Tetamu Kehormat...

June 21, 2008


Kepimpinan

Alat Memajukan Ummah

Oleh MUHAMMAD AZLI SHUKRI

(Artikel ini sudah diterbitkan dalam Utusan Malaysia pada 30/09/2004)

Selepas Saidina Hussien mati terbunuh di tangan Yazid bin Muawiyah, orang-orang Syiah telah bersatu membuat pakatan untuk menggulingkan kerajaan Umaiyyah. Fitnah dan hasutan menjalar dan mempengaruhi umat Islam pada saat tersebut. Bahkan Bani Umaiyyah pasti hancur jika sikap ini tidak dibendung.


Hal ini membawa ingatan kita kepada sikap tegas Khalifah Abdul Malik bin Marwan demi membendung hasutan-hasutan dan fitnah yang semakin meruncing, ``Sesungguhnya umat ini tidak mungkin dapat kuubati melainkan dengan menggunakan pedang sehingga kamu semua bersikap lurus terhadapku.


``Ketahuilah sesungguhnya kami sanggup bersabar di atas segala tindakan kamu melainkan memberontak melawan pemerintah atau menegakkan bendera sendiri. Demi Allah jangan sesiapa berani menyuruhku supaya bertaqwa kepada Allah selepas ucapanku ini, kerana kalau ia lakukan juga akan kupenggal leher-nya''.


Pidato tegas ini, menggambarkan sikap dan bentuk kepimpinan Bani Umaiyyah dalam menangani unsur-unsur pemberontakan yang sedang bergiat cergas pada waktu tersebut. Dalam hal-hal tertentu ketegasan adalah perlu.


Kepimpinan yang cemerlang bermaksud, kepimpinan yang berpaksi kepada kebenaran. Tiada kompromi dalam soal-soal kebenaran. Jika sesuatu perkara itu sudah jelas bercanggah dengan syariat Islam, ketegasan mesti digunakan. Dan kepimpinan seumpama inilah yang bakal memajukan ummah.


Oleh kerana itulah kepimpinan bukanlah sesuatu yang boleh diminta-minta. Kerana ia merupakan amanah yang akan dipertanggungjawabkan kelak.


Hal ini mengingatkan kita kepada sabda Rasulullah s.a.w., "Janganlah kamu meminta kepimpinan, jika kamu menjadi pemimpin dan dipertanggungjawabkan dengan sesuatu masalah, maka ia akan membinasakan kamu. Dan jika kamu menjadi pemimpin tanpa memikul sesuatu masalah, maka ia akan memberatkan kamu." (Riwayat Bukhari)


Kepimpinan pada dasarnya merupakan unsur penting untuk memajukan agama, bangsa dan negara. Bahkan ia merupakan alat atau medium yang paling berkesan dalam menyampaikan risalah tauhid. Kepimpinan yang utuh merupakan kombinasi kekuatan iman, akal, ilmu, tindakan dan kebijaksanaan.


Kesilapan umat memilih pemimpin mereka, bermakna membiarkan diri mereka di ambang kehancuran. Umat Islam akan menjadi kuat dan maju, jika barisan kepimpinan yang dipilih bersikap tegas dengan hal-hal yang mungkar di samping berfikiran terbuka terhadap idea-idea baru dan mengelakkan diri daripada menjadi penghukum semata-mata.


Malah, amaran keras telah disampaikan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Sesiapa yang memimpin, namun tidak mengendahkan nasihat, tidak akan mencium bau syurga.


Kepimpinan yang cemerlang, merupakan simbol tidak rasmi kepada kekuatan sesuatu bangsa dan negara tersebut. Perebutan kuasa serta kepimpinan yang tidak berkesudahan, mampu membawa masyarakat dan negara ke arah kebinasaan.


"Sesiapa dalam kalangan kamu yang terlalu ingin memegang jawatan, nescaya akan menyesal pada Hari Kiamat." (Riwayat Bukhari).


Amaran Rasulullah s.a.w. ini, seharusnya menginsafkan diri kita. Bahkan menjadi kesedaran terhadap beratnya tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. "Kepimpinan adalah amanah, bencana dan penyesalan pada Hari Kiamat melainkan mereka yang memimpin dengan hak dan menunaikan kewajipannya." (Riwayat Ahmad).


Kembali kepada garis kasar perbincangan di atas. Oleh kerana kepimpinan merupakan elemen penting dalam memajukan ummah, maka mahu atau tidak, setiap pemimpin yang telah diamanahkan oleh rakyat untuk memimpin perlu meningkatkan prestasi, ilmu serta kewibawaan mereka dari semasa ke semasa, di samping mengukuhkan idealisme diri dan prinsip kebenaran yang telah dituntut oleh Islam.


Kita sama sekali tidak mahu menjadi pemimpin yang mengkhianati amanah, lantaran itu sabda Rasulullah ini harus dijadikan ingatan, "Celaka para penguasa, celaka para cendekiawan, celaka para pemegang amanah yang berangan-angan. Ketika Hari Kiamat, rambut mereka disulam dengan bintang timur, terawang-awang di antara langit dan bumi, sedangkan mereka tidak melakukan sesuatu pun." (Riwayat Ahmad).


Selain kewibawaan, saf-saf kepimpinan juga harus meningkatkan keberkesanan pengurusan organisasi mereka. Pengabaian ilmu ini bakal membawa kepada kekecohan, kelambatan tindakan, kelewatan menyelesaikan masalah dan pelbagai lagi kerumitan yang akan bertambah-tambah sehari demi sehari.


Justeru itu, ilmu pengurusan tidak boleh dipandang ringan akan kepentingannya. "Jangan kamu tangisi agama jika ia diuruskan oleh ahlinya. Tetapi tangisilah agama jika ia diuruskan oleh orang yang bukan ahlinya." (Riwayat Ahmad).


Walauapa pun, pemimpin yang menunaikan amanah dengan cemerlang dan jujur akan tetap memperoleh janji Allah, seperti yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah, "Tujuh golongan yang mendapat lindungan Allah pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan-Nya, (antaranya) pemimpin yang adil." (Riwayat Bukhari dan Muslim) dan "Sesungguhnya manusia yang paling dikasihi oleh Allah pada Hari Kiamat dan yang paling rapat dengan-Nya adalah pemimpin yang adil." (Riwayat Ahmad).


Kepimpinan, selain daripada alat untuk membangunkan negara dan bangsa, ia juga merupakan medium untuk mentadbir dan menguruskan manusia. Kepimpinan yang lemah, bermakna membiarkan agama, bangsa dan negara berada di dalam keadaan yang bahaya.


