Skip to main content
Machiavellianisme
Metode Bahaya Pendakwahan
ISA : Pernah Wujud Zaman Saidina Umar?

Oleh MUHAMMAD AZLI SHUKRI

(Artikel ini sudah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 08/01/2004)


Setelah Cyrus berjaya menumpaskan Medes untuk memimpin bangsa Parsi, dan Theseus berjaya menukarkan wajah masyarakat Athens, di samping Romulus mendirikan kerajaan Rom. Semula sejarah tokoh besar ini dirakam dan dijadikan pedoman oleh seorang anak muda berbangsa Itali, yang kemudiannya menjadi terkenal sebagai seorang negarawan, politikus dan pemikir dunia. Beliau ialah Niccolo Machiavelli yang lahir pada 3 Mei 1469, pengasas dan pembangun mazhab "Matlamat Menghalalkan Cara" yang cukup popular dengan bukunya The Prince.


Teknik beliau untuk mendapatkan kuasa amat kuat mempengaruhi kuasa imperialis Barat, bahkan, konsepnya juga telah melahirkan pelbagai ungkapan seperti, "Machiavellian Approach", "Machiavellian Tactics" dan "Machiavellian Politics". Semua ini, masih tetap berada di bawah satu bumbung manifestasi, iaitu tektik kotor dalam berpolitik. Tidak kira apa jua cara sekali pun, kuasa mesti diperoleh tanpa memperdulikan lagi nilai moralitinya.


Tegasnya, kini Machiavellianisme tidak hanya mempengaruhi dunia politik, tetapi lebih jauh daripada itu, "isme" ini sudah merangkak masuk ke alam pendakwahan. Hari ini, rata-rata pendakwahan tidak lagi bertujuan amar ma'ruf nahi mungkar, sebaliknya pendakwahan lebih terjurus kepada menyampaikan propaganda serta risalah politik demi mendapatkan kuasa dan kedudukan.


Malah, konsep pendakwahan tidak lagi dilihat sebagai medan untuk menyampaikan seruan kebenaran, tetapi ia sudah menjadi semacam "tempat terasing" yang menghalalkan segala macam perlakuan para pendakwahnya. Hingga saat ini, terlalu sedikit untuk ditemui, para pendakwah yang benar-benar bersikap jujur dalam menyampaikan ilmu dan kebenaran.


Hal ini sama sekali tidak bererti dunia pendakwahan sudah kehilangan para dai'nya yang benar-benar ikhlas serta jujur. Tetapi, para dai' yang berkepentingan lebih ramai daripada yang tidak berkepentingan. Tidak syak lagi, dunia pendakwahan hari ini sudah jauh terpesong daripada ajaran serta etika yang pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w. 1429 tahun yang lalu.


Kini, dunia pendakwahan lebih banyak dieksploitasi untuk kepentingan peribadi serta politik. Umpat-mengumpat sudah menjadi hidangan yang lumrah, membuka keaiban peribadi orang lain sudah menjadi "ubat mujarab" untuk membuat para pendengar gelak ketawa, menimbulkan prasangka sudah menjadi 'uruf dalam ceramah-ceramah pendakwahan dan membuka pintu fitnah pula sudah menjadi "bahan" laris dalam menyampaikan risalah Allah.


Justeru itu tidak syak lagi, kesemua "ramuan" yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya ini, dijadikan sebagai tiket untuk menyampaikan kebenaran oleh sesetengah pendakwah yang mendakwa cara ini terpaksa dilakukan demi membanteras kemaksiatan. Sedangkan mereka sendiri tanpa disedari telah melakukan maksiat kepada Allah dan membelakangi sunah nabi s.a.w.. Pendekatan dakwah ala-Machiavellianisme ini, sudah mendapat tempat dalam kehidupan sebahagian besar umat Islam di negara ini.


Bahkan, penyakit ini tidak hanya terkena dalam kalangan orang awam semata-mata, tetapi lebih mendukacitakan lagi, golongan yang sering dilabelkan sebagai "ulama" juga tidak terkecuali daripada dihinggapi dengan "isme" ini, terutama ketika mereka sedang fana menyampaikan risalah tauhid di hadapan ribuan hadirin. Kaedah pendakwahan yang berteras kepada "matlamat menghalalkan cara" ini sudah mula diterima sebagai satu metode pendakwahan yang longgar alasannya.


