



MURID TERAKHIR
TUN DAIM
Artikel saya pada 10 Ogos 2008 dalam blog ini bertajuk “Belajar daripada Guru”, saya turut menyarankan kepada pihak kerajaan, agar tambatan ringgit yang pernah diperkenalkan oleh kerajaan ketika krisis kewangan melanda Asia pada tahun 1997 dilaksanakan semula. Pemerhatian tersebut adalah berasaskan bahawa rejim kapitalis dunia, sama sekali tidak akan mengubah paradigma sistem kewangan dunia yang lebih berorientasikan kepada keuntungan berlipat kali ganda. Sesungguhnya, tiada kejujuran langsung dalam kalangan pemain-pemain ekonomi global terhadap apa yang sering diistilahkan oleh mereka sebagai “Win-Win Situation”. Setiap segmentasi ekonomi dunia, tiada kata-kata manis bahawa setiap negara akan mendapat manfaat daripada sistem yang diamalkan oleh rejim kapitalis tersebut selama ini.
Apabila kita mengamalkan sistem kewangan dan ekonomi yang berasaskan kepada “pelindungan” sejak lahirnya Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970, semangat tersebut diteruskan oleh Tun Mahathir Mohamad dalam konteks yang lebih luas. Tidak sekadar melaksanakannya dalam ekonomi domestik semata-mata, bahkan setiap langkah fisikal yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah ekonomi negara pasti mengambil kira semangat dan “roh” DEB tersebut.
Apabila ekonomi Malaysia meleset pada awal tahun 1985, Tun Daim Zainuddin baru sahaja memegang jawatan Menteri Kewangan sekitar empat bulan menggantikan tempat Tengku Razaleigh Hamzah. Masalah yang berpunca daripada kejatuhan harga komoditi utama dunia ketika itu turut mengakibatkan negara berhadapan dengan masalah kewangan, kerana Malaysia ketika itu masih bergantung pada sektor pertanian dan barang komoditi utama dunia. Selain daripada memotong gaji para menteri, Tun Daim juga melaksanakan dasar yang sangat ketat terhadap belanjawan negara, agar wang yang sedia ada digunakan untuk perkara yang berfaedah dan bersesuaian dengan produktiviti. Semua ini membawa kejayaan, walaupun Tun Daim dicemuh kononnya beliau merupakan seorang yang “kedekut” dalam menguruskan kewangan negara. Tetapi, memang benar kata pepatah, yang pahit selalunya adalah ubat.
Pada tahun 1984, pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah negatif 1.1 peratus, dan menjadi 8.9 peratus lima tahun kemudian. Semua ini adalah formula Tun Daim yang dikatakan bercanggah dengan teori ekonomi biasa. Pembinaan lebuh raya dalam keadaan ekonomi negara sedang gawat ketika itu turut membuktikan bahawa kerajaan melaksanakan pemikiran di luar kotak – yakni melancarkan pergerakan ekonomi domestik dengan meningkatkan infrastruktur jalan raya agar perniagaan domestik cepat berkembang dengan kos dan masa yang menjimatkan. Semua ini akan merancakkan kembali ekonomi dalam negeri agar lebih berdaya tahan.
Sekali lagi, ekonomi Malaysia menghadapi masalah. Pada bulan Jun 1997 mata wang bath Thai diserang oleh spekulator dan manipulator mata wang antarabangsa dan kemudian menjalar ke seluruh Asia. Hal ini menimbulkan panik dalam kalangan pelabur, memandangkan pelaburan mereka walaupun dalam stok dan syer hartanah telah jatuh dengan banyak. Keadaan bertambah buruk, apabila pihak berkuasa kewangan ketika itu (Anwar Ibrahim) menaikkan kadar faedah dan mengurangkan kredit. Sekali gus menimbulkan putaran ganas (vicious cycle) yang amat menakutkan terhadap ekonomi domestik Malaysia.
Akhirnya, dua insan ini iaitu Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dipanggil oleh Tun Mahathir untuk bersama-sama dengan beliau menangani krisis kewangan yang telah merosakkan ekonomi negara. Kekuatan manipulator dan spekulator ketika itu adalah berasaskan kepada keupayaan mereka meminjam ringgit tanpa had bagi tujuan jualan singkat (short Selling) dan rejim kadar tukaran apungan. Dua langkah segera kerajaan ketika itu ialah memberhentikan amalan membenarkan bukan pemastautin untuk meminjam ringgit bagi tujuan singkat.
Hal ini serta-merta mengurangkan jumlah ringgit dalam genggaman spekulator dan kedua kerajaan telah menukar rejim mata wang apungan kepada rejim kadar tetap. Dengan dua kaedah tersebut, ia menjadi instrumen kewangan inovatif yang sangat signifikan demi menstabilkan kewangan negara. Krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997 itu adalah kompleks, tetapi tidak sekompleks krisis ekonomi yang sedang berlaku pada hari ini.
