Tetamu Kehormat...

May 3, 2009

Hikayat Dewan Ekonomi Episod 3



Hikayat Dewan Ekonomi
Episod 3 : Tenggelamnya Armada Vondenvick


Melimpahnya Lautan Kemusnahan


Sudah terlalu lama saya menyimpan hakikat ini daripada diketahui oleh orang ramai – dengan berbekalkan alasan untuk menjaga hati dan perasaan “orang-orang” di Dewan Bahasa dan Pustaka dan bimbang kelak dituduh membuka pekung diri sendiri. Namun begitu, apabila nama saya mula dikaitkan dengan label sebagai “orang yang tidak mengenang budi”, maka saya harus berterus-terang menyatakan kebenaran tanpa takut dan bimbang. Malah, sudah sekian lama perkara ini bersarang di dalam kota minda saya – sehinggalah akhirnya saya dituduh sebagai “orang yang sakit jiwa” kerana meluahkan apa-apa yang selama ini melanda diri saya, sepanjang saya berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya tuduh sebagai orang yang cuba melaga-lagakan sesama kawan, dan dikecam sebagai penderhaka dan pengkhianat kepada “tempat yang selama ini saya mencari rezeki” – tetapi ramai yang tidak tahu periuk nasi saya telah ditaruh dengan racun tuba, bagi meralisasikan agenda orang tertentu.




Tidak cukup dengan itu, sahabat yang paling kita percayai dan sayangi, malah sering pula berkongsi masalah bersama-sama, akhirnya menikam tubuh badan kita dengan bertubi-tubi dari arah belakang. Sedangkan beliau merupakan satu-satunya sahabat wanita yang paling saya percayai, khususnya pada malam terakhir sebelum isu blog Azli Shukri muncul dalam mesyuarat khas bertarikh 24 November 2008 jam 2.00 petang bertempat di Bahagian M yang memperlihat taring “lelaki paling perkasa” membelasah diri saya dan berhujah kononnya blog Azli Shukri adalah ancaman dan melanggar etika penjawat awam. Tidak cukup dengan itu, blog saya turut didakwa kononnya sedang dipantau oleh pihak SB Bukit Aman. Wah, dalam hati saya berkata, begitu hebat dan popular benar blog saya ini sehingga terpaksa dibawa ke dalam mesyuarat.




Semua cerita karut-marut ini sengaja disumbat ke dalam telinga para editor di Bahagian M, agar bisa sahaja minda mereka dipengaruhi dan diracuni untuk mempercayai bahawa Azli Shukri adalah editor yang merbahaya dan mampu mencemar kedudukan Ketua Bahagian M, serta harus disingkirkan dengan seberapa segera yang boleh. Malah, difahamkan lelaki yang menganggap dirinya terlalu perkasa di Bahagian M itu turut menyebarkan cerita kepada beberapa rakan rapat saya bertempat di kedai mamak bucu pada petang 24 November 2008 sekitar jam 5 hingga 6 petang bahawa kononnya, Ketua Bahagian M begitu tertekan setelah dipanggil oleh PLP DBP berkenaan isu blog Azli Shukri, dan beliau telah diberi pilihan sama ada mahu menyelamatkan kedudukannya sebagai Ketua Bahagian M atau pun mengambil tindakan tegas kepada Azli Shukri.



Ameadus Harus Mati!


Sama ada cerita ini sengaja diada-adakan atau sebaliknya, yang jelas cubaan untuk memburukkan imej saya dalam kalangan sahabat rapat saya semakin rancak dijalankan. Semua hal ini tidak diketahui langsung oleh Ketua Bahagian M. Yang lebih menghairan, lelaki yang percaya bahawa dia begitu perkasa di DBP, sebenarnya buta dalam hal ehwal internet, malah tidak tahu menahu apakah yang dikatakan sebagai blog itu, bahkan hakikatnya blog saya hanya sempat dijenguk oleh beliau pada pagi Isnin, 24 November 2008, setelah bertanyakan alamat domain blog saya kepada salah seorang sahabat baik saya di Bahagian M. Dan Sang Lelaki Perkasa itu, dengan melihat peluang yang terhidang, segera mengambil langkah awal bagi menyingkirkan saya secara halus tanpa mahu dia dilihat sebagai punca segala masalah dan “kepala taik”(meminjam kata-kata Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad dalam bukunya Shit) yang telah begitu banyak membuat kerosakkan di DBP. Tanyakan sahaja kepada Kesatuan Pekerja DBP siapakah lelaki perkasa itu yang sebenarnya?, dan jangan lupa tanyakan juga kepada pihak Korperasi DBP apakah yang telah beliau lakukan kepada Korperasi DBP sehingga banyak projek yang sepatutnya mendatangkan keuntungan, sebaliknya telah mengalami pelbagai kerugian sejak beliau dianggap sebagai orang kuat Korperasi DBP, sekali gus mengheret nama buruk korperasi tersebut.