Beralaskan kepada kata-kata, "orang yang degil mesti didakwah dengan cara yang degil juga" sama sekali tidak diajar dan diterima oleh Islam. Hanya puak Khawarij sahaja yang menghalalkan metode semacam ini. Dan sesungguhnya, cara ini benar-benar membelakangi tatacara berdakwah generasi salaf.


Apabila Machiavelli menolak konsep moraliti dalam kekuasaan, maka seolah-olah para pendakwah hari ini turut sama berkiblat kepada fahaman tersebut, terutama pada saat menyampaikan dakwah Islamiah mereka, dan menolak tuntutan "cara berhikmah" ketika beramar ma'ruf nahi mungkar yang digariskan oleh al-Quran. Oleh sebab itu, pendakwahan semacam ini sama sekali tidak akan mencapai objektif yang diharap-harapkan, sebaliknya pendakwahan tersebut bakal menjauhkan mereka lagi daripada kebenaran.


Bertitik tolak daripada itu, jika dunia pendakwahan terus diselubungi dengan metode jahiliah ini, maka kebenaran akan bercampur baur dengan maksiat, dan lebih malang lagi, lama kelamaan pendakwahan seumpama ini akan mencetuskan fahaman ekstrimisme serta radikalisme dalam menyampaikan amar ma'ruf nahi mungkar.


Dan sudah tentu, impaknya adalah besar terhadap politik domestik, sekali gus bakal mengharu birukan pula pentadbiran dan menjejaskan ekonomi negara. Justeru itu, langkah pencegahan perlu dilaksanakan segera oleh badan-badan yang berwajib berteraskan kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam itu sendiri.


Dan ada baiknya, kisah Saidina Umar yang telah dicatat di dalam kitab Asbabul Wurud karya Ibn Hamzah al-Husaini, dijadikan panduan awal bagi meneroka jalan pencegahan yang terbaik demi membanteras gaya pendakwahan ala-Machiavellianisme ini daripada terus berleluasa. Penulis, menurunkan serba sedikit kisahnya. Telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Yang paling kutakuti menimpa kepada umatku ialah munafik yang pandai bercakap." (Hadis shahih riwayat Ahmad dan at-Thabrani).


Terdapat dua riwayat yang berkait rapat dengan hadis ini. Kedua-dua riwayat tersebut boleh dijadikan panduan untuk mencegah gaya pendakwahan ala-Machiavellianisme ini.


Riwayat pertama menceritakan bahawa penghulu bagi penduduk Bashrah bernama al-Ahnaf begitu terkenal sebagai seorang yang pandai dan fasih bercakap telah mengadap khalifah Umar. Kemudian Umar telah menahannya (tanpa perbicaraan) selama setahun untuk diuji siang dan malam. Tetapi ternyata tidak ada sebarang tanda kemunafikan pada diri al-Ahnaf.


Setelah setahun, Umar memanggilnya lalu berkata, "Hai Ahnaf tahukah mengapa engkau kutahan?'' "Tidak,'' jawab al-Ahnaf. Umar meneruskan kata-katanya, "sebab engkau kutahan kerana Rasulullah pernah bersabda, "yang paling aku takuti terjadi atas umatku, adanya orang munafik yang pandai bercakap.'' Dan aku takut engkau termasuk dalam kalangan mereka. Namun alhamdulillah ya Ahnaf, engkau tidak demikian.''


Manakala al-Munawi meriwayatkan kisah yang sama, namun mempunyai sedikit perbezaan. Menurut riwayat al-Munawi, al-Ahnaf mengadap Umar. Kemudian dia berkhutbah. Cara bercakapnya amat mengagumkan. Dan Umar menahannya selama satu tahun. Kemudian setelah habis masa tahanan, Umar berkata, "aku takut anda seorang munafik yang pandai bercakap, sebab Rasulullah pernah memperingatkan kami. Sekarang aku harap, jadilah anda seorang mukmin sejati dan kembalilah ke negerimu.''


Dalam mengulas riwayat ini, Ibn Hamzah al-Husaini berkata, "orang munafik adalah yang hatinya tidak beriman. Biasanya orang tersebut pandai bercakap. Ia sering memberi fatwa kepada orang lain dengan fatwa yang batil, menyesatkan namun disadur dan disalut demikian rupa sehingga menimbulkan kesan seolah-olah dia orang yang baik.''


