-dua pemimpin tersebut, memberi sokongan moral dan berkongsi rasa sedih - itu sahaja yang upaya saya lakukan kepada kedua-dua orang pemimpin yang baik ini. Tepat jam 6 petang Datuk Mukhriz membalas SMS dan menyatakan, "InsyaAllah, saya bersabar." Dan tepat jam 7.56 malam pula Tan Sri Muhyiddin membalas SMS saya dengan menyatakan, "Terima kasih Azli, kerana sudi membantu." - saya sebenarnya sedih dengan nasib yang menimpa mereka, dituduh sebegitu sekali. Sedangkan mereka ini merupakan antara para pemimpin UMNO yang ikhlas untuk melihat UMNO pulih dan bersih. Kepada Allah kita berdoa semoga mereka memenangi jawatan masing-masing dan seterusnya mengubah UMNO menjadi lebih baik. Amin.

March 19, 2009

Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Mukhriz Difitnah?




Belajar Menerima Kebenaran


Saya terpaksa mempertahankan kebenaran, tatkala semakin ramai penyokong Datuk Seri Ali Rustam dan penyokong Khairy cuba mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin UMNO. Malah, saya juga wajib menegur parti pembangkang yang cuba mengadu domba (melaga-lagakan) kesatuan ahli-ahli UMNO pada ketika ini. Tuduhan-tuduhan songsang lagi tidak bermaruah yang dilemparkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Mahathir semakin galak kedengaran, kononnya terdapat konspirasi menjatuhkan Ali dan Khairy. Cerita bohong lagi palsu yang dijaja oleh manusia hipokrit ini semakin mendapat tempat di hati para bloggers pro-pembangkang, sehingga ada yang sanggup mendakwa UMNO akan berpecah kerana hal tersebut.



Di sisi lain pula, kedengran ahli UMNO sendiri membuat tuduhan, kononnya "orang dalam" terlibat menganiaya dua pemimpin tersebut yang menurut mereka hanyalah bertaraf "ikan bilis" - pelik dan aneh, jika Kairy dan Ali dianggap sebagai ikan bilis, seorang Calon Ketua Pemuda UMNO, dan seorang lagi calon Timbalan Presiden UMNO - ini bukan taraf ikan bilis, ini taraf ikan jerung. Saya tegaskan, kebiasaannya apabila sesuatu hal terkena batang hidung, kita tuduh ada konspirasi, sebaliknya jika kena kepada orang lain kita sebarkannya jadi sensasi. Manusia jenis apa ni? Apabila UMNO bertindak tegas terhadap para pengamal politik wang, kita naik angin dan tuduh macam-macam, dan apabila Lembaga Disiplin kurang ambil tindakan, kita lemparkan pelbagai tuduhan kepada badan tersebut, kononnya lembik, tidak berani dan penakut. Apabila terkena batang hidung, kita dakwa Lembaga Disiplin UMNO membuat tuduhan secara terpilih, dan hanya menangkap ikan bilis dan bukan jerung. Inilah masalah sesetengah ahli UMNO, apabila masuk UMNO kerana mahukan projek dan banyak bergayut kepada pemimpin untuk cari makan, maka kebenaran ditolak ke tepi. Golongan ini akan memaki hamun Lembaga Disiplin, malah akan berkata, "Persetankan Lembaga Disiplin".



Sudah berkali-kali saya tegaskan sebelum ini, bahawa kebenaran tidak akan mampu disembunyikan. Ia tetap akan timbul walaubagaimana hebat sekalipun kita cuba menimbusnya. Ia tetap akan muncul. Kebenaran umpama belon. Jika ditekan ke dalam air ia tetap akan timbul ke permukaan, lagi kuat belon ditekan, maka lagi kuat ia melantun ke permukaan. Itulah sifat kebenaran. Ia tidak boleh ditekan. Jika para penyokong KJ dan Ali masih berdegil dan tidak mahu menerima kebenaran yang telah jelas dan pasti - tuan-tuan jangan salahkan sesiapa jika kebenaran akan muncul dengan lebih banyak selepas ini, dan akhirnya yang malu adalah kedua-dua pemimpin tersebut. Jangan buat cerita ada konspirasi atau ada "orang dengki" dan macam-macam lagi tuduhan yang jelas bermirip suara pembangkang. Dulu, kita juga yang minta agar UMNO bertegas dengan gejala politik wang. Sekarang, apabila ada ikan jerung yang dah kena tangkap, kita pula yang naik angin dan marah-marah. Terimalah hakikat tersebut.



Malah, ada kalangan ahli UMNO yang sanggup meminta agar UMNO dibubarkan sahaja jika mereka terus mengambil tindakan kepada Ali Rustam - ini satu lagi ahli UMNO yang jahil. Jika dia masuk UMNO kerana Ali Rustam, saya syorkan keluar sahaja UMNO - pergi masuk pembangkang. Ini semua suara pembangkang yang mahu UMNO hancur dan rosak, tanpa sedar golongan ini telah diracuni dengan hujah-hujah negatif dan jahat dari pembangkang yang mahu UMNO terus-menerus dibelit dengan korupsi dan politik wang. Saya tegaskan, sesungguhnya, UMNO pada saat ini, memerlukan ahli yang berkualiti dan bukannya kuantiti. Jauh lebih penting sekarang ialah, UMNO memerlukan sokongan orang Melayu di luar UMNO - bukan semata-mata ahli UMNO sahaja. Kita harus ingat, 60% kemenangan calon UMNO dalam pilihan raya adalah disumbangkan oleh orang yang bukan ahli UMNO. Lembaga Disiplin UMNO mahu membersihkan UMNO dan mahu UMNO kelihatan bersih. Hal ini sangat penting bagi meyakinkan generasi muda yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan kepada UMNO.



Saya ingin mengingatkan, agar semua ahli UMNO menerima keputusan Lembaga Disiplin tersebut, jangan membuat fitnah kononnya terdapat konspirasi kepada Ali Rustam dan Khairy. Yang bersalah tetap bersalah, dan Allah telah tunjukan kepada seluruh rakyat dan ahli UMNO tentang kebenaran dan kepalsuan. Malah, kita lupa bahawa apa-apa yang telah berlaku ini adalah natijah daripada doa kita sendiri sebagai ahli UMNO yang mahu melihat UMNO kembali bersih daripada politik wang. Dan Allah telah memakbulkan doa kita semua - siapakah yang kotor dan siapa pula yang bersih dan ikhlas. Justeru itu, mereka yang masih tidak mampu menerima keputusan tersebut disaran pergilah mengambil air wuduk, bersolat dua rakaat, mohon ketenangan dan dijauhi daripada kejahatan lidah dan perbuatan.



Kepada Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Mukhriz Mahathir kami mendoakan agar tuan berdua bersabar atas dugaan dan tohmahan yang dilemparkan oleh mereka yang tidak mahu menerima kebenaran. Saya sempat menghantar SMS kepada Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Mukhriz agar mereka terus istiqamah berjuang dan bersabar. Sesungguhnya kebenaran tidak akan dapat disembunyi dan dilarikan. Wallahualam.

March 18, 2009

Munajat Seorang Hamba


MUNAJAT SEORANG HAMBA


Allah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu berkhianat kepada Allah dan Rasul, dan juga janganlah berkhianat berkenaan dengan amanat yang diamanahkan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahui." (Al-Anfal : 27).




Apabila Allah mewajibkan kita memegang amanah yang telah diberikan, maka wajib bagi kita melaksanakan amanah yang telah diberikan itu. Dalam konteks ini, sangat jelas pemimpin yang baik adalah pemimpin yang melaksanakan amanah yang telah diberikan kepadanya. Dalam menyelesaikan pelbagai kemelut dan cabaran pada masa kini, kita harus kembali kepada sikap amanah. Dengan hanya bersikap amanah sahajalah pelbagai masalah dan penyakit yang sedang melanda Malaysia pada waktu kini berupaya diselesaikan. Kadangkala, kita ada ilmu dan tahu kebenaran sesuatu perkara itu, tetapi kita tidak amanah dengan ilmu dan kebenaran tersebut, lalu kita sorok perkara yang sebenar dan menyembunyikan kebenaran. Lantaran itulah, banyak perkara dan konflik tidak dapat diselesaikan secara baik dan telus.



