Tetamu Kehormat...

May 14, 2009

PAS 2009 : Kelesuan Pada Garis Masa


PAS 2009
Kelesuan Pada Garis Masa


Saya agak sedih sedikit dengan PAS, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan saya hilang hormat kepada parti yang selama ini melaungkan kepimpinan ulama dan Islam. Perkara tersebut ialah :


1. Sudah mula wujud politik wang dalam pemilihan kepimpinan PAS pada kali ini. Hal ini diakui oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mohamed Daud al-Iraqi. Memberi pelbagai hadiah seperti kain, baju dan lain-lain merupakan ciri politik wang. Sebuah parti Islam tidak seharusnya mempunyai ahli yang mengamalkan politik wang. Yang jelas, ini adalah kesalahan PAS sendiri, tidak perlu menyalahkan orang lain. PAS pada hakikatnya lebih banyak menumpukan kepada politik berbanding dengan urusan dakwah. PAS lupa bahawa tanggungjawab mereka yang sebenarnya adalah berdakwa dan bukan merebut kuasa semata-mata. Berceramah di surau-surau hanyalah sebahagian kecil daripada kerja-kerja dakwah, sebaliknya, mendidik ahli-ahli PAS agar mereka menjauhi maksiat dan dosa adalah perkara pokok. Ustaz-ustaz PAS lebih berseronok mengajar tafsir dan hadis di masjid-masjid, berbanding dengan berdakwah di pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengIslamkan masyarakat asli di sana. Ini bukan tangungjawab UMNO atau kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab PAS yang selama ini begitu kuat mendakwa bahawa UMNO tidak Islamik. Apabila PAS sudah dihinggapi dengan politik wang, jangan salah orang lain atau Anwar Ibrahim, tetapi salahkan diri sendiri, kerana tidak ikhlas dalam perjuangan.


2. Nik Aziz menolak konsep negara perpaduan dengan alasan sudah serik ditipu oleh BN/UMNO. Malah, Nik Aziz menambah, jika UMNO tukar dasar kepada Islam, barulah PAS boleh menerima UMNO kembali. Ini merupakan cakap orang yang tidak ikhlas. DAP dan PKR tidak ada dasar Islam pun, tetapi bagaimana PAS boleh percaya dan yakin kepada mereka? DAP menentang negara Islam dan PKR pula tiada pendirian yang jelas berhubung penubuhan negara Islam, jadi bagaimana PAS boleh bekerjasama dengan mereka? Sehingga sekarang tiada satu pun ahli atau ulama PAS berupaya menjawab persoalan ini. Mengapa dengan DAP mereka boleh tidur sebantal dan mengapa dengan UMNO pula tidak boleh? Nik Aziz turut berkata, jika UMNO mahu PAS bersama mereka, maka berikan kementerian yang penting kepada PAS, seperti Kementerian Kewangan dan Pelajaran. Soalnya, apakah jika PKR dan DAP memerintah negara ini, maka kementerian tersebut akan diberikan kepada PAS juga? atau akan berlaku lebih banyak konflik daripada penyelesaian? PAS mempunyai masalah dalam memahami apa itu "perjuangan Islam".



Ulama-ulama PAS percaya, Islam hanya akan kembali gemilang jika mereka memperoleh kuasa terlebih dahulu, khususnya di Malaysia. Itu salah, fahaman seperti ini terpesong jauh daripada kebenaran. PAS tidak perlu menjadi raja atau Perdana Menteri bagi membuktikan Islam itu syumul, sebaliknya PAS harus menjadi badan dakwah dan ahli-ahlinya harus menjadi model kepada masyarakat dari aspek akhlak dan kejayaan dalam bidang perniagaan. Seperti mana yang pernah dilakukan oleh Al-Arqam pada suatu ketika dahulu. Inilah yang PAS tiada. Yakni, roh dakwah dan akhlak. PAS tidak berupaya mendidik ahli-ahlinya yang hampir satu juta itu, agar menjauhi daripada perbuatan merokok, yang jelas haram di sisi Islam, dan jika soal itu pun PAS tidak berupaya untuk melakukannya, maka bagaimanakah PAS akan berjaya mendidik masyarakat Malaysia secara keseluruhannya? PAS sama sekali tidak akan berjaya menjadi sebuah pertubuhan yang bersifat tajdid seperti mana pertubuhan Ikhwan Muslimin, jika sampai sekarang ahli-ahlinya tidak dididik dengan memahami akhlak Islam yang sebenar dan hanya mengejar kuasa semata-mata. Nik Aziz dan ahli-ahli PAS harus sedar akan semua hal ini. Itu pun jika mereka ikhlas.