Teknik Umar menahan al-Ahnaf selama setahun tanpa perbicaraan itu, merupakan strategi pencegahan daripada hasil ijtihad beliau dalam usaha menangani permasalahan orang munafik yang pandai bercakap serta mampu menimbulkan huru-hara dalam kalangan masyarakat.


Secara peribadi, penulis beranggapan bahawa metode Umar dalam mengawal orang ramai daripada sesuka hati menyampaikan dakwah agama tanpa berlandaskan ilmu yang mantap, perlu dicontohi. Apatah lagi bagi mereka yang fasih bercakap dan menggunakan ayat-ayat al-Quran.


Jelas, tindakan Umar menahan al-Ahnaf selama setahun itu, merupakan langkah beliau demi mencegah tumbuhnya orang-orang munafik yang pandai bercakap di tengah-tengah masyarakat. Hal ini harus dicontohi di negara kita untuk membendung para pendakwah yang menjadikan nama pendakwahan sebagai cara menghalalkan ucapan mereka yang penuh dengan unsur hasutan, fitnah, buruk sangka dan kata-kata nista. Semoga sabda-sabda Rasulullah S.A.W.di bawah ini mengembalikan diri kita untuk bermuhasabah semula. Sabda Rasulullah bermaksud:


"Cukuplah seseorang itu dikatakan pendusta, kalau apa sahaja yang didengarnya, kemudian disampaikan kepada orang lain." (Riwayat Abu Daud).


"Celakalah orang yang berbohong dalam berkata-kata sekadar untuk ditertawakan orang. Celakalah ia, celakalah ia." (Riwayat Bukhari).


"Aku adalah pemimpin rumah di sekeliling syurga bagi mereka yang meninggalkan perdebatan, sekalipun ia benar. Dan aku pun seorang pemimpin rumah di tengah-tengah syurga bagi mereka yang meninggalkan kata-kata bohong, sekalipun hanya bergurau." (Riwayat Abu Daud).

Comments

S.YanaZ said…
Salam.
Saya berbangga, sekurang-kurangnya pernah makan bihun sup utara, dgn saudara Azli, suatu ketika dahulu.

ha.ha.
:)
Denanz ... said…
oi cikgu! bangga, bangga. bangga apa ... setakat pekena bihun sup utara ... apa barang nak bangga ...
S.YanaZ said…
En.Nan,
buattttt lagi!!!

Nih kan blog orangggggggg...
adoii.
karate kang!

Sori Azli.
;p
Denanz ... said…
syaz, gua tak peduli. blok saper pun gua tak peduli. blok azli pun gua tak peduli. blok hans pun gua tak peduli. blok pakcik det pun gua tak duli. blok khir 2U pun tak duli gak. blok ... blok ... blok ... aaahhh semua blok pun tak peduliiiii!!!!


chek marah ka?
roger.
Cheguman said…
1. Rasa 'bimbang' gak baca rencana ni sebab takut terkena batang hidung sendiri. Terima kasih Azli kerana membantu aku muhasabah diri.

2. Nampaknya ada kewajaran perlaksanaan ISA bagi sesebuah negara. Patut la kebanyakan negara masih mengamalkannya.
azlishukri said…
awat ni gaduh2...
Denanz ... said…
abg azlieieiei ... (lembut jer panggil ... ala2 manja gitew).
cikgu sya tu kan ... kan ... ye nak gaduh jer ngan kita ... sedih taaww ... huhu.
hans said…
xbaik kan gaduh2...
hehe3

new posting..baca ekk
Anonymous said…
Salam,

Niccolo Machiavelli,pernah terdengar nama ini ketika di bangku sekolah.Tokoh zaman Renaissance.