Dalam hal ini, melihat isu yang semakin hangat berkenaan politik wang atau rasuah politik yang semakin menjadi-jadi di dalam UMNO, saya merasakan bahawa, cara terbaik bagi penyelesaiannya adalah kembali kepada sifat amanah yang dituntut oleh Islam, seperti mana ayat yang saya kutip di atas. Persoalannya, bagaimanakah caranya? Dan bagaimanakah sikap amanah mampu menyelesaikan pelbagai kemelut dan fitnah yang selama ini membelit UMNO?



Pada hemat saya, dalam konteks pemilihan kepimpinan UMNO, saya melihat jika semua perwakilan UMNO amanah membawa aspirasi dan kehendak bahagian masing-masing, maka fitnah dan kekacauan tidak akan berlaku kepada UMNO. Sebagai contoh, jika semua perwakilan bersikap jujur dengan mengundi para pemimpin yang telah dipilih oleh bahagian masing-masing, maka UMNO akan selamat. Tetapi, kerana sikap kita tidak amanahlah, maka berlaku kemenangan kepada individu yang tidak layak untuk memegang amanah bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Dan akhirnya, pemimpin tersebut gagal menjalankan amanah, lantaran beliau dipilih secara tidak amanah oleh para perwakilan, sekali gus mengundang fitnah kepada UMNO dan para pemimpinnya.



Bertitik tolak daripada hal itu, apabila majoriti Bahagian UMNO mencalonkan seseorang itu untuk memegang sesuatu jawatan, maka laksanakanlah amanah tersebut dan berikanlah kemenangan kepada beliau. Jika tidak, fitnah akan pasti melanda kita semua sekiranya calon tersebut tewas, padahal pencalonan yang beliau terima daripada Bahagian UMNO di seluruh Malaysia adalah sangat tinggi dan menyakinkan. Sudah pasti hal tersebut berlaku kerana sifat amanah yang semakin tipis dalam diri para perwakilan, yang seharusnya mereka memahami, bahawa mereka merupakan "wakil" yang membawa suara majoriti bahagian masing-masing.



Lantaran itu, saya tegaskan semua pemimpin UMNO yang mendapat pencalonan tinggi daripada Bahagian UMNO di seluruh Malaysia - harus dimenangkan, jika tidak, UMNO sekali lagi akan dilanda fitnah yang besar (fitnatul kubra) pada masa akan datang. Semua perwakilan harus amanah dan jujur (itu pun jika kita takut akan azab Allah). Masalah akan selesai, jika semua perwakilan amanah dan mengundi calon yang telah dipilih oleh bahagian masing-masing, maka keputusan akhir akan pasti mengikut kehendak dan aspirasi sebenar pencalonan yang mereka terima sebelum ini.



Oleh sebab itu, bersikap amanahlah dan ikutlah kehendak suara akar umbi, tetapkan iman dan fokus kepada perjuangan yang sebenar. Berikanlah kemenangan kepada calon-calon yang terbukti mendapat pencalonan tertinggi dari Bahagian UMNO seluruh Malaysia. Dan InsyaAllah rakyat akan kembali menyokong UMNO dan UMNO mampu dibersihkan kembali. Kepada Allah kita berdoa agar UMNO bersih daripada segala kekotoran yang membelitnya selama ini. Sama-sama kita berdoa.



"Ya Allah, Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Berkuasa, Engkau bantulah kami yang kerdil ini, sesungguh, tidak sanggup lagi kami melihat segala bentuk rasuah dan politik wang yang selama ini telah menghancurkan UMNO dan para pemimpinnya, Maka kini, kami memohon dan merayu kepada-Mu, Ya Allah, Engkau bersihkanlah UMNO daripada para perasuah dan pengamal politik wang. Engkau berikanlah kemenangan kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang ikhlas dan jujur memperjuangankan agama, bangsa dan negara. Dan Engkau tunjukanlah kebenaran dengan sejelas-jelasnya kepada kami, agar kami, sebagai perwakilan dapat menilai yang mana satukah pemimpin yang Engkau muliakan dan yang mana satukah pemimpin yang Engkau hinakan. Berikanlah petunjuk-Mu Ya Allah dengan segera, bantulah kami dan berikanlah kami kekuatan untuk memilih yang terbaik. Ya Allah, perkenankanlah doa kami ini, Tuhan Yang Maha Mendengar dan Tuhan Sekalian Alam. Amin, Amin Ya Rabbil'alamin."

March 17, 2009

Semua Bloggers Pro-Mukhriz Diminta Memberi Sokongan Moral



MEMBERI SOKONGAN MORAL
KEPADA DATUK MUKHRIZ MAHATHIR


Saya sudah katakan, bahawa Khairy mempunyai masalah, dan terlibat dalam "isu" yang selama ini dilaung-laungkan oleh pihak akar umbi, apabila lembaga disiplin memberi amaran kepada Khairy dengan sebegitu rupa, sebentar tadi apakah kita masih mahu memilih Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Saya sudah berkali-kali menjelaskan dalam blog saya ini, dari tahun lepas lagi bahawa Khairy telah gagal sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO, dan sekarang buktinya telah jelas.



Saya menyeru kepada semua ahli UMNO memberi sokongan kepada Datuk Mukhriz Mahathir sebagai KETUA PEMUDA UMNO yang baharu, Dan sekarang dengan secara rasminya, saya membuka peluang kepada seluruh bloggers meletakkan komen sokongan anda ke blog ini secara besar-besaran, sebagai satu usaha menyokong Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Ketua Pemuda. Amaran, mana-mana komen yang cuba membuat provokasi, akan dipadam, hanya komen yang memberi sokongan moral kepada Datuk Mukhriz sahaja yang akan disiarkan. Harap Maklum!

Siapakah yang Tertewas?



PILIHLAH KETUA PEMUDA
YANG BERSIH DAN BEBAS
DARIPADA POLITIK WANG


Saya agak sebak dan sangat sedih, tatkala membaca laporan Utusan pada hari ini, - jika benar Datuk Seri Ali Rustam terlibat dengan politik wang, dan akan diambil tindakan disiplin ke atasnya oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO esok, maka jelaslah, pemimpin-pemimpin UMNO tidak mengambil iktibar daripada apa-apa yang terjadi dalam PRU Ke-12 pada tahun lalu. Saya sebak, bukan kerana sedih, tetapi sebak kerana sebagai ahli UMNO biasa yang mahu melihat UMNO bersih dan pulih - seolah-olah masih jauh daripada keyataan, lantaran sikap sesetengah pemimpinnya yang ingin mengejar dunia dan jawatan. Semoga Allah mengampuni mereka.




Sekarang sangat jelas, kenyataan Tun Mahathir sebelum ini, bahawa terdapat calon-calon yang sebelum ini tidak cukup pencalonannya terpaksa menabur duit untuk memastikan mereka dicalonkan oleh Bahagian UMNO tertentu, agar memenuhi syarat untuk bertanding hujung bulan ini. Saya terkejut, sedih dan marah - jika inilah sikap kita, maka tidak hairanlah mengapa masyarakat membenci UMNO. Saya tidak tahu apakah politik wang juga bertaburan dalam pencalonan untuk merebut Ketua Pemuda UMNO sebelum ini? Jika kita perhatikan bahawa - tatkala pencalonan Datuk Mukhriz mencanak naik dan melepasi syarat untuk bertanding, sudah ada kendengaran dalam kalangan ahli UMNO bahawa calon tertentu bimbang akan pencalonannya dan terpaksa "melakukan" sesuatu untuk memastikan pencalonannya melepasi syarat untuk bertanding.



