Tetamu Kehormat...

November 20, 2008



Mukhriz
Telah Menang!


Oleh Muhammad Azli Shukri


Saya bertemu dengan Datuk Mukhriz Mahathir di Parlimen baru-baru ini, ada sesuatu yang telah lama terbuku dalam benak dan fikiran saya, agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera antara saya dengan Mukhriz. Sebagai seorang sahabat baik dan penyokong setia beliau, saya rasa bertanggungjawab untuk menyelesaikan apa-apa yang sekian lama bermain dalam kotak minda saya. Petang itu, setelah Mukhriz bersetuju meluang masa untuk berjumpa, maka saya bergegas ke Parlimen. Tidak sabar untuk saya mendapatkan kepastian daripada mulut beliau sendiri, setelah tersebar fitnah paling ganas terhadap dirinya di Internet sejak belakangan ini. Kepastian dan kebenaran harus segera saya cara dan temui, jika tidak – saya tidak bisa tidur malam. Hampir dua jam saya berbual tentang pelbagai isu, bermula daripada isu bahasa, hinggalah ke isu politik dan ekonomi, semuanya beliau jawab dengan penuh meyakinkan – tiada ragu-ragu – tiada rasa haru biru – semua dijawab dengan keyakinan dan kejujuran. Itulah Mukhriz yang pernah ditakrifkan oleh abangnya Mokhzani sebagai lelaki yang berperwatakan lembut tetapi tegas dan bernas!




Mengandaikan bahawa beliau sudah tua dan berumur, serta tidak berupaya memimpin dan menjiwai golongan muda – merupakan hujah dangkal bagi kalangan orang-orang yang jahil tentang apa, bagaimana dan siapa sebenarnya yang diinginkan oleh generasi muda dan generasi maya pada hari ini. Mereka yang mendakwa bahawa Mukhriz tidak berupaya dan layak untuk mengemudi Pemuda UMNO Malaysia – merupakan golongan yang hanya layak bercakap dengan tin kosong sahaja, bunyi lebih, isi tiada. Golongan muda mengharapkan seorang pemimpin yang bijak dan bukan bijak bercakap sahaja, tetapi telah membuktikan bahawa mereka tahan diuji baik dalam dunia politik mahupun dunia perniagaan.




Golongan muda lebih cenderung menyokong Mukhriz kerana perwatakan lembut dan tiada banyak kerenah untuk berjumpa – seorang yang dibesarkan di Malaysia dan bukan di luar negara. Mukhriz, nama seorang yang berprinsip dan berani menegur perkara yang tidak benar – inilah konsep pemuda yang kita mahu!




Tatkala beliau diketepikan sewaktu Tun Mahathir menerajui negara – beliau membina perniagaannya sendiri, pernah jatuh dan bangkit dalam perniagaan seperti abangnya juga Mokzani – Malah Mukhriz pernah gagal dalam mengusahakan sebuah syarikat penerbitan, apabila majalah Spektra terbitan syarikat beliau terpaksa diberhentikan penerbitannya kerana faktor kos dan tiada sambutan. Semua ini mengajar beliau menjadi lebih dewasa sebagai seorang pemuda dan peniaga.




Banyak yang kita tidak tahu tentang Mukhriz – tetapi buat-buat tahu dan cuba menilai dengan penilaian yang tidak tepat, gara-gara beliau anak kepada Tun Mahathir. Kebodohan dan kejahilan kita adalah apabila kita, melakukan sesuatu penilaian berasaskan emosi dan bukan realiti, lantaran kita tiada fakta dan carta untuk membuat pilihan yang mana baik dan yang mana buruk. Oleh sebab itu, apabila kita disogokkan dengan kempen “wahai kawan-kawan marilah pilih calon berkelulusan Oxford ini, bijak dan pandai berdebat – harapan rakyat dan harapan semua.” Lalu kita terlopong, menonton wayang gambar bertajuk “Si Khairy yang Perkasa”, kita bertepuk – pembangkang seronok. Seronok kerana apa? Seronok kerana, jika inilah pemuda pilihan UMNO, pembangkang tidak perlu bersusah payah untuk mencapai kemenangan besar dalam PRU ke-13 kelak. Namanya sahaja sudah cukup membuat para remaja dan generasi muda, mengundi Nurul Izzah si puteri reformasi.




Khairy, pemuda yang dibenci dan adalah sukar untuk disayangi – itulah Si Khairy nama yang menjadi liabiliti dan dicaci. Tidak cukupkah semua ini?. Lantaran itu, kita memerlukan seorang pemuda UMNO yang mampu mencantumkan harapan seluruh rakyat Malaysia, baik Cina, Melayu dan India – semua akan menghormatinya. Insan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Mukhriz. Semua bangsa mengetahui siapakah ayah beliau, dan berharap agar kebijaksanaan Tun Mahathir tumpah kepadanya. Malah, Mukhrizlah satu-satunya jasad yang hidup bagi membuktikan dasar pandangan ke Timur yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir pada suatu ketika dahulu bukanlah satu dasar yang dibuat dengan suka-suka. Tetapi, dibuktikan dengan menghantar anaknya terlebih dahulu ke Jepun untuk mengambil jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Sophia, Tokyo.




Selama lima tahun beliau di sana, menjadikan Mukhriz mampu menguasai bahasa Jepun dengan sangat baik, malah hubungannya dengan pemimpin dan tokoh-tokoh korporat di negara matahari terbit itu pun sangat rapat dan harmoni. Inilah pemuda harapan bangsa – dalam dunia yang tiada sempadan ini kita memerlukan seorang pemimpin yang tidak hanya mahir dalam berbahasa Inggeris semata-mata, sebaliknya kita mengharap pemimpin muda yang menguasai dua atau tiga bahasa, sesuai dengan senario sekarang, malangnya Khairy Jamaluddin tiada semua itu. Jika kita sudah ketemu dengan yang lebih baik daripada KJ, mengapa tidak kita tinggalkan sahaja saudara KJ, kerana sebenarnya beliau tidak memahami jiwa generasi muda – generasi muda kini bukan boleh disogok dengan main bola sahaja, golongan ini semakin bijak, kami memerlukan pemuda yang berani bercakap benar dan tidak takut kepada kuasa barat dan telunjuknya. Dalam hal ini, Mukhriz adalah pilihan terbaik!




Kita juga memerlukan seorang pemimpin pemuda UMNO yang hidup dan membesar di tanah airnya sendiri, bersekolah dan mengetahui adat resam serta agamanya dengan baik. Dalam soal ini, Mukhriz jelas berada di hadapan. Bersekolah di MRSM Kota Bharu (Sekarang MRSM Pengkalan Chepa) selama lima tahun – menjadikan beliau seorang remaja yang didik dalam budaya Melayu dan Islam dengan baik. Menurut beliau, “Saya dibesarkan dalam suasana masyarakat Kelantan yang teguh kepada ajaran Islam serta budaya Melayu. Saya hidup selama lima tahun di negeri tersebut, sehingga sekarang saya masih fasih bercakap dalam dialek Kelantan, kerana saya mempunyai ramai kawan di sana. Dan ini menyebabkan saya berasa bertuah dan tidak meninggalkan cara hidup Islam dan orang Melayu.”




