Tetamu Kehormat...

May 29, 2008

Penulis Bersama Tengku Razaleigh di Rumah Beliau.

Faktor X
Dan Kemenangan
Tengku Razaleigh Hamzah


Pada 25 Mei 2008 yang lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta bahagian-bahagian UMNO di Sabah tidak takut untuk mencalonkan beliau bertanding jawatan Presiden parti pada pemilihan Disember ini. Katanya, ''Janganlah takut untuk mencalonkan saya, jika rakyat Sabah mahukan perubahan, sekarang adalah masanya untuk menunjukkan keberanian. "Sabah bukan lagi rakyat kelas kedua dan tidak kurang berbanding dengan rakyat di Semenanjung," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertemuan dengan para pemimpin peringkat akar umbi UMNO Sabah pada satu majlis di sini malam tadi. Pertemuan yang bermula pada pukul 8 malam itu, dihadiri kira-kira 1,000 ahli UMNO dari seluruh negeri ini dan Razaleigh dikatakan menggunakan majlis tersebut untuk meraih sokongan bertanding jawatan Presiden UMNO. Bagaimanapun, dalam pertemuan yang berlangsung hampir tiga jam itu tiada ketua UMNO sama ada di peringkat bahagian atau negeri hadir.-Utusan

Ulasan Saya : Saya bertemu dengan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun lepas di pejabat dan merangkap rumahnya di kawasan kedutaan Amerika Syarikat jalan Ampang (jika tidak silap). Tengku Razaleigh amat saya kagumi, seorang pejuang yang pernah tersilap jalan, tetapi kembali ke pangkal jalan dengan penuh rendah diri dan keikhlasan. Malah, Tun Mahathir turut memaafkan segala kesalahan beliau sewaktu berlakunya perpecahan di dalam UMNO, sehingga munculnya parti Semangat 46. Tengku Razaleigh masuk UMNO semula dan berjuang sehingga sekarang. Kemudian, bangkit kembali apabila melihat pucuk pimpinan UMNO yang ada pada hari ini sudah terpesong daripada jalan perjuangan yang sebenar. Pada tahun 2004, sewaktu beliau mendapat hanya satu undi untuk bertanding jawatan Presiden UMNO, beliau seolah-olah diperlekeh dan diperlecehkan oleh ahli-ahli UMNO yang lain, dengan dakwaan bahawa beliau tidak akan mampu mencabar kerusi panas tersebut.


Malangnya, ramai yang tidak sedar bahawa Tengku Razaleigh mempunyai dua jenis sejarah politik yang orang lain tidak tahu dan miliki. Beliau mempunyai politik ala-pembangkang (sewaktu dalam S64) dan politik ala-kerajaan (sebelum keluar UMNO dan masuk kembali ke dalam UMNO) bahkan jauh lebih hebat, beliau mempunyai dua jenis struktur kepimpinan politik, iaitu struktur seorang pemimpin politik yang kecewa dan tewas. Yakni, tewas 2 kali dalam usaha menentang Tun Mahathir, pertama dalam pemilihan UMNO pada tahun 1987 dan kedua, tewas untuk menumpaskan Tun Mahathir dan UMNO melalui saluran luar iaitu S46.


Yang kedua, Tengku Razaleigh juga mempunyai struktur pemimpin yang berjaya, pertama pernah dilantik semula oleh Tun Mahathir menjadi Menteri Kewangan walaupun tewas dalam pemilihan parti. Dan yang kedua, beliau tidak pernah tewas sebagai ahli Parlimen Gua Musang walau sebagai mana hebat tsunami politik yang melanda di Kelantan. Beliau begitu kebal di sana. Lantaran itu, saya melihat Tengku Razaleigh mempunyai kedua-dua struktur kepimpinan tersebut- gagal dan berjaya.


Apabila kita berhadapan dengan orang yang sebegini, kita tidak boleh memandang rendah, apatah lagi mendakwa bahawa beliau tidak mempunyai pengaruh terhadap mana-mana Ketua UMNO Bahagian, terutamanya apabila beliau berkempen ke Sabah baru-baru ini. Ramai yang memandang rendah keupayaannya.


Yang tidak disedari oleh ramai orang ialah Tengku Razaleigh mempunyai “naluri kecil” tentang “rasa” dan “aura” berkenaan erti kegagalan dan kejayaan. Beliau pernah melalui kedua-duanya. Struktur manusia seperti ini tidak boleh diduga. Tetapi jika struktur manusia seperti ini menentang struktur manusia seperti Tun Mahathir, beliau memang boleh kalah. Kerana struktur manusia seperti Tun Mahathir merupakan struktur orang-orang yang berjaya, beliau tidak pernah tewas apabila menentang dengan sesiapa pun, baik dengan Britain, Amerika Syarikat, ICJ (kita menang kes Pulau Linggitan dan Sipadan) Raja-Raja Melayu, PAS, Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh, Tun Musa Hitam dan banyak lagi.


Namun demikian, jika struktur Tengku Razaleigh ini menentang struktur Pak Lah yang terbukti lemah dan gagal, Tengku Razaleigh memang boleh menang. Pihak media agak bingung apabila melaporkan bahawa kempen Tengku Razaleigh untuk bertanding menjadi Presiden UMNO seolah-olah tidak mendapat sambutan dalam kalangan Ketua-Ketua Bahagian UMNO. Sebenarnya, mereka harus mengetahui keadaan UMNO pada hari ini, golongan yang seharusnya diberi perhatian ialah Ketua-Ketua Cawangan, Ketua-Ketua Penerangan Cawangan dan AJK-AJK Cawangan yang sering menjadi perwakilan ke Bahagian. Malah, mereka tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan sanggup bersuara lantang serta melakukan perubahan dengan mengemukakan usul-usul yang mampu menggegarkan sesebuah Bahagian UMNO itu, sekali gus mampu mendesak Bahagian untuk mencalonkan Tengku Razaleigh sebagai Presiden UMNO kelak.


Tengku Razaleigh bijak mengatur strategi, beliau berjumpa dengan ahli UMNO akar umbi yang sejati dan tidak berharap kepada Ketua-Ketua Bahagian UMNO yang boleh dibeli dengan wang ringgit. Untuk membetulkan UMNO, beliau perlu membangkitkan semangat akar umbi terlebih dahulu, agar UMNO di setiap Bahagian dibersihkan dahulu, jangan menjadi Pak Angguk semata-mata. Dengan cara ini, perubahan secara raksasa dalam UMNO mampu dilakukan, seperti mana berlakunya “Tsunami Pilihan Raya” baru-baru ini.


Sehingga kini, tidak nampak mana-mana tokoh UMNO lain yang sanggup menawarkan diri bagi merebut jawatan Presiden UMNO. Jika Tengku Razaleigh yang kelihatan bersungguh-sungguh, saya berharap calonkan sahaja beliau. Sekurang-kurangnya, demokrasi dalam UMNO masih tetap hidup!

May 26, 2008

Penulis Bersama Datuk Shahrir Samad
ketika Perasmian Forum Ekonomi Islam


Datuk Shahrir Samad
Cuba Renung Kembali


Apabila Datuk Shahrir Samad, Menteri di KPDNHEP mengkritik Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan isu beliau keluar daripada UMNO, Tun Mahathir menjawab dalam blognya seperti berikut, “Satu lagi pemimpin UMNO ialah Shahrir Samad yang lupa bagaimana dia keluar daripada UMNO, jadi calon bebas dan lawan dengan UMNO, dalam pilihan raya kecil dengan simbol kunci. Siapakah kamu yang nak kritik tindakan saya? Jika tidak kerana kakak Tun Musa sebagai Ketua Wanita Johor Bahru datang pagi-pagi ke rumah saya untuk merayu supaya Dato dibenar kembali ke pangkuan UMNO, Dato akan jadi duri dalam daging UMNO lebih lama. Walaupun Dato maki hamun saya semasa pilihan raya kecil saya bersetuju Dato masuk balik UMNO. Saya ucap tahniah kerana Dato dapat sekali lagi jadi Menteri. Jagalah harga barang baik-baik. Tak usahlah komen tentang diri saya. Tepuk dulang paku serpih. Katakan orang awak yang lebih."