Namun demikian, adalah agak malang dan mungkin juga tersilap haribulan, bahawa mereka sama sekali tidak mengetahui sejauh mana jaringan kawan yang saya miliki. Lelaki yang terlalu percaya bahawa dirinya begitu perkasa sama sekali tidak mengetahui sesungguhnya saya mempunyai saudara yang bekerja sebagai SB di Bukit Aman yang bertanggungjawab menjaga dan memantau hal ehwal dunia web dan blog, malah SMS yang saya terima daripada saudara saya itu sendiri, sudah memadai bagi membuktikan blog saya tidak melanggar apa-apa etika sebagai penjawat awam, di sini saya perturunkan salinan SMS beliau, “Azli, teruskan blog u, menjadi pengimbang kepada blog pembangkang, saya sudah periksa tiada yang melanggar apa-apa etika.”



Tiada Ucapan Terima Kasih



Mesyuarat khas bahagian kali kedua telah diadakan pada petang 24 November 2008 (mesyuarat pertama diadakan pada pagi Jumaat 21 November 2008), mesyuarat tersebut sengaja diadakan bagi menghalal dan menghukum secara muktamad bahawa Azli Shukri adalah pesalah dan kesalahannya adalah berkaitan dengan blog saya. Malah, mesyuarat tersebut juga telah diadakan sewaktu saya masih bercuti, selepas penat lelah menyelesaikan PDF majalah Dewan Ekonomi pada 20 November 2008, jam 9.45 malam di Dawama. Tanpa saya berada dalam mesyuarat tersebut adalah lebih mudah untuk membelasah dan seterusnya menjatuhkan hukuman bahawa saya didapati bersalah, tanpa saya sempat membela diri dan berbalas hujah. Semua ini dilakukan bagi membunuh jasad dan roh Azli Shukri secara halus dan jijik, bersesuaian dengan perancangan yang telah mereka bincangkan secara terperinci di Restoran Kancil kira-kira pada jam 12.05 tengah hari, pada hari jumaat 21 November 2008.




Dua jam sebelum peristiwa sedih di Restoran Kancil berlaku, yakni pada pagi Jumaat 21 November 2008, sebuah mesyuarat khas sudah diadakan lebih awal bagi menggugurkan Azli Shukri sebagai editor Dewan Ekonomi, dan digantikan serta-merta oleh timbalan saya Puan Junaidah Ahmad Ghazali, yang baru sahaja dinaikkan pangkat menjadi pegawai gred S41, sama seperti gred saya. Walaupun saya dan Junaidah mempunyai gred yang sama, tetapi oleh kerana saya adalah staf kontrak, maka staf yang bertaraf tetap harus diutamakan terlebih dahulu. Tidak kira sama ada staf kontrak itu kerjanya bagus atau pun tidak, laluan harus diberikan kepada staf berstatus tetap, walaupun kerja mereka mungkin tidak berapa bagus. Inilah masalah utama kakitangan awam, yang lebih mengutamakan senioriti daripada bakat semulajadi demi menjaga hati.




Dalam mesyuarat tersebut, isu blog Azli Shukri tidak timbul, sebaliknya saya digugurkan daripada jawatan editor Dewan Ekonomi, dan kemudian ditukarkan kepada jawatan editor penyelidik, sekali gus hilang kuasa untuk mengemudi majalah Dewan Ekonomi. Mesyuarat tersebut dijalankan, sewaktu saya sedang bercuti. Isu blog Azli Shukri, sama sekali tidak akan timbul, andaikata tiada sang pencucuk jarumnya yang sengaja mahu melihat pergaduhan dan ketidakharmonian berlaku di bahagian M, sekali gus menyingkirkan saya.