Terdapat juga dakwaan bahawa kemungkinan calon tertentu tidak akan mencukupi syarat untuk bertanding Ketua Pemuda UMNO andaikata duit tidak ditabur ke bahagian-bahagian tertentu. Saya agak kecewa. Hal ini bukan menjadi rahsia lagi, tetapi beritanya sudah bersifat mutawatir. Jika pencalonan untuk Timbalan Presiden UMNO pun tidak berapa bersih, apatah lagi untuk pencalonan jawatan-jawatan lain seperti Naib Presiden dan Ketua Pemuda. Sebab itu, sebelum ini pernah saya timbulkan persoalan, bagaimanakah seorang calon Ketua Pemuda yang hanya berpendapatan sebagai seorang ahli Parlimen semata-mata, mempunyai wang dan dana kewangan yang besar untuk berkempen ke seluruh negara? Di samping berupaya membayar gaji kepada para pembantu khasnya.




Hal ini sangat berbeza dengan Datuk Mukhriz, beliau mempunyai perniagaan sebelum memasuki politik, para pegawainya bekerja dengan syarikat beliau dahulu dan menjadi pembantunya secara tidak langsung tatkala beliau mencebur bidang politik. Saya timbulkan isu ini agar sama-sama kita fikirkan, kerana secara logik bagaimana mungkin dengan tiba-tiba seorang calon Ketua Pemuda UMNO boleh mendapat pencalonan secara berturut-turut di saat-saat akhir, khususnya dari sebuah "negeri" agar melayakkannya untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Saya tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan. Tetapi, SPRM mungkin boleh mendapatkan "tanda-tanda" dan garis panduan yang pernah digambarkan oleh Tun Mahathir pada satu ketika dahulu, bahawa selidik dan siasat, mana-mana calon UMNO yang mendapat pencalonan banyak di saat-saat akhir bagi melayakkannya bertanding untuk merebut jawatan tertentu, hal ini termasuklah dalam kalangan calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Saya yakin, jika kita siasat, kita pasti menemui kebenarannya. Semoga kebenaran akan terselah, sama-samalah kita berdoa.




Bertitik tolak daripada itu, saya fikir kita undilah calon Ketua Pemuda UMNO yang bersih dan terbukti kelihatan bersih daripada rasuah. Janganlah kita silap lagi memilih pada kali ini, yang akhirnya merugikan UMNO dan BN itu sendiri. Sehingga kini, seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum, terbukti lebih selesa dan gembira dengan Datuk Mukhriz Mahathir, menurut mereka, selain wajah manis dan ceria Datuk Mukhriz, beliau juga bebas dan bersih daripada politik wang. Maka, inilah pemimpin yang kita harapkan untuk memimpin Pemuda dan InsyaAllah mungkin akan menjadi Perdana Menteri Malaysia pada suatu hari nanti. Amin.


Salam Perjuangan dan Salam Berani Berubah!

March 15, 2009

Monolog Azli Shukri : Bab 14 : Daripada Pemuda Kepada Pemuda


MONOLOG AZLI SHUKRI
Bab 14 : Daripada Pemuda kepada Pemuda


Oleh Muhammad Azli Shukri



Saya simpulkan semua isu yang mendominasi Malaysia pada bulan ini dalam satu tulisan, bermula isu PPSMI, Penggunaan Nama Allah, Pemilihan UMNO Hujung Bulan ini dan Pilihan Raya Bukit Gantang. Semua akan saya berikan pandangan saya secara jelas dan ikhlas di sini.


Tentang PPSMI


Saya mempunyai pendirian yang agak sama dari satu segi dengan para pejuang bahasa yang menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong baru-baru ini. Malah, saya juga sempat menghantar SMS kepada Datuk Baha - betapa saya kagum beliau sanggup bersama-sama dengan Prof Ismail Hussien membuat laporan polis berkenaan isu tersebut. Saya katakan kepadanya, "perjuangan Datuk menjadi aspirasi saya." Saya rapat dengan Datuk Baha sewaktu saya bekerja dengan DBP dan beliau menjadi ahli Lembaga Pengelola DBP - banyak aktiviti yang kami hadir bersama. Saya tegaskan bahawa dari segi menguasai ilmu - kita harus mempelajarinya dalam bahasa ibunda, tetapi untuk maju dan mendapatkan pekerjaan kita harus menguasai bahasa Inggeris - itu adalah hakikat dan realiti.



Ibu bapa yang mempunyai banyak duit pada hari ini lebih selesa menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta - untuk apa? untuk memastikan anak-anak mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik, hal ini termasuk anak-anak menteri dan ahli korporat. Mereka tidak berapa yakin dengan sistem pendidikan yang kita ada selama ini. Kehebatan yang kita lihat pada diri A.Samad Said, Dr. Hassan Ahmad, Prof Ismail Hussien, Ainon Mohamad, Abdullah Hassan dan lain-lain perjuang bahasa adalah hasil daripada sistem pendidikan Inggeris yang mereka peroleh dahulu. Mereka menjadi hebat kerana mereka boleh menguasai kedua-dua bahasa tersebut - di sekolah semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris, terpaksa oretar dalam bahasa Inggeris, lantaran itu mereka menjadi hebat dalam bahasa tersebut.



Manakala, apabila mereka kembali ke rumah, ibu bapa mereka akan bertutur dengan mereka menggunakan bahasa Melayu, bercakap dengan dialek Melayu, mengajar tajwid dan al-Quran dalam bahasa Melayu - jadi mereka beruntung kerana dapat menguasai kedua-duanya sekali, maka tiada masalah untuk mendapatkan pekerjaan, setelah mereka menamatkan pelajaran di universiti. Begitu juga dengan anak-anak Cina - di sekolah belajar bahasa Ibunda mereka, tetapi apabila di rumah mereka bertutur dalam bahasa Inggeris - jadi mereka beruntung dapat dua-duanya sekali.



Tetapi anak orang Melayu? di sekolah cakap Melayu, di rumah cakap Melayu, di kedai cakap Melayu, jadi bila masanya kita mampu menguasai bahasa Inggeris? Isu PPSMI adalah dilema semua orang, dilema para pejuang bahasa yang berniat ikhlas untuk melihat bahasa Melayu maju, dilema ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka mahir dalam bahasa Inggeris - kerana terbukti graduan Melayu kita ketinggalan apabila mereka cuba bekerja di sektor swasta, dilema kerajaan pula adalah mahu melihat dan memudahkan orang Melayu pandai bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris agar mereka mudah mendapatkan pekerjaan dan tidak bergantung harap kepada sektor awam semata-mata untuk bekerja. Oleh itu, semua pihak berada dalam dilema. Itu hakikatnya.



Lantaran itu, isu PPSMI sudah menjadi semakin kompleks - kerana masing-masing mempunyai tujuan yang tertentu sama ada mahu mempertahankan atau menentangnya. Bagi saya kedua-dua pihak ada kebenaran jika mereka melihat dari perspektif masing-masing. Seperti yang dikemukakan oleh Tun Mahathir - PPSMI adalah bertujuan untuk menguasai ilmu, lantaran kerana hampir semua aspek ilmu pengetahuan ditulis dalam bahasa Inggeris, hal ini adalah kerana industri terjemahan negara kita masih lemah untuk menterjemahkan segala ilmu tersebut dalam bahasa Melayu, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Oleh sebab itu, kita harus mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, kerana itu adalah cara yang paling mudah.



Dalam aspek tersebut, jika itulah hakikat yang Tun Mahatir mahukan, maka saya memberi jawapan sebegini, bukankah kita boleh memperuntukkan dalam bajet negara berkenaan memperluas dan membesarkan industri terjemahan negara sekurang-kurangnya setanding dengan Indonesia? - bukankah kita juga boleh meminta agar setiap universiti melahirkan sebanyak mungkin para penterjemah yang berkaliber? - bukankah kita juga boleh mewujudkan jawatan Pegawai Penterjemah dalam sektor awam? atau jika tidak mencukupi kita boleh belajar daripada Indonesia bagaimana mereka boleh berjaya dalam industri terjemahan di negara mereka. Mungkin juga kita terpaksa mengambil para pekerja penterjemah dari Indonesia untuk bekerja di Malaysia bagi merancakkan lagi kerja-kerja terjemahan di negara ini atau, mungkin sahaja kita melaksanakan kontrak dengan institusi terjemahan di Indonesia agar sama-sama membangunkan industri terjemahan di negara ini. Ini merupakan satu pandangan. Ia mungkin boleh dan mungkin tidak boleh.