Ulasan Saya : Saya dari satu segi hormat dengan cara Datuk Shahrir bekerja. Tegas dan tidak memilih bulu. Tetapi saya juga faham bahawa beliau kurang senang dengan Tun Mahathir. Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya fikir kerana faktor sejarah yang lampau. Saya lihat semua penentang-penentang Tun Mahathir bermula Pak Lah sehinggalah dalam kalangan menteri-menterinya mempunyai satu paten (corak) yang sama, iaitu sama ada dulu mereka pernah menentang Tun Mahathir atau dahulunya mereka menyokong Anwar Ibrahim. Mereka ini satu kumpulan bagi saya. Semuanya ini yang menentang Tun Mahathir daripada dahulu sehingga sekarang sebenarnya tiada satu pun yang mempunyai idea yang bernas dalam membangunkan negara.


Hakikatnya, semua orang bimbang melihat cara dan gaya Pak Lah menguruskan ekonomi negara. Tanyalah hati kita masing-masing tiada keyakinan terhadap dasar-dasar ekonomi yang telah diperkenalkan oleh beliau selama menjadi PM. Saya tak tahulah sama ada menteri-menteri yang menyokong Pak Lah sedar akan hal tersebut? Tun Musa Hitam, Datuk Shahrir, Datuk Seri Nazri Aziz atau seangkatan dengan mereka, semuanya mempunyai struktur kepimpinan yang gagal- maksudnya tiada ciri seorang pemimpin yang mempunyai keintelektualan dan idea yang jauh ke hadapan. Mereka sekadar menjadi pemimpin atas nama jawatan semata-mata.


Karisma, Idealisme, Pandangan yang Tajam, Misi Masa Hadapan dan Visi Besar Negara terlalu kerdil dalam jiwa mereka. Inilah paten pemimpin-pemimpin UMNO yang sedang sibuk menghunus keris kepada Tun Mahatir. Hendak menikam takut, hendak bertarung bimbang, akhirnya keris sahaja yang dihunus dan mulut telopong. Untuk menentang Tun Mahathir bukan dengan keris, tetapi tajamnya fikiran! Lagi banyak kita melalak, lagi jelas kelemahan dan kebodohan kita. Inilah masalah kita, selepas Tun Mahathir bersara, tiada pemimpin Melayu yang besar jiwanya, tiada pemimpin Melayu yang berani bercakap benar. Sampai bila? Bangsa Cina dan India sudah berganda usahanya dalam perniagaan bagi menghadapi krisis ekonomi yang mereka sudah jangkakan akan berlaku 4 tahun yang akan datang, tetapi kita pula sibuk mempertahankan seorang pemimpin UMNO yang lemah, semata-mata takut dan menjaga hati!


Maaf jika kritikan ini pedas dan kurang enak didengar, tetapi apa lagi yang tinggal untuk generasi seperti saya ini? Apa anak cucu kami nak makan 5 tahun dari sekarang? Nasi atau ubi? Apa kenderaan yang anak cucu kami gunakan 5 tahun dari sekarang? Basikal atau motokar? Jangan salahkah bangsa Cina atau India jika mereka menuntut yang bukan-bukan daripada kita. Salah pemimpin kita sendiri, yang lemah dan tiada misi yang jelas! Semua yang menentang Tun Mahathir perlu sedar bahawa mereka berada dalam struktur golongan orang-orang yang gagal. Dan mereka hanya menanti masa untuk gagal!

May 25, 2008

Penulis bersama Khairy Jamaluddin di pejabatnya, pada tahun lepas.

Khairy Perlu Berundur

Saya masih ingat sewaktu pertemuan saya bersama En. Khairy Jamaluddin di pejabatnya di Bukit Damansara pada tahun lepas, pertemuan itu bertujuan bertanyakan kepada beliau tentang perkembangan Industri Halal di Malaysia. Memandangkan beliau pada ketika itu merupakan Pengerusi Forum Halal Sedunia (WHF). Saya mengenali beliau agak lama juga, tetapi tidaklah terlalu baik. Tetapi beliau agak kurang bernasib baik kerana cuba mengejar jawatan dalam Pergerakan Pemuda UMNO dengan begitu gelojoh. Apa yang dapat saya simpulkan dalam pertemuan saya dengan beliau, ialah beliau seorang yang pandai, tetapi tidak bijak. Seorang yang mempunyai perancangan dan strategi, tetapi kurang memahami. Kehadiran beliau dalam UMNO sebenarnya banyak mengundang fitnah. Fitnah terhadap bapa mertuanya, fitnah terhadap UMNO dan fitnah terhadap kehidupannya! Saya percaya, jika beliau mengundur diri daripada politik, UMNO mampu diselamatkan kembali. Generasi muda tidak mahu mendekati UMNO adalah kerana faktor kroni dan pilih kasih. Empat tahun rakyat dihidangkan dengan paparan keluarga Pak Lah yang begitu mudah mendapat kesenangan dan kemewahan, semua ini mengundang fitnah. Khairy sebenarnya sudah menjadi fitnah dan beban kepada UMNO, walauapa pun yang beliau lakukan, orang ramai tetap percaya bahawa "Khairy Jamaluddin ialah Orang yang Tidak Baik" ini merupakan kepercayaan orang ramai. Apabila ini sudah menjadi kepercayaan, adalah sukar untuk kita mengubahkannya lagi. Dan Khairy, perlu berundur!
Penulis bersama Datuk Nazri Aziz di Kampung Simpang Lawin, Kuala Kangsar,
sewaktu kempen Pilihan Raya ke-12.


Nazri dan Mahathir


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, sememangnya saya kagumi kerana sikapnya yang lantang bersuara dan sepanjang saya mengenali beliau (sebab hubungan ayah saya begitu rapat dengannya) beliau merupakan seorang ahli parlimen yang bertanggungjawab dan selalu menjenguk kawasan. Namun demikian, sejak beliau begitu lantang mengkritik Tun Mahathir Mohamad, saya kurang senang dengan sikapnya. Walaupun Tun Mahathir bukanlah maksum, tetapi banyak kata-kata beliau terbukti ada kebenarannya. Jika kita sayangkan parti, kita kena bercakap benar, jika Pak Lah membuat kesalahan kita kena tegur, bukan terus berkata kita taat setia kepada pucuk pimpinan.


Apabila Pak Lah memegang bahu Michelle Yeoh tiada sesiapa pun dalam kalangan pemimpin UMNO menegurnya. Sedangkan kesalahannya adalah jelas. Datuk Seri Nazri sama juga seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, ketika kita dilantik menjadi menteri semua akan menyokong PM bukan parti atau akar umbi. Apabila kita berkata kita ingin memperkukuhkan parti, soalnya macam mana? Apakah memperkukuhkan parti itu dengan cara terus menerus menyokong orang yang telah merosakkan UMNO? Atau kita perlu membuang anasir-anasir yang telah mencemar perjuangan UMNO selama ini? Saya kurang faham soal ini, saya percaya jika Pak Lah tidak lagi menjadi PM, orang-orang yang sedang menyokongnya sekarang inilah yang akan lebih banyak mendedahkan keaiban beliau. Menteri-menteri yang ada sekarang kebanyakannya tidak ikhlas untuk memperkukuhkan UMNO. Pak Lah, dengarlah kata-kata akar umbi dan bukannya kata menteri!

May 22, 2008

Tinggal kenangan, penulis bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad
pada tahun 2002 di Putrajaya.
Sempena pertemuan tertutup dengan mahasiswa universiti.


Tun Mahathir keluar UMNO


ALOR STAR 19 Mei 2008, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO. Menurutnya, surat rasmi mengenainya akan dihantar kepada Setiausaha Agung UMNO secepat mungkin. Katanya, beliau akan berada di luar UMNO selagi Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memimpin parti itu. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk "Kedudukan Orang Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12" di sini hari ini. - Utusan


Analisis Saya : Tun sanggup membakarkan dirinya agar ahli-ahli UMNO yang lain menjadi lebih berani. Berani bersuara dan berani berkata yang benar. Maruah negara kita semakin dipermainkan, kekalahan kita untuk mendapatkan kembali Pulau Batu Putih semakin jelas membuktikan kepimpinan negara tiada kuasa melobi. Malah, dengan mudah kita menerima keputusan tersebut bulat-bulat. Saya percaya jika Tun masih menjadi PM, beliau akan mempertikaikan hakim-hakim yang telah dilantik oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Barangkali ada unsur rasuah yang telah mereka terima daripada Singapura. Dan kita harap agar Anwar Ibrahim boleh mendedahkan pula penyelewengan kuasa di ICJ tersebut, kerana kemenangan yang diperoleh Singapura ini penuh dengan unsur yang meragukan.