Pada hari ini, kepimpinan yang baik, adalah kepimpinan yang menguasai pelbagai disiplin ilmu pengetahuan. Dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu bidang sahaja. Pendek kata, barisan kepimpinan yang baik adalah barisan kepimpinan yang mewakili pelbagai pihak, umur, pendidikan dan latar belakang sosioekonomi sesuatu masyarakat itu. Dan gabungan yang pelbagai inilah, insya-Allah mampu membawa sesebuah negara dan bangsa itu ke mercu kejayaan.

June 15, 2008


Penulis bersama Datuk A. Kadir Jasin di Taiping Golf Resort.

Apabila Blogger
Bertemu
Blogger


Saya bertemu dengan Datuk A.Kadir Jasin pada Majlis Kolokium Mengantarabangsakan Melayu di Taiping Golf Resort pada bulan Mei tahun lalu. Pertemuan yang turut dihadiri oleh Tun Mahathir Mohamad dan Pengerusi MK Land Holdings Tan Sri Mustapha Kamal itu membincangkan bagaimana langkah terbaik bagi membawa usahawan-usahawan Melayu ke persada antarabangsa, kerana pasaran ekonomi domestik sudah semakin tepu dan kecil. Usahawan-usahawan kita, khususnya usahawan Melayu sudah tidak mampu lagi bersaing di peringkat domestik, kerana faktor pasarannya yang semakin mengecil dan terlalu berdaya saing dengan pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa. Usaha ini amat saya puji, apatah lagi langkah bijak ini telah dilaksanakan oleh Datuk Mukhriz Mahathir sebagai pengerusi majlis tersebut.



Usahawan Melayu perlu ke luar negara mencari pasaran baru, tetapi mestilah bijaksana dan bukan membabi buta. Oleh sebab pasaran ekonomi Malaysia semakin lemah dan tidak tentu arah, usahawan-usahawan Malaysia, khususnya usahawan Melayu harus segera mencari tapak baru di luar negara. Persekitaran ekonomi negara kita tidak lagi seperti zaman Tun Mahathir yang mesra pelabur dan melindungi industri negara daripada ancaman luar. Sebaliknya, persekitaran ekonomi Malaysia pada hari ini lebih mengikut telunjuk Bank Dunia, IMF dan Amerika Syarikat. Sehingga kini, tidak nampak sebarang mekanisme yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam usaha mengurangkan tekanan kenaikan harga minyak terhadap pelbagai industri negara. Pemain-pemain industri semakin tersepit dan terhimpit, simpanan individu semakin berkurangan dan pergerakan ekonomi semakin lemah, kerana orang ramai mula berfikir dua tiga kali untuk berbelanja. Wang sudah semakin tidak menjadi alat pusingan yang baik untuk kitaran ekonomi. Jika ini berterusan, banyak syarikat akan tutup dan kerajaan akan kekurangan cukai, apatah lagi untuk melihat syarikat baru muncul jauh panggang daripada api. Kesannya, pelajar-pelajar tahun satu yang berada di universiti-universiti tempatan pada ketika ini, bakal menjadi penganggur kehormat untuk tiga tahun yang akan datang, ekoran persekitaran ekonomi yang tidak stabil dan harga barang yang semakin melambung tinggi.



Dan sekarang, kerajaan juga dijangka membekukan pengambilan pekerja dalam sektor awam. Begitu juga pihak swasta, akan memerah tenaga kerja yang sedia ada dalam usaha untuk menjimatkan kos operasi mereka, akibat daripada kenaikan harga minyak. Semua ini mengundang padah dan sengsara. Syarikat-syarikat kecil tidak boleh bernafas lagi. Menyuruh rakyat menukar cara hidup adalah nasihat yang hanyalah layak diberikan kepada orang-orang yang kaya, bukan masyarakat kelas pertengahan seperti kami. Sebelum kenaikan harga minyak pun perbelanjaan kami cukup-cukup makan sahaja. Dan apabila harga minyak naik begitu tinggi, kami pula yang diminta tukar cara hidup. Sedangkan cara hidup kami sebelum ini pun sudah tenat, nak tukar macam mana lagi?



Pertemuan saya dengan Datuk A.Kadir Jasin merupakan simbol sokongan saya terhadap tulisan-tulisan beliau dalam blognya selama ini. Terutama berkenaan isu kenaikan harga minyak yang menurut pandangannya kerajaan telah tersilap dalam membuat perbandingan dengan harga minyak di negara-negara maju. Kuasa beli mereka berbeza dengan kuasa beli kita, khususnya orang-orang Melayu.



Yang semakin jelas saya perhatikan, ekonomi orang Melayu semakin tersisih dalam negaranya sendiri, akibat kenaikan harga minyak yang dinaikkan secara tidak bijaksana. Hal inilah yang berlaku pada waktu-waktu awal orang Melayu menuntut kemerdekaan negara, mereka merasakan bahawa ekonomi mereka semakin tersisih lantaran kewujudan peniaga-peniaga Cina yang semakin bertambah di pekan-pekan besar, yang akhirnya peniaga-peniaga Melayu tidak mampu bersaing dan kembali ke kampung-kampung, serta berniaga secara kecil-kecilan di pasar-pasar tani. Kesudahannya, masalah ini menimbulkan dilema ekonomi orang Melayu yang diceritakan secara panjang lebar oleh Tun Mahathir dalam buku popularnya, Dilema Melayu. Orang Melayu menuntut kemerdekaan antara lainnya adalah disebabkan faktor ekonomi. Mereka berharap dengan adanya kuasa politik, maka dilema ekonomi orang Melayu boleh diselesaikan. Malangnya, setelah kita merasa nikmat ekonomi yang sedikit selama 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, kita telah dihadiahkan dengan kenaikan harga minyak yang paling tinggi dalam sejarahnya. Dan kemudian, kita diminta agar menerima bulat-bulat segala alasan, bahawa keadaan ekonomi dunia sudah sebegitu, maka rakyat haruslah bersiap sedia menerima apa-apa sahaja yang berlaku terhadap diri mereka kelak.