3. Jika Nik Aziz tidak suka konsep negara perpaduan, maka Nik Aziz harus dinasihatkan dan ditegur oleh ahli-ahlinya yang ikhlas. Kita hanya memerlukan ulama yang ikhlas berjuang untuk kesatuan dan perpaduan umat Islam. PAS harus faham, Islam hanya akan kuat apabila penganutnya ikhlas dan jujur memperjuangkan Islam. PAS seakan-akan sudah hilang matlamat perjuangannya. PAS kini semakin lesu dalam mempertahakan idealismenya. Mereka menjadi lesu lantaran sudah begitu lama tenggelam dalam sejarah kegemilangan Islam yang lampau. PAS sudah lupa, kuasa bukanlah segala-galanya. Kita tidak boleh lagi terus-menerus hidup dalam bayangan kejayaan Islam pada zaman dahulu, kita harus segera berubah dan memikirkan cara baru untuk Islam terus maju dan berjaya mengalahkan musuh-musuhnya.


4. Nik Aziz juga harus faham, bahawa cara beliau berfikir mungkin sudah jauh ketinggalan. Orang Islam di Malaysia pada ketika ini memerlukan kedamaian dan kesatuan. Islam semakin lemah kerana umat Islam sendiri bertelagah. Dengan orang kafir kita boleh percaya, tetapi dengan orang Islam sendiri kita caci dan maki mereka. Dan bagi penyokong PAS, mereka harus faham, Nik Aziz semakin tua dan bukan semakin muda. Kita harus mengizinkannya untuk bersara dan beri kepercayaan kepada orang muda pula. Mungkin golongan muda ada fikiran dan cara mereka sendiri bagi menangani polimik politik Malaysia yang semakin mencabar pada masa kini. Mungkin juga PAS harus memperkenalkan Mursyidul Amnya yang lebih muda dan memenuhi kehendak dan selera ulama-ulama muda. Wallahualam.

23 comments:

ZHARIF said...

salam saudara azli,
seperti yang tulis dalam entri blog terbaru nyata politik malaysia belum berlapang dada untuk bekerjasama walaupun terdapat perbezaan ideologi.
Sudah terang2 DAP menolak pelaksanaan hudud yang didukung PAS. Apa komen Tuan Guru Nik Aziz tentang hal ini?

Muhammad Azli Shukri said...

zharif - memang benar pendapat saudara. kita masih tidak matang dalam berpolitik

rahimin idris said...

Salam Azli,

Bagi aku pula sebaliknya. Nik aziz seorang politikus yang bagus dan bijak. Pas memang sedang bangun dan berkembang. Itu kenyataan. Ia pun sesuatu yang baik agar pemikiran orang melayu berpolitik agar tak lagi seperti awan yang bergerak sehala. Dahulu apa saja yang dikata Pas, semua orang cakap salah. Sekarang Umno pula melalui situasi ini. Umno cakaplah apa saja, memang ada yang buat aksi jolok tekak macam orang nak muntah.

Soal perpaduan, kalau Nik Aziz menolak, beliau ada alasan. Lagi pun di dalam Umno sendiri ada banyak masalah khianat mengkhianat, cantas mencantas, tibai menibai – sampaikan Pak Lah itu pun tak sabar-sabar diperhambat, macamana orang umno nak ajak Pas berpadu pula? Memang Pas malah PKR, DAP dan lain-lain setuju berpadu suara jika ada isu-isu tertentu seperti isu palestin tempoh hari. Itu kita semua pernah nampak. Isu perpaduan dan kemajuan orang melayu? Dah berpuluh-puluh tahun Umno-BN dapat peluang ni. Orang Melayu nak merasa pegang geran tanah pun ada yang sampai mati tak dapat.

