Tetamu Kehormat...

August 31, 2008


MONOLOG AZLI SHUKRI
Bab 2 : Buih-Buih Masa Hadapan



Setelah jurnal Foreign Affairs menerbitkan rencana “Pertembungan Tamadun?” tulisan tokoh sains politik masyhur dunia, Samuel P.Huntington pada musim panas 1993, rencana tersebut telah menimbulkan keresahan dan kegelisahan baru terhadap masyarakat dunia. The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order buku kontroversi Huntington adalah lahir daripada respons mereka terhadap rencana beliau tersebut.


Huntington berpendapat, pola politik global selepas tamat perang dingin akan lebih berpaksi pada jati diri dan disusun kembali mengikut garis budaya, tamadun dan keetnikan sesuatu kaum. Masing-masing kaum ingin tetap mengekalkan jati diri budaya dan jati diri tamadun mereka sendiri. Dan sebuah tamadun sejagat yang digembar-gemburkan oleh Barat sama sekali tidak akan berlaku. Tamadun utama dunia seperti China, India dan Islam semakin mengukuhkan jati diri dan budaya mereka. Tiada kompromi dalam soal ini. Ramalan Huntington dalam beberapa tahun belakangan ini semakin menjadi kepastian.


Kebangkitan Iran telah menghantar mesej penting kepada Barat – mereka adalah penyambung keunggulan Tamadun Islam. Manakala penonjolan China dan India dalam ekonomi dan ketenteraan mengesahkan hakikat bahawa mereka ingin kembali menjadi tamadun yang dihormati tanpa mengikut telunjuk Barat lagi.


Hepotisis Huntington dalam soal ini adalah jelas. Segala bentuk ideologi yang cuba membentuk sebuah Tamadun Sejagat semakin runtuh dan tidak diterima. Pada lewat tahun 1980-an rejim Komunis tumbang dan Tembok Berlin sudah runtuh. Tatkala Barat sedang rancak menyebarkan bendera liberalisme dan demokrasi di seluruh dunia. Suara-suara tentangan semakin jelas kedengaran di setiap pelosok dunia bahawa mereka tidak mahu lagi pemimpin kacukan seperti Hitler, Lenin mahupun Stalin menerajui dunia moden. Kerana, pada zaman ini setiap bangsa dan kaum ingin bangkit mengikut kepercayaan dan jati diri mereka sendiri.


Akhirnya, kenyataan Huntington diterjemahkan melalui PRU ke-12 baru-baru ini. Malah, ia merupakan medan setiap kaum meluahkan rasa hati mereka. PRU ke-12 bukanlah kisah tentang harga minyak yang naik 30 sen, atau kisah kebangkitan Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah mengalahkan tokoh wanita UMNO di Lembah Pantai. Tetapi PRU ke-12 ialah kisah tentang kesedaran setiap kaum dalam mempertahankan bangsa mereka. Dengan kata lain, keputusan PRU ke-12 adalah manifestasi tentang rasa setiap kaum terhadap masa hadapan mereka. Bukan lagi ideologi politik yang diutamakan. Orang Melayu terasa kehilangan identiti pada saat tuntutan mereka untuk melihat pengajaran Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Melayu telah diketepikan. Soal bahasa, merupakan perkara penting bagi orang Melayu.


Dan yang lebih mendukacitakan, masalah sosial yang menular dalam kalangan muda-mudi Melayu tidak dibanteras secara menyeluruh oleh kerajaan yang selama ini mewar-warkan pendekatan Islam Hadhari menambahkan lagi kekecewaan mereka. Akhirnya orang Melayu menggunakan peti undi untuk meluahkan rasa. Pada masa yang sama, orang Cina yang terkenal dengan budaya perniagaan semakin tertekan sejak akhir-akhir ini, apabila perniagaan mereka bertambah merosot dan mendakwa ekonomi negara tidak ditadbir secara baik. Lantaran itu mereka beralih sokongan kepada DAP. Kaum India bangkit menyokong pembangkang, khususnya PKR bukan kerana isu Hindraf semata-mata. Sebaliknya perasaan yang menyelubungi mereka selama ini – iaitu kaum India seolah-olah berasa tersisih, tiada pembelaan malah rintihan mereka seperti dipandang sepi oleh kerajaan dan parti yang mereka sokong selama ini.


Saya dilahirkan 10 tahun selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. Generasi yang seusia saya yang hidup pada hari ini, sama sekali tidak memahami secara menyeluruh mengapa peristiwa itu terjadi. Walaupun kami membaca buku sejarah yang sama. Tetapi kami tidak duduk dalam sejarah itu sendiri. Kami sering mengandaikan, Malaysia yang kini dilihat berjaya adalah natijah daripada dasar bebas dan kesamarataan. Namun demikian, itu pandangan yang salah. Generasi muda yang berjaya ketika ini harus memahami, kejayaan mereka itu adalah hasil daripada perjuangan orang Melayu yang ingin melihat bangsanya mampu bersaingan secara adil di pentas yang sama rata.


Malangnya, generasi inilah yang sedang bersorak di luar sana mahukan perubahan dan menjatuhkan sistem yang selama ini memayungi mereka, kononnya untuk membentuk sebuah kerajaan Malaysia yang lebih adil dan saksama. Adil hanya akan terjadi apabila pentas persaingan itu benar-benar sudah seimbang. Generasi saya yang rata-ratanya mempunyai anak berusia sekitar tiga hingga lima tahun (walaupun saya belum berkahwin), sesungguhnya tidak pernah terfikir apakah jenis “payung” yang masih ada untuk anak-anak mereka bersaing untuk 10 atau 20 tahun yang akan datang. Darah muda sering menjadikan “emosi” sebagai kompas yang menunjuk arah. Jarang kami menggunakan ilmu, sejarah dan nasihat orang tua untuk mengandaikan masa hadapan.


Kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU ke-12 dan di Permatang Pauh baru-baru ini, seharusnya menjadi pengajaran kepada generasi muda, agar tidak memperjudikan nasib anak-anak mereka yang baru berusia beberapa tahun itu. Kerapuhan pakatan pembangkang dalam mentadbir beberapa buah negeri sudah mula dilihat apabila mereka menunjukkan ideologi yang berlainan dalam pentadbiran negeri masing-masing. DAP di Pulau Pinang sudah mula mengetepikan “kontrak sosial” yang sudah disepakati sekian lama oleh semua kaum di Malaysia melalui kenyataannya bahawa tiada lagi amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang selepas ini. PAS di Perak dan PKR di Selangor disyaki akan lebih banyak terpengaruh dengan ideologi DAP yang menuntut pelbagai kesamarataan di pentas yang masih tidak rata untuk orang Melayu. Apakah generasi Melayu di Pulau Pinang, Perak dan Selangor sudah bersedia dengan realiti baru ini?


Sesungguhnya, generasi muda sudah tersalah langkah dalam melihat pola politik Malaysia yang sudah kukuh dibina dan tersimpul kemas dengan strategi terbaik dalam pentadbiran sesebuah masyarakat yang majmuk sifatnya. Politik dunia selepas perang dingin sudah berubah corak, seperti mana dakwaan Huntington di atas tadi. Daripada perjuangan mempertahankan sesebuah ideologi kepada perjuangan mempertahankan nilai dan jati diri sesuatu bangsa.


Landasan politik Malaysia sudah berada di garis yang lurus selama 50 tahun dengan menjadikan pluralisme sebagai nadi mewujudkan kestabilan dalam politik, ekonomi dan sosial. Dengan konsep ini, setiap kaum yang terlibat mengekalkan budaya dan jati diri masing-masing di samping sama-sama membentuk perpaduan. Setiap kaum mempunyai partinya sendiri yang menjaga dan mempertahankan nilai, budaya dan kepentingan mereka.


Apabila Tun Abdul Razak memperkenalkan DEB, beliau sudah menghidu pola politik Malaysia akan berubah pada masa hadapan berasaskan perjuangan jati diri dan semangat perkauman, dan tidak lagi berteraskan pada masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum atau ideologi perpaduan. Hal ini terjadi pada saat semua kaum khususnya golongan muda elit dan para peniaga merasai selesa terhadap tahap ekonomi yang hampir boleh dikatakan sudah sama rata antara setiap kaum (walaupun hakikatnya tidak). Lantaran itu, mereka beralih memperjuangkan nilai budaya dan jati diri mereka pula dalam pilihan raya kali ini. Dalam PRU ke-12 ramai yang gagal menyelami hakikat tersebut.


DAP berjaya menarik sokongan orang Cina bukanlah kerana tawarannya untuk menurunkan harga minyak, tetapi mesej di sebalik kempen mereka yang menawarkan sebuah kebebasan untuk menjadi diri mereka sendiri, tanpa mempedulikan ideologi kesepakatan yang menjadi teras perpaduan kaum di Malaysia. Dengan kata lain, mereka mahu menjadi bangsa Cina yang unggul seperti mana yang tercatat dalam sejarah bangsa itu. Di sisi lain pula, PAS menarik sokongan orang Melayu Islam atas tawaran yang hampir sama, membangunkan semula sejarah dan tamadun agung Islam melalui saluran di peti undi. Manakala PKR, menawarkan sebuah negara Utopia yang berbilang kaum sifatnya tetapi bergabung dengan harapan mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang mempunyai ciri tersendiri mengikut tafsiran mereka.


Semua mesej parti pembangkang ini tanpa disedari telah sampai kepada masyarakat. Dan akhirnya, PRU ke-12 pada kali ini membuktikan perjuangan parti politik yang berasaskan ideologi perpaduan semakin di persimpangan. Sebaliknya, rakyat telah memilih perjuangan yang bersandarkan perkauman dan jati diri bangsa masing-masing. Tanpa menafikan, faktor keselesaan telah menyebabkan sebilangan rakyat negara ini mudah alpa dan lupa terhadap nilai perpaduan dan kontrak sosial yang sekian lama terbina. Mereka berfikir seolah-olah semua kaum di negara ini sudah mencapai kemakmuran ekonomi yang seimbang setelah kita mencapai kemerdekaan 50 tahun dahulu. Benarkah begitu? Jika benar, sudah pasti kita tidak lagi tercari-cari jawapan mengapa DEB telah gagal!


Sebagai generasi yang mahu melihat pembangunan negara berterus dan hak orang Melayu terus terpelihara akhirnya harapan ini hampir berkecai, lantaran sikap generasi muda kini yang lebih banyak mengikut emosi. Jika benar mereka mahu membetulkan kerajaan, mengapa tidak sahaja menyertai parti pemerintah? Perjuangkan apa-apa yang dirasakan benar oleh golongan ini dari dalam parti dan bukannya bersekongkol dengan pembangkang yang lebih suka melihat negara ini menjadi lemah. Kita yakini, rusuhan kaum seperti tahun 1969 tidak akan berulang, kerana faktor kematangan dan setiap kaum mempunyai kepentingan yang banyak di bumi Malaysia tercinta ini. Namun demikian itu bukanlah alasan yang konkrit bahawa tragedi malang 69 itu tidak kembali menghantui kita semua. Ia akan hadir dalam bentuk yang berlainan.