Ulasan Gambar : Semasa saya bertemu dengan Tun Dr Mahathir pada bulan puasa tahun 2002 di Putrajaya, sewaktu program PM bertemu Mahasiswa, saya sempat bertanya kepada beliau, apakah beliau tahu semua nama bangunan dan nama kawasan yang berada di sekitar Putrajaya ketika itu? beliau menjawab "Saya tahu semua namanya..." lalu beliau menyebut satu persatu nama-nama kawasan, bangunan dan jalan raya di hadapan saya. Saya amat kagum, mempunyai seorang Perdana Menteri yang teliti dan tahu apa-apa yang sedang beliau lakukan. Dan bagaimanakah pula PM kita yang ada pada hari ini? Tepuk dada tanya iman dan selera kita.

Bahasa Menimbulkan Konflik

Oleh Muhammad Azli Shukri


Ramai yang tidak sedar bahawa tragedi rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 adalah berpunca daripada bahasa. Bahasa yang kesat dan penuh penghinaan boleh mengundang musibah dan malapetaka yang tidak dapat dibayangkan. Setelah Dr. Tan Chee Khoon memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Batu di Selangor pada hari Isnin, 12 Mei, beliau telah memohon permit daripada pihak polis untuk mengadakan satu perarakan kemenangan oleh ahli-ahli parti Gerakannya. Polis telah membenarkannya dengan syarat-syarat yang telah dipersetujui. Manakala DAP turut membuat keputusan untuk mengadakan satu lagi perarakan pada keesokan harinya iaitu pada hari Selasa, 13 Mei, tetapi gagal memperoleh permit. Lantaran itu, DAP telah bergabung dalam perarakan Gerakan pada hari Isnin tersebut.



Pada asalnya perarakan ini berjalan dengan baik, tetapi apabila perasaan kemenangan sudah tidak mampu dikawal lagi oleh pengikut kedua-dua buah parti, akhirnya mereka tidak lagi menghiraukan arahan polis, dan mula berarak ke kawasan-kawasan yang tidak dibenarkan. Perarakan haram itu telah masuk ke Jalan Campbell dan Jalan Hale, iaitu jalan yang menghala ke Kampung Baru, yang mana sejumlah 30 ribu orang Melayu hidup dalam keadaan aman damai di sana. Di sepanjang perjalanan tersebut, mereka bersorak, bertempik dan apabila sampai ke kawasan penduduk Melayu, mereka mengejek-ejek dan menunjuk-nunjuk kemenangan mereka.



Malah, mereka turut melemparkan kata-kata yang menaikkan kemarahan orang Melayu, antaranya ialah, “Melayu Mati”, “Engkau Melayu Bodoh” dan “Melayu tidak Berkuasa”. Kata-kata tersebut, menurut bekas Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman telah menyebabkan orang-orang Melayu bangkit dan mengamuk, sehingga pertumpahan darah di kota Kuala Lumpur tidak dapat dielakkan lagi. Maka, bermulalah rusuhan kaum yang pertama mencalit sejarah negara ini.



Enam tahun sebelum tragedi berdarah 13 Mei, Presiden Indonesia, Sukarno telah mengumumkan dasar konfrontasi dengan Malaysia ekoran tidak puas hati beliau terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia dengan melaungkan slogan “Ganyang Malaysia”. Slogan tersebut tidak hanya melukakan hati rakyat Malaysia, bahkan merebak sehingga tercetusnya konflik ketenteraan, apabila tentera Indonesia bertindak menyerang wilayah-wilayah di Sabah dan Sarawak. Perkataan “Ganyang Malaysia” telah menimbulkan rasa benci rakyat Indonesia kepada Malaysia dan membawa kepada konflik diplomasi yang hanya dapat diselesaikan setelah Suharto mengambil alih kekuasaan Sukarno.



Pada tahun 2002, Presiden Amerika Syarikat (AS), George W.Bush pernah menggelar Iraq, Iran dan Korea Utara sebagai “Paksi Kejahatan dan Syaitan” kerana membangunkan program nuklear tanpa restunya. Perkataan Bush itu menjadi buah mulut masyarakat antarabangsa dan menimbulkan konflik yang amat panjang. Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang mempunyai keanggotaan 116 buah negara telah membincangkan kata-kata Bush ini dalam persidangan mereka pada bulan Februari 2003 dan membuat resolusi sebulat suara menolak pelabelan tersebut.



Hal ini kerana, pelabelan tersebut boleh mengundang ketidakstabilan politik dan ekonomi dunia. NAM merupakan pertubuhan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap negara-negara berkecuali. Jelas sekali, “Paksi Kejahatan dan Syaitan” merupakan kata-kata yang menimbulkan konflik dunia yang akhirnya menyaksikan Iraq dan Afganistan dijajah oleh AS. Manakala Iran, sehingga kini terus ditekan oleh kuasa besar tersebut.



Selain daripada itu, kata-kata Bush yang cukup popular sepanjang beliau menjadi Presiden AS ialah perkataan “Pengganas” yang dilabelkan untuk masyarakat Islam yang menentang dasar ketidakadilan AS. Perkataan ini banyak menimbulkan konflik dan mengancam keamanan dunia. Pelabelan ini turut memburukkan persepsi Islam yang suci dengan mendakwa penganut agama ini menganjurkan keganasan. Akhirnya, hal ini telah menimbulkan konflik yang bersifat global.



Di Malaysia, pada suatu ketika dahulu perkataan “Reformasi” telah menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Perkataan yang dipopularkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini telah mengundang konflik dan salah faham terhadap kerajaan yang didakwanya terlalu korup dan menyeleweng dan memerlukan reformasi. Perkataan ini membawa tafsiran yang bahaya, iaitu mengajak rakyat agar menjatuhkan kerajaan secara total dan membetulkan kerajaan melalui tindakkan revolusi dan bukan evolusi. Malah, perkataan ini telah berjaya menanamkan sifat benci masyarakat Malaysia kepada pihak kerajaan sehingga ke hari ini. Satu lagi perkataan yang telah mengundang konflik dalam pilihan raya ke -12 baru-baru ini ialah, “'Makkal Sakthi” atau “kuasa rakyat”. Perkataan ini telah diulang-ulang oleh pihak pembangkang dalam kempen mereka, sehingga berjaya menimbulkan krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang sedang memerintah. Akhirnya kerajaan BN gagal memperoleh 2/3 majoriti kerusi parlimen.



Satu ketika dahulu, perkataan “Agama Suku, Politik Suku” yang diucapkan oleh Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Abdul hadi Awang turut mengeruhkan keadaan politik Malaysia. Semua umat Islam Malaysia menjadi kacau bilau dengan kata-kata tersebut. Perpecahan umat Islam bermula di situ, sehingga isu kafir mengkafirkan mewarnai politik tanah air sehingga lewat tahun 90-an.



Bahasa, hakikatnya mempunyai kuasa yang sukar dihitung kesannya. Kesan positif atau negatif bergantung terhadap tutur kata dan makna bahasa yang kita gunakan. Konflik, asasnya tercetus gara-gara sebaris kata sahaja. Peperangan dan pembunuhan merupakan konflik yang sering kali dimulakan dengan kata-kata dan bahasa, bukan senjata. Dua ribu tahun dahulu, apabila Julius Caesar melaungkan slogan “Veni, Vidi, Vici” (Saya datang, saya lihat dan saya menang) telah mencetuskan konflik yang cukup besar antara Rom dengan Mesir, yang menyaksikan perang Alexandria dimenangi oleh Rom. Dalam tahun yang sama juga, kata-kata keramat Julius itu turut mengalah Raja Pontus di Zela. Semua ini bermula dengan sebaris kata!

May 10, 2008

Cerita yang Tidak Perlu Diceritakan

Penulis bersama Tan Sri Rafidah Aziz, ketika penamaan calon di Dewan Merdeka Kuala Kangsar, Perak

Setelah Tan Sri Rafidah Aziz tidak dilantik semula oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kabinetnya, ramai pemerhati politik yang mendakwa bahawa hayat politik “Wanita Waja” itu sudah berada di penghujung. Namun demikian, tidak ramai yang mengetahui bahawa tanda-tanda atau “alamat” politik Rafidah Aziz semakin sepi sudah pun dapat dihidu semasa hari penamaan calon tokoh tersebut di Kuala Kangsar. Catatan ini akan menjadi sejarah bagaimana melihat tanda-tanda karier seseorang ahli politik itu boleh sama ada menuju ke puncak ataupun menghampiri zaman muramnya. Saya dedahkan segala-galanya di sini.


