Skip to main content
Bahasa Menimbulkan Konflik

Oleh Muhammad Azli Shukri


Ramai yang tidak sedar bahawa tragedi rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 adalah berpunca daripada bahasa. Bahasa yang kesat dan penuh penghinaan boleh mengundang musibah dan malapetaka yang tidak dapat dibayangkan. Setelah Dr. Tan Chee Khoon memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Batu di Selangor pada hari Isnin, 12 Mei, beliau telah memohon permit daripada pihak polis untuk mengadakan satu perarakan kemenangan oleh ahli-ahli parti Gerakannya. Polis telah membenarkannya dengan syarat-syarat yang telah dipersetujui. Manakala DAP turut membuat keputusan untuk mengadakan satu lagi perarakan pada keesokan harinya iaitu pada hari Selasa, 13 Mei, tetapi gagal memperoleh permit. Lantaran itu, DAP telah bergabung dalam perarakan Gerakan pada hari Isnin tersebut.



Pada asalnya perarakan ini berjalan dengan baik, tetapi apabila perasaan kemenangan sudah tidak mampu dikawal lagi oleh pengikut kedua-dua buah parti, akhirnya mereka tidak lagi menghiraukan arahan polis, dan mula berarak ke kawasan-kawasan yang tidak dibenarkan. Perarakan haram itu telah masuk ke Jalan Campbell dan Jalan Hale, iaitu jalan yang menghala ke Kampung Baru, yang mana sejumlah 30 ribu orang Melayu hidup dalam keadaan aman damai di sana. Di sepanjang perjalanan tersebut, mereka bersorak, bertempik dan apabila sampai ke kawasan penduduk Melayu, mereka mengejek-ejek dan menunjuk-nunjuk kemenangan mereka.



Malah, mereka turut melemparkan kata-kata yang menaikkan kemarahan orang Melayu, antaranya ialah, “Melayu Mati”, “Engkau Melayu Bodoh” dan “Melayu tidak Berkuasa”. Kata-kata tersebut, menurut bekas Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman telah menyebabkan orang-orang Melayu bangkit dan mengamuk, sehingga pertumpahan darah di kota Kuala Lumpur tidak dapat dielakkan lagi. Maka, bermulalah rusuhan kaum yang pertama mencalit sejarah negara ini.



Enam tahun sebelum tragedi berdarah 13 Mei, Presiden Indonesia, Sukarno telah mengumumkan dasar konfrontasi dengan Malaysia ekoran tidak puas hati beliau terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia dengan melaungkan slogan “Ganyang Malaysia”. Slogan tersebut tidak hanya melukakan hati rakyat Malaysia, bahkan merebak sehingga tercetusnya konflik ketenteraan, apabila tentera Indonesia bertindak menyerang wilayah-wilayah di Sabah dan Sarawak. Perkataan “Ganyang Malaysia” telah menimbulkan rasa benci rakyat Indonesia kepada Malaysia dan membawa kepada konflik diplomasi yang hanya dapat diselesaikan setelah Suharto mengambil alih kekuasaan Sukarno.



Pada tahun 2002, Presiden Amerika Syarikat (AS), George W.Bush pernah menggelar Iraq, Iran dan Korea Utara sebagai “Paksi Kejahatan dan Syaitan” kerana membangunkan program nuklear tanpa restunya. Perkataan Bush itu menjadi buah mulut masyarakat antarabangsa dan menimbulkan konflik yang amat panjang. Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang mempunyai keanggotaan 116 buah negara telah membincangkan kata-kata Bush ini dalam persidangan mereka pada bulan Februari 2003 dan membuat resolusi sebulat suara menolak pelabelan tersebut.



Hal ini kerana, pelabelan tersebut boleh mengundang ketidakstabilan politik dan ekonomi dunia. NAM merupakan pertubuhan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap negara-negara berkecuali. Jelas sekali, “Paksi Kejahatan dan Syaitan” merupakan kata-kata yang menimbulkan konflik dunia yang akhirnya menyaksikan Iraq dan Afganistan dijajah oleh AS. Manakala Iran, sehingga kini terus ditekan oleh kuasa besar tersebut.