Hujahan PAS, PKR dan DAP bahawa zaman perjuangan sesuatu kaum sudah berakhir, merupakan hujah orang yang terpesong jauh daripada realiti. Hakikatnya, Allah menjadikan pelbagai kaum dan bangsa adalah untuk saling kenal mengenali serta memahami antara satu sama lain dan bukan untuk melenyapkan identiti mereka menjadi satu. Perjuangan sesuatu bangsa adalah untuk mengekalkan identiti mereka, tetapi haruslah berteraskan kepada ajaran Islam. Oleh sebab itu, PKR akan hancur dan tidak akan kekal lama, kerana mereka memperjuangkan ideologi yang hanya berteraskan kepada emosi dan rasa hati – yakni kebenaran dan keadilan dari kaca mata mereka dan bukan daripada kaca mata Islam. Tetapi pelik, parti inilah yang sangat dipercayai oleh PAS.


Untuk 10 tahun akan datang parti yang berteraskan kepada ideologi seperti keadilan, komunisme, liberalisme dan sebagainya akan hancur, kerana manusia menuju ke arah perjuangan jati diri tamadun asal mereka. Ideologi sudah tiada tempat lagi dalam mana-mana parti politik pada masa hadapan. PKR akan musnah kerana mereka merupakan parti yang tiada identiti tamadunnya sendiri. Lantaran itu, saya katakan bahawa PKR merupakan alat dan boneka kuasa asing dan diambil kesempatan oleh parti pembangkang lain di Malaysia demi mencapai matlamat politik sempit mereka. PAS, walaupun mempunyai ciri perjuangan yang berteraskan Tamadun Islam, namun demikian sangat lemah dalam melihat waqi’ atau realiti politik Malaysia yang berasaskan perkauman setelah British memporak perandakan ekonomi Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. DAP bukan memperjuangkan agenda keadilan dan demokrasi, sebaliknya mereka memperjuangkan agenda ketamadunan China – untuk menjadi diri mereka yang sebenar di bumi Malaysia. Semua topeng-topeng ini telah terbuka dalam PRU ke-12. Namun begitu, orang Melayu telah kena tipu atas slogan demokrasi dan keadilan. Dan yang paling malang ialah PAS, percaya akan semua retorik ini. Jika benar demokrasi dan keadilan yang dituntut, PAS tidak akan segan silu untuk mengkritik dan menegur pemimpin-pemimpin pembangkang lain, termasuk Anwar Ibrahim sendiri jika mereka melakukan kesalahan dan melanggar lunas-lunas Islam. Tetapi itu tidak berlaku di dalam PAS. Jadi apakah matlamat perjuangan PAS? Matlamatnya hanyalah inginkan kuasa, dan bukan kebenaran. PAS mempunyai ahli-ahli yang ikhlas, tetapi pemimpinnya tidak bijaksana, mudah ditipu dan dipermainkan.


Bertitik tolak daripada hal ini, mana-mana andaian termasuk Tun Mahathir sendiri yang bimbang bahawa UMNO akan hancur dalam PRU ke-13, sesungguhnya InsyaAllah ia tidak akan berlaku. Kerana dasar UMNO itu sudah berada di landasan yang betul, masalahnya hanya berpunca daripada kepimpinan yang tidak bijak dan tidak berilmu. Bukan masalah parti atau asas perjuangan. Ia merupakan masalah manusia. UMNO adalah parti yang setakat ini hampir lengkap perjuangannya iaitu agama, bangsa dan negara.


Saya bukanlah peminat Samuel P.Huntington, kerana beliau merupakan sebahagian daripada propaganda Yahudi Amerika untuk menakluki dunia, namun begitu, kajiannya tetap mempunyai nilai akademik yang kuat dan kukuh. Selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam, maka sesuatu ilmu itu tetap memberi manfaat kepada manusia. Saya percaya UMNO tetap akan wujud, Cuma ketika ini ia lemah, lantaran pemimpinnya yang lebih mementingkan politik peribadi daripada sebuah perjuangan yang suci. PKR tidak akan bertahan lama, mereka hidup atas dasar ihsan Amerika Syarikat dan bukan atas perjuangan mendaulatkan suatu tamadun atau bangsa. Salam Kemerdekaan!

August 30, 2008


Kita sering mendengar dan terbaca di dinding-dinding masjid berkenaan khutbah terakhir nabi Muhammad SAW sewaktu baginda mengerjakan Haji Wida' (Haji Perpisahan) Namun demikian, kita tidak pernah tahu apakah pesan Nabi ketika mula-mula solat Jumaat didirikan. Jarang sekali kita ambil tahu akan pengajaran yang terkandung di dalamnya. Lantaran itu, marilah kita menyambut Ramadhan kali ini dengan menghayati khutbah pertama yang pernah disampaikan oleh nabi junjungan kita ini. Salam Kemerdekaan, Salam Ramadhan dan Salam Persahabatan kepada semua blogger yang saya kenal atau pun tidak saya kenal.


Khutbah Pertama Nabi
Sarat dengan Pengajaran

Oleh Muhammad Azli Shukri

(Artikel saya ini sudah diterbitkan di dalam Utusan Malaysia pada 10/10/2003)



Para ulama dan ahli tarikh (sejarah) telah bersepakat bahawa solat Jumaat telah diwajibkan sejak Nabi s.a.w. masih berada di Mekah lagi, iaitu sebelum baginda berhijrah ke Madinah. Namun demikian, kerana keadaan di Mekah yang masih belum selamat untuk orang-orang Islam, maka solat Jumaat tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh Rasulullah pada saat itu.



Walau bagaimanapun solat Jumaat ini tetap dilaksanakan oleh orang-orang Islam di Madinah. Atas perintah Rasulullah melalui surat baginda kepada Mush`ab bin Amir, dan bertempat di Hazmin Nabiit di kampung Bani Bayadlah dalam kawasan Naqi`ul Khadlamat, dijalankanlah perintah Rasulullah itu dengan Mush`ab sendiri sebagai khatib dan imamnya. Inilah solat Jumaat pertama di dalam Islam.



Adapun solat Jumaat pertama yang dilakukan oleh Rasulullah bersama para sahabatnya dari Mekah ialah bertempat di lembah Ranuna, di kampung Bani Salim bin `Auf, yakni suatu tempat antara Quba dengan Madinah. Peristiwa itu terjadi ketika baginda melakukan hijrahnya pada 23 September 622 Masihi. Jumlah jemaah Jumaat pada saat itu tidak dicatatkan, tetapi menurut sejarah ketika Rasulullah meninggalkan Quba setelah empat hari berehat, baginda diikuti oleh 100 orang kaum Muslimin.



Oleh kerana solat Jumaat yang dipimpin oleh Rasulullah dalam perjalanan hijrah itu merupakan yang pertama bagi baginda, maka sudah pastilah khutbahnya juga merupakan khutbah Jumaat yang pertama daripadanya. Justeru itu, pastilah banyak pengajaran yang dapat diambil dan dikutip oleh kaum Muslimin daripada khutbah Jumaat tersebut.



Di dalam khutbah pertama Rasulullah tersebut, diceritakan bahawa pada mulanya baginda mengucapkan Alhamdulillah (kesyukuran) dan puji-pujian bagi Allah. Kemudian selanjutnya baginda memulakan khutbah pertamanya (awal) seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Katsir dan At-Thobari yang berbunyi, “Wahai sekalian manusia ! Dahulukanlah kepentingan dirimu dengan beramal untuk bekalan di akhirat nanti. Hendaklah kamu sekalian mengetahui demi Allah, akan dibinasakan salah seorang di antara kamu, lalu ia meninggalkan kambing ternak tanpa penggembala. Kemudian Tuhan akan mengatakan langsung kepadanya tanpa penterjemah dan tanpa pengawal yang menghalangi seseorang menghadap Allah.



Allah berfirman : “Bukankah telah datang utusan-Ku yang menyampaikan berita kepadamu, dan Aku telah memberikan harta untukmu dan Aku telah memberikan keutamaan bagimu, maka apakah yang telah engkau amalkan buat dirimu?'' Orang itu melihat ke kanan dan ke kiri, lalu ia tidak melihat sesuatu apa pun (yang boleh menolongnya). Kemudian ia melihat ke hadapan, dan tidak melihat sesuatu pun melainkan Neraka Jahanam. Maka sesiapa yang sanggup menyelamatkan dirinya daripada jilatan api neraka walaupun hanya dengan sedekah sebiji kurma, lakukanlah. Dan sesiapa yang tidak mendapatkannya, hendaklah dengan berkata-kata yang baik, kerana sesungguhnya ia akan dibalas 10 kali kebaikan bahkan sampai 700 kali ganda. Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.”



Setelah itu, Rasulullah meneruskan khutbahnya lagi (maksud di sini ialah khutbah Tsani iaitu khutbah yang kedua setelah duduk seketika). Seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq (seorang ulama ahli sejarah) yang berbunyi, “Sesungguhnya segala puji bagi Allah. Saya memuji-Nya dan mohon pertolongan-Nya. Kami memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan diri kami dan daripada keburukan perbuatan kami. Maka sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah nescaya tidak akan menjadi sesat dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada sesiapapun yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Sesungguhnya ucapan yang paling baik adalah kitab Allah (al-Quran), sungguh pasti berbahagialah orang yang menjadikan al-Quran sebagai hiasan di hatinya, juga yang telah memasuki agama Islam setelah dahulunya kafir, yang telah memilihnya atas selainnya iaitu daripada kata-kata manusia. Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah sebaik-baik perkataan, yang paling tinggi nilai sasteranya. Cintailah orang-orang yang mencintai Allah dan cintailah Allah dengan segenap perasaan di hatimu, dan janganlah kamu bosan terhadap firman Allah serta berzikir dengannya, agar hatimu tidak menjadi keras. Maka sesungguhnya setiap makhluk yang diciptakan Allah merupakan pilihan-Nya dan yang demikian dinamakan pekerjaan yang baik atau hamba-hamba yang baik dan kata-kata yang baik, termasuk dalam hal ini apa yang ditetapkan pada manusia daripada hukum yang halal atau haram. Maka sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan-Nya dengan sesuatu, bertakwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Bersikap jujurlah kepada Allah dengan melakukan kebaikan terhadap apa-apa yang kamu ucapkan dengan mulutmu. Dan berkasih sayanglah kamu dengan sesamamu kerana Allah. Sesungguhnya Allah murka terhadap seseorang yang mengingkari janjinya. Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.''



