Tetamu Kehormat...

January 28, 2009


KENALI
DATUK MUKHRIZ MAHATHIR


Siri Kedua

"Memperkasakan Bahasa dan Bangsa"

Oleh Muhammad Azli Shukri


Wawancara bersama Datuk Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun. Merangkap Exco Pemuda UMNO Malaysia. Wawancara ini sudah disiarkan di dalam Majalah Pelita Bahasa edisi Disember 2008.


Pandangan Datuk tentang bahasa Inggeris?


Kita harus faham, bahawa hanya melalui bahasa sahaja, kita mampu menguasai ilmu. Dan orang yang menguasai ilmu sahaja yang akan berjaya. Asalnya, bahasa Greek digunakan sebagai bahasa yang menghimpunkan segala macam ilmu falsafah, kemudian berpindah ke bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan kemudiannya berpindah ke Eropah, dan sekarang, bahasa Inggerís menjadi bahasa ilmu pengetahuan, kita harus terima hakikat tersebut. Dunia semakin mencabar, mana-mana bangsa yang tidak menguasai bahasa Inggerís akan ketinggalan. Usaha menterjemah agak terbatas, manakala perkembang ilmu semakin pantas, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Mahu atau tidak mahu, kita harus menguasai bahasa Inggerís dengan baik, agar mudah menguasai ilmu pengetahuan.


Pandangan Datuk tentang bahasa Melayu?


Saya tidak bermaksud menidakkan bahasa Melayu. Namun demikian, dalam soal memperkasakan bangsa, menguasai bahasa Inggeri adalah sangat penting untuk generasi akan datang menguasai pelbagai cabang ilmu. Kita harus faham antara memperkasakan bangsa dengan memperkasakan bangsa, terdapat dua perkara di situ. Hari ini, untuk memperkasakan bangsa, mahu atau tidak mahu, kita harus menguasai bahasa Inggerís dengan baik, kerana bahasa tersebut merupakan bahasa ilmu. Manakala, memperkasakan bahasa pula, adalah dengan menjadikan bahasa Melayu mempunyai nilai yang tersendiri sehingga berupaya menarik minat bangsa lain untuk mempelajarinya, malah pastikan bahasa Melayu tidak hanya terhad dalam bidang bahasa dan sastera semata-mata. Jika diperhatikan negara China dan Jepun pada ketika ini, mereka turut menyedari kepentingan bahasa Inggerís, walaupun negara mereka semakin maju.



Namun demikian, sejak belakangan ini kedua-dua buah negara tersebut telah memberi perhatian yang serius kepada pembelajaran bahasa Inggerís sebagai bahasa ilmu. Begitu juga dengan bahasa Melayu, kita tidak harus menjadikan bahasa Melayu sekadar dalam konteks sastera dan bahasa semata-mata. Sebaliknya bahasa Melayu harus terlibat dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan lain. Selain itu, kita harus mewujudkan istilah-istilah baharu dalam bidang sains, teknologi dan perniagaan dengan cepat dan pantas, jangan kekangkan bahasa Melayu untuk berkembang, dengan meletakkan pelbagai syarat, dan mendakwa itu tidak boleh, ini tidak boleh dan akhirnya yang rugi adalah bahasa kita sendiri. Bahasa Melayu, hakikatnya boleh maju, tetapi kita harus izinkan bahasa Melayu dikembangkan oleh penuturnya sendiri. Oleh yang demikana, kita wajib merelevankan bahasa Melayu dari semasa ke semasa.


Bolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa perpaduan?


Sudah tentu boleh. Sebagai sebuah negara berdaulat, kita seharusnya mewajibkan setiap warga Malaysia mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik, tidak mengira bangsa dan agama. Sebagai rakyat Malaysia, seharusnya semua kaum di Malaysia mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.


Pandangan Datuk berkenaan isu papan tanda di Pulau Pinang?


Saya selalu tegaskan bahawa saya tidak suka apabila bahasa dijadikan isu politik, dan saya sama sekali tidak bersetuju menggunakan empat bahasa dalam setiap papan tanda di negeri tersebut. Saya tak nampak rasionalnya tindakkan tersebut? Untuk apakah sebenarnya, bukankah kita sudah mempunyai bahasa kebangsaan yang jelas dan mudah difahami semua kaum?


Buku bahasa Melayu yang baru Datuk baca?


Baru-baru ini saya ada membaca kitab hadis dalam bahasa Melayu dan satu set lengkap berkenaan himpunan buku-buku tulisan Prof. Hamka yang diberikan oleh rakan baik saya. Daripada pemerhatian saya, jelaslah bahawa bahasa kita cukup cantik dalam meyampaikan idea yang berunsur falsafah dan agama. Itu harus kita akui.


Pandangan Datuk tentang DBP?


DBP tetap relevan, usaha mengembangkan bahasa harus diteruskan. Namun demikian, ramai yang tidak tahu bahawa, DBP banyak menghadapi cabaran, masyarakat hanya tahu menyalahkan DBP. Tetapi, masyarakat tidak tahu bahawa cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu pada hari ini sangat hebat. Sebagai contoh, amalan seharian kita banyak terdedah dalam bahasa Inggeris, seperti rancangan kartun di televisyen kebanyakkannya dalam bahasa Inggeris. Muzik yang dimaikan di radio banyak dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, DBP mempunyai banyak cabaran, tetapi masyarakat tidak nampak semua ini. Mengembangkan bahasa Melayu bukan terletak di bahu DBP sahaja. Semua rakyat Malaysia harus terlibat, dan jangan salahkan DBP semata-mata. Yang penting dan harus dilakuan oleh DBP ialah menjadikan bahasa Melayu mempunyai daya tarikan yang tersendiri, agar berupaya menarik minat orang ramai untuk mempelajarinya. Umpamanya bahasa Jepun, saya belajar bahasa Jepun selama lima tahun di negara tersebut adalah kerana saya sangat tertarik dan ingin mengetahui teknologi yang mereka miliki. Oleh sebab itu saya mesti menguasai bahasa Jepun, jika saya mahukan ilmu teknologinya.


Datuk menguasai bahasa Jepun dan Inggeris dengan baik, apakah ia mengurangkan rasa patriotisme dalam diri Datuk?


Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Sebenarnya, apabila kita menguasai banyak bahasa, ia menjadikan diri kita lebih bersifat patriotik dan sayang kepada bahasa kita sendiri. Hal ini adalah kerana apabila menguasai bahasa lain, kita secara tidak langsung mempunyai perbandingan dan ukuran, malah dapat menilai dengan lebih baik terhadap pelbagai bahasa yang telah kita kuasai tersebut, di samping dapat melihat keunikan dan menghayati kehebatan bahasa kita sendiri berbanding dengan bahasa-bahasa lain. Hal ini menyebabkan kita lebih berasa bangga dan menghargai bahasa ibunda kita sendiri setelah mengetahui kelebihan dan keunikan bahasa kita berbanding dengan bahasa lain. Hal ini adalah kerana, setiap bahasa di dunia ini dicipta oleh Tuhan dengan keunikan dan kelebihan yang tersendiri. Lagi banyak bahasa yang kita kuasai, lagi tinggilah nilai patriotik dalam diri kita. Lantaran itu, saya menggalakan agar kita menguasai pelbagai bahasa, agar kita menjadi lebih patriotisme dan mengenali kehebatan bahasa kita sendiri.



Gambar : Penulis sewaktu mewawancara Datuk Mukhriz Mahathir di Parlimen.

January 23, 2009


Kebenaran
Tanpa Penghujung



Oleh Muhammad Azli Shukri



"Manusia menjadi musuh dengan apa-apa yang tidak diketahuinya." - ini adalah pepatah orang-orang Arab. Bukan hadis nabi. Namun demikian, kata-kata ini banyak kebenarannya. Saya sedikit agak kecewa, bahkan mungkin merungut sedikit. Saya memohon maaf jika tulisan saya kali ini agak pedas dan keras (syadid) sikit daripada biasa. Hal ini adalah kerana saya sememangnya tidak gemar apabila seseorang begitu mudah memberi hukum tanpa usul periksa. Isu memboikot barang-barang tertentu yang jelas bersekongkol dengan Israel, saya tegaskan bahawa saya sangat bersetuju dilaksanakan, tetapi lakukan boikot tersebut dengan bijaksana dan berhikmah. Bukan dengan membuta-tuli atau berlandaskan kejahilan serta kebodohan yang kita miliki.




Umat Islam menjadi lemah adalah disebabkan sifat ingin tahu mereka terlalu rendah. Malah, untuk mencari ilmu pengetahuan pun kita begitu malas. Umat Islam, khususnya di Malaysia- lebih gemar mendengar khabar angin daripada menyelidik untuk mencari kebenaran. Lantaran itu, apabila kejahilan yang kita ikuti pasti akan mendekatkan diri kita ke gaung kehancuran. Isu memboikot restoran makanan segera KFC telah dilancarkan secara besar-besaran dalam kalangan bloggers, saya tidak tahu sama ada ia berlaku secara terancang, mahu pun terjadi atas dasar kejahilan kita sendiri. Namun demikian, hal ini sedikit sebanyak mengundang rasa kecewa dalam kalangan pengurus-pengurus kanan KFC Holdings Berhad - dan sudah tentu juga bagi Pihak Tan Sri Muhammad Ali Hashim, CEO JCorp yang menguasai syarikat Kulim Berhad, dan pada masa yang sama, Kulim Berhad merupakan pemegang saham terbesar dalam KFC Holdings Berhad.





Nampaknya, kejahilan dan kebodohan kita selama ini, telah menyebabkan kita tidak mahu menyelidik dan mencari kebenaran, malah lebih gemar mendengar khabar angin daripada realiti. Tidak ramai yang tahu betapa susah dan gigihnya kumpulan Tan Sri Muhammaa Ali Hashim bertungkus-lumus untuk beberapa tahun, semata-mata mahu menguasai KFC Holdings daripada tangan orang lain. Keluar masuk mahkamah dan pelbagai lagi cabaran, demi memastikan KFC Holdings menjadi milik orang Islam. Namun demikian, apabila kita malas untuk mencari kebenaran, maka yang kita peroleh adalah kejahilan. Dan apabila kejahilan yang kita sebarkan ia bukan sekadar membuka pintu fitnah, bahkan menunjukkan mentaliti umat Islam yang lebih mudah dipengaruhi oleh khabar angin daripada menyelidik terlebih dahulu sesuatu maklumat yang diterima.