Walaupun aku tak pernah dan tak akan serta mana-mana parti politik, tapi hari ni melihat apa yang berlaku di perak amatlah malang dan menyedihkan. Ini bukan soal siapa betul atau siapa salah. Apakah merebut kuasa dari sebuah kerajaan yang sah (media kerajaan selalu sebut 'pembangkang', pada hal kerajaan) itu elok sangat? Kenapa tak dibiarkan sahaja PR mentadbir dan rakyat akan menilainya di PRU13? Atau kenapa tak diadakan pilihanraya semula? Tak membazir mana pun aku rasa.

Sekarang rata-rata orang yang aku jumpa (kecuali dalam media arus perdana yang dikuasai kerajaan) tak menyalahkan PR pun dalam hal di Perak tu. Umno-BN lah yang banyak kena. Jarang sangat, malah tak ada pun kawan-kawan aku yang setuju dengan tingkah laku Umno-BN merampas kuasa di Perak itu. Dan kawan-kawan aku tu pun bukanlah ahli mana-mana parti politik. Betul-betul memalukan dan entah apa yang di cari oleh pemimpin Umno-BN sekarang ini pun aku tak tahulah.

Aku sebenarnya menyampah juga bila Anwar Ibrahim sibuk dengan 16 september tahun lalu. Rasa menyampah aku tu sama la dengan rasa menyampah terhadap apa yang berlaku di Perak sekarang. Menjadikan Perak zon perang politik amat kejam sekali. Yang menjadi mangsa rakyat Perak juga kesudahannya. Macamlah PRU13 tu tak datang (kalau panjang umur). Ingat, rakyat sedang menilai dan semakin bijak membuat pilihan.

Harap kau faham dengan komen aku ni. Dan kalau ada yang kau, atau siapa-siapa yang tak setuju, itu adalah biasa. Bukan semua perkara kita bersetuju.

Muhammad Azli Shukri said...

rahimin - saudara sangat jujur dan ikhlas. Sekurang2 saudara ada pandangan yang sangat matang dalam hal politik tanah air kita ini. saya ternanti2 pandangan saudara lagi.

Anonymous said...

tp kita Islam Melayu jgn la berpolitik sampai korbankan agama dan bangsa.PAS dan UMNO byk persamaan.Knp kita ketepikan byk persamaan semata2 ada sekelumit perbezaan.

tp ikhlas hati saya,hanya UMNO yg x pernah korbankan hala tuju perjuangan asalnya drasal wujudnya,walaupun dia diasak dan ada kelemahan.

Dulu saya juga terbuka hati menjadi ahli PAS,tp ia tertutup krn sikap pemimpinnya yg suka kutuk dan hina saudara seagama dan sebangsanya dalam ceramah dan media.Biarlah UMNO sendirian dlam menerima asakan dlm berjuang.Pengalaman telah mematangkan UMNO.UMNO adalah parti politik tertua di dunia hingga kini.Syabas UMNO.....

Zaidon said...

Salam En.Azli.. tntg politik wang yng berbentuk bagi hadiah seperti kain, baju tu.. saya rasa macam tak sesuai untk dikatakan sebagai politik wang sbb pemberian seperti kain pelikat, baju melayu.. kalau kat kampung itu satu perkara yng biasa.. pandangan sayalah.

wanbaki said...

saya rasa rahimin masih tak matang kerana masih ada pengakuan bukan ahli mana mana parti politik tapi bias.
Walaupun saya orang UMNO tapi saya tidak bersetuju dengan cara BN Perak tapi kita sedia maklum Sultan Perak yang memilih Nizar sebagai MB tetapi setelah hampir setahun DAP dilihat berkuasa maka Sultan tahu ini tidak baik untuk orang melayu di Perak.

Saya juga bersetuju atas dasar demokrasi sekiranya diadakan Pilihan Raya kecil tetapi Sultan Perak juga tahu yang PR akan menang dan DAP tetap berkuasa...Sultan juga tahu yang PAS tidak akan kemana...

Namun pada hakikatnya PR juga perlu tahu yang mejority dalam dewan suak tidak memihak kepada mereka...

penakiri said...

1.Pandangan saudara tidak lebih sebagai seorang ahli UMNO.

2.Saya lebih suka melihat PAS dan UMNO bersaing untuk memartabatkan Islam dan Melayu.

3.Saya ada kawan seorang ustaz, berkerja dengan jabatan hal ehwal orang asli. Punya lama beliau berkerja dengan orang asli sampai boleh bercakap bahasa orang asli.TApi berapa orang yang dapat beliau dakwah? Sikit sangat, banyak kesukaran, isunya disini memang susah sikit orang asli ni. Tapi di Kelantan, ada tawaran tunai untuk mereka yang berkahwin dengan perempuan asli, nampaknya Nik Aziz kedepan dalam usaha dakwah keatas orang asli.