Setelah diteliti teks khutbah Jumaat pertama Rasulullah ini, maka penulis ingin menyimpulkan beberapa peringatan berharga yang terdapat di dalam khutbah tersebut untuk kita kaum Muslimin mengambil iktibar serta pedoman daripadanya. Di antaranya ialah :



1. Melakukan banyak amal soleh seperti mana yang dituntut oleh syarak, contohnya banyak melakukan zikir (bersolat, membaca al-Quran dan berwirid), bersedekah, berpuasa, menyambung hubungan silaturahim dan sebagainya. Janji Allah dalam surah al-Maidah ayat 5 yang bermaksud, “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.”



2. Muhasabah diri sendiri dengan memikirkan berapa banyak amal yang dilaksanakan dan berapa banyak dosa yang telah dilakukan, seperti mana firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 49 yang berbunyi, “Dan diletakkan kitab (buku amalan), lalu kamu melihat orang-orang yang berdosa itu merasa ketakutan kepada apa-apa yang ada di dalamnya dan mereka mengeluh mengucapkan, `aduhai,malangnya kami! Kitab apakah ini tidak ditinggalkannya perkara yang kecil dan besar, melainkan dihitungkannya semua? Mereka mendapati apa yang telah dikerjakannya semua bertemu. Tuhan engkau tidak merugikan sesiapa pun.”



3. Mengucap dan berkata-kata dengan perkataan yang baik-baik, seperti mana peringatan daripada sabda Rasulullah yang bermaksud, “Sesungguhnya seseorang apabila mengucap suatu kalimat (perkataan) yang diperkirakan (diangkakan) tidak berakibat sesuatu, tetapi sesungguhnya (perkataan itulah) akan mengakibatkan dia terjerumus ke dalam api neraka sampai 70 tahun.” (Riwayat at-Tirmizi). Dan firman Allah bermaksud, “Allah tidak mencintai berterus terang dengan perkataan yang buruk, kecuali daripada orang-orang yang teraniaya. Allah itu Mendengar dan Mengetahui.”(An-Nisa : 148).



4. Mengharapkan pertolongan, keampunan, perlindungan dan petunjuk daripada Allah SWT seperti mana doa yang sering kita ucapkan, “Wahai Tuhan kami, ampunilah aku dan ibu bapaku dan orang-orang yang beriman pada hari terjadi perhitungan.” (Al-Baqarah : 221).



5. Mencintai Allah serta orang-orang yang mencintai Allah, contohnya mencintai Rasulullah, para sahabat baginda serta wali-wali-Nya, seperti mana sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud, “Rasulullah bersabda daripada firman Allah yang Maha Mulia, “Orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku, akan berada di bawah naungan Arasy-Ku pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah.” Dan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 165 yang bermaksud, “Orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah.”



6. Jangan menyekutukan Allah, seperti mana firman Allah dalam surah al-Isra ayat 111 yang bermaksud, “Dan katakanlah, segala puji untuk Allah yang tidak mempunyai anak dan Dia tidak mempunyai sekutu dalam kekuasaan dan tidak mempunyai pelindung (untuk menjaga-Nya) daripada kehinaan dan besarkanlah Dia dengan sepenuhnya.”



7. Berkasih sayang sesama orang-orang yang beriman, seperti mana firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara.” Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Salah seorang di antara kamu tidak dikatakan beriman sempurna sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Muslim). Dan sabda baginda lagi dalam sebuah hadis lain yang bermaksud, “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam membina kasih sayang dan cinta kasih serta saling menaruh rasa simpati adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggotanya ada yang sakit, maka seluruh anggota tubuh akan merasakannya, seperti demam atau tidak dapat tidur.”(Riwayat Muslim).



Inilah beberapa pengajaran serta peringatan yang dapat diambil daripada khutbah Jumaat pertama Rasulullah tersebut. Semoga kita semua mengambil iktibar daripadanya. Insya-Allah.

August 28, 2008


MONOLOG AZLI SHUKRI


Bab 1 : Selamat Datang Kehancuran!






Saya cuba menganalisis secara jujur tanpa terpengaruh dengan nada politik atau sentimen sempit agama. Kerana politik bukanlah semata-mata kuasa dan pengaruh, tetapi merupakan tanggungjawab, amanah dan keikhlasan.


Saya membaca begitu banyak ulasan ekoran kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, termasuk pandangan Tun Mahathir Mohamad dan Datuk A.Kadir Jasin, melalui blog masing-masing. Kedua-dua tokoh tersebut memberi beberapa kesimpulan yang sangat baik, antaranya kemenangan Anwar akan mengubah landskap politik Malaysia daripada politik berasaskan kaum kepada politik berasaskan ideologi. UMNO akan hancur jika Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak meletakkan jawatan dan ahli-ahli UMNO masih takut untuk membuat perubahan di dalam parti yang begitu banyak jasanya kepada negara.



Namun demikian, suka saya mengulas isu kemenangan Anwar ini daripada luar perspektif kedua-dua tokoh yang amat saya hormati itu. Sesungguhnya, apa-apa yang berlaku pada hari ini merupakan gambaran untuk masa hadapan. Saya lebih selesa membicarakan soal beyond Anwar Ibrahim yakni melangkaui sekadar isu kemenangan Anwar di Permatang Pauh dan cita-cita besar Sang Rajuna Tapa ini. Saya tidak mungkin menyimpan rasa bimbang ini berkenaan masa hadapan negara yang semakin jauh daripada laluan yang benar. Ramai yang berasa bahawa dengan menjatuhkan kerajaan yang sedia ada, maka kerajaan yang baharu akan menjadi lebih baik dan berkarisma. Soalnya benarkah begitu?




Saya melihat jauh daripada itu. Pertama saya melihat struktur parti politik pembangkang yang dikatakan sangat bernafsu besar untuk menggantikan kerajaan yang sedia ada. Struktur parti-parti seperti PKR, PAS mahupun DAP merupakan struktur parti yang gagal. PKR menang semata-mata kerana kelemahan pemimpin UMNO bukan kerana kekuatan parti tersebut. DAP lahir adalah untuk menolak ketuanan Melayu dan memperjuangkan kesamarataan yang pada hakikatnya tidak sama. Perjuangan mereka hanya menguntungkan parti dan cita-cita politik DAP semata-mata. Dan PAS umpama sebuah bahtera yang berlayar di lautan, tetapi nakhodanya adalah orang lain. Hakikatnya PAS tidak mungkin mampu mengawal dan menguasai DAP dan PKR. Jadi bagaimana Islam dapat dilaksanakan? Satu pihak jelas tidak mahu sebuah negara Islam manakala yang satu pihak lagi inginkan negara Islam dan satu pihak lagi tidak peduli sama ada negara Islam atau pun bukan negara Islam – yang penting Anwar jadi Perdana Menteri. Akhirnya negara Utopia yang menjadi impian dan mimpi parti pembangkang itu hanya mitos dan gula-gula untuk rakyat menolak BN selama ini. Ahli-ahli BN tidak terlepas daripada terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mendakwa bahawa UMNO dan BN sudah terlalu kotor.




Tetapi kita lupa, tidak ada kotor yang lebih kotor daripada bersekongkol dengan manusia yang terang-terang menentang Islam seperti mana yang dilaungkan oleh DAP. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sebuah parti yang sangat jelas permusuhannya dengan Islam malah sanggup pula mencabar bahawa jika mahu dilaksanakan negara Islam, maka langkah mayat mereka terlebih dahulu. Tetapi hati kita telah buta akan melihat semua ini atas nama sebuah strategi dan diplomasi. Hakikatnya Islam tidak berkompromi dengan mana-mana golongan yang terang-terang menentang Islam. Tetapi PAS sanggup bersahabat dengan golongan ini. Dan pada hari ini, PAS sendiri sudah berpecah dua, yang menyokong dan yang menentang persahabatan parti itu dengan DAP.




Kita bersorak apabila Anwar kembali ke Parlimen, tetapi kita lupa yang menang ialah DAP dan yang seangkatan dengannya. Mereka yang gembira dan menunggu masa, memang bukan pada hari ini. Tetapi di kemudian hari. Pada hari yang mana Anwar sudah tidak ada taring lagi. Dia akan disingkir dan “dibunuh” oleh kawan-kawannya yang selama ini menyokongnya. dan ketika itu, nasi sudah menjadi bubur. Anwar hanyalah boneka DAP untuk mereka mengaut segala kepentingan politik sempit mereka. Kita menang bersorak, tetapi kampung tergadai. Politik berasaskan ideologi subjektif seperti keadilan, kebenaran dan ketelusan hanya akan berkesan apabila akhlak para pendukungnya adalah tinggi dan mencintai kebenaran. Tetapi hal ini tidak ada dalam kalangan pembangkang. Yang jelas mereka sanggup menggadaikan kebenaran dan keadilan jika tidak secocok dengan matlamat mereka. Jadi apakah bezanya mereka dengan BN yang mereka dakwa terlalu menyeleweng itu?




Apakah bezanya antara UMNO dengan PAS, jika PAS pun sudah sanggup menggadaikan kepentingan Islam demi mahu bersekongkol dengan DAP, semata-mata mahu mencapai cita-cita politiknya? Kerana mahukan kuasa, maka dengan DAP pun mereka sanggup berkawan? Negara kita sedang menuju ke arah kehancuran, kerana pemimpin kita yang tidak bijaksana, baik dalam UMNO ketika ini, mahupun dalam PAS atau Anwar Ibrahim sendiri. Kita, sebenarnya sedang menuju ke gaung kemusnahan apabila Anwar menang di Permatang Pauh, kerana beliau tidak ubah hanyalah boneka kepada orang lain yang menunggu masa untuk menjadikan Malaysia ini sebuah negara yang berasaskan hukum rimba – siapa yang kuat dialah yang menang!

August 25, 2008

Penindasan Islam
Harus Jadi Iktibar
Oleh Muhammad Azli Shukri
(Artikel saya ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 09/12/2003)

Sekadar meminjam kata-kata Ben Gurion, bekas Perdana Menteri Israel, yang menyatakan bahawa, “sesungguhnya yang paling menakutkan kami ialah kalau di dalam dunia Islam akan lahir seorang Muhammad yang baru.'' Jelas, bait-bait kata tersebut merupakan manifestasi kebimbangan musuh-musuh Islam, yang sentiasa gelisah menanti hari kebangkitan dan kemenangan bagi umat Islam. Seperti mana yang telah dijanjikan oleh Allah dalam surah an-Nur ayat 55 yang bermaksud, “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu (Muslimin) dan mengerjakan perbuatan baik, bahawa mereka akan diberi kekuasaan di muka bumi, sebagaimana telah diberikan Allah kepada orang-orang yang sebelum mereka dan akan diteguhkan kedudukan agama mereka yang telah disukai Allah dan akan menukarkan perasaan cemas menjadi aman sentosa. Mereka menyembah Aku dan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu apa pun. Barang siapa yang ingkar sesudah itu, mereka adalah orang-orang yang jahat.”