Cerita yang Tidak Perlu

Diceritakan

Oleh Muhammad Azli Shukri

(Yang menjadi wartawan untuk kawasan Parlimen Kuala Kangsar, pada hari penamaan calon, 24 Februari 2008).

Ikuti peristiwa klasik dan detik-detik cemas bagaimana Tan Sri Rafidah Abdul Aziz ahli Parlimen Kuala Kangsar yang sudah lebih daripada 30 tahun menjadi ahli Parlimen, hampir-hampir tersungkur kalah walaupun pun pertarungan masih belum dimulakan. Cerita yang langsung tidak dibesar-besarkan oleh media ini, sesungguhnya mempunyai signifikan tersendiri terhadap ketelusan dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), bahkan akan menjadi sejarah hitam yang terpendam dan terpadam, betapa seorang tokoh unggul Barisan Nasional yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Malaysia, hampir menjadi mangsa atas kesilapan yang tidak akan dimaafkan oleh sesiapa pun yang mendengarnya. Namun, kebijaksanaan SPR dalam menangani saat genting itu akan tetap terpahat dalam minda saksi-saksi yang berada pada ketika itu. Sama ada mereka berdosa atau tidak hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.


Peristiwa di Taman Bunga Raya
(22 Februari 2008).


Seawal pagi, selepas subuh pada hari Jumaat 22 Februari saya sudah berada di Plaza Tol Jalan Duta, kepanasan cuaca sejak akhir-akhir ini mendorong saya keluar awal agar tidak kepanasan di tengah jalan. Walaupun perjalanan hanya mengambil masa tiga jam untuk sampai ke Kuala Kangsar, tetapi sampai di awal pagi lebih menggembirakan. Apatah lagi persediaan awal untuk program UMNO pada malam tersebut bolehlah dibuat awal sedikit. Di samping membuat liputan untuk hari penamaan calon bagi Parlimen Kuala Kangsar pada 24 Februari, saya juga terlibat dalam jentera pilihanraya Barisan Nasional kawasan Parlimen Kuala Kangsar sebagai Ketua Penerangan. Dan malam tersebut, saya diminta menyampaikan ceramah bertajuk “Mengapa Kita Perlu Mengundi Barisan Nasional”, bersama-sama dengan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala kangsar, saudara Mohamed Kamil Dato’ Shafie di bilik gerakan BN Taman Bunga Raya. Taman Bungan Raya merupakan kawasan baharu selepas persempadanan semula oleh SPR pada tahun 2004. Oleh kerana itu, Taman Bunga Raya merupakan peti undi yang baharu dan merupakan salah satu daripada 22 buah peti undi yang berada di bawah Parlimen Kuala Kangsar. Dan terletak di bawah Dewan Undangan Negeri Manong yang mana ADUNnya ialah Dato’ Ramly Zahari yang juga merupakan Exco Kanan Perak merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar. Asalnya, Taman Bunga Raya hendak diletakkan di bawah Parlimen Padang Rengas yang mana ahli Parlimennya ialah Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Tetapi, setelah dibuat semakkan semula oleh SPR, maka Taman Bunga Raya telah diletakkan di bawah kekuasaan Datuk Seri Rafidah Aziz.


Jumlah pengundi di Peti Undi Taman Bunga Raya adalah sekitar 617 orang, dengan pecahan Melayu 325 orang, Cina 192 orang dan India 100 orang. Pada dasarnya, Melayu di kawasan ini berpecah kepada dua parti iaitu PAS dan UMNO, namun yang menjadi kebimbangannya di sini ialah masyarakat Cina dan India yang sudah kelihatan condong menyokong pembangkang, apatah lagi sejak isu Hindraf meletus, kaum India semakin jauh daripada BN.


Saya sampai di Kuala Kangsar pada jam 10.30 pagi. Berehat dan menyediakan sedikit teks ucapan ceramah. Selepas solat Jumaat di Masjid Kuala Dal, sekitar jam 4.30 petang, Saudara Shahril Rizal Md Madar Sahib (Jai) rakan setugas dan rakan sepejabat sampai ke Kuala Kangsar, Jai berangkat agak lewat sedikit dari Kuala Lumpur kerana menyelesaikan beberapa masalahnya dahulu. Walaupun beliau ditugaskan untuk membuat laporan bagi kawasan Parlimen Sungai Siput, namun, lebih baik baginya bermalam dan membuat laporannya di rumah saya sahaja, kerana Kuala Kangsar ke Sungai Siput tidak sampai 30 minit perjalanan dan mudah berulang alik sahaja dari Kuala Kangsar.


Selepas melepaskan dahaga dengan Cendol Kuala Kangsar dan mengisi perut dengan laksa dan mee goreng mamak sedap di Lembah Sungai Perak, kami pulang ke rumah saya di Kampong Simpang Lawin. Kampong Simpang lawin agak unik, pertama kerana kawasannya teletak di tengah-tengah sempadan antara kawasan Parlimen Kuala Kangsar dengan Parlimen Padang Rengas, lantaran itu, kampong ini mendapat dua bantuan serentak melalui Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Nazri Aziz dan kedua, Kampung ini satu-satunya yang tiada cawangan UMNO, tetapi penduduknya bersatu di bawah Jawatankuasa Surau Simpang Lawin (SUSILA) yang penduduknya seratus peratus menyokong UMNO.


Selepas menemani Jai untuk meninjau-ninjau Bandar Diraja Kuala Kangsar dan membuat tempahan awal untuk penginapan di Safari Resorts bagi menghadapi pilihanraya pada 8 Mac nanti, kami terus berangkat menuju ke Bilik Gerakan BN di Taman Bunga Raya, sampai di sana orang ramai sudah berada di pekarangan Bilik Gerakan, malah, penceramah pertamanya, saudara Mohamed Kamil Dato’ Shafie pun sudah hadir, malu juga rasanya kerana mereka yang terpaksa menunggu kami. Selepas bersalam salaman dan mengambil kedudukan masing-masing, Ketua Peti Undi Taman Bunga Raya, saudara Ahmad Nazri Abd Shukur, yang menjadi pengerusi majlis mengalu-alukan kehadiran para penceramah pada malam tersebut. Selepas diminta membacakan doa, saya terus menyampaikan ceramah saya yang bertajuk “Mengapa Kita Perlu Mengundi Barisan Nasional”, kira-kira 100 orang penyokong BN hadir pada malam tersebut. Majlis berakhir kira-kira jam 11.30 malam. Pada malam tersebut juga saya difahamkan oleh akar umbi UMNO Kuala Kangsar betapa mereka tidak berapa menyukai Rafidah terus bertanding di Parlimen Kuala Kangsar kerana faktor beliau ialah orang luar dan jarang turun padang. Usaha untuk menyingkirkan Rafidah memang ada, tetapi melalui saluran yang betul, tanpa mengecilkan hati sesiapa pun.


Selepas menjamu selera, saya dan Jai terus bergerak ke Sungai Siput, membuat tinjauan dan melihat persiapan jentera pilihanraya BN di sana. Malangnya, bilik gerakannya telah ditutup. Namun demikian, kami sempat mengambil beberapa maklumat yang diperlukan daripada para petugas jentera pilihanraya BN yang sedang bertugas memasang bendera BN di sekitar pekan Sungai Siput. Kami sampai ke Kampung Simpang Lawin kira-kira jam 2.30 pagi.


Makan Bihun Goreng Bersama Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz
(23 Februari 2008).


Datuk Seri Nazri Aziz memang suka makan Bihun Goreng . Bihun Goreng Basah masakan kampung adalah kegemarannya. Sudah beberapa kali beliau datang ke Kampung Simpang Lawin dan menu kegemarannya sudah diketahui umum oleh masyarakat kampung di situ. Tapi kali ini beliau hadir ke salah sebuah kampung di bawah Kampung Simpang Lawin, bagi merasmikan Majlis Bantuan Membina Rumah untuk Orang Miskin. Walaupun saya bukan membuat liputan untuk Parlimen Padang Rengas, tetapi oleh kerana ayah saya merupakan orang kuat Datuk Seri Nazri, beliau telah meminta saya, Jai dan jurufoto Dawama, saudara Zairol untuk sama-sama hadir pada majlis tersebut untuk mengambil gambar dan maklumat daripada Datuk Seri Nazri. Peluang ini tidak kami sia-siakan, Pada pagi 23 Februari itu, Datuk Seri Nazri hadir kira-kira jam 10.30 pagi dan di sambut lebih daripada 70 orang penduduk kampung.


