Tetamu Kehormat...

August 18, 2008


Laluan Berliku
Saiful vs Anwar

Oleh Muhammad Azli Shukri


Saya sebenarnya tidak berhasrat menulis berkenan politik dalam blog saya ini, kerana ia lebih banyak mengundang fitnah daripada kebenaran. Namun demikian, apabila isu Mohd. Saiful Bukhari,bersumpah dan timbul pelbagai andaian dan tohmahan kepada beliau, saya terpaksa bercakap benar dan mempertahankan kebenaran. Jika tidak ilmu yang saya miliki ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.


Allah menurunkan firmannya berbunyi “Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa-Setelah engkau beroleh pengetahuan yang meyakinkan tentang hal itu, maka katakanlah kepada mereka : Marilah kita panggil (kumpulan) anak-anak kami dan anak-anak kalian, isteri-isteri kami, dan isteri-isteri kalian, diri-diri kami dan diri-diri kalian, kemudian kita bermubahalah kepada Allah, mohon agar Allah menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta.” (Ali Imran : 61)


Makna Mubahalah ialah, masing-masing pihak daripada orang-orang yang berbeza pendapat, dengan sungguh-sungguh berdoa bermohon kepada Allah agar menimpakan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta (yang berkeras kepada mempertahankan pendapatnya yang tidak benar).


Ramai yang nampaknya tidak faham mengapa mubahalah diperlukan dalam hal-hal tertentu. Perkara ini tidak terkecuali terkena dalam kalangan ulama-ulama ternama kita di Malaysia, sehingga ada yang tergamak mendakwa bahawa sumpah yang dilakukan oleh Saiful baru-baru ini umpama orang Kristian yang memegang Bible. Subhanallah. Perbandingan yang jauh daripada kebenaran. Setakat ini, hanya Mufti Perlis, Dr. Asri sahaja yang menyokong agar kedua-dua pihak, yakni Anwar dan Saiful bersumpah berkenaan kes liwat mereka tersebut mengikut cara yang digariskan oleh Islam. Soalnya, mengapa terdapat dua pandangan yang berbeza berkenaan konsep sumpah mubahalah ini? Mengapa mesti sesama ulama bercanggah pendapat lagi, jika sudah jelas firman Allah dalam surah Ali Imran tersebut? Jika kita sama-sama mengikut al-Quran sudah tentu tidak akan ada perdebatan lagi dalam soal ini.


Hal ini terjadi adalah disebabkan sesetengah ulama di Malaysia tidak mendalami fiqh al-Waki, yakni fiqh yang memahami keadaan semasa dan diselaraskan dengan maqasid syariah (tujuan-tujuan syariat yang diturunkan oleh Allah). Dalam isu Saiful ini, Ulama telah melihat isu tersebut dalam dua perspektif-pertama, bagaimanakah perundangan Islam, yakni hukum Islam menyelesaikan isu liwat yang membabitkan kedua-dua pihak, apakah syarat-syarat dan metodologi yang digunakan bagi mengheret kedua-dua pihak ke muka pengadilan-mengikut garis panduan Islam, apakah ada wujud kes atau sebaliknya. Ini merupakan konteks yang dilihat oleh sebahagian besar Ulama di Malaysia, melalui kaca mata perundangan Islam. Ulama yang melihat isu Saiful-Anwar dari sudut ini termasuklah Mufti Perak, Mufti Wilayah, dan Nik Aziz Nik Mat.


Satu lagi kaedah melihat kes Saiful-Anwar daripada kaca mata Islam juga ialah melangkaui cara pertama tadi, yakni melihat isu ini lebih besar daripada cara pertama yang tertera di atas, iaitu isu ini merupakan isu yang membabitkan maslahat umat Islam di negara ini. Isu yang melibatkan perpaduan umat Islam di Malaysia, isu yang membabitkan fitnahtul Kubra (fitnah besar ke atas umat Islam Malaysia), isu yang membabitkan tentang ketidakpercayaan masyarakat terhadap sistem yang ada di Malaysia, yakni ketidakpercayaan sebahagian besar rakyat terhadap badan kehakiman, polis, badan politik dan kepimpinan negara. Semua ini mengundang fitnah. Fitnah seperti mana yang kita sedia maklum, dosanya lebih besar daripada membunuh. Kaedah kedua ini telah dilihat oleh Mufti Perlis dan saya sendiri bersetuju melihat isu Saiful-Anwar ini dari kaca mata kedua ini, hal ini adalah kerana implikasi isu Saiful-Anwar ini kepada negara dan agama adalah amat besar.