Seorang ayah yang miskin adakah sanggup untuk menyatakan kepada anak kecilnya, “ayah miskin, tiada duit, jadi kamu jangan menangis kerana lapar ye, ayah tidak tahu nak buat apa-apa lagi.” Saya tidak fikir si ayah akan berkata sedemikian kepada anak kecilnya. Dia sama sekali tidak akan memberi alasan kemiskinan dan tiada duit serta menyerah kepada takdir semata-mata akan nasibnya. Si ayah pasti akan memerah otak untuk berfikir dan mencari jalan, agar anak kecilnya ada makanan untuk dimakan, sekurang-kurang untuk malam tersebut. Begitulah baru dikatakan seorang ayah yang bertanggungjawab terhadap keluarganya. Bukan dengan memberi pelbagai alasan untuk lepas tangan.



Dalam sebuah rumah yang dipanggil negara, kita juga mempunyai seorang ayah yang kita dikenali sebagai Perdana Menteri. Maka tanggungjawab beliaulah memastikan seluruh keadaan rakyat dan negara berada dalam keadaan stabil dan tidak gundah gulana. Namun demikian, yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Rakyat tidak rasa selesa, bahkan berasa kecewa dengan kepimpinannya, dan jauh lebih mendukacitakan ialah, diri Perdana Menteri itu sendiri yang sesungguhnya telah menjadi bahan fitnah kepada agama dan negara tercinta ini.

June 13, 2008


Penulis bersama Mufti Perlis SS Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Ikuti wawancara saya bersama Sahibul Samahah (SS) Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis baru-baru ini.


Ekonomi ialah Senjata Zaman Ini.”


Apa pandangan Dr. terhadap ekonomi Islam yang semakin diterima oleh masyarakat antarabangsa, khususnya sejak kewujudan perbankan Islam dan sekarang pula kelahiran industri halal?


Penerimaan ini ada dua sebab. Pertama, kesedaran dalam kalangan umat Islam tentang pentingnya mereka mengendali atau berurusan dalam soal ekonomi dan makanan harian secara halal. Hal ini menunjukkan, kesedaran Islam semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Islam, terutama dalam soal ekonomi yang biasanya tidak begitu diberi perhatian.


Banyak yang prihatin tentang makanan halal, walaupun kadangkala seseorang itu tidak solat sekalipun, tetapi masih dia mencari yang halal. Namun demikian, soal perbankan atau soal riba secara lebih khusus, masih banyak yang alpa. Apatah lagi apabila menjejaskan keuntungan ekonomi seseorang.


Apabila seseorang sanggup meninggalkan peluang keuntungan disebabkan oleh faktor riba atau transaksi yang tidak diizinkan syarak, lalu bersusah payah mencari alternatif halal, hal ini menunjukkan adanya unsur keimanan yang kuat. Hal ini patut kita hormati.


Lagipun, insan itu sendiri akan sedar bahawa harta atau kekayaan semata-mata belum tentu dapat membawa seseorang kepada kedamaian hidup, tanpa diiringi dengan unsur keberkatan dan sakinat (ketenangan) daripada Allah. Kesedaran ini membantu keprihatinan masyarakat terhadap soal halal ini. Ini hasil kempen dakwah Islamiah yang dilakukan oleh pelbagai pihak.


Kedua, penerimaan produk halal ini, terutamanya dalam hal perbankan, kerana manusia ini sekalipun tidak Muslim dia inginkan alternatif yang lebih adil dan terhindar daripada unsur penindasan. Kalau isu makanan, soal kebersihan yang dititikberatkan. Membenci penindasan dan inginkan kebersihan merupakan perkara yang dikongsi oleh setiap insan normal tanpa mengira batasan bangsa dan agama.



Apakah cabaran utama dalam membangunkan industri halal ini pada pandangan Dr.?


Saya lihat ada dua cabaran besar dalam hal ini. Pertama, sejauh manakah operasi yang menggunakan nama Islam dalam industri ini benar-benar mencerminkan keharmonian agama ini, dari segi zahirnya dan spiritualnya juga. Hal ini terutamanya dalam masalah perbankan.


Adakah unsur penindasan yang ditentang oleh Islam masih terdapat dalam operasi yang dijalankan? Jangan hanya dari segi zahir akadnya sahaja kelihatan halal, tetapi nilai-nilai penindasan yang dimusuhi Islam masih wujud dengan jelas. Akhirnya, Islam hanya dipergunakan untuk kepentingan.


Kedua, dalam banyak keadaan kita masih menjadi pengguna, bukan pengeluar. Maka, akhirnya kita hanya sekadar mampu mengesahkan keluaran orang lain sahaja. Dalam bahasa lain, kita hanya makan kuah, isinya dipungut oleh orang lain. Saya teringatkan kata-kata Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi dalam bukunya Maza khasira al-`Alam bi Inhitat al-Muslimin. Beliau mengkritik dunia Arab dengan menyatakan,


“Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa-apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya … sesungguhnya dunia Arab tidak dapat memerangi Barat - jika keadaan memerlukan demikian - selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Sungguh memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain”.


Adakah kewujudan dan perkembangan industri halal ini menjadi titik tolak terhadap penerimaan masyarakat bukan Islam terhadap sistem ekonomi Islam pada masa akan datang?


Saya rasa dalam soal ekonomi, penerimaan manusia kepada sesuatu sistem lebih cenderung terhadap faktor untung rugi. Sekian lama orang Islam berpegang pada sistem kapitalisme dalam ekonomi tidaklah bererti mereka beriman dengan kapitalisme. Namun demikian, oleh sebab hanya itu ruang yang ada, maka mereka mengambil jalan mudah atas kelemahan diri sendiri.


Lantaran itu, kita ingin agar penggunaan masyarakat antarabangsa terhadap sistem ekonomi Islam ini berupaya membuka kesedaran mereka kepada keindahan Islam. Oleh sebab itu, pihak yang beroperasi atas nama sistem Islam ini perlulah menonjolkan unsur-unsur kerahmatan Islam tersebut secara jelas.


Di samping kita berniaga, jangan lupa meletakkan tujuan dakwah dan cita-cita dalam mempamerkan imej murni Islam kepada dunia. Jika hal ini berlaku, kita akan memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat. Kita buktikan kepada mereka bahawa terdapat perbezaan yang nyata antara sistem yang berpandukan wahyu dengan sistem yang hanya memikirkan untuk keuntungan semata-mata.



Apakah pandangan Dr. terhadap prospek masa hadapan industri halal, khususnya di Malaysia, yang kini terkenal sebagai pusat halal di rantau ini?


Ekonomi ialah senjata zaman ini. Saya lebih memikirkan pembangunan ekonomi umat Islam itu sendiri, bukan soal halal semata-semata. Jika sekadar halal, saya fikir negara yang bukan Islam pun boleh berjaya menjadi pusat halal jika mereka lebih efisien dalam kerja mereka.