4.Jawapan MB Kedah, Ust Azizan terhadap kerjasama dengan PKR_DAP
Iaitu mana yang lebih mudarat?
Jangan lupa yang MCA sampai sekarang tak iktiraf negara islam?
Dah lima puluh tahun tidor sebantal takan tak boleh nak fahamkan?

5. PAS haramkan judi di kelantan, hadkan arak UMNO? Sekarang arak begitu mudah, 7eleven pun banyak, judi jangan cakap, dan jangan juga cakap yang itu untuk bukan islam, yang ramai nya islam, bila tiada sekatan, memang berleluasalah. Itu gunanya kuasa.

6. Tak pernah nampak lagi muslimat PAS semasa muktamar yang tidak bertudung, Wanita dan puteri dan isteri pimpinan UMNO?

7. Akhir kata, saya nak maklumkan satu isi ceramah nik aziz iaitu sesiapa yang undi PAS pada tahun 1990 dapat pahala.

Sebab, Nik aziz sebagai MB kelantan haramkan judi di kelantan.
Haramkan judi dapat pahala.
Kenapa nik aziz berkuasa haramkan judi?
sebab nik aziz MB kelantan,
siapa lantik nik aziz jadi MB? PAS.
kenapa PAS boleh lantik Nik Aziz jadi MB? sebab PAS menang di kelantan bersama APU.

Anonymous said...

Assalamualaikum Azli,

Seperti tulisan saudara, saya juga masih tertanya2 apakah perjuangan PAS sebenarnya untuk negara ini. Nak menegakkan Islam bukan dengan bekerjasama dengan bukan Islam seperti DAP.DAP tidak pernah dan tidak akan bersetuju dengan PAS sampai bila2 pun untuk menerima Islam. Pengerusi DAP Karpal Singh pernah berkata "Langkah mayat saya dulu sebelum hendak menubuhkan negara Islam di negara ini".

Heran bin ajaib. Pemimpin PAS lebih rela bekerjasama dengan DAP daripada bekerjsama dengan UMNO yang seagama dan sebangsa dengan mereka.

DAP berjaya memecahbelahkan orang2 Melayu sebagai persiapan untuk merebut pemerintahan negeri Perak dan juga negara. Apakah selepas kuasa terlepas baru hendak bersatu. Masa itu nasi sudah jadi bubur.

Sedarlah wahai umat Islam dan orang melayu. Kita sekarang sedang terancam di negaranya sendiri.

Ajaran Islam yang menyuruh kita bersatu telah kita abaikan. Akibatnya nanti akan kita rasai apabila kuasa sudah hilang dari tangan bangsa kita sendiri akibat kita bersengketa sesama sendiri.

-ahbz-

Muhammad Azli Shukri said...

penakiri - saya ahli UMNO, tetapi percaya bahawa tidak semua yang UMNO buat betul. Sama juga dengan PAS. Tidak semua yang mereka buat adalah betul dan confirm dapat pahala. Ini adalah prinsip saya. Sesiapa sahaja yang buat salah, jika salah tetap akan salah. baik UMNo mahu pun PAS.


2. Bersaing haruslah dengan erti kata yang jelas, jika bersaing memartabatkan melayu dan islam dengan cara maki hamun dan fitnah memfitnah - ia haram. wajib peranginya. Saya tidak setuju cara seperti itu, yakni cara yang selama ini PAS telah lakukan. Ia salah dari segi agama dan sunnah.


3.Jika hanya di kelantan, kita bersyukur. tetapi jika itu sahaja yang upaya dilakukan, maka kita kecewa. Ia tidak sehebat mana yang digambarkan seolah-olah PAS sebuah parti Islam yang hebat dan super power. Sekarang sepatutnya kita bertanya berapa ramai ahli DAP dan orang bukan Islam sudah diIslamkan oleh PAS? jika tiada maka PAS telah gagal berdakwah. Tak ada makna jika PAS melaungkan kemurniaan Islam tetapi gagal menarik minat orang bukan Islam untuk masuk islam. Betul tak? PAS gagal dalam soal ini. Adakah saudara bersetuju?