Ini bukanlah isu berkenaan 4 orang saksi atau sebatan 80 kali, ini merupakan isu yang lebih besar daripada itu. Waki’ (realiti) yang dihadapi oleh rakyat dan negara sekarang ini ialah FITNAH. Fitnah yang sudah tidak mampu dibendung dengan sistem yang sedia ada. Kebenaran dan keadilan yang dicari oleh Anwar dan Saiful tidak akan dijumpai di mana-mana mahkamah di Malaysia ini, kerana sistem kehakiman itu sendiri sudah tidak dipercayai oleh kebanyakan orang. Apa-apa sahaja keputusannya, pasti akan ada tuduhan hakim telah di rasuah, konspirasi peringkat tertinggi dan sebagainya. Semua ini tidak akan menyelesaikan isu Anwar dan Saiful, malah keadilan dan kebenaran sama sekali tidak akan diperoleh kedua-dua pihak.


Hal ini adalah kerana, seluruh sistem utama di Malaysia (Polis, BPR, Kehakiman, Politik, Kepimpinan) sudah tidak dipercayai lagi, apakah yang tinggal untuk kita percaya lagi? di manakah tempat yang sama-sama kita percaya untuk mencari keadilan dan kebenaran? Akhirnya hati kita akan menjawab bahawa kita bertuhankan Allah. Hanya kepada Allah sahaja tempat yang kita sama-sama yakini untuk mengadu dan berharap, agar Dia menunjukkan kebenaran dan keadilan, setelah seluruh cara dan jalan penyelesaian lain gagal untuk menyelesaikan masalah Anwar-Saiful ini, maka mengapa terlalu berat untuk kita kembali kepada Allah?


Apabila kedua-dua pihak Anwar dan Saiful gagal membuktikan masing-masing tidak bersalah, dan saling mendakwa tidak bersalah, mengapa tidak sahaja kembali kepada surah Ali Imran di atas? Biarkan Allah menghukum mana-mana pihak yang bersalah secara terus, kerana isu Anwar-Saiful ini sudah menjadi fitnah besar kepada agama, masyarakat dan negara! Ulama-ulama harus melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas. Yakni menutup pintu fitnah yang sedang melanda negara kita.


Soal membawa 4 saksi dan sebagainya, itu soal kedua. Soal pertama yang seharusnya diselesaikan dahulu ialah ; siapa yang bercakap dusta dan siapa pula yang bercakap benar. Selesaikan hal ini dahulu. Bukti yang ada sekarang tidak mencukupi untuk menghukum kedua-dua pihak yang mana bercakap benar dan yang mana berbohong. Lantaran itu, kita harus kembali kepada firman Allah di atas, “kemudian kita bermubahalah kepada Allah, mohon agar Allah menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta.” (Ali Imran : 61).


Saya tegaskan lagi di sini, kedua-dua pihak harus bersumpah kerana isu liwat ini sudah menjadi isu nasional dan mengharu birukan negara, fitnah memfitnah sudah bermaharajalela, caci maki menjadi kebiasaan, tuduh menuduh sudah sebati dengan masyarakat, buruk sangka sudah menjadi hidangan seharian kita. Semua ini merosakkan perpaduan umat Islam dan merosakkan kemuliaan agama Islam itu sendiri. Kebenaran dan keadilan sudah diperlecehkan oleh semua pihak.


Kalau kita dipihak yang benar, tiada sebab untuk takut. Soalan yang perlu kita jawap sekarang ialah, apakah dengan kedua-dua pihak melakukan sumpah mubahalah, maka ia akan mencemarkan nama kedua-dua pihak? Atau dengan bersumpah ini ia mampu membersihkan nama orang yang difitnah? Matlamat sumpah mubahalah adalah mencari kebenaran dan memohon kepada Allah ditunjukkan siapakah antara mereka yang berdusta dan berbohong! Itu sahaja. Jika Anwar percaya bahawa dia tidak berbohong, maka segeralah bersumpah. Selesai masalah, tidak perlu hubungi ulama luar negara untuk menentukan perlu atau tidak perlunya beliau bersumpah. Kembali sahaja kepada al-Quran di sana ada jawapannya. Jika beliau berani membuat demonstrasi, berani ditangkap oleh polis, berani melawan sesiapa sahaja, sama ada kerajaan Timur dan Barat, mengapa dalam isu sumpah ini beliau terlalu takut menyambut cabarannya dan melakukan sumpah mubahalah?


Saya sudah muak dan kecewa, apabila sudah ada cara penyelesaiannya di depan mata, kita masih tidak mahu menerima. Tanyakan kepada diri kita sendiri, jika kedua-dua pihak bersumpah mengikut cara Islam, isu ini pasti akan selesai tidak lama lagi. Cukuplah isu al-Arqam yang telah Allah tunjukkan kepada mereka dalam masa tiga bulan sebagaimana yang dipinta oleh pengikut-pengikut Ashaari Muhammad pada suatu ketika dahulu, yang akhirnya Ashaari Muhammad disumbat ke dalam penjara.