Bagi pejuang bahasa yang mahu menghapuskan PPSMI, mereka berhujah bahawa jika ia dilaksanakan maka bahasa Melayu akan pupus sebagai bahasa ilmu dan komunikasi. Itu saya boleh terima - memang benar fungsi bahasa Melayu harus diperluaskan. Kematian bahasa Hawaii pada satu ketika dahulu adalah kerana mereka menggantikannya dengan bahasa Inggeris dalam perbualan seharian dan dalam sistem pendidikan mereka, malah bahasa Sanskrit juga mati adalah berpunca daripada para penuturnya yang menyekat penggunaan bahasa tersebut hanya dalam upacara keagamaan dan kerohanian semata-mata. Jadi kita tidak mahu bahasa Melayu menjadi seperti begitu - oleh itu bagaimanakah cara penyelesaiannya? jawapannya mudah, sesuatu bahasa itu diangkat oleh bangsa dan masyarakat luar adalah kerana faktor ilmu yang ada dalam bahasa tersebut.




Kita terpaksa mempelajari bahasa Inggeris dan Jepun adalah kerana banyak ilmu baru dan terkini ditulis dalam kedua-dua bahasa tersebut - dan sekarang cuba tanyakan apakah ilmu-ilmu baru yang kita miliki dan ditulis dalam bahasa Melayu? Apakah terdapat buku dalam bahasa Melayu yang popular yang mengetengahkan ilmu baru atau teori baru dalam pelbagai bidang? saya rasa sukar untuk menemuinya - malah mungkin tiada. Kita mahu orang Melayu melahirkan teori baru dan penemuan baru dan ditulis dalam bahasa Melayu dan buku tersebut mesti bersifat popular. Hal ini akan menaikkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.



Tetapi, para cendiakawan dan pejuang bahasa yang berada di Malaysia pun, saya fikir kurang berjaya menghasilkan teori dan penemuan baru yang boleh dibanggakan dan dipopularkan, apatah lagi untuk memberi kesan kepada masyarakat. Cuba kita tanyakan kepada para pejuang bahasa tersebut, manakah buku yang mereka tulis yang berupaya memaparkan penemuan baru dan teori baru dalam bidang tertentu dan boleh dipopularkan sehingga menjadi buah mulut orang ramai. Umpamanya seperti buku-buku yang ditulis oleh Covey, Peter Drukcer, Antony Robbins, Tony Buzzan, Edward De Bono dan banyak lagi - hakikatnya orang Melayu bukan tidak boleh menulis dan tidak mempunyai banyak idea - sebaliknya, mereka takut "orang mengata" itu dan ini, terhadap idea-idea baru yang mereka paparkan itu, maka sebab itulah banyak idea kreatif orang Melayu tidak dapat diketengahkan kepada khalayak ramai, dan tidak boleh dihayati oleh bangsa lain.



Orang Melayu memiliki banyak idea, tetapi tidak mahu menulis, tidak mahu diterbitkan, kerana takut "nanti apa orang cakap". Jesteru itu, macam mana bahasa Melayu hendak berkembang maju? Penulis-penulis Melayu kurang membuat kajian dan tidak mahu berfikir di luar kotak, kerana fobia dengan kata-kata "apa nanti orang cakap, kalau aku pandai-pandai cipta teori sendiri? Inilah puncanya bahasa kita tidak boleh pergi jauh - saya ambil contoh diri saya sendiri, apabila saya mengemukakan buku tulisan saya (buku Psikosemantik) ramai juga yang mencemuh dan mengutuk - tetapi, hakikatnya yang memberi aspirasi jauh lebih ramai daripada yang mencemuh. Menurut mereka, ini merupakan usaha yang bagus dan perlu diteruskan. Saya membina teori psikologi saya sendiri untuk apa? untuk cuba melahirkan sudut pandangan orang Melayu yang berbeza dengan masyarakat barat berkenaan dunia psikologi yang selama ini tak habis-habis kita menceduknya dari dunia barat - melalui tulisan tokoh-tokoh besar mereka seperti, Victor Frankl, Singmund Frued dan banyak lagi.



Orang Melayu mesti mencipta banyak ilmu baru, agar berupaya menarik minat bangsa lain untuk mempelajari bahasa kita. Kita tidak boleh berharap kepada kerajaan semata-mata, untuk mempertahankan bahasa Melayu - tetapi pada masa yang sama kita lupa akan tanggungjawab kita untuk melahirkan ilmu baru dalam bahasa ibunda kita sendiri. Jangan kita asyik menyalahkan Dr Mahatir tidak henti-henti, beliau orang politik, dan sudah tentu beliau melihat isu bahasa dari kaca mata orang politik dan bukan dari kaca mata orang bahasa. Dr Mahathir akan membuat keputusan politik dan bukan keputusan bahasa - beliau akan lebih mengutamakan kepentingan dan kehendak masyarakat serta bagaimanakah menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh para remaja dan graduan dalam mencari pekerjaan ketika kita sedang dilanda arus globalisasi.



Sekarang kita harus bertanya kepada diri kita sendiri, apakah hasil yang telah kita beri kepada bahasa Melayu? apakah nilai tambah yang telah sama-sama kita sumbang kepada bahasa Melayu? manakah buku yang kita tulis untuk menunjukkan kehebatan bahasa Melayu dalam bidang psikologi, politik, agama, sosial, sains, ekonomi dan sebagainya? Tak ada - kita masih banyak bertaklid kepada ilmu barat. Kita tidak menggalakkan cendiakawan dan para pejuang bahasa kita untuk melahirkan ilmu baru dalam bidang tersebut dari persepsi dan perspektif orang Melayu untuk dikongsi oleh dunia luar. Inilah masalah sebenar kita. Sekiranya hal ini dapat diatasi, kita tidak perlu bergantung kepada perlembagaan untuk mempertahankan bahasa kesayangan kita. Kita harus menjadikan bahasa Melayu relevan dengan membina teori dan ilmu baru dalam bahasa kita sendiri dan bukan bertaklid kepada bangsa lain.Wallahualam.


Tentang Penggunaan nama Allah



Isu ini pada hakikatnya sudah selesai, apabila penggunaan nama Allah tidak diizin untuk digunakan oleh penerbitan dalam surat khabar kristian. Tetapi isu ini timbul semula, apabila terdapat segelintir bloggers yang mengutip pandangan Nik Aziz dan Dr Asri bagi menghalalkan perbuatan tersebut. Saya tidak menyalahkan Nik Aziz dan Dr Asri dalam hal ini, mereka menulis dengan ijtihad mereka, berasaskan kepada ilmu yang mereka miliki, malah jika diperhatikan hujah kedua-dua pihak ada kebenarannya. Namun demikian, pada pandangan saya hujah yang lebih menghampiri kebenaran berasaskan kepada (waki') atau realiti semasa, maka suka saya menerima hasil ijtihad Mufti Perak, Datuk Harussani. Dr Asri berhujah bahawa ada beza antara merebut nama Allah dengan mempertahankan aqidah, lantaran itu, Dr Asri melihat isu tersebut berasingan, maka kerana itu beliau tidak melarang penggunaan nama Allah tersebut.



Dr Asri perpandangan, "Di samping, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan aqidah Islam dan selainnya bukanlah kepada rebutan atau sebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik, Di samping itu, kita harus bertanya kepada diri kita, mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah?" dari satu segi saya sependapat dengan Dr Asri, hal ini adalah kerana bukti-bukti yang sahih telah dikemukakannya dalam artikel beliau, namun begitu saya jelaskan isu tersebut bukanlah isu ringan pada masa kini dan ia perlu dilihat dari sudut yang lain. Datuk Seri Harussani melihat isu tersebut dalam konteks fiqh waki' oleh sebab itu ijtihad beliau berbeza dengan Nik Aziz dan Dr Asri - Harussani lebih banyak terlibat dengan pelbagai isu kristianisasi sebelum ini, beliau lebih arif tentang bagaimana halusnya para pendakwah kristian untuk cuba menyesatkan umat Islam di negara ini - kita harus faham latar belakang Harussani dalam hal tersebut.