Apatah lagi jika kita berfikiran sempit atau lebih cenderung mengharamkannya, sedangkan prinsip Islam cenderung menghalalkan. Oleh hal yang demikian, pihak lain akan mengambil kesempatan. Bagi saya, yang penting penekanan kepada produk Muslim halal demi menjanakan ekonomi kita.


Terdapat beberapa faktor yang boleh membantu hal ini. Antaranya, yang pertama isu halal haram. Isu mengenai makanan tidak halal telah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam. Hal ini disebabkan oleh umat Islam gagal berdikari dalam menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.


Yang kedua faktor kuasa membeli yang tinggi. Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada kuasa membeli yang tinggi. Hal ini demikian kerana jumlah umat yang banyak menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka tinggi juga. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat dalam kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa.


Yang ketiga faktor ketegangan yang wujud. Ketegangan yang wujud sekarang antara blok Barat dengan umat Islam boleh membantu ke arah mewujudkan umat yang lebih memiliki jati diri dan berdikari. Jika pelancong Arab banyak yang enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga menggunakan dan menghasilkan barangan negara Islam.


Jika ukhuwah Islamiah itu benar-benar dapat digilap sehingga peringkat penghayatan dalam bidang ekonomi, umat Islam mempunyai potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jati diri dalam ekonomi. Ekonomi ialah senjata baharu yang mempunyai pengaruh yang besar dalam mencatur kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa. Perjuangan menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat ialah tanggungjawab setiap Muslim di zaman ini.



Bagaimanakah pula dari segi persaingan dalam industri halal ini? Apakah hal ini akan menyebabkan usahawan Islam terpinggir jika pengusaha bukan Islam memainkan peranan mereka dengan lebih efektif?


Seperti yang kita maklum, pembabitan umat Islam di tanah air kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Peniaga Muslim menghadapi cabaran yang kuat dari segi persaingan. Agak sukar bagi kita mendapati pasar raya besar di Malaysia dimiliki Muslim atau memasarkan barangan keluaran Muslim. Hal ini berlaku disebabkan oleh faktor tertentu, mungkin satu daripadanya bersifat perkauman yang ditunjukkan oleh mereka.


Di samping itu, jumlah kedai dan produk dimiliki umat Islam terhad juga. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar kalangan bukan Muslim membeli barangan keluaran umat Islam. Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasar raya yang dimiliki saudara Muslim mereka sendiri. Keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk Muslim.


Di peringkat antarabangsa pula, negara Islam masih lagi bergantung pada dunia Barat. Inilah faktor menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Banyak bahan mentah dimiliki umat Islam, terutamanya minyak, tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni. Kita masih lagi gagal untuk mengujud kesatuan perdagangan dalam dunia Islam.


Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat individu dan negara dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran Muslim yang berkualiti ialah kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung pada orang lain. Tanggungjawab membeli produk Muslim atau membeli di kedai dan pasar raya yang dimiliki orang Islam ialah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan.


Bagi peringkat antarabangsa, berdagang sesama negara Islam ialah kewajipan kerajaan Islam yang ada. Kita mesti insaf bahawa akidah Islam yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah mewujudkan rangkaian ikatan persaudaraan Islam yang kukuh sesama kita. Berdasarkan akidah yang teguh ini jugalah telah menjadikan umat ini dahulunya bergerak seiring secara bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya.


Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap agama Allah demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam. Inilah rahsia kejayaan umat Islam dahulu.


Apabila akidah Muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan yang lain, termasuk dalam bidang ekonomi. Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwah sesama Muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi yang diatur demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan persaudaraan atau ukhuwah Islamiah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi.



Bagaimanakah Rasulullah SAW dan para sahabat membangunkan ekonomi Islam pada zaman mereka, boleh Dr. huraikan secara umum?


Rasulullah SAW mengajar tolong-menolong sesama Muslim. Dalam hadis Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa-apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian, mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dalam hadis ini, Rasulullah S.A.W. memuji sikap tolong-menolong, bantu-membantu serta perasaan mengambil berat sesama antara satu sama lain. Baginda SAW memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy`ariyin yang jamin-menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud hadis “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” adalah menggambarkan redanya Rasulullah SAW dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.


Tolong-menolong sesama sendiri atau puak, bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan takwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadis di atas: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan oleh keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun begitu, baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Hal ini disebabkan oleh prinsip yang sama, iaitu jamin-menjamin dan bantu-membantu dalam harta, selain membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan.”


Kalaulah sikap tolong-menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasulullah SAW demi kebajikan, terutamanya ketika waktu susah dan terdesak, tentulah tolong-menolong sesama Muslim dalam keadaan Islam dimusuhi dan ditindas, lebih-lebih lagi dituntut. Bahkan, tolong-menolong, bantu-membantu dan jamin-menjamin sesama Muslim dalam perkara makruf atau kebaikan ialah tuntutan al-ukhuwah al-Islamiah.


Seseorang Muslim sentiasa berusaha membantu saudara Muslimnya yang lain. Sabda Rasulullah SAW: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Tolong-menolong membangunkan ekonomi ialah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab bantu-membantu dalam menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekali gus akan menjadi kuat.


Namun demikian, sekiranya ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan jayanya, kita menjadi peminta sedekah dari orang lain dan Islam akan dipandang hina. Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita akan menjadi hambar. Adakah selepas itu kita berupaya mencanangkan bahawa Islam agama yang membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?

June 10, 2008


Penulis bersama Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di Pejabatnya.

Tahniah Tun!


KUALA LUMPUR 11 Mei 2008- Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid yang dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang mahu orang Melayu memiliki lima bentuk minda bagi menjamin kejayaan serta daya tahan mereka pada masa depan. Beliau berkata, minda tersebut ialah minda berdisiplin, minda sintesis, minda kreatif, minda menghormati dan minda beretika. Sehubungan itu, beliau berharap UMNO menjalankan penyelidikan tentang cara-cara memperkasakan akal fikiran atau minda orang Melayu demi kepentingan bangsa dalam jangka panjang. ''Saya juga berikrar akan terus berkhidmat dengan kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO selagi hayat di kandung badan," katanya.