Walaupun hukum bersumpah ini mengikut pandangan ulama adalah makruh, namun demikian, hukumnya boleh berubah menjadi wajib apabila melibatkan fitnah yang besar ke atas masyarakat, agama dan negara. Anwar merupakan nama besar, baik di Malaysia, mahupun di peringkat antarabangsa. Jika beliau tidak bersumpah, maknanya beliau tidak mahu membersihkan namanya yang sering didakwa sebagai fitnah. Ke mana lagi Anwar ingin mencari kebenaran dan keadilan? Mahkamah di Malaysia? Soalnya adakah Anwar percaya kepada Mahkamah di Malaysia? Adakah penyokong-penyokongnya yakin dengan badan kehakiman di Malaysia? Anwar pada pandangan saya wajib bersumpah! Dan hukumnya bukannya makruh lagi.


Kita juga harus faham, dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim, nabi bersabda, maksudnya sebegini, doa orang yang dizalimi sama ada orang Islam atau bukan orang Islam, jika mereka berdoa, doanya tidak akan ada sekatan lagi untuk sampai kepada Allah bagi dimakbulkan-Nya. Lantaran itu, jika Anwar merasakan dirinya dizalimi, doa dan bersumpahlah agar orang yang menzaliminya menerima pembalasan di dunia lagi. Dan Allah tidak akan mensia-siakan doa orang yang dizalimi. Jadi, apa yang Anwar takutkan?


Persoalan yang mendakwa bahawa, sekalipun Saiful dan Anwar bersumpah mubahalah, tidak semestinya Allah menurunkan laknatnya-Nya di dunia lagi, merupakan jawapan orang yang tidak yakin dengan agamanya sendiri. Jika sumpah mubahalah bukan bertujuan untuk mendapatkan jawapan segera daripada Allah, maka tidak turunlah perintah Allah kepada Rasulullah untuk melakukan mubahalah dengan perutusan kaum Nasrani Najran untuk sama-sama kedua-dua pihak mengikrarkan permohonan kepada Allah agar menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta. Cara tersebut ditempuhi untuk mengakhiri perdebatan antara kedua-dua belah pihak mengenai kedudukan Isa putera Maryam. Sudah tentulah pihak Rasullah yang benar dalam isu ini.


Lantaran itu, hanya orang yang benar-benar ikhlas dan yakin bahawa dia berada di pihak yang benar sahaja, yang sanggup melakukan sumpah mubahalah ini. Sekarang, kita hanya menunggu laknat Allah akan terjadi atau tidak ke atas diri Saiful, jika tidak, maka kita sendiri boleh menjawab, siapakah yang bercakap benar dan siapa pula yang berbohong. Saya di sini juga ingin mencadangkan agar Anwar yang mempunyai hubungan yang baik dengan ulama-ulama Timur Tengah, ambillah cuti dan bersumpahlah di tanah suci, jika beliau benar-benar yakin beliau tidak berbohong dalam isu ini. Saya percaya, ramai jutawan yang sanggup “menaja” penerbangan beliau ke tanah suci untuk niat yang suci mencari keadilan dan kebenaran di hadapan Kaabah dan bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau benar-benar dizalimi. Susah sangat ke?


Kepada Ulama-ulama yang tidak bersetuju Anwar bersumpah, tolong tanyakan kepada diri sendiri, apakah dengan cara bersumpah ini maka masalah akan bertambah rumit atau masalah ini akan semakin hampir ke arah penyelesaiannya? Tanya juga, apakah yang kurang dan celanya, jika Anwar bersumpah? Apakah dengan Anwar bersumpah maka negara dan rakyat akan bertambah kecoh dan gundah gelana? Sebenarnya bersumpah adalah jalan terbaik untuk Anwar membersihkan dirinya daripada fitnah yang terlalu besar ini. Keyakinan rakyat akan pulih, suasana tegang akan kendur kembali, fitnah akan berhenti dan rakyat akan senang hati, jika benar Anwar difitnah selama ini. Tiada sebab mengapa ulama-ulama mencadangkan kepada Anwar agar beliau tidak bersumpah. Kecuali ulama-ulama tersebut mengetahui kisah yang sebenar dan dibimbangkan jika Anwar dimakan sumpahnya sendiri.


Apabila Presiden Pas Haji hadi Awang berkata berkenaan sumpah saiful tersebut seperti ini, "Itu satu kebodohan terhadap hukum Islam, malangnya melibatkan mereka yang memakai jenama agama. Itu (bersumpah) tidak menepati apa yang dikehendaki dalam hukum Islam. "Yang ada dalam Islam ialah li'an (iaitu sumpah melibatkan suami isteri)...sumpah dengan kitab suci ini ialah amalan Kristian yang bersumpah dengan Bible.


"Kita orang Islam mestilah li'an. Li'an ialah dalam tuduhan zina suami kepada isteri (tetapi) Anwar dan Saiful ini bukan suami isteri," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu sumpah laknat menggunakan al-Quran oleh Mohd. Saiful. Beliau berkata adalah tidak wajar masyarakat menghukum Anwar berdasarkan tindakan Mohd. Saiful yang “kebetulan” dibuat sehari sebelum proses penamaan calon Parlimen Permatang Pauh berlangsung. Menurut beliau, perkembangan terbaru itu tetap tidak akan menjejaskan sokongan dan kepercayaan Pas kepada Anwar, sebaliknya parti itu akan terus membantu Anwar untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.