Dalam usaha kita mengeluarkan ijtihad - kita harus menguasai fiqh waki' yakni fiqh yang menguasai hal-hal terkini, serta segala ancaman terbaru yang dihidangkan kepada umat Islam dan aqidahnya. Justeru itu, dalam hal ini - Harussani mendahului dari mufti-mufti yang lain. Harussani dapat melihat apa-apa yang kurang diberi perhatian oleh ulama lain, inilah yang mengagumkan saya berkenaan diri Harussani. Dalam mengemukakan sebarang ijtihad, kita tidak cukup sekadar menguasai ilmu hadis atau syariat semata-mata, sebaliknya pelbagai disiplin ilmu agama harus kita kuasai - khususnya untuk menghadapi ancaman terhadap umat Islam pada masa kini. Ulama harus bijak menangkap tipu muslihat musuh-musuhnya, dan dari situ ijtihadnya akan lebih tepat dan berwibawa.




Berbalik kepada isu di atas - Harussani melihat fasad (kerosakan) yang timbul akibat daripada penggunaan nama Allah dalam penerbitan pihak kristian itu jauh lebih besar daripada kebaikannya, terutama ketika umat Islam begitu lemah dengan pelbagai masalah dan kelemahan. Harussani berpandangan, jika diizinkan kelak - ia membuka pintu fitnah kepada agama Islam dan umatnya - inilah ancaman yang dibimbangi oleh beliau. Harussani dengan segala ilmunya melihat waki' atau realiti umat Islam, khususnya generasi muda di Malaysia sangat lemah dari segi aqidah dan akhlak, dan lebih mudah terpesong aqidahnya jika hal tersebut tidak dibendung dari sekarang. Dan untuk jangka masa panjang, hal ini sangat merbahaya kepada aqidah umat Islam.




Lantaran itu, Harussani melihat isu tersebut dari kaca mata yang berbeza dengan Nik Aziz dan Dr Asri. Beliau melihat secara holistik, yakni kesan terhadap "keizinan tersebut" pada masa akan datang kepada agama Islam dan umatnya. Sekarang ini, nama Allah merupakan maruah umat Islam - kita tidak mahu fitnah melanda atas nama Allah yang Maha Agung dan Maha Besar itu melalui permainan oranq-orang kafir yang tidak faham akan agaran Islam yang sebenar - kita tidak mahu generasi muda menyalah tafsirkan nama Allah dan kefahaman terhadap-NYA melalui penerbitan media kristian yang tidak amanah. Jadi, menurut Harussani - fasad atau kerosakkan yang melanda agama Islam adalah lebih besar daripada kebaikannya, sekiranya nama Allah diizinkan untuk digunakan oleh penerbitan kristian tersebut. Malah, menterjemahkan perkataan "God" kepada Allah merupakan penyelewangan fakta yang jelas. Hal ini adalah kerana perkataan Allah datangnya daripada bahasa Arab, manakala God daripada bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, Harussani berpendapat untuk jangka panjang hal tersebut boleh merosakkan aqidah dan nama baik agama Islam itu sendiri.



Bertitik tolak daripada itu, kaedah fiqh adalah mudah, jika sesuatu perkara itu jelas membawa fasad atau kerosakan yang lebih besar daripada maslahatnya (kebaikannya) maka haruslah kita tinggalkan. Dan dalam isu ini, saya percaya ijtihad Harussani lebih menghampiri kebenaran , beliau yakin kerosakannya adalah besar kepada agama Allah ini jika kita tidak berhati-hati dalam isu tersebut - semoga Allah memberikan ganjaran terhadap perjuangannya. Wallahualam.


Tentang Pilihan Raya Bukit Gantang


Jika saya berterus-terang, pasti orang akan marah, tetapi saya terpaksa bercakap benar bahawa pilihan raya di Bukit Gantang tidak sama di Kuala Terengganu - kini bukan lagi isu salah pilih calon, sebaliknya, isu yang mendominasi pada kali ini adalah berkenaan leburnya kuasa PR di Perak dan kesan isu tersebut kepada masyarakat. Sehingga artikel ini ditulis, saya masih cuba melihat mood rakyat kepada UMNO - adakah sudah berubah dan lebih bersifat positif sikit daripada dahulu? Saya sangat bimbang, hal ini adalah kerana , saya mendapati mood rakyat masih tidak berubah dan tidak ada tanda-tanda bahawa rakyat kembali yakin dengan UMNO. Saya tidak tahu mengapa. Apakah cara kita mengambil kerajaan Perak tempoh hari membuatkan rakyat semakin membenci UMNO dan BN, dan pada masa yang sama apakah dengan sikap kurang ajar pemimpin-pemimpin PKR kepada Sultan Perak, berupaya menarik minat rakyat untuk kembali semula kepada perjuangan UMNO? saya tidak berapa pasti akan hal tersebut. Tetapi yang jelas, mood rakyat masih tidak berubah terhadap UMNO - inilah yang merisaukan saya.



Namun demikian, jika saya menganalisis, saya berpandangan bahawa sama ada UMNO akan menang atau tewas adalah bergantung kepada keputusan pemilihan UMNO pada hujung bulan ini - rakyat biasa dan ahli UMNO biasa seperti saya, akan menilai apakah UMNO benar-benar sudah insaf dan memahami mengapa rakyat menolak mereka di Kuala Terengganu dahulu? Jika ramai pemimpin UMNO yang tiba-tiba menang tanpa disangka-sangka dalam pemilihan hujung bulan ini- maka persepsi masyarakat akan tetap mendakwa bahawa UMNO masih belum bebas daripada politik wang. Jika tiba-tiba calon yang tidak mendapat pencalonan yang tinggi menang - maka fitnah akan terus menyelubungi UMNO di Bukit Gantang.



Tetapi, sekiranya semua calon yang mempunyai pencalonan tertinggi memenangi jawatan masing-masing, maka UMNO boleh menang di Bukit Gantang. Saya yakin - rakyat dan ahli UMNO biasa sedang melihat perkembangan tersebut. Maknanya - mahu atau tidak mahu, semua perwakilan harus memenangkan calon-calon yang terbukti dikehendaki oleh akar umbi - umpamaya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Hishamuddin dan lain-lain calon yang jelas mendapat pencalonan tertinggi untuk jawatan masing-masing. Jika hal ini tidak berlaku - maka jangan salah orang lain atau rakyat, mengapa UMNO kalah di Bukit Gantang kelak, sebaliknya salahkan diri sendiri.



Dan harus dijelaskan bahawa UMNO akan dilanda fitnah sekali lagi andaikata calon-calon yang tidak mendapat pencalonan tinggi memenangi jawatan tertentu - dan UMNO akan terus dituduh sebagai parti yang tidak mahu mendengar suara akar umbinya sendiri dan masih terbelit dengan politik wang dan nafsu serakah sesetengah individunya. Bahkan - ahli UMNO akan berpecah jika hal tersebut benar-benar berlaku kerana akar umpi tidak akan dapat menerima hakikat mana-mana calon yang tidak banyak mendapat pencalonan dengan tiba-tiba boleh menang dan berjaya. Hal ini adalah kerana - jelas perwakilan tidak amanah membawa suara akar umbi, dan jika perwakilan sendiri sudah tidak amanah, maka apakah yang tinggal kepada UMNO lagi? Oleh kerana itu, fikir-fikirkan soal ini. Bukit Gantang akan kembali kepada UMNO, jika pemilihan UMNO hujung bulan ini menunjukkan kejujuran para perwakilannya. Wallahualam.