Selain daripada itu, kata-kata Bush yang cukup popular sepanjang beliau menjadi Presiden AS ialah perkataan “Pengganas” yang dilabelkan untuk masyarakat Islam yang menentang dasar ketidakadilan AS. Perkataan ini banyak menimbulkan konflik dan mengancam keamanan dunia. Pelabelan ini turut memburukkan persepsi Islam yang suci dengan mendakwa penganut agama ini menganjurkan keganasan. Akhirnya, hal ini telah menimbulkan konflik yang bersifat global.



Di Malaysia, pada suatu ketika dahulu perkataan “Reformasi” telah menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Perkataan yang dipopularkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini telah mengundang konflik dan salah faham terhadap kerajaan yang didakwanya terlalu korup dan menyeleweng dan memerlukan reformasi. Perkataan ini membawa tafsiran yang bahaya, iaitu mengajak rakyat agar menjatuhkan kerajaan secara total dan membetulkan kerajaan melalui tindakkan revolusi dan bukan evolusi. Malah, perkataan ini telah berjaya menanamkan sifat benci masyarakat Malaysia kepada pihak kerajaan sehingga ke hari ini. Satu lagi perkataan yang telah mengundang konflik dalam pilihan raya ke -12 baru-baru ini ialah, “'Makkal Sakthi” atau “kuasa rakyat”. Perkataan ini telah diulang-ulang oleh pihak pembangkang dalam kempen mereka, sehingga berjaya menimbulkan krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang sedang memerintah. Akhirnya kerajaan BN gagal memperoleh 2/3 majoriti kerusi parlimen.



Satu ketika dahulu, perkataan “Agama Suku, Politik Suku” yang diucapkan oleh Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Abdul hadi Awang turut mengeruhkan keadaan politik Malaysia. Semua umat Islam Malaysia menjadi kacau bilau dengan kata-kata tersebut. Perpecahan umat Islam bermula di situ, sehingga isu kafir mengkafirkan mewarnai politik tanah air sehingga lewat tahun 90-an.



Bahasa, hakikatnya mempunyai kuasa yang sukar dihitung kesannya. Kesan positif atau negatif bergantung terhadap tutur kata dan makna bahasa yang kita gunakan. Konflik, asasnya tercetus gara-gara sebaris kata sahaja. Peperangan dan pembunuhan merupakan konflik yang sering kali dimulakan dengan kata-kata dan bahasa, bukan senjata. Dua ribu tahun dahulu, apabila Julius Caesar melaungkan slogan “Veni, Vidi, Vici” (Saya datang, saya lihat dan saya menang) telah mencetuskan konflik yang cukup besar antara Rom dengan Mesir, yang menyaksikan perang Alexandria dimenangi oleh Rom. Dalam tahun yang sama juga, kata-kata keramat Julius itu turut mengalah Raja Pontus di Zela. Semua ini bermula dengan sebaris kata!

Comments

Unknown said…
Cayalah sdr. Azli. Tulisan yang hebat. Boleh gantikan tempat Editor majalah Dewan Bahasa.
azlishukri said…
Kak Rita ni...saya akan buat yang terbaik untuk mana-mana majalah yang saya hormati seperti majalah Dewan Bahasa.
Unknown said…
Bagus lah macam tu wahai Azli Shukri.Anda mempunyai jiwa yang jernih. DM terbaik ke idak?
Unknown said…
Silap ayat. Soalan sepatutnya ialah DM dihormati ke idak?
azlishukri said…
DM boleh dihormati andaikata tidak banyak campur tangan di saat2 akhir..
Redhuan D. Oon said…
Memang ganjil tetapi benar tentang kuasa bahasa itu. Tetapi sayang tidak ramai yang minat ke arah itu.
Unknown said…
memang benar, bahasa mampu mengubah dunia, namun ramai yang kurang minat untuk mendalaminya.
azlishukri said…
memang betul tu rafiq, bahasa mempunyai kuasa.
Anonymous said…
Assalamu'alaikum En.Azli. Saya penulis blog aku -mualaf... Minta jasa baik encik e-mail ke saya di iqqhuan@yahoo.com