Sejak akhir-akhir ini tersebar luas kempen untuk memboikot KFC di seluruh Malaysia, tidak kurang juga risalah yang bertaburan di masjid-masjid menyeru umat Islam Malaysia agar memboikot KFC Malaysia. Yang lebih malang, kempen boikot KFC yang penuh dengan fitnah ini datangnya daripada mulut mereka yang tahu hukum hakam agama bahkah bergelar Imam dan Ustaz. Padahalnya, mereka sendiri tanpa sedar menyokong rejim Ziones dengan menghisap rokok di kaki tangga masjid. Bukankah lebih molek dan baik jika lakukan kempen membiokot rokok? tidakkah kita tahu rokok itu haram hukumnya? membawa banyak fasad (kerosakan) ke atas tubuh badan manusia? Dan pelik apabila ada manusia yang menyuruh memboikot makanan yang halal tetapi berdiam diri tentang rokok? Mengapa sampai begitu jahilnya kita ini? Jika kita rasa bahawa kita tidak tahu, sama ada KFC Malaysia terlibat dalam menyalurkan royalti (bayaran cukai) kepada KFC Amerika Syarikat yang menyokong Israel, lebih baik kita diam. Jangan membawa fitnah ke sana ke mari, semata-mata kerana kita sendiri tidak berapa pasti maklumat tersebut dan hanya mendengar khabar angin.





Saya sempat menghubungi pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebentar tadi- ternyata mereka sangat kecewa dengan kempen kotor lagi tidak bermaruah ini. Jelas, masyarakat kita kurang mengambil berat terhadap kesahihah sumber maklumat dan kurang amanah dalam ilmu pengetahuan. Perlu dijelaskan, bahawa KFC Malaysia hanya menggunakan jenama (brand) KFC semata-mata dan tidak membayar apa-apa cukai atau sebarang keuntungan kepada KFC induk di Amerika Syarikat. Cuma membayar yuran penggunaan jenama. KFC Malaysia adalah hak milik kita. Ia halal di makan tidak seperti rokok.





Menurut Pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim, ini semua adalah fitnah dan boleh menjejaskan pendapatan para pekerja di restoran-restoran KFC di seluruh Malaysia yang berjumlah 19 000 orang itu. Malah, rata-rata pekerjanya terdiri daripada orang Melayu-Islam. Jika para pemboikot itu sanggup menyediakan pekerjaan baharu kepada mereka, itu tiada masalah, silalah boikot. Tetapi malangnya, yang kita tahu hanya memboikot, apabila disuruh untuk menderma ke dalam tabung bantuan rakyat Palestin kita hanya sanggup masukkan RM 5 saja ke dalam peti derma di tepi pintu masjid. Sekarang, mari kita bertanya di manakah kita letakkan keutamaan jihad kita? memboikot sebuah produk yang terbukti salah untuk diboikot atau menggandakan jumlah derma kita kepada rakyat Palestin? Tepuk dada, tanya iman dan bukan tanya kepada Aiman.




Saya tegaskan sekali lagi, tiada salah untuk memboikot - tetapi biar secara bijaksana, berhikmah dan berilmu. Pilih betul-betul produk yang jelas menyalurkan bantuan kepada Rejim Ziones tersebut, jangan main sedap boikot saja. Umat Islam mundur kerana kita ketepikan soal (bijaksana) sebab kita jarang baca al-Quran. Lantaran itu kita mudah diperkotak-katik oleh bangsa lain. Adalah lebih baik pada pandangan saya kita boikot semua jenama rokok. Jelas ia memudaratkan kesihatan, malah jenama syarikat-syarikat besar rokok antarabangsa belum tentu selamat daripada dikaitkan dengan negara Israel.




Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sesiapa sahaja, pergilah menjamu selera di restoran-restoran KFC, jangan ragu dan jangan gusar. Ia bukan sahaja halal, malah KFC Malaysia adalah milik orang Islam dan tidak terlibat dalam menyumbang wang atau royalti kepada negara Israel. Malah, ramai yang tidak tahu berapa juta ringgit yang telah didermakan oleh JCorp hasil keuntungan KFC kepada tabung rakyat Palestin. Semua ini memerlukan kita berhati-hati sebelum memboikot.






Gambar : Penulis bersama dengan Tan Sri Muhammad Ali Hashim di Pejabatnya. Beliau yang bertanggungjawab memperkenalkan Jihad Bisnes dan Jihad Ekonomi. Usaha beliau harus dipuji dalam menegakkan Islam melalui perniagaan.

January 22, 2009


Realiti Baru



Kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil di Kuala Terengganu pada sesetengah tanggapan masyarakat merupakan suatu yang mengejutkan. Tidak kurang pula yang sudah meramal akan keputusan tersebut. Bagi saya pula, saya mengandaikan kekuatan UMNO dan PAS di Kuala Terengganu adalah 50-50. Masing-masing ada kekuatan tersendiri. Namun demikian, keputusan yang mengecewakan itu – harus diterima dengan hati yang terbuka. Sekurang-kurangnya, seluruh ahli UMNO harus menimbangkan semula kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak ini dengan sangat teliti, “Kita mesti tampil dengan imej bersama nilai-nilai baik dan positif. Saya selalu tekankan bahawa kita kena mesra rakyat di semua peringkat, bukan atasan saja. Dari kaca mata rakyat di peringkat akar umbi, mereka menilai UMNO berdasarkan interaksi dengan pemimpin.” Kata-kata ini juga disambut oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan menyatakan bahawa UMNO memerlukan perubahan radikal. Namun demikian, soalan yang harus segera dijawab ialah, apakah yang dimaksudkan dengan perubahan radikal tersebut? Apakah UMNO bersedia untuk mengubah tujuh perkara di bawah ini? Jika UMNO benar-benar mahukan perubahan radikal, sekali gus mengembalikan semula keyakinan rakyat? Cuba fikir-fikirkan.



1. Semua pemimpin UMNO yang banyak mengundang fitnah kepada parti harus segera meletakkan jawatan dengan ikhlas.



2. UMNO harus membenarkan setiap ahlinya untuk mengundi siapakah calon pilihan mereka untuk menerajui kepimpinan UMNO. Lakukan pemilihan pemimpin-peminpin UMNO seperti mana dalam pilihan raya umum. Biar akar umpi yang memilih pemimpin yang mereka sukai dan bukan lagi sekadar para perwakilan.



3. Hapuskan pinjaman PTPTN atau para peminjam hanya perlu membayar 50 peratus daripada keseluruhan pinjaman mereka. Hal ini mampu menarik minat golongan muda untuk menyokong kembali kerajaan dan UMNO.



4. Izinkan golongan muda profesional menyertai UMNO dengan mudah tanpa perlu birokrasi melalui peringkat cawangan dan bahagian.



5. Letakkan syarat bahawa ketua-ketua UMNO bahagian mestilah tidak terdiri daripada kalangan para kontraktor atau terlibat dengan perniagaan. Terbukti orang-orang Melayu tidak tahu membezakan antara politik dengan perniagaan.



6. Jawatan Ketua UMNO Bahagian haruslah disandang tidak melebihi tiga penggal. Begitu juga dengan jawatan ADUN atau Ahli Parlimen yang seharusnya tidak begitu lama dipegang oleh seseorang. Tetapkan syarat seseorang wakil rakyat hanya dibenarkan menjadi wakil rakyat sekitar tiga penggal sahaja.



7. UMNO harus kembali menghayati perjuangan tokoh-tokoh Islam, serta menyerapkan Islam dalam perjuangannya secara holistik dan serius. Tekankan soal solat, zakat, dosa dan pahala kepada ahli-ahlinya agar budaya politik wang dan membeli undi dapat ditangani.



Inilah tujuh pandangan ringkas saya berhubung bagaimanakah UMNO harus mencipta perubahan. Semoga Allah menyelamatkan UMNO daripada kehancuran. Dan berdoalah kita agar negara Malaysia tercinta ini terus kekal aman dan sentosa.

January 16, 2009

Tahniah
Dr. Firdaus!

Saya difahamkan bahawa Datuk Dr. Firdaus Abdullah, Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerima surat lantikan sebagai Senator. Ucapan tahniah harus saya sampaikan kepada beliau sebagai satu penghormatan daripada seorang anak didik serta seorang yang pernah bekerja dengan beliau di DBP. Saya rapat dan baik dengan Dr. Firdaus sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (Hal Ehwal Pelajar). Pernah dijemput untuk berdikusi berkaitan hal-hal politik semasa bersama dengan beliau dan Mantan Ketua Pengarah DBP Datuk Aziz Deraman di Dewan Kuliyyah Pusat Sains Sukan, Universiti Malaya sekitar tahun 2000/01 (jika tidak silap penulis).





Saya juga pernah mengkritik pandangan beliau dalam majlis tersebut, sedangkan penulis pada ketika itu baru sahaja berusia 21 tahun. Namun demikian, sikap Dr. Firdaus sangat saya puji dan sanjung. Beliau sangat mudah menerima kritikan dan pandangan daripada generasi muda. Lantaran itu, tidak menghairankan jika para pelajar UM ketika itu, sangat rapat dan mudah untuk bertemu dengan beliau bagi membincangkan pelbagai masalah dan mendengar rintihan mereka. Beliau juga seorang yang bijak dalam menangani isu "Diploma Bahasa" yang dikeluarkan oleh Fakulti Bahasa dan Lingustik sekitar tahun 1997/1998 yang sebenarnya tidak diiktiraf oleh JPA dan Kementerian Pendidikan. Pada waktu itu, saya turut menyertai perarakkan aman untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan, berkenaan isu Diploma Bahasa kami yang tidak iktiraf . Hal tersebut mendapat liputan meluas, khususnya daripada Harakah.