Program bantuan ini telah ditaja oleh Amanah Raya Berhad bagi membina sebuah unit rumah teres kos rendah untuk seorang penduduknya yang begitu miskin bernama Pak Nik. Dalam ucapan beliau, beliau tidak dapat lari untuk berkempen, malah Datuk Seri Nazri sama sekali tidak berselindung dalam menghentam puak Hindraf yang baginya telah merosakkan pepaduan kaum di Malaysia. Beliau juga meminta agar penduduk kampung memberi undi kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya kali ini. Turut hadir dalam majlis itu ialah dua calon BN untuk kawasan DUN di bawah Parlimen Padang Rengas iaitu, Datuk Jamal Nasir Rasdi, calon BN untuk DUN Lubok Merbau dan Datuk Siti Salmah Mat Jusah untuk DUN Chenderoh.


Selepas perasmian dan meletakkan batu asas rumah, kami semua menjamu selera dengan makan tengahari di Surau Simpang Lawin bersama-sama Datuk Seri Nazri Aziz. Beliau sempat berseloroh dengan saya katanya, “Ko ni, bapaknya orang kuat UMNO Padang Rengas, tapi ko ni UMNO Kuale, nasib baik mengundi di Padang Rengas.” Memang benar, saya ahli UMNO Kuala Kangsar, namun saya membuang undi di kawasan Parlimen Padang Rengas. Beliau merupakan salah seorang wakil rakyat yang berjiwa rakyat, tidak kekok duduk bersila dan bergurau senda dengan rakyat yang berada di bawahnya. Satu contoh yang cukup baik sebagai seorang Ahli Parlimen.

Selamat Datang Rafidah! (23 Februari 2008).

Petang itu, selepas selesai makan tengahari bersama Datuk Seri Nazri Aziz, kami berangkat semula ke Sungai Siput, untuk mendapatkan maklumat dan berita pembangkang di sana yang dikatakan mahu merampas kerusi Parlimen Samy Vellu. Kami berada di Sungai Siput hampir 2 jam dan sekitar jam 4 petang, dimaklumkan Datuk Seri Rafidah telah sampai di Rumah Rehat Kuala Kangsar dan akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan pimpinan tertinggi UMNO Bahagian. Saya berusaha menelefon Setiausaha Politiknya, untuk mengadakan temujanji dengan Rafidah, tetapi gagal. Usaha tidak terhenti di situ, saya hubungi pegawai-pegawai kanannya yang lain. Tetapi menghampakan. Rafidah mempunyai jadual yang sangat ketat sehingga larut malam. Lantaran itu beliau tidak tidak ada kesempatan untuk diwawancara oleh kami pada malam tersebut.


Program untuk mewawancara Rafidah pada malam tersebut telah saya gantikan dengan program ikut pemuda UMNO pasang bendera di sekitar Kuala Kangsar. Program yang bermula jam 10 malam itu diketuai oleh saudara Azizul Abdul Rahim, Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar. Lokasi gerak kerjanya bermula di Peti Undi Taman Bunga Raya. Pada malam tersebut kira-kira 100 batang bendera BN telah dipacak di sepanjang jalan dari Plaza Tol Kuala Kangsar hingga ke Sekolah Rendah Kebangsaan Talang. Program ini akan berjalan sehingga saat-saat akhir sebelum membuang undi pada 8 Mac nanti. Kami juga tidak terkecuali dalam memacak bendera BN tersebut. Walaubagaimana pun. PAS sudah mula rancak memasang benderanya awal sehari daripada pemuda BN. Malam itu, saya, Jai dan Zairol banyak menyaksikan bagaimana usaha-usaha untuk memasang bendera BN di sekitar Kuala Kangsar. Kami pulang ke rumah sekitar jam 2.30 pagi.


Permulaan yang Ceria
(24 Februari 2008).


Jai dan Zairol sudah berangkat ke Sungai Siput, seawal jam 6.45 pagi untuk membuat liputan tentang penamaan calon yang dikatakan akan kecoh dan tegang di kawasan milik Presiden MIC itu. Saya pula keluar rumah sekitar jam 8 pagi dan menunggu di Masjid Riduwaniah Kuala Kangsar, kerana calon BN akan berarak dari dataran Arena Square menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Merdeka bersebelahan dengan Maktab Melayu Kuala kangsar (MCKK). Manakala, calon PAS pula akan berarak dari arah Hospital Besar Kuala Kangsar menuju ke pusat yang sama. BN berarak dengan diiringi lagu-lagu nasionalisme, PAS pula dengan “nasyid-nasyidnya”. Para penyokong kedua-dua parti agak seimbang dari segi jumlahnya kira-kira seribu hingga dua ribu orang. Pagi yang ceria itu, tiada sesiapa yang menduga akan ada detik-detik cemas selepas itu. Jarak antara para penyokong PAS ddengan BN adalah kira-kira 150 meter, dikawal ketat oleh pihak polis dan FRU. Tidak kurang 50 anggota polis bertugas ketika itu.

Kesalahan yang Sukar Diterima!
(24 Februari 2008).

Tepat jam 9 pagi, SPR membenarkan calon daripada BN dahulu yang masuk ke dalam Pusat Penamaan Calon. Keadaan berjalan dengan lancar, setelah duduk seketika di dalam Dewan Merdeka, calon-calon BN dipanggil untuk menyerahkan borang penamaan diikuti oleh pencadang dan penyokong masing-masing. BN menamakan Rafidah Aziz sebagai calon Parlimen, manakala PAS pula ialah Dr. Khairudin Abdul Malik. Untuk DUN pula BN menamakan Dato’ Ramly Zahari bagi DUN Manong, PAS pula ialah Mohamad Yazid Yoep Baharuddin, manakala DUN Chandan, BN menamakan Dato’ Wan Khairil Anuar Wan Ahmad dan pembangkang pula meletakkan calon daripada parti Keadilan iaitu Zulkifly Ibrahim. Pertembungan satu lawan satu ini sememangnya telah dijangkakan.


Pada awal penyerahan borang penamaan calon tidak nampak apa-apa cacat celanya, malah calon-calon BN mampu bergurau dan berjenaka dengan para pegawai SPR yang diketuai oleh Dato’ Mohd Ghazali Jalal. Namun, yang jelas diperhatikan, Rafidah sama sekali tidak melihat borang pencalonannya sekali lagi sebelum penyerahan dibuat, beliau hanya terus menyerah dengan penuh yakin. Borang pencalonan Rafidah telah disemak oleh Dato’ Mohd Ghazali Jalal sendiri, dan beliau pun tidak menegur apa-apa pun terhadap borang penamaan yang dikemukakan oleh Rafidah itu. Lantaran itu, dirasakan tiada masalah yang akan timbul. Selepas selesai calon-calon BN menyerahkan borang penamaan calon. Maka giliran calon pembangkang pula menyerahkannya. Mereka juga tidak menghadapi apa-apa masalah. Segala-galanya selesai sekitar jam 9.45 pagi. Namun demikian, SPR masih menunggu kalau-kalau ada calon bebas yang ingin bertanding, tetapi akhirnya penamaan calon telah ditutup tepat jam 10 pagi.


Dan seperti biasa, prosedur SPR akan mempamerkan semua borang penamaan calon yang bertanding di dua lokasi yang berasingan, satu salinan di luar pusat penamaan (di pintu masuk dewan) dan satu salinan lagi di dalam dewan. Salinan-salinan borang penamaan itu boleh dilihat oleh wakil parti masing-masing dan wartawan sendiri. SPR melekatkannya di dinding. Wartawan tidak ramai di situ. Cuma yang ada ialah wakil RTM, Bernama, Berita Harian dan DBP. Itu pun yang dibenarkan masuk cuma wakil DBP (saya) dan RTM sahaja.

Kenapa dengan Borang Pencalonan Rafidah?