Berbalik kepada isu asal yang ingin saya dapatkan jawapannya secara terus daripada Datuk Mukhriz, maka saya paparkan di bawah transkripsi penting yang saya peroleh setelah mewawancara beliau.


Dakwaan mengatakan bahawa UMNO sudah tiada lagi ahli-ahli yang jujur benarkah dakwaan tersebut?



Tidak benar, inilah masalahnya, hanya segelintir yang membuat perkara yang tidak baik, seperti politik wang, maka seluruh ahli UMNO dituduh mengamalkannya. Saya mengambil contoh AS, yang pada kita merupakan sebuah negara yang penuh dengan kejahatan dan keburukan, namun demikian rakyatnya masih berhasrat memilih presiden mereka yang baik dan mempunyai imej yang bersih. Setakat ini Obama mempunyai ciri-ciri tersebut. Saya juga mengharapkan bahawa, ahli-ahli UMNO akan memilih calon Ketua Pemuda UMNO yang ikhlas dan bebas daripada politik wang. Yang berlaku pada hari ini sudah ramai ahli UMNO yang insaf bahawa politik wang hanya menghancurkan masa hadapan UMNO. Sekarang ini, saya dapati calon-calon yang mengamalkan politik wang juga sudah berasa tidak selamat, kerana belum tentu para penerima sogokan wang daripada calon-calon tersebut, akhirnya akan mengundi mereka di persidangan. Hal ini adalah kerana, wakil-wakil pemuda UMNO sudah bijak memilih pemimpin yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan mereka. Mungkin duit yang diberi akan mereka terima, tetapi belum tentu mampu membeli undi. Saya percaya ramai ahli UMNO yang mahukan pemimpin bersih.




Ada pihak yang menuduh Datuk menggunakan wang untuk mendapatkan pencalonan, benarkah begitu?



Saya terkejut dengan fitnah ini kepada saya, seolah-olah ada pihak cuba mengalihkan “penyakit” ini kepada saya pula, sedangkan semua orang tahu bahawa saya tewas bertanding sebagai Ketua Pemuda Kubang Pasu, tetapi saya bangga, walaupun saya kalah, saya kalah cara terhormat. Malah, kawan-kawan saya pun tidak terlalu kecewa, kerana mereka tahu saya tidak mengamalkan politik wang. Saya ingin membuktikan bahawa, kita juga mampu naik ke puncak dan disokong oleh akar umbi jika kita jujur dan tidak mengamalkan politik wang. Buktinya, selepas itu saya menang AJK UMNO Bahagian Kupang Pasu dan EXCO pemuda UMNO Malaysia – tanpa menggunakan duit. Ini menunjukkan satu harapan bahawa, masih ramai dalam kalangan pemuda UMNO masih ada yang baik dan harapan untuk membersihkan politik wang dalam Pemuda UMNO masih ada dan cerah.



Apakah Datuk sanggup bersumpah jika ada pihak mahu Datuk lakukannya demi membuktikan Datuk benar-benar bersih daripada politik wang?



Dah tentu saya sanggup dan saya mesti akan buat! Sebab saya tahu, saya tidak mengamalkan politik wang! Tetapi, pada hari ini apa yang hendak dilihat oleh akar umbi ialah tindakkan dan bukan lagi amaran atau teguran semata-mata. Orang ramai nak melihat tangkapan dibuat kepada para pelaku politik wang dan bukan amaran lagi. Ada orang cakap bahawa, terdapat seorang pemimpin pemuda UMNO yang begitu beria-ria mahu menghapuskan politik wang dalam sebuah wawancaranya di televisyen, namun demikian semua orang tahu, bahawa orang tersebut turut mengamalkannya. Saya selalu memikirkan berkenaan UMNO, diri saya tidak penting, yang penting ialah UMNO, UMNO mesti diselamatkan daripada politik wang. Jika tidak, UMNO akan hancur. Saya sebenarnya mewakili suara ahli UMNO yang inginkan kebenaran dan kejujuran dalam memperjuangakan hak orang Melayu dan mahu melihat UMNO kembali kuat. Saya akan bercakap perkara yang benar – walaupun orang tidak suka. Tetapi saya terpaksa bercakap benar.



Setelah selesai berjumpa Mukhriz selama hampir dua jam, saya berasa sangat lega dan berpuas hati. Saya pulang ke rumah...termenung seketika memikirkan bahawa, sesungguhnya saya telah menyokong calon yang tepat, iaitu Datuk Mukhriz Mahathir. Memang benarlah tekaan saya selama ini, bahawa beliau boleh berjaya kerana keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangannya. Seperti mana bapanya juga. Tiada kamus politik wang dalam kota fikiran dan perbuatannya. Maka, kebenaran sudah berada di hadapan mata kita. Dan tiada alasan lagi bagi kita untuk memilih calon lain bagi kerusi panas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, menjelang Mac depan. Kepada para perwakilan yang telah menerima sogokan, kami tahu daripada siapa yang memberi saudara semua, maka bertaubat dan berubahlah. Semoga Allah mengasihi tuan-tuan.



Yang penting, buktikan bahawa setelah tuan-tuan bertaubat daripada menerima sogokan duit haram tersebut, maka segera kembali ke pangkal jalan dengan memastikan calon yang bersih seperti Datuk Mukhriz menerajui Ketua Pemuda UMNO kelak. Hanya beliau, setakat ini yang mampu menyatukan seluruh pemuda dari pelbagai kaum di bawah satu bumbung, demi memastikan kemenangan UMNO dalam PRU ke-13 nanti. Akhir kata, saya ucapkan Jazakumullah Hu Khairan Kasiran wa Syukran Jazilan kepada semua perwakilan pemuda UMNO yang telah menyokong Datuk Mukhriz - pembawa obor kebenaran ke dalam pemuda UMNO. Pemuda UMNO hanya akan bersih apabila ketuanya pun bersih. Dan percayalah, Allah akan membantu orang yang benar dan jujur dalam perjuangannya. Salam Berani berubah!


Pada saya, ketika ini dari segi moral dan prinsip perjuangan, sesungguhnya Mukhriz telah menang! Dan sesungguhnya kebenaran dan kejayaan sudah berada di hadapan mata, tetapi, mengapakah kita masih mengapai api neraka semata-mata dengan jumlah RM500 yang telah kita terima itu? Maha Suci Allah, Moga Dia mengampuni kita semua daripada memakan duit haram. Wallahualam.




Gambar : Datuk Mukhriz Mahathir, 44 merupakan anak ketiga kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad, berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan di Universiti Sophia, Tokyo, Jepun dan Ijazah Pemasaran dari Universiti Boston, Massachussetts, U.S.A. Banyak terlibat dengan kerja amal melalui pertubuhan bukan kerajaan seperti AMAN Malaysia. Terlibat secara aktif dalam politik setelah memenangi jawatan Exco Pergerakan Pemuda Malaysia pada tahun 2004. Sekarang beliau merupakan ahli Parlimen Jerlun setelah berjaya memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

November 13, 2008


"Beli Emas Ketika
Ekono
mi Tidak Menentu."
- Prof. Bala Shanmugam



Oleh Muhammad Azli Shukri



Ekonomi dunia yang semakin tertekan akibat daripada masalah kewangan yang melanda AS, diburukkan lagi dengan pengumuman ahli kongres AS yang meluluskan pakej bantuan kewangan berjumlah AS$700 bilion bagi tujuan menstabilkan pasaran kewangannya yang dikatakan semakin teruk. Pengumuman tersebut menggambarkan betapa serius masalah kewangan yang sedang melanda AS dan langkah yang sewajarnya perlu diambil. Sehubungan dengan itu, ikuti pandangan Profesor Dr. Bala Shanmugam dari Monash University Sunway dan penulis buku Subprime Mortgage Crisis : Causes, Effects and The Way Forward bagi mendapatkan pandangannya berkenaan isu tersebut.



