Tetamu Kehormat...

October 23, 2009

Universiti Malaya, Aku Cinta Kamu!


Universiti Malaya!
Aku Cinta Kamu!

Oleh Jyh Wee Sew


Para peminat menara gading akan terus menanti dengan debar mengenai senarai universiti terbaik. Laporan varsiti terbaik akan diterbitkan pada 2 hingga 4 November 2009 oleh Universiti Shanghai Jiatong. Sebelum itu, laporan 200 buah universiti terbaik sedunia Tinjauan Times Higher Education telah disiarkan pada 9 Oktober lalu.

Beberapa perubahan yang menarik ke atas universiti di Asia diperhatikan. Kedudukan sesetengah universiti terus berubah secara mendadak dalam senarai yang berlainan.

Dalam senarai universiti sedunia, Universiti Nasional Singapura (NUS) mengekalkan status sebagai universiti terbaik di Asia Tenggara iaitu di tempat ke-30 setara dengan kedudukan tahun lalu. NUS universiti keempat terbaik di rantau Asia. Tiga yang mendahuluinya ialah Universiti Tokyo, Universiti Hongkong dan Universiti Kyoto yang berada di tangga ke-22, ke-24 dan ke-25.

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) menduduki tempat ke-14 dalam senarai universiti terbaik di Asia dan ke-73 terbaik sedunia. Namun, kedudukan NUS terus berubah apabila laporan Times diteliti lagi. NUS menduduki tangga ke-10. Universiti Hongkong pula menjadi johan dengan mengalahkan Universiti Tokyo yang hanya meraih tempat ketiga.

Tempat kedua disandang oleh The Chinese University of Hongkong. Jelas, aspek penyelidikan sebagai komponen penting kegiatan universiti diutamakan dalam penilaian tadi.

Jika skop disempitkan daripada 200 kepada 70 buah universiti terpilih di Asia, pencapaian universiti di rantau ini masih boleh dipertingkat.

Dalam jeda 30 hingga 40, hanya nama tiga buah universiti Asia Tenggara yang muncul iaitu Universiti Mahidol, Universiti Chulalongkorn dan Universiti Malaya di tempat ke-30, ke-35 dan ke-39. Hanya sebuah universiti yang layak ke jeda 41 hingga 50, iaitu Universitas Indonesia yang menduduki tempat ke-50. Seterusnya Universiti Kebangsaan Malaysia mencapai tempat ke-51 diikuti dengan Universitas Gadjah Mada bersama University of Philippines di tempat ke- 63. Universiti Sains Malaysia sempat ke tangga ke-69. Yang peliknya, universiti ke-30 terbaik di Asia (Mahidol) tidak muncul langsung dalam senarai universiti terbaik sedunia.

Yang ada hanya universiti ke-35 dan ke-39 terbaik di Asia merangkap universiti ke-138 (Chulalongkorn) dan ke-180 (Malaya) terbaik di dunia. Masing-masing membuat loncatan yang besar sebanyak 28 dan 50 tempat daripada kedudukan asal dalam senarai universiti terbaik sedunia Times 2008. Mungkin laporan Universiti Shanghai Jiatong akan menjanjikan sesuatu kelainan yang lebih menarik hati. Mungkin juga hasilnya lebih menyirap darah.

Daripada pengalaman lepas, laporan dari menara gading China itu lebih ketat kerana ia bersifat kuantitatif dan teknikal. Hasil terbitan bertauliah dan anugerah antarabangsa tertinggi, seperti penerima Hadiah Nobel dan Hadiah Pulitzer, pemerolehan kakitangan dan bekas pelajar sesebuah universiti menjadi ukur taranya. Jika terdapat nama universiti di Nusantara yang timbul dalam senarai 100 universiti terbaik Shanghai Jiatong, maka terserlahlah pencapaian dan ketokohan menara gading tersebut.


Ulasan Saya : Tahniah kepada Universiti Malaya!, sebagai bekas pelajar UM, saya tetap berasa gembira dan bangga atas kejayaan universiti tersebut dari segi rangking yang sentiasa meningkat dari setahun ke setahun. Saya percaya kejayaan ini sudah tentu akan meningkatkan lagi daya saing antara universiti tempatan, malah, tidak mustahil juga mewujudkan kecemburuan dalam kalangan universiti, khususnya universiti tempatan yang sudah bergelar Universiti Apex. Apa-apa pun, persaingan harus sihat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya.

2 comments:

[ N ] sham said...

Vote for me at : http://www.blog4ft.com/index.php?
page=systems/voting&eid=322

copy link diatas dlu k.10Q

Muhammad Azli Shukri said...

trerima kasih sham.