Beliau menyatakan demikian dalam ucapan selepas menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Dengan penganugerahan itu, beliau menerima hadiah pingat emas, wang tunai, plak serta sijil penghargaan. Pemilihan Ahmad Sarji, 70, adalah berdasarkan sumbangan beliau terutama dalam pembangunan negara melalui bidang pentadbiran awam, ekonomi dan perkembangan intelektual Melayu dan negara.-Utusan



KUALA LUMPUR 6 Jun 2008 - Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Mohamad, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Penasihat Parti Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik dianugerahkan gelaran “Tun” sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.-Utusan



Ulasan Saya : Saya begitu kagum dengan cara kerja Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, pertemuan saya dengan beliau pada tahun lalu membuatkan saya faham mengapa Tun Mahathir melantik beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara dahulu. Kerjanya yang cekap, cermat dan pantas membuatkan sesiapa sahaja yang bekerja dengan beliau akan bersikap proaktif dan maju ke hadapan. Sekarang beliau merupakan Pengerusi PNB dan IKIM. Saya pernah bertanya kepada beliau, apakah falsafah kejayaan beliau selama ini, jawabnya, ”Gunakan akal ketika bekerja dan jadikan kerja sebagai satu amanah.” Jujur dan ikhlas merupakan tonggak yang memacu kejayaan beliau selama ini, itulah yang saya belajar daripadanya. Belum terlambat rasanya bagi saya mengucapkan tahniah kepada beliau atas penganugerahan gelaran Tun oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini. Tahniah Tun!

June 8, 2008

Penulis Bersama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pemikiran Ekonomi PM
Berbahaya


KUALA LUMPUR 7 Jun 2008 - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap rakyat negara ini mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berhubung fenomena kenaikan harga minyak agar mereka benar- benar memahami apa yang sedang dihadapi oleh negara. "Setiap dari kita ada peranan dan tanggungjawabnya dalam menghadapi suasana getir seumpama ini. Justeru itu, marilah kita bersama-sama mengharungi dugaan ini dengan tabah, demi kesejahteraan kita bersama dan demi masa depan negara ini dan generasi seterusnya," kata Perdana Menteri. Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pengurniaan pingat serta darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini. Perdana Menteri berkata, situasi ini merupakan cabaran utama negara pada hari ini dan kerajaan sesungguhnya amat prihatin terhadap perasaan dan taraf hidup rakyat.-Utusan



Ulasan Saya : Rakyat melantik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri bukanlah suka-suka. Tetapi kita melantik beliau dan memberi kepercayaan kepada beliau untuk mentadbirkan negara ini serta memikirkan, bagaimanakah cara untuk pihak kerajaan meringankan beban dan masalah rakyat. Bukan dengan menyuruh rakyat sekadar bersabar dan terima sahaja apa-apa masalah yang menimpa mereka. Kerajaan perlu bertanggungjawab. Jika zaman pemerintahan Tun Mahathir berupaya menyelesaikan masalah Krisis Kewangan 1997 dengan baik serta rakyat tidak berasa menderita, mengapa kerajaan yang ada pada hari ini tidak mampu melakukannya sekali lagi? Sudah pasti ada yang tidak kena dengan seluruh penasihat-penasihat PM dan ahli-ahli kabinet yang sedia ada.



Apa yang dapat saya lihat di sini ialah corak pemikiran ekonomi Pak Lah yang jauh menyimpang dengan metodologi ekonomi Tun Mahathir. Jelas sekali, Pak Lah lebih suka ekonomi negara kita tidak mempunyai sebarang pelindungan dan rakyat perlu bersaing dalam pasaran terbuka tanpa ada lagi pelindungan dan keistimewaan. Berbeza dengan Tun Mahathir yang lebih banyak memberi keutamaan terhadap kesejahteraan serta melindungi ekonomi negara dan bangsanya daripada penderitaan. Pak Lah lebih senang mengikut corak ekonomi dunia yang sebenarnya banyak merugikan bangsa dan negara kita. Tun Mahathir pula lebih mengutamakan kepentingan negara dan bangsa. Jika berlaku sebarang perkembangan ekonomi dunia tidak secocok dengan kepentingan negara dan bangsanya, beliau sudah pasti menentang dengan sekeras-kerasnya.



Justeru itu, ekonomi berbentuk pelindungan yang diamalkan oleh Tun Mahathir selama 22 tahun ini, telah dirosakkan oleh Pak Lah dengan corak ekonomi “siapa kuat dia menang” sudah semakin jelas kelihatan. Pak Lah dan penasihat-penasihatnya seolah-olah tidak berapa gemar dengan konsep “pelindungan”, bagi mereka cara terbaik menguruskan ekonomi negara adalah dengan mengikut telunjuk ekonomi kapitalis dunia. Dan membiarkan setiap warga negara ini bersaing tanpa ada lagi pelindungan. Orang Melayu tidak boleh bersaingan dalam pentas ekonomi dunia yang masih tidak sama rata dan adil.



Pak Lah seolah-olah membubuh racun ke dalam periuk nasi bangsanya sendiri, apabila menaikkan harga minyak tanpa berfiki panjang akan kesannya. Realitinya, orang Melayu dan negara Malaysia semakin terhakis daripada ekonomi yang berasaskan pelindungan dan pengawalan. Pak Lah begitu takut untuk menentang rejim ekonomi dunia yang semakin hari semakin kuat untuk cuba menguasai kita. Pak Lah tidak boleh mengikut aliran ekonomi semasa dengan begitu sahaja, beliau harus mempunyai kreativiti dan idea yang tinggi agar kenaikan harga minyak semasa mampu dibendung, sekurang-kurang untuk rakyat dan industri negara kita. Sesungguhnya, ada yang tidak kena dengan gaya pemikiran ekonomi PM kita ini.

June 7, 2008

Penulis bersama Tun Dr. Lim Keng Yaik di Putrajaya.

Mencari Mahathir Baru


Surat khabar tabloid popular, Era Baru keluaran 2 Jun 2008, mendedahkan Penasihat parti Gerakan yang juga bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Tun Dr. Lim Keng Yaik telah menyelar UMNO yang kononnya tidak berlaku adil kepada Gerakan, MCA, dan MIC dalam Barisan Nasional. Beliau menyifatkan mereka seolah-olah sebagai “peminta sedekah”. Keng Yaik berkata demikian ketika ditemu bual oleh sebuah akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily baru-baru ini. Beliau juga mendakwa kekalahan Gerakan dalam PRU ke-12 adalah berpunca daripada sikap UMNO yang sombong dan isu perkauman yang sering kali dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.- Era Baru



Ulasan Saya : Pertemuan saya dengan Tun Dr. Lim Keng Yaik pada bulan September tahun lalu, benar-benar mempunyai signifikan yang tersendiri. Beliau merupakan salah seorang pemimpin Gerakan yang paling lama berkhidmat sebagai Menteri Kabinet. Lantang bersuara dan kadang kala seolah-olah tidak mempedulikan perasaan orang lain. Kenyataan Keng Yaik di atas ada kaitan dengan senario politik Malaysia muktahir ini. Pelbagai tuntutan daripada kaum Cina dan India kita dengar ketika ini, di samping DAP sudah semakin berani memainkan isu panas membabitkan Ketuanan Melayu dan Hak-hak Istimewa Orang Melayu yang selama ini cukup sensitif untuk dimainkan oleh sesiapa pun. Inilah yang sedang kita hadapi ketika saat-saat politik orang-orang Melayu semakin lemah dan tidak bermaya.