4. Kuasa dan undang-undang bukanlah segala-galanya dalam Islam. Apabila haji hadi berkata pada suatu ketika dahulu bahawa hukum hudud hanyalah 0.00001 peratus sahaja dalam keseluruhan Islam itu, maknanya beliau mengakui bahawa Islam bukan ditegakkan kepada hukum semata-mata. Islam ditegakkan atas kesedaran, tetapi manusia tidak akan sedar dan faham andaikata dalam ceramah kita, kita maki dan fitnah orang lain. Ini bukan caranya. PAS telah terpesong dalam soal ini.

5. lima puluh tahun MCA dan MIC tidur sebantal dengan UMNO tapi tak pernah mereka menentang kenyataan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, TETAPI, ingat! kurang 10 tahun bergabung dengan PAS, karpl singh sudah berani berkata "Langkah Mayat saya Dulu Jika PAS nak tubuh negara Islam dan hudud"? mana lebih bahaya? Cuba saudara fikir2kan. Baru 10 tahun sudah biadab, kalau 50 tahun mcm mana? Seteruk2 MCA dan MIC tidak pernah kita dengar para pemimpinnya bersikap kurang ajar seperti. Kita harus jujur berkata kepada diri kita sendiri.


6.Soal tudung itu saya akui, tidak semua puteri UMNO memakainya, ia tetap berdosa, tetapi itu bukan alasan yang kukuh dengan mendakwa bahawa UMNO semuanya jahat dan kotor. Apakah adil jika saya katakan bahawa negeri kelantan tidak islamik dan nik aziz bukanlah ulama yang bagus, kerana masih terdapat rakyat kelantan di bawah jagaannya yang masih tidak menutup aurat. Adilkah sebegitu? tak adil, dan ia sama juga, tidak adil saudara menghukum UMNO jahat dan tidak baik semata-mata kerana puteri umnonya yang tidak bertudung, dan sekarang kita harus bertanya semula hal itu bukan ukuran utama bagi menjatuhkan hukuman bahawa UMNO itu jahat dan tidak Islamik.


7.Undi PAS dapat pahala, mengapa pula tidak kita katakan bahawa taat kepada pemerintah dapat pahala? apakah hanya PAS sahaja yang buat pahala dan tiada dosa langsung? apakah selama ini, selama lima puluh tahun kita ditadbir oleh BN maka semua yang kita lakukan adalah dosa? Apakah kerajaan/UMNO yang bantu orang susah selama ini, bina masjid, bina tabung haji, bina kewangan Islam yang PAS gunakan di kelantan juga, tidak dikira sebagai pahala? Apakah apabila UMNO bina bank Islam, dan masyarakat mengundi UMNO maka ia tetap berdosa juga? Bagaimanakah saudara berfikir?

Jika benar undi PAS dapat pahala, maka kita hanya harus undi PAS sahaja, bukan DAP atau PKR, jika tuan2 masih mengundi PKR dan DAP maka jatuh dosanya, kerana fatwa nik aziz tersebut hanyalah menjurus ke arah mengundi PAS dapat pahala, itu sahaja.

akhir kata, kita harus berpijak kepada kebenaran, kita boleh sokong mana-mana parti yang kita mahu. tetapi jika kita sokong kemungkaran, maka tidak kiralah baik dalam UMNO, mahu pun dalam PAS, salah tetap salah, dan dosa tetap dosa.

Apakah kita yakin 100 peratus bahawa Nik Aziz dan PAS langsung tiada berdosa dan bersalah? jika jawapan kita, "Ah taklah saya kata PAS langsung tiada dosa," maka sekarang beritahu saya apakah kesalahan PAS dan dosa para pemimpinnya pula? baru kita dapat mengadili yang mana satukah parti yang kurang mudharatnya, sama ada PAS atau pun UMNO, wallahualam.

Muhammad Azli Shukri said...

zaidon - permulaan politik wang adalah pemberian kain pelikat dan baju melayu..lama-lama duit. Itu yang berlaku dalam UMNO. Jika PAS tak banteras, Parti itu pun sama juga dengan UMNO sebab PAS pun adalah orang Melayu juga mcm UMNO, bimbang politik wang ini bukan masalah parti, sebaliknya masalah sikap dan mentaliti orang Melayu. Saya harap kita harus melihat isu politik wang bukan dari aspek parti politik, tetapi lebih jauh daripada itu, yakni sikap dan perangai orang melayu itu sendiri. Wallahualam.