Haji Hadi seolah-olah tidak faham waki’ dan matlamat sesuatu syariat itu diturunkan, Dalam kenyataan ini juga seolah-olah Haji Hadi menafikan bahawa di dalam al-Quran terdapat ayat yang menerangkan nabi pernah bermubahalah dengan Nasrani Najran, jadi mengapa sumpah hanya dibataskan kepada Li’an semata-mata? Jelas beliau lebih mementingkan politik daripada mencari siapakah yang bercakap benar dan siapa pula yang berbohong! Haji Hadi perlu kembali melihat isu ini dengan jujur dan menyeluruh.


Kebenaran sebenarnya sudah semakin hampir di depan mata, tetapi malang, ulama sesama ulama masih bertelagah untuk mencari jalan pulang yang terlalu jauh. Banyak lagi yang ingin saya tulis, tetapi masa membatasi saya, namun demikian kebenaran tidak mungkin saya selindung lagi. wallahualam. Mohon ampun kepada Allah jika ada salah dan silap daripada hamba-Mu ini. Tiada niat lain, melainkan untuk mempertahankan kebenaran yang sudah pasti!

26 comments:

hanis said...

indeed a true statement... bersumpah lah dengan nama Allah... knapa perlu berdolak dalih...

Conspiracy Theorist said...

Bro Azly,

I'll post dis article in my blog, wth ur consent i hope, heheh..wat can I say..dis is so far d best comment i've read posted in reply to dis bruhaha liwat issue wth embarrass us as Muslim & Malay.. i gess d world is coming nearer to Kiamat.. neway ur article had sum how showed dat d best & logical way is for bro AnWar to accept d challenge to mubahalah to clear his name in d islamic way.. tp bro main ngan Melayu yg mentaliti dia sempit dan susah menerima jalan kebenaran ni susah gak..dat shows kita nyer masyarakat dh mula lupa diri dek politik & kebendaan..sedih melihat keadaan sekarang ni tapi apo nak dikato,..heheh...itu lah sandiwara dunia kata aruah P.Ramlee.. ulamak cam Hj.Hadi ni lah yg boleh memesongkan islam ikut rentak politik.. lihat saja TG Nik Aziz, mula2 siap suggest junjung Quran kemudian lepas bro Saiful mubahalah dia kata ok ikut cara Islam, tut tut..pas tu kata tak betul sbb cam keristian lak,.amende la ni rul tak bro..why cant we sumtime use our logic of d mind to at least be open to accept certain decision dat can benefit d majority..bukan nak kena bayar brjuta2 nak mubahalah ni.. semua atas nawaitu & I say nawaitu bro AnWar dah tak betul, sori le..dah sah.. ok bro tc n b safe..my hats off to u for dis wonderful article..till then..ciao

SAY NO TO NWO!! SAY BYE TO AnWar!!

axim said...

Anwar kata takmoh bersumpah sebab takut di manipulasikan...persoalannya kalau aanwar pun bersumpah kata dia tak liat si sepul tuh then sapa yang betul???only GOD knows....so masalah still tak selesai.....

cuba tengok balik kes ni dari awal...liwat ni boleh main paksa paksa ke bro..kalau yer pun paksa kudrat org umur 60 tak sama ngan umur 24...anwar plak macam da sakit tuh....

kecuali lah suka sama suka..then nak wat statement plak kata kena liwat la apa lah....ntah lah,.....aku rasa macam something wrong with saiful Bukhari confession tuh...skang aku bukan persoal kenapa anwar tak nak bersumpah,aku just nak taw naper plak tetiba skrip tahun 1998 muncul kembali...

aku tak sebelah mana mana pun...just keadaan politik kita ni dah makin parah.....macam ni lah berlaku bila setan dan dajal serta iblis sama sama pegang politik....hancusss....sumer tak boleh pakai...

wfazura said...

Semoga Allah tunjukkan kebenaran...Aminnnnn

MUHAMMAD AZLI SHUKRI said...

hanis-terima kasih

conspiracy-silakan..semoga kebenaran akan semakin hampir.

axim-betul politik kita makin parah

fazura-sama2 kita tunggu

axim said...

I LIKE UR THOUGHT IN THIS BLOG SO I'VE ALREADY LINK YOU IN MY 'WACANA MINDA' SECTION..TQ..

MUHAMMAD AZLI SHUKRI said...

terima kasih axim, saya akan turut link blog saudara.

ayor lemuju said...

Saya suka tulisan anda yang benar-benar adil dan saya fikir mewakili fikiran dan pandangan majoriti yang masih tertanya-tanya dan menunggu jawapan yang pasti.