Saya mungkin mempunyai sedikit pandangan yang berbeza dalam soal tersebut. Saya tidak menyalahkan pemimpin-pemimpin Cina atau India yang menuntut pelbagai hak dan kelebihan kepada pemimpin-pemimpin UMNO. Hal ini adalah normal, apabila kepimpinan orang-orang Melayu, khususnya UMNO semakin lemah. Lemahnya pemimpin-pemimpin UMNO akan diambil kesempatan oleh orang lain untuk menuntut yang bukan-bukan sehingga melepasi garis sempadan sensitiviti kaum yang telah terbina lama. Di mana-mana sahaja, jika seseorang Ketua Negara itu lemah, maka akan wujud anasir-anasir lain yang akan cuba mendominasinya. Hal inilah yang berlaku dalam kepimpinan tertinggi UMNO sehingga mengalami kekalahan yang begitu teruk dalam PRU ke-12. Seseorang pemimpin yang lemah, akan cenderung melantik menteri-menterinya yang lemah dan bermasalah juga. Lantaran itu, seluruh struktur kepimpinannya turut menjadi lemah dan tidak akan berupaya menangani isu-isu semasa yang semakin mencabar dan menuntut idealisme yang tinggi.



Keng Yaik merupakan sebahagian kecil daripada pemimpin-pemimpin Cina yang bersuara lantang, tetapi apakah beliau akan bersuara lantang jika UMNO menang besar dalam PRU ke-12 baru-baru ini? Beliau tidak akan berani jika pemimpin-pemimpin UMNO kuat dan bijaksana serta mendapat sokongan rakyat. Malaysia sebenarnya tidak memerlukan pemimpin yang begitu banyak dengan retorik dan tidak menepati janji-janji yang telah ditaburkan. Malaysia akan menjadi lemah dan dijajah jika ditadbir oleh pemimpin seperti Abdullah Ahmad Badawi (AB) atau Anwar Ibrahim (AI).



Kedua-dua jenis pemimpin ini adalah lemah, AB dan AI merupakan pemimpin yang lemah dari segi idealisme, misi dan kebijaksanaan. Walaupun secara zahirnya AI seperti pemimpin besar, tetapi kebijaksanaannya tidak terserlah. Ikutilah blognya, tiada apa-apa idea yang meyakinkan kita bahawa beliau mampu memimpin Malaysia dengan lebih cemerlang daripada sebelumnya. Prinsipnya sentiasa berubah-rubah, bahkan pendiriannya yang samar-samar terhadap Singapura dan Amerika Syarikat menambahkan lagi kesangsian siapakah yang sebenarnya AI ini? Apakah beliau bersifat takiyyah dalam soal ini? Hanya Allah yang mengetahui.



Sewaktu saya bertemu Keng Yaik, beliau cukup berani memberitahu saya bahawa, sepanjang beliau menjadi menteri, beliau tidak nampak pemimpin-pemimpin UMNO menolong bangsanya sendiri, sebaliknya mereka lebih mementingkan diri sendiri. Kenyataan ini membuktikan bahawa terdapat begitu banyak pemimpin-pemimpin UMNO yang lemah jiwa dan semangat perjuangannya. Jika hal ini berterusan, tidak mustahil pada suatu hari nanti, negara Malaysia tercinta ini bakal dilelongkan kepada bangsa asing. Tun Mahathir sudah terlalu letih mengingatkan orang-orang Melayu tentang soal ini. Beliau tidak mampu mengawal segala-galanya dahulu. Tetapi, itu bukanlah alasan untuk kita tidak melakukan transformasi di dalam UMNO. UMNO memerlukan perubahan yang besar, agar strukturnya yang lemah kini, dapat dipulihkan kembali, sekaligus menarik semula sokongan orang Melayu dan dihormati oleh kaum lain.



Sama ada kita sedar atau tidak, Malaysia sebenarnya sedang “sakit” untuk mencari seorang pemimpin yang benar-benar mampu mengawal panasnya rasa perkauman, dan pada masa yang sama turut disegani oleh dunia Barat dan dihormati oleh Umat Islam. Tanggungjawab kita kini adalah mencari seorang Mahathir Baru, yang lahir daripada hati yang ikhlas dan perjuangan yang bermaruah.

June 5, 2008

Krisis Harga Minyak

Oleh Tun Mahathir Mohamad
(chedet.com)

Walaupun Tun Mahathir sudah besara, idealisme beliau tetap tidak kering, dalam usaha memikirkan masalah rakyat dan negara, pemimpin semacam ini yang kita cari. Penuh dengan idea yang bijak dan pratikal. Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Haji Hadi, Karpal Singh dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain (termasuk pemimpin UMNO yang membodek) tidak berupaya memberikan sebarang idea untuk meringankan beban rakyat, dan pada masa yang sama, mampu meningkatkan daya saing negara di pentas dunia serta mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat sehingga rakyat tidak merasainya.

Harga minyak mentah naik sebanyak 400 peratus sejak tiga tahun lepas. Lambat laun harga barangan juga akan alami kenaikan. Di negara-negara lain harga petrol sudahpun naik. Di United Kingdom satu liter petrol dijual pada kadar lebih satu pound sterling atau lebih kurang RM7. Di Amerika Syarikat harganya lebih kurang RM5.


Petunjuk bahawa harga minyak di negara-negara jiran mengalami kenaikan ialah bagaimana kenderaan Thai dan juga Singapura berpusu-pusu mengisi minyak di Malaysia.

Kerajaan umumkan kenaikan petrol sebanyak 78 sen ke RM2.70, kenaikan melebihi 40 peratus.