Petang Paling Panjang Di Dawama



Pada petang 20 Novermber 2008, berlaku sedikit salah faham yang mengakibatkan saya dimarahi oleh bos saya sendiri, dengan kemarahan yang meluap-luap dan diluar kawalan, saya tidak hanya diherdik dan tengking – malah, semua staf yang masih berada di dalam pejabat pada waktu itu turut sangat terkejut dan terperanjat dengan cara kemarahan yang telah ditunjukkan oleh bos kami itu, sama sekali di luar daripada kebiasaannya. Jika beliau mahu berlapang dada sedikit dan mendengar penjelasan daripada saya, saya percaya kemarahannya boleh dikurangkan. Kemarahan bukanlah isunya di sini. Adalah tidak benar jika terdapat mana-mana pihak yang mendakwa bahawa saya kecewa dan berdendam akibat dimarahi bos pada petang itu. Saya sebenarnya sudah biasa dengan caci-maki dan umpat keji, malah dua bulan setelah saya menjejaki di DBP, saya sudah pun diherdik dan dimarahi oleh bos kami itu, berkenaan isu “Cover” majalah Dewan Ekonomi bulan Februari 2007, saya dikatakan tidak bertanggungjawab dan didakwa tidak menyelesaikan kerja saya dengan turun ke Dawama bagi melihat final cover majalah saya. Padahalnya, masalah sudah pun diselesaikan lebih awal, Cuma terdapat sedikit salah faham.




Sebaliknya, seorang editor lagi yang sedang sibuk memancing di suatu tempat peranginan, tidak pula dipertikaikan perbuatannya yang tidak turun ke Dawama untuk menyelesaikan masalah “cover” majalahnya, seperti mana halnya dengan majalah saya, jika editor tersebut diizinkan cuti dan mewakilkan penolongnya, maka mengapa saya tidak boleh? Tetapi, saya yang tidak ada pengalaman bekerja itulah yang dimarahi dengan sungguh-sungguh. Walaupun saya agak berkecil hati, tetapi saya sedia faham, adakalanya bos mempunyai sifat pilih kasih dalam kalangan stafnya. Jadi soal kena marah dengan bos adalah hal biasa. Tiada apa-apa yang menghairankan. Hal ini bukan isu besar dan menakutkan.




Namun demikian, yang mendukacitakan saya adalah, terdapat pihak yang turut menambah kononnya semasa beliau bekerja di syarikat Utusan dahulu, beliau mengalami pengalaman yang jauh lebih dahsyat daripada itu. Dan apa-apa yang berlaku kepada saya pada petang 20 November itu adalah perkara biasa bagi setiap wartawan seperti kami. Tetapi, kita semua lupa atau tidak mengetahui bahawa, salah satu sebab mengapa individu tersebut meninggalkan syarikat Utusannya dahulu adalah kerana dimarahi dan ditegur oleh bosnya sendiri, beliau bertindak berhenti di Utusan dan beralih angin ke DBP, lantaran tidak tahan dengan cara dan pengurusan bos lamanya. Malah, pada petang tersebut individu itu juga tidak berada di dalam pejabat, dan bagaimana mungkin beliau tahu keadaan yang sebenar. Pada hemat saya, isu saya dimarahi oleh bos saya pada petang tersebut, bukanlah isu utama dan penting, kerana semua daripada staf di Bahagian M sudah sedia maklum dengan cara dan sikap bos kami itu.




Pada malam tersebut, saya menerima beberapa SMS daripada beberapa editor dan penolong editor yang bersimpati dan melihat dengan kepala mereka sendiri bagaimana teruk saya dimarahi, malah menurut mereka, kemarahan tersebut sebenarnya tidak setimpal dengan kesalahan yang saya lakukan. Hal ini adalah kerana, hampir semua sidang editor majalah di Bahagian M melakukan kesalahan yang sama pada setiap bulan. Tetapi, kemarahan pada petang itu sangat luar biasa. Sehingga terdapat beberapa rakan baik saya yang serta-merta mencari pekerjaan lain pada petang tersebut, setelah melihat bagaimana teruknya cara saya dimarahi. Ucapan tahniah harus diberikan kepada mereka, ada yang telah berjaya ditukarkan ke DBP Sarawak dan ada juga yang mendapat tawaran kerja di sebuah institusi terjemahan.



Di Sini Putih Bukanlah Warna



Hakikatnya, mereka bertindak sebegitu adalah terdorong setelah melihat cara saya dimarahi dengan sebegitu rupa pada petang yang penuh bersejarah itu. Namun demikian, kita harus bersyukur bahawa terdapat juga dalam kalangan staf di Bahagian M yang sanggup menegur bos mereka sendiri dengan memberi ingatan yang sebegini, “seorang bos harus mengawal emosi dan kemarahannya, tidak ada makna menjadi seorang bos, andaikata sikap dan cara kita tidak disukai oleh anak buah sendiri, sebaliknya menambahkan lagi kebencian mereka. Bos harus ingat, bahawa bos mempunyai penyakit darah tinggi dan perlu mengawal sifat amarah, jika terjadi apa-apa kepada bos, jatuh pengsan di tengah jalan umpamanya, siapakah yang bos harapkan untuk menolong?, sebab itu bos harus mengawal kemarahan, dan bukan begini caranya seorang bos melayan anak buahnya, Azli bukanlah budak kecil, dia juga ada perasaan dan air muka yang perlu dijaga, marahkan dia dikhalayak ramai bukanlah menunjukkan kita seorang bos yang baik, sebaliknya membuktikan bahawa kita seorang bos yang gagal, yakni gagal mengawal perasaan kita sendiri. Lantaran itu, bagaimanakah kita mampu menguruskan sebuah bahagian dengan lebih baik?”