Saya suka hendak me-link-kan blog ini tapi saya ada polisi yang tegas, untuk bulan Ogos ni saya hanya letak link flag flyers sahaja, if you know what I mean.

Terima kasih.

S.YanaZ said...

Saudara Azli,
kalau aku jadi Anwar, aku sudah pilih utk bersumpah sejak 1998...

Kenapa mesti cuak dgn KEBENARAN?

Mohd Radzian said...

Saya bersetuju dengan pendapat Azly. Memang brader Anwar perlu bersumpah muhabalah setelah Saiful melafazkan sumpah.

Berkenaan statement Nik Aziz, Hadi Awang dan Gus Dur, saya percaya sebenarnya mereka bersetuju dengan muhabalah, cuma cara akhbar membuat laporan menggambarkan seolah-olah mereka tidak bersetuju. Mungkin, pemberita kurang arif atau terdapat agenda yang tersembunyi daripada akhbar. Mungkin juga cara Nik Aziz, Hadi Awang dan Gus Dur menyatakan pendapat mereka berbelit-belit kerana pengaruh dan kepentingan politik.

Saya rasakan mereka setuju kerana apabila disebut muhabalah, pada awalnya Nik Aziz setuju.

On the other hand, bila pegang dan junjung Al-Quran Nik Aziz tidak setuju.

Mungkin..bila Nabi bermuhabalah , Nabi tidak junjung Quran.

Kerana itu, saya simpulkan disini mereka sebenarnya setuju muhabalah tapi tak setuju pegang Quran sanbil bermuhabalah.

Rasanya kita perlu perbetulkan kekeliruan orang ramai disebabkan oleh laporan akhbar yang tidak bertanggung jawab dan balik kepada asal. Anwar perlu bermuhabalah tanpa perlu junjung atau sentuh Al-Quran. Cuma lafazkan sumpah dan memohon Allah jatuhkan laknat tanpa junjung atau sentuh Al-Quran.

Ungku Nor said...
This comment has been removed by the author.
cheguman said...

"Anwar kata takmoh bersumpah sebab takut di manipulasikan...persoalannya kalau aanwar pun bersumpah kata dia tak liat si sepul tuh then sapa yang betul???only GOD knows....so masalah still tak selesai....." Axim.

..."kalau Anwar pun bersumpah..." Itulah persoalannya. Sepatutnya Anwar bersumpah.

Anwar masih seorang yg berperinsip Betul? Jika betul, kita jangan lupa pepatah: "berani kerana benar."

cheguman said...

"...takut kerana...? lu pk la sendiri....

MUHAMMAD AZLI SHUKRI said...

ayor-tidak mengapa, yang penting kita boleh berkongsi ilmu

Shariah-betul tu, sepatutnya sejak tahun 1998 lagi.

radzian-saya juga berpandangan agar ulama-ulama Pas anjurkan majlis angkat sumpah mubahalah untuk anwar ikut cara Pas, maybe semua puas hati

cheguman-betul berani kerana benar

Mohd Radzian said...

Salam Azly ,

Kalau ikut cara PAS ..saya tak setuju.

Pada pendapat saya, ikut semula Al-Quran dan Sunnah..kalau PAS tak ikut Al-Quran dan Sunnah .. why should ikut kan. I think that is the safest road daripada ikut "benda" yang tidak nampak punca.

Being in Japan, ada banyak mazhab yang saya jumpa - Hambali, Maliki, Syafie, Syiah dan lain-lain ..dan semasa sembahyang Jumaat , ada banyak cara sembahyang yang saya lihat.

Saya juga merasa lega, apabila .. brader dari Bangladesh minta kelompok Islam di sini bertolak-ansur dengan jemaah dari Malaysia dan Indonesia kerana terdapat perbezaan di dalam cara melaksanakan ibadah.. brader tu juga menyatakan kita adalah saudara ahli sunnah wal jamaah.

Tambahan pula, syiah dan sunnah berperang di Iran dan Iraq tapi di Jepun, kami berkawan walau pun susah juga saya nak yakinkan rakan syiah dari Iran di sini bahawa ahli sunnah tak semestinya bergaduh dengan syiah. Finally, mereka datang juga sembahyang di masjid yang berimamkan ASWJ, walau pun tidak kerap.

Mengenai masalah perbalahan umat ni, last year ada seorang pensyarah UIA yang dijemput datang ke Jepun oleh Persatuan Islam Jepun. Beliau menyatakan - memang terdapat pelbagai perbezaan antara kelompok-kelompok, mazhab-mazhab (even di natara mazhab-mazhab ahli sunnah)dan fikrah masing-masing - tapi anggaplah perbezaan ini sebagai sesuatu yang boleh digunakan untuk kenal mengenal antara satu sama lain. Daripada bermusuh, baik kita berbaik, lagi pun rakan dan sahabat yang paling baik sepatutnya di ambil dari golongan sama agama, kemudian sama bangsa dan kemudian negara.