Namun demikian, hubungan saya tidaklah terhenti setakat itu sahaja dengan Dr. Firdaus, malah saya juga terlibat dalam Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang mana Dr. Firdaus juga merupakan orang kuat GPMS. Hal tersebut menyebabkan kami saling berinteraksi antara satu sama lain. Tuhan memanjangkan hubungan kami, sehinggalah saya ditemuduga oleh beliau sendiri untuk jawatan Pegawai Perancang Bahasa (S41) di tinggkat 30 Menara DBP pada pertengahan tahun 2006. Saya lulus temuduga tersebut dan diterima bekerja di DBP. Selama dua tahun saya bekerja di DBP dan selama setahun setengah, saya sempat merasa bekerja di bawah beliau sebagai Ketua Pengarah. Hubungan saya dengan Dr. Firdaus semakin rapat setelah saya berjaya membuktikan kepada beliau bahawa majalah Dewan Ekonomi yang tiada sambutan pada satu ketika dahulu, berjaya ditingkatkan jualan dan imejnya. Apabila saya dimaklumkan bahawa Dr. Firdaus tidak lagi disambung kontraknya sebagai Ketua Pengarah DBP - saya sangat terkejut. Terkejut kerana terdapat unsur permainan politik "luar biasa" di sana, yang menyebabkan beliau tidak lagi disambung kontrak sebagai Ketua Pengarah.






Namun demikian, hal tersebut sudah lama berlalu. Malah, wilayah keraguan politik "luar biasa" yang saya alami ketika itu pun sudah terjawab secara jelas pada hari ini, setelah saya sendiri mengalaminya. Nasib yang dialami oleh Dr.Firdaus dan saya - sebenarnya begitu sinonim. Walaubagaimana pun, hal tersebut telah mematangkan kehidupan kami. Tetapi, itu semua sudah menjadi sejarah. Sekarang Dr. Firdaus sudah dilantik sebagai Senator, mungkin minggu hadapan beliau akan mengangkat sumpah. Saya ucapkan tahniah.





Kebiasaannya, apabila seseorang itu dilantik sebagai Senator dalam keadaan tertentu - ia membawa banyak tafsiran. Dan dalam hal ini, mungkin Dr.Firdaus akan dilantik oleh Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai Timbalan Menteri Pelajaran yang baharu - menggantikan tempat Allahyarham Datuk Razali Ismail yang meninggal dunia baru-baru ini. Jika hal ini menjadi kenyataan, barangkali seperti sirih pulang ke ganggang, Dr.Firdaus mungkin akan memegang fotfolio yang sama dengan Datuk Razali, iaitu menjaga hal ehwal Dewan Bahasa dan Pustaka.





Hal ini amat sesuai pada pandangan saya kerana Dr. Firdaus pernah mengemudi DBP selama dua tahun sebagai Ketua Pengarahnya. Malah, sudah tiba masanya, beliau mengembalikan taring DBP yang semakin kronik dengan budaya politik cantas-mencatas dan politik bodek-membodek yang semakin membelit organisasi tersebut. Semoga Allah mengabulkan doa saya ini. Amin. Selamat Maju Jaya Datuk!




Gambar : Penulis kiri sekali (berbaju Melayu merah) bersama-sama dengan beberapa rakan dari Universiti Islam Antarabangsa bergambar kenangan dengan Dr. Firdaus di Putrajaya sewaktu majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, anjuran GPMS. Turut kelihatan ialah Jaafar Rahim, Pakar Pemikiran Literal Malaysia.

January 11, 2009

KENALI
DATUK MUKHRIZ MAHATHIR

Siri Pertama

"Saya membesar seperti kanak-kanak lain."

Oleh Muhammad Azli Shukri



Menelusuri kehidupan zaman remaja Datuk Mukhriz Mahathir, sangat teruja. Anak ketiga kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad ini begitu ceria sewaktu membicarakan zaman remajanya kepada penulis. “Zaman remaja saya penuh dengan keriangan, saya seperti kanak-kanak lain, hidup dalam budaya Melayu yang sangat menekankan soal adat dan agama Islam.” Ujar Mukhriz ketika memulakan perbualan. “Saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan dan agama, ayah saya Tun Mahathir sangat tegas dalam pendidikan kami. Walaupun beliau sibuk sebagai ahli politik, namun pendidikan anak-anaknya sangat diambil berat.” Sambung Mukhriz lagi.





Menurut beliau, zaman remajanya sangat menarik untuk dikongsi bersama. Walaupun keluarga Mukhriz sangat dihormati oleh masyarakat pada ketika itu, kerana Tun Mahathir merupakan seorang doktor perubatan, namun hubungan Mukhriz dengan kanak-kanak sekampungnya tiada jurang dan perbezaan. “Zaman remaja saya seperti orang lain juga. Saya tiada beza dengan kanak-kanak yang sebaya dengan saya pada ketika itu. Walaupun ayah saya dihormati kerana seorang doktor, tetapi hubungan saya dengan rakan-rakan sekampung tiada beza, kami bersama-sama bermain di dalam sawah, pergi berenang di sungai Kedah, memancing ikan dan bermain meriam buluh, semua ini membuatkan hubungan kami sangat rapat dan mesra, tanpa mengira status dan kedudukan.”




Mukhriz berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1974, ketika berada dalam darjah empat, kerana Tun Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran . Mukhriz dibesarkan di Kuala Lumpur, tetapi pendidikan menengahnya di Kelantan. Menurut Mukhriz, walaupun Tun Mahathir merupakan Menteri Pelajaran pada ketika itu, dan mempunyai peluang untuk menghantar anak-anaknya belajar ke luar negara, namun demikian, beliau tidak melakukannya. Tun Mahathir lebih selesa menghantar Mokhzani dan Mukhriz ke sekolah berasrama penuh. “Saya dan abang saya, Mokhzani dihantar bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Bharu (Sekarang MRSM Pengkalan Chepa) selama lima tahun dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima. Di sana, saya mendapat banyak pengalaman yang berbeza, kerana saya dibesarkan dalam budaya dan bahasa percakapan masyarakat Kedah dan bukan Kelantan. Pada awalnya, agak sukar untuk memahami pertuturan orang Kelantan, tetapi lama kelamaan ia semakin mudah difahami.” Jelas Mukhriz lagi.





Menurut beliau , zaman remajanya di Kelantan sangat indah dan menarik, kerana budaya dan cara hidup Islam yang diamalkan di sana. Menurut Mukhriz, “Saya dibesarkan dalam suasana masyarakat Kelantan yang teguh kepada ajaran Islam serta budaya Melayu. Saya hidup selama lima tahun di negeri tersebut, sehingga sekarang saya masih fasih bercakap dalam dialek Kelantan, kerana saya mempunyai kawan yang ramai di sana. Hal ini menyebabkan saya berasa bertuah dan tidak meninggalkan cara hidup Islam dan orang Melayu.”





Sepanjang lima tahun belajar di Kelantan, Mukhriz banyak belajar erti berdikari dan kehidupan susah masyarakat Kelantan. Hal ini mematangkan beliau. Apatah lagi menurut Mukhriz, walaupun Mokhzani berada di tingkatan tiga dan beliau berada di tingkatan satu, namun abangnya itu lebih gemar agar Mukhriz berdikari dan tidak bergantung harap kepadanya selalu. malah, menurut Mukhriz, pernah sekali beliau dibuli oleh pelajar-pelajar senior, tetapi Mokhzani tidak datang membantu, sebaliknya mahu beliau mempelajari erti tidak bergantung harap kepada orang lain.




Ketika Mukhriz di sekolah, beliau begitu aktif dalam persatuan, tetapi bukanlah sebagai ketua atau pemimpin, sebaliknya lebih kepada pelaksana dan penggerak kepada tugas yang diamanahkan. Kehidupan beliau semakin mencabar setelah Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1981, iaitu ketika beliau berada di tingkatan lima. Mukhriz terpaksa bekerja keras untuk membuktikan bahawa sebagai seorang anak Perdana Menteri, beliau mampu mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dan yang lebih penting tidak memalukan ayahnya sebagai Perdana Menteri. Akhirnya, Mukhriz berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dan menyambung pelajarannya di Universiti Sophia, Tokyo, Jepun dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan. Seterusnya menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang Pemasaran.





Menurut beliau, perkara yang tidak dapat dilupakan ketika zaman remajanya ialah, setiap kali keluarga Tun Mahathir bercuti ke luar negara, sudah pasti Tun Mahathir akan membawa mereka melawat ke kilang-kilang kereta. Bagi Mukhriz, beliau rasa bertuah, kerana sejak zaman remaja lagi, beliau sudah didedahkan dengan syarikat-syarikt pengeluar kereta terkenal dunia, seperti Toyota dan Mistubishi. Tidak disansikan oleh sesiapa pun bahawa hobi Tun Mahathir adalah melawat kilang kereta dan pembuatan. Lantaran itu, tidak menghairankan apabila Tun Mahathir membangunkan projek kereta nasional dengan kerjasama daripada syarikat-syarikat besar Jepun. Melalui hobi Tun Mahathir ini, menyebabkan Mukhriz secara tidak langsung jatuh hati dalam industri pembuatan.





Setelah menamatkan pelajaran di Jepun dan Amerika Syarikat, beliau berazam membina perniagaannya sendiri melalui Opcom Holdings dan merasai jatuh bangun dalam pelbagai bidang perniagaan. Setelah membuktikan bahawa beliau mampu berjaya dalam dunia perniagaan, Mukhriz menceburi secara langsung dengan dunia politik dan kerja-kerja amal. Kini, beliau banyak terlibat dengan kerja amal melalui pertubuhan bukan kerajaan seperti AMAN Malaysia. Serta terlibat secara aktif dalam politik setelah memenangi jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 2004. Malah, karismanya semakin menyerlah setelah memenangi kerusi Parlimen Jerlun dalam pilihan raya umum 2008.

January 8, 2009

Dunia
Tidak Rata


Beberapa minggu belakangan ini saya agak kurang menganalisis isu-isu politik, hal ini bukanlah disengajakan, tetapi kesibukan melayan rakan-rakan yang datang dari jauh serta pelbagai latar belakang - membuatkan saya tiada masa untuk melakukan analisis ringkas berkenaan isu Palestin dan Pilihan Raya di Kuala Terengganu. Namun demikian, saya berikan sedikit pandangan saya berkenaan isu-isu berkenaan.