Isu saya dimarahi, bukanlah isu pokok dalam kes penamatan kontrak saya, sebaliknya ia merupakan isu sikap manusia yang suka mengadu-domba dan menambahkan lagi kekeruhan air di muara sungai. Tidak berapa lama setelah saya dimarahi, saya meninggalkan tingkat 20 DBP untuk menuju ke Dawama bagi menyiapkan baki dua kuras majalah Dewan Ekonomi yang perlu diPDFkan pada petang itu juga, untuk segera dihantar cetak ke kilang cetak Dawama di Ulu Kelang. Pada hemat saya, hal saya dimarahi seharusnya sudah pun selesai pada petang itu, tetapi seperti kata perpatah, ku sangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan (dan terus banjir) di tengah hari. Terdapat kaki cucuk yang tidak senang melihat orang lain bahagia dan gembira. Kaki cucuk ini sudah pasti adalah seorang perempuan yang sama sekali tidak kita sangka bahawa dalam diam-diam, beliau terlibat sama dalam menyemarakkan api kemarahan bos yang masih belum reda itu. Seharusnya beliau mententeramkan keadaan dan bukan mengeruhkan lagi suasana. Tetapi, hal ini bukanlah menghairankan, kerana di mana-mana tempat kita bekerja sekalipun, akan terdapat manusia yang ingin menunjuk dia lebih tahu dan berupaya berbakti lebih baik kepada bosnya berbanding dengan orang lain. Maka, eloklah kita sampaikan apa-apa yang bos tidak tahu tentang Azli Shukri, sekali gus menakut-nakutkannya agar segera mengambil tindakan kepada Azli Shukri (kerana sememangnya sikap bos kami itu mudah mendengar khabar angin dan cepat melatah).



Bakul Sampah Sejarah



Di Pejabat Bahagian M, bos bersama-sama dengan beberapa kawan rapatnya, masih berbicara berkenaan rasionalnya Azli Shukri harus dimarahi sebegitu rupa. Sehingga jam 6.30 petang itu, isu masih berlegar sekitar mengapa Azli Shukri harus dimarahi dan diherdik. Ia termasuklah berkenaan masa dan ketepatan untuk sesebuah majalah harus diPDFkan, dan sama sekali tidak timbul isu blog, bahkan adalah jelas bahawa bos bahagian M itu tidak tahu-menahu berkenaan blog yang bernama Azli Shukri, yang pada hakikatnya sudah wujud lebih daripda lapan bulan yang lalu. Ia hanya timbul apabila terdapat batu api yang sengaja menyemarakkan api kemarahan dan mewujudkan kegelisahan bos yang semua orang sedia maklum bahawa beliau terlalu bimbang dan fobia sekiranya kedudukan beliau sebagai Ketua Bahagian M mengalami nasib yang sama seperti mana nasib ketua – ketua Bahagian M sebelum beliau, yang tercampak daripada kerusi panas bahagian tersebut dengan alasan-alasan politik.




Tujuh tahun dahulu, terdapat staf bahagian tersebut yang turut dituduh sebagai berniat jahat bagi menjatuhkan Ketua Bahagian M dengan menyiarkan sebuah artikel yang disifatkannya mempunyai ciri-ciri yang berupaya menyebabkan Menteri Pelajaran ketika itu marah dan sekali gus menggugat kedudukannya sebagai Ketua Bahagian M. Hakikatnya, artikel yang digembar-gemburkan sebagai artikel yang mampu menggugat kedudukan beliau itu, sama sekali tidak benar. Malah, artiket tersebut juga tidak mengaibkan Datuk Seri Hishamuddin yang pada waktu itu selaku Menteri Pelajaran. Artikel tersebut jika diamati dengan jujur dan ikhlas, merupakan sebuah analisis berkenaan perwatakan Hishamuddin yang didakwa agak lembik oleh parti pembangkang. Analisis seperti ini adalah normal bagi orang politik, tiada gunanya menjadi orang politik jika tidak bersedia menerima teguran dan cemuhan. Tetapi, akibat kerana terlalu takut dengan hal yang bukan-bukan dan bimbang kalau-kalau Hishamuddin tersinggung dengan terterbitnya artikel tersebut, apatah lagi di dalam sebuah majalah tersohor DBP pula, maka selaku Ketua Bahagian M yang berkuasa, majalah yang sedang dicetak itu terpaksa diberhentikan dengan serta-merta, agar segera dibuat pembetulan ke atas artikel tersebut.