Perkembangan terkini di dunia Islam khususnya Asia Barat, sudah jelas memperlihatkan cengkaman Zionis yang semakin rakus. Masyarakat dunia sudah tidak berupaya lagi. Kedudukan negara Israel yang disokong kuat oleh Amerika Syarikat sebagai sebuah negara unipolar tidak mungkin dapat disentuh oleh mana-mana negara di dunia ini. Malah kekuatan nuklear kedua-dua buah negara tersebut juga, tidak mungkin mampu ditandingi oleh mana-mana jua negara kuasa besar yang berada di atas muka bumi ini sekarang. Seperti kata Ariel Sharon dalam tahun 1973 ketika masih menjawat Menteri Pertahanan, “kini Israel merupakan negara kuasa besar dalam bidang ketenteraan. Semua pasukan negara-negara Eropah lebih lemah daripada pasukan kita. Israel boleh menakluki seluruh wilayah dari Khartoum ke Baghdad dan Algeria dalam masa satu minggu.”



Soalnya sekarang, apakah kita mampu membayangkan lagi kekuatan mereka setelah 30 tahun kenyataan di atas berlalu? Jawapannya sudah pasti tidak. Dan bagaimanakah pula cara umat Islam menghadapi kekuatan musuh-musuhnya yang berlipat kali ganda daripada mereka?



Jawapan untuk kesemua soalan di atas hanya didapati setelah kita selesai menyingkap dan menyelami hakikat sejarah awal umat Islam yang telah terbentuk di kota Mekah 1400 tahun yang lalu. Dan Jangan sama sekali kita menyangka umat Islam tidak pernah menerima penyeksaan dan kesusahan seperti mana yang sedang berlaku pada hari ini. Sejarah membuktikan Umat Islam sudah mempunyai pengalamannya semacam ini pada fasa pertama perkembangannya. Penindasan dan penyeksaan ke atas masyarakat awal Islam di kota Mekah tidak mungkin mampu disebut kesemuanya. Namun, keimanan, kesabaran dan keutuhan hati baginda Rasulullah serta para sahabatnya, mampu menahan segala bentuk penyeksaan fizikal yang sedang mereka alami. Di sinilah letaknya kekuatan Islam pada awal perkembangannya di kala masyarakat Islam Mekah masih lemah. Sehubungan itu, tiada cara lain untuk umat Islam bangkit dan bangun semula melainkan seluruh umat Islam harus memikirkan kembali di manakah kedudukan serta posisi mereka pada hari ini.



Mahu atau tidak, umat Islam harus segera kembali melihat sejarah mereka dan menggunakan uslub dan manhaj yang bersesuaian dengan waqi' nya (realiti) yang pernah dicatat dalam lipatan sejarah. Agar roh kejayaan dan kegemilangannya dahulu dapat dikembalikan semula seperti kaedah usul fikah, qias. Apabila terjadinya illat (sebab atau kesan) yang sama pada dua perkara yang berbeza, maka qias akan digunakan untuk menentukan hukumnya yang sudah tentu sama, kerana berasaskan kepada illatnya yang juga sama.



Begitu jugalah dengan sejarah umat Islam, kaedah usul fikah seperti ini boleh diaplikasikan terhadap disiplin ilmu sirah, dengan cara menyelami dan menganalisis akan suasana, keadaan serta situasi umat Islam yang sedang berlaku pada hari ini dan kemudian dikiaskan kepada peringkat-peringkat tertentu di dalam sejarah umat Islam yang memiliki ciri serta kriteria yang sama dengannya, agar umat Islam benar-benar dapat meletakkan diri mereka pada kedudukan yang sewajarnya serta berpijak pada bumi yang nyata. Dan bukannya berimaginasi serta berkhayal dengan suasana umat Islam yang sedang memegang tampuk kekuasaan seperti mana suatu ketika dahulu.



Kegagalan pemimpin dan umat Islam dalam melihat realiti ini, akan menjerumuskan mereka ke dalam situasi yang cukup mudah menghukum orang lain, merosakkan ketenteraman orang lain serta mengamalkan pendekatan dakwah yang tidak tepat dan tidak kena pada masanya.



Oleh kerana itulah, umat Islam harus segera merenung kembali sejarah mereka. Malah al-Quran sendiri dipenuhi dengan pelbagai lipatan sejarah, yang merangkumi pelbagai bangsa dan zaman untuk umat Islam mengambil iktibar serta melihat perjalanan sejarah yang silih berganti di antara kemenangan dan kekalahan.



Umat Islam harus sedar, bahawa musuh-musuhnya sentiasa bimbang menunggu saat kebangkitan Islam yang telah dijanjikan oleh Allah. Perkara ini jelas tergambar daripada kata-kata Montgomery Watt, seorang orientalis Inggeris, "kalau sudah ditemukan seorang pemimpin Islam yang berkelayakan dan berbicara dengan suara Islam yang tepat pula, mungkin sekali agama ini akan menjadi kekuatan politik yang besar di dunia ini sekali lagi.”



Nada yang sama turut diutarakan oleh seorang ahli falsafah Inggeris, George Bernard Shaw yang mendakwa, “saya selalu menghargai agama Muhammad setinggi-tingginya kerana kemampuannya yang sangat mengagumkan. Inilah satu-satunya agama menurut pendapat saya yang mempunyai kemampuan menangani segala perubahan alam yang menjadikan agama ini dapat dilaksanakan pada setiap zaman.” Kenyataan-kenyataan sebegini disuarakan oleh tokoh-tokoh barat disebabkan pengamatan mereka yang sangat tajam terhadap sejarah umat Islam itu sendiri. Sehingga mereka dapat merasakan bahawa umat Islam mampu bangkit, seandainya mereka bijak mengambil iktibar serta tahu meletakkan kedudukan mereka sekarang pada garis masa yang sama dengan sejarah mereka dahulu, agar kita, umat Islam dapat menggali serta mengambil kaedah dan metodologi yang tepat dalam menghadapi musuh-musuhnya. Sekali gus mengembalikan kecemerlangan Islam dalam pelbagai aspek dan lapangan.



Ekoran daripada itu, tidak hairanlah Alvin Toffler, seorang ahli kritikal sosial Barat, telah mengandaikan umat Islam akan bangkit dari sebelah Asia Tenggara. Pengamatan ini berasaskan kepada kecemerlangan negara-negara membangun di rantau ini, seperti Malaysia yang telah berjaya membuktikan bahawa umat Islam mampu menguruskan negara serta ekonominya secara berkesan. Malah secara tidak langsung ia telah menjadi contoh dan ikutan kepada negara-negara Islam lain di seluruh dunia. Justeru itulah beliau sanggup menyatakan, “kamu di sini merupakan ujian kepada Islam. Jika kamu berjaya memajukan negara dan rantau ini, kamu akan membuktikan kepada dunia bahawa Islam adalah agama yang progresif, berbeza daripada tanggapan biasa Barat. Pusat perkembangan Islam akan berubah dari Timur Tengah, tempat asal tradisinya ke rantau ini, (Asia Tenggara).”



Dan kenyataan Alvin tersebut benar-benar bertepatan dengan hasrat Tun Dr. Mahathir yang mahu melihat umat Islam mengembalikan semula imej mereka yang telah tercemar dengan cara memajukan ekonomi serta mengelakkan sebarang peperangan yang merugikan diri mereka sendiri, apatah lagi dalam saat-saat umat Islam masih lemah dan saling berpecah belah. Seperti mana kata-kata beliau, “satu keputusan telah diambil untuk menukarkan rantau ini daripada pergolakan kepada keharmonian, aman dan selamat, menukarkan rantau ini daripada prasangka kepada persahabatan, rantau yang miskin dan mundur kepada zon dinamik yang sejahtera dan bekerjasama dan dari rantau keamanan dingin dan perang dingin ke masyarakat yang akrab, serta keterlibatan menyeluruh dan bekerjasama' (ucapan beliau ketika keputusan mewujudkan badan kerjasama serantau ASEAN ).



Kejayaan Malaysia menggunakan uslub dan manhaj yang tepat selama ini telah membuahkan hasilnya. Kini Malaysia tidak hanya berjaya menjadi sebuah negara Islam yang disegani, tetapi lebih daripada itu, Malaysia juga berupaya membantu negara-negara Islam lain dalam pelbagai aspek, seperti pengurusan, ekonomi berteraskan syariah, pendidikan dan teknologi. Oleh itu, nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada negara Malaysia, tidak hanya dirasai oleh umat Islam di negara ini sahaja, bahkan seluruh dunia Islam turut mendapat bantuan dalam pelbagai aspek.



Justeru itu, umat Islam kini sudah mula mempunyai tempat untuk bergantung dan menaruh harapan. Kejayaan yang telah diperoleh Malaysia, banyak bergantung kepada pendekatan uslub dan manhaj yang tepat serta mengikut realiti masyarakatnya. Kita tahu kita masih lemah, maka kita mesti banyak bersabar dan berusaha. Dan bukanya tergopoh gapah untuk mencapai segenap kejayaan dalam sekelip mata. Sebaliknya kita mesti mengetahui mana perkara yang harus didahulukan dan mana yang di kemudiankan, bersesuaian dengan kaedah fiqh al-awwaliyyat (keutamaan).



Perkara sebegini juga dapat dilihat ketika masyarakat Islam Mekah ditindas oleh orang-orang kafir Quraisy. Mereka banyak bersabar dan mengatur gerak kerja secara cermat. Dan mereka sama sekali tidak tergopoh gapah menentang orang-orang kafir Quraisy dalam saat mereka masih lemah dan memerlukan bantuan.



Justeru itu, sama ada suka atau tidak, umat Islam harus segera bertindak dan mengikut tatacara Rasulullah dan para sahabatnya ketika menghadapi zaman penindasan dan tekanan daripada orang-orang kafir Quraisy di kota Mekah. Dan akhirnya marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada ucapan bahaya Paderi Simon, “Persatuan umat Islam memang menjadi impian di kalangan ramai umatnya dan dengan itu akan dapat menolong mereka membebaskan diri daripada kuasa Barat. Di sinilah pentingnya peranan Missionaris untuk mematahkan kekuatan Muslimin. oleh kerana itu kita harus dapat merubah arah kaum Muslimin dan menjauhkan mereka daripada cita-cita persatuan.”

August 22, 2008


Penulis Bersama Tan Sri Azman Hashim di Pejabatnya.

GURU OH GURU!

Kita berhenti sebentar membincangkan polemik politik dan sumpah Mubahalah Anwar-Saiful seketika. Mari sama-sama ambil pengajaran daripada apa-apa yang telah saya pelajari daripada tokoh korporat tersohor Melayu ini. Rasanya ini jauh lebih memberi manfaat daripada terus menerus membicarakan krisis politik kepada orang-orang yang tidak mahu melihat kebenaran.