1. Debat antara Khairy Jamaluddin dengan Husam di Kelantan beberapa minggu yang lalu - bolehlah saya analisiskan seperti berikut. Saya sudah menonton VCD lengkapnya, namun saya menjadi agak kecewa. Pertama, terbukti KJ tewas dalam perdebatan tersebut - sehingga menunjukkan betapa Husam sangat bijak "mengenakan" KJ, antaranya yang saya masih ingat ialah, jika benar KJ menyokong beliau sebagai calaon Presiden PAS, maka eloklah terlebih dahulu KJ masuk PAS. Itu sindiran yang tajam untuk KJ. Malah, cara Husam yang sederhana amat berkesan dan berjaya dalam usaha mematahkan hujah-hujah KJ dengan bersahaja dan matang. Pengajarannya, selepas ini jika kita mahu berdebat - tengok betul-betul isu yang hendak dimainkan oleh pembangkang, agar kita tidak terperangkap dan terlencong jauh daripada topik yang sebenar.




2. Isu Palestin - sudah terang lagi bersuluh, tanpa menafikan bahawa kita berhak untuk memboikot produk-produk keluaran Israel seperti Coca-Cola, McD, Huggies, Disney, Perrier dan banyak lagi. Kita seharusnya bertanya terlebih dahulu, jika kita memboikot hampir lima puluh jenis produk keluaran Israel tersebut, maka apakah kesannya kepada para pekerja Islam yang sedang menumpang mencari rezeki di kilang-kilang tersebut? Apakah umat Islam sudah menyediakan produk alternatif atau syarikat-syarikat alternatif untuk mereka berpindah dan mencari kerja di syarikat atau kilang yang bukan milik Israel lagi? Jika kita memboikot restoran makanan segera McD sehingga muflis di Malaysia, apakah kita suda ada alternatif syarikat yang menggantikannya, untuk para pekerja berpindah mencari rezeki yang baharu? jika itu semua sudah ada, mari kita lakukan. Jika tidak, kita tidak mahu hanya menjadi manusia yang menang bersorak tetapi kampung tergadai. Namun begitu, ia tidak bermakna saya tidak bersetuju untuk memboikot produk keluaran Israel. Sebaliknya, mungkin kita harus mencari jalan lain bagi menghancurkan negara Israel ini. Mungkin cadangan saya ini agak ekstrim - tetapi boleh difikirkan seketika.




Saya merasakan bahawa negara-negara Islam, termasuk Malaysia berpakat untuk mengeluarkan seluruh rakyat Palestin daripada bumi mereka untuk seketika. Dengan kata lain, hijrahkan para penduduk Palestin ke negara-negara Islam lain yang sanggup menjadikan mereka sebagai "rakyat angkat" untuk sementara waktu. Dan biarkan seluruh warga Israel menguasai Palestin. Apabila mereka sudah berkumpul, bukankah lebih mudah untuk kita menghancurkan Israel sekaligus daripada luar? Manakala, tentang Baitul Maqadis - hal itu harus kita pertahankan di sana, mana-mana pejuang harus berkumpul di sana, berjihad dan mati syahid di sana. Manakala, anak-anak kecil, orang tua dan wanita, ayuh mari seluruh negara Islam, termasuk Malaysia, kita ambil mereka sebagai "rakyat angkat" negara kita , serta buktikan bahawa, kita benar-benar mahu menolong saudara seagama dan berkorban demi Islam dan perjuangannya. Wallahualam.





3. Isu pilihan raya di Kuala Terengganu - saya berpandangan, Parti yang menang ialah parti yang berjaya mengurangkan kecaman peribadi dan mengukit isu-isu lama, seperti Hudud dan 16 September. Hentikan kempen yang memburuk-burukan Anwar atau Najib - ia tidak akan menguntungkan sesiapa pun. Cara berkempen mesti diubah melalui cara perang psikologi generasi muda. Kita mesti berkempen dengan memberikan satu bentuk "keselesaan" kepada generasi muda dan menjauhkan mereka daripada sebarang tekanan dan desakan. Dengan kata lain, tawarkan kepada generasi muda "sesuatu yang menberikan keselesaan kepada mereka", seperti kemudahan untuk membuat pinjaman perniagaan, bayaran balik yang tidak menyusahkan berkaitan dengan PTPTN, memudahkan proses mereka berkahwin, izinkan mereka bersuara dan meluahkan pandangan melalui blog serta elakkan daripada mengancam mereka dengan undang-undang dan ISA, serapkan staf-staf kontrak yang dah lama berkhidmat dengan kerajaan sebagai staf tetap dan berpencen, memudahkan mereka untuk membeli rumah kos rendah dan kenderaan, kenal pasti apakah yang mereka mahukan di universiti dan yang lebih penting pastikan para graduan yang baru menamatkan pelajaran dari universiti, mudah untuk masuk bekerja di sektor awam dengan taraf tetap, walaupun gaji permulaanya sekadar RM800.00 sebulan. Hakikatnya, para graduan tidak memilih kerja, asalkan tetap dan bekerja dalam sektor awam. Saya harap UMNO cuba menggunakan pendekatan kempen ini, mungkin kita akan menang dengan lebih selesa. Jauhkan kempen mengutuk peribadi dan kecaman kepada Anwar Ibrahim atau Nik Aziz.

Mengapa Kita Takut?



Saya mendapat beberapa panggilan yang menunjukkan rasa kurang senang dengan pendedahan yang saya lakukan. Kononnya kisah Hikayat Dewan Ekonomi akan mendedahkan banyak perkara dan kepincangan di Bahagian M yang tidak diketahui umum. Malah, tidak kurang juga ada yang menuduh saya seorang yang pendendam. Sudah saya jelaskan sebelum ini, bahawa kepada mereka yang tidak suka membaca blog saya, maka tutup sahaja. Tidak perlu susah-susah ingin membaca kisah yang saya tulis ini. Golongan ini bertanyakan kepada saya, apa yang saya mahukan sebenarnya dengan mendedahkan hal yang sebenar? saya jawab mudah. Saya mahu orang yang bertanggungjawab atas penganiayaan saya serta bersengkongkol dengan mereka tampil ke hadapan dan meminta maaf secara terbuka. Isu yang terjadi kepada saya merupakan isu kecil, jika tiada batu api yang sanggup mencetak blog saya untuk dihantarkan kepada pihak pengurusan - agar saya disingkirkan, maka hal ini tidak akan berlaku. Semua orang tidak dapat menerima dengan apa-apa yang berlaku ke atas saya selama ini adalah disebabkan kerana isu blog.






Menurut mereka hal ini boleh diselesai dengan mudah jika tiada manusia yang bertopeng menjoloknya daripada bawah. Kononnya dengan alasan bahawa saya terlibat dengan politik UMNO maka saya harus diambil tindakan. Saya bekerja di sebuah organisasi milik kerajaan UMNO, maka tiada sebab mengapa saya tidak boleh terlibat dengan UMNO. Saya menyokong kerajaan dan bukan menyokong pembangkang. Nombor ahli UMNO saya adalah jelas - 03038889. Malah saya juga merupakan orang kuat UMNO. dalam keadaan UMNO lemah, apabila mereka mengambil tindakan sebegini kepada saya, maka tidak mustahil fitnah akan melanda parti UMNO serta generasi muda akan lari daripada UMNO. Sama ada saya menyokong Mukhriz atau Khairi Jamaluddin - itu adalah hak saya. Mengapa mesti ada yang melompat mengalahkan menteri?






Saya mungkin akan kehilangan ramai kawan gara-gara saya mendedahkan perkara yang sebenar - tetapi sudah ramai yang teraniaya dan tiada sesiapa yang hendak membelanya. Namun itu merupakan asam garam kehidupan, saya tidak meminta simpati atau menyokong saya. Apa yang saya tahu, saya perlu bercakap benar dan berterus-terang. Selama ini tiada sesiapa pun yang peduli blog saya, tetapi kini ramai yang mencari dan ingin mendapatkan penjelasan daripada saya - setelah fitnah al-Kubra menimpa saya. Pelik dan hairan - manusia menjadi takut jika hal yang sebenar diketahui, tetapi gembira jika manusia tahu kisah pembohongan dan penganiayaan. Saya juga tidak gemar untuk menceritakan kisah ini, tetapi malang, makin saya diam - makin kuat fitnah kepada saya. Sedangkan selama ini, golongan inilah yang juga menggembar-gemburkan isu blog saya kepada pihak atasan - sehingga saya diminta untuk menutup blog saya, tanpa menunjukkan mana satukah enterinya yang salah dan bercanggah.





Raja Petra sekalipun dikenakan ISA - tidak pula kita dengar bahawa pihak kerajaan menyuruh beliau agar menutup blognya - cuma diminta memadam artikel berkenaan kes Altantuya. Dan pada hemat saya - rupa-rupanya menyokong Mukhriz mungkin menjadi satu dosa dan mengkritik Khairi Jamaluddin - mungkin menjadi sesuatu yang sukar diampunkan. Maka - bagaimanakah kita harus menjadi editor yang hebat seperti "Datuk Johan Jaafar" dan "Datuk Noor Azam" pada suatu ketika dahulu? jika semua perkara tidak diizinkan dan takut untuk ditulis? Maka janganlah lagi selepas ini kita bercakap bahawa kita bekerja di sebuah organisasi yang lahir daripada api suatu zaman, yang lahir daripada sebuah perjuangan - tetapi kubur kita, akhirnya dikencing oleh generasi akan datang lantaran sikap penakut untuk bercakap benar dan tidak mahu orang lain menjadi pejuang. Moga Allah mengampuni kita semua.





"Ya Allah, hambaMU yang kerdil dan lemah ini sangat memohon belas kasihan daripadaMU, sesungguhnya aku benar-benar memerlukan pertolongan daripadaMU - seperti mana sabda nabiMU, manusia yang dianiayai dan dizalimi- doanya tidak akan ada hijab dan dinding lagi untuk sampai kepadaMU. Maka, dengan namaMU, Ya Allah, Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Pengasih - Engkau Tunjukkanlah kebenaran dan berikanlah pembalasan yang setimpal kepada mereka yang sama-sama terbilat dalam melakukan kezaliman dan penganiyaan kepadaku. Semoga yang batil dan penzalim insaf atas segala perbuatan mereka selama ini. Dan semoga yang menjadi batu api dan penghasut menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka. Amin, Amin, Amin Ya Rabbil A'Lamin."