Setelah SPR menempek kesemua borang penamaan calon, dan semua wakil parti sedang jenguk menjeguk melihat kalau ada mana-mana calon yang silap dalam mengisi borang penamaan calon, maka bantahan boleh dibuat dalam tempoh satu jam. Sedang kami berpusu-pusu melihat borang penamaan calon yang diletakkan di lobi dewan. Tiba-tiba wartawan daripada RTM yang berbangsa Cina menyindir dengan suara yang agak kuat sehingga menarik tumpuan kami yang berada di situ, katanya “Kenapa la Rafidah ni lupa nak tanda tangan kat sini.” Kata-kata itu, menyebabkan semua mata tertumpu pada borang penamaan calon Rafidah, wakil-wakil pembangkang tersenyum sinis dan mula bermain dengan “sms” masing-masing. Manakala wakil daripada BN pula mula gelabah, khususnya Ketua Pemuda UMNO Bahagian, saudara Azizul Rahim. Berita ini segera disampaikan kepada Rafidah. Dan Rafidah meluru ke luar dewan dengan melihat sendiri borangnya yang tidak diturunkan tandan tangannya sendiri.


Wajah Rafidah menjadi pucat dan merah padam. Kemudian beliau berlari ke dalam dewan semula mendapatkan pengurus SPR Dato’ Mohd Ghazali Jalal bersama saya dan Azizul Rahim. Wakil-wakil BN yang lain masih belum sedar, manakala wakil daripada PAS dan PKR sudah mula mengisi borang bantahan di belakang dewan. Rafidah telah melakukan kesalahan yang sebenarnya tidak boleh dikompromi lagi kerana kesalahan tidak menurunkan tanda tangan di atas kertas penamaan calon oleh calon tersebut merupakan kesalahan yang paling besar. Dan beliau boleh hilang kelayakan untuk bertanding. Rafidah bukan sahaja tidak menurunkan tanda tangan pada satu salinan borang sahaja, tetapi dua salinan borangnya tiada tanda tangannya sama sekali.

Pagi yang Gelora

Rafidah mula meninggikan suaranya dengan berkata “Macam mana boleh jadi macam ni, saya dah tanda tangan, saya dah tanda tangan borang ni, tapi salinan borang saya di luar tak ada tanda tangan saya, Dato’ sendiri ada tengok saya ada tanda tangan borang asalnya.” Saya yang berada di belakang Rafidah dan Azizul Rahim ketika itu dapat melihat dengan cukup jelas wajah Dato’ Mohd Ghazali Jalal yang berubah menjadi pucat dan tidak tentu arah. Dia panik! Menyerap darah saya apabila melihat keadaan Dato’ Ghazali yang semakin panik dan serba tidak kena itu.


Malah, habis semua pegawai SPR yang lain turut terduduk terperanjat. Maha Besar Allah. Kata saya dalam hati. Bahkan hati saya sempat berbisik, habislah Rafidah kali ini. Borangnya tidak ditandatanganinya. Saya lihat calon PAS dan PKR sudah mula berbisik-bisik dan ada yang keluar bertemu dengan para penyokongnya untuk mengkhabarkan berita gembira yang mana, calon mereka bakal menang percuma untuk kerusi Parlimen.


Suasana terus tegang apabila Rafidah terus menerus mahu melihat borang originalnya. Manakala sudah semakin ramai yang mula tahu, kesalahan besar telah dilakukan oleh Rafidah. Calon-calon BN dan wakilnya yang lain mula berkumpul di belakang dewan dan berbisik-bisik antara satu sama lain. Dalam keadaan kecoh itu, Rafidah dan Dato’ Mohd Ghazali Jalal hilang daripada pandangan kami semua. Entah ke mana perginya mereka berdua. Mungkin di sebuah bilik di belakang dewan. Bilik untuk barang-barang penting SPR di simpan. Beberapa minit kemudian barulah nampak kelibat Rafidah dan Dato’ Ghazali di meja panjang SPR.

Rafidah dan Teori Konspirasi

Rafidah mengambil tempat duduknya kembali di dalam dewan diikuti penyokong dan pencadangnya. Saya segera menemui Rafidah dan bertanya macam mana perkara ini boleh berlaku? Air muka Rafidah masih belum tenang, tetapi segera menjawab pertanyaan saya, katanya “Saya tak tahu, macam mana boleh jadi macam ini, semalam 10 orang termasuk saya sendiri telah semak borang tu berkali-kali dan tiada apa-apa masalah, tetapi pagi ini, tiba-tiba sahaja jadi macam ini”. Saya bertanya lagi, “Datuk Seri rasa ini sabotaj ke?” Rafidah terdiam sekejap. Lalu menjawab, “Saya tak tahu, tak pasti ia sabotaj atau tidak, susah nak cakap, tapi saya tak percaya boleh jadi macam ni.” “Abis, macam mana nak selesai masalah ini?” Tanya saya lagi. Rafidah menjawab, “Tapi borang originalnya saya dah tanda tangan, SPR kira yang itu dan bukan salinan-salinan ini.”


Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi dan masih ada setengah jam lagi untuk mencari dan mengemukan sebarang bantahan terhadap borang-borang penamaan calon yang lain. Namun demikian, saya lihat Dato’ Wan dan Dato’ Ramly tidak senang duduk melihat masalah ini bagaikan sukar diselesaikan dan sudah pasti Rafidah akan hilang kerusi Parlimennya sebelum sempat beliau bertarung di medan yang sebenarnya.


Saya pula segera bertemu dengan Dato’ Mohd Ghazali Jalal untuk bertanya kepadanya, wajahnya masih dalam keadaan risau dan cemas. “Dato’ saya nak bertanya, berapa banyak borang penamaan calon yang perlu di tanda tangan oleh seseorang calon tersebut?”. “Semua ada tiga borang, tetapi dua lagi tu merupakan salinan, yang paling utama borang asalnya tu mesti di tanda tangani.” Jawab Dato’ Ghazali. Seluruh warga kerja SPR di dalam Dewan Merdeka semakin kalut dan panik. Saya dipanggil oleh beberapa wartawan dari Berita Harian dan Bernama yang tidak memiliki Pas Media yang dikeluarkan oleh SPR untuk mengetahui kisahnya yang sebenar, saya keluar dewan dan bertemu dengan mereka dan menceritakan kisah yang telah berlaku di dalam dewan. Mereka mencatat dan menulis segala-galanya.


Selepas itu, saya segera menemui calon parti pembangkang. Mereka kelihat optimis akan menang percuma dan SPR pasti menolak pencalonan Rafidah tersebut. Mereka sudah pun menghantar bantahan melalui wakilnya Jamaluddin Abdul Majid. Menurut beliau ada dua kesalahan dalam borang Rafidah yang perlu ditolak, pertama borangnya tidak ditandatangani dan yang kedua nama Rafidah telah di tulis tanpa meletakkan perkataan “binti” itu juga merupakan satu kesalahan. Jadi, dua kesalahan ini sudah cukup untuk SPR membatalkan pencalonan Rafidah. Saya sempat melihat keadaan penyokong BN yang masih terus mendendangkan lagu-lagu mereka di luar sana. Saya keluar dewan dan menuju ke arah mereka. Didapati keluarga dan saudara mara Rafidah sudah mula bersedih dan menjangkakan bahawa Rafidah sudah pasti tersungkur pada kali ini.


Manakala bantahan daripada wakil BN Dato’ Kamalia Ibrahim pula mengemukan dua juga bantahan terhadap calon parlimen pembangkang, yang pertama, alamat dalam borang penamaan calon untuk kerusi parlimen mereka tidak lengkap, kerana poskodnya ditulis dengan salah. Mereka menulis poskod untuk daerah Kuala Kangsar ialah “3300”, tetapi yang sebenarnya “33000” hilang satu “0”. Bantahan kedua pula ialah dari segi tarikh yang ditulis dalam borang penamaan calon yang tidak tertera tarikh pada hari penamaan calon tersebut, sebaliknya tarikh telah ditulis awal daripada tarikh hari penamaan calon tersebut.