Kerugian terpaksa ditanggung oleh Dawama, lantaran persepsi negatif didahulukan dalam penyelesaian masalah. Walaupun kita sedia maklum bahawa sebelum ini, ketika Ketua Bahagian M tersebut mengemudi majalah Dewan Budaya, beliau pernah melakukan kesalahan sehingga majalah tersebut terpaksa ditarik balik dari pasaran gara-gara ada kesalahan maklumat di hadapan kulit majalah tersebut. Hal seperti ini merupakan perkara biasa dalam mana-mana penerbitan, khususnya penerbitan majalah. Kita harus rasional dan tidak terlalu melompat lebih tinggi daripada pak menteri.



Maut Tidak Bersambut



Berbalik kepada kes di atas tadi, editor yang mengemudi majalah tersebut tidak hanya dimarahi sehingga beliau mengalirkan air matanya dan diminta menulis surat tunjuk sebab mengapa beliau mahu menerbitkan artikel tersebut, bahkan “dosa”nya itu seolah-olah tidak diampunkan sehingga ke hari ini. Dan apabila diteliti sekali lagi artikel tersebut, jelaslah tiada apa-apa pun perkataan yang didakwa mampu menyinggung hati Menteri Pelajaran, sehingga Ketua Bahagian M bisa ditendang keluar dari kerusinya itu. Hakikatnya, cerita tetap sama seperti mana yang saya alami, apabila seseorang membuat hukuman dengan mendahului persepsi daripada realiti, maka hukuman akan berjalan dengan cara yang tidak adil dan jauh tersasar daripada kebenaran. Hal ini adalah sama tatkala saya dijatuhkan hukuman sebelum kajian mendalam dilakukan ke atas kes saya.




Tetapi, petang yang penuh sejarah itu, akhirnya menjadi saksi betapa manusia yang seharusnya melenturkan suasana dan mententeramkan keadaan, tiba-tiba menjadi penghasut dan menambahkan lagi amarah serta mengeruhkan semula keadaan. “Jika bos nak tahun, Azli ada blog, yang begitu kuat mengkritik dan membidas kepimpinan Pak Lah dan Khairy. Dan semua gambar dia bersama tokoh yang diwawancaranya ada di dalam blognya. Azli ni boleh diambil tindakkan, jika pihak atas tahu bahawa dia mengkritik Pak Lah dan Khairy, kerana dia adalah penjawat awam”- hampir begitulah bunyinya, kata-kata sang pencucuk jarum. Amarah bos yang belum pun reda itu, naik kembali. Saya tidak tahu apakah niat dan hasrat sang pencucuk jarum ini dengan tiba-tiba membuka kisah blog yang saya miliki. Apakah dia tidak tahu bahawa, seseorang yang sedang amarah apabila dicucuk dan dihasut – bisa sahaja diperalat dan melompat setinggi langit? Dan apakah rasionalnya sang pencucuk jarum itu membuka isu personal blog Azli Shukri kepada bosnya? Yang juga merupakan kawan baiknya juga sejak sekian lama. Apakah sang pencucuk jarum yang begitu lama bercuti dan mahir dengan serba-serbi dunia blog tidak mengenali bloggers terkenal penjawat awam yang bernama Dunia Tiger (nama sebenarnya ialah Datuk Ibrahim Yahaya) yang sekarang sudah dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia. Beliau juga mengkritik pemimpin-pemimpin UMNO dan sama sekali tidak diambil apa-apa tindakan. Dunia hari ini semakin terbuka. Kita bebas mengeluarkan pandangan dan pendapat. Malah, percanggahan pendapat sebenarnya menguntungkan pihak kerajaan sendiri - agar dapat menilai dan memperbaiki diri sendiri.