January 7, 2009

Hikayat
Dewan Ekonomi


Episod Dua : Lombong Emas En. Ferderhof


1. Saya agak sedikit kecewa, tidak banyak. Tetapi kecewa. Begitu banyak respons yang saya terima ekoran tersiarnya Hikayat Dewan Ekonomi di blog saya baru-baru ini. Baik respons positif mahupun respon negatif. Semuanya saya terima dengan hati yang terbuka.



2. Rupa-rupanya hikayat tersebut telah menyebabkan sesetengah orang “melompat” dan terasa dengan apa-apa yang pernah mereka ucapkan kepada saya. Malah, ada sesetengah pihak yang tidak mahu mengaku dengan apa-apa yang telah mereka katakan kepada saya pada suatu ketika dahulu.



3. Namun demikian, itulah adalah sikap manusia – dan lumrah manusia untuk menjaga “periuk nasi” mereka sendiri. Dan saya sama sekali tidak akan mempedulikan semua itu, kerana kebenaran perlu didedahkan. Tidak kurang juga yang mahu agar hikayat ini tidak diteruskan lagi, kerana kononnya ia hanya membuka pekung dan keburukan organisasi kita sendiri, khususnya tentang apa-apa yang telah berlaku di Bahagian M selama ini. Menurut golongan ini, eloklah didiamkan sahaja, walaupun diri saya difitnah dengan begitu dahsyat. Pada pandangan mereka, terima sahajalah kezaliman yang berlaku ke atas diri saya. Bukankah itu lebih mudah? Tidak perlulah saya mendedahkan segala-galanya di dalam blog, semata-mata mahu mempertahankan diri saya yang dizalimi ini. Namun begitu, harus diingat yang meminta agar hikayat ini diteruskan adalah para pekerja DBP di bahagian lain, menurut mereka - mereka juga perlu mendengar penjelasan daripada saya dan tidak hanya sebelah pihak semata-mata, jadi sama-sama kita menilaikannya.



4. Nampaknya, dalam dunia yang semakin canggih dan berteknologi ini, masih ada yang jahil tentang makna blog, blogging dan bloggers. Dalam kes saya ini, saya pula yang dipersalahkan, tetapi manusia yang membawa isu blog ini ke pihak atas tidak pula dipersalahkan. Sesungguhnya, ada manusia yang mengambil kesempatan dalam kekalutan yang melanda pada ketika itu. Dan hal ini tiada sesiapa pun di DBP yang mengetahuinya – kecuali dengan membaca hikayat ini sehingga habis. Oleh yang demikian, sebelum kita menggunakan blog untuk menjatuhkan seseorang – kita harus faham apakah takrif blog dan fungsinya terlebih dahulu, sebelum kita mengambil apa-apa jua tindakkan.




5. Kejahilan ini, akhirnya mengundang kepada sikap minda tertutup dan mudah terasa apabila dikritik. Kemudian, dalam mesyuarat kita pun bercakap soal minda kelas pertama – seolah-olah minda kita sudah mencapai tahap yang membanggakan, padahalnya kita sendiri tidak boleh dikritik dan ditegur. Cepat naik angin dan melenting. Masih mengamalkan sikap membodek dan mencucuk bos. Adakah semua ini menggambarkan sikap manusia yang berminda kelas pertama? Saya tidak mengkritik DBP, tetapi saya mengkritik sesetengah manusia yang berada di tingkat 20 Menara DBP, yang masih mempunyai minda kelas ketiga.



6. DBP tetap relevan, yang tidak relevan ialah sesetengah pekerjanya – yang lebih gemar membodek dan bermain silat politik kotor, yang kadang kala lebih kotor daripada politik UMNO sendiri. Dalam sebuah organisasi yang bernama DBP – ia tidak harus terjadi. Kadangkala saya tersenyum sendirian – pelik melihat kebimbangan mereka terhadap blogger seperti saya. Bukan terkenal pun, malah blog saya ini pun tidak berpengaruh mana, jika hendak dibandingkan dengan bloggers seperti A.Kadir Jasin mahupun Tun Mahathir – yang berupaya menggerak massa.



7. Soalnya sekarang ialah, mengapa ada pihak yang tidak mahu bercakap benar, dan sanggup berbohong kepada orang ramai tentang hakikat yang yang berlaku di Bahagian M. Golongan ini lebih gemar menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menakut-nakutkan para pekerja di bahagian tersebut. Tekanan demi tekanan digunakan agar semua editor menjadi pak turut dan bukan editor yang mempunyai prinsip. Apa yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad, sememang terselah kebenarannya – kaum wanita tidak boleh memimpin, jika mereka menjadi ketua – mereka lebih muda mengikut emosi dan mudah dicucuk dan dipengaruhi orang lain.



8. Hal inilah yang berlaku di Bahagian M. Mengapa kadangkala di rumah, anak-anak sanggup menipu kedua ibu bapanya? Kita hanya tahu menyalahkan mereka, sedangkan anak-anak jadi seperti itu adalah disebabkan oleh sikap kita juga, yang gemar memberi tekanan hidup kepada mereka, melalui pelbagai undang dan hukuman yang remeh-temeh, di samping tidak mahu memahami jiwa mereka yang sebenar.



9. Tanpa disedari, kita sebenarnya lebih suka menggunakan kemarahan bagi mencari jawapan tentang mengapa dan kenapa orang bawahan kita tidak mahu melakukan apa-apa yang telah kita suruh dan arahkan, tanpa kita menyelami kehendak dan perasaan mereka. Hal ini berpunca daripada sikap ego dan sombong yang kita amalkan selama ini, sehingga kebaikan orang lain tidak kita nampak, manakala keburukan yang kecil pula kita besar-besarkan. Walau apa pun keadaannya, hikayat ini akan tetap saya teruskan, agar kebenaran tetap ditegakkan dengan sempurna.



10. Ingin saya ingatkan, kepada sesiapa yang tidak suka membaca hikayat ini, saya nasihatkan, agar mulai hari ini jangan lagi menatap blog saya. Dan tidak perlulah mengambil tahu dengan hikayat yang akan saya tulis ini. Saya tidak mahu para pekerja kontrak di DBP tidak akan disambung kontrak kerja mereka, gara-gara membaca blog saya dan dituduh sebagai dalang untuk menjatuhkan seseorang. Malah, mulai episod kedua ini, semua nama yang terbabit dalam hikayat ini akan ditulis dengan nama samaran. Hal ini bertujuan agar tiada sesiapa yang tersinggung dan mengamalkan sikap talam dua muka. Kebenaran itu sememangnya pahit rasanya – tetapi harus dikatakan.



11. Hikayat ini ditulis hanya untuk para peminat blog saya sahaja dan bagi mereka yang tidak suka, tidak perlulah bersusah payah membuka blog saya ini. Saya telah kehilangan beberapa sahabat yang sebelum ini sangat rapat dengan saya, semata-mata kerana fitnah yang dilemparkan kepada saya selama ini, dan apakah saya perlu berdiam diri? Apakah saya perlu sembunyikan nama-nama mereka yang terlibat menjadi batu api bagi menganiaya saya selama ini? Dan saya rasakan, saya tidak perlu menjadi sebodoh itu, atau membiarkan sahabat-sahabat saya diperbodoh-bodohkan dengan alasan-alasan yang tidak dapat diterima oleh orang yang waras akalnya. Dan kepada mereka yang sudah termakan hasutan dan percaya atas pembohongan tersebut – saya berharap mereka insaf dan bertaubat. Dan kepada mereka yang sanggup memutuskan tali ukhwan dan persahabatan dengan saya, semoga Allah akan menyedarkan kalian pada satu hari nanti. Dan sesungguhnya hukum memutuskan hubungan silaturrahim adalah jelas, yakni haram.



12. Hikayat ini bukan ditulis untuk meraih simpati sesiapa, jauh sekali untuk mendapatkan sokongan – tetapi ia bermatlamat membongkar kisah yang berjudul “Sang Jahat yang Bermaharajalela” sekaligus mendedahkan sikap dan sifat sesetengah pekerja di Bahagian M, DBP yang lebih mementingkan diri serta pangkat, malah sanggup menjadi batu api, sehinggakan pekerja yang baik dikatakan jahat dan pekerja yang jahat dikatakan baik.



13. Kezaliman ini sudah sampai ke kemuncaknya, dan harus dihentikan dengan seberapa segera yang boleh. Agar tiada sesiapa lagi yang menjadi mangsa kezaliman dan mangsa kepada manusia sanggup membubuh racun tuba ke dalam periuk nasi orang lain. Dosa ini pasti akan ditanggung oleh mereka sehingga ke hari kiamat. Moga Allah mengampuni mereka. Oleh demikian, marilah sama-sama kita meneruskan pembacaan Hikayat Dewan Ekonomi Episod 2 : Lombong Emas En. Ferderhof.



14. Menurut dongeng Yunani, Procrustes merupakan seorang penyamun yang sering mengganggu masyarakat di sekitar wilayah Eleusis. Dia juga akan memaksa setiap orang yang telah ditangkapnya, agar berbaring di atas sebuah katil yang telah disediakan olehnya. Lalu Procrustes akan memotong anggota badan mereka, jika anggota badan mereka melebihi katil tersebut, atau mengetuk-ngetuknya dengan pengetuk agar bertambah panjang, jika anggota badan mangsanya lebih pendek daripada katil tersebut. Begitulah rutin kehidupan Procrustes, sebelum beliau dihukum bunuh oleh pemimpin tertinggi Yunani – Theseus.



15. Kisah ini sangat terkenal dalam masyarakat Yunani, sehingga tempat tidur Procrustes tersebut menjadi peribahasa terkenal – yang merujuk kepada orang atau individu mestilah bijak menyesuaikan diri mereka dengan sesuatu tempat atau persekitaran yang baharu.