Setelah tamat tempoh bantahan, Dato’ Ghazali telah memanggil kedua-dua calon kerusi parlimen dan mengemukan bantahan yang telah dikemukan oleh kedua-dua pihak. Rafidah telah diberi tahu bahawa wakil daripada calon PAS telah mengemukan bantahan tentang borangnya yang tiada tanda tangan dan namanya yang tidak disertakan dengan perkataan “binti”. Namun demikian, menurut Dato’ Ghazali borang penamaan Rafidah tetap diterima kerana borang originalnya telah ditanda tangani. Hal ini serta merta sahaja menaikan kemarahan Dr .Khairuddin, beliau dengan tegas mendakwa bahawa borang Rafidah itu tidak sah, kerana borang itu mempunyai tiga salinan yang perlu dilengkapkan, dan jika salah satu daripadanya tidak lengkap, maka pencalonannya adalah terbatal. Apatah lagi dalam hal ini, amat jelas Rafidah telah lupa untuk menandatangani dua borang salinannya. Suasana mula tegang dan terdapat sedikit pertikaman lidah antara Dato’ Ghazali dengan Dr Khairuddin berkenaan undang-undang SPR melalui fasal 6nya.


Namun begitu, Dato’ Ghazali tetap dengan pendiriannya, bahawa borang penamaan calon Rafidah lengkap berasaskan kepada borang asalnya. Dr Khairuddin makin bengang. Beliau mendakwa lagi, bahawa beliau sangsi Rafidah telah menandatangani borang asalnya dalam tempoh satu jam penamaan calon yang telah berlalu tadi. Sebaliknya, beliau mengesyaki bahawa Rafidah telah menandatangai borang originalnya itu setelah tamat tempoh penamaan calon, apabila keadaan kecoh mendapati bahawa beliau lupa menurunkan tanda tangannya dalam borang tersebut. Sebab itulah Rafidah dan Dato’ Ghazali hilang dengan tiba-tiba. Saya lihat wajah Dato’ Ghazali makin bergelora dan serba salah. Cara beliau bertutur pun sudah mula kelam kabut. Beliau masih mempertahankan keputusannya dengan mendakwa bahawa beliau sudah menelefon SPR pusat dan memaklumkan hal ini, dan SPR pusat berkata tiada masalah dengan syarat borang original telah ditandatangani. Malah, menurut Dato’ Ghazali lagi, ia bergantung juga pada budi bicaranya juga.

Terima Kasih Tuhan

Akhirnya, Dr Khairuddin meninggikan suaranya dengan amaran yang menyebabkan semua orang kecut perut. “Saya nak ingatkan Dato’, Dato’ wajib amanah dan jujur menjalankan tanggungjawab, kalau benar ia telah ditandatangani selepas tempoh tamat penamaan calon jam 10 pagi tadi, maka Dato’ tanggung dosanya. Dalam al-Quran ada menyebut orang yang tidak amanah ni akan masuk ke neraka, terpulang!”. Wajah Dato’ Ghazali berubah dan mula membincangkan bantahan daripada pihak BN pula. Tentang kesalahan alamat dan tarikh yang telah dilakukan oleh calon pembangkang tersebut. Walaubagaimana pun, bantahan BN itu juga telah ditolak menurut Dato’ Ghazali kesalahan teknikal itu terlalu kecil dan boleh diketepikan.


Saya lihat Dato’ Ghazali cuba menunjukkan bahawa kedua-dua calon telah membuat kesalahan dan kedua-dua pencalonan mereka boleh dibatalkan, tetapi dengan menggunakan budi bicara yang dimilikinya, maka kedua-dua calon boleh bertanding dan kesalahan mereka boleh dimaafkan. Oleh kerana Dr Khairuddin merupakan muka baru yang ditonjolkan oleh PAS pada pilihanraya kali ini, beliau tidak berpengalaman dalam urusan tawar menawar atau bersikap tegas dengan SPR, oleh itu dengan mudah beliau termakan dengan budi bicara yang telah ditonjolkan oleh Dato’ Ghazali. Akhirnya Dr Khairuddin menerima budi bicara Dato’ Ghazali, walaupun beliau agak keberatan menerima keputusan itu, tetapi terpaksa akur kalau-kalau pencalonnya juga boleh terbatal. Rafidah menarik nafas lega. Begitu juga dengan saya dan calon-calon BN yang lain.


Para penyokong PAS kecewa dengan keputusan ini dan menuduh pelbagai pembohongan telah dilakukan oleh SPR. Sewaktu Rafidah keluar daripada Dewan Merdeka, penyokong-penyokong PAS menjerit dengan kata-kata kesat kepada Rafidah, “Woi bila nak turunnya lagi, dah lama duduk kat situ.” Dan satu lagi yang sempat saya dengar ialah “Kak Pidah, bila nak bertudung, tak tahu dosa ke”.


Walaubagaimana, pun akhirnya, Dato’ Mohd Ghazali Jalal mengumumkan calon yang layak bertanding di pekarangan Dewan Merdeka dan menamatkan spekulasi bahawa Rafidah tewas sebelum bertanding. Penyokong-penyokong BN bersorak gembira mendengar pengumuman tersebut, manakala penyokong PAS memaki hamun kami dan SPR.


Rafidah dan calon BN yang lain berjalan pulang menuju ke arah penyokong mereka dan berpelukan di sana, bersyukur dan terima kasih kepada tuhan, kerana keadaan kembali selamat. Saya sudah mahu bernagkat pulang ke Kuala Lumpur pada petang itu, tetapi menerima panggilan telefon daripada beberapa orang pimpinan UMNO bahagian dan diminta untuk memberi gambaran yang sebenar kejadian di dalam Dewan Merdeka yang berlaku pada hari tersebut. Malam tersebut saya ke Bilik Gerak Peti Undi Taman Bunga Raya dan bercerita panjang kepada mereka sehingga jam 11 malam.


Keesokannya, Utusan melaporkan cerita Rafidah ini dalam tulisan yang cukup ringkas, tetapi tidak dibesar-besarkan, sedangkan kes Rafidah ini cukup besar dalam sejarah kesalahan yang dilakukan oleh seseorang calon pilihan raya. Saya kembali ke rumah, berfikir panjang dan menarik nafas lega berkali-kali, jika penamaan calon Rafidah ditolak. Saya percaya PAS dan PKR akan menang besar dalam pilihan raya kali ini. Bayangkan seorang tokoh dan calon paling lama dalam pilihan raya, tumpas kerana kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang seperti Rafidah! Maha Suci Allah dan Maha Besar Allah. Dia menunjukkan kuasanya pada hari ini dengan sejelas-jelasnya!

May 8, 2008

Penulis bersama Datuk Mukhriz Mahathir

"Keris Itu Tersemat Dalam Jiwa Kita."

-Datuk Mukhriz Mahathir


Ikuti wawancara khas bersama YB Datuk Mukhriz Mahathir bersama saya di Hotel Singgahsana pada hari Rabu 7 Mei 2008 jam 12.00 malam, selepas program Wacana Generasi Muda, anjuran Biro Pengurusan & Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Petaling Jaya Utara.


Apakah pengalaman Datuk sewaktu pertama kali memasuki Dewan Rakyat sebagai seorang ahli parlimen?


Saya tidak tahu bagaimana sidang Parlimen dalam penggal yang lalu. Saya merupakan muka baru dalam parlimen pada kali ini. Tetapi, apa yang saya dapat rasai sepanjang saya menghadiri persidangan parlimen kali ini ialah, saya lihat sikap ahli-ahli parlimen daripada BN sudah kelihatan berubah. Jika dahulu mereka berasa selesa, kini mereka lebih banyak membawa masalah rakyat yang mereka wakili. Ini satu perkara yang positif. Umpamanya, wakil dari Sabah, sudah ada keberanian untuk meluahkan rasa hati bahawa masyarakat Sabah begitu ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Malah mereka pun merayu kepada kerajaan agar tidak meminggirkan sabah dan Sarawak dalam soal pembangunan dan pembelaan. Apabila wakil rakyat-wakil rakyat BN pada masa sekarang memahami tanggungjawab mereka. Hal ini menyebabkan wakil rakyat daripada pembangkang sudah tiada isu untuk diperkatakan. Dan ini menyebabkan mereka lebih banyak menimbulkan soal-soal teknikal dan provokasi di parlimen semata-mata. Mereka cucuk kita agar kita melenting, mereka panggil kita ’animal’ dan macam-macam lagi untuk mewujudkan ketegangan. Jadi, saya lihat ahli-ahli parlimen BN sudah memainkan peranannya yang berkesan agar mengimbangi kekuatan pembangkang.


Pada pandangan Datuk, bagaimanakah perjuangan Pemuda UMNO untuk masa akan datang, apabila melihatkan nasib BN yang teruk dalam pilihan raya kali ini?