Cuma saya berasa terkilan juga melihat cara ahli-ahli politik memainkan lakonan mereka. Sebenarnya dalam kes Nik Aziz dan Hadi Awang tu .. saya yakin mereka tahu ..bermuhabalah memang dibolehkan tapi sengaja di "amplify" bab pegang kitab Al-Quran dan di"kurang"kan sebutan mengenai sebenarnya dibolehkan bermuhabalah.

Untuk mereka, tak ada cara lain yang lebih baik untuk menyampaikan pendapat ke ? Atau mungkin sengaja nak cari glamour ? Wallah hu alam.

White Rabbit said...

Aku sokong pendapat ko.. Kita harus yakin kepada Allah.. DSAI perlu bersumpah untuk menenangkan ketegangan yang ada sekarang.

Zaid@Zaidel said...

Salam Ukhwah. Selepas membacanya terdetik untuk menulis komen di sini. Pada saya pendapat saudara ada kebenarannya. Itu hak saudara untuk bersuara dengan nada yang sedemikian. Cuma, kita harus melihat kepada perkara yang pokok berkaitan hal tersebut sehingga menimbulkan "ketidaktenteraman awam" di Malaysia, yakni isu yang liwat yang dimainkan oleh media.

Isu liwat yang dimainkan oleh media telah berjaya melariskan jualan akhbar, dan pada suatu ketika yang lain, golongan wartawan tidak kering berita sebab ada sahaja pemimpin atau pihak yang boleh mereka wawancarakan berkaitan isu sumpah dsb.

Mungkin secara kebetulan edisi liwat kali ini adalah yang kedua berlaku dalam sejarah kita melibatkan pemimpin, maka peluang tersebut wajar direbut atau digunakan sebaiknya oleh pihak media untuk kepentingan jualan dan melariskan akhbar mereka. Jika tiada hebahan yang teramat luas oleh pihak media, pasti tiada sesiapa pun yang akan ambil peduli isu tersebut. Saya mempersoalkan etika pihak media (mungkin tidak semuanya) berhubung soal ini.

Yang kedua, bila Saiful bersumpah secara yang demikian, maka dikatakan dialah yang pertama di Malaysia berbuat demikian. Pada tanggapan sekalian umat Malaysia bila Saiful sudah bersumpah atas nama tuhan, sekurang-kurangnya beban rasa bersalah sudah tiada kerana dia berani mengambil tindakan berbuat demikian. Itu mungkin tannggapan semua pihak. Namun dari satu segi wajarkah berbuat demikian?

Saya bertanya kerana sebagai seorang islam semua mengetahui bahawa doa seorang yang teraniya, Insya-Allah, tuhan pasti akan perkenankan. Justeru kenapa tidak berdoa sahaja. Sememangnya benar, bila sudah bersumpah maka dapat mengurangkan keraguan banyak pihak terhadap dirinya, padahal di ketika yang sama dia membuka aib yang terbesar dalam sejarah umat Malaysia dengan melakukan sumpah sedemkian rupa.
Ada yang berhujah bila sudah bersumpah sedemikian rupa, maka jika dia berbohong maka laknat akan terjadi kepadanya.Itu anggapan yang salah dan mengeliruakn umat Islam.

Harus diingat, Tuhan itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Jika dia di pihak yang benar, Insya-Allah dia akan mendapat kemuliaan. Jika sebaliknya, Tuhan tidak akan mengaibkan seluruh keluarganya. Dalam keadaan semua mata di Malaysia sedang tertumpu kepada Saiful selepasnya bersumpah, fikir secara logik dengan sifat Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, adakah Tuhan akan menghukumnya "SEGERA" jika dia berdusta?

Saya yakin umat Malaysia pasti beriya-iya untuk mengetahui kesan Saiful sebab laporan Dr daripada Hospital Pusrawi sebelum ini mengatakan bahawa beliau tidak di liwat. Seperti mana umat Malaysia menunggu dengan khusyuknya angkasawan pertama Malaysia ke ruang angkasa, atau melihat dengan bersemangatnya Lee Chong Wei cuba berusaha merangkul pingat emas pertama Malaysia di Olimpik Beijing, adakah begitu juga umat Malaysia menunggu kesudahan isu sumpah tersebut?

Itu berkaitan Saiful. Yang ketiga, adpun saranan kepada Anwar agar bersumpah pada saya niat itu sekarang seolah kita bukan hendak melihat kebenaran, tapi lebih menjurus untuk melihat penghujung sebuah cerita. Jika ditakdirkan Anwar bersumpah seperti mana Saiful bersumpah, adakah itu satu kepuasan kepada sebahgian besar umat Malaysia?

Perlu ditegaskan bahawa Malaysia menjadi tumpuan negara Islam diseluruh dunia berikutan isu liwat dan terkini sumpah. Belum berlaku lagi sejauh pengetahuan saya pada era moden ini seorang Islam bersumpah sedemikian rupa, sehinggakan diberi liputan. Jika Anwar bersumpah dan selepasnya apa yang dikehendaki oleh umat Malaysia?
Misalnya, jika Anwar bersumpah dan dia pihak yang benar, maka tiada apa-apa yang berlaku. Justeru apa yang umat Malaysia harapkan? Jika Anwar bersumpah dan dia di pihak yang salah, dan berlaku laknat kepadanya, apakah itu suatu kepuasan kepada umat Malaysia?