Pertemuan saya dengan Tan Sri Azman Hashim, CEO AmBank di pejabatnya tiga bulan lalu, telah membawa saya kepada satu jawapan penting mengapa terlalu banyak usahawan Melayu atau perniagaan Melayu gagal untuk berjaya. Membangunkan sebuah bank bukanlah kerja mudah, apatah lagi pada masa kegawatan dan kelembapan ekonomi. Namun demikian, masalah luaran tidak boleh dijadikan alasan untuk mengesahkan bahawa kita tidak mampu lagi untuk membina kejayaan. Kejayaan tetap boleh hadir dalam apa-apa jua keadaan. Kerana, faktor sesebuah kejayaan bukanlah ditentukan oleh faktor luaran, sebaliknya faktor dalaman.



Semasa baginda Rasulullah menyebarkan Islam pada tahun-tahun awalnya di Mekkah, baginda dikelilingi dengan pelbagai musuh, bahkan nyawa baginda turut diancam jika masih berdegil untuk meneruskan penyebaran agama Islam.



Rasulullah sebenarnya, boleh sahaja mendakwa bahawa serua Islamnya di Mekkah telah mengalami kegagalan sehingga baginda berhijrah ke Kota Madinah, Jika, faktor luaran yang dijadikan alasan utama untuk mendakwa bahawa kita telah gagal! Tetapi Rasulullah tidak melihat kejayaan dan kegagalan seperti itu. Penghijrahan baginda ke Kota Madinah dilihat sebagai titik kejayaan yang semakin hampir untuk agama Allah ini bertebaran di seluruh pelosok dunia sehingga ke hari ini.



Dengan kata lain, Rasulullah sudah sedia maklum, bahawa baginda pasti akan memperoleh kemenangan dan agama Islam merupakan agama yang benar. Sekarang, mari kita bertanyakan kepada diri kita sendiri, apakah yang akan kita lakukan andai kata kita sudah sedia maklum sejak awal lagi bahawa kita akan berjaya dalam sesuatu perkara itu?, apakah yang akan kita buat? Sudah tentu jawapannya, kita tidak akan takut untuk bertindak dan menghadapi apa-apa jua rintangan dan cabaran, kerana jawapan akhir kita bakal kita peroleh nanti ialah kita pasti berjaya!



Rasulullah sudah sedia maklum bahawa baginda pasti akan berjaya akhirnya, lantaran itu baginda sentiasa bersabar dalam menempuh cubaan dan rintangan yang Allah berikan kepadanya.



Azman Hashim mempunyai ciri seperti itu, beliau seolah-olah tidak takut dengan apa-apa jua saingan dan cabaran dalam dunia perbankan yang diceburinya. Beliau seakan-akan sudah mengerti bahawa beliau berada dalam jalan yang betul untuk berjaya, beliau tahu apa-apa yang sedang dilakukan, akan dilakukan dan bagaimana untuk melakukannya. Semua ini menyebabkan beliau sudah tidak merasai apa-apa ketakutan dalam perniagaannya itu, lantaran fikirannya sudah ditanamkan dengan jawapan bahawa beliau pasti berjaya akhirnya! Azman Hashim percaya bahawa beliau berada di pihak yang betul dan benar dalam sektor perbankan, oleh sebab itu untuk apa beliau takut bersaingan dan berputus asa?



Akhirnya, pengajaran yang kita peroleh ialah, jika kita melakukan sesuatu yang benar dan inginkan kebenaran-kita sudah tahu jawapan akhirnya, iaitu kejayaan! Tidak timbul sama ada kita akan gagal atau berjaya. Jika kita mengikut petunjuk al-Quran dan Hadis Shahih, jawapannya, kita pasti berjaya.



Sama juga dalam perniagaan, jika kita mengikut ilmu yang benar serta bersungguh-sungguh mencari rezeki kerana Allah, kita sudah pasti akan berjaya. Segala rintangan sudah tidak lagi menjadi masalah kepada kita, kerana kita berada dalam lingkungan kebenaran. Tiada istilah kegagalan bagi orang yang mengikut kebenaran dan tunduk kepada ilmu yang sudah jelas kebenarannya! Wallahualam.

August 20, 2008

MENANTI
SUMPAH ANWAR
Oleh Muhammad Azli Shukri

Saya terpanggil buat kali kedua, untuk menjelaskan lagi akan kesamaran berkenaan isu sumpah Mubahalah yang masih menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya umat Islam. Seolah-olah Mubahalah itu telah menjadi isu yang sangat terasing buat kita. Secara ringkas, saya terpaksa berterus-terang, tanpa berselindung lagi bahawa, bagi mereka yang masih ragu dan masih tidak mahu menerima hakikat bahawa cara terbaik dalam menyelesaikan isu Saiful-Anwar ini adalah melalui Mubahalah-mereka merupakan golongan yang masih terdapat keraguan dan kesangsian bahawa al-Quran mampu menyelesaikan segala masalah manusia ini. Mereka sebenarnya masih tetap mencari pelbagai alasan agar menolak cara Mubahalah ini. Mereka tidak yakin adanya Mubahalah dan tetap tidak mahu menyelesaikan isu ini melalui cara Mubahalah. Hal ini tidak hanya terkena dalam kalangan orang awam semata-mata, bahkan sesetengah ulama juga turut terkena penyakit ini. Maha suci Allah yang menjadikan kehidupan dan kematian sebagai ujian.



Sekarang saya tidak bisa lagi menjaga hati dan perasaan orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran dan keadilan yang sudah jelas dan pasti, bahawa cara terbaik penyelesaian berkenaan isu saiful-Anwar ini adalah melalui sumpah Mubahalah, kerana ia jelas ada contoh di dalam al-Quran. Golongan yang mengatakan bahawa ayat tersebut hanya untuk isu-isu yang tidak melibatkan peribadi seperti kes Saiful-Anwar ini, merupakan golongan yang tidak memahami bagaimana para sahabat memahami nas tersebut, malah hujah tersebut juga dangkal kerana seolah-olah menyempitkan peranan al-Quran yang sebenarnya adalah luas dan menjadi petunjuk kepada mereka yang inginkan kebenaran dan keadilan. Saya malas untuk menghuraikan soal nas tersebut, tetapi sesiapa yang berminat untuk mendalaminya boleh membaca tulisan Dr Asri, Mufti Perlis yang saya fikir sangat bernas dan tepat.



Berbalik kepada isu Saiful-Anwar, persoalan yang penting sekarang, bukanlah masalah perundangan Islam atau masalah siapa liwat siapa. Tetapi pokok persoalannya ialah siapakah yang berbohong dan siapa pula yang benar. Itu sahaja. Inilah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Mubahalahlah, mudah sahaja. Sehingga artikel ini ditulis, Anwar masih bermain dengan teka-teki dan berdolak-dalik untuk bersumpah. Saya tidak pasti mengapa. Tetapi kepada sesiapa yang masih berkeras mempertahankan agar Anwar tidak bersumpah, cuba tanyakan kepada diri anda, jika Si Saiful itu merupakan adik, atau abang, atau ahli keluarga kita sendiri, apakah kita akan menghalangnya untuk bersumpah bagi membersihkan nama baiknya? Apakah kita tergamak membiarkan dirinya diselubungi fitnah dan didakwa sebagai tali-barut UMNO untuk menjatuhkan Anwar? Saya percaya jika si Saiful itu ialah ahli keluarga kita, kita pasti akan melakukan apa-apa sahaja demi menegakkan kebenaran dan keadilan untuknya. Jadi, begitulah juga dengan keluarga Saiful sekarang, pelbagai tohmahan dilemparkan kepadanya, dan mereka sudah tidak ada jalan lain untuk membuktikan bahawa mereka berada di pihak yang benar. Cuma dengan cara bermubahalah sahaja. Berikanlah semangat dan bukan cacian!



Saya percaya ada dua sebab, mengapa Anwar tidak mahu bersumpah, pertama dia berasa bersalah, kedua masih ada Iman dalam jiwanya. Jika Anwar takut bersumpah, tidak mengapa biarkan. Itu tandanya dia masih percaya kepada Allah. Anwar percaya bahawa Allah akan melaknat orang yang berbohong dan tidak bercakap benar. Oleh sebab itu, jika beliau berasa berdosa dan bersalah kepada Saiful dan keluarganya, kita mohon agar beliau mengaku sahaja jika beliau benar-benar bersalah dan berbohong. Bertaubatlah. Tidak perlulah bersumpah, takut dimakan sumpah nanti. Cukuplah beliau bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, saya percaya rakyat akan memaafkannya. Ini juga merupakan alternatif yang baik kepada diri dan keluarga beliau.



Namun demikian, jika Anwar masih terus menerus memfitnah keluarga Saiful berkenaan isu sumpah Mubahalahnya itu, maka pihak Saiful telah dikira sebagai pihak yang dizalimi dan dianiayai. Saya syorkan agar Saiful dan keluarganya melakukan solat hajat agar diturunkan kebenaran yang jelas ke atas golongan yang telah memfitnahnya kerana berani bersumpah Mubahalah. Saya juga mencadangkan kepada penyokong-penyokong PKR yang ikhlas dan ingin isu ini selesai dengan segera, mari sama-sama kita bersolat hajat agar Allah turunkan kebenaran yang nyata ke atas siapa yang difitnah dan siapa pula yang memfitnah!



Kita tidak mahu, bala menimpa umat Islam Malaysia semata-mata kerana masih ada saki baki kaum Lut yang membuat angkara di bumi tercinta kita ini. Mari kita serahkan masalah ini kepada Tuhan yang Maha Esa bersama doa munajat orang teraniaya ini, “Ya Allah Engkau turunkan kebenaran dan keadilan ke atas hamba-Mu ini, atas segala fitnah yang telah dilemparkan kepadaku. Engkau berikanlah balasan yang setimpal atas perbuatan mereka ke atas ku ini. Amin”.

August 18, 2008


Laluan Berliku
Saiful vs Anwar

Oleh Muhammad Azli Shukri


Saya sebenarnya tidak berhasrat menulis berkenan politik dalam blog saya ini, kerana ia lebih banyak mengundang fitnah daripada kebenaran. Namun demikian, apabila isu Mohd. Saiful Bukhari,bersumpah dan timbul pelbagai andaian dan tohmahan kepada beliau, saya terpaksa bercakap benar dan mempertahankan kebenaran. Jika tidak ilmu yang saya miliki ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.


Allah menurunkan firmannya berbunyi “Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa-Setelah engkau beroleh pengetahuan yang meyakinkan tentang hal itu, maka katakanlah kepada mereka : Marilah kita panggil (kumpulan) anak-anak kami dan anak-anak kalian, isteri-isteri kami, dan isteri-isteri kalian, diri-diri kami dan diri-diri kalian, kemudian kita bermubahalah kepada Allah, mohon agar Allah menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta.” (Ali Imran : 61)


Makna Mubahalah ialah, masing-masing pihak daripada orang-orang yang berbeza pendapat, dengan sungguh-sungguh berdoa bermohon kepada Allah agar menimpakan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta (yang berkeras kepada mempertahankan pendapatnya yang tidak benar).