Apakah sebenarnya yang berlaku semasa krisis Subprima di Amerika Syarikat?



Krisis Subprima pada asasnya berlaku disebabkan oleh dua perkara, pertama pihak bank yang memberi pinjaman telah mengehadkan kadar pinjaman kepada peminjam. Hal ini disebabkan, kebanyakan peminjam mempunyai masalah untuk membayar balik pinjaman yang telah diberikan. Oleh sebab itu, pihak bank terpaksa mengehadkan kadar pinjaman. Kedua, disebabkan kebiasaan rakyat di Amerika Syarikat, pinjaman yang dilakukan oleh mereka akan dijual semula. Pinjaman ini dijual kepada individu yang lain. Hal ini lebih kepada perundingan penjualan sekuriti antara satu pihak dengan pihak yang lain. Proses lebih kurang seperti Cagarmas. Sekiranya keadaan ekonomi pada kedudukan yang baik, perkara ini tidak berlaku. Disebabkan berlakunya gangguan kepada pinjaman bank, secara tidak langsung semuanya terlibat sama. Bank mula menanggung kerugian yang tinggi kerana pinjaman yang diberikan tidak dapat diperoleh kembali. Inilah perkara yang berlaku sebenarnya sewaktu krisis subprima di AS.



Adakah pihak kerajaan AS campur tangan dalam soal subprima yang berlaku?



Dahulu, kerajaan AS tidak campur tangan dalam krisis yang berlaku. Namun demikian, apabila keadaan krisis kewangan semakin meruncing, pihak pentadbiran AS terpaksa campur tangan untuk membantu. Ahli kongres telah bersetuju untuk menyuntik sejumlah AS$700 bilion bagi membangunkan semula keadaan syarikat dan bank yang menerima kesan daripada krisis ini. Sebenarnya, bantuan ini diberikan adalah untuk melindungi syarikat yang terbabit daripada mengalami kerugian yang teruk.



Apakah yang berlaku kepada American International Group?



AIG terlibat dalam krisis ini secara langsung kerana syarikat ini terlibat dalam skim yang sama. Skim sekuriti yang sedia ada telah mengalami masalah yang besar dan telah mencapai kegagalan.



Adakah krisis yang berlaku di AS memberi implikasi secara langsung kepada Malaysia?



Krisis yang terjadi di AS tidaklah memberi kesan yang secara terus kepada Malaysia. Mungkin hanya sesetengah bank yang mempunyai bon dan sekuriti, di sana akan mengalami sedikit gangguan. Kesan secara langsung kepada negara adalah sangat minimum. Tetapi, hal ini memberi kesan secara tidak langsung. Mengapa saya katakana begitu? Eropah dan Amerika Syarikat merupakan negara yang mempunyai kuasa beli yang tinggi. Apabila berlakunya krisis kewangan di AS, kuasa beli pengguna akan menurun dan kerana pengguna tidak keluar berbelanja.



Bagaimana pula kesannya kepada pelabur di Malaysia?



Pelabur pada ketika ini berada pada situasi tunggu dan lihat, mereka sedang memerhati perkembangan ekonomi yang bakal terjadi selepas ini. Mereka tidak mahu melabur kerana keadaan pasaran global yang tidak menentu. Pelabur sudah semestinya tidak mahu mengambil risiko yang besar ini. mereka hanya memikirkan pulangan yang berganda sahaja. Apabila indeks harga saham susut, nilainya juga akan turut susut dan pelabur semakin khuatir untuk melabur dan akhirnya mereka terpaksa “angkat kaki” untuk melabur di tempat lain.



Apakah langkah yang terbaik bagi menangani masalah ini?



Memang tidak dapat dinafikan bahawa keadaan ekonomi kini sedang mengalami kitarannya, sebagaimana yang berlaku pada tahun 1997. Dahulu, negara yang terbabit tidak mengetahui cara dan kaedah yang terbaik untuk menanganinya. Tetapi, krisis yang berlaku pada kali ini, walaupun berada di luar jangkaan, namun demikian negara yang terlibat sudah mengetahui jalan yang terbaik untuk mengatasinya. Krisis kali ini sememangnya mempunyai kesan yang besar, tetapi boleh ditangani dengan baik dalam jangka masa dua hingga tiga tahun dari sekarang. Misalnya, Kerajaan AS sedang berusaha menyuntik dana ke dalam syarikat-syarikat yang terbabit bagi membantu menyelesaikan kemelut ini. Inilah antara kaedah yang telah digunakan oleh Malaysia pada tahun 1997.



Adakah cadangan supaya Ringgit ditambat semula sepertimana yang berlaku pada tahun 1997 diperlukan ketika ini?



Hal ini semuanya bergantung kepada keadaan semasa. Adakah perlu untuk Malaysia melakukan tambatan ringgit pada ketika ini, perlu dinilai dan dikaji dengan lebih terperinci. Sememangnya krisis yang berlaku menyebabkan nilai mata wang juga turut jatuh. Mungkin ada baiknya jika kita mengikat ringgit dari sekarang supaya nilainya tidak akan jatuh dengan lebih teruk lagi. Kita mahukan kestabilan nilai mata wang itu terus kukuh. Kita tidak mahu perkara yang berlaku kepada sesetengah nilai mata wang yang jatuh teruk. Namun demikian, perkara ini juga ada baik dan buruknya juga. Thailand misalnya. Pada tahun 1997, Tidak menggunakan kaedah tambatan mata wang Baht, tetapi masih tetap stabil. Oleh sebab itu, banyak cara dalam menyelesaikan sesuatu kemelut ekonomi itu dan bergantung pada keadaan sesebuah negara. Manakala bagi rakyat pula, yang paling penting ialah keputusan yang dibuat adalah benar-benar tepat untuk memastikan nilai mata wang ringgit terus kukuh.



Pada pandangan Prof. sampai bila krisis ini akan berlarutan?



Saya menjangkakan krisis ini tidaklah akan berlarutan sehingga memakan masa bertahun-tahun. Krisis ini mungkin akan pulih selewat-lewatnya pada awal tahun 2009. Hal ini kerana, apabila kerajaan AS mula menyuntik dana bagi membantu syarikat terlibat, keadaan kembali pulih dan perlahan-lahan menunjukkan kestabilan. Pengalaman lampau sebenarnya banyak membantu AS, khususnya menangani krisis ini dengan lebih tersusun.



Ramai yang mengatakan bahawa krisis yang berlaku disebabkan sistem kapitalis dan sudah sampai masanya kita berubah kepada sistem kewangan Islam, apakah pandangan Prof. mengenai hal ini?