Krisis ekonomi yang berlaku ketika ini merupakan susulan daripada krisis subprima di Amerika Syarikat yang menjalar menjadi krisis kewangan. Selain daripada itu, kenaikan harga minyak, masalah makanan dan kejatuhan nilai dolar – memungkinkan dunia sedang menuju ke arah kemelesetan ekonomi yang paling buruk dalam sejarahnya. Dan jauh daripada itu, apakah ini merupakan tanda-tanda awal kehancuran ekonomi kapitalis yang sudah lengkap putaran hayatnya?
Berbalik kepada krisis ekonomi yang sedang melanda negara ketika ini – kenaikan harga minyak, inflasi yang tidak turun-turun, pengangguran, masalah makanan dan kebejatan dalam kewangan negara telah menyaksikan Tun Mahathir kembali memberikan cadangannya agar melaksanakan semula – rejim kadar tetap (tambatan ringgit) yang pernah dilaksanakan dahulu. Cadangan Tun Mahathir itu disokong oleh Tan Sri Nor Yakcop dan Tan Sri Muhyiddin Yasin. Walaupun kaedah ini telah digunakan 10 tahun yang lalu, tetapi kerelevanannya masih ada.
Sekarang, rejim kewangan kapitalis dunia, seperti Federal Reserve dan IMF begitu rancak membantu dan menyelamatkan (bail out) bank-bank yang muflis, syarikat-syarikat hartanah besar dan pelbagai lagi perniagaan di Amerika Syarikat. Hampir AS$500 bilion ditaburkan oleh Federal Reserve bagi tujuan menyelamat. Dahulu, mereka inilah yang menghalang kerajaan Malaysia daripada menyelamatkan syarikat-syarikat di negara ini. Sekarang, keadaan sudah terbalik. Anwar Ibrahim pun sama, tiada idea bernas pun yang kedengaran daripadanya bagi menyelamatkan ekonomi negara. Tidak habis-habis dengan retorik kosong dan mengharu birukan ekonomi negara. Pemimpin seperti ini tidak diperlukan oleh negara. Tiada idealisme dan pragmatisme dalam ucapan-ucapannya.
Tun Mahathir turut menunjukkan kebingungan terhadap Federal Reserve yang memiliki begitu banyak wang sehingga mampu menyelamatkan berpuluh-puluh bank yang hampir muflis dan organisasi perniagaan besar lain. Di manakah mereka mendapat duit? Semua ini menimbulkan sangkaan bahawa rejim kewangan kapitalis dunia mempunyai agenda yang tersendiri, dan golongan ini jugalah yang bersahabat baik dengan Anwar Ibrahim yang dipuji dan dipuja oleh penyokong-penyokong PKR sekarang.
Sekarang bagaimanakah kita ingin menyelesaikan krisis ekonomi yang begitu kompleks sifatnya ini? krisis ekonomi yang sedang melanda dunia kini, tidak lagi seperti tahun 1985 dan 1997 – ia jauh berbeza, bahkan mungkin hampir sama dengan bencana ekonomi pada tahun 1930 yang meranapkan Bursa Saham Wall Street, atau lebih jauh daripada itu.
Menghadapi krisis ekonomi yang melanda dunia dan sudah tentu kesannya juga terkena kepada Malaysia – Najib Tun Razak harus bijak. Tidak boleh lagi main-main. Sebagai Menteri Kewangan yang baharu, Najib perlu membaca kitaran dan analisis ekonomi dunia dengan pantas, serta menghidu peluang untuk menang, di samping berfikir di luar kotak. Tidak boleh sama sekali Najib berfikir seperti mana ahli ekonomi berfikir. Ia akan menemui kegagalan. Soalnya bagaimanakah hendak berfikir di luar kota? Seperti mana yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir dan Tun Daim?
Jawapannya, Najib perlu memahami MegaStructure ekonomi dunia. Daripada “struktur besar ekonomi dunia itu” akan terselit jalan penyelesaian, seperti mana yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir dan Tun Daim. Saya percaya Najib mampu melakukannya. Dengan nasihat Tan Sri Nor Yakcop dan Tun Mahathir, cabaran ekonomi mampu diatasi. Kesabaran adalah kuncinya.
Saya juga mempunyai sedikit pandangan tentang langkah untuk mengatasi krisis ekonomi yang lembap di negara ini. Moga-moga ia berguna dan memberi manfaat kepada negara. Sebagai rakyat, saya kira kita wajib membantu kerajaan dalam menangani krisis ekonomi yang sedang melanda negara dan dunia. Tidak kira apa-apa parti yang kita sertai, kebajikan negara dan rakyat harus kita utamakan. Berikanlah nasihat yang baik dan bukan demonstrasi ala-Anwar Ibrahim.