Terdamparnya Paus Putih



Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, mesyuarat khas pada pagi jumaat 21 November 2008, telah dimaklumkan bahawa Azli Shukri telah dilucutkan jawatannya sebagai editor Dewan Ekonomi berkuatkuasa serta-merta, dan kemudian sebuah mesyuarat tidak rasmi telah diadakan di dalam bilik Ketua Bahagian M dan kemudian bersambung secara panjang lebar di Restoran Kancil – kedua-dua mesyuarat tersebut disertai “orang-orang kuat” Bahagian M. Dan dalam pertemuan 10 mata di Restoran Kancil itu, telah berlaku pelbagai cadangan yang pro dan kon berhubung kedudukan saya sebagai editor Dewan Ekonomi, walaupun hakikatnya keputusan sudah dibuat, tetapi terdapat juga dalam kalangan ahli mesyuarat tersebut tidak bersetuju atas penyingkiran saya itu, malah mendakwa dengan kata-kata sebegini, “Untuk apa kita tukarkan Azli, bukankah kita akui kerjanya selama ini begitu baik dan bagus? Saya tidak fikir Junaidah berupaya mengemudi Dewan Ekonomi.”




Dan dalam mesyuarat yang sama juga telah timbul cadangan untuk memindahkan Junaidah menjadi editor Pelita Bahasa dan Armin Azhari mengemudi Dewan Budaya, tetapi cadangan tersebut tidak dilaksanakan dengan alasan tertentu. Namun demikian, yang memeranjatkan semua ahli mesyuarat ialah keinginan Sang Lelaki Gagah Perkasa yang dengan cukup bertenaga bersuara, “Biar saya mengemudi/menjadi editor Dewan Ekonomi dan memantau Azli.” Keinginan beliau itu, bukan sahaja mengejutkan ahli-ahli mesyuarat, malah saya juga terperanjat. Selama ini kami bergurau senda bersama, berbincang bersama-sama soal politik dan majalah, dengan tiba-tiba bernafsu besar untuk mengemudi majalah Dewan Ekonomi yang sebelum ini dipandang sebelah mata oleh banyak pihak dan dikatakan majalah yang tidak mempunyai masa hadapan. Sehingga ke hari ini, saya tidak tahu apakah niat sebenar beliau untuk menggantikan tempat saya sebagai editor Dewan Ekonomi.



Dan pada malam itu, tanggal 21 November 2008, jam 8.00 malam, AmCorp Mall menjadi saksi betapa persahabatan kadang-kala mampu dijual-beli dan tidak berupaya untuk kekal abadi – segala sokongan dan luahan rahsia yang disampaikan di sana, hanya mampu terucap di hujung bibir semata-mata, tetapi sukar untuk dipertahankan. Pertemuan 6 biji mata antara saya dengan dua orang sahabat baik saya di AmCorp Mall benar-benar mententeramkan hati saya untuk seketika. Walaupun salah seorang daripada mereka, akhirnya bersikap talam dua muka dan menikam saya dari arah belakang.



Namun demikian, sejarah tetap menjadi sejarah. Kawan yang baik tidak semestinya yang rapat dengan diri kita, boleh jadi yang selama ini begitu jauh dengan kita akan menjadi sahabat sejati kita untuk selama-lamanya. Tuduhan yang dikenakan kepada saya, sangat tidak demokratik dan tidak berfikir panjang. Saya diminta memilih sama ada mahu menutup blog atau kontrak kerja saya di DBP tidak akan disambung. Ramai yang tidak faham, dan tidak tahu apakah yang sebenarnya berlaku, mendengar kata-kata sebelah pihak semata-mata, bukanlah jalan penyelesaian yang bijak.


Saya percaya, akan ramai yang tidak akan percaya dengan apa-apa yang saya tulis, tetapi saya juga yakin dan percaya, sesungguhnya tidak semua warga DBP yang membaca blog ini mudah ditipu dan dibohongi, mereka tahu yang mana betul dan benar. Apa-apa yang saya tulis, merupakan catitan kisah yang saya alami secara benar. Mungkin akan terdapat sesetengah daripada watak yang saya tuliskan dalam Hikayat ini tidak akan mengaku dengan apa-apa yang telah mereka sampaikan kepada saya, saya faham dan memahami "periuk nasi" kita harus juga dijaga. Tetapi, saya tetap yakin kebenaran akan muncul juga akhirnya. Selamat membaca.



Ikuti sambungan Hikayat Dewan Ekonomi : Episod 4 : Sihir Firaun Yang Tersisa. Jangan lepaskan peluang membaca hikayat ini sehingga ke episod penamat, serta hayati detik-detik terakhir bagaimana saudara Azli Shukri, bekas editor Dewan Ekonomi dicampak keluar dari tingkat 20 menara bangunan DBP pada tarikh keramat 9 Disember 2008.