Kita tiada pengalaman mengenainya ketika ini, lagipun sistem kewangan Islam masih lagi baru bertapak berbanding dengan sistem kapitalis yang sudah beratus tahun. Perbezaan utama antara sistem kewangan Islam dengan Kapitalis ialah kadar faedahnya. Apabila kadar faedah tinggi, maka, inilah yang berlaku. Sistem kewangan Islam tidak mengamalkan sistem faedah, dan di sinilah letaknya kelebihan sistem kewangan Islam. Mungkin hal ini baik, tetapi kita tidak boleh menjangkanya kerana tiada pengalaman. Ketika ini, kita semua terikat dengan penggunaan kadar faedah dan hal ini memang tidak boleh dinafikan. Kelemahan juga dapat dilihat dalam sistem kewangan Islam di beberapa buah negara seperti Iran, Pakistan dan Sudan yang masih kurang berjaya. Mungkin juga mereka tidak mengaplikasikan sistem ini sepenuhnya. Tetapi, jika kita menggunakan sepenuhnya sistem kewangan Islam saya yakin kita boleh berjaya.



Adakah krisis yang berlaku ada kaitan dengan inflasi di Malaysia?



Sememangnya hal ini sangat berkaitan antara satu sama lain. Apabila kemelesetan ekonomi yang terjadi di AS, secara tidak langsung dunia juga merasa tempiasnya. Seperti yang saya katakan tadi, kuasa membeli di AS sangat tinggi. Apabila krisis kewangan ini terjadi, kuasa membeli pengguna juga turut terjejas dan apabila kuasa membeli pengguna terjejas, negara-negara yang mengamalkan FDI turut terjejas sama ada dari segi pengeluaran mahupun pendapatan.



Sektor manakah yang terjejas secara langsung akibat daripada krisis ini?



Saya melihat sektor pelancongan merupakan industri yang sangat menerima kesan secara langsung akibat krisis tersebut. Apabila sektor pelancongan terjejas, sudah tentu industri yang berkaitan turut merasainya, seperti perhotelan dan industri kecil dan sederhana, kerana hal ini sangat berkait rapat. Selain itu, sektor hartanah juga merudum dan perkara ini sangat menakutkan kontraktor, pemaju dan juga pelabur itu sendiri. Kerana kesannya sangat besar dan risiko yang harus diharungi adalah sangat tinggi.



Apakah langkah terbaik bagi masyarakat awam melabur dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini?



Saya cadangkan agar kita membeli emas, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu nilainya semakin meningkat. Pelaburan dalam emas sangat menguntungkan ketika ini. Saya juga menasihatkan agar buat seketika jangan beli dahulu kenderaan atau hartanah dalam tempoh tiga hingga lima bulan ini. Biar keadaan ekonomi stabil dan kadar faedahnya menurun.

November 8, 2008




NOVEMBER
TO REMEMBER


Oleh Muhammad Azli Shukri



Saya terpaksa berterus-terang pada kali ini dengan perspektif yang lain daripada aliran blogger semasa, sama ada suka atau tidak, saya akan tetap berterus-terang, tentang isu yang mendominasi bulan November ini.



Bermula dengan kempen untuk merebut jawatan utama dalam parti UMNO, khususnya kerusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang hangat ketika ini, sehinggalah kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Disusuli kemunculan jutawan segera Tun Salleh Abbas dengan jumlah pampasan Ex-Gratianya yang menggoncang setiap jantung warga Malaysia. Kemudian, kita dikejutkan dengan keseriusan pemimpin UMNO untuk bekerjasama dengan BPR bagi meranapkan politik wang yang selama ini menjadi duri dalam daging kepada sebuah sistem yang tidak demokratik sifatnya dalam UMNO.



Dan tidak kurang pentingnya baru-baru ini, akhbar Watan keluaran 9-15 November menyiarkan komen bekas ahli parlimen Kuala Nerus, Datuk Ibrahim Azmi Hassan, berkenaan tidak perlu melakukan sumpah laknat bagi mana-mana calon yang sedang bertanding merebut jawatan utama dalam UMNO berhubung isu politik wang. Komen tersebut barangkali beliau utarakan setelah membaca cadangan saya dalam posting bertarikh 1 November lalu yang bertajuk Monolog Azli Shukri : Bab 11 : Bukan Salah En. Jamaluddin yang mencadangkan agar calon-calon Ketua Pemuda Malaysia melakukan sumpah laknat terhadap diri mereka sendiri, jika benar mereka tidak terlibat dengan politik wang bagi mendapatkan pencalonan dan undi.



Isu terakhir yang harus mendapat perhatian, ialah sikap dan tindak tanduk para pelopi (agen kampen) Khairy Jamaluddin (KJ) meletakkan komen dalam blog saya dengan cara yang tidak beretika, telah menimbulkan rasa kurang senang kepada para sahabat blogger yang lain. Semua cerita ini akan saya rangkumkan dalam rencana khas ini.




The Star dalam beberapa keluarannya yang lalu, seolah-olah memberi satu mesej penting kepada pemimpin-pemimpin Melayu, agar jangan terlalu sibuk memikirkan jawatan dalam parti, sebaliknya masalah ekonomi yang dijangka terus merudum pada tahun hadapan harus ditangani dengan segera dan bijaksana. Jika trend perebutan kuasa dalam UMNO terus semakin panas sehingga Mac depan, dibimbangkan, pemimpin-pemimpin negara akan leka terhadap masalah ekonomi yang memerlukan penelitian yang mendalam.




Kemenangan Barack Obama yang dianggap sebagai memberi harapan baharu kepada dunia – merupakan sebuah kepalsuan dan penipuan. Tiada apa-apa yang mampu beliau lakukan untuk dunia – Obama cuba diangkat sebagai hero untuk menyelamat ekonomi dan imej kotor AS selama ini. Tetapi, beliau tetap menemui kegagalan, kenapa? Kerana kemenangan beliau sememangnya diharapkan oleh para pelobi Yahudi untuk membuktikan kepada dunia, bahawa inilah yang pertama dan yang terakhir bagi seorang yang bukan warga kulit putih memimpin AS.




Para pelobi Yahudi bertekad mahu memastikan – semua pengkritik sistem demokrasi AS akan menutup mulut mereka selepas ini, dengan menunjukkan kepada dunia bahawa AS merupakan satu-satunya negara yang paling demokrasi sifatnya di dunia. Di samping tidak mementingkan warna kulit untuk menjadi pemimpin kepada sebuah negara sebesar AS, sebaliknya setiap rakyat bebas memilih pemimpin yang mereka suka.



Namun demikian, tanpa kita sedar tanggungjawab para pelobi Yahudi adalah memastikan kegagalan Obama sebagai Presiden AS, bahkan akan menjadi lebih zalim dan kejam daripada zaman pemerintahan Bush – semua ini bagi membuktikan kepada dunia, bahawa tiada lagi warga kulit hitam yang mampu memimpin AS untuk masa akan datang. Oleh sebab itu, untuk masa akan datang, jangan pilih Presiden AS, selain yang berkulit putih!