Saya mungkin tersilap, tetapi ternampak kekurangan jumlah kenderaan di jalanraya hari ini. Tetapi kesannya bukanlah terhad kepada itu sahaja. Barangan pengguna, perkhidmatan dan barangan mewah akan mengalami peningkatan harga.

Kos sara hidup sudah tentu meningkat. Dilihat daripada sudut lain akan tercetus inflasi dan taraf kehidupan akan menurun.

Memanglah kenaikan harga petrol di sini jauh lebih rendah daripada di United Kingdom, mahupun Amerika Syarikat. Tetapi pendapatan per kapita kita adalah lebih kurang satu pertiga mereka. Berasas kepada kuasa membeli kita kenaikan harga adalah lebih tinggi dari UK atau Amerika Syarikat.

Kenaikan ini menyakitkan, tetapi sakitnya lebih dirasai bukan kerana kenaikan dari segi peratusan adalah lebih tinggi daripada negara-negara maju, tetapi kerana cara kenaikan tersebut dibuat.

Beberapa hari lepas Kerajaan putuskan untuk haramkan penjualan minyak kepada kenderaan milik asing. Tunggang. Sekarang kenderaan asing dibenar membeli semula. Terbalik!

Mengetahui yang ianya akan menaikkan harga minyak dalam beberapa hari dan orang asing akan dibenar membeli, kenapa Kerajaan tidak menunggu sahaja daripada keluaran arahan larangan dan kemudian benarkan semula.

Namun begitu apakah yang Kerajaan boleh lakukan untuk meringankan beban kepada rakyat hasil daripada kenaikan harga petrol.

Pertamanya, Kerajaan tidak patut mengapungkan Ringgit. Kadar apungan menyebabkan ketidak-tentuan nilai Ringgit dan kita tidak akan meraih apa-apa keuntungan daripada kekuatan Ringgit. Sudah tentu rakyat tidak menikmati peningkatan kuasa membeli walaupun terdapat peningkatan nilai Ringgit dari segi tukaran dengan Dollar Amerika.

Sebenarnya Ringgit mengalami peningkatan lebih kurang 80 sen (daripada RM3.80 ke RM3.08 pada 1 US Dollar) satu US Dollar, melebihi 20 peratus. Jika Kerajaan teruskan sistem tambatan kadar dan menaikkan nilai Ringgit pada kadar 10 peratus pada satu masa, kos import, dalam Ringgit boleh dipantau dan dikurangkan sebanyak 10 peratus. Pada kadar kenaikan 20 peratus, kos import patutnya turun 20 peratus. Tetapi kita tahu harga barangan import dan perkhidmatan tidak kurang. Ini bermakna kita bayar 20 peratus lebih tinggi untuk import termasuk bagi bahan mentah dan komponen untuk industri

Oleh sebab harga minyak disebut dalam Dollar Amerika, kenaikan harga minyak dalam Dollar sepatutnya dikurangkan sebanyak 20 pertaus dalam Ringgit Malaysia.

Tetapi Kerajaan hendak turut Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia dan telah putuskan untuk mengapung Ringgit. Akibatnya kekuatan Ringgit hanya meningkatkan kos export tanpa memberi sebarang keuntungan kepada rakyat menerusi kekurangan kos import.

Ini bukanlah kecerdikan selepas sesuatu itu terjadi. Saya telah beritahu seorang Menteri Kerajaan supaya Ringgit tidak diapungkan tiga tahun lalu. Memanglah saya bukan pakar dan saya hanya tahu serba sedikit tentang rejim kewangan antarabangsa.

Saya percaya umum terpaksa menerima kenaikan harga petrol. Tetapi apa yang menimbulkan kemarahan ialah jumlah kenaikan serta keadaan tergesa-gesa. Perdana Menteri sebelum ini seolah-olah mencadangkan kenaikan hanya pada bulan Ogos, tetapi ianya datang dua bulan lebih awal, sejurus selepas pengharaman penjualan kepada orang asing.

Jika kenaikan berperingkat, rakyat tidak akan terlalu terasa. Tetapi ini bermakna Kerajaan perlu terus beri subsidi walaupun tahapnya akan menurun.

Mampukah Kerajaan terus beri subsidi? Saya “penasihat” Petronas tetapi saya tahu sedikit sahaja berkenaannya dan tidak lebih daripada apa yang dilaporkan dalam akaunnya yang diumumkan. Apa yang saya tahu mungkin tidak begitu tepat tetapi cukup untuk saya membuat beberapa penilaian.

Malaysia mengeluar lebih kurang 650,000 tong minyak sehari. Kita guna 400,000 tong dan selebihnya 250,000 tong di export.

Tiga tahun lalu minyak mentah dijual pada kadar USD30 satu tong. Hari ini ianya USD130 – kenaikan sebanyak USD100. Hampir tiada peningkatan di dalam kos pengeluaran oleh itu lebihan USD100 boleh dianggap untung bersih.

250,000 tong yang dieksport sepatutnya memberi kita pulangan 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000,000 (Dua puluh tujuh bilion Ringgit).

Tetapi Petronas untung lebih RM70 billion, yang kesemuanya milik Kerajaan.

Kerajaan ini melimpah dengan wang.

Selain minyak, harga minyak sawit, getah dan timah juga meningkat lebih kurang 400 peratus. Keuntungan syarikat perladangan dan bank-bank juga mencecah sehingga RM3 billion tiap satu. Cukai yang dibayar juga sudah tentu mengalami peningkatan yang tinggi.

Saya percaya jika subsidi dikekalkan dan dikurangkan secara berperingkat ianya tidak akan mengekang kewangan Kerajaan.

Di dalam jangka masa terdekat cara untuk mengurangkan pembaziran dan menaikkan pendapatan mestilah diperkenal. Kita mungkin tidak dapat menetapkan gaji minima, tetapi sudah tentu kita boleh meningkatkan sedikit jumlah gaji minima.

Sebenarnya pendapatan kita tinggi berbanding sesetengah jiran kita. Pelabur yang datang ke sini tertarik bukan dengan harga buruh murah, tetapi faktor-faktor lain termasuk sikap dan pendekatan Kerajaan tehadap komuniti perniaga terutamanya pelabur.

Daripada apa yang saya dengar, sikap mesra peniaga amat berkurangan pada Kerajaan sekarang hinggakan orang Malaysia juga melabur di luar negara. Terdapat cakap-cakap berkenaan hubungan politik mempengaruhi keputusan. Secara amnya ahli politik Kerajaan dikatakan sombong.