15 comments:

ZHARIF said...

sudah menjadi lumrah pihak yang baik pasti akan menerima tentangan dan dibenci oleh pihak yang jahat dan tidak mahu mendengarkan kebenaran.Teruskan berada di pihak benar meskipun kita ditekan sebab rezeki dan maut adalah di tangan Tuhan.
Saya sangat berharap dapat bertemu dengan saudara azli.Saya akan mula bercuti pertengahan mei ini dan kalau ada kesempatan mungkin kita boleh berjumpa.Harap saudara azli boleh tinggalkan no hp atau email saudara di email saya untuk saya hubungi: zshafiqz@gmail.com

'BERSATU MEMBELA KEBENARAN'

ZulDeanz said...

Panjang sungguh hikayat ini, tidak sabar menunggu sambungan hikayat ini....

Redz da Tsar said...

Kasihan... Orang yang banyak berjasa diperlakukan sebegitu rupa..

Hal inilah yang patut dielakkan dalam hidup...

Tapi, dah jadi asam garam.. Orang melayu juga mencipta peribahasa, keranan nila setitik habis susu sebelanga...

Mentaliti masih tak berubah...

Teruskan perjuangan sebagai 'check and balance' kepada blog-blog lain...

Aku menanti sambungan ke-4

CakLam said...

Orang Pahang sebut "BERAMBI", "HAMPURAS"

Caklam.

C.H.E Dayat said...

salam abang azli, akhirnya abang siarkan juga hikayat ini.. ini yang saya tunggu-tunggu selepas kita berjumpa di KL dulu.. biar mereka sedar perbuatan mereka ni..

tahniah dan kagum dengan keberanian abang..

p/s: jika ada masa nak juga jumpa lagi skali di kl atau di kuantan. tggu saya selesai exam..

www.kisahsebuahbangsa.blogspot.com

eDzRa said...

hikayat ini bukan untuk menagih simpati, bukan untuk mencetuskan kontroversi, tapi menegakkan keadilan yang pasti..saya yakin, saudara mampu untuk membuka mata yang masih dikaburi dengan kepentingan diri mereka suatu hari nanti..teruskan menegakkan kebenaran..yakinlah, Allah sentiasa bersama dengan orang yang benar..

datoadil said...

HIKAYAT AKHIRNYA BERSAMBUNG.

"daku tiada apa-apa untuk dikomentarkan saat ini, kerana sangat benci dengan kepala taik yang jijik dan menjijikkan, cuma daku ada soalan, soalan kepada yang terasa dirinya perlu menjawab"


1. Kepada Mantan Ketua Azli dahulu, kenapa anda sangat tidak adil terhadap pekerja bertaraf kontrak ini, adakah mereka ini macam binatang, atau anjing kurap. Apa hina sangatkah pekerja kontrak ini, kenapa hendak dibeza-bezakan? Dan baik sangatkah pekerja yang buka kontrak yang anda sanjung itu. Kalau begitu kenapa majalah-majalah yang anda jadi ketua editornya tidak sehebat majalah keluaran Syarikat Karangkraf atau syarikat lain. Kalau bagus sangat, kenapa Majalah Budaya dan Sastera yang editornya tidak pernah anda marah jualannya hanya sedikit? Jangan kita hipokrit kerana di Akhirat Allah akan mengadili kita.

2. Soal marah. Saya nak tanya, kenapa kalau orang lain yang seumur dengan anda walaupun lambat siap tetapi tidak pula dimarahi. Adakah kerana mereka sama umur, seangkatan atau apa. Apa kriteria anda menilai orang yang patut dimarahi dan yang tidak patut dimarahi? Adakah anda sendiri suka dimarahi atau "dibogelkan" segala kelemahan anda didepan orang lain? Fikirkan maruah dan air muka orang lain, mereka juga manusia. Dalam Islam sendiri tidak menggalakkan kita menghina dan mengaibkan orang lain.

3. Soal Blog. Kalau benarlah penamatan kontrak kerana blog, maka anda sebenarnya akan ditanya di hadapan Allah tentang penjawat awam lain yang juga punya blog. adakah mengkritik kerajaan satu dosa besar? Jangan kita lupa bahawa Saudara Azli orang UMNO, dalam UMNO sendiri ada kritik mengkritik. Itu soal parti. Kalau anda mengatakan Saudara Azli terlibat politik, anda jangan lupa kepada Majalah Masyarakat yang pernah mengeluarkan edisi khas pilihanraya. Saya ingin tanya, kenapa edisi itu dipenuhi banyak gambar daripada parti pembangkang. Orang lain boleh menjadikan itu sebagai bahan untuk dipertanggungjawabkan sebagai rentetan kepada kekalahan BN-UMNO dalam setiap pilihanraya kecil. Kenapa pula tulisan Datuk Hasan Ahmad yang banyak "mengkritik" kerajaan terus-terusan boleh disiar dalam majalah masyarakat.
Jadi tanya diri anda, adakah anda adil atau tidak?