Alamanda said...

Apa pun kata saudara tentang Nik Aziz, saya tetap sokong beliau, sanjung beliau dan hormati beliau. Sifat kebapaannya sangat terserlah dan tak ada sesiapa pun yang tak sayangkan beliau kalau pernah bersemuka dengan beliau.
Soal ahli-ahli Pas yang tak ikhlas tu tak boleh salahkan Tuan Guru. Beliau dah ajar, saje orang tak nak ikut.
Biasalah manusia, ada yang baik dan ada yang kurang, hal ini berlaku dalam mana-mana parti politik di Malaysia!
Tak hairan.

bijen moretti said...

seperti meludah ke langit..
kenyataan-kenyataan pun banyak sudah jauh menyimpang..
malah keikhlasan pun digadaikan bila meletakkan keperluan politik sebagai prioriti..

sumber

Roslan said...

Salam Saudara Azli.

Tulisan saudara kali ini saya lihat cuba mengusik satu subjek yang agak besar mengikut denyut arus politik negara.

Mengapa saya mengatakan begitu?

Saya amat pasti isu politik wang (Tafsiran UMNO) atau rasuah (Tafsiran UMUM), Negara Islam dan mempersoalkan tindak tanduk susuk tertinggi di dalam sesebuah organisasi politik adalah satu bentuk provokasi yang paling ampuh dalam permainan politik.

Kerana apa?

Jawapannya ada pada kita sendiri, kerana kita dapat melihat,merasa dan mengalaminya sendiri.

Politik wang (rasuah) tidak kira dalam bentuk apa sekalipun kekerapan amalannya adalah begitu jelas sekali. Terpulang kepada kita untuk mengakuinya atau tidak.

Negara Islam pula, adalah satu isu yang amat rapat kepada hati kita. Malah kita perlu ingat Islam itu bukan hak istimewa untuk bangsa Melayu sahaja. Oleh itu jika ia diusik, maka ia akan mengusik banyak hati juga sama ada Islam atau tidaknya hati itu.

Bagi isu pemimpin pula, dengan hanya memetik atau menyebut namanya sahaja bisa menjadi senjata untuk memenangi pertempuran secara halus atau perang saraf.

Namun ada sisi hitamnya dengan menyentuh subjek-subjek besar yang sebegini. Ini kerana ia akan membuka ruang kepada analisa secara perbandingan dilakukan.

Melalui analisa perbandingan pula akan membawa kepada keputusan yang berbentuk persepsi. Hari ini saya kira, politik persepsi ini telah membawa UMNO ke satu wilayah hitam yang UMNO sendiri tidak pernah terfikir bahawa ia akan jatuh ke sana.

Penerangan saya di bawah mungkin membantu saudara lebih memahami apa yang saya maksudkan dengan analisa perbandingan :-


1) Saudara menyentuh berkenaan isu politik wang di dalam PAS yang semakin menular. bagaimana pula dengan UMNO atau BN. Adakah ia mula menular atau sudah pun menjadi barah?

2) Mengenai Negara Islam, pastinya ia akan diukur mengikut kesediaan kita. Bersediakah kita?

3) Mengenai pemimpin tertinggi pula, ukurannya di mana? Liciknya, pesonanya, perwatakannya, personalitinya, dinamikanya, keupayaannya atau ilmunya? Andai disusun pemimpin tertinggi melayu yang ada kini, dan dibiarkan kita memilih untuk menjadi imam dalam solat, siapa pilihan saudara?

jawapan kepada persoalan di atas adalah persepsi. dan dari persepsi kadang-kadang boleh membawa kita kepada kesimpulan.

Ini hanya pandangan saya.

C.H.E Dayat said...

salam abang azli, Seperti yang saya ceritakan pengalaman ayah saya di Kuantan dulu, bagaimana pemimpin PAS memanipulasi fikiran ahli-ahlinya...

mereka ni jumud didalam pemikiran..

Saya ada posting baru, tapi lebih kepada tribute untuk rakan-rakan di uitm.. jika tak keberatan diharap singgah..

Sekian,

www.kisahsebuahbangsa.blogspot.com

Muhammad Azli Shukri said...

alamanda - saya juga sokong cara kehidupan nik aziz, cuma cara pengurusan dan pentadbiran sahaja saya tak sokong, peribadinya banyak yang baik.