Tentang Pemilihan UMNO Hujung Bulan Ini


Saya masih tegaskan - bahawa calon yang mendapat pencalonan tertinggi harus menang, jika kita semua berhasrat mahu melihat UMNO kembali pulih dan lari daripada tuduhan masyarakat yang mendakwa UMNO parti yang rosak dan penuh kekotoran. Dalam keadaan fitnah yang semakin menjadi-jadi kepada UMNO, kita tidak ada pilihan lain, melainkan UMNO harus menang dalam pilihan raya yang akan datang. Maka, semua calon UMNO yang menerima pencalonan tertinggi di peringkat bahagian, harus dimenangkan pada pemilihan UMNO hujung bulan ini (itu pun jika kita mahu keyakinan rakyat kembali kepada kita) . Jika ini tidak terjadi, maka marilah sama-sama kita membacakan takqin untuk UMNO untuk PRU yang akan datang.



Saya rasa hal ini sangat mudah. Kita sebagai perwakilan - ikut sahaja kehendak akar umbi melalui pencalonan yang telah kita terima daripada bahagian masing-masing, nak tukar buat apa lagi? jika amanah daripada bahagiam masing-masing kita laksanakan, saya percaya tiada masalah perpecahan dan fitnah memfitnah - sangat mudah, kita kembali kepada kehendak akar umbi, siapa yang mereka mahu untuk jawatan tertentu. Semua perwakilan harus jujur membawa amanah bahagian masing-masing, lantaran itulah kita namakan mereka sebagai "Perwakilan" yakni menjadi wakil kepada suara dan kehendak orang bawah dan akar umbi.



Jika semua perwakilan jujur, UMNO akan dipandang mulia semula selepas ini. Tetapi, jika hati para perwakilan mudah goyah dan tidak mahu mengikut kehendak akar umbi - selepas ini jangan salahkah rakyat mengapa mereka membenci UMNO dan pemimpinnya. Hal itu adalah jelas. Jika seseorang pemimpin diangkat oleh bukan dalam kalangan suara akar umbi - maka sudah pastilah rakyat dan ahli UMNO biasa akan memberontak dan berpecah.




Jadi, sama-samalah kita fikirkan, apakah kita hanya mahu menjaga pemimpin yang kita kasihi, atau mahu menjaga UMNO? tepuk dada tanya iman. Selain daripada itu, kita juga harus pastikan pemimpin UMNO yang kita pilih kelak, mestilah diterima oleh semua kaum, dengan kata lain harus diterima oleh orang Melayu di luar UMNO, diterima oleh orang Cina di luar MCA dan diterima oleh orang India di luar MIC. Jika pemilihan kali ini tidak menggambarkan hakikat tersebut - maka janganlah kita menaruh harapan tinggi agar rakyat menyokong UMNO kembali. Ingat, kita memilih pemimpin bukan untuk ahli UMNO semata-mata, sebaliknya, untuk semua kaum dan parti kompenen BN yang lain. Itu pun, jika para perwakilan mahu berfikir demi kebaikan parti UMNO untuk masa akan datang. Wallahualam.


March 14, 2009

UMNO ke Arah Pemulihan?



UMNO KE ARAH PEMULIHAN?



Semalam, Datuk Norza Zakaria, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dihadap ke mahkamah atas tuduhan rasuah untuk pemilihan parti hujung bulan ini. Saya tidak mahu banyak komen dalam hal ini. Saya percaya ramai lagi yang terlibat - dan yang dituduh pasti akan mendakwa bahawa mereka teraniaya, sebelum ini Datuk Seri Azalina Othman turut menerima nasib yang sama apabila pegawai kananya ditemui bersama dengan wang berjumlah RM70 000 dan disyaki untuk tujuan politik wang. Saya agak sedih jika begini keadaan UMNO, di saat-saat UMNO memerlukan pemimpin yang bersih dan ikhlas dalam mengemudi parti tersebut pada hujung bulan ini.



Pemimpin-pemimpin UMNO harus faham, fitnah terjadi kepada UMNO adalah disebabkan sikap mereka yang memudahkan orang ramai memandang negatif kepada UMNO. Hentikan perbuatan memberi duit untuk mendapatkan sokongan. Manakala para perwakilan pula, tolong hentikan perbuatan meminta wang dan imbuhan daripada calon-calon tertentu,- semua ini jelas haram di sisi agama. Sebab itu saya agak hairan bagaimana pula dengan calon-calon yang lain. Maksud saya dari segi dana kempen mereka? Dan ada seorang calon tersebut yang jelas tidak mempunyai pendapatan lain melainkan hanya makan gaji sebagai seorang Ahli Parlimen, tetapi jika diperhatikan, beliau mampu berkempen ke seluruh Malaysia tanpa henti-henti dan duit beliau seperti air yang keluar dari poketnya. Dari mana beliau mempunyai wang sebanyak itu? Hal ini patut diselidiki oleh pihak SPRM dengan segera. Dan lebih menyedihkan, Datuk Norza yang saya kenali - merupakan seorang yang berperwatakan lembut dan mudah didampingi. Malah, jika tidak salah saya beliau merupakan calon yang pernah disebut-sebut sebagai calon Naib Ketua Pemuda Malaysia pada satu ketika dahulu. Tetapi, kerana faktor tertentu beliau memberi laluan kepada Khairy (mungkin selepas berkompromi). Sejurus peristiwa tersebut, Datuk Norza dikatakan menjadi "orang kuat" kepada Khairy - sejauh mana mereka "rapat" hanya Allah sahaja yang mengetahui. Semoga Allah selamatkan UMNO daripada politik wang dan para pengamalnya.



Apakah dengan terbongkarnya satu demi satu kegiatan politik wang di dalam UMNO sejak belakangan ini - merupakan tanda awal bahawa kepimpinan UMNO yang akan berubah pada hujung bulan ini akan meletakkan muka-muka perjuang UMNO yang tulen dan bersih sebagai para pengemudinya? Apakah benar akan ramalan yang mendakwa bahawa UMNO akan bersih kembali pada hujung bulan ini dengan menampilkan calon yang benar-benar bersih bagi memenangi jawatan-jawatan penting di dalam UMNO? Dan adakah benar dakwaan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Rais Yatim, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Syed Hamid Alba dan Datuk Syafie Apdal antara individu yang dikatakan berupaya membersihkan UMNO daripada gejala politik wang? Sekali gus memulihkan keyakinan rakyat kepada UMNO kelak? Marilah sama-sama kita tunggu hujung bulan ini. Wallahualam.

March 13, 2009

"Kajian Membuktikan Masyarakat Mahukan Mukhriz Memimpin Pemuda."




INI KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA
YANG DIKEHENDAKI AKAR UMBI DAN MASYARAKAT LUAR


Oleh Muhammad Azli Shukri


Laporan Khas Azli Shukri yang saya paparkan semalam mendapat begitu banyak respon yang pro dan yang kontra. Hari ini saya menyambungnya kembali - namun demikian, laporan kali ini lebih menjurus kepada menjawab persoalan-persoalan asas mengapa terdapat sebahagian perwakilan yang tidak mahu memilih Datuk Mukhriz sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Di sini saya kemukakan satu pandangan dahulu - pertama, mereka berhujah bahawa Datuk Mukhriz begitu lembik, manakala Khairy Jamaluddin begitu lantang dan tegas dalam mengemukakan beberapa isu. Agak malang jika inilah yang menjadi hujah utama mereka dalam usaha menyokong Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.



Saya tanyakan terlebih dahulu kepada mereka apakah yang mereka faham berkenaan makna "lembik" dalam kepimpinan? Apakah hanya dengan sikap lantang yang tidak bertempat sudah memadai menarik sokongan daripada orang Melayu di luar UMNO? apakah dengan hanya kelantangan maka orang Cina dan India di luar MCA dan MIC akan kembali menyokong BN kelak? apakah segala-segalanya hanya akan dijawab berasaskan bahawa "UMNO perlukan suara orang muda yang lantang" - kelantangan yang semacam mana UMNO perlukan untuk mengukuhkan semula parti tersebut? Akhirnya kita memerlukan kelantangan yang bersifat bijaksana dan tidak mengundang fitnah kepada parti.