Ramai yang nampaknya tidak faham mengapa mubahalah diperlukan dalam hal-hal tertentu. Perkara ini tidak terkecuali terkena dalam kalangan ulama-ulama ternama kita di Malaysia, sehingga ada yang tergamak mendakwa bahawa sumpah yang dilakukan oleh Saiful baru-baru ini umpama orang Kristian yang memegang Bible. Subhanallah. Perbandingan yang jauh daripada kebenaran. Setakat ini, hanya Mufti Perlis, Dr. Asri sahaja yang menyokong agar kedua-dua pihak, yakni Anwar dan Saiful bersumpah berkenaan kes liwat mereka tersebut mengikut cara yang digariskan oleh Islam. Soalnya, mengapa terdapat dua pandangan yang berbeza berkenaan konsep sumpah mubahalah ini? Mengapa mesti sesama ulama bercanggah pendapat lagi, jika sudah jelas firman Allah dalam surah Ali Imran tersebut? Jika kita sama-sama mengikut al-Quran sudah tentu tidak akan ada perdebatan lagi dalam soal ini.


Hal ini terjadi adalah disebabkan sesetengah ulama di Malaysia tidak mendalami fiqh al-Waki, yakni fiqh yang memahami keadaan semasa dan diselaraskan dengan maqasid syariah (tujuan-tujuan syariat yang diturunkan oleh Allah). Dalam isu Saiful ini, Ulama telah melihat isu tersebut dalam dua perspektif-pertama, bagaimanakah perundangan Islam, yakni hukum Islam menyelesaikan isu liwat yang membabitkan kedua-dua pihak, apakah syarat-syarat dan metodologi yang digunakan bagi mengheret kedua-dua pihak ke muka pengadilan-mengikut garis panduan Islam, apakah ada wujud kes atau sebaliknya. Ini merupakan konteks yang dilihat oleh sebahagian besar Ulama di Malaysia, melalui kaca mata perundangan Islam. Ulama yang melihat isu Saiful-Anwar dari sudut ini termasuklah Mufti Perak, Mufti Wilayah, dan Nik Aziz Nik Mat.


Satu lagi kaedah melihat kes Saiful-Anwar daripada kaca mata Islam juga ialah melangkaui cara pertama tadi, yakni melihat isu ini lebih besar daripada cara pertama yang tertera di atas, iaitu isu ini merupakan isu yang membabitkan maslahat umat Islam di negara ini. Isu yang melibatkan perpaduan umat Islam di Malaysia, isu yang membabitkan fitnahtul Kubra (fitnah besar ke atas umat Islam Malaysia), isu yang membabitkan tentang ketidakpercayaan masyarakat terhadap sistem yang ada di Malaysia, yakni ketidakpercayaan sebahagian besar rakyat terhadap badan kehakiman, polis, badan politik dan kepimpinan negara. Semua ini mengundang fitnah. Fitnah seperti mana yang kita sedia maklum, dosanya lebih besar daripada membunuh. Kaedah kedua ini telah dilihat oleh Mufti Perlis dan saya sendiri bersetuju melihat isu Saiful-Anwar ini dari kaca mata kedua ini, hal ini adalah kerana implikasi isu Saiful-Anwar ini kepada negara dan agama adalah amat besar.


Ini bukanlah isu berkenaan 4 orang saksi atau sebatan 80 kali, ini merupakan isu yang lebih besar daripada itu. Waki’ (realiti) yang dihadapi oleh rakyat dan negara sekarang ini ialah FITNAH. Fitnah yang sudah tidak mampu dibendung dengan sistem yang sedia ada. Kebenaran dan keadilan yang dicari oleh Anwar dan Saiful tidak akan dijumpai di mana-mana mahkamah di Malaysia ini, kerana sistem kehakiman itu sendiri sudah tidak dipercayai oleh kebanyakan orang. Apa-apa sahaja keputusannya, pasti akan ada tuduhan hakim telah di rasuah, konspirasi peringkat tertinggi dan sebagainya. Semua ini tidak akan menyelesaikan isu Anwar dan Saiful, malah keadilan dan kebenaran sama sekali tidak akan diperoleh kedua-dua pihak.


Hal ini adalah kerana, seluruh sistem utama di Malaysia (Polis, BPR, Kehakiman, Politik, Kepimpinan) sudah tidak dipercayai lagi, apakah yang tinggal untuk kita percaya lagi? di manakah tempat yang sama-sama kita percaya untuk mencari keadilan dan kebenaran? Akhirnya hati kita akan menjawab bahawa kita bertuhankan Allah. Hanya kepada Allah sahaja tempat yang kita sama-sama yakini untuk mengadu dan berharap, agar Dia menunjukkan kebenaran dan keadilan, setelah seluruh cara dan jalan penyelesaian lain gagal untuk menyelesaikan masalah Anwar-Saiful ini, maka mengapa terlalu berat untuk kita kembali kepada Allah?


Apabila kedua-dua pihak Anwar dan Saiful gagal membuktikan masing-masing tidak bersalah, dan saling mendakwa tidak bersalah, mengapa tidak sahaja kembali kepada surah Ali Imran di atas? Biarkan Allah menghukum mana-mana pihak yang bersalah secara terus, kerana isu Anwar-Saiful ini sudah menjadi fitnah besar kepada agama, masyarakat dan negara! Ulama-ulama harus melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas. Yakni menutup pintu fitnah yang sedang melanda negara kita.


Soal membawa 4 saksi dan sebagainya, itu soal kedua. Soal pertama yang seharusnya diselesaikan dahulu ialah ; siapa yang bercakap dusta dan siapa pula yang bercakap benar. Selesaikan hal ini dahulu. Bukti yang ada sekarang tidak mencukupi untuk menghukum kedua-dua pihak yang mana bercakap benar dan yang mana berbohong. Lantaran itu, kita harus kembali kepada firman Allah di atas, “kemudian kita bermubahalah kepada Allah, mohon agar Allah menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta.” (Ali Imran : 61).


Saya tegaskan lagi di sini, kedua-dua pihak harus bersumpah kerana isu liwat ini sudah menjadi isu nasional dan mengharu birukan negara, fitnah memfitnah sudah bermaharajalela, caci maki menjadi kebiasaan, tuduh menuduh sudah sebati dengan masyarakat, buruk sangka sudah menjadi hidangan seharian kita. Semua ini merosakkan perpaduan umat Islam dan merosakkan kemuliaan agama Islam itu sendiri. Kebenaran dan keadilan sudah diperlecehkan oleh semua pihak.


Kalau kita dipihak yang benar, tiada sebab untuk takut. Soalan yang perlu kita jawap sekarang ialah, apakah dengan kedua-dua pihak melakukan sumpah mubahalah, maka ia akan mencemarkan nama kedua-dua pihak? Atau dengan bersumpah ini ia mampu membersihkan nama orang yang difitnah? Matlamat sumpah mubahalah adalah mencari kebenaran dan memohon kepada Allah ditunjukkan siapakah antara mereka yang berdusta dan berbohong! Itu sahaja. Jika Anwar percaya bahawa dia tidak berbohong, maka segeralah bersumpah. Selesai masalah, tidak perlu hubungi ulama luar negara untuk menentukan perlu atau tidak perlunya beliau bersumpah. Kembali sahaja kepada al-Quran di sana ada jawapannya. Jika beliau berani membuat demonstrasi, berani ditangkap oleh polis, berani melawan sesiapa sahaja, sama ada kerajaan Timur dan Barat, mengapa dalam isu sumpah ini beliau terlalu takut menyambut cabarannya dan melakukan sumpah mubahalah?


Saya sudah muak dan kecewa, apabila sudah ada cara penyelesaiannya di depan mata, kita masih tidak mahu menerima. Tanyakan kepada diri kita sendiri, jika kedua-dua pihak bersumpah mengikut cara Islam, isu ini pasti akan selesai tidak lama lagi. Cukuplah isu al-Arqam yang telah Allah tunjukkan kepada mereka dalam masa tiga bulan sebagaimana yang dipinta oleh pengikut-pengikut Ashaari Muhammad pada suatu ketika dahulu, yang akhirnya Ashaari Muhammad disumbat ke dalam penjara.


Walaupun hukum bersumpah ini mengikut pandangan ulama adalah makruh, namun demikian, hukumnya boleh berubah menjadi wajib apabila melibatkan fitnah yang besar ke atas masyarakat, agama dan negara. Anwar merupakan nama besar, baik di Malaysia, mahupun di peringkat antarabangsa. Jika beliau tidak bersumpah, maknanya beliau tidak mahu membersihkan namanya yang sering didakwa sebagai fitnah. Ke mana lagi Anwar ingin mencari kebenaran dan keadilan? Mahkamah di Malaysia? Soalnya adakah Anwar percaya kepada Mahkamah di Malaysia? Adakah penyokong-penyokongnya yakin dengan badan kehakiman di Malaysia? Anwar pada pandangan saya wajib bersumpah! Dan hukumnya bukannya makruh lagi.


Kita juga harus faham, dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim, nabi bersabda, maksudnya sebegini, doa orang yang dizalimi sama ada orang Islam atau bukan orang Islam, jika mereka berdoa, doanya tidak akan ada sekatan lagi untuk sampai kepada Allah bagi dimakbulkan-Nya. Lantaran itu, jika Anwar merasakan dirinya dizalimi, doa dan bersumpahlah agar orang yang menzaliminya menerima pembalasan di dunia lagi. Dan Allah tidak akan mensia-siakan doa orang yang dizalimi. Jadi, apa yang Anwar takutkan?


Persoalan yang mendakwa bahawa, sekalipun Saiful dan Anwar bersumpah mubahalah, tidak semestinya Allah menurunkan laknatnya-Nya di dunia lagi, merupakan jawapan orang yang tidak yakin dengan agamanya sendiri. Jika sumpah mubahalah bukan bertujuan untuk mendapatkan jawapan segera daripada Allah, maka tidak turunlah perintah Allah kepada Rasulullah untuk melakukan mubahalah dengan perutusan kaum Nasrani Najran untuk sama-sama kedua-dua pihak mengikrarkan permohonan kepada Allah agar menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta. Cara tersebut ditempuhi untuk mengakhiri perdebatan antara kedua-dua belah pihak mengenai kedudukan Isa putera Maryam. Sudah tentulah pihak Rasullah yang benar dalam isu ini.


Lantaran itu, hanya orang yang benar-benar ikhlas dan yakin bahawa dia berada di pihak yang benar sahaja, yang sanggup melakukan sumpah mubahalah ini. Sekarang, kita hanya menunggu laknat Allah akan terjadi atau tidak ke atas diri Saiful, jika tidak, maka kita sendiri boleh menjawab, siapakah yang bercakap benar dan siapa pula yang berbohong. Saya di sini juga ingin mencadangkan agar Anwar yang mempunyai hubungan yang baik dengan ulama-ulama Timur Tengah, ambillah cuti dan bersumpahlah di tanah suci, jika beliau benar-benar yakin beliau tidak berbohong dalam isu ini. Saya percaya, ramai jutawan yang sanggup “menaja” penerbangan beliau ke tanah suci untuk niat yang suci mencari keadilan dan kebenaran di hadapan Kaabah dan bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau benar-benar dizalimi. Susah sangat ke?