Barack Obama – nama yang sengaja diangkat untuk dijatuhkan seteruk-teruknya selepas ini, kerana begitulah budaya turun temurun politik AS. Obama sengaja dipilih sebagai presiden, ketika imej dan ekonomi AS dilanda masalah – semua ini tidak akan mampu dipikul oleh beliau, kegagalan sudah berada di depan mata, kerana harapan yang terlalu tinggi daripada seluruh warga dunia dan AS tidak upaya dilaksanakannya kelak.




Di sisi lain, Obama tidak akan berupaya mencantumkan antara kehendak jahat pelobi Yahudi dengan niat murni warga dunia kelas ketiga – untuk melihat dunia lebih baik dan sejahtera dalam kelas orde yang baharu – semua ini adalah khayalan – seperti khayalan yang dilukis oleh Plato dalam dunia Utopianya. Obama ialah nama lain untuk Anwar Ibrahim – seorang populis dan bukan praktikalis, nama yang sinonim pada zaman ini.



Mereka, cuba memenuhi segala hajat dan hasrat orang ramai dalam satu bakul yang mereka gelar sebagai “kehebatan kepimpinan yang ditunggu”. Tetapi, itu semua tidak akan mampu mereka lakukan - kerana tiada satu pun teori sains kemanusiaan yang mampu dicipta untuk memenuhi segala tuntutan dan kemahuan orang ramai. kedua-dua pemimpin ini akan gagal. Manusia tidak mampu disuap dengan retorik saban hari.




Obama dan Anwar - yang seorang ingin menjadi pemimpin besar dunia, yang seorang lagi ingin menjadi pemimpin akhir zaman – semua ini akan gagal, kerana mereka hanya mahu menjadi pemimpin, dan bukan mahu memimpin orang ramai ke arah kebenaran.




Obama akan tewas dalam memilih antara kehendak peribadi dengan pelobi – tersekat dan terhalang antara memenuhi impian Yahudi dengan impian indah kulit hitam yang beliau sayangi, dan lebih tragis, dalam membuat perhitungan antara Islam dengan Barat, Obama masih dipersimpangan. Begitu juga Anwar – hilang dan lenyap antara dua dunia – Islam dan Barat. Mengikut Islam bermakna mengikut al-Quran dan As-sunah – yang haram tetap haram dan yang halal tetap halal, tetapi Anwar keliru dalam semua ini.




Mengikut Barat pula adalah umpama mengikut Dramatis Agung mereka - William Shakespeare – yang sering dibangga-banggakan oleh Anwar Ibrahim dalam setiap ucapan berapi beliau, dan mendakwa telah membaca tulisan tokoh tersebut berkali-kali sewaktu di penjara. Lantaran itu, Anwar Ibrahim begitu bijak “melakonkan watak sebagai seorang yang baik” dalam drama berjudul “Aku Pemimpin Unggul”. Pemikiran Shakespeare sangat berpengaruh ke atas Anwar dan keluarganya – bagaimanakah mahu membina drama dan plot politik demi mencapai cita-citanya selama ini.




Obama dan Anwar – dua watak, satu wajah – namun akan gagal berhadapan dengan manusia yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunah. Percayalah, pada zaman Obama, konflik dan krisis yang sedia ada, akan lebih sukar untuk dipulihkan.




Rencana ini diteruskan dengan sikap dan cara kempen para pelobi KJ yang seolah-olah tersesat di hujung jalan. Cuba mencari jalan pulang, tetapi tidak ketemu, cuba untuk berkempen bagi memulihkan imej KJ – namun yang lebih jelek dan jijik ditemui. Cukup! Berkempenlah dengan cara baik dan beretika. Gunakanlah nama sebenar dan bukan nama samaran, jika anak jantan - berhujahlah dengan fakta dan bukan dengan penghinaan.




Melihat kesungguhan KJ di siaran Astro Awani – untuk membanteras politik wang – membuat semua orang ketawa dan bertanya, bagaimanakah bisa seorang pencuri menasihatkan anaknya agar jangan mencuri? Menelusuri pembacaan wawancara antara akhbar Watan dengan KJ bertarikh 2-8 November, membuat orang ramai bertanya, bagaimanakah seorang penipu seolah-olah berani mengatakan “tolong percaya apa-apa yang aku tipu ini” – KJ dengan berani mendakwa, bahawa Ketua Pemuda UMNO Malaysia haruslah dipilih bukan berdasarkan sentimen, sebaliknya atas kredibiliti dan merit.




Apa yang KJ maksudkan ini? Adakah beliau masih tidak mahu mengakui, bahawa baik sentimen mahupun merit dan kredibiliti, sesungguhnya beliau sudah pun gagal dalam kedua-dua aspek tersebut. Sentimen masyarakat terhadap KJ adalah buruk dan kotor – masyarakat yang tidak disogokkan dengan wang ringgit, melihat KJ adalah ibu segala kerosakan yang pernah wujud dalam UMNO. Jadi bagaimanakah beliau ingin menarik minat generasi muda agar kembali kepada UMNO? Jika itu sentimen yang berlegar dalam kota minda mereka?




Dari segi merit dan kredibiliti, terbukti KJ sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, telah gagal – semua program yang beliau lancarkan selama ini menemui kegagalan – MyTeam – gagal, Dampingi Mat Rempit – gagal, Pengerusi Forum Halal – gagal, Timbalan Presiden FAM – gagal, Mengurangkan Pengangguran dalam Kalangan Siswazah – gagal, Suka Melabelkan Orang Lain dengan Perkataan seperti – Beruk (sehingga Tun Mahathir berkecil hati) – juga satu kegagalan. Semua ini melengkapkan ramuan bahawa “KJ Pemimpin yang Gagal” tidak cukupkah dengan segala bukti yang nyata dan lagi terang ini?




KJ, sesungguhnya sudah diberi peluang dan ruang untuk naik mencanak ke puncak kuasa dengan cepat dan pantas – tetapi peluang itu beliau sia-siakan. Beliau merupakan pemimpin muda yang gagal dan hanya berupaya bermegah dengan kelulusan ijazah Oxfordnya. Baik sentimen mahupun merit – beliau telah gagal. Terimalah hakikat ini. Tidak perlu untuk berdebat - rekod kerja KJ telah gagal di kaca mata masyarakat, tak cukup lagi ke? Tiada guna saudara KJ petah berdebat, tetapi gagal buat kerja - umpama Anwar Ibrahim. Idea yang banyak sekali pun tetapi tidak memberi manfaat kepada orang lain, hanyalah sia-sia. KJ - banyak idea tetapi tidak memberi manfaat kepada akar umbi. Kita mahu pemimpin muda yang menjauhi maksiat dan tegas bercakap perkara yang hak, walaupun pedas, seperti Mukhriz.



Antara dosa KJ yang sukar diampunkan oleh masyarakat, ialah beliau merupakan insan yang bertanggungjawab merosakkan imej dan peribadi Pak Lah, dengan pelbagai skandal dan campur tangan dalam hal-hal yang tidak sepatutnya beliau lakukan. Malah, slogan kempen KJ yang berbunyi "Setiakawan" boleh dipersoalkan - kenapa sekarang baru bercakap soal persahabatan dan setiakawan? benarkah KJ memahami takrif setiakawan? apakah dengan memburuk-burukkan nama calon yang lain itu dikatakan sebagai setiakawan? apakah dengan melukis wajah Mukhriz dengan hodoh dan menggelarkan beliau sebagai Mickey Mukh itu merupakan aspirasi setiakawan? bagaimanakah pula semangat setiakawan KJ dengan Reezal Merican Naina Merican? masih berkawan atau bermusuh? tidak semua orang boleh ditipu. Apakah ini setiakawan yang ditakrif oleh KJ?