Baik Anwar mahupun Saiful, pada saya keduanya tidak harus bersumpah lantaran sikap media. Media yang mendesak mereka bersumpah. Disebabkan media juga sekarang ini ulama kita mengeluarkan pelbagai hujah. Akibatnya umat Islam di Malaysia semakin keliru. Ada yang suruh sumpah, ada yang kata sumpah tak betul dan semakin hari berlalu semakin banyak hujah-hujah yang boleh membuat umat Islam di Malaysia sendiri menjadi "bengung".Dalam keadaan yang sama banyak lagi isu-isu yang wajar ustaz dan ulama perlu beri perhatian, terabai oleh sebab penumpuan terhadap isu sumpah. Yang kita tidak sedar impak isu sumpah ini ialah, masyarakat Islam Malaysia jadi semakin berpecah-belah.

Pergilah ke Bukit Bintang dan berjumpalah dengan remaja Islam yang hanya Islam pada nama, rata-rata mereka berkata dengan sinis bahawa ustaz dan ulamak tidak sepakat mengenai isu sumpah. Jadi macam mana nak mengajak orang ke arah kebenaran?

Itulah impak dan fitnah terhadap Islam di Malaysia yang media kita tidak hebahkan pada hari ini. Jika Anwar dan Saiful teraniaya, berdoalah kepada Tuhan Yang Maha Pengasih.

Jika kedua-duanya termakan sumpah atau mendapat laknat sekalipaun atas pembohongan masing-masing, apa kelebihannya yang bakal umat Malaysia perolehi?

Justeru saya suka mengajak kepada semua tanpa pihak melihat kepada sentimen parti politik, agar kita kembali merenung isu yang jauh lebih parah, bernanah dan hampir busuk yang diabaikan oleh umat Malaysia iaitu permasalahan murtad, gejala sosial yang grafnya sentiasa meningkat dan persoalan berkaitan umat Islam lain seperti faktor perceraian, istri ditinggalkan gantung tidak bertali, dan sebagainya yang kurang dipaparkan oleh media kita. Hal ini kerana sememangnya isu berbau seks memang menarik perhatian semua. Adalah menjadi tanggungjawab kepada kita yang sedar dan waras untuk menunaikan tanggungjawab ini. Wallahu'aklam.

MUHAMMAD AZLI SHUKRI said...
This comment has been removed by the author.
MUHAMMAD AZLI SHUKRI said...

terima kasih atas huraian panjang lebar, alasan bahawa isu liwat dihebahkan oleh media dan menjadi sebab mengapa timbulnya fitnah ini, maka apakah pula alasan yang hendak kita berikan apabila nabi turut bersumpah dengan golongan nasrani najran tersebut? tiada media pun semasa itu, mengapa nabi turut bersumpah?

perlu difahami, ini bukan soal siapa yang memainkan isu, tetapi isu untuk diselesaikan ialah siapakah yang berbohong dan siapa yang tidak berbohong.

berkenaan dengan doa orang teraniaya pasti dimakbulkan, benar itu janji Allah dalam hadis yang sahih, ia sangat berbeza dengan sumpah mubahalah, sumpah mubahalah adalah untuk membuktikan bahawa orang yang bersumpah itu berada di pihak yang benar, soal teraniaya itu soal lain. mubahalah adalah untuk menyelesaikan masalah fitnah yang besar dalam masyarakat agar keyakinan masyarakat pulih kembali serta menjelaskan siapakah yang berkata benar dan siapa pula yang berbohong.

bukan media yang minta saiful atau anwar bersumpah, cuba tanya saiful benarkan tekanan media, maka dia begitu berani bersumpah? atau dia pasti bahawa dia berada di pihak yang benar? media tiada mendesak sesiapa pun untuk bersumpah, jika media mampu mendesak orang bersumpah, maka pasti anwar dan najib juga akan terpengaruh untuk bersumpah juga. jangan salahkan media.

sumpah mubahalah tidak memecahbelahkan masyarakat islam di malaysia, siapa yang sanggup dakwa bahawa sumpah mubahalah yang nabi lakukan dengan nasrani najran itu telah memporak perandakan masyarakat islam ketika itu? lantaran itu, jika kita ikut al-Quran, tiada berlaku pecah belah, yang jadi pecah belah apabila kita meninggalkan saranan al-Quran untuk bermubahalah. kalau kes anwar ini di bawa ke mahkamah, lagi lah fitnah bermaharajalalela, tiada penyelesaian. hanya dengan kembali kepada Allah hal ini bisa diselesaikan.