Tiada maknanya kita lantang tidak tentu pasal sehingga menyakiti hati ahli-ahli parti komponen BN yang lain. Malah, pada satu ketika dahulu (jika para pembaca masih ingat) - kerana terlalu lantang bersuaralah, maka ada gesaan daripada pemuda MCA agar Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia ditangkap di bawah akta ISA. Semua ini menggambarkan bahawa - kelantangan harus disulami dengan kebijaksanaan. Kita harus tahu bila dan di mana kita harus lantang bersuara. Janganlah disebabkan kelantangan kita tersebut menyebabkan masyarakat di luar UMNO membenci UMNO dan mendakwa bahawa UMNO hanya sebuah parti untuk membela orang Melayu semata-mata - padahalnya kita merupakan tulang belakang kepada parti BN dan kerajaan. Kelantangan kita haruslah bersesuaian dengan keadaan dan aspirasi BN.



Sehingga kini - yang nampak jelas bijak dalam menyuarakan kelantangan ialah Datuk Mukhriz Mahathir. Jelas beliau tahu menjaga hati komponen BN yang lain, malah wajah cerianya sering kali membuat orang berasa selesa. Namun demikian, perwatakan Datuk Mukhriz itu tidak boleh diklafikasikan sebagai "lembik", ini satu pendefinasian yang terpesong jauh daripada kebenaran. Jika pembaca semua ikhlas mencari kebenaran - saudara semua dapat melihat gaya dan cara kelantangan yang ditunjukkan oleh Datuk Mukhriz dalam pelbagai kaedah. Tun Mahathir umpamanya, beliau lantang bersuara di peringkat dunia dan nasional - tetapi tidaklah secara berapi-rapi atau emosional, namun demikian kelantangan beliau jelas memberi kesan, termasuk ke atas kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Israel. Cara ini yang kita mahu, kelantangan yang digarap secara bijaksana dan bukan membuta tuli atau berdemonstrasi. Kita tidak mahu Pemuda UMNO di samakan dengan Pemuda PR - yang lebih gah dari segi demonstrasi - hakikatnya mereka sendiri tidak tahu apa-apa yang mereka lakukan itu.



Oleh kerana kita hidup dan memerlukan sokongan dari kaum lain - maka kelantangan yang hendak kita tunjukkan itu haruslah disampaikan secara bijaksana. Kita lantang mempertahankan hak orang Melayu - tetapi kita harus ingat sesungguhnya kita juga memerlukan sokongan orang bukan Melayu untuk kita menang dalam PRU kelak. Datuk Mukhriz - memiliki karisma ini (mungkin warisan daripada ayahnya) - lembut dan lantang bersuara tetapi secara bijaksana. Beliau kelihatan lembut dari segi luaran, tetapi seperti kata-kata abangnya Mirzan Mahathir, "Mukhriz nampak lembut, tetapi hatinya tegas dan berprinsip."



Mukhriz tahu bila dan di mana harus bersuara lantang dan bukan secara tergesa-gesa. Jadi tuduhan bahawa beliau lembik merupakan tuduhan dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai fikiran yang jernih dan bersih. Ukuran lembik hanya dilihat dari sudut perwatakan - merupakan tafsiran yang songsang. Jika Datuk Mukhriz lembik, tidak mungkin beliau sanggup mengkritik presiden partinya sendiri. Malah, jika benar kenyataan beliau seorang yang lembik, mustahillah kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center dengan kerjasama beberapa ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa baru-baru ini menunjukkan bahawa peratusan responden dari pelbagai kaum dalam memilih calon Ketua Pemuda UMNO yang terbaik ialah Datuk Mukhriz Mahathir dengan dapatan 52% sokongan, manakala Khairy dan Khir Toya masing-masing 11% sokongan, maka jelaslah bahawa, pewakilan pemuda UMNO harus memilih Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Ketua Pemuda UMNO, kerana itulah kehendak asal akar umbi dan masyarakat yang berada di luar UMNO. Soal Datuk Mukhriz lembik, merupakan isu yang sengaja diada-adakan dan hujah yang sangat lemah bagi menolak kepimpinan beliau. Wallahualam. Di bawah ini saya sertakan kajian berkenaan kehendak orang luar terhadap kepimpinan UMNO (Utusan Malaysia).



KUALA LUMPUR 12 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mukhriz Dr. Mahathir, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Shahaniza Shamsuddin menjadi pilihan utama pemilihan UMNO akhir bulan ini.Kedudukan itu hasil kajiselidik pusat penyelidikan Merdeka Center dengan kerjasama beberapa ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Seramai 1,031 responden terdiri daripada pengundi berdaftar di Semenanjung Malaysia iaitu 57 peratus Melayu, 31 peratus Cina dan 12 peratus dari kaum India telah ditemu bual antara 4 dan 16 Februari lalu. Bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, sebanyak 52 peratus daripada 1,031 responden menyokong Muhyiddin, manakala 11 peratus lagi memilih Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sementara Tan Sri Muhammad Muhd. Taib memperoleh sokongan tujuh peratus. Daripada responden berbangsa Melayu seramai 592 orang, 61 peratus memilih Muhyiddin manakala Mohd. Ali (14 peratus) dan Muhammad (lapan peratus). Bagi jawatan Naib Presiden, 17 peratus memilih Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diikuti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (13 peratus) dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (lapan peratus).


Bagi jawatan Ketua Pemuda, 52 peratus responden berbilang bangsa memilih Mukhriz manakala Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo masing-masing mendapat 11 peratus sokongan. Untuk Ketua Wanita, Shahrizat mendapat 51 peratus sokongan berbanding Tan Sri Rafidah Aziz yang hanya memperoleh 26 peratus undian. Dalam pada itu, daripada lima calon yang menawarkan diri bertanding Ketua Puteri UMNO, 26 peratus responden memilih Shahaniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul.


March 12, 2009

Laporan Khas Azli Shukri (Episod Satu) : Produk Terbaik Khairy adalah Kegagalan




Laporan Khas Azli Shukri
Episod Satu : Produk Terbaik Khairy adalah Kegagalan

Oleh Muhammad Azli Shukri


Sehingga ke hari ini, saya masih bertegas - bahawa Ketua Pemuda UMNO Malaysia mestilah Datuk Mukhriz Mahathir. Mengapa? Kerana UMNO harus segera mengelakkan fitnah yang akan melanda parti tersebut jika calon lain yang memenangi kerusi panas tersebut. UMNO tidak berupaya lagi untuk menangkis satu lagi gelombang tsunami politik dalam PRU yang akan datang. Saya jelaskan dengan hati yang ikhlas mengapa semua perwakilan pemuda UMNO harus memilih Datuk Mukhriz, pertama - imej beliau adalah bersih dan terbukti beliau tidak menggunakan wang untuk mendapatkan pencalonan baru-baru ini.



Nama beliau dicalonkan dengan sebulat suara daripada akar umbi, tanpa dipaksa atau dibayar apa-apa. Kedua, terbukti beliau merupakan calon yang tiada rekod kegagalan dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh parti kepadanya. Ambil contoh Aman Malaysia - yang terletak di bawah Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia adalah sangat berjaya dan cemerlang dalam memberi bantuan kemanusiaan di rantau ini. Saya difahamkan bahawa Datuk Mukhriz Mahathir menggunakan duit poket sendiri dalam merancang dan menjalankan aktiviti-aktiviti Aman Malaysia tersebut - ini jelas satu pengorbanan beliau yang harus dipuji. Tetapi agak hairan - bagaimanakah pula Khairy dan Khir Toyo mendapat begitu banyak wang untuk menggerakkan kempen politik mereka selama ini? Umpamanya Khairy, bagaimanakah beliau membayar gaji para pegawainya? sedangkan beliau tidak mempunyai syarikat atau kilang sendiri seperti Datuk Mukhriz Mahathir? Inilah yang menyebabkan ramai perwakilan tertanya-tanya.