Melihat Gambar KJ di Heritage Mansion, Jalan Kemunting off Jalan Doraisamy, KL, pada bulan Jun lalu, sangat memalukan. Dikelilingi dengan gadis dan botol arak, hanya mengundang fitnah kepada beliau – apakah KJ tidak sedar? Semua penyokong-penyokong KJ harus insaf dan bertaubat, bahawa tuan-tuan telah memilih jalan yang salah untuk mengembalikan imej UMNO yang telah kotor di mata masyarakat.



Jika saya diberi pilihan – KJ seharusnya mempertahankan jawatan naib ketua sahaja dan bukan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, kerana apa? Kerana, sama ada KJ tewas atau pun menang dalam perebutan Ketua Pemuda UMNO Malaysia kelak – beliau tetap dikira sebagai orang gagal, bersalah dan berdosa.




Jika KJ menang sekali pun – beliau akan tetap dikenang sebagai seorang calon pemuda UMNO underdog yang menang dengan menggunakan unsur-unsur lain untuk berkuasa. Dan Jika ditakdirkan juga beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia – bermakna fitnah besar bakal menjalar di tengah-tengah masyarakat. Namanya sudah tentu dikaitkan dengan politik wang dan tipu daya yang sangat dahsyat. Lantaran itu, jika semua ahli-ahli pemuda UMNO sayangkan UMNO dan masa hadapannya – maka segera berganding bahu tumpaskan KJ – yakni sebuah pintu fitnah yang perlu ditutup untuk selama-lamanya! Bertaubatlah sebelum Allah menghancurkan UMNO kerana kesilapan kita memilih pemimpin. Cukuplah dengan apa-apa yang berlaku ke atas Pak Lah selama ini. Wallahualam.

November 5, 2008


MENCARI
KEBENARAN


Oleh Muhammad Azli Shukri


Saya agak kecewa, apabila terdapat pihak yang mendakwa bahawa “politik wang” bukanlah rasuah, sebaliknya “politik wang” merupakan duit kopi, atau duit ehsan daripada seseorang ahli politik yang “baik hati” yang diberikan kepada para pengikutnya, demi perjuangan untuk mengejar sesuatu jawatan dalam parti. Lantaran itu, para ahli politik yang mengejar jawatan ini telah “menabur” sebanyak mungkin wang di bahagian-bahagian UMNO seluruh Malaysia demi memastikan nama mereka dicalonkan bagi melepasi syarat kuota yang ditetapkan.



Mendakwa bahawa “politik wang” bukanlah satu bentuk rasuah, merupakan pembohongan dan penipuan terhadap kebenaran dan menafikan larangan Allah berhubung isu tersebut. “Politik wang” yang diketahui umum, merupakan sogokan dan pemberian wang tunai kepada seseorang, agar orang tersebut mengundi atau menyokongnya untuk mendapatkan sesuatu jawatan. Dengan kata lain, “politik wang” ialah istilah bagi perlakuan menggunakan wang ringgit dalam pertandingan atau dalam mempengaruhi seseorang ahli atau perwakilan, bagi meraih sokongan terhadap seseorang calon yang bertanding merebut jawatan yang dipertandingkan.



Secara mudah, wang tunai diberikan kepada pengundi bagi mendorong mereka mengundi calon berkenaan. Selain wang, pemberian berbentuk hadiah, barangan seperti kain pelekat / kain batik, dan pemberian tender atau kontrak tertentu jika bertujuan mempengaruhi pengundi, juga digolongkan sebagai politik wang.



Dengan kata mudah, “politik wang” ialah rasuah politik. Itu sahaja. Persoalan sama ada seseorang yang sudah menerima wang tersebut akan mengundi si pemberi atau tidak, itu soal lain. Namun demikian, si penerima tadi tetap dianggap sebagai penerima rasuah, tanpa ragu. Hukum tetap jatuh, sekalipun orang tersebut mendakwa bahawa beliau tidak mengundi si pemberi rasuah itu.



Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, dan tidak terbatas kepada penyogokan wang ringgit semata-mata. Malah, kadangkala rasuah berlaku secara terhormat dan terang-terangan, umpamanya, seorang calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia menaja kos melancong bagi Ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian ke luar negara kerana sesuatu tujuan peribadi, seperti sedang berkempen untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada Mac depan, termasuk juga sebagai rasuah. Contoh lain, seperti seorang klien sengaja mengalahkan diri dalam sesuatu perlawanan kerana mahu menjaga hubungan perniagaannya, turut dianggap rasuah. Seorang pelajar, menghadiahkan sesuatu kepada gurunya kerana mahu mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan turut dimasukkan dalam jenis-jenis rasuah. Banyak lagi perlakuan rasuah yang berlaku secara terselindung dan terhormat. Semua ini tetap haram dan berdosa. Tiada keraguan lagi.



Rasuah mempunyai definisi yang sangat luas dan tidak terbatas kepada pemberian berupa wang, hadiah atau sebagainya kepada seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu pulangan, atau habuan untuk kepentingan peribadi atau kelompoknya dengan mudah. Rasuah turut merangkumi aspek motif dan hubungan interpersonal, strategi dan wawasan, perundangan dan keagamaan. Dari segi motif misalnya, seseorang dianggap melakukan rasuah jika motifnya ketika melakukan sesuatu pekerjaan diselitkan dengan kepentingan peribadi atau kelompok.



Jelas, “politik wang” merupakan nama lain bagi rasuah – demi menghalalkan perbuatan kotor tersebut. Dengan kata lain, “politik wang” merupakan perilaku mungkar manusia yang nipis iman dan akhlaknya, demi mengejar jawatan dalam politik serta mengikut dorongan syaitan dan hawa nafsu bagi memenuhi kepentingan diri dan mendapatkan jawatan dengan mudah.



Maka, “politik wang” merupakan jalan seseorang dalam usaha mendapatkan jawatan dalam sesuatu badan politik dengan cara yang batil dan zalim. Al-Quran jelas melarang umat Islam daripada mengambil atau menerima sesuatu secara batil seperti firman Allah dalam surah al-Nisa’ (4:29) yang berbunyi:


“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu."



Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang berbunyi, “Sesuatu yang haram diambil (diterima) haram juga diberi.” Kaedah ini menjelaskan hukum haram menerima dan memberi rasuah.



Membanteras “politik wang” dalam UMNO merupakan suatu jihad bagi setiap ahli-ahli UMNO yang ikhlas berjuang demi agama, bangsa dan negaranya. Jatuh berdosa jika tiada ahli UMNO yang menggerakkan perjuangan untuk membanteras kebejatan tersebut. Abu Hurairah meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:


“Rasulullah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya dalam suatu hukuman.” (Riwayat Al-Tarmizi).