Kepada Ulama-ulama yang tidak bersetuju Anwar bersumpah, tolong tanyakan kepada diri sendiri, apakah dengan cara bersumpah ini maka masalah akan bertambah rumit atau masalah ini akan semakin hampir ke arah penyelesaiannya? Tanya juga, apakah yang kurang dan celanya, jika Anwar bersumpah? Apakah dengan Anwar bersumpah maka negara dan rakyat akan bertambah kecoh dan gundah gelana? Sebenarnya bersumpah adalah jalan terbaik untuk Anwar membersihkan dirinya daripada fitnah yang terlalu besar ini. Keyakinan rakyat akan pulih, suasana tegang akan kendur kembali, fitnah akan berhenti dan rakyat akan senang hati, jika benar Anwar difitnah selama ini. Tiada sebab mengapa ulama-ulama mencadangkan kepada Anwar agar beliau tidak bersumpah. Kecuali ulama-ulama tersebut mengetahui kisah yang sebenar dan dibimbangkan jika Anwar dimakan sumpahnya sendiri.


Apabila Presiden Pas Haji hadi Awang berkata berkenaan sumpah saiful tersebut seperti ini, "Itu satu kebodohan terhadap hukum Islam, malangnya melibatkan mereka yang memakai jenama agama. Itu (bersumpah) tidak menepati apa yang dikehendaki dalam hukum Islam. "Yang ada dalam Islam ialah li'an (iaitu sumpah melibatkan suami isteri)...sumpah dengan kitab suci ini ialah amalan Kristian yang bersumpah dengan Bible.


"Kita orang Islam mestilah li'an. Li'an ialah dalam tuduhan zina suami kepada isteri (tetapi) Anwar dan Saiful ini bukan suami isteri," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu sumpah laknat menggunakan al-Quran oleh Mohd. Saiful. Beliau berkata adalah tidak wajar masyarakat menghukum Anwar berdasarkan tindakan Mohd. Saiful yang “kebetulan” dibuat sehari sebelum proses penamaan calon Parlimen Permatang Pauh berlangsung. Menurut beliau, perkembangan terbaru itu tetap tidak akan menjejaskan sokongan dan kepercayaan Pas kepada Anwar, sebaliknya parti itu akan terus membantu Anwar untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.


Haji Hadi seolah-olah tidak faham waki’ dan matlamat sesuatu syariat itu diturunkan, Dalam kenyataan ini juga seolah-olah Haji Hadi menafikan bahawa di dalam al-Quran terdapat ayat yang menerangkan nabi pernah bermubahalah dengan Nasrani Najran, jadi mengapa sumpah hanya dibataskan kepada Li’an semata-mata? Jelas beliau lebih mementingkan politik daripada mencari siapakah yang bercakap benar dan siapa pula yang berbohong! Haji Hadi perlu kembali melihat isu ini dengan jujur dan menyeluruh.


Kebenaran sebenarnya sudah semakin hampir di depan mata, tetapi malang, ulama sesama ulama masih bertelagah untuk mencari jalan pulang yang terlalu jauh. Banyak lagi yang ingin saya tulis, tetapi masa membatasi saya, namun demikian kebenaran tidak mungkin saya selindung lagi. wallahualam. Mohon ampun kepada Allah jika ada salah dan silap daripada hamba-Mu ini. Tiada niat lain, melainkan untuk mempertahankan kebenaran yang sudah pasti!

August 13, 2008


Penulis Bersama Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar

Salam
Hormat Guru!


Setahun yang lalu, saya bertemu dengan Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, CEO MK Land dan antara orang Melayu terkaya di Malaysia. Dua kali pertemuan saya dengan beliau membuatkan saya memahami bagaimanakah kita mahu berubah untuk berjaya. Pertemuan pertama saya dengan beliau adalah di Taiping Golf Resort dan yang kedua di pejabat beliau sendiri di Mutiara Damansara.


Tokoh penting dalam sektor hartanah ini benar-benar seorang yang cukup tegas dan berjiwa pendidik. Banyak pengajaran yang saya peroleh daripada beliau, antaranya yang cukup penting ialah : kita sebenarnya selalu tersilap dalam membina soalan untuk diri kita sendiri, atau dengan kata lain, kita sering bertanyakan soalan yang salah untuk diri kita. Dan apabila kita bertanyakan soalan yang salah, maka sudah pasti jawapannya juga adalah salah.


Inilah inti pati yang saya dapat dalam pertemuan saya dengan beliau. Untuk menjadi orang yang berjaya, kita harus berdialog dengan diri kita melalui soalan-soalan yang relevan dan mampu memberikan momentum untuk kita bertindak, dan bukan soalan-soalan yang menyebabkan kita lebih menjadi pasif dan negatif.


Soalan seperti apakah dengan nasib aku ini?, apalah nak jadi dengan aku ini?, apa lagi yang boleh aku buat? Dan soalan-soalan yang seangkatan dengannya merupakan soalan yang hanya mengundang sifat pasif dan lemah semangat. Untuk berjaya, kita harus membina pertanyaan-pertanyaan yang memberangsangkan diri kita untuk bertindak dan bergerak ke hadapan. Amalkan soalan-soalan yang konkrit dan objektif, agar otak dan minda kita berfungsi dengan lebih kemas dan matang.


Tanya selalu dalam diri kita, Apa lagi usaha-usaha yang boleh memajukan diri dan syarikat aku ini? Atau apakah yang hendak aku lakukan agar aku berjaya? Atau bagaimanakah aku hendak melalukannya atau mencapainya? Atau bagaimanakah cara untuk aku mencapai keinginan dan cita-cita aku ini? Banyak lagi soalan-soalan yang memberangsangkan dan mampu menggerakkan minda dan fizikal kita. Janganlah kita bertanyakan soalan-soalan yang salah kepada diri kita sendiri, kerana soalan yang salah sudah tentu mengundang jawapan yang salah juga, dan jawapan yang salah sudah tentu menyebabkan langkah kita juga akan salah. Fikir-fikirkan hal ini. Tidak mampu saya menghuraikannya terlalu panjang dalam ruang yang terhad ini.

August 10, 2008


Penulis Bersama Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Pejabatnya.

Belajar
Daripada GURU

Pada 7 Ogos yang lalu saya berkesempatan menghadiri Program Jaringan Usahawan PUNB Peringkat Nasional 2008 dengan tema “Ke Arah Pemantapan Perniagaan”, di PWTC. Ucap Utama yang disampaikan oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop boleh dijadikan iktibar untuk sama-sama kita menilai keadaan ekonomi negara kita ketika ini.


“Kadar inflasi negara telah meningkat sebanyak 7.7 peratus bagi bulan Jun tahun ini.”


Hal ini merupakan kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh menteri Kewangan Ke II itu. Jelas, bahawa jika kadar inflasi terus meningkat, ekonomi akan berhadapan dengan kelembapan yang berpanjangan.


Beliau menjelaskan lagi, “Sungguhpun baru-baru ini peningkatan harga minyak telah reda sedikit, ia masih berada di paras tinggi.”


Daripada kenyataan tersebut, saya mula berfikir bahawa kerajaan sama sekali tidak akan menurunkan harga minyak, hanya kerana harga minyak dunia telah turun. Sikap manusia dan psikologi manusia sememangnya begitu. Jika harga naik, jarang sekali boleh diturunkan semula. Ia akan terus naik sampai bila-bila. Walaupun kerajaan mahu menurunkan harga minyak, tetapi pihak industri, khususnya akan memberi pelbagai alasan untuk tidak berbuat sedemikian.


Alasan besar mereka, “Kami tidak dapat mengasingkan minyak yang telah kami beli pada waktu harganya yang sedang tinggi, dengan harganya yang sedang rendah ketika ini, kerana minyak kami telah bercampur-campur. Eloklah kiranya kami mengekalkan harganya yang ada ketika ini.”


Saya percaya, ekonomi pasaran bebas sememangnya tidak pernah adil. Mengikut teori pasaran bebas, sesuatu produk atau perkhidmatan itu, ditentukan oleh kuasa pasaran, secara logiknya, inflasi akan sentiasa mengecil dan tidak akan berkembang. Hal ini adalah kerana, apabila sesuatu permintaan meningkat, harga akan naik sedikit dan inflasi turut meningkat. Tetapi, harga pasti akan jatuh semula setelah permintaan itu semakin berkurangan, disebabkan faktor harganya yang sudah terlalu mahal dan permintaan yang semakin berkurangan. Tetapi, realiti itu tidak pernah berlaku secara sama rata, khususnya di peringkat rakyat bawahan. Teori pasaran bebas tidak pernah berlaku di peringkat perniagaan kelas pertengahan. Pihak industri, tidak akan peduli sama ada sesuatu produk atau perkhidmatan tersebut sudah jatuh harganya di peringkat antarabangsa, yang mereka pentingkan ialah memaksimumkan keuntungan.


Di pihak kerajaan, dengan pelbagai kelemahan agensi penguatkuasaan, tidak bisa memantau hal tersebut sehingga ke akar umbi. Mengapa terjadi begitu? Hal ini berlaku adalah kerana, sistem kapitalis itu sendiri yang tidak secocok dengan kehendak ajaran Islam itu sendiri. Namun demikian, bukanlah mudah untuk mengubah sebuah sistem yang sudah sebati dengan ekonomi antarabangsa, tetapi kita mempunyai alternatif untuk menyelesaikannya dengan “sistem” dan “kebijaksanaan” yang Tuhan berikan kepada kita.


Kita hanya perlu membina sistem yang mampu mengawal keseluruhan industri dan bukan mengerahkan tenaga kerja untuk mengawal industri. Hal ini pernah berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menyelesaikan krisis kewangan yang melanda Asia pada tahun 1998 dahulu. Menentang rejim kapitalis dengan senjata mereka sendiri. Kelembapan ekonomi yang dibicarakan oleh dunia ketika ini, harus dilihat sebagai peluang oleh Malaysia dengan menekankan aspek industri perkhidmatan yang cekap, kemas dan jimat, agar kos sesuatu produk itu dapat dikurangkan.


Di samping itu, mengkaji untuk melaksanakan semula langkah tambatan ringgit ketika ini amat sesuai, para pelabur mementingkan keyakinan dan kepastian terhadap setiap dolar yang mereka laburkan. Jika tambatan ringgit dilaksanakan semua, keuntungan dan kerugian sesuatu pelaburan itu sudah mampu dijangkakan. Sekali gus ekonomi Malaysia lebih berdaya saing berbandingan dengan negara-negara jirannya.