Penulisan yang mantap dan membuka minda,saya tidak menolak ISA,cuma berharap ia dilakukan dengan adil dan dengan sebab yang kukuh.
Kikuri-hime said…
OMG! This so academic... anyway, i enjoyed ur essay... so informational.
Kikuri-hime said…
This comment has been removed by the author.
man_helang said…
salam saudara...dr penulisan saudara ini apa yg sy fahami dr konteks politik kita sekarang ialah ISA itu dihalalkan??? benarkah??? tp adakah konsep ISA sekarang ini bertepatan atau sama dgn konsep penahanan yg dilakukan Saidinar Umar??? adakah org yg ditahan dizalimi??? waktu penahanan itupula adakah mengambil masa yg terlalu lama??? apakah pula konsep pendekatan yg digunapakai Umar utk memastikan bahawa tahanan itu bkn munafik??? adakah ISA juga mengguna pakai konsep yg sama??? ini yg menjadi persoalan utama dlm diri sy??? pelbagai tuduhan yg tdk elok dilontarkan terhadap ISA, namun sy tdk lihat kerajaan cuba utk menerangkannya secara ilmiah seperti yg saudara terangkan...jika benar apa yg dilakukan oleh ISA sama konsep n cara laku yg diamalkan oleh Umar, sy amat berbesar hati utk menyokongnya, apa yg sy risaukan ia digunakan sebagai senjata utk mempertahankan tuan, menidakkan lawan...wallahualam...
azlishukri said…
betul tu Man..artikel ini hanya menjelaskan tentang konsep "penahanan tanpa bicara" dan bukan metodologi atau kaedah bagaimana konsep itu dipraktikkan. Yang diutamakan oleh syariat ialah keadilan. Harus dan wajid sesuatu undang-undang itu memenuhi tuntutan keadilan. tulisan ini hanya membuka minda pembaca sahaja. bahawa konsep ISA ada dalam sejarah Islam.Namun perlulah mengikut lunas-lunas Islam yang sebenar. harap maklum.
Abu Khalid said…
perkongsian yang baik

Pilihan Pembaca

Penulis dua dari kanan bersama dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Pada 10 September yang lalu, Sidang Editor Bahagian Majalah berkesempatan berbuka puasa bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Sime Darby Convention Center. Terima kasih atas Jemputan tersebut. Jazakumullahu Khairan Kasiran. * Dari kiri Ros, Suria Janib (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), A. Zaidel (Penolong Editor Dewan Masyarakat ), Datuk Seri Khaled Nordin, Muhammad Azli Shukri (Editor Dewan Ekonomi) , dan Armin Azhari (Editor Pelita Bahasa ).
Nasihat Pemimpin Patuhi Etika Islam Oleh Muhammad Azli Shukri (Artikel saya ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 18/09/2003) Dalam Islam, pemimpin atau pemerintah yang telah dilantik haruslah diikuti perintahnya, selagi perintah tersebut tidak bercanggah dengan suruhan wahyu dan perintah Rasul, seperti mana firman Allah di dalam surah an-Nisa ayat 59, "Wahai orang-orang yang beriman! patuhilah olehmu perintah Allah dan patuhilah olehmu perintah Rasul dan ulil amri di antara kamu." Oleh kerana para pemimpin atau pemerintah merupakan manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat, maka mereka juga wajib diberi nasihat oleh rakyat yang sedang di pimpinnya, bersesuaian dengan roh Islam itu sendiri yang berteraskan kepada amar makruf nahi mungkar, sebagaimana firman Allah, "Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.'' (
MONOLOG AZLI SHUKRI Bab 10 : Muhammad Azli Shukri Lagi! Saya agak sukar untuk menulis Monolog ke-10 saya pada kali ini. Saya merasakan inilah monolog yang sangat susah untuk saya meluahkannya. Saya tidak tahu, bagaimanakah harus saya sampaikan monolog saya pada kali ini? Apakah saya harus menulis atas prinsip saya sebagai seorang wartawan? Atau sebagai seorang ahli politik? Atau sebagai seorang penulis bebas? Atau sebagai seorang editor? Semua ini menyukarkan saya untuk menulis monolog saya yang terakhir pada bulan ini. Saya merasakan bahawa saya harus berterus terang dengan jujur dan amanah, tanpa rasa takut dan kesal, kerana kebenaran dan jihad harus ditegakkan dengan segala kekuatan yang ada. Yang pasti, kebenaran tidak boleh disembunyikan lagi. Dan Sesungguh, untuk menjadikan kejahatan bermaharajalela, cukuplah sekadar kebenaran mendiamkan diri! Saya tidak berupaya membiarkan itu semua berlaku. Dan untuk kali ini saya harus bercakap benar dengan nada yang berterus terang. A