16. Kita tinggalkan seketika kisah ngeri Procrutes di atas, kerana Hikayat Dewan Ekonomi Episod 2 ini akan lebih mencabar dan mengusik minda anda – sebuah hikayat yang akan mendedahkan segala-galanya. Mendedahkan cerita dan berita yang tidak pernah diketahui oleh kebanyakan orang, termasuk sebahagian besar para pekerja di DBP dan Dawama. Mulai episod kedua hikayat ini, semua nama yang terlibat akan menggunakan nama samaran – agar tiada sesiapa yang tersinggung dan terasa hati. Namun demikian, kepada mereka yang mengetahuinya, semoga kisah sedih ini menjadi iktibar kita semua. Tentang apa dan mengapa saya diperlakukan sedemikian – malah saya berkewajiban untuk mempertahankan diri saya daripada fitnah dan tuduhan yang sengaja dibesar-besarkan – sedangkan isu tersebut boleh diselesaikan secara baik dan penuh berhikmah dalam sebuah keluarga yang bernama “Bahagian M”. Itu pun jika kita mahu. Dan akhirnya para pembaca akan mengetahui mengapa kisah Procrutes di atas saya paparkan dalam episod kali ini.




17. Seperti kisah terdahulu, saya menguruskan majalah Dewan Ekonomi bermula keluaran Januari 2007 – tiada sesiapa yang menolong ketika itu, kecuali Yang Mulia En. Friedman. Seorang yang pendiam, banyak idea dan ikhlas. Walaupun Yang Mulia En. Friedman agak lambat dalam bertindak. Namun demikian, bekerja di bawah beliau sangat menggembirakan. Dengan pengalaman yang luas dan pernah mengemudi majalah Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat – menjadikan Yang Mulia En. Friedman disegani dan dihormati di Bahagian M – atau setidak-tidaknya dalam kalangan pihak Kesatuan DBP. Seorang yang bersifat pendiam tetapi berbisa- itulah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan keperibadian Yang Mulia En. Friedman. Saya sangat menghormati beliau sehingga kini – walaupun semua orang tahu bahawa beliau akan bersara tidak berapa lama lagi. Satu kehilangan untuk DBP.




18. Saya banyak terhutang budi kepada Yang Mulia En. Friedman, dan kata-katanya yang sehingga kini masih saya ingat ialah, “Apa-apa yang telah engkau buat untuk Dewan Ekonomi sehingga kini, merupakan pencapaian yang sangat baik, daripada jualannya yang merosot di bawah Karangkraf, dan kini telah meningkat sekali ganda, merupakan bukti bahawa engkau merupakan seorang editor yang bagus dan berjaya, sesuatu yang sukar dilakukan oleh editor-editor lain.” Kata-kata yang hampir sama diluahkan oleh Yang Mulia En. Friedman kepada saya sewaktu perjumpaan kami di Universiti Malaya pada 2 Januari 2008 baru-baru ini.




19. Yang Mulia En. Friedman begitu banyak memberi dorongan, semangat dan idea kepada saya agar menjadi seorang editor yang baik dan berprinsip. Semua ini tidak akan saya lupakan. Malah, beliaulah orang yang mula-mula mempertahankan kredibiliti saya di Bahagian M daripada terus dipertikaikan oleh Makcik Jarum – seorang staf tua yang kerjanya mencari kesalahan dan keburukan orang lain untuk disampaikan kepada “ketuanya”.




20. Selama hampir lima bulan yang pertama, saya agak kelam kabut dalam menguruskan Dewan Ekonomi, Hal ini terjadi adalah kerana Dewan Ekonomi sedang tercari-cari identitinya yang tersendiri, agar jelas perbezaanya dengan Dewan Ekonomi ketika diterbitkan di bawah Karangkraf. Akhirnya keputusan dibuat, agar Dewan Ekonomi membina imej korporat, dengan meletakkan gambar tokoh-tokoh korporat terpilih sebagai hiasan kulit hadapannya. Hal ini, pada hakikatnya adalah sukar untuk dilakukan, kerana bukanlah suatu kerja yang mudah untuk mendapatkan pada setiap bulan tokoh-tokoh besar korporat negara yang sudi menjadi penghias kulit hadapan Dewan Ekonomi yang tidak dikenali ramai itu.




21. Malah, sebelum ini usaha seperti itu telah cuba dilakukan oleh Dewan Masyarakat – tetapi menemui kegagalan kerana sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada tokoh-tokoh korporat tersebut, yang lebih mementingkan status majalah dan hubungan akrab antara editor dengan mereka.




22. Apabila disebut “tokoh” kita harus faham – bukan semua CEO syarikat atau ahli-ahli korporat boleh digelar sebagai tokoh. Hal ini penting difahami kerana istilah tokoh korporat sudah pasti merujuk kepada individu yang terbukti mempunyai pengaruh dan telah memberikan sumbangan yang besar ke atas dunia korporat Malaysia, barulah ianya layak digelar sebagai tokoh korporat, dan seterusnya menjadi hiasan kulit hadapan majalah Dewan Ekonomi. Mengapa kita memerlukan tokoh? Jawapannya mudah, untuk menarik minat orang ramai membeli Dewan Ekonomi yang semakin merosot jualannya, malah hampir ditutup.




23. Di samping itu, Dewan Ekonomi memerlukan tokoh-tokoh korporat demi mengangkat imej majalah tersebut yang semakin jatuh. Untuk menjadi majalah yang hebat kita perlu memastikan Dewan Ekonomi dikaitkan dengan tokoh-tokoh besar dalam dunia korporat, agar orang ramai memandang tinggi kepada majalah tersebut. Namun demikian, bukanlah mudah untuk mendapatkan tokoh-tokoh korporat yang sudi menghiasi kulit hadapan Dewan Ekonomi untuk setiap bulan, apatah lagi pada masa yang sama saya turut diarahkan agar menyediakan sebuah kolum/ruang untuk wawancara tokoh-tokoh tertentu bagi mengupas isu fokus Dewan Ekonomi pada setiap bulan.




24. Lantaran itu, saya mempunyai dua tanggungjawab, pertama sama ada mahu atau tidak saya mesti mendapatkan tokoh korporat yang terkenal untuk setiap bulan bagi menghiasai kulit hadapan Dewan Ekonomi serta ruang Korporat – hal ini mestilah dilakukan secara eksklusif, agar cerita tersebut mempunyai nilai yang dipandang tinggi oleh para pembaca. Kedua, saya mesti mewawancara tokoh atau ahli dalam sesuatu bidang ekonomi, bagi mengupas isu fokus yang menjadi pilihan Dewan Ekonomi pada bulan tersebut.




25. Selain daripada itu, kerja hakiki saya – tetap wajib lakukan, yakni kerja-kerja mengedit, mencari penulis, merancang fokus dan menguruskan kerja-kerja majalah dari aspek pemilihan gambar, reka bentuk, reka letak dan final. Semua ini saya lakukan keseorangan untuk beberapa bulan setelah saya menjadi editor Dewan Ekonomi. Namun demikian, itu bukanlah masalah – pada saya itu adalah cabaran. Saya telah mempelajari sesuatu daripada semua itu.




26. Dewan Ekonomi – masalahnya hanya ada dua, pertama mengejar dateline iaitu majalah mestilah siap untuk dihantar cetak (PDF) pada 15 haribulan setiap bulan, alasannya mudah iaitu mengharapkan majalah-majalah terbitan DBP akan berada di pasaran selewat-lewatnya 20 haribulan pada setiap bulan – tetapi secara praktikalnya hal tersebut menemui kegagalan. Tidak pernah rasanya majalah-majalah terbitan DBP berada di pasaran seawal 20 haribulan pada setiap bulan.




27. Kelemahan ini, selain berpunca daripada unit pemasaran dan percetakan, ia juga berpunca daripada manuskrip yang diterima lambat oleh editor daripada penulis, atau para pereka bentuk sesebuah majalah itu jatuh sakit, atau seseorang editor majalah menunggu isu panas yang akan “meletup” sekaligus merombak seluruh isu utama majalahnya – maka, majalah tersebut akan lewat untuk dihantar cetak. Tetapi, kes ini agak terpencil sifatnya. Hal ini adalah kerana, kebanyakan majalah terbitan DBP tidak mengikut isu semasa, seperti surat khabar.




28. Oleh sebab itu, para editor akan menyiapkan terlebih dahulu isu yang hendak dibincangkan oleh majalalahnya bagi tempoh 6 hingga 12 bulan keluaran- sekurang-kurangnya ia memudahkan kerja mereka. Justeru itu, para editor agak relaks sedikit dan tidak perlu terkejar-kejar, kerana isu utama sudah ada, Cuma perlu mencari penulis yang sesuai serta pakar dalam isu yang hendak dijadikan fokus oleh majalah mereka pada bulan tersebut.




29. Lantaran itu, kita tidak berasa pelik jika majalah terbitan DBP tidak berupaya dijual dengan laris di pasaran terbuka, hal ini adalah jelas kerana majalah terbitan DBP tidak mengikut isu semasa dan sentiasa takut untuk melakukan perubahan – di samping kita lebih menekankan soal dateline (tarikh akhir) untuk majalah dihantar cetak ke kilang iaitu pada 15 haribulan setiap bulan berbanding dengan menyediakan bahan-bahan yang berkualiti dan bermutu tinggi untuk majalah terbitan kita.




30. Di Bahagian M, “dosa besar” yang sukar diampun bagi seseorang editor ialah melanggar dateline tersebut, apa jua alasan yang diberikan oleh editor terbabit selalunya sukar dilayan sama sekali. Tidak kiralah, sakit atau apa sahaja alasanya – para editor mesti menyiapkan majalah mereka pada tarikh tersebut. Sama ada hari ahad, sabtu, cuti umum atau para pembaca namakan sahaja apakah hari tersebut – majalah mesti siap, tiada alasan tiada balasan. Itu adalah kewajiban.




31. Maka, dalam kamus para editor, tarikh 15 haribulan itu sangat “ditakuti” – kerana macam-macam boleh terjadi. Andaikata majalah mereka tidak sempat diterbitkan, maka bahana pasti akan menimpa. Kecuali majalah Dewan Masyarakat – terdapat sesuatu keistimewaan padanya. Jika majalah ini melanggar dateline tersebut, itu tidak menjadi masalah. Ia mempunyai keistimewaan yang sukar dibayangkan dengan kata-kata. Maka, keistimewaan inilah yang menyebabkan saya kurang berpuas hati (bukan saya seorang sahaja), seolah-olah ada istilah kasta dan anak emas di sana.