Berjimat cermat ada hadnya. Jika semua rakyat berjimat cermat, hancurlah industri dan ekonomi negara, kerana wang sudah tidak lagi berfungsi sebagai medium untuk pendapatan. Dalam keadaan ekonomi dunia lembap, kita tidak boleh meminta rakyat agar menyimpan duit mereka di bank semata-mata. Tetapi, mesti menggalakkan mereka berbelanja agar industri yang telah kita bina selama ini tidak akan mati.

August 6, 2008

Nasionalisme dan Assabiyyah
Dua Konsep Berbeza

Oleh Muhammad Azli Shukri

(Artikel ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 25/08/2003)

Tahun ini merupakan tahun ke-51 tanah air kita mencapai kemerdekaan. Semua lapisan rakyat, tidak kira agama dan bangsa, telah menikmati kemakmuran dan keamanan, hasil daripada usaha dan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu. Tidak ternilai segala jasa dan pengorbanan mereka itu. Dan bersyukur merupakan sebahagian daripada tanda kenangan kita terhadap perjuangan mereka itu.


Kemerdekaan sama sekali tidak dapat dipisahkan daripada konsep nasionalisme. Iaitu semangat cinta akan tanah air dan bangsa sendiri. Namun begitu, terdapat segelintir umat Islam di negara ini, yang menyalah tafsirkan konsep nasionalisme sehingga ada yang sanggup mendakwa bahawa konsep tersebut merupakan konsep yang bercanggah dengan ajaran Islam. Dakwaan golongan ini adalah mudah. Iaitu nasionalisme adalah sama ertinya dengan assabiyah. Mereka berhujah berdasarkan sabda Rasulullah, “bukan daripada golongan kami orang yang menyeru kepada assabiyah, dan bukan daripada kami orang yang berperang atas dasar assabiyah dan bukan daripada kami orang yang mati atas dasar assabiyah.” (Riwayat Abu Daud).


Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan perkataan assabiyah itu? Apakah assabiyah semakna dengan konsep nasionalisme itu sendiri? Soalan-soalan sebegini harus segera dijawab agar tidak lagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Nasionalisme berasal daripada perkataan Latin natio yang mendukung erti “kelahiran”. Pada zaman ini, nasionalisme sudah diterima sebagai istilah bagi suatu keyakinan politik. Malah daripada kalimah natio itu juga terbentuknya istilah-istilah lain seperti nation (bangsa), nationality (perasaan kebangsaan), nationalization (menjadikan sesuatu harta kekayaan sebagai hak milik negara) dan nation-state (negara bangsa).


Tokoh-tokoh sejarah barat seperti Hans Kohn mentakrifkan nasionalisme dengan agak sempit iaitu, “satu keadaan fikiran yang menyerap ke dalam jiwa segenap masyarakat dan mereka mengiktiraf negara bangsa sebagai bentuk organisasi politik yang unggul, dan bangsa sebagai punca bagi segala kehidupan budaya yang membina dan mengguna kebajikan ekonomi. Oleh itu kesetiaan ulung manusia adalah tertumpu kepada bangsanya, kerana kehidupannya sendiri adalah dipercayai berdasarkan kepada dan dimungkinkan oleh kebajikan bangsanya.”


Ini merupakan takrif golongan yang tidak beriman kepada Allah. Golongan seperti ini menjadikan perjuangan atas nama bangsa sebagai perjuangan untuk mencapai segala-galanya. Sedangkan dalam Islam, konsep nasionalisme diletakkan pada kedudukannya yang sesuai dan wajar, serta tidak terkeluar daripada garis syariat itu sendiri. Oleh kerana itu, Islam sama sekali tidak menolak kesemua ciri yang terdapat di dalam konsep nasionalisme tersebut. Menurut Islam mana-mana ciri nasionalisme yang sesuai dengan roh dan syariat Islam, maka ia harus diterima, manakala ciri yang terpesong daripada ajaran Islam, maka ia harus segera ditolak. Ada benarnya juga apa yang telah di dakwa oleh bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Muhammad Abdul Rauf, “konsep Barat yang sempit mengenai nasionalisme tidak ada tempat di dalam negara Islam.”


Di Malaysia, terjadinya salah faham terhadap konsep nasionalisme dalam kalangan masyarakat di sebabkan kesilapan mereka sendiri, yang memahami nasionalisme di Malaysia merupakan nasionalisme yang ditakrifkan oleh orang-orang barat seperti di atas. Sedangkan nasionalisme yang dibentuk di Malaysia sejak dahulu lagi adalah berasaskan kepada nasionalisme yang dilihat dari perspektif Islam itu sendiri.


Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa Dr. Burhanuddin al-Hilmy pernah berkata dalam kongres Parti Islam Se-Malaya dalam tahun 1964, “Biarlah saya mengambil peluang mengingatkan lagi kepada bangsa-bangsa di dunia ini bahawa Melayu itu adalah nama satu bangsa yang mempunyai kebudayaan dan tanah airnya sendiri. Menghapuskan nama rupa bangsa Melayu adalah satu pengkhianatan politik kepada bangsa Melayu.”


Oleh kerana itu, di Malaysia nasionalisme diertikan dan difahami oleh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dahulu merujuk kepada konsep cintakan tanah air dan bangsa sendiri, di samping perasaan benci kepada sebarang bentuk penjajahan kuasa luar, seperti mana takrif yang terdapat di dalam Kamus Dewan. Mencintai tanah air dan bangsa sendiri merupakan perkara yang sama sekali tidak bercanggah dengan roh Islam itu sendiri.


Golongan yang cuba mengelirukan masyarakat dengan mentakrif bahawa assabiyah adalah sama dengan semangat nasionalisme, merupakan golongan yang cuba merosakkan fikiran masyarakat yang kurang berpengetahuan. Hal ini kerana, Rasulullah telah bersabda ketika seorang sahabat bertanya “Ya Rasulullah, adakah terbilang daripada assabiyah seseorang itu yang kasih akan kaumnya?'' baginda menjawab “Tidak! Tetapi, terbilang daripada assabiyah menolong kaumnya melakukan kezaliman (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah). Perkara ini diperkuatkan dengan satu lagi sabda Rasulullah apabila baginda ditanya oleh Wailah bin Asqah “Ya Rasulullah, Apakah yang dikatakan assabiyah itu?'' Jawab baginda “Bahawa engkau menolong kaummu dalam kezaliman.” (Riwayat Abu Daud).


Cukup jelas sabda-sabda Rasulullah tersebut. Assabiyah adalah merujuk kepada “menolong kaum sendiri dalam melakukan kezaliman”, seperti mana yang firman Allah “hendaklah kamu tolong-menolong dalam mengerjakan pekerjaan yang baik dan janganlah bantu membantu dalam mengerjakan dosa.” (Al-Maidah:2) Malah, assabiyah ini lebih menghampiri makna dengan ta`assub atau fanatik. Hal ini adalah kerana, kebiasaannya orang-orang yang ta`ssub sahaja yang gemar mengikuti kumpulan, kaum atau bangsanya secara membuta-tuli, walaupun kadang kala sudah jelas kesalahan atau dosa yang mereka lakukan.


Dan ini sudah pasti berbeza dengan takrif nasionalisme yang menjurus kepada makna “rasa cinta serta kasih kepada bangsa dan tanah air sendiri” serta menolak sebarang bentuk penjajahan kuasa luar. Ini kerana, Rasulullah sendiri mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada bangsa dan tanah airnya sendiri. Kerana itulah, setelah beberapa tahun Rasulullah dan para pengikutnya berhijrah ke Madinah, mereka mula merasa rindu kepada tempat kelahiran mereka sendiri iaitu Mekah. Rasa rindu mereka bertambah-tambah sehinggalah hajat mereka ditunaikan oleh Allah.


Justeru itu, nasionalisme di Malaysia merupakan nasionalisme yang berada pada garis yang benar dan secocok dengan roh Islam itu sendiri. Seperti mana yang pernah dikatakan oleh Dr Muhammad Abdul Rauf, “walau bagaimanapun, nasionalisme sebagai sentimen yang semula jadi, cinta dan kesetiaan kepada tanah air sendiri adalah konsisten (secocok) dengan semangat Islam dan menggerakkan semangat untuk menghalang penjajah kuasa luar dengan apa cara sekalipun adalah selaras dengan konsep izzah (kehormatan diri sendiri) yang ditujukan Allah dengan firmannya “al-izzah ialah untuk Allah dan pesuruh-Nya dan yang beriman kepada Allah, tetapi orang munafik itu tiada mengetahui.” (al-Munafiqun: 8).


Ibnu Khaldun di dalam kitabnya Muqaddimah memetik sebuah hadis yang bermaksud “Allah tidak mengutus seseorang nabi melainkan dengan kekuatan kaumnya sendiri.” Dalam membincangkan hadis ini, Ibn Khaldun berpendapat bahawa kekuatan kaum adalah penting bagi setiap perjuangan, termasuk gerakan dakwah agama. Menurutnya, jika nabi pun memerlukan kekuatan kaumnya terlebih dahulu dalam menyampaikan risalah Allah, maka sudah tentu, kita sebagai insan biasa amat memerlukannya lagi.


Nabi Muhammad juga pada permulaan dakwahnya dibantu oleh kekuatan keturunan dan salasilah keluarganya yang berasal daripada bani Hasyim. Selain itu, baginda turut dibantu oleh isterinya, Siti Khadijah yang tidak hanya disegani kerana kekuatan perniagaannya, tetapi kerana keturunannya yang dimuliakan oleh penduduk Mekah.


Maka, sekali lagi Nabi Muhammad dibantu oleh “kekuatan kaum” dalam saat baginda menyampaikan risalah Allah SWT Jadi kaum atau bangsa yang kuat amat diperlukan sebagai medium menyampaikan risalah Allah di muka bumi ini. Kekuatan kaum atau bangsa ini tidak mungkin diperoleh tanpa rasa kasih sayang yang ditanam di dalam diri kita sendiri.


Oleh itu dapat kita perhatikan bahawa, nasionalisme yang mempunyai kaitan dengan semangat kasih sayang dalam mempertahankan bangsa dan negara, haruslah digunakan berpandukan kaca mata al-Quran dan sunah. Menolak seratus peratus konsep nasionalisme, merupakan sesuatu yang cukup malang dan berbahaya. Namun demikian, membiarkan konsep nasionalisme tanpa bimbingan al-Quran dan sunah juga bakal mendatangkan keburukan. Dalam Islam mempertahankan agama dan memperjuangkannya adalah perkara yang utama, namun mencintai tanah air dan bangsa sendiri juga merupakan perkara yang harus di sisi Islam.


Oleh itu, tanggungjawab setiap individu ialah memperkemaskan diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan, agar sesuatu penilaian kita itu berasaskan kepada ilmu dan bukannya nafsu.