Roslan - saya akui politik wang wujud dalam UMNO, hal ini adalah kerana UMNO didakwa bukanlah parti Islam. Ia sangat berlainan dengan parti PAS yang selama ini cukup lantang mahu membersihkan UMNO dan kerajaan. Jika kita mahu membersihkan seseorang, pastikan diri kita terlebih dahulu bersih. Nabi Muhammad berjaya mengubah akhlak bangsanya adalah kerana baginda terlebih dahulu berakhlak mulia. Wallahualam.

Atan said...

Salam, Sdr AZLI;

Sebenarnya sangat mudah untuk difahami sebab dan musabab idea kerajaan perpaduan itu ditolak oleh TG Dato’ Nik Abdul Aziz. Beliau pernah melalui pengkhianatan oleh UMNO-BN dahulu. Semasa diperlukan dicumbu rayu, semasa tidak suka, ditendang keluar ikut tingkap. PENGALAMAN. Kalau tidak silap, penendangan PAS oleh UMNO-BN berlaku pada zaman Allahyarham Tun Hussein Onn (betulkan kalau saya silap). Jika benar pada zaman beliau, tiada apa-apa yang aneh. Dato’ Harun Idris yang jasanya sebesar gunung kepada umat Melayu kerana telah menempatkan Melayu di kawasan yang diduduki Cina itu pun ditendang pada zaman beliau.

Itu lebih kepada pengalaman. Pengalaman mengajar manusia, sama ada akan menjadi serik atau lebih tahan dan membalas dendam. Jadi, kelihatan oleh kita tindakan TG Dato’ Nik Abdul Aziz itu wajar kerana beliau pernah dikhianati. Beliau tidak membalas dendam tetapi berasa serik. Tidak lebih daripada itu, rasanya.

Tentang PAS sekatil seketiduran, sebantal semimpi dengan PKR yang kabur matlamat dan dengan DAP yang sosialis itu, rasa saya ketiga-tiganya bukanlah kerajaan perpaduan tetapi sesuai dengan namanya, Pakatan — Pakatan untuk menjatuhkan kerajaan sekarang. Tentang pendirian DAP yang menentang hudud, tidak usahlah dipertikaikan dan bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka jahil. (Yang perlu dipertikaikan ialah pihak yang terang-terangan menentang usaha PAS Kelantan untuk mengaplikasi hudud — YABhg PM4. Yang menyamannya orang UMNO (dahulu, sekarang barangkali tidak lagi).)

Berbalik kepada idea perpaduan UMNO-PAS sekarang, rasa saya eloklah dilakukan di balik tabir. PAS biar di luar BN, menjadi parti Melayu-Islam yang membuat “check and balance” kepada sebarang tindakan UMNO dan sekutunya dalam BN. Dalam hal ini, DAP (di luar BN) sangat berperanan kepada MCA dan GERAKAN (walaupun GERAKAN bukan parti Cina keseluruhannya). Mereka berbeza ideologi tapi satu matlamat — untuk bangsa mereka. Idea dan rancangan yang merugikan bangsa mereka akan ditentang mereka bersama. Ingat penentangan mereka terhadap rancangan pembangunan Bukit Cina oleh KM Melaka dahulu. DAP sahajakah yang menentang?

Oleh itu, PAS dan UMNO perlu berpadu secara senyap untuk matlamat yang sama — agama dan bangsa. Biarlah UMNO-PAS berkocak di permukaan, tetapi di dasarnya dingin dan tenang. Jika DAP-PKR meletakkan calon bukan Melayu-Islam dalam mana-mana PRU atau PRK di kawasan majoriti Melayu-Islam (seperti Selambau), UMNO perlu meletakkan calon Melayu-Islam di situ dengan PAS memberikan sokongan bawah tanah. PAS meniupkan kesedaran tentang tanggungjawab umat Islam untuk memilih pemimpin Islam sebagai pemimpin mereka, UMNO menyedarkan Melayu-Islam tentang perlunya hak Melayu dipertahankan. Ada unsur hipokrasi di pihak PAS, salahkah?

Perpaduan bukan perlu dilihat dengan mata kasar sahaja tetapi dengan mata hati juga.