ustaz atau ulama tidak terlepas daripada dosa dan noda, mereka bukan nabi, ada ulama yang berkepentingan politik dan peribadi tidak dapat dinafikan, sebab itu banyak pendapat bercanggah, nama ulama bukan maksum, budak-budak di bukit bintang yang nama sahaja islam, tidak boleh dijadikan hujah, kononnya ulama sudah bertelagah. sedangkan mereka tidak tahu ada ulama suu' (ulama jahat) yang berkepentingan duniawi.

siapa kata isu murtad, perceraian tidak bertali tidak diambil kisah oleh media? baca sahajalah mastika, dan majalah atau suratkhabar yang seangkatannya dengannya, banyak paparan berkenaan hal tersebut, namun demikian, hal ini bukan bermakna isu anwar-saiful ini kita biarkan bernanah dan berlendir sampai bila-bila, jika benar anwar melakukan perbuatan terkutuk itu,apa yang hendak kita kata lagi, serahkan sahaja kepada Allah, mengapa takut untuk bersumpah? itulah masalahnya.

jika Saiful itu adik saudara, atau abang saudara, atau ahli keluarga saudara sendiri, apakah saudara akan menghalangnya untuk dia bersumpah dengan rela demi menegakkan kebenaran dan keadilan? tepuk dada tanya iman. wallahualam.

MUHAMMAD AZLI SHUKRI said...

perlu juga diingat, isu sumpah ini sama sekali tidak membuka aib sesiapa, ia dilakukan atas kesedaran untuk menutup fitnah yang telah terlalu besar.

rakyat malaysia seperti juga saudara mengharapkan keadilan dan kebenaran. jika kedua-dua bersumpah, pasti Allah akan menunjukkan kebenarannya, itu jelas dalam al-Quran, ini bukan berkenaan hendak menunggu penghabisan cerita, tapi kita sedang menunggu kebenaran dan keadilan. yakinlah kepada Allah. selagi Anwar tidak bersumpah cerita ini akan terus berlarutan sampai bila-bila. Apa yang kita inginkan sekarang ialah keadilan dan kebenaran yang muktamad bukan keadilan di mahkamah dunia yang sudah tidak dipercayai lagi oleh sesiapa pun.

NieZearm said...

bagi saya pula kedua-dua pihak perlu kembali kepada islam. sampai bila pn pertikaman lidah ni tak akan selesai. mngkin ada pihak lain yang akan teraniaya baik secara langsung atau pun tidak langsung.

usahakan untuk mereka berdua ini ke tanah suci. kedua-dua mereka perlu bertaubat kerana menimbulkan isu dan ketegangan pada masyarakat. disitu bermohonlah agar ditunjukkan kebenaran bagi yang teraniaya. semoga doa kedua-dua pihak ini mendapat liputan dari media agar tidak timbul isu-isu lain.

kita yang berada di malaysia ini juga buleh melakukan solat hajat berjemaah besar-besaran agar isu ini cepat selesai.

Solat hajat yang dilakukan pada malam hari ini juga boleh dibuat untuk memohon kestabilan ekonomi dan kesejahteraan umat islam di malaysia.

dengan ini dapat mewujudkan kemuafakatan islam yang sukar untuk di gugat oleh mane-mane pihak.

sekadar pandangan..

zeme said...

Salam saudara azli,

Suatu kupasan yang menyeluruh, melihat bukan hanya kesan melibatkan insan Saiful-Anwar, tetapi keresahan dikalangan masyarakat dan negara.

Saya juga sudah muak dan cukup loya berkenaan isu ini yang seolah-olah telah mendajalkan keutuhan integriti masyarakt Melayu, Islam dan negara.

Saya mengesyorkan seluruh rakyat Malaysia membawa kedua-dua manusia ini, Saiful-Anwar menghadap Kaabah di Masjidil Haram Tanah Suci Mekah lakukan muhabalah sumpah laknat kalau itu yang cara terbaik bagi menyelamatkan masyarakat Islam Malaysia kerana kita tidak mahu menerima bala kesan perbuatan kedua-dua manusia ini.

Wasalam.

MUHAMMAD AZLI SHUKRI said...

niezam-betul saya setuju

zeme-saya sependapat

Kikuri-hime said...

I dont think I need to add more since everybody has chipped in. Anyway, I believe DSAI need to do what he needs to do. Not what the thinks or feels he needs to do. There you go! Short and simple!!!!

MUHAMMAD AZLI SHUKRI said...

saya setuju kikuri

Anonymous said...

Pada mulanya saya ingin percaya tetapi apabila
1 Dr pusrawi kata tiada tanda/kesan
2 3 orang Dr pakar HKL kata tiada kesan
MAKA saya ambil pilihan untuk tidak percaya.
Sekadar bersumpah....pembunuh akan bersumpah tidak bunuh, penagih dadah lagi la sanggup bersumpah.

Mungkin azly lebih percaya pd sumpah dari laporan doktor,,,,

oleh
comment deleted