Ada suatu pertanyaan yg ingin saya utarakan...wassalam

Pilihan Pembaca

Banyak Membaca Buku Cara Terbaik Bayar Yuran Kemalasan

MENURUT ABANGNYA, ELON MUSK DIBESARKAN DENGAN CARA MEMBACA DUA BUAH BUKU SEHARI. Manakala Mark Zuckerberg membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap dua minggu. Bill Gates pula membaca 50 buah buku setahun. Dan Warren Buffet menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil daripada tabiat membaca. Apabila selesai menyertai apa sahaja kursus perniagaan, selalu kita dengar rungutan seumpama ini, "Kalau inilah modul dan ilmunya, aku pun tahu. Tak berbaloi rasanya bayar ribu-ribu hanya untuk belajar ilmu yang boleh dapat percuma di internet." Saya tidak salahkan sangat penganjur program. Saya salahkan diri sendiri. Kita sebenarnya tidak membayar yuran "kebodohan", kita membayar yuran "kemalasan". Kita malas membaca dan malas mencari maklumat dan ilmu, akhirnya kita mudah ditipu melalui kursus yang ilmunya boleh diperoleh dengan mudah di alam maya.   Bagi golongan usahawan yang suka membaca

UMNO ke Arah Pemulihan?

UMNO KE ARAH PEMULIHAN? Semalam, Datuk Norza Zakaria, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dihadap ke mahkamah atas tuduhan rasuah untuk pemilihan parti hujung bulan ini. Saya tidak mahu banyak komen dalam hal ini. Saya percaya ramai lagi yang terlibat - dan yang dituduh pasti akan mendakwa bahawa mereka teraniaya, sebelum ini Datuk Seri Azalina Othman turut menerima nasib yang sama apabila pegawai kananya ditemui bersama dengan wang berjumlah RM70 000 dan disyaki untuk tujuan politik wang. Saya agak sedih jika begini keadaan UMNO, di saat-saat UMNO memerlukan pemimpin yang bersih dan ikhlas dalam mengemudi parti tersebut pada hujung bulan ini. Pemimpin-pemimpin UMNO harus faham, fitnah terjadi kepada UMNO adalah disebabkan sikap mereka yang memudahkan orang ramai memandang negatif kepada UMNO. Hentikan perbuatan memberi duit untuk mendapatkan sokongan. Manakala para perwakilan pula, tolong hentikan perbuatan meminta wang dan imbuhan daripada calon-calon tertentu,- semua ini jelas h

Semua Bloggers Pro-Mukhriz Diminta Memberi Sokongan Moral

MEMBERI SOKONGAN MORAL KEPADA DATUK MUKHRIZ MAHATHIR Saya sudah katakan, bahawa Khairy mempunyai masalah, dan terlibat dalam "isu" yang selama ini dilaung-laungkan oleh pihak akar umbi, apabila lembaga disiplin memberi amaran kepada Khairy dengan sebegitu rupa, sebentar tadi apakah kita masih mahu memilih Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Saya sudah berkali-kali menjelaskan dalam blog saya ini, dari tahun lepas lagi bahawa Khairy telah gagal sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO, dan sekarang buktinya telah jelas. Saya menyeru kepada semua ahli UMNO memberi sokongan kepada Datuk Mukhriz Mahathir sebagai KETUA PEMUDA UMNO yang baharu, Dan sekarang dengan secara rasminya, saya membuka peluang kepada seluruh bloggers meletakkan komen sokongan anda ke blog ini secara besar-besaran, sebagai satu usaha menyokong Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Ketua Pemuda. Amaran , mana-mana komen yang cuba membuat provokasi, akan dipadam, hanya komen yang memberi sokongan moral kepada Datuk Mukh