4. Pengampu dan kaki-kaki jarum. Cukup ringkas, bilakah anda akan bertaubat? dan apa untung yang anda dapat? adakah selamat daripada dimarahi bos, boleh siap lewat tak kena marah atau apa?





Belayar ke Utara
Mudik ke Muara
Andai Azab akhirat terjelma
Pasti manusia takut pada-Nya

Buah berangan di atas para
Buah pauh di dalam raga
Hidup di dunia cuma seketika
Elakkan diri dari yang hina

Buah betik masak sebiji
Buah masam buah keranji
Kalau kita suka mengeji
Tunggulah azab tidak terperi

Pekan Rabu tempat che det
Kedai bucu tempat mengumpat
Tidak salah jika bertaubat
Sebelum hari sudah terlambat.


Ikhlas Untuk Bangsa


Dato, Adil

Puteri Hutan Nipah said...

Nampaknya saudara ingin perincikan detik-detik penyingkiran saudara di bahagian M supaya semua orang jelas tentang hujung pangkal kisah saudara.
Baguslah.
Dalam dunia sekarang, tak ramai yang berani membuka cerita benar.
Kita sering disogokkan dengan cerita yang disulami manik lip-lap atau ditambah perisa dan perasa yang menghilangkan rasa asli sesuatu kisah itu.
Kesimpulan yang saya dapat drp kisah saudara kali ini:
Bos (bekas) awak ni seorang yang suka dicucuk, tidak pandai berfikir sendiri, terlalu emosional, walaupun dia dah sedar buat silap, dia tak akan mengaku dan beria-ia nak cari alasan/sokongan untuk mewajarkan perbuatan bodohnya.

Yang paling kelakarnya, semua makcik (lebih drp 1) jarum tu telah dihargai oleh bekas bos awak,
hehe... naik pangkat lagi you!
Apapun, tahniah ya makcik-macik jarum!

Puteri Hutan Nipah said...

Baru saya tau, wartawan terkenal Utusan tu sekarang bekerja di bahagian M!
Patutlah ada satu majalah tu bau mastika. Eloklah tukar nama majalah tu kepada Dewan Mastika. Rasanya mesti boom! Mesti boleh laku berpuluh-puluh ribu macam Mastika!!!
Saudara Azli,
Usahlah bersedih sangat, dia tu kan wartawan cerita hantu, kalau dah lama berkawan dengan hantu (sebab nak menulis cerita hantu ni kena baik dengan hantu) perangainya pun akan ada sifat kehantuan, janganlah ukur dia dengan mentaliti manusia saudara dengan mentaliti hantu dia, sampai ke kiamat pun saudara tak akan faham.
Itulah pesan orang tua-tua, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
kalau nak baik dengan orang tu, jangan lebih-lebih nanti tertikam dari depan, belakang, kiri & kanan, kan susah!

MohdHafizKamal said...

Pjgnya hikayat kali ini. Tabahkan hati anda Azli Shukri dan biasalah tu adat org yg bekerja mkn gaji mesti nak secure-kan jawatan dia sampai kadang2 paranoid dgn org2 yg berkaliber disekeliling dia.

mohd syahid said...

assalamualaikum...
li... ko punya cerita dah boleh buat novel ni. tak sabar nak tahu kisah selanjutnya... kena campak dari tingkat 20 DBP. wah! kalau tak mati kira handal la ko ni...
mengenai al-arqam tu nanti boleh tak ko bagi tahu tentang kajian ko. maksud aku apa-apa yang menyeleweng tentang al-arqam. just nak tahu sahaja. hantar kat email aku. (itupun kalau ko ada masa dan sudi melayan karenah blogger picisan seperti aku ni) mohdsyahid@ymail.com

li...hidup zaman sekarang ni, menyatakan kebaikan dan kebenaran adalah seperti menggenggam bara api. hanya sebahagian yang mahukannya lalu membiarkan tangan-tangan mereka itu terbakar. bagi mereka, apalah sangat erti sebuah kesakitan jika nak dibandingkan dengan redha Ilahi....

Muhammad Azli Shukri said...

zharif - nanti abang berikan no phone

zul - ada yang lebih panjang

red - adat manusia

Cak Lam - betul tu

Dayat - nanti kita jumpa

edzra - benar

Muhammad Azli Shukri said...

syahid - nanti saya emailkan, gembira dapat berkongsi cerita dan berita

<< s| teD| yanG GOmuK >> said...

panjang ceritanya.. puas untuk memahamkannya... kena baca berulang-ulang kali ni..
=))

S.YanaZ said...
This comment has been removed by the author.