Cadangan saya :
1. Menukar kembali daripada rejim kadar apungan kepada rejim kadar tetap. Agar ringgit lebih stabil dan mudah dilindungi. Cadangan apungan ialah RM3.30 bagi setiap AS$1(seperti saranan Tun Mahathir).
2. Suntik kecairan dalam pasaran kewangan, agar rakyat berbelanja dan tidak menyimpan semata-mata.
3. Mengukuhkan asas-asas ekonomi negara dengan mengamalkan dasar kewangan yang sesuai – gaji menteri-menteri dan ahli parlimen harus dipotong 10-15 peratus. Menstabilkan inflasi, meningkatkan pelaburan dan meningkatkan produktiviti.
4. Memulihkan terlebih dahulu industri yang terjejas teruk seperti sektor hartanah, automotif dan pembinaan.
5. Menstabilkan pasaran kewangan dengan melakukan penggabungan bank dan institusi kewangan lain – agar institusi kewangan negara lebih kukuh.
6. Menstrukturkan semula hutang-hutang korporat, agar organisasi perniagaan mampu bernafas dan bangkit kembali.
7. Meningkatkan simpanan antarabangsa Malaysia.
8. Mengadakan polisi baharu yang berkaitan dengan pinjaman luar yang dilakukan oleh organisasi korporat Malaysia dengan institusi kewangan luar negara.
9. Menghapuskan semua kadar faedah pinjaman PTPTN, dan bayaran balik minimum ialah RM100 sebulan. Hal ini bertujuan agar pelajar yang telah tamat belajar tidak mengharap kerja makan gaji untuk menampung keperluan hidup mereka termasuk membayar balik pinjaman PTPTN yang tinggi. Biar mereka berfikir bahawa mereka tidak mempunyai beban yang besar selepas tamat pengajian, sebaliknya mereka akan menjadi manusia yang tidak memilih kerja dan tangga gaji. Hal ini penting kerana pelajar lepasan universiti mempunyai semangat kerja yang tinggi dan tahap produktiviti yang mantap, jadi jangan bebankan mereka dengan hutang pinjaman belajar yang menghalang mereka daripada berdikari dengan tidak memilih apa-apa kerja. Kebanyakan pelajar lepasan universiti tidak mahu menerima bayaran gaji RM500 adalah kerana, mereka memikirkan beban hutang PTPTN dan kos hidup yang tinggi. Daripada mendapat letih dan sekadar membayar hutang kembali, lebih baik mereka menganggur dan duduk di kampung sahaja. Jadi, pinjaman PTPTN harus disemak kembali, bagi mengurangkan masalah penganggurnya dan kehilangan sumber tenaga muda.
10. Melaksanakan langkah berjimat cermat dalam sektor awam.
11. Beri tumpuan kepada sektor perkhidmatan, teknologi maklumat dan makanan – kerana industri ini merupakan kekuatan ekonomi Malaysia.
12. Menjalankan promosi besar-besaran terhadap penggunaan produk perbankan Islam yang jelas sentiasa relevan dalam semua keadaan. Pihak kerajaan harus bermula terlebih dahulu.
13. Meningkatkan kutipan zakat. Zakat penting khususnya dalam keadaan ekonomi yang terumbang ambing. Jurang antara golongan miskin dengan kaya tidak harus terlalu jauh. Dan zakat mampu mengatasi masalah tersebut.
14. Memantau fungsi perniagaan utama sektor korporat. Kerajaan harus tegas dengan menasihati badan-badan korporat yang berjaya, agar menumpukan perhatian terhadap aktiviti teras perniagaan mereka dan bukan menggunakan lebihan pendapatan yang mereka ada dengan melabur dalam aktiviti perniagaan sampingan yang tidak ada kaitan dengan perniagaan teras mereka. Hal ini dibimbangi kerana aktiviti sampingan tersebut bukanlah termasuk dalam kepakaran asas perniagaan mereka, yang akhirnya mendedahkan seluruh perniagaan mereka kepada kerugian – kerana faktor tamak dan ingin cepat untung, di samping tidak mempunyai kepakaran dalam selok-belok perniagaan sampingan tersebut.
15. Menggalakkan sektor swasta dan awam dalam melahirkan inovasi baharu, agar produk yang dilahirkan lebih berdaya saing dan menggalakkan peniaga-peniaga tempatan meneroka pasaran baharu, seperti di Afrika dan Timur Tengah.
Semoga cadangan saya ini dipertimbangkan oleh pihak kerajaan dalam usaha mencari jalan penyelesaian krisis ekonomi yang sedang melanda dunia dan Malaysia. Kepada Allah jua kita berserah moga ikhtiar kita berjaya. Dan untuk Datuk Seri Najib Tun Razak, selamat menjalankan tugas baharu!