32. Namun demikian, jika majalah lain yang melanggar dateline tersebut – maka bersiap sedialah menerima hukuman daripada Mat Letup – nama yang sangat ditakuti atau mungkin juga dibenci. Maka, untuk memastikan Mat Letup tidak meletup, para editor harus bijak menguruskan majalah masing-masing. Sediakan alasan yang logik , atau setidak-tidaknya memberikan alasan sakit atau ambil MC sahaja.




33. Tetapi, bagi rakan-rakan yang rapat dengan Mat Letup – mereka tidak memerlukan sebarang alasan, kerana mereka mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan adalah sukar untuk mereka dihukum oleh Mat Letup. Selain menjadi sahabat yang sangat rapat dengan Mat Letup – mereka juga merupakan penasihatnya yang sangat setia. Jadi, siapakah sebenarnya yang sering menjadi mangsa kemarahan Mat Letup? Kecondongan ini menyebabkan wujud pilih kasih kepada majalah tertentu. Jika majalah tertentu lewat, maka itu tidak mengapa dan apa-apa alasan pun akan diterima. Tetapi hal ini sangat berbeza, jika majalah Dewan Ekonomi yang lewat, alasan sukar diterima. Ketidakadilan ini sudah lama berlaku dan tiada sesiapa yang sanggup menegur. Dan setiap bulan majalah utama kesayangan DBP - Dewan Masyarakat dihantar lewat untuk dicetak, tetapi tidak menerima apa-apa kemarahan, seperti mana yang saya alami. Ini merupakan soal keadilan dan wujud pilih kasih. Adalah merupakan hal yang normal apabila sesebuah majalah lewat dihantar cetak sekitar 2-3 hari. Selain sesebuah majalah terpaksa menunggu giliran untuk dicetak di kilang Dawama Ulu Kelang (maklumlah untuk mencetak 10 jenis majalah) , ia juga memberi ruang kepada majalah-majalah yang berpotensi untuk pergi jauh untuk mendapatkan bahan yang lebih baik serta wawancara yang lebih menarik. Dewan Ekonomi tidak seperti majalah lain - ia banyak melibatkan wawancara serta berhubung dengan banyak pihak, banyak janji yang tidak ditepati serta banyak wawancara yang dibatalkan pada saat-saat akhir - semua ini memakan masa dan kami perlu mencari pengganti. Untuk menjadi majalah yang bagus, kita perlu bersabar dan bersedia memberi ruang kepada para editor mencuba idea yang baru.




34. Akhirnya saya terfikir semula kisah Procrustes di atas, rupa-rupanya Bahagian M bolehlah diumpamakan seperti katil milik Procrustes tersebut – sama ada badan kita akan dipotong-potong agar sama dengan saiz tempat tidur tersebut, atau pun boleh jadi tubuh badan kita akan diketuk-ketuk menjadi panjang agar bersesuaian dengan katil Procrustes itu, maka tepuk dada tanya iman dan selera kita.



Ikuti sambungan Hikayat Dewan Ekonomi : Episod 3 : Tenggelamnya Armada Vondenvick. Jangan lepaskan peluang membaca hikayat ini sehingga ke episod penamat, serta hayati detik-detik terakhir bagaimana saudara Azli Shukri, bekas editor Dewan Ekonomi dicampak keluar dari tingkat 20 menara bangunan DBP pada tarikh keramat 9 Disember 2008.



Gambar : Penulis bersama Penyarung Kostum Predator di One Utama, ketika membuat Liputan. terfikir oleh penulis sesungguh di mana-mana kita bekerja sekali pun, jika kita membuat baik, maka manusia tetap mencari buruknya, seratus kebaikan boleh dihapuskan dengan hanya satu keburukan - manusia jarang mahu bersyukur. Gambar ini sangat simbolik, menunjukkan terdapat banyak Predator di sekeliling kita dan sedang menunggu mangsa seterusnya. Jadi berhati-hatilah sentiasa.

January 5, 2009



Belajar daripada Mokhzani

"Jangan Banyak Berhutang."


Oleh Muhammad Azli Shukri


(Wawancara ini telah disiarkan di dalam Majalah Dewan Ekonomi edisi Januari 2008)



Bolehkah Dato’ terangkan secara ringkas sejarah penubuhan Kencana Petroleum?



Kencana Petroleum bertapak sejak 25 tahun yang lalu. Encik Chong Hin Loon merupakan individu yang bertanggungjawab dalam penubuhan syarikat ini. Sewaktu itu, Kencana Petroleum dikenal sebagai Syarikat HL Engineering yang menawarkan perkhidmatan pembuatan. Sekitar tahun 2001, Hin Loon mula mengorak langkah dengan membeli tanah di Pelabuhan Industri di Lumut, Perak yang bertujuan memajukan dan mengembangkan perniagaannya.



Ketika itu, perniagaan yang saya terajui mengalami masalah dan selaku pemegang saham utama syarikat, saya menjual semua saham di Tongkah Holdings dan Pantai Medicare Centre. Keadaan yang berlaku telah merunsingkan fikiran saya. Saya berusaha memikirkan jalan yang terbaik untuk meneruskan kehidupan dan perniagaan yang saya inginkan. Sewaktu itu, Encik Hin Loon sedang mencari rakan niaga bumiputera yang berkemahiran dalam bidang petroleum untuk bersama-sama mengusahakan perniagaan tersebut.



Melalui beberapa rakan rapat, saya diperkenalkan dengan Encik Hin Loon. Saya yang berkelulusan Sarjana Kejuruteraan Petroleum bersetuju untuk bekerjasama dengan beliau. Memang menjadi satu kebetulan. Hal ini demikian kerana, sejak tahun 1989, semasa saya mengambil alih sesebuah syarikat, pastinya syarikat tersebut bukannya datang daripada bumiputera dan secara kebetulan juga berlaku dalam syarikat ini.



Penguasaan saham sebanyak 60 peratus dalam syarikat Kencana telah membawa saya sebagai pemegang syer terbesar dalam syarikat tersebut. Kencana Petroleum mula mengembangkan syarikatnya pada tahun 2001. Ketika itu, industri petroleum tidak secerah kini, harga minyak ketika itu sekitar AS$22 setong. Atas usaha dan keyakinan yang tinggi untuk berjaya dalam perniagaan serta semangat yang cekal dan gigih, akhirnya kami berjaya diiktiraf oleh Petronas sebagai sebuah syarikat Minor mengikut perlesenan Petronas.



Dengan lesen tersebut, kami diberi kepercayaan sepenuhnya oleh syarikat Murphy Oil yang berpangkalan di luar negara untuk membina struktur pelantar laut. Hal ini menjadi bukti yang menunjukkan kami mampu dan berkebolehan dari segi teknikal, kepakaran dan kemahiran pekerja serta kewangan yang mencukupi untuk mengendalikan projek besar.



Semenjak itu, kami sentiasa diberi kepercayaan oleh Petronas untuk mengendalikan projek yang besar di dalam dan luar negara. Peluang perniagaan sentiasa kami terokai, antaranya termasuklah mengikut Petronas ke Sudan. Walaupun ketika itu kami mengalami pengalaman yang sukar serta tidak begitu mendatangkan keuntungan kepada syarikat, kami berbangga kerana mampu membina satu projek besar yang merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.



Kepercayaan dan pengalaman yang sedia ada telah menjadikan Kencana Petroleum antara syarikat pilihan ketika ini. Apakah cabaran utama yang perlu dihadapi dalam industri ini?



Cabaran utama bukanlah datang melalui persaingan antara syarikat semata-mata. Memanglah persaingan merupakan cabaran yang besar, misalnya, antara tujuh pemain utama di Malaysia, mungkin tiga yang lebih kurang sama perkhidmatannya dengan Kencana, iaitu Sime Darby, MIAC dan MMHE. Walau bagaimanapun, terdapat faktor lain yang amat membimbangkan serta menjadi satu ancaman kepada industri ini dan hal ini sebenarnya perlu dipandang serius oleh semua pihak, iaitu mencari pekerja mahir dalam bidang ini.



Hal ini juga merupakan isu yang sangat besar diperkatakan ketika ini. Pengalaman Kencana sendiri, kami pernah menerima teguran daripada Petronas supaya tidak cuba “memancing” pekerja mahir syarikat lain dengan menawarkan gaji yang lebih tinggi, kemudahan lain, atau sebagainya. Keadaan ini akan melemahkan sesebuah syarikat dan kami tidak akan dikatakan sebagai pesaing yang baik.



Sebenarnya, Malaysia memang mempunyai pekerja yang mahir dalam industri ini, tetapi kerana gaji yang agak kurang lumayan berbanding dengan di luar negara, menyebabkan kami semakin sukar mencari pekerja mahir. Kebanyakan pekerja mahir di Malaysia lebih berminat bekerja di Timur Tengah. Mereka dibayar upah yang berlipat ganda berbanding dengan di Malaysia, walaupun terpaksa melakukan kerja yang berat. Misalnya, di Qatar, kami tidak perlu hairan apabila melihat majoriti pekerja dalam industri petroleum di sana ialah rakyat Malaysia dan mereka selesa berkomunikasi dalam bahasa Melayu.



Industri ini tidak banyak pesaingnya dan menyebabkan pekerja mahir ini mudah mengetahui syarikat yang bakal memperoleh kontrak yang tinggi. Melalui pemerhatian tersebut, pekerja mahir ini akan melobi diri untuk bekerja dengan harga yang tinggi. Hal ini merupakan suatu situasi yang tidak sihat untuk industri. Terdapat juga syarikat besar yang melakukan pemindahan pekerja mahir dan teknologi untuk mengurangkan ketandusan kepakaran.



Hal ini merupakan suatu langkah yang dilihat sangat positif dan perkara ini telah diajukan kepada Petronas. Hasilnya, pertemuan tersebut melegakan syarikat petroleum di Malaysia apabila Petronas menjanjikan bahawa mereka sedang menumpukan perhatian pada program latihan dan merekrut pekerja untuk bekerja dalam industri ini yang menjanjikan gaji yang lumayan. Perkara ini sejajar dengan rancangan kerajaan yang menumpukan pembangunan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai kepakaran.