Malaysia tidak punyai cukup tenaga kerja. Industri yang memerlukan tenaga pekerja yang ramai tidak menguntungkan Malaysia. Pekerja asing menghantar jumlah wang yang besar ke negara asal mereka.

Polisi industri mestilah bertukar agar teknologi tinggi dapat dipromosikan untuk memberi rakyat Malaysia lebihan pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat.

Dunia sedang menghadapi kecelaruan ekonomi akibat penurunan nilai Dollar Amerika, krisis pinjaman sub-prima, kenaikan harga minyak dan bahan mentah, kekurangan makanan dan akiviti tamak “hedge funds” yang berterusan. Kemungkinan berlakunya resesi ekonomi Amerika Syarikat adalah benar. Sebenarnya Amerika Syarikat sedang mengalami kelembapan ekonomi. Ekonomi dunia akan turut ditarik turun.

Malaysia juga akan terjejas kesan daripada semua masalah ini. Saya tertanya adakah Kerajaan bersedia untuk menghadapi semua ini.

Kita tidak boleh lari daripada akibat negatif tetapi mestilah ada cara untuk mengatasinya agar beban yang terpaksa ditanggung rakyat dapat dikurangkan. Saya harap yang Kerajaan tidak akan melepaskan sahaja segala masalah ini kepada rakyat seperti ynag digambarkan cadangan untuk menilai harga minyak setiap bulan.

June 4, 2008

“Dan mereka yang terus-menerus mengampu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menjadi pengkhianat negara, bangsa dan orang Melayu serta agama mereka juga.”

-Tun Mahathir Mohamad
Ruangan Che D.E.T Menulis
Era Baru
, 2 Jun 2008.

June 1, 2008

Penulis Bersama Datuk Mokhzani Mahathir di Pejabatnya.

Mokhzani keluar UMNO


Pada 21 Mei 2008 Bekas Penolong Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mokhzani Mahathir, 47, mengumumkan keluar daripada UMNO mengikuti jejak bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Datuk Mokhzani berkata, beliau telah menghantar surat membatalkan keahliannya dalam UMNO kepada Pejabat UMNO Bahagian Merbok, semalam dan berkuat kuasa serta-merta.``Saya akan terus berkhidmat kepada negara, kerana untuk berkhidmat kepada negara tidak semestinya hanya melalui politik,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini-
Utusan.


Ulasan Saya : Nampaknya ramai yang tidak mengenali anak ketiga Tun Mahathir Mohamad ini dengan lebih dekat. Saya agak kecewa apabila orang bercakap bukan berdasarkan sejarah. Benar kata-kata pepatah Arab yang berbunyi, “Manusia akan menjadi musuh dengan apa-apa yang mereka tidak ketahui”. Apabila Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob menggesa Datuk Mokhzani meletakkan jawatan sebagai pengerusi Sepang International Circuit (SIC), mereka tidak ubah seperti orang yang semakin tertekan untuk terus kekal dengan jawatan masing-masing melalui cara membodek. Kita harus ingatkan, jika Pak Lah tidak lagi menjadi PM, menteri-menteri seperti inilah yang harus disingkirkan terlebih dahulu.


Apakah mereka tahu bahawa salah seorang ahli korporat yang merana dan terseksa akibat Krisis Kewangan Asia 1997 itu ialah Mokhzani? Menanggung hutang dan menyelesaikan hutang tanpa bantuan bapanya? Apakah mereka tahu bahawa Tun Mahathir tidak membantu beliau ketika beliau berada dalam keadaan yang tenat dan merana itu? Apakah mereka tahu bahawa Tun Mahathir pernah berkata perihal Mokhzani dengan mengatakan , “Dia tanggunglah sendiri kesusahan dalam berniaga, jika gagal belajar la, tidak ada yang mudah dalam berniaga.”


Mokhzani terpaksa melupuskan 12.6 peratus saham dalam Tongkah Holdings dan 32.9 peratus saham dalam Pantai Holdings semata-mata untuk melangsaikan hutang piutangnya. Tiada sesiapa yang membantu. Kejayaan beliau menjadi rakyat Malaysia ke-20 terkaya bukan kerana bantuan bapanya, tetapi usaha sendiri. Namanya hanya naik setelah bapanya meninggalkan kerajaan. Beliau juga pernah meletakkan jawatan sebagai Penolong Bendahari Pemuda UMNO semata-mata tidak mahu dikatakan mendapat keistimewaan kerana ayahnya ialah Presiden UMNO. Apabila beliau berjaya pada hari ini dengan syarikat Kencana Petroleum bersama pengasasnya En.Chong Hin Loon, beliau tidak dibantu oleh sesiapa. Kejayaan beliau ini adalah hasil usaha mereka berdua yang tidak mengenal erti letih dan gagal. Mereka tidak banyak mengharap kontrak daripada Petronas, kerana bapa Mokhzani merupakan penasihat Petronas. Tun Mahathir menyuruh Mokhzani agar berusaha mendapatkan peluang perniagaan di luar negara dan jangan bergantung kepada kerajaan. Siapa tahu semua ini?


Menggesa agar beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi Sepang International Circuit (SIC) merupakan kerja orang yang tidak faham dan tidak tahu membezakan antara kemahiran yang dimiliki seseorang dengan sentimen politik yang sempit. Ahli korporat kental seperti Mokhzani inilah yang seharusnya ditonjolkan, berjaya dengan usaha sendiri dan bukan berjaya dengan nama bapa mertua atau mencanak naik atas nama SCOMI.


Nampaknya, semakin ramai pembodek-pembodek rasmi yang berada di sekeliling Pak Lah, yang lebih mementingkan perut mereka daripada kepentingan negara dan agama. Malaysia memerlukan tokoh korporat seperti Mokhzani, sanggup meninggalkan politik demi mengelakkan fitnah kepada bapanya dahulu. Tetapi sayang, manusia berkualiti seperti beliau inilah, yang hendak disingkir dan dibuang oleh anasir-anasir perosak di dalam UMNO. Siapakah Azalina Othman dan Ismail Sabri yang begitu lantang menyuruh Mokhzani meletakkan jawatan SIC? Apakah kejayaan dan pengorbanan yang kalian lakukan untuk negara dan rakyat begitu berasa bangga? Jika kalian belum mampu berkorban seperti mana yang dialami oleh Mokhzani dalam perniagaannya, lupakan sahaja. Dan masyarakat lebih menghormati manusia seperti Mokhzani, yang memiliki prinsip dan sanggup menanggung risiko demi menegakkan kebenaran.