Muhammad Azli Shukri said...

atan - saya sangat bersetuju dengan komen saudara pada kali ini. Kerjasama harus dilihat dengan lebih luas, tetapi apakah orang islam malaysia akan sedar semua ini?

rahimin idris said...

wanbaki,

kematangan seseorang itu bukan diukur dengan menjadi mana-mana ahli parti politik. rakyat yang mengundi di malaysia ada berapa juta? berapa juta ahli umno? berapa juta ahli pas dan lain-lain parti. cubalah selidik. yang ramai silent majority.

tak timbul soal bias pun kalau orang ramai nak bersuara terhadap mana-mana parti politik. umno-bn memerintah malaysia. tapi malaysia bukan milik umno-bn. umno-bn cuma diamanahkan mentadbir malaysia. tak kan lah dah dekat nak pru13 barulah umno-bn nak terhegeh-hegeh nak dengar suara orang biasa macam aku. bukan semua orang suka sangat dengan PR. tapi gelagat orang UMNO-BN la yang buat orang tak pilih mereka lagi.

tengoklah, baru jadi MB (itupun tak sah lagi), zamry dah lelong camry yang baru dibeli dengan duit rakyat perak. orang lelong barang yang dah lupus. dia lelong barang baru. tak ke entah apa-apa. pakai saja la. patut la umno makin serabut.

Muhammad Azli Shukri said...

rahimin - saya setuju pada hari ini rakyat semakin muak melhat telatah para ahli politik yang semakin menjadi-jadi.

politikarun said...

pendapat aku.... padan la muka PR, aritu mereka yg melaung2kan sgt tukar kerajaan lompat si katak lompat.

aku rasa kalo benda tu tak dilaung2kan tak jadi pun hal2 di Perak, semuanya salah si mamat tuu jugakkk

mastermind konon, sekali kena mastercopy hahaha

Anonymous said...

politikarun

Allah nak tunjuk pada dia macamana rasanya apabila berlaku padanya. Sekarang yang kena umno. Umno buat rampasan kuasa tu dah memalit lumpur pd badan mereka sendiri sebelum berlaku pada pembangkang. Nampak tak perancangan Allah??Allah itu Maha Adil..

penakiri said...

1. Janganlah pandang negatif pada persaingan dan cuba untuk lari dari apa yang cuba saya maksudkan.
Bersainglah seperti dalam posting saya - http://penakiri.blogspot.com/2009/05/hancurnya-demokrasi.html

2.Tanggung jawab dakwah terletak kepada semua, tetapi tentulah lebih kepada penguasa, kerana penguasa punya banyak akses. http://penakiri.blogspot.com/2009/05/bukan-islam-sokong-pas.html

3.Undang-undang memang bukan segalanya, sebab itu hj hadi kata dalam islam hudud ni cuma 0.0001% sahaja. Saya setuju.
Saudara faham tak apa itu hudud?
Hudud ialah had. Had Allah terhadap sesuatu yang jika berleluasa boleh merosakan manusia.
1. Berzina
2.Arak.
3.Mencuri/Merompak
4.Membunuh
5.Memberontak
6.Murtad.
Mengapa Tun M hantar surat amaran kepada nik aziz jika laksana hudud? Nik aziz tentu sekali hanya takut kepada Allah, tetapi pengalaman mengajar yang kelantan pernah diambil oleh pusat melalui mageran. Saudara tentu baca tulisan Dato' A. Kadir jasin
Mengapa pemimpin UMNO saman hudud?
Ingat hudud bukan tanggungjawab pas sahaja, tetapi kepada semua orang islam.

4.Saudara bohong bila mengatakan yang MCA tidak pertikai status negara islam malaysia. Banyak kali mca pertikaikan.
Jangan salahkan karpar singh jika pemimpin umno sendiri kutuk dan perlu hukum islam. saya ada senarai ucapan menghina islam oleh pemimpin kerajaan.

5.Sekurang-kurangnya nik aziz berjaya dalam partinya soal tudung, dan jangan buat tak nampak usaha beliau mewajibkan pemakaiaan tudung dan kempen tutup aurat di kelantan.

6.UMNO membuat benda halal dan haram. bagaiamana soal perjudian? mengapa ada usaha tentang zakat tapi tidak hudud?
http://penakiri.blogspot.com/2009/05/khir-baharom-kuat-kuasakan-rukun-islam.html