Apabila Rasulullah menggunakan perkataan “melaknat” maka hukumnya adalah haram. Itu adalah jelas. Malah, dengan lebih tepat Allah mengharamkan perbuatan rasuah dalam surah al-Baqarah (2:188) yang berbunyi:



“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”


Para mufassir mengkategorikan takrif memakan harta secara batil itu kepada beberapa cara, iaitu :


1. Memakannya secara riba


2. Mengambilnya dengan cara yang tidak benar seperti menipu, rasuah, mencuri dan sebagainya.


3. Melakukan sesuatu penjualan dan pembelian dengan cara yang cepat dan tergopoh-gapah sehingga melahirkan rasa penyesalan dan tidak puas hati bagi pihak yang berakad.


Jelas, sesungguhnya “politik wang” adalah sama dengan rasuah. Hukumannya juga adalah jelas, yakni haram. Semua ahli politik yang menerima dan memakan makanan hasil daripada “politik wang” adalah sah dianggap sebagai penerima duit haram. Dan nabi bersabda,


“Wahai Ka’ab bin Ajrah, sesungguhnya tidak akan masuk syurga daging (anggota badan) yang tumbuh daripada suht (haram).” (Riwayat Al-Darimiy).



Lantaran itu, mana-mana ahli UMNO yang memberi rasuah untuk mendapatkan sesuatu jawatan merupakan manusia yang dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya. Oleh sebab itu, semua ahli UMNO wajib menolak “politik wang” jika tidak mahu musibah dan bala Allah turun kepada mereka. Sesungguhnya, saya telah menyampaikan apa-apa yang telah saya ketahui, terpulanglah kepada para pembaca untuk menerima atau pun tidak. Yang hak dan batil itu sangat jelas dan terang, dan mengapa kita masih memilih jalan untuk ke neraka? Wallahulam.

November 1, 2008


MONOLOG AZLI SHUKRI
Bab 11 : Bukan Salah En. Jamaluddin



Saya sebenarnya malas untuk mengulas isu debat yang dilaung-laungkan oleh Khairy Jamaluddin (KJ) sejak cadangan tersebut beliau utarakan di media massa. Pada hemat saya, berdebat untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, seperti yang disarankan oleh beliau hanyalah sia-sia, dan sama sekali tidak akan mencapai objektif yang diharapkan.



Sebelum kita pergi jauh, sebab musabab mengapa saya tidak bersetuju dengan debat ini haruslah diketahui terlebih dahulu dan kemudian kita bisa menganalisisnya secara jujur. kita harus tahu apakah matlamat utama debat yang begitu diminati oleh KJ ini? selepas mengetahui matlamatnya, barulah dibincangkan apakah debat tersebut mampu mengukuhkan UMNO dan menarik minat orang muda kembali kepada UMNO, jika tidak, lupakan sahaja. Orang luar daripada UMNO tidak tahu apakah kesan debat ini terhadap imej dan nama UMNO itu sendiri. Mereka mungkin menyokong agar debat calon-calon ketua Pemuda UMNO Malaysia segera diadakan kerana ia adalah relevan dan kena pada masanya.



Menurut pandangan masyarakat luar, perdebatan yang ingin dilakukan nanti adalah sama dengan debat antara Anwar Ibrahim dengan Ahmad Shabery Cheek, itu merupakan pandangan yang salah. Debat Anwar dengan Shabery, adalah debat daripada parti yang berbeza, dan masing-masing ingin menonjolkan kekuatan idealisme parti masing-masing dan bukan individu semata-mata.



Hal ini sangat berbeza dengan debat yang sangat diinginkan oleh KJ, debat sesama ahli parti, akan mengundang kehancuran jika disiarkan secara umum, segala keburukan dan kelemahan pendebat akan terserlah dan memburukkan lagi nama UMNO di mata rakyat. KJ merasakan bahawa dengan menggunakan kehebatan beliau untuk berdebat, ia bisa mengembalikan kekuatan dan imejnya yang semakin dibenci oleh rakyat. Malah, pada sangkaan KJ, dengan mengikut langkah Anwar Ibrahim yang berani berdebat, maka beliau akan dapat membina semula sokongan ahli-ahli UMNO kepadanya, andaian tersebut juga itu adalah salah!



Masalah yang sedang dihadapi pemuda UMNO pada ketika ini, ialah rakyat dan generasi muda sangat membenci KJ! Bukan masalah debat atau siapakah yang petah berkata-kata, jika KJ berani untuk berdebat, tidak perlu jemput Mukhriz atau Khir Toyo untuk berkata yang hak dan benar, cukuplah jika KJ sanggup bersumpah dengan nama Allah bagi membuktikan bahawa beliau sama sekali tidak terlibat dalam menggunakan wang untuk mendapatkan pencalonan daripada mana-mana Ketua Pemuda UMNO bahagian.



Dengan cara ini sahaja nama beliau akan bersih kembali, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu, dan kepada semua calon-calon Ketua Pemuda UMNO yang lain juga disarankan agar bersumpah bahawa mereka tidak menggunakan wang untuk meraih sokongan akar umbi, adakah semuanya berani? Khususnya KJ? Tidak perlu untuk berdebat, jika KJ berdebat dengan saya pun, belum tentu beliau boleh menang, kerana saya percaya beliau merupakan pintu fitnah paling besar yang pernah wujud dalam sejarah pemuda UMNO Malaysia. Apakah penyokong-penyokong KJ masih buta mata hati dalam melihat semua ini?



Memilih KJ sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, bermakna memendekkan hayat UMNO, sangat jelas bagaimana rakyat Kelantan membenci dan menolak beliau gara-gara mulutnya yang sangat celupar untuk meranapkan politik PAS di sana, beginikah pemimpin yang ingin kita lantik? Rakyat sangat membenci KJ, adakah kita faham atau tidak, masalah utama ini? Adakah penyokong-penyokong KJ tahu atau tidak, bahawa rakyat biasa yang tidak diberi rasuah, sangat membenci KJ dan sama sekali tidak akan menyokong UMNO jika KJ menjadi Ketua Pemudanya kelak?



UMNO akan lenyap dalam satu lagi pilihan raya, jika orang yang dibenci oleh masyarakat menjadi pemimpin utamanya, adakah kita faham masalah ini wahai para penyokong KJ? Kalau sudah faham masalah ini, mengapa KJ disokong lagi? berapa habuan yang saudara-saudara semua dapat? Apakah dengan cara penipuan yang saudara-saudara lakukan seperti pemilihan di Kuala Kangsar itu merupakan kehendak akar umbi?



Saya bukan membenci KJ dan menyokong Mukhriz membuta tuli, tetapi saya marah dan kecewa apabila KJ tidak sedar diri. Beliau harus faham bahawa dirinya dibenci dan dicaci oleh masyarakat! Jadi bagaimanakah beliau mampu memimpin Pemuda UMNO Malaysia ke arah yang lebih baik? KJ harus menerima hakikat ini semua.



Insaflah, bahawa nama saudara sudah pun menjadi fitnah besar dalam masyarakat. Cukuplah dengan apa-apa yang telah saudara peroleh selama menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, semua orang tahu, dan tidak semua orang boleh ditipu. Jika saudara sayangkan UMNO, maka berehatlah dahulu daripada politik UMNO.