Kita kena faham, untuk PRU ke-13 kelak, 55 peratus pengundi adalah golongan remaja dan belia. Pemuda UMNO kena ada strategik untuk menarik kembali sokongan golongan ini, jika tidak kita akan tewas dengan lebih teruk lagi. Oleh sebab itu, ketua Pemuda UMNO yang akan dipilih kelak akan lebih hebat cabarannya berbanding dengan zaman Datuk Seri Hishamuddin mengambil alih ketika UMNO menghadapi krisis Anwar Ibrahim.


Peneraju Pemuda UMNO nanti seharusnya lebih kerap turun ke padang dan dengar kehendak dan rintihan ahli-ahlinya. Kemudian kita jangan sekat golongan muda ini untuk menyertai UMNO, jika hati mereka terbuka untuk menyertai UMNO biarkan. Beri peluang kepada golongan muda yang berbakat untuk menyertai kita. Yang penting kita seharusnya mempunyai program untuk ahli-ahli muda ini memahami perjuangan dan sejarah UMNO barulah mereka ikhlas dalam perjuangan. Kita tidak boleh biarkan mereka masuk UMNO lepas itu kita biarkan macam itu sahaja. Kena ada program menyeluruh untuk golongan ini. Kita juga harus ingat dan jaga hati golongan muda daripada kaum lain, umpamanya kita cabut keris dan beri orang lain lihat ia mendatangkan kesan yang tidak baik, sebenarnya hunus keris pun tidak ada gunanya, jika jiwa kita kosong. Kalau jiwa kita kuat kita tidak perlu menghunuskan keris, kerana yang sebenarnya, keris itu tersemat dalam jiwa kita. Itu sudah cukup. Contohnya, apabila isu Hindraf meletus kita tidak buat apa-apa pun. Ini contoh jiwa kita lemah.


Apakah pandangan Datuk berkenaan isu ladang Babi berharga 100 juta yang ingin dilaksanakan di Selangor?


Saya pernah jumpa seorang wakil rakyat daripada PKR, saya tanya berkenaan isu ini. Dia jawab ini soal fardu kifayah Datuk. Kita buka ladang Babi itu untuk menunaikan fardu kifayah sebab bangsa Cina ini makan haiwan inilah. Saya tanya balik apakah jaminan bahawa ladang ini semata-mata dibuat untuk membekalkan makanan kepada bangsa Cina di kawasan tersebut sahaja. Dia tiada jawab la. Rupa-rupanya seminggu selepas itu saya dapat berita bahawa ladang itu dibina untuk tujuan komersil, pasarannya adalah di China kerana permintaan di sana adalah tinggi. Jadi, fardu kifayah apa namanya ni.


Baru-baru ini, majalah TIME meletakkan Anwar Ibrahim sebagai salah seorang daripada 100 individu yang paling berpengaruh di dunia, sebaris dengan tokoh-tokoh dunia yang lain, apa komen Datuk?


Ini satu propaganda la. Bukan TIME sahaja yang memberi pandangan tinggi mereka kepada Anwar, bahkan surat khabar Israel pun pernah menamakan Anwar sebagai “Perdana Menteri yang Sedang Menunggu”. Apakah maknanya semua ini. Sudah tentu ada yang tidak kena dengan Anwar jika media Israel pun menyokongnya. Kita sebenarnya perlu mendedahkan hipokrit dan tipu muslihat Anwar, agar rakyat tidak tertipu. Saya teringat ucapan Anwar sewaktu menyampaikan syarahannya di Melbourne yang mendakwa bahawa jika kita peruntukkan satu juta untuk membina masjid, kita juga harus memperuntukkan satu juta untuk membina tokong dan kuil. Hal ini saya tengok sudah mendapat nada yang sama daripada Ong Ka Ting di parlimen. Kita kena la faham kedudukan agama kita di Malaysia, kita tidak boleh nak ikut semua kehendak orang lain macam itu sahaja.


Apakah pandangan Datuk berkenaan perlunya Melayu bermuafakat melangkaui ideologi politik dan kepartian?


Kita kena faham, UMNO merupakan parti muafakat dengan semua parti-parti yang berlainan ideologi yang terdapat di Malaysia. Kita sendiri dalam BN juga bermuafakat dengan parti-parti lain untuk membina kesejahteraan. Kita juga tidak menjadi masalah untuk bermuafakat dengan PAS dan PKR demi bangsa Melayu. Sejarah telah membuktikannya. Pada tahun 1990 kita telah menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN I) untuk membincangkan agenda perpaduan, kontrak sosial dan ekonomi yang mana orang Melayu diwakili oleh UMNO, PAS dan Semangat 46 manakala Cina pula diwakili oleh MCA, DAP dan Gerakan. Dan terbukti kita mampu mencapai kata sepakat. Tetapi pada tahun 2000, apabila kita mengadakan MAPEN II PAS dan PKR tak mahu sertai kita. Dan sekarang apabila Haji Hadi timbulkan hal tersebut, saya rasa amat marah kerana mereka yang menolak permuafakatan yang pernah kita tawarkan dahulu.


Apakah pandangan Datuk dengan sikap Karpal Singh baru-baru ini yang mempertikaikan kuasa sultan Perak?


Karpal ini saya gelar sebagai ekstremis. Suka menimbulkan isu-isu sensitif dan sentimen perkauman. Orang macam ini tidak patut disokong.


Berkenaan tangkapan Raja Petra apa komen Datuk?


Pendekatan beliau dalam laman webnya merupakan pendekatan anarki. Tiada batasan dalam penulisannya. Dia buka seluas-luasnya untuk menulis apa sahaja dan komen apa sahaja. Ini sesuatu yang tidak baik, kita mesti ada batasan dan had yang tidak terlalu bebas menghentam sesiapa sahaja.


Apakah respons yang Datuk terima selepas mengirimkan surat peribadi kepada Pak Lah agar beliau meletakkan jawatannya?


Surat itu telah dibocorkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab, sememangnya saya sengaja menghantar surat tersebut kepada Pak Lah sebelum barisan kabinet dibentuk, hal ini adalah untuk mengelakkan agar saya dituduh kecewa kerana tidak dapat tempat dalam kabinet Pak Lah. Apabila saya menghantar surat itu sudah tentu ada pro dan konnya. Ramai juga yang ada jawatan dalam UMNO dan kerajaan yang mula menjauhi saya kerana bimbang dikatakan sebagai orang saya. Tetapi tidak kurang ramai juga yang menyokong tindakkan saya tersebut. Tetapi hakikatnya, saya menerima banyak respons daripada akar umbi.


Saya menerima 2000 sms yang menunjukkan sokongan mereka kepada saya, saya boleh katakan 99 peratus menyokong tindakkan saya. Malah tak sempat saya nak membaca semua sms tersebut. Apatah lagi untuk membalasnya. Saya pun tidak sangka setelah saya menghantar surat tersebut kepada Pak Lah, saya telah dilihat sebagai hero pula, sedangkan itu bukanlah niat saya, malah tindakkan saya itu juga turut mempengaruhi Tengku Razaliegh untuk menyatakan hasratnya bertanding jawatan Presiden UMNO.


Apakah pandangan Datuk berkenaan hasrat Pak Lah untuk mengekalkan jawatan Presiden UMNO Disember ini?


Nampak gayanya tiada peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada Najib. Jelas Pak Lah ingin mengekalkan jawatannya. Kita sebenarnya mintak Pak Lah berundur kerana kita mahu dia melepaskan jawatannya secara baik. Kita bimbang, dalam sejarah UMNO tiada Presiden UMNO yang tewas ketika sedang menjadi penyandangnya. Kita tidak mahu hal ini terjadi.


Benarkah dakwaan yang mengatakan bahawa faktor 3 peratus yang dikenakan sebagai faedah kepada peminjam PTPTN menyebabkan golongan muda mengundi pembangkang pada kali ini?


Saya tidak fikir seperti itu, saya percaya para pelajar memahami kebajikan yang telah kerajaan sediakan kepada mereka selama ini. Saya tak percaya faktor 3 peratus itu yang menyebabkan BN tewas baru-baru ini.


Apakah kesan kepada BN setelah kita kehilangan 2/3 majoriti apakah akan terganggu dari aspek belanjawan yang akan dibentangkan oleh kerajaan kelak?


Saya percaya ia berjalan dengan lancar. Cuma jika mahu mengubah perlembagaan sahaja kita memerlukan sokongan pembangkang. Dari aspek belanjawan saya percaya kita tidak akan hadapi masalah daripada mendapat sokongan ahli dewan.