Katakan, jika Khairy mempunyai tiga pembantu dan setiap pembantu/ pegawai khasnya bekerja sepenuh masa dengan beliau dan dibayar setiap daripada mereka sebanyak RM3000 sebulan, totalnya sudah mencecah RM9000 sebulan (tidak termasuk caruman kwsp). Ini baru dihitung dari segi gaji pekerjanya - belum lagi yang lain-lain (pengangkutan, jamuan, makan minum dll). Malah - jauh lebih pelik siapakah yang membiayai segala pergerakan beliau untuk berkempen di seluruh Malaysia untuk bertemu dengan pemuda-pemuda bahagian dan cawangan? Bukan sedikit wang yang diperlukan untuk melakukan road show tersebut tanpa mempunyai dana yang kukuh dan mencukupi. Rasanya, dengan gaji sebagai wakil rakyat ia belum mencukupi. Jika Datuk Mukhriz - saya tidak berapa hairan, beliau sebelum ini ialah peniaga dan mempunyai para pekerjanya yang tersendiri. Persoalan inilah yang cuba dielak oleh Khairy dalam mana-mana temubualnya dengan media, nyatalah bahawa beliau bimbang jika ramai pihak mula mempertikaikan dari mana beliau mempunyai dana kewangan yang besar dalam usaha membantu kempen beliau selama ini.



Pada mulanya, saya tidak perasan akan hal tersebut, tetapi lama-kelamaan ia semakin jelas dan membingungkan. Beliau begitu rancak ke sana ke mari untuk berkempen (kononnya turun padang) tetapi agak pelik dari mana beliau mendapatkan sumber kewangannya. Hal ini harus difikirkan oleh para perwakilan, cuba tanyakan kepada beliau dari mana sumber kewangannya yang selama ini digunakan untuk berkempen dan membayar gaji para pegawainya?



Kita agak terlepas pandang dalam membicarakan isu tersebut. Malah, Khairy cuba mengelak untuk membicakan sumber kewangannya dalam menjalankan kempen beliau. Begitu juga dengan Khair Toyo, dari manakah sumber kewangannya? Kita tidak kisah jika mereka dibantu oleh orang tertentu, tetapi biarlah kita bersikap telus dan mengelakkan fitnah. Dan sanggupkah kita membantu seseorang dengan menyumbang ratusan ribu bagi membantu dana kempennya tanpa mengharapkan sebarang imbuhan balik? Sudah tentu kita mengharapkan pulangan semula daripada pelaburan tersebut. Jika ini berlaku - ia sudah dianggap sebagai rasuah. Oleh sebab itu kita minta, agar Khairy bertindak jelas dengan mengemukakan dari mana beliau memperoleh dana bagi membantu kempen politik beliau selama ini. Saya percaya dan yakin jika Datuk Mukhriz diminta berbuat sedemikian - beliau akan sanggup melakukannya.



Berbalik kepada perkara di atas tadi - Datuk Mukhriz tidak mempunyai rekod kegagalan dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia selama beliau memegang jawatan exco, hal ini sangat berbeza dengan Khairy dan Khair Toyo. Banyak projek di bawah kendalian Khairy menemui kegagalan, jadi di manakah letaknya "kecerdikan" beliau sebagai seorang lulusan dari Universiti Oxford? Jika hanya dinilai dari aspek pandai bercakap - semua orang mampu melakukannya. Projek MyTeam tidak menampakkan hasilnya, walaupun program tersebut telah berjalan hampir tiga tahun. Kita ingin tahu apakah hasilnya? atau sekurang-kurangnya setakat mana perkembangnya? Malah, sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden FAM - saya tercari-cari idea kreatif dan inovatif beliau selaku lulusan Oxford dalam memantapkan pasukan bola sepak negara. Sebaliknya, yang saya temui adalah penyerahan kuasa oleh Khairy kepada Datuk Soh Chin Aun sebagai pengurus pasukan kebangsaan, yang kemudiannya beliau dipecat daripada jawatan tersebut. Hakikatnya, Khairy merupakan individu yang telah diamanahkan sebagai pengurus pasukan (saya tidak tahu mengapa beliau menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Datuk Soh Chin Aun tanpa ada perjanjian hitam putih (sekadar melalui lisan) - yang akhirnya Datuk Soh Chin Aun menjadi kambing hitam dalam kes tersebut).



Kes itu merupakan bukti bahawa Khairy bukanlah pemimpin yang bertangungjawab, malah cuba mengelakkan tanggungjawab apabila dirasakan bahawa tugas tersebut tidak banyak memberikan manfaat kepadanya. Jika beliau benar-benar mahu menaikkan mutu bola sepak negara, beliau seharusnya bertanggungjawab menjadi pengurus pasukan bola sepak kebangsaan dan bukan menyerahkan jawatan tersebut kepada Datuk Soh Chin Aun- malah Khairy digesa membuktikan segala "kecerdikan Oxfordnya" dalam membantu menaikkan imej pasukan bola sepak kebangsaan di mata dunia sebagai seorang Pengurus Pasukan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Akhirnya - yang kita temui hanyalah kegagalan Khairy dalam FAM, sehinggakan pada 5 Mac yang lalu seorang ahli Parlimen iaitu, Dr. Tan Seng Giaw mencadangkan seluruh barisan kepimpinan FAM dirombak, katanya, "Kalau boleh kita pecat semuanya, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Pecat itu orang yang ada kena mengena dengan FAM." Hal ini turut disambut oleh seorang lagi ahli Parlimen iaitu, Datuk Bung Moktar Radin, dengan berkata, "Bola sepak kita tiada kemajuan, maka tiada keuntungan untuk mereka (merujuk kepada kekurangan syarikat korporat untuk menaja pasukan bola sepak negara/negeri) penonton sekarang boleh dikira dengan jari bilangannya."



Apa-apa yang diluahkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat tersebut, merupakan realiti terhadap FAM, malah usaha untuk memulihkan nama baik FAM melalui penglibatan Khairy sebagai Timbalan Presiden FAM menemui kegagalan. Sangat jelas Khairy sering membawa kegagalan kepada mana-mana organisasi yang beliau sertai. Terdahulu, Tony Fernandes menyatakan kekecewaan beliau kerana menaja projek MyTeam selama ini, sehingga nama baik AirAsia tercemar gara-gara dikaitakan dengan Khairy dan kumpulannya. Lihatlah, dengan mata hati, bahawa Khairy hanya banyak mengundang kegagalan. Begitu juga apabila beliau menjadi naib ketua Pemuda UMNO Malaysia, terlalu banyak fitnah yang berkait dengan diri beliau, dari hal ECM Libra sehinggalah ke isu "Budak Tingkat 4" - semua ini hanyalah mengundang nama buruk kepada UMNO dan menyalakan api fitnah yang dahsyat kepada Pemuda UMNO.




Hal ini tidak termasuk kegagalan Khairy dalam melaksanakan program Mat Rempit - yang sehingga kini tidak diketahui apakah hasil dan natijahnya kepada UMNO. Ditambahkan pula dengan kegagalan beliau menyelesaikan isu pengangguran dalam kalangan lepasan universiti yang pernah dijanjikannya satu ketika dahulu. Malah, kempen menawan Kelantan yang dilancarkan oleh beliau melalui slogan "Pade Doh" akhirnya memakan diri sendiri. Adalah jelas bahawa "kebijaksanaan Oxford" yang dicanang oleh para pengampunya hanyalah omong kosong yang tidak mempunyai sandaran dan bukti yang kukuh. Maka, apakah dengan segala kegagalan yang pernah dilakukan olej Khairy ini masih memberi keyakinan kepada kita bahawa beliau berupaya mengemudi bahtera Pemuda UMNO Malaysia? atau sekali lagi Khairy akan menghancurkan Pemuda UMNO sebagaimana UMNO tewas teruk dalam PRU ke-12 baru-baru ini. Saya percaya semua perwakilan yang mempunyai akal yang waras dan sihat akan dapat menilai antara emas dengan suasa. Tepuk dada, tanya iman.



Ikuti Laporan Khas Azli Shukri ini dari semasa ke semasa - membongkar cerita dan berita tentang kegagalan Khairy dan mengapa seluruh pemuda UMNO harus menolak beliau.


Gambar : Datuk Mukhriz Mahathir dalam beberapa program Aman Malaysia dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan - inilah pemimpin muda yang kita mahu, tidak banyak bercakap, tetapi kerja berjalan dan membanggakan.