Bagi penyokong KJ, tuan-tuan sebenarnya tiada hujah untuk membelanya, atas alasan apa-apa pun hujah tuan-tuan boleh dipatahkan dengan mudah. Pada hari ini, kita bukan hanya ingin mencari pemimpin yang pandai berhujah semata-mata, tetapi lebih jauh daripada itu, kita mencari pemimpin pemuda yang diterima rakyat dan tidak mempunyai pelbagai skandal. Sekarang, apabila KJ mendakwa bahawa jumlah pencalonan bukanlah bermakna seseorang itu boleh menang dan menggambarkan jumlah undi yang akan diterimanya kelak, maka apakah maksud gerangannya semua ini? Apakah KJ berpandangan bahawa terdapat unsur-unsur lain yang mampu mempengaruhi perwakilan di saat-saat akhir untuk menodai amanah bahagian masing-masing? Apakah wang menjadi pertaruhannya? Semua ini perlu dijawab oleh KJ.



Saya, terfikir bahawa terdapat enam perkara untuk memastikan ketelusan dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada bulan Mac depan, antaranya adalah :


1. Semua calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia harus melakukan sumpah laknat terhadap diri mereka sendiri bahawa mereka sama sekali tidak memberikan rasuah kepada mana-mana Ketua Pemuda UMNO Bahagian atau perwakilan dalam usaha mendapatkan pencalonan dan pengundian.



2. Kaedah pengundian dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO harus dilakukan dengan kaedah angkat tangan, dan bukan lagi dengan cara pengundian dalam kertas undi. Hal ini bertujuan agar membuka topeng para perwakilan yang bersifat talam dua muka atau sebaliknya. Lagi pun dengan cara ini pengundian akan lebih bersifat telus dan keputusan tidak akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu.



3. Teliti dan semak telefon bimbit semua calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, melalui panggilan dan SMS yang mereka berikan, apakah terdapat SMS atau panggilan berunsur rasuah atau sebaliknya. Dengan cara ini, mudah bagi kita mengenal pasti mana-mana calon yang cuba membeli para perwakilan atau Ketua Pemuda Bahagian. Tidak lupa juga, diteliti dan disemak telefon bimbit (SMS dan panggilan) pegawai-pegawai kanan bagi setiap calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, jika mereka terlibat menjadi “orang tengah” dalam urus niaga “politik wang” dengan mana-mana perwakilan atau Ketua Pemuda UMNO Bahagian.



4. Selidik dan teliti berapakah kekayaan yang dimiliki semua calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang ingin bertanding dan perhatikan duit keluar masuk mereka dalam akaun bank, jika terdapat keraguan mereka harus dipanggil dan diminta penjelasan. Tidak lupa juga kepada semua orang kanan mereka yang perlu juga disiasat akaun banknya dan jumlah kekayaan yang mereka ada. Jika kekayaan mereka melampaui daripada logik pendapatan mereka, maka mereka juga harus dipanggil dan diminta penjelasan.




5. Dalam waktu berkempen ini, siasat pergerakan dan perjalanan semua calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dengan siapakah mereka berjumpa, di manakah perjumpaan tersebut, dan apakah tujuannya, jika terdapat hal yang meragukan, panggil mereka untuk diminta penjelasan. Lembaga Disiplin UMNO harus jujur dalam menjalankan amanah ini.




6. Bagi perwakilan yang masih ragu mana satukah Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang hendak dipilih, maka saya syorkan agar sama-sama kita lakukan Solat Istikharah, minta petunjuk Allah, sebelum kita mengundi. Biarlah kita mengundi dengan ikhlas dan jujur demi agama, bangsa dan negara.



Melihat gambar KJ di Heritage Mansion, Jalan Kemunting off Jalan Doraisamy, KL, pada bulan Jun, lebih kurang hari Khamis 17 hari bulan, dan antara pukul 10:00 malam hingga 2:00 pagi di http://the-antics-of-husin-lempoyang.blogspot.com/ sangat mengecewakan saya, bukan kerana gambar tersebut, tetapi sikap KJ yang tidak faham-faham bahawa batang tubuhnya adalah fitnah kepada masyarakat dan UMNO, tetapi masih ingin merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Gambar tersebut sudah cukup menggiris dan melukakan hati ahli-ahli UMNO yang percaya, bahawa selama ini beliau begitu bersih dan baik.



Adalah mustahil, bagi seorang yang mempunyai ramai musuh mampu mentadbir pergerakan pemuda UMNO Malaysia dengan cemerlang dan berjaya. KJ – nama yang mempunyai ramai musuh, sama ada dalam kalangan pemuda UMNO sendiri, mahu pun dalam komponen BN. Malah, dalam kalangan masyarakat Cina dan India pun, tidak menyenangi tindak tanduk beliau selama ini. Jadi, masihkah kita mahu memilih orang seperti ini sebagai ketua?



Saya mengingati kepada mana-mana perwakilan dan Ketua-ketua Pemuda UMNO bahagian yang menerima suapan atau rasuah, baliklah ke rumah dan renung wajah anak dan isteri tuan-tuan, apakah tuan-tuan sanggup menyuapkan makanan yang kotor dan jijik ke dalam mulut mereka lantaran tuan-tuan menerima duit haram melalui politik? Tubuh badan yang tumbuh melalui duit haram, neraka adalah tempat terbaik baginya. Ingatlah, kerana RM400 atau RM500 yang tuan-tuan terima itu, tuan-tuan telah menyediakan kawah api yang panas menyala untuk seisi keluarga tuan-tuan! Ingat yang haram tetap haram, tiada jalan untuk menghalalkannya. Politik wang tetap haram dan berdosa, tuan-tuan yang telah menerimanya, maka tanggunglah azabnya, bagi mereka yang menerima, meminta dan yang memberi tunggulah bala yang akan tuan-tuan terima di usia tua, kerana azab Allah itu amat pedih dan sakit untuk dibayangkan.



“Ya Allah, Tuhan yang Maha Besar dan Agung, Tuhan yang Memegang Kekuasaan di Dunia dan di Langit, Tuhan Sekalian Alam, Aku Memohon dan Merayu Kepada-MU, Dengan Kebesaran-MU, maka Engkau Laknat dan Berikanlah Azab yang Pedih di Dunia Lagi kepada Mana-mana Pemimpin UMNO yang Memberikan Rasuah untuk mendapatkan Kuasa dan Pangkat, Sesungguhnya hanya Engkau sahaja yang Mampu Membersihkan Kembali UMNO yang semakin rosak dengan budaya politik wang."



“Ya Allah, Jika Khairy Jamaluddin Itu Tidak Baik untuk UMNO dan Negara, Maka Engkau Jauhilah Beliau daripada Kami, Engkau Berikanlah Petunjuk kepada Kami dalam Memilih Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang Terbaik, Agar Pemimpin yang Kami Pilih Kelak, Berupaya Memegang Amanah yang Berat Itu demi Menguatkan Agama, Bangsa dan Negara.” Amin Ya Rabbul A'lamin.



Yang jelas, fitnah Khairy Jamaluddin yang sangat dahsyat ke atas UMNO, bukanlah salah ibu yang mengandung, dan lebih tepat lagi, bukanlah salah ayah KJ, iaitu En Jamaluddin kerana tidak memberikan pendidikan yang sempurna kepada beliau, tetapi semua yang berlaku atas nama KJ selama ini, adalah salah dirinya sendiri!