Apakah pandangan Dato’ tentang perkembangan petroleum dunia ketika ini?



Pertama kalinya, saya ingin menegaskan di sini bahawa kestabilan harga dan produksi itu merupakan perkara yang berbeza. Kestabilan harga banyak bergantung pada isu politik, misalnya isu di Amerika, Iraq, dan sebagainya. Hal ini memang tidak dapat dikawal dan di luar jangkaan semasa. Namun begitu, dari segi produksi dan mencari gali minyak, perkembangannya masih cerah. Terdapat beberapa kawasan yang masih belum dieksploitasi dan sekarang menunjukkan simpanan minyak dan gas itu agak besar.



Ketika ini, kedengaran berita yang mengatakan bahawa minyak di Malaysia akan habis dalam jangka masa dua hingga tiga tahun lagi dan hal itu tidak benar. Namun begitu, hal yang demikian bukanlah jaminan untuk tempoh 20 tahun akan datang, tetapi yang pasti, tidak lama lagi kami akan menjadi negara pengimport yang lebih besar berbanding dengan aktiviti mengeksport.



Keduanya, berkenaan dengan penggunaan gas yang telah meningkat sejak belakangan ini. Isunya sekarang, kami perlu mencari sumber gas tersebut agar dapat menampung permintaan dan keadaan pasaran masa kini. Syarikat Gas Thailand bersepakat dengan Malaysia untuk bekerjasama mencari minyak dan gas yang terdapat di perairan Malaysia - Thailand. Hasil daripada kerjasama tersebut, akan menguntungkan kedua-dua pihak kerana sistem pemasangan paip akan dijalankan di kedua-dua buah negara. Seterusnya, perkembangan ini mampu membantu pertumbuhan ekonomi dan mengeratkan hubungan dua hala negara masing-masing.



Apakah perancangan masa hadapan yang dilihat mampu mempelbagaikan pendapatan syarikat atau adakah sebarang usaha untuk menerokai bidang baharu dalam industri tersebut?



Setiap syarikat sentiasa memikirkan cara untuk mengekalkan keuntungan semasa, selain merancang pelan strategi bagi jangka masa akan datang. Hal ini tidak terkecuali dengan Kencana Petroleum. Dari awal kami telah cuba menerokai peluang pasaran domestik dan antarabangsa kerana di Malaysia terdapat tujuh pemain utama yang bergiat aktif dalam industri ini. Setakat ini, kami berjaya memperoleh kontrak di Thailand, India, Australia dan New Zealand.



Kami sentiasa memasarkan dan melibatkan diri dalam pameran antarabangsa bagi mempromosikan produksi kepada pelanggan baharu dan pelanggan sedia ada. Baru-baru ini, kami menyertai Dubai Exhibition Petroleum untuk memastikan agar kami berjaya memperoleh projek baharu. Selain itu, kami cuba menumpukan perhatian pada beberapa perkara khusus untuk menjadi jaguh dalam bidang tertentu. Hal ini merupakan strategi penting dalam memastikan peluang yang ada supaya dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya, di samping menggunakan tenaga dan kepakaran yang sedia ada.



Berkenaan dengan menerokai bidang baharu pada masa hadapan, kami akan terus memberikan tumpuan utama pada pengeluaran minyak dan gas. Keperluan dan permintaan bahan tersebut sangat meluas dan kami akan terus membida projek yang mampu mendatangkan keuntungan kepada syarikat. Keadaan ini disokong melalui margin keuntungan syarikat sejak tiga tahun belakangan ini yang mencatatkan keuntungan yang terbaik.



Apakah kenangan yang cukup bermakna kepada Dato' ketika menerajui Kencana Petroleum?



Semua projek yang telah dan akan dilaksanakan menjadi sesuatu yang istimewa kepada saya khususnya, dan Kencana amnya. Namun demikian, yang paling membanggakan saya ialah kontrak pertama yang diperoleh Kencana daripada Murphy Oil pada tahun 2002. Setelah diaudit beberapa kali oleh syarikat terbabit dan Petronas melalui bahagian teknikal, akhirnya kami berjaya dianugerahkan kontrak membina pelantar laut yang diidamkan. Walaupun nilai kontrak adalah kecil, sekitar lima hingga enam juta, projek ini merupakan kontrak permulaan dalam industri petroleum.



Ketika itu, syarikat kami masih diiktiraf sebagai peniaga kecil, tetapi tetap diberi peluang. Antara lain syarikat di Lumut, Perak, yang pernah mengendalikan projek yang istimewa dan unik seperti Mobile Production Unit dan sekarang sedang membina pelantar untuk pelanggan di New Zealand, dan pelantar ini akan menjadi pelantar laut yang tertinggi secara tegak dengan ketinggian yang mencecah 150 meter. Pelantar ini merupakan pelantar yang kedua dibina di dunia dan diiktiraf sebagai pelantar terbesar di dunia.



Sementara itu, sesuatu yang seperti mimpi menjadi kenyataan ialah apabila kami berjaya mengembangkan syarikat daripada Sdn. Bhd. kepada Berhad. Sejak Disember tahun selepas, Kencana Petroleum berjaya disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia, saham syarikat melonjak daripada harga IPO ketika itu sekitar 41 sen dibuka pada 81 sen dan sekarang sekitar RM2.40.



Bagaimanakah Kencana Petroleum mengekalkan momentum kriteria yang ditetapkan oleh Petronas mengikut akta, dan bagaimanakah pula urusan urus niaga di luar negara?



Kami menyediakan program latihan kepada pekerja yang baharu dan lama yang berpusat di Lumut, Perak. Selain itu, bekerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Mara untuk memastikan kursus yang diberikan kepada pelajar sejajar dengan apa-apa yang diperlukan dalam industri. Kami perlu mengikut standard yang ditetapkan, jika tidak, kami tidak boleh mengambil mereka bekerja.



Ada juga langkah lain yang diambil bagi memastikan kepakaran yang sedia ada ditambah baik dan dikekalkan dengan menghantar pekerja ke luar negara untuk projek di luar negara. Kebaikannya, mereka akan belajar dan memahami budaya kerja di sana dan membawa pulang segala apa-apa yang dipelajari.



Melalui kepakaran baharu dan pengalaman yang diperoleh, mereka dapat memberikan tunjuk ajar kepada pekerja di Malaysia. Kepakaran luar juga kami gunakan, contohnya kerjasama dengan syarikat di Thailand. Kami turut membuat pemindahan teknologi, orang kami dan orang Thailand bekerjasama atas tujuan memudahkan sesuatu perkara di negara masing-masing.



Di luar negara, kami mengamalkan konsep terbuka, kami akan mendapatkan tender secara profesional. Saya ingin menjelaskan di sini, syarikat yang ingin menceburi industri petroleum perlu mendaftar dan mendapatkan lesen yang dikeluarkan oleh Petronas terlebih dahulu. Hal ini merupakan syarat yang termaktub dalam akta yang ditetapkan. Ada juga syarikat yang tidak berdaftar dan mereka hanya menjadi subkontraktor kepada syarikat berdaftar dan berlesen.



Petronas hanya mengeluarkan lesen kepada syarikat yang benar-benar memenuhi kriteria atau standard tertentu sebelum lesen tersebut diluluskan. Apabila lesen diterima, Petronas akan mengawal dan memastikan syarikat tersebut agar sentiasa berkebolehan dan bersedia terhadap kontrak-kontrak akan datang. Setiap syarikat yang mempunyai lesen akan dijemput untuk mendapatkan tender, sama ada berminat atau tidak, hal itu terpulang kepada syarikat masing-masing.



Kebanyakan pihak salah faham terhadap kontrak yang dikeluarkan oleh Petronas. Tidak semestinya kontrak tersebut datang daripada Petronas, mungkin kontrak datang daripada Shell, misalnya kontrak cari gali atau kontrak minyak. Maksudnya, Petronas seperti orang tengah dalam urus niaga yang berkaitan dengan industri tersebut. Petronas merupakan pemegang saham di semua produksi, mereka ditugas dan dipertanggungjawabkan untuk kendalikan semua kontraktor dalam industri dan semua kontrak diuruskan oleh Petronas. Petronas hanya menguruskan hal yang berkaitan dengan tender sahaja, tetapi pelanggan mungkin daripada syarikat Shell, Esso, dan sebagainya.


Nasihat Dato’ terhadap generasi muda yang ingin berniaga, apakah kelengkapan yang perlu ada untuk memastikan mereka berdaya saing?



Generasi muda yang benar-benar ingin berjaya dalam perniagaan seharusnya menggunakan pengalaman yang ada untuk menjayakan inspirasi dan cita-cita mereka. Seseorang itu perlu bersabar dan kejayaan tidak datang dengan mudah. Jika gagal, jangan mudah putus asa, sebaliknya teruskan usaha dan tekun menjalankan kerja. Hal ini merupakan falsafah yang sinonim dewasa ini.


Seelok-eloknya, timbalah pengalaman di syarikat lain dahulu dan suatu hari apabila kita berpeluang dan ada potensi diri untuk berniaga sendiri, maka teruskanlah cita-cita itu. Namun begitu, seseorang itu perlu menerima hakikat bahawa bukan semua individu boleh menjadi pengarah urusan dalam syarikat sendiri.


Selain itu, jangan sesekali berhutang. Kemampuan untuk berbelanja adalah berlandaskan wang yang ada di tangan. Mungkin tidak menjadi had kepada orang ramai, saya sendiri berhutang untuk berniaga dan apabila keadaan ekonomi jatuh merudum, kami terpaksa mengambil langkah yang drastik untuk menyelamatkan diri. Alhamdulillah, saya bernasib baik dan bangun untuk mencuba dalam bidang yang lain.



Pengalaman yang pahit hendaklah dijadikan iktibar pada masa mendatang. Bagi saya, falsafah yang saya guna sebagai garis panduan untuk berniaga ialah jangan atau kurangkan pinjaman peribadi atau syarikat. Mungkin pinjaman syarikat perlu untuk menampung projek yang besar, tetapi perlu disegerakan bayarannya.